“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Selasa, Julai 15, 2008

Pemimpin Atau Rakyat?

Pemimpin Atau Rakyat?

http://an-nawawi.blogspot.com

Kita selalu mahukan pemerintah dan barisan pemimpin yang baik sebagaimana hebatnya pentadbiran Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali radhiyallahu ‘anhum.

Tetapi kita selalu lupa, kenapa tidak terlebih dahulu kita menjadi sebaik sebagaimana para rakyat di zaman Abu Bakar, Umar, Usman, dan Ali radhiyallahu ‘anhum.

Kita selalu mengharapkan yang terbaik itu dari orang lain untuk kita. Tetapi kita sendiri melupakan kebaikan dari diri sendiri kepada orang lain bahkan kepada diri sendiri. Kita juga melupakan sunnah-sunnah yang dipengangi oleh para sahabat di zaman khulafa’ur rashidin, tetapi dalam masa yang sama kita sibuk memperkatakan bahawa orang lain tidak menegakkan sunnah dan tidak kembali kepada al-Qur’an.

Begitu jugalah dengan para pemimpin, sebelum mahu rakyat menjadi baik. Wajarlah bertindak untuk membimbingi dan menaungi masyarakat dengan baik.

Apa yang mahu saya simpulkan, setiap individu memiliki tanggungjawabnya sendri terhadap diri, keluarga, masyarakat, dan Tuhannya. Jika setiap insan boleh memahami tanggungjawabnya masing-masing berdasarkan manual yang Tuhan berikan, insyaAllah, segalanya mampu berjalan lancar dan harmoni walaupun siatuasi cabarannya begitu hebat seakan-akan seperti di zaman para nabi.

Dari 'Auf bin Malik, katanya: “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Pemimpin-pemimpin pilihan di antara engkau semua ialah orang-orang yang engkau semua mencintai mereka dan mereka pun mencintaimu semua, juga yang engkau semua mendoakan kebaikan untuk mereka dan mereka pun mendoakan kebaikan untukku semua.

Adapun pemimpin-pemimpin yang jahat di antara engkau semua ialah orang-orang yang engkau semua membenci mereka dan mereka pun membenci padamu semua, juga yang engkau semua melaknat mereka dan mereka pun melaknat padamu semua.” 'Auf berkata: “Kita para sahabat lalu berkata: “Ya Rasulullah,apakah kita tidak boleh menentang kepada pemimpin-pemimpin yang sedemikian itu? Beliau s.a.w. bersabda: “Jangan menentang mereka, selama mereka masih tetap mendirikan solat di kalanganmu semua.” (Hadis Riwayat Muslim)

Isnin, Julai 14, 2008

Ketika Pertama Kali Membuka Kitab “Ringkasan Shahih al-Bukhari”

Ketika Pertama Kali Membuka Kitab “Ringkasan Shahih al-Bukhari”

http://an-nawawi.blogspot.com

Pengalaman kira-kira sekitar lima tahun yang lalu, bagi aku agak menggelikan hati dan membuatkan aku sentiasa tersenyum mengingatkannya.

Iaitu ketika mana pertama kali aku membuka, membelek-belek, dan mula membaca isi kandungan sebuah kitab yang dikatakan sebagai sebuah kitab sumber agama kedua terpenting selepas al-Qur’an. Dengan berbantukan sebuah semangat mahukan ilmu dalam beragama, aku usahakan memiliki sebuah kitab hadis yang merupakan sebuah kitab ringkasan dari salah satu kitab hadis terkemuka. Iaitu kitab Shahih al-Bukhari yang telah diringkaskan susunan Imam az-Zabidi, terbitan Crescent News (KL) SDN. BHD.

Sungguh membuatkan aku pelik dan sedikit runsing apabila membaca beberapa hadis di dalamnya yang kebanyakannya bercanggah dengan kefahaman aku dan amalan masyarakat sekelilingku. Pada ketika itu, aku sempat memulakan dengan melangkah kepada topic-topic tertentu dari kitab tersebut sekitar Kitab Solat dan Thaharah.

Mana tidaknya, suatu yang di luar kebiasaan aku, tetapi ada di dalam kitab Shahih tersebut. Sungguh pelik, kenapa doa qunut bukan hanya saja boleh dibaca di dalam solat subuh. Tetapi juga di dalam solat-solat fardhu yang lain, malah mana-mana solat fardhu. Malah, lafaz doa-doanya agak keras nadanya dengan mendoakan laknat buat sesuatu golongan... Hatiku berbisik, “Kenapa macam ini ye...?”

Aiii, dalam keadaan luka-luka berdarah pun boleh menunaikan solat? Tak najis ke? Mana boleh solat dalam keadaan ada najis?

Emmm, mengapa boleh juga membaca surah di dalam solat bukan terhad kepada rakaat pertama dan kedua sahaja ke? Malah rupa-rupanya membaca surah di rakaat ketiga dan keempat juga ada contohnya... “peliknya aku rasakan...”

Agak terkejut, bahawa tersebut di dalam kitab al-Bukhari tersebut bahawa bolehnya bergerak-gerak dan berjalan di dalam solat seperti untuk mendukung anak, menghalang orang yang melintasi semasa solat, mengawal pergerakan keldai ketika solat, juga yang seumpama dengannya. Sedangkan apa yang aku fahami sebelum ni, mana boleh gerak-gerak ikut suka hati. Kalau boleh pun, dalam gerakan yang kecil dan tak lebih tiga kali...

Begitulah beberapa perkara yang aku terbaca darinya, membuatkan aku begitu sukar menerima bahawa ia adalah suatu yang benar adanya. Sehinggakan ia menjadikan aku berprasangka, “benarkah kitab ini???”.

Begitulah beberapa perkara yang agak merunsingkan aku ketika pertama kali mula cuba memahami hadis-hadis yang telah direkodkan/dibukukan oleh Imam al-Bukhari. Sehinggakan atas sebab kejahilan dan prasangka yang tidak menyenangkan, aku meninggalkannya selama hampir satu tahun begitu sahaja kitab tersebut tanpa aku buka. Semuanya atas kerana kepelikan yang aku rasai daripada kitab tersebut lantaran beberapa kandungannya yang kontra dengan amalan semasa.

Namun, akhirnya aku diberikan kefahaman yang aku bersyukur dengannya. Dan dengan kefahaman tersebut aku kembali membukanya naskhah demi naskhah. Yang mana, kebenaran dalam beragama itu bukanlah diasaskan berdasarkan adat kebiasaan yang aku lihat selalu dari masyarakatku mengamalkannya. Tetapi, kebenaran itu adalah kembali kepada Kitabullah dan sunnah-sunnah Rasulullah yang sahih walau ia dianggap begitu pelik dan aneh bagi mereka yang tidak dan belum memahami... (Wallahu a’lam...)

Nawawi Subandi,
07:20, 14/07/2008,
Bandaraya Anggerik (Shah Alam).

Kenapa Sampai Perlu Jatuhkan Pemerintah?

Kenapa Sampai Perlu Jatuhkan Pemerintah?

http://an-nawawi.blogspot.com

Tiba-tiba terdetik dan terfikir. Lalu aku tuliskan ia berbantukan papan kekunci dan perisian MS Office 2003, agar dapat dikongsikan di ruang layar maya kelaknya. Persoalannya... “Mengapa mestinya menjatuhkan pemerintah baru dikatakan mampu melaksanakan Islam dan isi-isi syari’atnya?”

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berdakwah pun tidak ada meminta dan memaksa pemerintah di tempatnya supaya turun dari takhta atas alasan zalim dan korupsi. Lalu mahu menggantikannya dengan pemerintah yang lain yang akan melaksanakan apa yang beliau kehendaki.

Sedangkan kita tahu, di zaman itu, pemerintahnya zalim-zalim belaka. Kita tahu bagaimana mereka menyeksa Nabi dan para sahabatnya. Malah, kezaliman pemimpin pada zaman itu bukan kezaliman yang biasa-biasa. Tapi kezaliman yang Allah sendiri katakan sebagai kezaliman yang paling besar. Iaitulah yang dinamakan sebagai syirik, seperti kafir, menyembah berhala, mempercayai adanya pengaruh kuasa selain Allah, membunuh anak perempuan tanpa hak dan seumpamanya.

“... Janganlah kamu mensyirikkan Allah, sesungguhnya perbuatan syirik adalah benar-benar kezaliman yang besar.” (Surah Luqman, 31: 13)

Kita ambil juga dari iktibar Nabi Nuh ‘alaihi salam. Apakah beliau berdakwah sehingga 1000 tahun kurang 50 tahun pernah memaksa atau pun meminta pemerintah dari kaumnya supaya turun takhta dan letak jawatan. Lalu mengatakan bahawa pemerintah yang ada perlu diganti dengan orang yang lain yang lebih baik agamanya...

Begitu juga Musa ‘alahi salam dan Harun ‘alaihi salam. Apakah mereka diperintahkan supaya menjatuhkan Fir’aun yang mana kita sedia tahu betapa zalimnya Fir’aun? Atau sebenarnya Musa dan Harun diwahyukan supaya melaksanakan tugas dakwah dengan kaedahnya? Yang mana, Tauhid dan mengesakan Allah sebagai priority intisari dakwahnya. Malah, ia adalah merupakan intisari utama dakwah para nabi dan rasul, iaitu mengajak dan menegakkan tauhid ke dalam hati dan diri setiap manusia sasarannya. Bukannya menjatuhkan pemerintah dan menukar pemerintah sebagai asas yang paling utama dan terutama. Tiada Kalam yang menyatakan di mana Musa dan Harun diutuskan supaya menjatuhkan Fir’aun bagi tujuan dan wasilah jalan dakwahnya sebagaimana dakwaan kebanyakan orang-orang agama zaman ini yang lantang menghambur peribadi pemerintah.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya),

“Pergilah kamu berdua (Musa dan Harun) kepada Fir'aun, sesungguhnya dia telah melampaui batas; maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut”.” (Surah Thoha, 20: 43-44)

Dalam hal ini, Allah telah berfirman (yang maksudnya),

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahku-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” (Surah an-Nuur, 24: 55)

Berkata Syaikh Dr. Soleh Abdullah Fauzan al-Fauzan, di dalam kata pengantar kitab Minhajul Anbiya’ Fid Da’wati Ila Allah fihil Hikmatu wa ‘aql tentang ayat di atas sebagai berikut:

Sebagaimana yang telah diisyaratkan, tidak akan tercapai, kecuali setelah memperbaiki aqidah mereka dengan beribadah hanya kepada Allah dan meninggalkan penyembahan kepada selain-Nya. Dan mereka berkeinginan untuk mendahulukan adanya “Daulah Islamiyah” sebelum membersihkan negara dari aqidah-aqidah berhala, seperti penyembahan orang mati dan kebergantungan terhadap kuburan (serta masih bersama memenangkan aqidah selain daripada aqidah ahlus sunnah (seperti syi’ah, muktazilah, khawarij, sufi, dll. – tambahan penulis). Padahal, perkara tersebut tidak jauh berbeza dengan penyembahan terhadap Latta, Uzza, dan Manaat dan yang lainnya. Bahkan lebih dari itu, mereka mencari sesuatu yang lain yang mustahil adanya.

“Barangsiapa mencari kemuliaan, tanpa ada usaha yang keras, maka telah hilanglah usia akibat mencari kemustahilan” (Rujuk; Minhajul Anbiya’ Fid Da’wati Ila Allah fihil Hikmatu wa ‘aql, karangan Syaikh Dr. Rabi Bin Hadi ‘Umair al-Madkhaly)

Demikianlah yang berlaku ketika ini di tempat-tempat kita. Kebanyakan mereka yang keras dan gencar tidak lain kebanyakannya hanya berbekalkan semangat tanpa ilmu serta prinsip yang jelas. Mereka disibukkan mengkritik pemerintah salah itu dan ini, serta memaksakan supaya turun dari jawatan dan membawakan kelompok manusia dari kalangan mereka pula yang dikatakan sebagai lebih baik kriterianya. Yang anehnya, kriteria “baik” tu adalah menurut perkiraan mereka. Tidak mestilah sama ada dari golongan hindu, budha, liberal, Syi’ah, khawarij, dan seumpamanya, tetapi mestilah dari golongan yang sehaluan dengan mereka dalam melawan barisan pemerintah. Soal agama dan aqidahnya, bukan soal priority, dan boleh saja ditolak ke tepi dulu...

Sedangkan tidak kurang juga apa yang terdapat di dalam kelompok-kelompok mereka sendiri betapa dhoifnya pemahaman dan penerapan aqidah yang berlangsung. Pelbagai pemikiran bercampur-aduk, berkecamuk, dan bergaulan di dalamnya. Masing-masing memiliki tujuannya masing-masing. Sekadar bersatu atas niat buruk yang satu iaitu menumbangkan pemerintah. Sedangkan manhaj dan kerangka pembinaan agamanya jauh berbeza dan tidak sama. Bayangkan, apakah puak syiah, tarekat, sufi, khawarij, murji’ah, muktazilah, golongan tukang tangkalan, peniup dan pejual air yasinan, malah yang kafir juga bergaulan dalam satu nama pakatan... Apakah jenis perjuangan agama dan daulah apakah sebenarnya yang mahu ditegakkan jika prinsip penyatuannya bukan atas dasar aqidah yang jelas? Inikah yang di atas-namakan sebagai perjuangan sebuah dakwah agama bernama Islam... Amat kusut rupa dan gambarannya.

Nawawi Subandi,
00:37, 14/07/2008
Bandaraya Anggerik (Shah Alam).

Ahad, Julai 13, 2008

Aku Ahlus Sunnah Pencinta Rasulullah???

Aku Ahlus Sunnah Pencinta Rasulullah???

http://an-nawawi.blogspot.com

Ramai sekali manusia zaman ini mengakui mencintai Rasulullah. Ramai sekali yang mengakui “aku seorang ahlus sunnah”. Dan banyak sekali ucapan di bibir bernada gencar, “Aku adalah pejuang Sunnah Nabi!”. Tidak kurang mereka yang menyeru, “Ayuh! Kembalilah kepada al-Qur’an dan as-Sunnah...” - Wallahu a'lam...

Tapi... sungguh terasa peliknya apabila dibawakan hadis-hadis nabi dan sunnah-sunnah beliau Shallallahu ‘alahi wa Sallam, mereka menjadi marah, melenting serta menidakkan. Tidak kurang juga yang menjadi kepelikan dan memandang aneh. Sebahagian lagi ada juga yang mengatakan itu dan ini, begitu dan begini demi menolak sunnah yang sahih. Mereka tidak sanggup mengakui bahawa mereka tersalah memegang sunnah. Mereka tidak mahu mengakui manusia biasa mungkin silap dan mungkin tersalah dalam mengambil dan menganggap sunnah.

Hati-hati wahai manusia, kerana Allah berfirman (maksudnya):

“Maka ketika mereka berpaling (dari kebenaran yang mereka sedia mengetahui), Allah memalingkan hati mereka (dari mendapat hidayah); dan sememangnya Allah tidak memberi hidayah kepada kaum yang fasiq – derhaka.” (Surah al-Saf, 61: 5)

Mengapa begitu mudah di bibir mengakui “aku adalah pengikut sunnah dan pejuang sunnah”. Namun, tidak jua memiliki walau senaskhah kitab Shahih al-Bukhari, atau Shahih Muslim, atau jua Kitab Sunan Abi Daud, barangkali juga at-Tirmidzi, an-Nasa’i mahupun Ibnu Majah? Bukan jua tidak memilikinya, tidak juga terdetik di hati untuk mengusahakannya... Ataukah mungkin membeleknya barang sekali atau dua kali, pernahkah? Tidak kurang juga di luar sana langsung kosong tentang apa itu al-Bukhari, Muslim, dan selainnya tapi bijak bertutur “aku berpijak di atas sunnah”. Lantas kita berkata, “Sunnah yang mana yang engkau berdiri dengannya???”

Mengapa kita mengakui bermazhab dengan kaedah asy-Syafi’i, namun tidak jua pernah memiliki apatah lagi membuka dan membaca kalam imam asy-Syafi’i sendiri? Kitabnya yang mana pernah kita pegang dan buka?

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta bertanggung jawab.” (Surah al-Isra’, 17: 36)

Sudah habiskah kita membelek al-Qur’an, kitabullah. Sudahkah kita fahami ia? Lembaran kitab tafsir yang mana satukah yang pernah kita buka dan baca isinya?

Usah kita terburu-buru, bersabarlah kita dalam meniti dan berdiri untuk beristiqomah di atas titian ilmu.

“Katakanlah (Wahai Muhammad kepada mereka): "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.” Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Ali Imran, 3: 31)

“Dan orang-orang yang mahu menerima petunjuk, Allah menambah petunjuk kepada mereka dan memberikan balasan ketaqwaannya.” (Surah Muhammad, 47: 17)

“Dan Allah akan menambahi hidayah bagi orang-orang yang menurut jalan hidayah...” (Surah Maryam, 19: 76)

Kita juga mengakui beraqidah dengan aqidah golongan ahlus sunnah... Namun, kitab aqidah ulama ahlus sunnah manakah yang pernah kita hayati dari lembaran demi lembaran naskhahnya? Kitab manhaj mana yang pernah kita khatamkan?

“Jika mereka berpaling (dari keimanan), maka katakanlah: “Cukuplah Allah bagiku; tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki ‘Arsy yang agung”.” (Surah at-Taubah, 9: 129)

Wallahu a’lam...

Nawawi Subandi,
12:49, 13 Julai 2008
Bandaraya Anggerik (Shah Alam).
Idea ini digarap dari kuliah Ustaz Armen Halim Naro (rahimahullah), berjudul “Firqah Munharifah”.

Selasa, Julai 08, 2008

Kuliah Ilmiyah: “GERAKAN ILLUMINITI (KONSPIRASI YAHUDI) & BAHAYANYA KEPADA DUNIA”

Kuliah Ilmiyah: “GERAKAN ILLUMINITI (KONSPIRASI YAHUDI) & BAHAYANYA KEPADA DUNIA”

as-Salaamu 'alaikum, InsyaAllah pada 09/07/2008 (Rabu), Selepas maghrib, jam 7.40 mlm, akan berlangsung kuliah dan pembentangan kertas kerja:

“GERAKAN ILLUMINITI (KONSPIRASI YAHUDI) & BAHAYANYA KEPADA DUNIA”

Oleh Dr. Sulaiman Nordin.

Bertempat di, Surau al-Mawaddah, Berhadapan dengan Pangsapuri Danau Mas, Lot 6, Jalan Platinum 7/8, Seksyen 7, Shah Alam. (Tepi Tasik). 012-6887715.

Siapa yang berminat, dijemput hadir.

Sumber: http://an-nawawi.blogspot.com

Jumaat, Julai 04, 2008

Mendahulukan Sifat Maaf Dan Sabar Di Atas Kekhilafan Dan Ketidaktahuan

Mendahulukan Sifat Maaf Dan Sabar Di Atas Kekhilafan Dan Ketidaktahuan

http://an-nawawi.blogspot.com

Dalam meniti dan mengharungi sebuah jalan kebenaran, tidak hairan jika kita menghadapi begitu banyak kritikan dan hinaan. Tidak kering juga cacian dan celaan. Malah mungkin sehingga dipinggirkan dan dikatakan sebagai pelik lagi aneh.

“Katakanlah, “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.” (Surah az-Zumar, 39: 9)

Walaupun demikian keadaannya, kita sewajarnya terus bermuhasabah diri dengan melazimi sifat sabar dan beristiqomah dengan kebenaran di atas prinsip ilmu. Lebih wajar lagi, jika kita imbas dan melihat kembali uswah (contoh) dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri ketika bagaimana beliau menghadapi kepelbagaian bentuk penolakan demi penolakan dalam dakwahnya. Pelbagai bentuk penolakan yang dilakukan dengan bersertakan tindakan-tindakan yang amat kasar dan berat untuk ditanggung.

Ketika mana di dalam awal fasa penyampaian beliau, hari-hari demi hari silih berganti, beliau tetap melazimi segala hal yang dihadapi dengan tenang, kebaikan, memohon keselamatan bagi dirinya dan manusia lainnya. Tidak terdetik sedikit pun di dalam lubuk hati dan perasaannya berniat memuaskan emosi sendiri dengan menyimpan perasaan dendam terhadap mereka yang bersikap membara menentang beliau.

Baginda Shallallahu ‘alaihi wa Sallam antaranya diutuskan untuk memilih jalan damai, memaafkan kesalahan golongan yang masih jahil, dan mengajak mereka dengan hikmah kembali kepada jalan yang benar. Ini antara lain adalah bertujuan supaya kelak nantinya akan lahir insan-insan yang menuruti beliau atas dasar yang penuh ikhlas dan tulus hatinya berserah diri di atas jalan kebenaran. Ia juga bakal menjadikan mereka yang gemar bersikap keras menjadi lembut hati dan lentur jiwanya dengan kebenaran yang dibawa. Kebenaran yang dibawa dengan personaliti akhlak yang baik bersesuaian di atas tempatnya lebih mudah diterima berbanding dengan sikap keras yang dihamburkan membabi buta. Realitinya, apa jua yang dibawa bersama pakej lemah lembut dan akhlak pekerti yang baik ianya akan menjadi lebih mesra serta mudah dihadam oleh golongan sasaran.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya),

“Jadilah engkau pema’af dan suruhlah orang mengerjakan yang ma’ruf, serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh. Dan jika kamu ditimpa suatu bentuk godaan dari syaitan maka berlindunglah kepada Allah” (al-A’raaf, 7: 199-200)

Ketika Allah ‘Azza wa Jalla menurunkan pada Nabi-Nya Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ayat tersebut, maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bertanya, “Apakah ini wahai Jibrail?” Ia menyatakan, “Sesungguhnya Allah memerintahkan kepadamu supaya mema’afkan orang-orang yang berbuat zalim kepadamu, memberi kepada orang yang tidak memberimu, dan menyambung orang-orang yang memutuskan perhubungan denganmu.” (Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Cet. Pustaka Ibnu Katsir (Bogor), 3/768)

Dan hendaklah kita sentiasa memohon perlindungan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala dari segala bentuk gangguan Syaitan yang memungkinkan akan menyemarakkan/membangkitkan sifat marah di dalam hati kita kepada golongan yang masih jahil dan tidak memahami tersebut.

Allah Subahanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya),

“Tolaklah perbuatan buruk mereka dengan yang lebih baik. Kami lebih mengetahui apa yang mereka sifatkan. Dan katakanlah: “Ya Tuhanku aku berlindung kepada Engkau dari bisikan-bisikan syaitan. Dan aku berlindung (pula) kepada Engkau ya Tuhanku, dari kedatangan mereka kepadaku”.” (Surah al-Mukminuun, 23: 96-98)

Menzahirkan sifat pema’af bukanlah suatu yang menunjukkan kehinaan dan ketidakmampuan atau pun cepat mengalah. Malahan, jika kita mampu mengamati dengan baik, ia adalah sebenarnya menunjukkan ketabahan hati, kebesaran jiwa, kekuatan mental serta perasaan kita dalam melawan sikap cepat marah dan mengelakkan dari timbulnya susana yang tegang. Dalam konteks yang lain, ia mampu menumbuhkan dan memupuk sikap tenang, tenteram, kemuliaan, dan juga kegagahan jiwa dalam menghadapi tekanan dan cabaran. Malah, sifat ma’af juga mampu mengawal diri dari memiliki sifat dendam dan benci. Sekaligus, ia mampu melahirkan sikap lemah lembut dan mudah mesra.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

“Dan tidaklah Allah menambah seorang hamba dengan kemudahan untuk mema’afkan kecuali Allah akan memberinya ‘izzah (kemuliaan).” (Hadis Riwayat Muslim)

Di dalam suatu riwayat, disebutkan betapa sifat pema’af Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang sangat menakjubkan terserlah ketika mana beliau menghadapi hari yang lebih mencabar daripada peperangan Uhud iaitu ketika peristiwa beliau dihina dan dicemuh di Thaif tatkala mahu menyampaikan dakwahnya. Penduduk Thaif pada masa itu bukan sahaja menolak dakwahnya malahan sampai membalingnya dengan batu dan objek-objek tertentu yang menjadikan beliau berlumuran darah. Sehinggakan kasutnya turut dipenuhi darah. Kita selaku insan biasa, sudah tentu mampu membayangkan betapa beratnya ujian yang beliau terima pada ketika itu.

Pada saat itu juga, malaikat yang bertugas menjaga gunung telah bersiap sedia menantikan perintah dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Malaikat tersebut memanggil dan mengucapkan salam kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan berkata, “Wahai Muhammad! Sesungguhnya Allah telah mendengar penolakan kaummu. Dan aku penjaga gunung mendapat titah untuk menerima perintahmu bersesuaian dengan kehendakmu. Jika engkau mahu, maka aku akan hempapkan dua gunung ini ke atas mereka.”

Apabila mendengarkan seruan malaikat tersebut, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam justeru menidakkan (menolak tawaran tersebut) dan berkata,

“Sesungguhnya aku berharap agar Allah akan mengeluarkan dari sulbi-sulbi mereka keturunan yang beribadah kepada Allah dengan sepenuh keikhlasan tanpa menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun.” (Hadis Riwayat Muslim)

Maha Suci Allah, sungguh menakjubkan akhlak dan kesabaran yang beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tunjukkan kepada kita. Walaupun beliau mendapat tekanan, tentangan dan hinaan yang begitu berat, ternyata akhlak dan peribadi beliau yang mulia dengan membuka pintu ma’af lebih mendahului yang lain.

Kita sebagai insan yang mengaku mengikuti beliau sebagai ikutan dan contoh terbaik, sewajarnya tidak melupakan akhlak dan kesabaran beliau yang begitu tinggi tersebut. Dan bagi diri kitalah selaku umat yang beriman yang memahaminya dengan baik, perlu berlumba-lumba untuk mencontohi peribadi beliau agar sentiasa melazimi sifat sabar dan pema’af. Dengan mengikutinya, di sanalah rahmat Allah bakal menyusuli kita.

“Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia. Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keuntungan yang besar. Dan jika syaitan mengganggumu dengan suatu gangguan, maka mohonlah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah Fushilat, 41: 34-36)

Nawawi Subandi,
17:31, 04/07/2008
Bandaraya Anggerik (Shah Alam).

Khamis, Julai 03, 2008

Menghadapi Celaan Para Pencela

Menghadapi Celaan Para Pencela


Manhaj dalam menyampaikan suatu kebenaran perlulah berdasarkan hujjah yang terang dan jelas dari dalil-dalil al-Qur’an dan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Itulah asas dalam memegang dan mendirikan agama di dalam diri. Begitu juga apabila mahu menyampaikan dan mengajak mereka yang lainnya untuk turut serta bersama di dalam kebenaran yang sebenar. Ia perlu dilandasi asas yang meyakinkan, iaitu bersumberkan al-Qur’an dan as-Sunnah yang mana kita berdiri dengannya sebagaimana para salafus soleh yang telah terlebih dahulu berdiri dengannya.

“Katakanlah: “Inilah jalan (agama) ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik”.” (Surah Yusuf, 12: 108)

“Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) dari golongan muhajirin dan anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan merekapun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar.” (Surah at-Taubah, 9: 100)

Sudah menjadi lumrah, sudah terlipat dan terbuku menjadi sejarah demi sejarah, bahawa bukanlah suatu yang mudah untuk meletakkan diri di dalam kebenaran. Ia akan mendapat tentangan demi tentangan, syubhat demi syubhat cuba merasuki, dan halangan serta cabaran sentiasa datang menerpa tanpa ditentukan ketikanya. Kerancuan dan tentangan tersebut semuanya akan hanya dapat ditumbangkan dan ditepis bagi mereka yang benar-benar teguh di atas hujjah dan prinsip yang tepat.

Ketika apabila kebenaran itu mampu kita sampaikan namun mereka tetap mencela dan menentang, maka tidak perlu kita terus kecewa dan berputus asa. Namun tetapkanlah hati dan pendirian kita meniti di atas jalan kebenaran tersebut dengan ilmu dan kesabaran. Tidak putus asa dengan kepelbagaian ragam dan sikap mereka, namun tetaplah berusaha mengajak mereka atas sikap berlemah lembut. Tunjukkan kepada mereka akhlak serta kesabaran yang bertunjangkan ilmu dan hujjah.

Dengan ilmu, kesabaran, sikap yang berani dan teguh di atas hujjah, maka inilah di antara sikap yang benar dalam menyingkapi pelbagai celaan dan hinaan mereka yang tidak mengerti.

“Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang berupa) keselamatan.” (Surah al-Furqan, 25: 63)

Dalam suatu hadis, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berdoa ketika mana dalam suatu medan tempur yang dengannya tidak wajar untuk berundur dan mengalah, “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-mu dari sifat pengecut...” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

Sebuah kebenaran yang bertunjangkan prinsip-prinsip tauhid yang benar perlu diperjuangkan dan disampaikan dengan penuh komited. Sebagai seorang Muslim yang beriman di atas prinsip-prinsip tauhid yang sahih, dia akan meyakini bahawa Allah akan sentiasa bersama dan menolongnya yang mana dia tidak akan merasa takut dengan golongan orang-orang yang mencela.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya),

“Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” (Surah Muhammad, 47: 7)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (maksudnya),

“Sentiasa ada dari umatku sekelompok orang yang selalu tampak jelas di atas al-Haq (kebenaran), tidak akan menyusahkan mereka orang-orang yang meninggalkan mereka sehingga datang keputusan Allah (hari kiamat – pent.).” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Bagi mereka yang memiliki manhaj dan prinsip yang jelas di atas kebenaran, mereka tidak merasa takut dengan sesiapa pun melainkan kepada Allah semata. Mereka tetap teguh di atas kebenaran dan menyampaikan apa yang mereka yakini agar dapat dinikmati bersama.

“(Iaitu) orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah, mereka takut kepada-Nya dan mereka tiada merasa takut kepada seorang (pun) selain kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Pembuat Perhitungan.” (Surah al-Ahzaab, 33: 39)

Mereka menyerahkan segala perhitungan dan ketentuan hanya kepada Allah. Mereka tahu, bahawa Allah yang memberikan hidayah dan petunjuk manakala mereka hanyalah sekadar penyampai. Mereka tetap berdiri dan tidak berganjak dari landasan kebenaran. Mereka berterusan teguh melestarikan kebenaran dari Allah dan rasul-Nya.

“Dan jikalau Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang yang di muka bumi seluruhnya.” (Surah Yusuf, 10: 99)

Dan yang lebih utama lagi, bahawa mereka yang sentiasa mengharap cinta Allah Subhanahu wa Ta’ala dan mendapat kurnia dari-Nya adalah mereka yang memiliki sikap tidak takut terhadap kepelbagaian bentuk celaan para pencela.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya),

“Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang keluar dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang beriman, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurniaan Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Ma’idah, 5: 54)

Di dalam Kitab Sahih al-Bukhari, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam diperlihatkan oleh Allah akan perihal adanya nabi yang berdakwah hanya memiliki seorang pengikut, ada nabi yang hanya memiliki dua orang pengikut, dan ada pula yang langsung tidak memiliki walau seorang pun pengikut yang bersamanya.

Apa yang dicari bukanlah pengikut mahupun kuantiti, tetapi tanggungjawab kita dalam menyampaikan berdasarkan prinsip-prinsip yang benar dan kita kekal dengan prinsip tersebut. Menyampaikan atas dasar taat dan cinta kita kepada Allah. Tidak sekali-kali prinsip dan manhaj di atas al-Haq itu berubah hanya kerana mahu mencari redha manusia dan bukan juga kerana dihadapkan dengan pelbagai tentangan dari para manusia lainnya.

Nawawi Subandi,
10:12a.m., 03/07/2008
Bandaraya Anggerik