“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Sabtu, Januari 26, 2008

Jadual Kuliah Mingguan di Kawasan Klang

Program Kuliah Mingguan Di Akademi al-Faqeh, Taman Mutiara, Bukit Raja, Klang.
(35A, Jalan Cokmar 1, Taman Mutiara, Bukit Raja, Klang)

Minggu Pertama, 8.00-10.00pm

Sabtu:
Kuliah Fiqh al-Wajiz, bersama ustaz Azahari Murad.

Ahad:
Kitab Tauhid, bersama ustaz Helmi Abdul Rahim.

Minggu Kedua, 8.00-10.00pm:

Jumaat:
Kuliah Tajwid & Qiraat, bersama ustaz Abu Ruwais asy-Syubrawi.

Sabtu:
Kuliah Tafsir al-Qur’an bersama ustaz Sofwan Badri.

Ahad:
Kuliah Syarah Rukun Islam, bersama ustaz Helmi Abdul Rahim.

Minggu Ketiga, 8.00-10.00pm:

Jumaat:
Kuliah Tajwid & Qiraat, bersama ustaz Abu Ruwais asy-Syubrawi.

Sabtu:
Kuliah Fiqh al-Wajiz, bersama ustaz Azahari Murad.

Ahad:
Kuliah umum & pembentangan kertas kerja, bersama Ustaz Rasul Dahri.

Minggu Keempat, 8.00-10.00pm:

Jumaat:
Kuliah Tajwid & Qiraat, bersama ustaz Abu Ruwais asy-Syubrawi.

Sabtu:
Kuliah Syarah Hadis 40, bersama ustaz Firdaus.

Ahad:
Kuliah Syarah Ushul Tsalasah, bersama ustaz Zulfaqar.

Info Lanjut:
More info – call 016-2091531 (Saudara Adi Negara)

------------------------------------------------------------------

Kuliah Di Bandar Bukit Tinggi, Klang.
----@@@----
Surau al-Insyirah
Flat Bukit Tinggi 2,
Batu Nilam 34,
Bandar Bukit Tinggi,
41200 Klang, Selangor.
Tel: 019-2229553 (Saudara Razak)
----@@@----

Setiap Minggu, Hari Khamis, Selepas Solat Maghrib.

Minggu Pertama:
Ustaz Kamaruddin Abdul Hamid
(Merungkai Permasalahan Hadis-hadis Dhoif Dalam Masyarakat)

Minggu Kedua:
Ustaz Helmi
(Syarah Aqidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah)

Minggu Ketiga:
Ustaz Idrus
(Syarah Hadis 40)

Minggu Ke-Empat:
Ustaz Abu Ruwais
(Tafsir al-Qur’an)

Isnin, Januari 21, 2008

Rakaman Audio (MP3) Daurah Aqeedah

As-Salaamu ‘alaikum, al-Hamdulillah… Daurah/kem kuliah yang berlangsung selama dua hari dan berakhir semalam dapat berjalan dengan jayanya.

Berikut adalah beberapa rakaman (audio) yang dapat di-uploadkan:

001 - Methodologi Dalam Beragama Oleh Dr. Sulaiman Noordin

Klik – Download

01 – Mengenal Manhaj Salaf oleh Ustaz Rasul Bin Dahri

Klik – Download

02 - Kembali Kepada Manhaj Sahabat & Sesi Soal Jawab Bersama Ustaz Rasul Dahri & Dr. Sulaiman Noordin

Klik – Download

03 - Keutamaan Aqidah oleh Ust. Abu Usamah

Klik – Download

04 - Akhlak & Prinsip oleh Ustaz Idris Sulaiman

Klik – Download

05 - Hikmah & Adab Dalam Dakwah oleh Ust. Idris Sulaiman

Klik – Download

06 - Forum Soal Jawab Bersama 4 Ustaz (Ust. Rasul, Dr. Sulaiman, Ust. Idris, & Ust. Abu Usamah)

Klik - Download

** Kualiti Audio agak kurang memuaskan...

Khamis, Januari 17, 2008

TENTATIF PROGRAM BAGI KEM/DAURAH 19-20 JANUARY 2008 DI SUNGAI CONGKAK, HULU LANGAT, SELANGOR.

TENTATIF PROGRAM BAGI KEM/DAURAH 19-20 JANUARY 2008 DI SUNGAI CONGKAK, HULU LANGAT, SELANGOR.

Sebelum tu, iklan berkenaan Daurah/Kem ini telah di-hebahkan seperti di sini:

http://an-nawawi.blogspot.com/2007/11/kem-kuliah-mengenali-memahami-aqidah.html

SABTU, 19 JANUARY 2008

10.00-11.00AM

Pendaftaran Peserta

11.00-01.00AM

Pembentangan Kuliah Pertama:

1 - Dasar & methodologi dalam beragama.

2 - Tauhid & Kepentingannya.

Disampaikan oleh – Dr. Sulaiman Nordin

01.00-02.30PM

Solat & Makan Tengah Hari

02.30-03.30PM

Kuliah 3:

Manhaj & Kepentingannya

Disampaikan oleh Ust. Rasul Bin Dahri

03.30-04.45PM

Kuliah 4:

Firqah-Firqah Yang Menyimpang Daripada Manhaj

Disampaikan oleh Ust. Rasul Bin Dahri

05.00-06.30PM

Rehat

06.30-07.15PM

Makan Malam

07.15-08.00PM

Solat

08.00-10.30PM

Sesi Muzakarah & Soal Jawab bersama Ust. Rasul Bin Dahri

Ahad, 20 January 2008

06.30-08.00PM

Bacaan Kitab Riyadhus Soliheen oleh Ust. Abu Usamah Khaidar

08.00-09.00AM

Sarapan Pagi

09.00-10.00AM

Bacaan Kitab Riyadhus Soliheen oleh Ust. Abu Usamah Khaidar

10.00-10.15AM

Rehat

10.15-11.45PM

Kuliah 5:

Dakwah, Akhlak, & Masyarakat

Oleh Ust. Idris Bin Sulaiman.

11.45-12.00PM

Rehat

12.00-01.00PM

Sambungan Kuliah 5

01.00-02.30

Solat & Makan Tengah Hari

02.30-04.00PM

Muzakarah & Sesi Soal Jawab bersama Ust. Rasul Dahri.

04.00-04.15PM

Majlis Penutup.

Barangsiapa yang Allah kehendaki baginya kebaikan, maka dia diberi kefahaman (yang baik) dalam agama.

(Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

insyaALLAH...

Doakan Program ini berjalan lancar dan memberi kesan yang baik.

Isnin, Januari 07, 2008

Keutamaan Memperbaiki Diri Sebelum Menyampaikan

Keutamaan Memperbaiki Diri Sebelum Menyampaikan

Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman, dan yang mengerjakan amal soleh, dan nasihat- menasihati supaya menetapi kebenaran, dan nasihat-menasihati supaya menenetapi kesabaran. (Qs. al-‘Ashr, 103:1-3)

Intipati ayat:

1 – Manusia itu dalam kerugian.
2 – Kecuali, orang-orang yang beriman, kemudian mengerjakan amal soleh, dan kemudian menyampaikan kepada yang lain dengan penuh kesabaran.

Allah memberitakan orang-orang yang selamat dari kerugian, iaitu orang-orang yang pada dirinya tertanam sifat-sifat tersebut. Allah menyebutkan, bahawa mereka lebih dahulu telah merealisasikan keimanan dan amal soleh pada diri mereka, sebelum mendakwahi orang lain. Dakwah dengan nasihat-menasihati supaya menetapi kebenaran, dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran. Inilah dasar penetapan masalah ini.

Demikian juga dalam firman-Nya, Allah s.w.t. telah mencela Bani Isra’il kerana mereka menyelisihi (mengabaikan/meninggalkan) prinsip ini.

Oleh kerana itulah, setiap individu hendaklah sentiasa melihat agar kelangsungan/input bagi diri sendiri sentiasa dalam keadaan yang baik, sebelum berusaha menyampaikan (output) kepada orang lain. Tatkala dirinya telah mencapai istiqamah dalam hal itu, dan telah menyatukan antara penerapan ajaran agama pada dirinya dengan perjuangan mendakwahi orang lain, maka ia benar-benar telah berada di atas petunjuk generasi Salafus soleh (generasi awal yang soleh lagi berilmu), dan Allah akan melimpahkan manfaat dan (dakwah)-nya. Mereka menjadi penyampai yang baik yang menyeru kepada agama (Sunnah) dengan ucapan dan perilakunya. Dan sungguh, demi Allah s.w.t., inilah kedudukan yang tinggi. Bila seseorang berupaya mencapainya, maka ia termasuk hamba Allah yang paling baik kedudukannya pada hari Kiamat.

Allah Ta’ala berfirman:

Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru (mengajak) kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata: “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri”. (Qs. Fushshilat, 41 :33)

Kalau tiada harta, apakah yang mahu disedekahkan? Jika tiada ilmu, apa yang mahu kita dakwahkan/sampaikan/ajarkan?

[Artikel ini Diringkaskan daripada Untaian Nasihat Sheikh Dr. Ibrahim Bin amir ar-Ruhaili (Hafizahullah), Majalah as-sunnah Edisi Khusus (7-8)/Tahun 10/1427H/2006M]

Wallahu a’lam...

Hijrah Sebelum Hijrah: Tujuh Pengajaran Penting

Hijrah Sebelum Hijrah: Tujuh Pengajaran Penting

Oleh: Kapten Hafiz Firdaus Abdullah

Jika disebut peristiwa hijrah, pasti ramai yang terus memikirkan penghijrahan umat Islam dari Mekah ke Madinah. Sebenarnya terdapat peristiwa hijrah yang berlaku sebelum itu, iaitu penghijrahan sebahagian umat Islam dari Mekah ke Habasyah, yang kini dikenali sebagai Etophia.

Hijrah ini berlaku pada bulan Rejab, tahun kelima sejak Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam diangkat menjadi Rasul. [Thabaqat Ibn Sa‘ad (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1997), jld. 1, ms. 161] Ia pada mulanya dipimpin oleh ‘Utsman bin Mazh‘un radhiallahu 'anh dan terdiri dari lebih kurang sepuluh orang lelaki, sebahagian mereka bersama ahli keluarga masing-masing. [Sirah Ibn Hisyam (Maktabah al-‘Abikan, Riyadh, 1998), jld. 1, ms. 346] Beberapa bulan kemudian berlaku penghijrahan yang kedua ke Habasyah yang terdiri dari lebih kurang lapan puluh tiga orang lelaki, sebahagian mereka bersama ahli keluarga masing-masing. [Sirah Ibn Hisyam, jld. 1, ms. 352]

Terdapat beberapa pengajaran penting di sebalik peristiwa hijrah ke Habasyah yang sebenarnya dapat kita manfaatkan pada zaman kini. Insya-Allah melalui risalah ini saya akan menerangkan tujuh daripada pengajaran tersebut .

Pengajaran # 1: Plan A, Plan B.

Faktor utama yang menyebabkan penghijrahan ke Habasyah ialah penindasan kaum musyrik ke atas umat Islam di Mekah. Syaikh Mahmud Syakir menerangkan:

Sebab utama yang menyebabkan kaum muslimin hijrah ke Habasyah ialah tekanan dan intimidasi luar biasa daripada pihak musyrikin Quraish. Selain itu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam juga khuatir kaum musyrikin Quraish akan menggunakan kekuatan fizikal untuk memaksa mereka yang telah masuk Islam agar meninggalkan agama yang baru mereka peluk. Kelihatannya inilah yang menjadi sebab utama hijrahnya sahabat-sahabat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam ke negara Habasyah. Saat memberikan keterangan latar belakang hijrahnya sahabat-sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, semua buku rujukan sejarah Islam menyatakan hal yang baru saja diungkap. [Mausu‘ah Ghuzwat al-Rasul (edisi terjemahan oleh Abdul Syukur Abdul Razzaq atas judul Ensiklopedi Peperangan Rasulullah; Pustaka al-Kautsar, Jakarta, 2005), ms. 29]

Apabila menghadapi penindasan kaum musyrik Mekah, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak bersikap buntu atau mengalah. Sebaliknya baginda aktif memikirkan jalan keluar untuk menyelamatkan agama umatnya. Plan A ialah tetap tinggal di Mekah. Akan tetapi memandangkan Plan A sukar dilaksanakan, baginda merangka Plan B yang merupakan penghijrahan ke Habasyah.

Di sini terdapat pengajaran yang penting kepada umat Islam. Jika kita menghadapi sesuatu halangan dalam beragama atau berdakwah, jangan bersikap buntu atau mengalah, mahu pun asyik menyalahkan pihak lain. Sebaliknya hendaklah aktif memikir jalan keluar yang membolehkan kita tetap berpegang kepada agama yang dicintai ini dan terus melaksanakan dakwah.

Pengajaran # 2: Peka Kepada Suasana Antarabangsa.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam hidup pada zaman yang masih belum mengenal surat khabar, televisyen, telex, fax, satelit, internet, talifon, sistem pesanan ringkas (SMS) dan apa-apa lain alat komunikasi. Di sebalik semua ini, baginda tetap peka kepada suasana antarabangsa dan tahu kepada negara manakah, kepada pemimpin manakah, baginda hendak menghantar umat Islam bagi mendapatkan perlindungan.

Ketika melihat umat Islam ditindas oleh kaum musyrik Mekah, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda kepada mereka: “Sesungguhnya di bumi Habasyah terdapat seorang raja yang tidak dizalimi seorang jua orang yang berada di bawah pemerintahannya. Ia adalah negara yang benar, hingga Allah memberi jalan keluar bagi penindasan yang kalian alami.” [Sanad Hasan: Dikeluarkan oleh Ibn Ishaq dan sanadnya dinilai hasan oleh Dr. Akram Dhiya’ al-‘Umari dalam al-Sirah al-Nabawiyyah al-Shahihah (Maktabah al-‘Abikan, Riyadh, 1998), jld. 1, ms.170]

Raja yang dimaksudkan oleh baginda, namanya Ashama bin Bahr. Di Habasyah, raja digelar sebagai Najasyi sebagaimana di negara Mesir, raja di gelar sebagai Firaun. [Ibn Katsir – al-Sirah al-Nabawiyyah (edisi terjemahan oleh Trevor Le Gassick atas judul The Life of the Prophet Muhammad; Garnet Publishing, United Kingdom, 1998), jld. 2, ms, 18.]

Beliau ialah satu-satunya anak bagi ayahnya yang juga merupakan Najasyi sebelum itu. Akan tetapi rakyat memberontak, membunuh ayahnya dan mengangkat pakciknya menjadi Najasyi. Ashama bin Bahr dijual di pasar sebagai hamba dengan harga enam ratus dirham. Pada petang hari Ashama dibeli oleh seorang pedagang, pakciknya mati disambar kilat. Ini menyebabkan negara Habasyah menjadi hiruk pikuk.

Maka sebahagian daripada mereka berkata kepada sebahagian yang lain: “Belajarlah! Demi Allah, sesungguhnya raja kalian yang mampu mengurus persoalan ini ialah raja yang kalian jual pagi tadi. Jika kalian masih mempunyai perhatian terhadap urusan Habasyah, carilah dia.” Maka mereka mencari Ashama bin Bahr dan mengangkatnya sebagai Najasyi. Sejak dari itu beliau memerintah dengan adil dan keadaan di Habasyah kembali aman. [Sirah Ibn Hisyam, jld. 1, ms. 358-359]

Keadilan Najasyi Ashama bin Bahr terserlah dalam layanan beliau kepada umat Islam yang datang berhijrah ke negaranya. Umat Islam yang berhijrah menceritakan: “Kami berlabuh di Habasyah di mana kami berjiran dengan sebaik-baik jiran. Agama kami, ibadah kami kepada Allah berada dalam keadaan aman. Kami tidak ditindas dan kami tidak mendengar apa-apa (perkataan buruk) yang kami membencinya.” [Thabaqat Ibn Sa‘ad, jld. 1, ms. 159]

Tidak diketahui bagaimana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengetahui perihal Najasyi Ashama yang adil di Habasyah. Kemungkinan besar baginda mendengarnya dari khabar para pedagang yang pernah ke sana. Apa pun, yang penting baginda tetap peka kepada suasana antarabangsa sehingga mampu mengetahui negara manakah yang akan menjamin keamanan umatnya.

Pada masa kini, umat Islam tidak begitu peka kepada suasana antarabangsa, termasuklah suasana dunia Islam. Pengetahuan tentang ini adalah penting supaya seandainya ada umat Islam yang ditindas, kita dapat menghulurkan bantuan dan mendoakan mereka. Suasana umat Islam di Palestin, Iraq, Afghanistan dan sebagainya memerlukan perhatian kita. Mereka semua ialah saudara seagama dengan kita. Mereka bukanlah “rakyat negara lain” tetapi umat Islam yang hanya dipisahkan oleh garisan sempadan di atas peta.

Pengajaran # 3: Dibolehkan Meminta Perlindungan Kaum Bukan Islam Jika Dalam Suasana Terpaksa.

Satu ciri penting tentang Najasyi Ashama bin Bahr yang belum saya ceritakan ialah agamanya. Beliau dan rakyatnya beragama Kristian. Ketika Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menyuruh umat Islam untuk berhijrah ke Habasyah, Najasyi Ashama bin Bahr beragama Kristian.

Umat Islam pada dasarnya tidak dibolehkan meminta perlindungan daripada umat agama lain. Umat Islam hendaklah saling membela dan melindung, kecuali dalam suasana terpaksa di mana mereka perlu meminta perlindungan kaum bukan Islam. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman, maksudnya:

Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi pelindung dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah dia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diri-Nya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali. [‘Ali Imran 3:28]

Dr. Mahdi Rizqullah Ahmad menjelaskan:

Kaum muslimin diperbolehkan mencari perlindungan kepada orang-orang bukan Islam apabila memang sangat diperlukan. Dalam hal ini tidak ada kategori orang bukan Islam khusus yang boleh kita minta perlindungan. Ertinya, kita boleh mencari perlindungan kepada siapa saja, baik seorang penguasa beragama Kristian seperti Najasyi atau kepada orang-orang musyrik seperti (tindakan) beberapa kaum musyrikin Mekah yang memberi perlindungan kepada beberapa orang Islam. Seperti Abu Thalib yang melindungi Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan Muth‘im ibn ‘Adi yang melindungi Rasulullah ketika kembali dari Thaif. [al-Sirah al-Nabawiyyah fi Dhau‘i al-Mashadir al-Ashliyyah: Dirasat Tahliliyyah (edisi terjemahan oleh Yessi Basyaruddin atas judul Biografi Rasulullah; Qisthi Press, Jakarta, 2006), ms. 252]

Umat Islam yang berhijrah ke Habasyah bukan sahaja meminta perlindungan dari seorang raja Kristian, mereka juga mendoakan kemenangan beliau. Ketika mereka di sana, sebahagian rakyat Habasyah ada yang bangkit memberontak ke atas pemerintahan Najasyi Ashama bin Bahr. Najasyi Ashama sendiri turun bersama pasukannya untuk melawan pemberontakan di tebing sungai Nil. Umm Salamah radhiallahu 'anha menerangkan: “Kami (umat Islam di Habasyah) berdoa kepada Allah Ta‘ala agar memenangkan Najasyi atas musuhnya dan memberikan keamanan kepada negaranya.” Setelah itu ternyata kemenangan berpihak kepada Najasyi. [Sirah Ibn Hisyam, jld. 1, ms. 358]

Mengulas fenomena ini, Syaikh Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi berkata:

Saat Najasyi diserang musuhnya, maka umat Islam yang berhijrah ke Habasyah membantunya (dengan doa dan sokongan) sebagai pengakuan atas kebaikan sikapnya kepada orang-orang tertindas yang berhijrah ke (negara)nya dan sebagai balasan atas kebaikannya. Hal ini (doa dan sokongan) sesuai dengan ajaran-ajaran moral dalam Islam dan sesuai dengan akhlak umat Islam. [al-Sirah al-Nabawiyyah (edisi terjemahan oleh M. Halabi Hamdi atas judul Sejarah Lengkap Nabi Muhammad; Mardhiyah Press, Yogyakarta, 2005), ms. 143]

Oleh itu jika terdapat individu atau masyarakat bukan Islam yang dikenali dengan kebaikan dan keadilan dizalimi oleh pihak lain, dibolehkan bagi umat Islam mendoa dan mengharapkan keamanan bagi mereka. Jika seorang amoi diserang pencuri, kita patut menolongnya. Jika sebuah negara bukan Islam diserang oleh negara lain, kita patut membantah serangan tersebut. Tindakan seperti ini bukan bererti kita menyokong agama mereka, tetapi semata-mata kerana akhlak Islam yang mengajar umatnya untuk sentiasa menyokong keadilan.

Pengajaran # 4: Tetap Berdakwah Sekali Pun Dalam Suasana Terhimpit.

Ketika menganalisa peristiwa hijrah ke Habasyah, Dr. Muhammad Husein Haykal bertanya:

Amatlah berpatutan jika para pengkaji sirah Muhammad (shallallahu 'alaihi wasallam) bertanya tentang tujuan penghijrahan yang dilakukan oleh umat Islam di bawah suruhan Muhammad, adakah ia semata-mata untuk menyelamatkan diri daripada penindasan kaum musyrik Mekah atau adakah ia suatu strategi politik di mana Muhammad memiliki tujuan yang lebih besar di sebaliknya? [Hayat Muhammad (edisi terjemahan oleh Ismail Raji al-Faruqi atas judul The Life of Muhammad; Islamic Book Trust, Kuala Lumpur, 1993), ms. 97]

Tidak dinafikan bahawa tujuan utama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menyuruh umat Islam berhijrah ke Habasyah ialah untuk memelihara agama mereka daripada penindasan kaum musyrik Mekah. Walaubagaimana pun keluasan wawasan kepimpinan baginda menyebabkan kita bertanya, mungkinkah ada sesuatu lain yang ingin dicapai oleh baginda?

Sudah tentu ada. Salah satu daripadanya ialah baginda ingin mengembangkan dakwah Islam kepada Habasyah dan kepada Najasyinya, Ashama bin Bahr. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yakin sikap adil Najasyi Ashama akan menyebabkan beliau menimbang dengan adil tentang Islam. Kejayaan dakwah Islam di benua Afrika akan membolehkan Islam memiliki pusat yang baru selain Semenanjung Arab.

Hakikat ini diketahui oleh para pembesar musyrik Mekah. Oleh kerana itulah, setelah mendapat tahu tentang penghijrahan umat Islam ke Habasyah, mereka mengutus ‘Abdullah bin Abu Rabi‘ah dan ‘Amr bin al-Ash bin Wail ke Habasyah untuk segera membawa balik kumpulan umat Islam yang berlindung di sana. Rombongan disertai dengan pelbagai hadiah menarik untuk merasuah Najasyi dan para menterinya.

Ketika sampai ke Habasyah, kedua-dua utusan terlebih dahulu berjumpa dengan para menteri Najasyi Ashama. Mereka berdua memberi hadiah kepada para menteri tersebut sebagai rasuah agar turut memujuk Najasyi Ashama untuk mengembalikan umat Islam ke Mekah. Para menteri bersetuju. Setelah itu kedua-dua utusan menghadap Najasyi Ashama. Mereka mendahului dengan memberi hadiah, kemudian meminta agar Najasyi Ashama mengembalikan umat Islam ke Mekah. Para menteri Najasyi Ashama menyatakan kesetujuan mereka dalam permintaan tersebut.

Walaubagaimana pun Najasyi Ashama tidak mudah terpedaya dengan hadiah dan permintaan kedua-dua utusan tersebut. Sebaliknya beliau memanggil umat Islam yang berlindung di negaranya untuk datang menghadap dan membela diri sendiri. Umat Islam memilih Ja’far bin Abu Thalib radhiallahu 'anh untuk menjadi jurucakap mereka. Ja’far dengan bijak menerangkan hakikat agama Islam dan menerangkan sikap kaum musyrik Mekah terhadap orang-orang yang memilih untuk memeluk Islam.

Setelah itu Ja’far membaca beberapa ayat awal dari surah Maryam. Najasyi Ashama dan paderi-paderinya yang turut hadir ketika itu segera mengakui kebenaran Islam lalu menangis sehingga membasahi janggut mereka. Akhirnya Najasyi menolak kedua-dua utusan tersebut dan mengembalikan hadiah-hadiah mereka. Beliau terus menyatakan jaminannya untuk melindungi umat Islam yang berada di negaranya. [Sirah Ibn Hisyam, jld. 1, ms. 353-358]

Perhatikan keberanian umat Islam, khasnya Ja’far bin Abi Thalib radhiallahu 'anhum dalam peristiwa di atas. Sekali pun mereka dalam keadaan terhimpit dan dalam keadaan simpati di bawah perlindungan orang bukan Islam, mereka tetap berani menerangkan tentang Islam. Usaha dakwah Ja’far bin Abi Thalib dan umat Islam membuahkan kejayaan. Najasyi Ashama bin Bahr akhirnya memeluk Islam. Bahkan beliau juga menjadi pendakwah Islam dan ini tidak lain tidak bukan kepada ‘Amr bin al-Ash sendiri, salah seorang daripada dua utusan musyrik Mekah yang datang menghadapnya sebelum itu.

Ia berlaku kira-kira sepuluh tahun kemudian, selepas Perang Khandaq. Dalam peperangan yang berlaku pada tahun lima hijrah tersebut, kaum musyrik kalah di tangan umat Islam. Setelah peperangan, ‘Amr bin al-Ash yang masih musyrik saat itu pergi berjumpa dengan Najasyi Ashama bin Bahr di Habasyah. Dia, bagi pihak kaumnya, merancang untuk meminta perlindungan beliau seandainya umat Islam mengalahkan mereka di Mekah.

Tatkala sampai di istana, dia berselisih dengan seorang utusan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang bernama ‘Amr bin Umayyah al-Damriy radhiallahu 'anh. ‘Amr bin al-Ash meminta kepada Najasyi Ashama untuk mengizinkannya membunuh ‘Amr bin Umayyah. Najasyi Ashama segera memarahinya, lantas menerangkan tentang Islam dan kebenaran Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam sebagai seorang Rasul Allah. Mendengar dakwah itu, ‘Amr bin al-Ash akhirnya memeluk Islam di tangan Najasyi Ashama. Beliau kemudiannya pergi ke Madinah untuk berjumpa dengan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan menyatakan keislaman beliau di hadapan baginda. [Syaikh Muhammad Yusuf al-Khandhlawi – Hayat al-Shahabah (Dar Ibn Katsir, Damsyik, 2000), jld. 1, ms. 290-291]

Pengajaran # 5: Solat Jenazah Ghaib.

Najasyi Ashama bin Bahr meninggal dunia pada tahun sembilan hijrah. [Ibn Hajar al-‘Asqalani – Fath al-Bari bi Syarh Shahih al-Bukhari (Dar al-Fikr, Beirut, 2000), jld. 7, ms. 588] Apabila hal ini dikhabarkan kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, baginda bersabda, maksudnya: “Pada hari ini seorang lelaki yang soleh telah meninggal dunia. Maka berdirilah dan bersolatlah untuk saudara kamu: Ashama.” [Shahih al-Bukhari, hadis no: 3877 (Kitab Manaqib al-Anshar, Bab kematian Najasyi)]

Sekali pun Rasulullah dan para sahabatnya berada di Madinah pada saat itu, mereka melaksanakan solat jenazah kepada Najasyi Ashama bin Bahr yang mayatnya berada di Habasyah. Solat jenazah dilakukan seperti biasa, hanya tidak ada jenazah yang diletakkan di hadapan imam. Ini dikenali sebagai solat jenazah ghaib.

Terdapat perbincangan di kalangan para ilmuan tentang hukum solat jenazah ghaib. Para ahli fiqh Mazhab al-Syafi’e dan Hanbali membolehkannya manakala para ahli fiqh Mazhab Maliki dan Hanafi tidak membolehkannya. Mereka berpendapat ia hanya satu-satunya kes khusus yang berlaku kepada Najasyi Ashama bin Bahr.

Pendapat yang dipilih ialah di pertengahan antara dua di atas. Jika seorang muslim meninggal dunia di lokasi yang terdapat orang yang melaksanakan solat jenazah ke atasnya, maka umat Islam di tempat lain tidak perlu melaksanakan solat jenazah ghaib. Umat Islam di tempat lain cukup mendoakan keampunan dan rahmat Allah kepada yang telah meninggal dunia. Sebaliknya jika di lokasi tersebut tidak ada orang Islam yang melaksanakan solat jenazah, maka umat Islam di tempat lain boleh melaksanakan solat jenazah ghaib ke atas orang yang meninggal dunia itu. Demikian pendapat yang dipilih oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin. [Syaikh Kamal bin al-Sayyid Salim – Shahih Fiqh al-Sunnah (al-Maktabah al-Taufiqiyyah), jld. 1, ms. 648-649]

Pengajaran # 6: Tidak Perlu Merebut Mayat Jika Suasana Tidak Mengizinkan.

Perhatikan bahawa apabila Najasyi Ashama bin Bahr meninggal dunia di Habasyah, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak mengutus sesiapa untuk pergi mengambil mayatnya untuk dikebumikan di Madinah. Padahal pada tahun sembilan hijrah, umat Islam sudah memiliki kestabilan dan kekuatan yang cukup untuk pergi ke Habasyah dan merebut mayat Najasyi Ashama.

Sebaliknya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam membiarkan jenazah Najasyi Ashama dikebumikan mengikut aturcara Kristian dan disemadikan di kawasan perkuburan orang Kristian. Baginda mengetahui bahawa di sebalik itu semua, di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala, Najasyi Ashama tetap seorang muslim, akan melalui Alam Barzakh sebagai seorang muslim dan akan bangkit di Hari Akhirat kelak sebagai seorang muslim.

Mengurusi jenazah seorang muslim mengikut aturcara Islam adalah satu kewajipan, akan tetapi Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengetahui jika direbut mayat Najasyi Ashama dari Habasyah, ia akan menimbulkan mudarat yang besar berbanding manfaat. Ini kerana majoriti rakyat Habasyah ketika itu beragama Kristian dan baginda masih mengharapkan usaha dakwah Islam berjaya di sana. Harapan ini akan musnah jika masyarakat Habasyah memiliki pandangan buruk terhadap Islam yang telah “merebut mayat Najasyi mereka”.

Pada masa kini, fenomena merebut mayat berlaku di Malaysia. Ia adalah sesuatu yang perlu dipertimbangkan secara serius oleh umat Islam, khasnya pihak-pihak berwajib. Amat menghairankan apabila orang yang memeluk Islam dibiarkan begitu saja, akan tetapi apabila dia meninggal dunia kita sibuk hendak merebut jenazahnya. Saya memiliki risalah yang khas berkenaan hal ini berjudul Cadangan Terhadap Prosedur Merebut Mayat Bagi Orang Yang Diperselisihkan Keislamannya yang dimuatkan dalam Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 6) terbitan Jahabersa, Johor Bahru.

Pengajaran # 7: Hukum Pemimpin Yang Tidak Mampu Melaksanakan Syari‘at Islam.

Tidak diketahui secara pasti bilakah Najasyi Ashama bin Bahr memeluk Islam. Jelasnya beliau memeluk Islam sebelum tahun lima hijrah sebagaimana peristiwa keislaman ‘Amr bin al-Ash di atas. Seandainya beliau memeluk Islam selewat-lewatnya pada tahun lima hijrah lalu meninggal dunia pada tahun sembilan hijrah, bererti beliau beragama Islam minimum selama empat tahun.

Walaubagaimana pun dalam tempoh empat tahun tersebut, beliau tidak melaksana satu jua syari‘at Islam dalam pemerintahannya. Padahal dalam tempoh tersebut, banyak hukum-hukum Islam, baik ibadah, ekonomi, keluarga, politik dan sebagainya telah disyari‘atkan. Ini berlaku kerana rakyatnya yang majoriti beragama Kristian menentang Islam dan akan menentang beliau jika mereka mengetahui beliau ingin melaksanakan syari‘at Islam di atas bumi Habasyah.

Bukti bagi penentangan ini ialah peristiwa rakyatnya yang pernah memberontak kerana menganggap Najasyi Ashama telah memeluk Islam. Berhadapan dengan situasi ini, Najasyi Ashama menulis di atas sehelai kertas bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad ialah hamba Allah dan Rasul-Nya. Dia juga bersaksi bahawa ‘Isa bin Maryam ialah hamba Allah, Rasul-Nya, Ruh-Nya dan Kalimat-Nya yang ditiup kepada Maryam. Kertas itu kemudian dilipat dan simpan di dalam kocek bajunya di bahagian kanan dadanya.

Najasyi Ashama seterusnya keluar menemui rakyatnya sambil bertanya: “Wahai orang-orang Habasyah! Bukankah aku orang yang paling berhak ke atas kalian?”

Mereka menjawab: “Benar!”

“Bagaimana kalian melihat sejarah hidupku di kalangan kalian?”

“Sejarah yang baik.”

“Jika begitu mengapa?”

“Engkau telah keluar dari agama kami dan menyakini ‘Isa ialah hamba (Allah).”

“Apa yang kalian katakan tentang ‘Isa?”

“ ‘Isa ialah anak Allah.”

Najasyi Ashama kemudian meletakkan tangannya di dada kanannya seraya berkata, yakni dengan bersaksi ‘Isa ialah anak Maryam dan tidak lebih dari itu, seperti apa yang dia tulis pada surat yang berada dalam kocek bajunya, yang kini berada di bawah tangannya. Mendengar dan melihat sedemikian, orang-orang Habasyah bersurai. [Sirah Ibn Hisyam, jld. 1, ms. 360]

Penentangan yang dihadapi oleh Najasyi Ashama daripada rakyatnya, seandainya mereka mengetahui beliau telah memeluk Islam, adalah hebat. Apatah lagi jika mereka perhatikan dia cuba untuk melaksanakan syari‘at Islam dalam pemerintahannya. Sudah tentu akan ada penentangan yang lebih hebat. Justeru Najasyi Ashama tidak melaksanakan satu jua daripada syari‘at Islam dalam pemerintahannya.

Hakikat ini tidak menyebabkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menghukum beliau sebagai kafir. Bahkan apabila beliau meninggal dunia, Rasulullah tetap melaksanakan solat jenazah secara ghaib sambil berkata: “Pada hari ini seorang lelaki yang soleh telah meninggal dunia. Maka berdirilah dan bersolatlah untuk saudara kamu: Ashama.”

Peristiwa ini memiliki pengajaran yang bernilai di sebaliknya, iaitu jika seseorang itu tidak melaksanakan sesuatu syari‘at Islam kerana ketidakmampuannya, maka dia tidak dihukum kafir. Selagi mana dia jujur benar-benar tidak mampu, Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak akan menghukuminya. Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah menerangkan pelajaran ini dari peristiwa Najasyi Ashama:

Meski pun Najasyi seorang raja Nasrani, kaumnya tidak mahu tunduk kepadanya untuk masuk Islam. Yang ikut sertanya untuk masuk Islam hanya segelintir orang. Oleh kerana itu ketika beliau meninggal dunia, tidak seorang jua yang mensolatkan (jenazah)nya. Maka Nabi shallallahu 'alaihi wasallam mensolatkannya di Madinah dan orang-orang Islam turut keluar bersama membentuk saf-saf untuk mensolatkannya (di Madinah). Apabila mereka mengkhabarkan tentang kematian beliau pada hari kematiannya, baginda bersabda: “Sesungguhnya saudara kamu yang shalih daripada Habasyah (Etophia) telah meninggal dunia”.

Padahal banyak daripada syari‘at Islam, atau kebanyakan daripadanya, tidak satu jua yang dilaksanakan olehnya. Beliau tidak berhijrah, berjihad, melaksanakan Haji ke Baitullah, bahkan diriwayatkan beliau juga tidak mendirikan solat lima kali sehari, tidak berpuasa pada bulan Ramadhan dan tidak mengeluarkan zakat yang disyari‘atkan. Semua ini kerana (amalan-amalan tersebut) akan menzahirkan (status Islamnya) kepada kaumnya dan mereka akan mengingkarinya. Dan beliau tidak mungkin untuk berselisih dengan mereka. Kita mengetahui secara pasti bahawa tidak mungkin baginya untuk menerapkan hukum al-Qur’an di kalangan mereka (rakyatnya)……

…… (Selain itu) banyak juga orang yang menjadi qadhi dan imam (pada zaman pemerintahan) Islam dan (pada zaman penjajahan) Tartar, yang adil dan ingin memutuskan sesuatu perkara secara adil (yakni berdasarkan syari‘at Islam), akan tetapi itu tidak mungkin bagi mereka. Bahkan ada orang yang menghalangi mereka dan sesungguhnya Allah tidak membebankan satu jiwa melainkan menurut kemampuannya. ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz juga dimusuhi dan dihukum kerana sebahagian perkara yang dia tegakkan secara adil. Bahkan ada yang mengatakan, dia diracun kerana pengadilan tersebut.

Najasyi dan orang-orang lain yang semisal keadaannya dengan beliau adalah orang-orang yang berbahagia di dalam syurga, meski pun mereka tidak melaksanakan syari‘at Islam (pada zaman kepimpinan mereka). Ini kerana memang mereka tidak mampu melaksanakannya. Mereka sekadar memutuskan sesuatu perkara mengikut apa yang mereka mampu laksanakan. [Majmu’ al-Fatawa (Dar al-Wafa’, Kaherah, 2001) jld. 19, ms. 218-219]

Demikian tujuh pengajaran yang ingin saya kongsi bersama para pembaca sekalian berkenaan hijrah sebelum hijrah, iaitu penghijrahan ke Habasyah yang berlaku lapan tahun sebelum penghijrahan ke Madinah. Seandainya kita mengkaji peristiwa hijrah ke Habasyah dengan lebih mendalam, nescaya ditemui pengajaran-pengajaran bermanfaat yang lain. Namun memadailah dengan tujuh pengajaran buat masa ini.

Sumber: Artikel ini diterima daripada/dikirimkan oleh Kapten Hafiz Firdaus Abdullah, kepada saya melalui email supaya (disarankan) disebarkan & dimanfaatkan.

Jumaat, Januari 04, 2008

Yang Telanjang Itu Menawan???

Yang Telanjang Itu Menawan???

http://an-nawawi.blogspot.com

Semester baru universiti sudah pun bermula. Maka, penuhlah sekitar bandaraya Anggerik Shah Alam ini terutamanya di sekitar kawasan Seksyen 7. Saya adalah salah seorang yang menetap di kawasan ini bersama sahabat-sahabat dan masyarakat penduduk yang lain.

Hampir setiap waktu, dari pagi, tengah hari, petang dan sehinggalah ke tengah malam, kawasan ini dipenuhi dengan kebanyakannya/majoritinya adalah pelajar-pelajar dari universiti berhampiran. Adakalanya terasa sungguh meriah kawasan ini kerana dipenuhi dengan manusia. Tetapi adakalanya juga terasa begitu menyesakkan dan merimaskan suasana. Mana tidaknya, semua lokasi dipenuhi dengan gerak-aktiviti mereka. Dari kedai photostat, restorant, kedai makan, pusat komputer, klinik, dan pusat membeli belah hampir semuanya disibuki dengan aktiviti peribadi pelajar yang berkampung di kawasan ini. Maklumlah, tentu sekali masing-masing memiliki keperluan, namun tidak kurang juga mereka yang sengaja berjalan-jalan memenuhkan ruang tanpa keperluan... pendek kata, “merewang”...

Namun, itu sudah menjadi perkara yang normal dan biasa di mana-mana pun tempat yang membangun yang bernama bandar/urban/kotaraya. Sebenarnya ada lagi perkara yang lebih “menarik” perhatian. Bukannya kesibukan dan keramaian mereka semata-mata. Tetapi, adalah identiti, penampilan dan gaya yang mereka tunjukkan dan peragakan ketika menyibukkan diri di sekitar kawasan ini. Maka, sekali lagilah saya ingin menyentuh tentang perempuan, terutamanya dari golongan pelajar dan mahasiswi.

Kalau sebelum ini mungkin dalam tulisan yang terdahulu ada menyentuh berkenaan persoalan wanita yang tempatnya adalah sepatutnya di rumah dan jauh dari hiruk-pikuk dunia luar, tetapi nampaknya wanita zaman ini semakin sukar dikawal dan mengawal diri. Mereka lebih suka bebas meninggalkan kediaman masing-masing lalu mencari kepuasan buat diri mereka di luar. Maaf, kepada yang tidak terlibat. Artikel ini saya utarakan adalah berputar sekitar mereka yang berkaitan sahaja. Yang tidak berkaitan (yang baik-baik), janganlah terasa.

Adalah suatu yang normal, apabila seseorang anak kecil itu meningkat remaja, lalu mendapat kelonggaran untuk meninggalkan ibu bapa mereka lantaran tawaran masuk ke universiti, perasaan sedikit kebebasan itu amat dirasai. Lalu, lama kelamaan andainya perasaan dan naluri jiwa itu tidak dikawal, ia mengakibatkan manusia lupa akan batas kebebasan yang sewajarnya. Lalu, tanggungjawab asas masing-masing pun mula terabai. Ini merangkumilah tanggungjawab kepada diri sendiri, ibu bapa dan juga Tuhannya.

Berbalik kepada tajuk, apakah benar yang bertelanjang itu menawan? Hakikatnya, inilah yang ingin saya utarakan dan lontarkan kepada anda para mahasiswi terutamanya di mana pun berada. Apakah ketelanjangan itu identiti dan “grand trend” wanita masa kini? Inilah yang sebenarnya menyesakkan dan merimaskan mata-mata dan hati-hati manusia terutamanya lelaki tidak kira sama ada mereka itu terdiri dari golongan pelajar, pekerja kilang, pekerja kontrak, tukang paip/plumber, jurutera DNA, pakar komputer, polis, pak guard/security, ustaz, tukang jaga cyber kafe, mahupun penganggur! Hati mereka pasti gusar melihatkan dan memerhatikan trend wanita telanjang masa kini. Kerana, itu adalah fitrah mereka (untuk merasa terangsang) yang telah Allah berikan kepada mereka.

Mana tidaknya, kalau wanita-wanita yang berjalan ke sana dan ke mari ini berpenampilan hampir seperti seseorang dari team skuad renang dunia tetapi bukan untuk berenang. Ini dibuktikan!, pakaian mereka memang habis ketat, dari hujung kaki sampailah ke hujung mana entah. Kepalanya sudah tentu juga bertelanjang kebanyakkannya. Al-hamdulillah, walaupun ada di antara mereka yang masih berpakaian ketat dan sendat seumpama baju selam laut dalam dan renang, masih ramai yang tidak meninggalkan tudung atau tidak menelanjangkan kepala serta rambutnya. Namun, itu bukan juga lesen sebagai bukti bahawa anda sudah cukup syarat menutup apa yang sepatutnya ditutup. Tetapi, itu hanya menunjukkan yang anda ini tidak pandai berfesyen!

Ada pula sebahagiannya memotong/memendekkan habis kain-kain mereka lalu menelanjangkan betis-betis mereka sehinggalah ke peha-peha mereka. Bukan sekadar itu, sebahagiannya yang lain pula, memakai seluar agak panjang, namun, di atas nya pula sengaja ditelanjangkan, lalu dengan megah dan sengaja membanggakan barangan milik bakal anak-anak mereka untuk menghilangkan dahaga itu ditonjolkan keluar sebahagiannya.

Mana tidak menyesakkan hati, mata dan jiwa raga manusia bernama lelaki memandang atau terpandang akannya. Pasti mereka tertawan dan tidak senang duduk jadinya. Biji mata pun jadi tidak tenteram gerakannya. Biarpun mereka tukang paip, pekerja kilang, mahupun mungkin ustaz-ustaz sekalipun seperti yang saya sebutkan tadi. Peragaan mereka ini memang cukup menawan hati-hati lelaki yang gusar dan mudah luntur imannya. Orang-orang yang kuat imannya sebelum ini pun mungkin hangus imannya sekelip mata lantaran panahan dan silauan tubuh-tubuh anda itu. Apalagi yang tidak mementingkan iman dan agama!

Kalau kebiasaanya, dunia peragaan ini sedikit masa dahulu munculnya di dalam majalah-majalah hiburan, media-media massa atau elektronik, namun sekarang ini sudah live! di depan mata anda sendiri! Anda berpeluang melihatnya live! tanpa sensor. Malah tidak dikenakan sebarang bayaran cas atau segala yang berkaitan. Mereka gembira menjadi tontonan umum menelanjangkan diri mereka yang perasan cantik, menawan dan menggoda itu di kancah umum tanpa mengenakan sebarang bayaran. Apakah tubuh-tubuh mereka tidak punya nilai agaknya? Ataukah sebegitu murah sekali harga diri mereka untuk diratahi oleh si mata keranjang?

Penampilan mereka yang “vogue dan grand” itu memang “menawan sekali” dan ini amat diakui bukan sahaja dari kaca-mata seorang lelaki, tetapi juga dinyatakan oleh Kitab yang Agung. Ini lantas diambil kesempatan, oleh sebahagian pengeluar-pengeluar rancangan untuk kaca tv dengan memainkan isu ini, antaranya adalah dengan mengutarakan syarat untuk berlakon drama dan filem mahupun iklan 10 saat, ialah mesti sanggup bertelanjang. Sanggup membuka tudung, sanggup memendekkan kain dan seluar, serta sanggup melondehkan baju mahupun menyendatkan pakaian. Ini adalah bagi tujuan menyingkapkan/menunjukkan apa yang tersorok dari “keindahan wanita” itu bagi melahirkan perasaan ghairah dan tarikan. Tidak lain, tujuannya adalah untuk menawan, mengghairahkan, dan mempersonakan para penonton di seantero dunia manusia. Dunia haiwan, tidak termasuklah, kerana haiwan sendiri sudah lama tidak berbaju! Berbulu sikit-sikit itu adalah...

Beginilah modes operandinya dan tampak kaedahnya... Sungguh hebat plan perniagaan jual tubuh ini dilaksanakan di seluruh dunia masa kini, dengan mengambil kesempatan melalui pesona mutiara tubuh-tubuh wanita. Sehinggalah akhirnya, perniagaan ini turut dilakukan oleh majoriti anak-anak gadis kita. Dan sebahagian besarnya tidak lagi perlu dibayar untuk tujuan itu. Mereka gembira dengan trend telanjang yang dipropagandakan itu. Kini mereka dari kaum-kaum wanita itu sendiri telah se-akan dirasuk lalu merasa bangga menelanjangkan diri sendiri. Sungguh perasan bahawa diri mereka memiliki tubuh yang hebat dan memiliki permintaan yang tinggi demi kepuasan si mata-mata keranjang.

Inilah kesibukan dan kesesakan yang menggusarkan hati-hati manusia. Jiwa mereka tertawan dengan fenomena wanita telanjang! Terdetiklah di hati-hati lelaki ingin disambar sahaja wanita-wanita yang lalu di depan mata. Ya, kerana mereka itu sungguh “menawan” hati-hati insan bernama lelaki sejati. Tak kira apa gelaran yang mereka sandang. Sehinggakan menteri pun sanggup melucutkan jawatan lantaran pesona wanita. Adun “parti Islam” pun pernah tertewas naik turun mahkamah kerananya. Hati lelaki mana yang tidak bergelojak nafsu dan naluri seksualnya melainkan mereka yang “kurang bernasib baik” sahaja.

Ya, identiti wanita telanjang memang “menawan” dan cukup memikat. Kalau tidak, masakan majalah-majalah dan media-media televisyen sanggup mengeluarkan pelaburan yang tinggi demi untuk memaparkan ketelanjagan wanita-wanita? Ini tidak lain untuk menawan dan memancing penonton di seantero tanah air dan mungkin juga ke peringkat dunia!

Kalau tidak menawan, mana mungkin dunia sindikit VCD lucah/blue mampu bermaharajalela di seluruh tanah air bernama malaysia. Kalau tidak kerana kandungannya adalah terdiri dari wanita-wanita telanjang dan lelaki-lekaki telanjang juga, mana mungkin insan-insan yang sudah “tertawan hatinya” untuk tidak sanggup berebut-rebut mendapatkannya. Dan mana mungkin mereka setia di kaca-kaca TV rumah mereka bagi menunggu racangan wanita telanjang kegemaran mereka. Mana mungkin mereka sanggup berjam-jam menatap skrin komputer mereka mencari-cari laman web lucah. Mana mungkin mereka sanggup berjaga malam keluar ke disko-disko bagi menatap aksi wanita telanjang ini, dan jika ada “nasib yang baik”, mungkin mereka mendapat peluang meratah tubuh wanita separa telanjang yang diidam-idamkan.

Hakikatnya, sekarang ini tidak lagi perlu ke disco-disco, tetapi cukup berjalan-jalan di sekitar kota dan bandaraya. Semua itu sudah terbuka dan menjadi percuma. Malah, kita amat “bernasib baik”, kerana mereka yang bertelanjang itu terdiri dari kalangan yang muda-muda lagi remaja, iaitu dari kalangan para pelajar/mahasiswi IPT yang dikatakan berpelajaran tinggi. Mereka yang dikatakan “masih hijau ranum” inilah yang “seronok” dan “mengghairahkan” untuk dipandang dan ditatap. Mereka yang “masih bergetah” inilah yang dikatakan mampu menaikkan jiwa muda setiap insan bernama lelaki.

Lalu, tidak hairanlah dan jangan disalahkan jika budaya rogol dan “mengambil kesempatan” ke atas wanita begitu berleluasa berlakunya di sekitar tanah air kita. Kerana memang wanita-wanita telanjang inilah yang dengan relanya telah “memberi kesempatan” dan menyemarakkan gelombang nafsu seksual kepada laki-laki bernafsu ini meratahi tubuh anda dari hujung jari kaki, sehinggalah ke hujung rambut anda. Maka, dari dunia peragaan umum di kancah kesibukan bandar dan kota, akhirnya mengakibatkan aksi ranjang/seksual di dalam semak, hotel, kereta, dan rumah-rumah kosong yang ditinggalkan penyewa.

Yang lebih mengeruhkan keadaan, akhirnya mengeluarkan produk anak luar nikah. Setelah kemaluan dan tubuh habis dirobek serta diratah, kini kekusutan bertambah-tambah lagi. Dunia pelajar entah ke mana, pengurusan diri pun sudah menjadi serabut.

Izinkan saya membuat perumpamaan, jika kita melihat jagung dan pisang yang masak ranum, mahu tidak mahu, kenalah dikupas untuk dimakan. Namun, jika sudah tidak berkulit, apa lagi yang hendak dikupas? Ngap! Je lah!... Tapi, kebiasaannya yang sudah tidak berkulit ni sudah terdedah kepada bermacam pathogen dan udara berbahaya... wallahu a’lam...

Maka, beringatlah wahai perempuan-perempuan semua. Ketahuilah bahawa anda bukanlah semurah itu untuk diratah secara percuma. Anda bukan bahan peragaan di pentas jalanan. Janganlah begitu mudah di-rasuki trend “ahli neraka Allah” dan “ahli syurga barat/dajjal si pendusta”.

Di dalam kitab Allah, Dia s.w.t. ada menyatakan:

"Hendaklah mereka (wanita) menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya) kecuali kepada mahram mereka.” (Surah an-Nuur 24: 31)

Dari sini Allah sudah menggariskan batas-batas peragaan/pemakaian yang perlu anda patuhi sebagai seorang wanita yang beriman dan baik-baik. Ini antaranya adalah kerana anda memang kumpulan yang mampu memukau dan menawan naluri lelaki-lelaki di luar sana. Lalu Allah s.w.t. atas sifat kasih sayangnya dan Maha Mengetahui, Dia menjaga anda dengan perintah seperti itu.

“...Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” (Surah an-Nuur 24: 31)

Dia s.w.t. juga memerintahkan kaum lelaki supaya menjaga pendangannya terhadap para wanita:

Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka lalukan." (an-Nuur 24: 30)

Ini menandakan, perempuan/wanita memang menawan! Kalau anda silap dalam percaturan dan mengabaikan perintah Allah dengan sesuka hati, mungkin anda adalah mangsa seterusnya yang akan diterkam oleh kumpulan lelaki-lelaki buas. Janganlah mudah-mudah melepaskan tubuh menawan anda kepada lelaki yang entah tidak keruan sifatnya. Janganlah dipamerkan tubuh-tubuh menawan anda itu di jalan-jalanan kerana keburukannya amat besar sekali. Ketahuilah, tubuh anda bukan semurah itu untuk dijaja dan ditayangkan free kepada semua orang.

Allah s.w.t. berfirman:

“Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka melabuhkan pakaiannya ke seluruh tubuh mereka." Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (al-Ahzaab 33: 59)

Menurut Sheikh Bakr Bin Abdullah Abu Zaid (Anggota Majlis Fatwa, al-Lajnah ad-Daimah Lil Buhuts al-Ilmiyah Wa al-Ifta’, Saudi Arabia) berkenaan ayat ini antaranya:

“Dengan demikian, ini merupakan pembeza antara mereka (wanita muslimah) dengan wanita-wanita Jahiliyyah/kafir yang suka mendedahkan aurat, sehingga mereka (wanita muslimah yang menutup aurat) tidak diganggu dan orang-orang yang di dalam hatinya memiliki penyakit (hawa nafsu) tidak timbul hasrat (terangsang) terhadap mereka. Ini adalah kerana, menutupnya (aurat) adalah merupakan tanda bahawa wanita-wanita tersebut sentiasa menjaga kesucian dirinya sehingga mampu menjauhi pelbagai gangguan. Ayat tersebut juga merupakan suatu perintah untuk menutup tubuh (dengan sempurna). Ini adalah kerana, wanita yang menutup tubuh (aurat), maka orang-orang yang di hatinya memiliki syahwat (bernafsu) akan dapat ditundukkan dari keinginan untuk menyingkap bahagian tubuh seseorang wanita. Jadinya, menyingkap hijab (membuka aurat) dari diri wanita mampu mendorong munculnya pelbagai gangguan dari orang-orang yang jahil. Sekaligus, ayat ini menunjukkan wajibnya menutup aurat (tubuh) bagi wanita. Hal ini adalah supaya mereka diketahui memiliki iffah (kesucian diri), terhindar, dan terjaga dari pengaruh orang-orang jahat dan yang mencurigakan. Juga agar mereka tidak terfitnah dan tidak menimbulkan fitnah bagi orang lain (wanita yang lain). Lalu kesannya, mereka pun tidak diganggu dan disakiti.” (Rujuk: Menjaga Kehormatan Muslimah, Daar an-Naba’)

Sebagai penutup, saya mengajak melalui tulisan ini supaya, kembalilah wahai wanita-wanita sekalian kepada fitrah yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Bukannya kepada pertunjangan fitrah nafsu dan hati semata-mata yang meninggalkan manual (tunjuk-cara) yang telah Allah berikan. Jika nafsu dan kehendak hati semata-mata yang menjadi pilihan anda, maka akan hilanglah kehendak tujuan syariat Allah terhadap anda. Hilanglah kesucian dan kebaikan yang sepatutnya menjadi milik anda dari anugerah Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Tidak lain, adalah kerana anda yang menolaknya/meminggirkannya.

“...kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu dan memperbaiki (dirinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (an-Nuur 24: 5)

Ayuh wanita, sedarlah! Pupuklah jiwa dan peribadi anda jadilah wanita yang solehah, bukan sekadar dalam urusan berpakaian, tetapi juga secara komprehensif mencakupi aspek-aspek yang lainnya bermula dari dasarnya yang mencakupi aspek keimanan, ketauhidan, dan syariat. Kerana anda adalah merupakan perintis/pendidik/pe-lahir/penerus/contoh kepada generasi soleh-solehah di masa hadapan.

“Kebahagiaan manusia ada tiga: Wanita yang solehah, tempat tinggal yang baik, dan kenderaan yang baik. Sedangkan kesengsaraan manusia ialah: Wanita yang buruk (perangainya), tempat tinggal yang buruk, dan kenderaan yang buruk.” (Hadis Riwayat Ahmad)

“Dunia itu seluruhnya adalah perhiasan, sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita/isteri yang solehah.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Do your best effort!...

Tahun Baru Pun boleh Jadi Tuhan

Tahun Baru Pun boleh Jadi Tuhan

http://an-nawawi.blogspot.com

Ketika suatu masa aku pernah bersama-sama meninjau-ninjau di pentas politik dan pentas tarekat "..." yang kononnya memperjuangkan agama... Tok-tok Guru yang mengajar agama menjadi tunjang perjuangan dan rujukan asas. Malahan ada ketikanya, seolah-olah dia seperti kitab wahyu bergerak! Sehinggakan apa sahaja kata tok guru, pasti disahihkan dan dilaksanakan. Seolah-olah tok guru itu adalah maksum (tidak mungkin melakukan kesalahan). Sampai ada ketikanya, tok guru dikritik hebat kerana beberapa kesilapan lantaran membawakan hadis palsu dan memaki pemerintah, maka dibelanya si tok guru bermati-matian... maklumlah... tok guru kan maksum...

Kalau pergi melihat ke pentas artis, waah! Grand giler artis-artis ini... rugi kalau aku tidak menjadi fan clun dia. Lalu dipujalah segala kehebatan si artis dari suaranya, penampilannya, gayanya, tubuhnya, sehinggalah kepada tarian geleknya. Serba-serbinya sungguh memukau, maka terpana lah setiap insan yang hatinya kekeringan dengan hiburan lantaran hilang pedoman. Maka, dituhankanlah si artis tadi. Sehingga apa yang tampak dari si artis itu, diikuti bagai seorang rasul dan nabi gamaknya. Semua bercita-cita mahu mencontohi artis yang tersebut...

Bila tiba tahun baru, aku terkejut. Ingatkan tok-tok guru dan geng-geng artis sahaja yang dijadikan tuhan dan rasul pujaan! Rupanya, “tahun baru” pun boleh ditukarkan menjadi tuhan! Mana tidaknya, bila tiba ambang mahu tahun baru sahaja, semua berjaga malam mahu menyembah kedatangan tahun baru! Maka, dipalulah segala gendang, gitar, piano, keybord, dan drum. Tahun baru terus dipuja dan diseru-seru! Berkumpul dan berjemaahlah manusia beramai-ramai ke medan kawasan masing-masing sama ada di stadium, di tengah lautan, di tepi pantai, sehinggalah di bilik-bilik hotel berduaan lelaki dan wanita, mahupun di depan kaca televisyen adanya... semuanya tidak lain... kerana mahu menyambut tuhan baru bergelar “Tahun Baru”...

Na’uzubillah...

Allah berfirman:

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” (adz-Dzariyah 51: 56)

“Dan Sesungguhnya Kami telah mengutus Dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut.” (an-Nahl 16: 36)

Menurut Sheikh Muhammad at-Tamimi, Thagut adalah setiap apa yang diagungkan selain Allah dengan disembah, ditaati, dipuja atau dipatuhi, sama ada yang diagungkan itu merupakan batu, manusia, ataupun syaitan. Menjauhi taghut bermaksud mengingkarinya dan membencinya dengan cara tidak menyembahnya dan memujanya dalam bentuk dan apa cara sekalipun. (Rujuk: Kitab Tauhid Permurnian Ibadah Kepada Allah, oleh Sheikh Muhammad at-Tamimi, terbitan Darul Haq, hal. 1)

“Dan hendaklah kamu beribadat/menyembah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa pun (jangan melakukan syirik)...” (an-Nisa’ 4: 36)

Syirik di sini membawa maksud memperlakukan sesuatu (selain Allah), sama dengan Allah dalam hal yang merupakan hak khusus bagi-Nya. Iaitu dengan menyembah dan memuja selain kepada Allah.

Wallahu a’lam...

Rabu, Januari 02, 2008

Memilih Suami Yang Soleh

Memilih Suami Yang Soleh

http://an-nawawi.blogspot.com

Melalui artikel yang lalu, saya ada membawakan berkenaan sekitar persoalan memilih isteri solehah di bawah tajuk “Memilih Calun Isteri Anjuran Raulullah s.a.w.”. Kali ini, insya-Allah saya akan cuba membawakan/membentangkan persoalan lelaki yang sewajarnya dipilih (atau yang menjadi keutamaan) menjadi suami.

Berdasarkan artikel yang lepas, ramai yang bertanya, masih wujudkah wanita seperti itu. Jawab saya melalui artikel ini, “Ya, masih wujud.” Kalau tidak wujud, anda sebagai wanita yang membacanya, perlulah berusaha mewujudkannya.

Dan andainya, dirasakan terlalu sukar untuk memenuhi kriteria yang saya cuba utarakan/sampaikan, tiada salahnya memilih yang terbaik di antara yang ada yang menghampiri kepada kriteria-kriteria yang dibawakan dalam artikel yang lalu. Secara kesimpulannya, dahulukanlah keutamaan agamanya dan yang mendekati ciri-ciri yang baik tersebut. – wallahu a’lam...

Untuk artikel kali ini, saya cuba membawakan beberapa ciri asas sahaja dan penjelasannya saya serahkan kepada anda untuk memikirkannya/menimbangkannya. Dalam persoalan memilih atau mencarikan suami untuk seseorang wanita, wali atau ibu bapa memainkan peranan yang penting sekali dalam hal ini. Ini adalah kerana, mereka berperanan sebagai perantara kepada anak-anak perempuan mereka dalam kebanyakan urusan. Di samping mendidik, menjaga, memelihara, para wali/ibu bapa juga berperanan untuk menikahkan anak gadis mereka masing-masing. Untuk itu, adalah penting untuk kita mengetahui bagaimana ciri-ciri asas seorang lelaki yang wajar dinikahkan kepada anak gadisnya menurut sisi garisan/pandangan Islam.

Kriteria Umum Seorang Suami Pilihan

Kriteria yang pertama adalah keutamaan kepada yang baik agamanya. Ini diukur kepada akidahnya dan bagaimana dia beramal dengan Islam. Adakah ia menjaga solatnya, akhlaknya, dan seumpamanya. Ini adalah berdasarkan hadis ini:

“Apabila orang yang kamu redha agama dan akhlaknya datang meminang, hendaklah kamu kahwinkannya. Sekiranya kamu tidak melakukannya nescaya akan timbul fitnah dan kerosakan di atas muka bumi.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi dalam kitab nikah, (no. 1080) daripada Abu Hatim al-Munzi)

Kemudiannya, hendaklah lelaki itu yang memiliki ciri-ciri kepimpinan yang baik bagi memimpin sebuah rumahtangga dan institusi kekeluargaan.

“Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka.” (an-Nisa’ 4: 34)

Ini adalah bagi menjamin antaranya keselamatan, kebahagian, nafkah (kewangan), dan pengurusan yang baik. Dalam persoalan lelaki sebagai pemimpin, lelaki dilebihkan dalam beberapa hal, antaranya adalah keupayaan fizikal yang melebihi wanita, dan kebolehan untuk bergerak dalam melaksanakan kerja/tugasan di luar.

Di samping itu, lelaki/suami juga perlulah berupaya mendidik keluarganya ke arah agama dan kehidupan yang baik. Ini adalah bagi menjamin kesejahteraan dalam berumahtangga, melahirkan zuriat yang soleh-solehah serta menjamin kebaikan di akhirat kelak. Oleh itu, bagi memiliki daya kepimpinan yang baik, suami juga perlulah memiliki ilmu yang sewajarnya bagi menjamin keluarga sentiasa dalam keadaan yang aman, harmoni dan bahagia.

Di dalam firman Allah s.w.t., maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya Malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan mereka selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (At-Tahrim: 6)

Di dalam ayat tersebut juga dinyatakan bahawa, suami atau seseorang individu itu bertanggungjawab untuk memastikan keluarga sentiasa dalam naungan agama yang sahih dan baik bagi menjamin keselamatan ahli keluarganya dari keburukan di akhirat.

Antara lain, para wali berperanan untuk memilihkan calon suami yang menepati kehendak anak perempuannya dan yang disukainya. Tidak begitu wajar, jika anak perempuan dipaksa untuk menikah dengan seorang lelaki yang tidak disuakainya. Dalam hal ini, para wali juga wajar mencarikan lelaki yang baik parasnya (yang disukai) di samping beberapa ciri yang sebelumnya.
Dalam hal ini, Ibnul Jauzi berkata:

“Disukai bagi yang ingin menikahkan anak gadisnya agar memilih pemuda yang bagus parasnya. Kerana kaum wanita juga menyukai apa yang disukai oleh kaum lelaki.” (Ahkaamun Nisaa’, hal. 203)

Ibu bapa dan para wali juga perlulah memerhatikan dengan siapakah anaknya dinikahkan. Ini adalah bagi memastikan anak gadisnya bernikah dengan orang yang tepat dan baik serta memastikan kehidupan rumahtangga yang bahagia di masa hadapan.

Dalam satu riwayat, ketika Fatimah binti Qais r.ha. datang kepada Nabi s.a.w. bagi mengkhabarkan bahawa Abu Jahm dan Mu’awiyah bin Abi Sufyan datang meminangnya, Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya: “Mu’awiyah adalah lelaki miskin tidak punyai harta, adapun Abu Jahm adalah lelaki yang suka memukul wanita, maka nikahlah dengan Usamah bin Zaid.” Fatimah mengisyaratkan dengan tangannya tanda menolak, yakni jangan Usamah, jangan Usamah!

Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya:

“Mentaati Allah dan Rasul-Nya adalah lebih baik bagimu.” Fatimah berkata: “Akupun menikah dengannya dan aku bahagia sekali.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menunjukkan supaya lelaki yang dipilih itu mampu memenuhi keperluan nafkah keluarga dan janganlah dinikahkan anak (wanita) itu dengan seseorang lelaki yang tidak pasti sama ada dapat melayani/menjaga anak gadisnya dengan baik atau tidak.

Selain itu, menurut imam Nawawi rahimahullah di dalam Syarh Sahih Muslim, beliau menyatakan tentang hadis ini bahawa:

“Adapun anjuran Nabi s.a.w. agar menikahi Usamah adalah kerana beliau mengetahui kadar agamanya, keutamaannya, keelokan perangai dan kemuliaannya. Maka Nabi menganjurkan agar menikah dengannya. Namun Fatimah tidak menyukainya kerana Usamah bekas budak dan warna kulitnya hitam. Maka Nabi s.a.w. terus menerus menganjurkannya agar menikah dengan Usamah. Kerana Rasulullah s.a.w. mengetahui kemaslahatannya bagi Fatimah. Dan ini terbukti.”

Terdapat suatu hadis yang lain yang menyatakan, lelaki dianjurkan dari kalangan yang mampu memberi nafkah yang baik/mampu.

“Wahai para pemuda, barangsiapa di antara kalian yang mampu menikah, maka menikahlah.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari, (no. 5066))

Dari ini juga membuktikan bahawa kesepadanan dan keselarasan dalam Islam adalah amat penting dan agama merupakan suatu asas yang paling utama mengatasi paras rupa dan kedudukan/harta.

Seterusnya, dianjurkan untuk seseorang wanita bernikah dengan lelaki yang sebaya usianya. Dan tidak digalakkan untuk seorang wanita menikah dengan seorang lelaki yang jauh lebih tua darinya atau berusia.

Diriwayatkan dari Buraidah bin al-Hushaib r.a. ia berkata: “Abu Bakar dan Umar r.a. datang meminang Fatimah r.ha..” Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ia masih kecil.”

Lalu Ali r.a. datang meminang dan Rasulullah s.a.w. menikahkan Fatimah dengannya.
(Diriwayatkan oleh an-Nasa’i dengan sanad yang hasan)

Dan imam an-Nasa’i juga telah meletakkan suatu bab di dalam sebuah kitabnya (as-Sunan ash-Shugra) atas tajuk “Menikahkan Wanita dengan Lelaki yang Sebaya Usia Dengannya.”

Seterusnya, para wali berhak untuk menikahkan atau menawarkan anak gadis beliau kepada pemuda yang baik-baik. Ini dikira dari sudut agamanya (kesolehan).

Dalam Fathul Bari (9/83), al-Hafiz Ibnu Hajar berkata:

“Seseorang dibolehkan untuk menawarkan anak gadisnya atau wanita yang berada di bawah tanggungjawabnya kepada lelaki yang diyakini baik dan soleh. Kerana hal itu akan membawa manfaat kepada yang ditawarkan dan seseorang tidak perlu merasa malu untuk melakukan hal itu. Dan juga diperbolehkan ia menawarkannya kepada lelaki soleh walaupun ia sudah beristeri.”

Malah, wanita itu dibolehkan untuk menawarkan dirinya (untuk dinikahi) kepada lelaki yang diketahui kesolehannya.

Ini berdasarkan kepada suatu riwayat, dari anas bin Malik r.a. ia berkata: “Seorang wanita datang menawarkan dirinya kepada Rasulullah s.a.w. Ia berkata: “Wahai Rasulullah, apakah engkau mempunyai keinginan untuk menikahiku?””

Puteri Anas berkata: “Betapa sedikit rasa malunya, alangkah buruk wanita ini, alangkah jelek wanita ini!”

Anas berkata: “Dia lebih baik daripada dirimu. Ia mencintai Rasulullah s.a.w. dan menawarkan dirinya kepada beliau.”
(Diriwayatkan oleh Bukhari, 3/246, an-Nasa’i, dan Ibnu Majah)

Dalam persoalan ini juga, imam Bukhari telah meletakkan satu bab bertajuk “Seorang Wanita Menawarkan Dirinya Kepada Lelaki Soleh”.

Akhir sekali, adalah dilarang wanita yang baik dan solehah, dinikahkan/bernikah dengan lelaki yang buruk atau seorang penzina.

Ini adalah berdasarkan Firman Allah s.w.t. ini,

“Laki-laki yang berzina tidak mengawini melainkan perempuan yang berzina, atau perempuan yang musyrik...” (an-Nuur 24: 3)

Secara keselurannya, sebagai kesimpulan, diajurkan para wali atau wanita untuk memilih calon suami yang baik agamanya (lelaki soleh) sebagai keutamaan, memiliki daya kepimpinan yang baik dalam persoalan kekeluargaan, memiliki kemampuan dari segi kewangan dan ilmu, dan memliki keterampilan/personaliti yang disenangi oleh si wanita. Perlu ditekankan, bahawa dalam banyak riwayat, ditunjukkan bahawa pengaruh agama itu lebih diberi keutamaan berbanding ciri-ciri yang lainnya. Malah, di dalam beberapa hadis menunjukkan bahawa ada lelaki yang miskin namun baik agamanya, adalah diberi kepercayaan/saranan oleh nabi s.a.w. sendiri.

Pilihlah yang baik agamanya sebagai priority...

“... jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha mengetahui.” (an-Nuur 24: 32)

Wallahu a’lam...