“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Khamis, September 30, 2010

Menghadapi Ragam Pemimpin Dengan Doa-doa Kebaikan

Menghadapi Ragam Pemimpin Dengan Doa-doa Kebaikan

Oleh: Nawawi B. Subandi
http://an-nawawi.blogspot.com

Dari hari ke sehari, fitnah politik yang melanda agak menyesakkan. Pelbagai isu berlaku dan masing-masing bertindak mahu menjadi juara pidato! Tidak kurang di antara mereka yang bertindak membelasah sesiapa sahaja yang tidak sealiran dengannya.

Namun, apa yang mahu saya ulas bukanlah menambahkan lagi kekeruhan dan kekusutan dalam sebuah pertembungan yang telah sedia berlangsung. Tetapi, saya mengajak untuk muhasabah diri dan kembali merenung prinsip-prinsip yang ditinggalkan oleh para ulama generasi awal dalam menghadapi pelbagai bentuk fitnah politik dan kepimpinan sesebuah negara.

Kemunculan pelbagai fitnah politik, kepelbagaian sikap pemimpin, serta sikap-sikap kepembangkangan dalam isu-isu kepimpinan bukanlah suatu yang asing dalam sejarah umat Islam. Bahkan ia telah dikhabarkan sendiri oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Persoalannya, apakah saranan dan tindakan yang diperintahkan oleh agama kepada kita semua dalam menghadapi mehnah politik tersebut? Jadi, itulah yang mahu kita lihat dan renung-renungkan.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (maksudnya): “Bahawasanya kamu nanti akan menemui atsarah (pemegang amanah (pemimpin) yang tidak memenuhi amanahnya). Maka bersabarlah sehingga kamu menemuiku di haudh.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 13/224, no. 3985. Muslim, 5/291, no. 1758)

Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menjelaskan: “Hadis ini mengandungi anjuran untuk mendengar dan taat kepada pemerintah, walaupun ia merupakan seorang yang zalim dan mementingkan dirinya. Maka berikanlah haknya (sebagai pemimpin) iaitu berbentuk ketaatan, tidak keluar dari mentaatinya, dan tidak menjatuhkannya. Tetapi (perbuatan yang perlu dilakukan oleh seseorang muslim adalah) dengan bersungguh-sungguh lebih mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala supaya Allah menghilangkan gangguan/siksaan darinya, menolak kejahatannya, dan supaya Allah memperbaikinya (kembali taat kepada Allah dengan meninggalkan kezalimannya).” (Syarah Shohih Muslim, 12/232)

Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) menyebutkan: “Aku telah menyebutkan di perbahasan yang lain bahawa punca kepada masalah yang berlaku kepada penguasa, kemudian para menterinya, hakim-hakimnya, dan para panglimanya bukan hanya perlu dilihat dari kekurangan diri mereka sahaja, akan tetapi kerana kekurangan para pemimpin dan rakyat sekaligus, kerana sebagaimana keadaan kamu, maka begitulah akan dijadikan pemimpin untuk kamu. Allah Ta’ala berfirman: “Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi teman/pemimpin bagi sebahagian yang lain.” (Surah al-An’am, 6: 129) Telah diketahui dan ditetapkan secara masyhur di selain tempat ini bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan supaya mentaati para pemimpin selagi mana bukan dalam urusan maksiat, (bertindak) menasihati mereka, bersabar di dalam menerima keputusan dan ketetapan mereka, berperang bersama-sama mereka, solat di belakang mereka, dan mengikuti mereka di dalam perkara-perkara yang baik yang tidak dilaksanakan melainkan oleh mereka.” (Majmu’ al-Fatawa, 35/20-21)

Demikian nasihat para ulama dalam menghadapi fitnah politik. Kita tidak seharusnya menyandarkan apa yang berlaku semata-mata ke atas tubuh badan pemerintah, tetapi sebaliknya perlu melihat secara keseluruhan dan bertindak dengan syar’i. Iaitu dengan memperbaiki pegangan agama kita dalam persoalan iman dan amal-amal soleh agar sentiasa selari dengan ketetapan nash-nash yang sahih. Seterusnya hendaklah sentiasa membantu dan bersama-sama pemimpin melaksanakan kebaikan serta saling menasihati, serta saling mendoakan kebaikan untuk pemimpin Islam dan umat Islam secara umum. Kerana kebaikan pemimpin itu amat bermanfaat kepada semua pihak.

Al-Hafiz Abu Bakar al-Ismaili rahimahullah (Wafat: 371H) berkata: “Dan mereka (ahli hadis) berpandangan disyariatkan berdoa untuk kebaikan para pemimpin umat Islam dan supaya mereka berubah untuk bersikap adil dan mereka juga berpandangan tidak boleh memberontak terhadap mereka dengan senjata dan hendaklah umat Islam tidak turut serta melibatkan diri dalam perselisihan ketika berlakunya fitnah (pertikaian di antara kaum muslimin) dan mereka juga berpandangan akan wajibnya memerangi golongan yang zalim yang dilakukan bersama-sama pemimpin yang adil apabila ditentukan kesesuaiannya di atas syarat yang mereka tetapkan dalam perkara tersebut.” (I'tiqad A'immatul Hadits, m/s. 75-76)

Imam al-Baihaqi rahimahullah (Wafat: 458H) meriwayatkan daripada Abu ‘Utsman, katanya: “Nasihatilah para pemimpin, banyakkanlah berdoa untuk kebaikan dan kebenarannya dalam beramal dan dalam ucapan serta ketika memutuskan hukuman. Maka, apabila mereka baik, maka akan baiklah rakyatnya. Berhati-hatilah kamu, jangan sampai mendoakan keburukkan atau melaknat mereka, kerana yang demikian itu hanya akan menambahkan keburukkan ke atas umat Islam. Tetapi, mintakanlah keampunan kepada Allah untuk penguasa semoga mereka meninggalkan perbuatan yang buruk yang dengannya akan dihilangkan musibah umat Islam pula.” (Syu’abul Iman, 6/26, no. 7401)

Menurut Imam al-Barbahari rahimahullah (Wafat: 329H): “Jika kamu melihat orang yang mendoakan keburukan kepada pemimpin, ketahuilah bahawa ia termasuk salah seorang pengikut hawa nafsu, namun apabila kamu melihat orang yang berdoa untuk kebaikan seseorang pemimpin, ketahuilah bahawa ia tergolong sebagai seorang ahli sunnah, insya-Allah. Fudhail bin Iyadh berkata, “Jika aku memiliki doa yang baik yang dimakbulkan, maka semuanya akan aku persembahkan (pohonkan) untuk pemerintah.” Beliau ditanya, “Wahai Abu Ali, jelaskan maksud ucapan tersebut?” Beliau berkata, “Bila doa itu hanya aku tujukan untuk diriku, maka ia hanya bermanfaat untuk diriku, tetapi apabila aku pohonkan untuk pemimpin dan ternyata para pemimpin berubah menjadi baik, maka semua orang dan negara merasakan manfaat dan kebaikannya.” Demikianlah kita diperintahkan supaya mendoakan mereka dengan kebaikan bukan keburukan, walaupun ia seorang pemimpin yang zalim lagi jahat. Kerana kezaliman dan kejahatan akan kembali kepada diri mereka sendiri manakala apabila mereka (pemimpin) menjadi baik maka mereka dan seluruh umat Islam akan merasakan kesan kebaikannya.” (Syarhus Sunnah, m/s. 83-84)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Doa seseorang muslim kepada saudaranya tanpa pengetahuan saudaranya tersebut adalah doa yang mustajab (dikabulkan). Di sisinya ada malaikat. Ketika dia berdoa kebaikan kepada saudaranya, malaikat tersebut mengatakan: “Amin, engkau akan mendapatkan yang sama dengannya.”.” (Hadis Riwayat Muslim, 13/271, no. 4914)

Begitulah sikap para ulama ahlus sunnah wal-jama’ah dalam berhadapan dengan fitnah politik dan ragam para pemimpin. Mereka tetap melaksanakan ketaatan kepada pemerintah sebagaimana saranan agama. Mereka tidak suka kepada pemberontakan sama ada yang dilakukan dengan lisan seperti menebar aib, menghina, mencaci, memaki hamun, menghambur kesalahan penguasa di media-media terbuka, dan memalukan pemerintah. Apatah lagi pemberontakan secara kekerasan seperti melakukan demonstrasi jalanan, provokasi, dan pelbagai lagi bentuk-bentuk lainnya yang hanya membawa kepada kesan yang jauh lebih buruk bukan sahaja kepada diri pelaku, malah kepada masyarakat umum seluruhnya. Tetapi pendirian mereka adalah dengan mengambil sikap menasihati, memperkuatkan kesabaran, sentiasa memperbaiki diri dengan ilmu, dan mendoakan dengan doa-doa kebaikan.

Dari itu, fahamilah perkara ini dengan ilmu yang syar’i di atas prinsip-prinsip yang benar sebagaimana dijelaskan oleh para ulama ahlus sunnah wal-jama’ah. Dan bukan dengan prinsip-prinsip para tokoh yang menyimpang sebagaimana kaum khawarij yang sering mengumandagkan prinsip-prinsip kepembangkangan dan pemberontakan saban waktu.

Diringkaskan dari dua artikel:

1 –
Bagaimana Ahlus Sunnah Mentaati Pemerintah.

2 –
Bagaimana Ahlus Sunnah Menasihati Pemerintah.

Ahad, September 26, 2010

Susu Ibu Lambang Kasih Sayang

Susu Ibu Lambang Kasih Sayang

Oleh: Abu Numair Nawawi B. Subandi


Kebanyakan para wanita bergelar ibu pada hari ini amat disibukkan dengan pelbagai urusan di luar rumah seperti untuk keluar bekerja dan seumpamanya. Dalam masa yang sama, masa yang sepatutnya diperuntukkan bagi keluarga dan anak-anak menjadi terhad dan berkurangan berbanding para wanita yang menjadi suri rumah sepenuh masa demi meluangkan masanya untuk penjagaan dan pendidikan anak-anaknya termasuk tanggungjawab ke atas urusan rumah-tangga di ketika ketiadaan si suami. Perkara ini mengakibatkan sesebuah institusi kekeluargaan tersebut menjadi sedikit berkurang dari sudut nilai sentuhan seorang wanita bergelar ibu. Lebih-lebih lagi buat anak-anak yang masih kecil yang benar-benar memerlukan belaian manja dan kasih-sayang sepenuh masa.

Di antara bentuk sentuhan kasih sayang yang sering dilupakan adalah menyusukan anak-anak berupa bayi seawal usia dua tahun pertama. Sebahagian para ibu di luar sana mengambil mudah urusan menyusukan anak-anak kecil mereka dengan menyerahkannya kepada pengasuh atau orang-orang gaji lalu membiarkan susu tepung atau susu formula mengambil alih tempat air susunya. Padahal, peranan ibu untuk menyusukan anak-anak dengan baik telah pun disentuh oleh al-Qur’an melalui ayat yang bermaksud:

“Para ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan.” (Surah al-Baqarah, 2: 233)

Firman Allah tersebut turun dalam bentuk perintah atau suruhan kepada para ibu supaya menyusukan anak-anak mereka dengan air susunya. Dengan itu, menyusukan anak-anak adalah salah satu bentuk kewajiban yang diperintahkan agama. Penyusuan yang dimaksudkan di dalam ayat tersebut adalah merujuk air susu ibu dan bukan dengan selainnya seperti dengan susu haiwan (atau susu formula).

Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) berkata:


هذا إرشاد من الله تعالى للوالدات أن يرضعن أولادهن كمال الرضاعة، وهي سنتان


“Ini adalah merupakan bimbingan dari Allah Ta’ala bagi para ibu supaya menyusukan anak-anak mereka dengan sempurna, iaitu sehingga dua tahun penuh.” (Tafsir al-Qur’an al-Adzim, 1/633)

Dalam ayat yang sama, seterusnya Allah Subahanahu wa Ta’ala menyebutkan (maksudnya):

“Dan sekiranya kamu mahu anakmu disusukan oleh orang lain (dengan sebab kamu tidak mampu), maka tiada dosa bagi kamu apabila kamu memberikan upah menurut kewajaran, dan bertakwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah bahawa Allah Maha Melihat apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Baqarah, 2: 233)

Ayat ini menunjukkan bahawa sekiranya ibu tidak mampu memberikan susunya, maka ia boleh meminta orang lain untuk menyusukannya dengan mengeluarkan upah tertentu. Menunjukkan bahawa susu badan tetap menjadi pilihan, dan bukan dengan susu-susu selainnya, bukan juga makanan-makanan yang selainnya. Dalam ilmu sains moden sendiri menunjukkan bahawa anak-anak kecil seawal usia kelahiran tidak mampu mencerna makanan selain dari susu ibu dengan sempurna. Keadaan ini mampu mengundang risiko kepada kesihatan anak-anak.

Perkara ini telah disebutkan sejak lama dahulu oleh Imam Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H) yang merupakan salah seorang tokoh ulama Ahlus Sunnah wal-Jama’ah terkenal dan dalam masa yang sama merupakan salah seorang tokoh yang banyak mengupas berkaitan persoalan perubatan di zamannya. Beliau berkata:


وينبغي أن يقتصر بهم على اللبن وحده إلى نبات أسنانهم لضعف معدتهم وقوتهم الهاضمة عن الطعام فإذا نبتت أسنانه قويت معدته وتغذى بالطعام فإن الله سبحانه أخر إنباتها إلى وقت حاجته إلى الطعام لحكمته ولطفه ورحمة منه بالأم وحلمة ثديها فلا يعضه الولد بأسنانه


“Sebaik-baiknya bayi hanya diberikan dengan air susu ibu sahaja sehingga gigi-giginya tumbuh, kerana pada ketika itu organ dan sistem penceranaannya masih lemah untuk menghadam makanan (selain dari air susu ibu). Jika gigi-giginya telah tumbuh bermakna organ penceranaan telah mula mantap dan sempurna untuk mencernakan makanan. Bahawasanya Allah Subhanahu wa Ta’ala telah melewatkan waktu pertumbuhan giginya sehingga ke waktu yang ia benar-benar memerlukan makanan disebabkan hikmah tertentu, sebagai bukti kelembutan, dan dengan sebab kasih sayang-Nya terhadap bayi serta si ibu.” (Tuhfatul Maudud bi Ahkamil Maulud, m/s. 231)

Beliau juga turut menyebutkan:


أحدها أن تمام الرضاع حولين وذلك حق للولد إذا احتاج إليه ولم يستغن عنه وأكدهما بكاملين


“Bahawa termasuk hak anak-anak kecil adalah mendapatkan susu ibu untuk tempoh sepanjang dua tahun pertama selagi mana ia memerlukannya. Perkara ini dikuatkan lagi dengan kata “penyusuan sempurna” dalam ayat tersebut (merujuk Surah al-Baqarah, 2: 233).” (Tuhfatul Maudud bi Ahkamil Maulud, m/s. 234)

Di antara hikmah bimbingan agama dalam perkara ini adalah dengannya para ibu dapat meluangkan sepenuh masanya untuk mendidik, menjaga, dan memberi kasih-sayang kepada si anak. Setiap penderitaan, pengorbanan, dan usaha bersungguh-sungguh yang dilakukan oleh si ibu dalam memberikan penjagaan dan pemakanan (susu ibu) kepada si anak di awal usianya bakal menjadi satu bentuk pendidikan awal dan sarana menerapkan kasih-sayang yang sempurna. Dari sinilah karektor, pemikiran, dan sikap anak-anak bakal dibentuk. Dan Islam mahu agar si ibu (dan bapa) sendiri yang membentuk anak-anak kecil ini sekaligus sebagai lambang kasih-sayang dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Dan inilah keutamaan para ibu berbanding segala bentuk urusan di luar rumah.

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:


وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ زَوْجِهَا وَوَلَدِهِ


“Seseorang lelaki adalah pemimpin yang bertanggungjawab ke atas keluarganya, manakala seseorang isteri menjadi pemimpin yang bertanggungjawab menguruskan rumah suami dan anak-anaknya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Bab: Wanita Adalah Pemimpin Di Rumah Suaminya, 16/207, no. 4801)

Amalan inilah yang merupakan tradisi kaum arab yang kemudiannya diteruskan dengan kedatangan Islam yang dibawa oleh Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Yang dengannya telah melahirkan kumpulan manusia pilihan dari kalangan para sahabat radhiyallahu ‘anhum yang merupakan satu kumpulan generasi ahli ilmu terbaik, manusia terbaik, terhebat, terkuat, mampu berjihad di medan perang, dan terpercaya dalam melaksanakan, mendukung, dan menyebarkan Islam ke seantero dunia. Dari merekalah lahirnya pelbagai contoh tauladan dan generasi gemilang umat Islam. Yang dimulai dengan kesempurnaan institusi kekeluargaan di atas petunjuk wahyu Allah Subhanahu wa Ta’ala yang dimainkan oleh wanita bergelar ibu sebagai salah satu faktor utama.

Tiada contoh dari kalangan generasi awal umat Islam ini yang menunjukkan hak menyusu anak-anak digantikan dengan susu-susu haiwan atau formula walaupun di zaman mereka sangat terkenal dengan penghasilan produk dari pelbagai haiwan ternakan seperti unta, kambing, dan kibas. Yang ada, sekiranya si ibu mengalami kekurangan susu, amalan mencari ibu susuan diusahakan. Ini menunjukkan bahawa susu ibu (susu badan) adalah ketutamaan, sekaligus menjadi sebuah kewajiban sebagai satu-satunya menu berkhasiat bagi si kecil. Di dalamnya mengandungi pelbagai zat (nutrisi) pemakanan yang diperlukan bayi pada awal usianya berbanding produk-produk makanan selainnya. Dengannyalah si kecil menjana tumbesaran sempurna dan memperkuat sistem immuniti tubuhnya.

Dalam masa yang sama, perkara ini sebenarnya mengajak kita berfikir berkenaan beberapa alternatif yang diwujudkan pada masa ini supaya si ibu tetap dapat memberikan air susunya kepada bayi-bayi mereka. Alternatif yang dimaksudkan adalah seperti memerah air susu ibu, membotolkannya, dan kemudian disejukkan (disimpan sebagai stok). Perkara ini dilakukan supaya bayi tetap dapat minum air susu ibu tersebut walaupun si ibu meninggalkannya lantaran sibuk dengan pelbagai urusan luar.

Perkara ini wajar dinilai kembali. Kerana urusan memberi tumpuan kepada si anak dalam soal penjagaan, belaian kasih-sayang, dan penyusuan adalah kewajiban buat para ibu. Manakala urusan menyibukkan diri dengan pelbagai urusan di luar rumah, bukanlah urusan bagi seorang wanita, apatah lagi bagi seorang ibu yang memiliki anak dan berkewajiban untuk menjaganya. Soal penyusuan tidak terhad semata-mata untuk memenuhi perut si anak dengan air susu, tetapi ia turut memiliki pelbagai hikmah lainnya seperti belaian manja ketika menyusukan (agar susu dapat disalurkan dengan sempurna), jaminan nilai kualiti susu yang dicurahkan secara langsung terus ke mulut bayi, pandangan kemesraan, sentuhan kasih-sayang, dan pendidikan awal. Sebaliknya, si ayahlah yang bertanggungjawab mengendalikan pelbagai urusan di luar seperti urusan pekerjaan bagi memenuhi nafkah serta keperluan institusi kekeluargaan dan rumah-tangganya. Dalam ayat yang sama, Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menyebutkan (maksudnya):

“Dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang ma’ruf. Seseorang tidak dibebankan melainkan menurut kadar kesanggupannya (kemampuan).” (Surah al-Baqarah, 2: 233)

Demikianlah bahawa pemberian air susu ibu yang sempurna kepada anak-anak berdasarkan petunjuk wahyu merupakan sebuah bukti dan lambang kasih-sayang yang agung bagi permulaan sebuah kehidupan manusia.

Khamis, September 16, 2010

Menilai Kembali Tradisi Berhari-Raya Di Perkuburan

Menilai Kembali Tradisi Berhari-Raya Di Perkuburan

Abu Numair Nawawi B. Subandi

Kaum sesat Syi'ah menjadikan perkuburan sebagai tempat ibadah dan tempat perayaan

Alhamdulillah, kita telah selesai menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan untuk tahun ini. Dan sekaligus, telah selesai juga kita berhari raya ‘Idul fitri. Cumanya, ada sedikit perkara yang mahu penulis sentuh. Iaitu berkaitan amalan menjadikan perkuburan sebagai salah satu destinasi atau lokasi berhari-raya.

Di mana, sejak kebelakangan ini amalan mengkhususkan hari raya sebagai salah satu waktu untuk menziarahi kubur begitu jelas dizahirkan. Begitu ramai umat Islam yang mengambil kesempatan pada hari raya untuk datang dan berhimpun di tanah-tanah perkuburan. Sehingga ada khabar sampai kepada penulis ada yang mengadakan majlis tahlilan di perkuburan, membaca al-Qur’an, beresak-tangis, menghias kubur, dan memasang pelita di atas kubur-kubur umat Islam sempena satu Syawal (‘Idul fitri). Ada dari kalangan warga kota pula yang beralasan bahawa inilah waktu yang baik bagi menziarahi kubur kaum kerabat (keluarga) yang jauh di kampung atas alasan lapangnya waktu sempena cuti hari raya, dan sempena hari baik bulan baik. Wallahu a’lam...

Sedangkan jika difahami dengan mendalam, tujuan asal menziarahi kubur itu adalah dalam rangka merealisasikan salah satu sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang bertujuan untuk melahirkan rasa mengingati kematian (akhirat), melembutkan hati, dan mengambil pelajaran bagi yang mengunjungi. Manakala bagi si mati (ahli kubur yang muslim) mereka mendapat manfaat dengan doa-doa kebaikan daripada yang menziarahi. Ini adalah sebagaimana hadis berikut:


زِيَارَةِ الْقُبُورِ ثُمَّ بَدَا لِي أَنَّهَا تُرِقُّ الْقَلْبَ وَتُدْمِعُ الْعَيْنَ وَتُذَكِّرُ الْآخِرَةَ فَزُورُوهَا وَلَا تَقُولُوا هُجْرًا

“Menziarahi kubur itu melembutkan hati, menitiskan air mata, dan mengingatkan kepada kehidupan akhirat. Dan janganlah kamu berkata-kata dengan perkataan yang batil.” (Hadis Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, 27/47, no. 13000. al-Hakim, al-Mustadrak, 3/421, no. 1342. Hadis daripada Anas B. Malik. Ta’liq Syaikh Syu’aib al-Arnauth: Hadis ini Sahih dengan syawahid)

Daripada ‘Aisyah radhiyallahu ‘anhu, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَخْرُجُ إِلَى الْبَقِيعِ فَيَدْعُو لَهُمْ

“Bahawasanya Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam pernah pergi ke tanah perkuburan Baqi'. Kemudian, beliau mendoakan para penghuninya.” (Hadis Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, 52/110, no. 24952. Sanadnya sahih berdasarkan syarat dua kitab sahih sebagaimanya dinyatakan oleh Syaikh al-Albani di dalam Ahkamul Jana'iz, m/s. 189)

Amalan memberi salam kepada ahli kubur, mendoakannya, dan memohon keampunan baginya, ini adalah khusus untuk kubur umat Islam sahaja. (Rujuk: al-Albani, Ahkamul Jana'iz, m/s. 189)

Dan sunnah menziarahi kubur ini adalah umum, boleh dilakukan oleh sama ada lelaki mahupun wanita. Dan yang diziarahi tersebut sama ada kubur umat Islam, mahupun kafir, keduanya adalah dibenarkan. Ini adalah sebagaimana disebutkan di dalam Kitab ‘Umdatul Qari di ketika penulis mengulas hadis tentang saranan menziarahi kubur dalam Shohih al-Bukhari dengan katanya:

وسواء كان المزور مسلما أو كافرا، لعدم الفصل في ذلك

“Di dalam hadis tersebut memiliki pengertian yang membolehkan perbuatan menziarahi kubur secara mutlak, sama ada lelaki mahu pun perempuan, atau yang diziarahi itu Muslim atau pun kafir disebabkan tiadanya pembezaan (pengasingan) berkenaan dengannya.” (Badrud-Din al-‘Aini al-Hanafi (Wafat: 855H), ‘Umdatul Qari Syarah Shohih al-Bukhari, 12/273)

Juga sebagaimana disebutkan oleh Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) bahawa perbuatan menziarahi kubur adalah umum (dibolehkan secara mutlak) sama ada kubur orang Islam atau orang kafir:

قال النووي: وبالجواز قطع الجمهور، وقال صاحب الحاوي: لا تجوز زيارة قبر الكافر وهو غلط

“Secara pasti bahawa jumhur (majoriti) ulama membolehkan ziarah kubur. Penulis kitab al-Haawii (Abul Hasan al-Mawardi) berkata: “Tidak dibolehkan menziarahi kubur orang kafir”. Dalam perkara ini, beliau telah salah (gholath).” (Rujuk: Ibnu Hajar, Fathul Bari Syarah Shohih al-Bukhari, 3/150)

Juga di dalam Syarah Shohih Muslim di ketika menjelaskan hadis anjuran menziarahi kubur, katanya:

فيه جواز زيارة المشركين في الحياة وقبورهم بعد الوفاة لأنه اذا جازت زيارتهم بعد الوفاة ففي الحياة

“Hadis ini menunjukkan bolehnya menziarahi orang-orang musyrik yang masih hidup dan bolehnya menziarahi kuburan mereka setelah mereka meninggal. Kerana sekiranya menziarahi mereka ketika meninggal dibolehkan, sudah tentu menziarahi mereka di ketika masih hidup lebih boleh lagi.” (an-Nawawi, Syarah Shohih Muslim, 7/45)

Jadi, untuk melaksanakan sunnah ziarah kubur ini, secara umumnya tidak perlu mencari-cari kubur tertentu dan menunggu masa-masa khusus sehingga melakukan perjalanan yang jauh dan memerlukan hari cuti yang khusus. Maka, beberapa amalan tradisi ziarah kubur yang sering difahami oleh kebanyakan kalangan masyarakat kita hari ini mungkin perlu dinilai kembali dan dilihat semula tujuannya agar seiring dengan anjuran dan tujuan pensyariatannya oleh as-Sunnah.

Adapun menjadikan perkuburan sebagai salah satu tempat untuk kita sentiasa mendatanginya atau mengunjunginya secara khusus pada waktu-waktu tertentu, maka di sana terdapat hadis yang menegahnya. Dengan itu, perbuatan menzahirkan aktiviti sempena hari-raya dengan mengunjungi perkuburan secara khusus, maka ia adalah suatu yang juga ditegah oleh as-Sunnah. Sehingga ada yang bertindak berjalan jauh dan memperuntukkan masa-masa khusus untuk mengunjungi perkuburan tertentu, sedangkan perkuburan yang dekat tidak pernah dimanfaatkan dalam rangka merealisasikan sunnah Rasulullah dalam persoalan ini seperti anjuran mengingati mati dan akhirat dengan menziarahi kubur secara umum. Ini juga adalah di antara bentuk-bentuk salah faham terhadap sunnah menziarahi kubur.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لا تَتَّخِذُوا قَبْرِي عِيدًا وَلَا تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ قُبُورًا وَحَيْثُمَا كُنْتُمْ فَصَلُّوا عَلَيَّ فَإِنَّ صَلَاتَكُمْ تَبْلُغُنِي

“Janganlah kamu menjadikan kuburku sebagai tempat mengadakan perayaan (‘Ied), dan janganlah pula kamu menjadikan rumah-rumah kamu seperti perkuburan. Di mana pun kamu berada, berselawatlah kamu ke atasku, kerana sesungguhnya selawat kamu tersebut sampai kepadaku.” (Hadis Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, 14/403, no. 8804. Ta’liq Syu’aib al-Arnauth: Isnadnya hasan. Dinilai sahih oleh al-Albani, Ahkamul Jana’iz, m/s. 219)

Syaikh al-Albani menjelaskan maksud ‘Ied tersebut dengan katanya:

والعيد إذا جعل اسما للمكان فهو المكان الذي يقصد الاجتماع فيه وإتيانه للعبادة عنده أو لغير العبادة، كما أن المسجد الحرام ومنى ومزدلفة وعرفة جعلها الله عيدا مثابة للناس، يجتمعون فيها وينتابونها للدعاء والذكر والنسك. وكان للمشركين أمكنة ينتابونها للاجتماع عندها، فلما جاء الاسلام محا الله ذلك كله. وهذا النوع من الامكنة يدخل فيه قبور الانبياء والصالحين

“Maksud perkataan ‘Ied dalam hadis ini sekiranya dijadikan sebagai isim bagi tempat, ia membawa maksud tempat yang digunakan untuk berkumpul (berhimpun) dan mendatanginya bagi tujuan melaksanakan ibadah atau yang selainnya, seperti Masjidil Haram, Mina, Muzdalifah, dan ‘Arafah yang telah dijadikan sebagai tempat perayaan oleh Allah bagi ummat manusia. Di tempat-tempat tersebutlah mereka berkumpul lalu memanjatkan doa dan zikir serta manasik (haji dan ‘umrah). Manakala kaum musyrikin (Yahudi dan Nashrani) pula turut memiliki tempat-tempat untuk mereka berkumpul. Kemudian ketika datangnya Islam, Allah pun menghapuskan tempat-tempat kaum musyrikin tersebut yang termasuk di dalamnya kubur para Nabi dan orang-orang soleh (bagi tujuan membasmi bid’ah dan kesyirikan).” (Rujuk: Al-Albani, Ahkamul Jana’iz, m/s. 221)

Daripada hadis ini kita dapat lihat dari dua sisi, iaitu makam Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah makam terbaik di muka bumi, tetapi beliau telah melarangnya dari dijadikan sebagai tempat perayaan (dan melakukan perjalanan jauh demi untuk mengunjunginya semata-mata – pent.). Dengan itu, kubur sesiapapun selain beliau lebih wajar untuk tidak dijadikan sebagai tempat perayaan. Kemudian, beliau mengiringi perkataan beliau dengan sabdanya: “Janganlah kamu menjadikan rumah-rumah kamu seperti perkuburan”. Maksudnya di sini adalah supaya tidak melakukan solat dan berdoa (memohon hajat untuk kita) serta membaca al-Qur’an di kubur, tetapi hendaklah melakukannya di rumah-rumah kita. Supaya rumah kita tidak menjadi sebagaimana suasana di perkuburan. Dengan itulah beliau memerintahkan supaya kita melakukan ibadah di dalam rumah dan melarang melaksanakannya di perkuburan. Perkara ini jauh berbeza dengan amalan orang-orang musyrik dari kalangan Yahudi dan Nashrani serta yang mengikutinya yang menjadikan kawasan perkuburan sebagai tempat beribadah (dan tempat perayaan). (Rujuk: Al-Albani, Ahkamul Jana’iz, m/s. 221)

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) berkata:

حتي إن بعض القبور يجتمع عندها في يوم من السنة، ويسافر إليها إما في المحرم أو رجب أو شعبان أو ذي الحجة أو غيرها. وبعضها يجتمع عندها في يوم عاشوراء، وبعضها في يوم عرفة، وبعضها في النصف من شعبان. وبعضها في وقت آخر. بحيث يكون لها يوم من السنة تقصد فيه. ويجتمع عندها فيه. كما تقصد عرفة ومزدلفة ومنى في أيام معلومة من السنة، وكما يقصد مصلى المصر يوم العيدين... وهذا السفر لا أعلم بين المسلمين خلافا في النهي عنه

وفي الجملة هذا الذي يفعل عند هذه القبور هو بعينه الذي نهى عنه رسول الله صلى الله عليه و سلم بقوله لا تتخذوا قبري عيدا. فإن اعتياد قصد المكان المعين في وقت معين عائد بعود السنة أو الشهر أو الأسبوع هو بعينه معنى العيد ثم ينهى عن دق ذلك وجله وهذا هو الذي تقدم عن الإمام أحمد إنكاره قال وقد أفرط الناس في هذا جدا وأكثروا وذكر ما يفعل عند قبر الحسين

“Ada beberapa perkuburan yang dijadikan tempat berkumpul pada hari-hari tertentu dalam setiap tahun. Mereka menuju ke tempat-tempat tersebut, sama ada pada bulan Muharram, Rejab, Sya’ban, Dzulhijjah, atau selainnya. Sebahagian kuburan lainnya didatangi pada hari Asyura, manakala sebahagian lain pada hari ‘Arafah, pertengahan Sya’ban, serta yang lainnya yang seumpamanya. Yang jelas, dalam satu tahun itu ada hari-hari tertentu untuk mereka kunjunginya. Kubur-kubur itu menjadi tempat tujuan (tumpuan) pada hari-hari tententu dalam setiap tahun. Sebagaimana Mushalla al-Mishri (tempat perlaksanaan solat ‘Ied) menjadi tujuan perjalanan pada dua hari raya... Maka, perjalanan seperti ini (ke kubur-kubur) adalah jelas dilarang tanpa adanya perbezaan dari kalangan kaum muslimin.

Sebenarnya, kebiasaan mendatangi suatu tempat tertentu dan pada waktu tertentu yang dilakukan secara rutin, sama ada tahunan, bulanan, ataupun mingguan, semua ini termasuk ke dalam istilah ‘Ied (perayaan). Benar-benar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melarang perbuatan tersebut, sama ada kecil atau besar. Inilah yang dilarang keras oleh Imam Ahmad dengan katanya: “Ramai orang yang berlebih-lebihan melakukan perkara tersebut.” Kemudian, beliau menyebutkan apa yang dilakukan oleh sebahagian pihak (kaum Syi’ah dan sufi) di makam (kubur) al-Hussein. (Rujuk: Ibnu Taimiyyah, Iqtidha’ ash-Shiraat al-Mustaqim, m/s. 375-376)

Menjadikan kebiasaan mendatangi kubur-kubur pada waktu-waktu tertentu (seperti di setiap hari raya) dan diadakan padanya perhimpunan secara umum (seperti bertahlilan dan membacakan al-Qur’an), maka ia adalah termasuk menjadikan kubur sebagai tempat berhari-raya. Dan ia adalah merupakan sebahagian dari amalan kaum musyrikin dari kalangan Yahudi dan Nashrani. Maka, kita perlulah berusaha menjauhi amalan dan adat tersebut lalu mencukupkannya dengan sekadar apa yang disunnahkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Untuk mengetahui sunnah-sunnah tersebut, maka tidak dapat tidak hendaklah kita berusaha untuk menyemak dan mempelajarinya dari lembaran kitab-kitab yang diiktiraf oleh Ahlus sunnah wal-Jama’ah, terutamanya dari ulama generasi awal umat Islam yang jelas sumber rujukannya.

Beberapa perkara lain lagi yang turut dilarang diperlakukan ke atas kubur-kubur umat Islam adalah seperti perbuatan menghias perkuburan sebagaimana diketahui umum ianya telah berlaku ke atas masyarakat kita secara meluas. Sahabat Rasulullah, Jabir radhiyallahu ‘anhu menyebutkan:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُجَصَّصَ الْقَبْرُ وَأَنْ يُقْعَدَ عَلَيْهِ وَأَنْ يُبْنَى عَلَيْهِ

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang menembok kubur, duduk di atasnya, dan didirikan (dibina) bangunan di atasnya.” (Hadis Riwayat Muslim, Shohih Muslim, 5/90, no. 1610)

Imam Muhammad B. Ismail ash-Shan’ani rahimahullah (Wafat: 1182H) menjelaskan:

الحديث دليل على تحريم الثلاثة المذكورة لأنه الأصل في النهي

وقد وردت الأحاديث في النهي عن البناء على القبور والكتب عليها والتسريج وأن يزاد فيها وأن توطأ

“Hadis ini adalah sebagai dalil yang menunjukkan haramnya tiga perbuatan yang disebutkan, kerana keharaman itulah yang pada dasarnya terdapat dalam kata larangan tersebut.

Dan terdapat beberapa hadis lain lagi yang menjelaskan tentang larangan membina bangunan (binaan) di atas kubur (termasuk memasang lampu-lampu pelita – pent.), larangan menulis pada batu nisan (kecuali hanya untuk sekadar penanda), larangan mencantikkan (menghias) kubur, larangan menambah atau melebihkan dari sejengkal dengan meninggikan tanah di atasnya. (ash-Shan’ani, Subulus Salam Syarh Bulughul Maram, 2/111)

Maka, dari itu hendaklah kita berusaha untuk bertindak dan memahami setiap apa yang kita lakukan agar sentiasa seiring dan selari dengan saranan al-Qur’an dan as-Sunnah. Begitu jugalah dalam persoalan ziarah kubur ini, hendaklah kita melaksanakannya seiring dengan petunjuk agama. Maka dari itu, sama-samalah kita semak kembali beberapa amalan tersebut dengan neraca yang benar, agar dengannya kita mampu meraih berkah dan pahala. Sekaligus menjauhi tokok-tambah (pencemaran) dalam amalan-amalan agama yang tidak pernah disyari’atkan oleh Islam. Wallahu a’lam...

Untuk tulisan yang lebih terperinci berdasarkan pembahagiannya dalam persoalan ini, sila kunjungi pautan blog saya berikut: http://fiqh-sunnah.blogspot.com/search/label/Jenazah yang merangkumi beberapa artikel milik penulis dalam isu yang berkaitan.