“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Selasa, Disember 28, 2010

Menuntut Ilmu Jalan Menuju Syurga

Menuntut Ilmu Jalan Menuju Syurga




Ilmu adalah pengetahuan (penguasaan maklumat) yang merupakan lawan kepada ketidak-tahuan atau kejahilan. Ilmu secara syar’i adalah ilmu yang diturunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang berupa penjelasan dan petunjuk yakni al-Qur’an, as-Sunnah dan kefahaman yang benar terhadapnya. Iaitu ilmu yang membimbing kehidupan di dunia hingga ke akhirat.

Ilmu yang bermanfaat pula merujuk kepada dua perkara, iaitu ilmu tentang keagungan Allah Ta’ala yang diketahui melalui nama-nama-Nya yang indah (al-husna) dan sifat-sifat-Nya yang mulia yang menjadi hak-hak-Nya. Dengan mengetahuinya, akan membawa kepada pengangungan, rasa takut, cinta (mahabbah), harapan, sabar, redha dan tawakkal hanya kepada Allah. Manakala yang kedua, ilmu yang bermanfaat adalah ilmu yang membawa kepada segala apa yang diredhai dan dicintai oleh Allah. Yang dengan ilmu tersebut menjadikan kita menjauhi segala apa yang dibenci dan dilarang oleh-Nya. Ini adalah sebagaimana yang disebut oleh al-Hafiz Ibnu Rejab al-Hanbali rahimahullah (Wafat: 795H) dalam risalahnya yang berjudul Fadhlu ‘Imli as-Salaf ‘ala al-Kholaf.

Melalui apa yang diambil daripada beliau ini menunjukkan adanya ilmu yang tidak bermanfaat bagi diri seseorang iaitu apabila ilmu tersebut tidak membawa untuk taat dan bertaqwa kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, sebaliknya membawa pula kepada apa yang dibenci oleh Allah. Tidak kiralah ilmu tersebut tergolongan dalam ilmu-ilmu yang syar’i lagi wajib atau ilmu-ilmu berbentuk kemahiran kehidupan, sekiranya ia membawa pengamalnya kepada mencari redha Allah, insyaAllah ia adalah ilmu yang bermanfaat. Sebaliknya, sekiranya ilmu tersebut walaupun ia adalah ilmu-ilmu yang syar’i tetapi tidak diamalkan seiring atas jalan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala, maka ia akan termasuk ke dalam jajaran ilmu-ilmu yang tidak bermanfaat.

Ini dapat difahami antaranya berdasarkan firman-Nya (yang bermaksud), “Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku.” (Surah adz-Dzariyat, 51: 56). Maka, atas sebab itulah setiap ilmu yang kita pelajari seharusnya menuju kepada jalan tersebut, iaitu jalan ubudiyyah kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Apabila kita benar-benar faham bahawa ilmu yang syar’i lagi bermanfaat adalah ilmu-ilmu yang datang daripada al-Qur’an, as-Sunnah, dan kefahaman terhadap keduanya, maka sudah seharusnya kita meletakkan usaha dan prioriti yang tinggi untuk menekuninya. Itulah yang merupakan tradisi para ulama dan ilmuan Islam dari dahulu hingga kini.

Jika kita melihat imam asy-Syafi’i rahimahullah yang merupakan imam yang kita ikuti mazhabnya sebagai pedoman, beliau hafaz dan menguasai al-Qur’an seawal usianya 9 tahun. Manakala dalam sebahagian riwayat mengatakan 7 tahun. Pada ketika usianya 13 tahun pula, beliau menguasai kitab hadis yang unggul di zamannya, iaitu al-Muwaththa’ karya imam Malik rahimahullah. Jika kita bandingkan dengan usia kanak-kanak di sekitar kita hari ini, pada usia itu kebanyakan mereka masih lagi membaca al-Qur’an dengan merangkak atau mungkin ada yang masih tidak tahu walaupun untuk mengeja. Bahkan kebanyakan mereka mungkin lebih seronok dibuai khayalan kartun Doraemon, Sin Chan, Sponge Bob, Naruto dan Ben10 sambil memeluk bantal busuk.

Demikianlah keadaannya, di ketika para ilmuan menyibukkan umur-umur mereka dengan al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, sebahagian kita ada yang lebih gembira untuk memilih kartun, muzik, dan video game sebagai santapan rohani anak-anaknya. Sehingga masuk ke sekolah dan universiti pun kita lebih risau jika anak-anak gagal dalam peperiksaan dan tidak meraih peluang pekerjaan yang lumayan. Tetapi amat jarang sekali risau sekiranya anak-anak tidak bersolat dan gagal memahami aqidah yang benar.

Sebenarnya kita perlu sentiasa membudayakan tradisi ilmu yang ditinggalkan oleh para ulama. Lebih-lebih lagi untuk menangkis syubhat-syubhat yang dihantar oleh musuh-musuh Islam melalui muzik, kartun, massa, pemakanan dan pelbagai bentuk lainnya yang hebat melanda ketika ini. Iaitu dengan menghidupkan budaya membaca, memahami, dan menghayati sunnah-sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Berapa ramai di antara kita yang menempatkan buku-buku para ulama di rumah-rumah sebagai bahan bacaan dan rujukan? Sama ada dari rangkaian kitab-kitab aqidah seperti Syarah ath-Thahawiyah oleh Ibnu Abil Izz, Syarhus Sunnah Imam al-Barbahari, Syarah Ushulus Sunnah Imam Ahmad, dan selainnya dari kitab-kitab ilmuan generasi awal. Diikuti pula oleh kitab-kitab tafsir al-Qur’an seperti Tafsir Ibnu Katsir dan kitab-kitab hadis seperti Riyadhus Sholihin Imam an-Nawawi, asas-asas Mustholahul Hadis, sehinggalah kepada rangkaian kitab-kitab hadis yang utama seperti Shohih al-Bukhari, Muslim, serta siri kitab-kitab syarahannya.

Jangan biarkan anak-anak memenuhi rohaninya dengan majalah para artis dan bintang bola, komik-komik, atau surat khabar-surat khabar yang sering bermain isu. Sehingga risalah hadis empat puluh (al-Arba’in an-Nawawiyyah) pun terasa janggal untuk dibelek sampai ada yang tidak pernah mengetahui kewujudannya. Bimbinglah mereka untuk mengenali para ulama dan karya-karyanya. Jangan biarkan tokoh-tokoh jalanan lebih kita kenali berbanding tokoh-tokoh ulung agama ini. Kerana ilmu yang bermanfaat itu hanya dapat diperolehi dengan menekuni warisan tinggalan ulama berupa aqidah dan akhlak peribadi mereka melalui karya-karya agungnya yang berisi penjelasan al-Qur’an dan as-Sunnah.

Atas sebab itulah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bersabda,

وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

“Sesungguhnya para ulama itu adalah pewaris para Nabi. Dan para Nabi itu tidaklah mewariskan dinar mahu pun dirham. Namun, mereka mewariskan ilmu. Maka, sesiapa yang mengambil ilmu tersebut, benar-benar dia telah mendapat bahagian yang sangat besar.” (Hadis Riwayat Abu Daud, 49/10, no. 3157)

Dengan ilmu darjat seseorang yang beriman diangkat oleh Allah, jiwa menjadi bahagia dan tenteram, dengan ilmu kita diberi kefahaman menghadapi pelbagai ujian dan cabaran, ilmu mengajak untuk memilih kebaikan berbanding keburukan, dengannyalah juga kita dibimbing untuk berjalan menuju Syurga Allah yang luas terbentang.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمْ الْمَلَائِكَةُ وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ

“Sesiapa yang menempuh jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju Syurga. Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah sebuah rumah Allah (masjid) untuk membaca Kitabullah dan mempelajarinya di antara mereka, melainkan ketenangan (sakinah) turun kepada mereka, rahmat Allah meliputi mereka, dan Allah menyebut-nyebut mereka di khalayak para malaikat yang berada di sisi-Nya.” (Hadis Riwayat Muslim, 13/212, no. 4867)

Tidak terhenti sekadar di dunia, ilmu bermanfaat ini pahalanya akan terus kekal mengalir walaupun ditinggal mati. Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda,

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

“Apabila manusia itu meninggal dunia, maka terputuslah amalan-amalannya melainkan tiga perkara, (iaitu) 1 – Sedekah jariyah yang pernah dilakukannya, 2 – Ilmunya yang dimanfaatkan, atau 3 – Anak yang soleh yang mendoakannya. (Hadis Riwayat Muslim, 8/405, no. 3084)

Selain dalil ini, terdapat dalil-dalil lain yang menyebutkan bahawa amalan kebaikan anak-anak yang soleh juga turut mengalirkan pahalanya kepada ibu dan bapa yang telah meninggal dunia walaupun tidak pernah diadakan ritual-ritual khas sedekah pahala seperti tahlilan dan yasinan.

Jadi, manfaatkanlah umur yang ada untuk menyuburkan budaya ilmu dan mendidik anak-anak dengannya. Kerana dengan membudayakan ilmu yang bermanfaat, ia membantu meraih keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala sekaligus jalan menuju Syurga yang kekal abadi.

Sebagai penutup, penulis tinggalkan dengan pesanan Imam adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 748H),

نَسْأَل اللهَ عِلْماً نَافِعاً، تَدْرِي مَا العِلْمُ النَّافِع؟هُوَ مَا نَزل بِهِ القُرْآنُ، وَفسَّره الرَّسُول - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - قَوْلاً وَفعلاً، وَلَمْ يَأْت نَهْي عَنْهُ، قَالَ عَلَيْهِ الصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ: (مَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي، فَلَيْسَ مِنِّي)، فَعَلَيْك يَا أَخِي بتدبُّر كِتَاب اللهِ، وَبإِدمَان النَّظَر فِي (الصَّحِيْحَيْنِ) و(سُنَن النَّسَائِيّ)، وَ(رِيَاض النَّوَاوِي) وَأَذكَاره، تُفْلِحْ وَتُنْجِحْ، وَإِيَّاكَ وَآرَاءَ عُبَّادِ الفَلاَسِفَة، وَوظَائِفِ أَهْلِ الرِّيَاضَات، وَجُوعَ الرُّهبَان، وَخِطَابَ طَيْشِ رُؤُوْسِ أَصْحَابِ الخلوَات، فُكُلُّ الخَيْر فِي مُتَابعَة الحنِيفِيَة السَّمحَة، فَواغوثَاهُ بِاللهِ، اللَّهُمَّ اهدِنَا إِلَى صرَاطك المُسْتقيم

“Kita memohon kepada Allah ilmu yang bermanfaat. Tahukah kamu apa ilmu yang bermanfaat tersebut? Iaitu ilmu yang turun bersama al-Qur’an dan ditafsirkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan ucapan, perbuatan, dan yang tiada larangan daripadanya. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Sesiapa yang membenci sunnahku, maka dia tidak termasuk golonganku.” Wahai saudaraku, kamu perlu mempelajari kitab Allah dan menekuni dua kitab Sahih (Shohih al-Bukhari dan Muslim), Sunan an-Nasaa’i, Riyadhus Sholihin, dan al-Adzkar karya Imam an-Nawawi, nescaya kamu akan beruntung dan selamat. Jauhilah syubhat pemikiran ahli falsafah, perbuatan ahli sufi, ajaran para pendeta, dan khayalan orang-orang yang suka menyendiri. Seluruh kebaikan itu adalah dengan mengikuti jalan yang lurus. Mintalah pertolongan kepada Allah. Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami jalan-Mu yang lurus.” (adz-Dzahabi, Siyar A’lam an-Nubala’, 19/339-340)

Wallahu a’lam...

Khamis, Disember 23, 2010

Hati-hati Menghadam Berita

Hati-hati Menghadam Berita

Oleh: Nawawi B. Subandi
http://an-nawawi.blogspot.com


Salah satu sikap yang wajib ada pada diri seseorang muslim adalah sentiasa memastikan dan menyemak apa jua maklumat dan berita yang sampai kepadanya. Ini adalah bagi mengelakkan pelbagai bentuk fitnah dan tindakan yang salah setelah itu akibat maklumat yang bermasalah.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya), “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaan yang sebenar sehingga menyebabkan kamu menyesal dengan tindakan tersebut.” (Surah al-Hujurat, 49: 6)

Para ulama mengambil ayat tersebut bersama beberapa dalil lainnya yang semakna sebagai panduan dalam menerima khabar berkaitan agama. Bahkan dari ayat tersebut telah lahir kaedah-kaedah (ilmu) bagi memastikan kesahihan sesuatu hadis (merujuk: ilmu rijal dan jarh wat ta’dil). Dengan ilmu tersebut (ilmu rijal dan Jarh wat ta’dil), Allah menjaga agama-Nya dan sunnah Nabi-Nya dari pelbagai penyelewengan dan pendustaan. Sehingga kriteria pembawa khabar (perawi) kepada hadis Nabi yang boleh diterima adalah sangat ketat. Iaitu antaranya, ia bukan seorang pendusta, tidak berbohong bila menyampaikan, bukan seorang pelupa, bukan fasiq, seorang yang adil (al-‘adalah) dan terpercaya, seorang yang amanah, dan beberapa kriteria yang lainnya yang menepati syarat-syarat hadis sahih. Sehingga ulama hadis seperti Imam asy-Syafi’i dan al-Bukhari menolak persaksian seseorang perawi (pembawa khabar) yang diketahui mendengar muzik, yang pada anggapan kita pada hari ini muzik adalah isu remeh dan hiburan semata-mata. Tapi sebenarnya, agama tidak memandang enteng perkara tersebut.

Perkara ini menjadi bukti betapa pentingnya manhaj dalam menerima sesuatu khabar berita daripada seseorang yang lain dalam siri kesarjanaan Islam. Begitu jauh berbeza dengan apa yang berlaku pada hari ini, di mana masyarakat secara umum begitu mudah menerima, takjub, dan terpengaruh dengan pelbagai jenis khabar dan berita, walapun sumber berita tersebut datangnya dari musuh-musuh Islam sendiri. Sehingga khabar-khabar tersebut akhirnya merosakkan pemikiran mereka tanpa sedar. Tidak cukup dengan itu, mereka membantu menyebarkan pula maklumat dari berita-berita yang mereka terima sedangkan mereka sendiri tidak dapat memastikan kesahihan dan mengkaji kesannya kepada umum.

Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman (maksudnya), “Dan apabila datang kepada mereka suatu berita tentang keamanan ataupun ketakutan, mereka terus menyebarkannya. Dan sekiranya mereka menyerahkannya kepada Rasul dan Ulil Amri di antara mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui keabsahannya (akan dapat) mengetahuinya daripada mereka (Rasul dan Ulil Amri). Jika tidak kerana kurnia dan rahmat Allah kepada kamu, tentulah kamu mengikuti syaitan, melainkan sebahagian kecil sahaja (di antara kamu).” (Surah an-Nisaa’, 4: 83)

Ayat ini menunjukkan pengingkaran terhadap sikap tergesa-gesa dalam menghadam dan menyebarkan berita-berita yang diterima sedangkan mereka sendiri belum dapat memastikan kesahihan, tafsiran, dan kesan dari maklumat tersebut. Dalam ayat tersebut juga memberitahu suatu kaedah dalam menyikapi berita-berita yang diterima, iaitu dengan menyerahkannya kepada pihak yang berautoriti dari kalangan ilmuan (dalam bidangnya), para ulama (yang memahami agama), dan pihak berkuasa (pemerintah), iaitu bukan diserahkan dan disebarkan ke khalayak umum begitu sahaja. Dalam hal ini, terdapat hadis yang berbentuk tegahan keras daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melalui sabdanya,

كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

“Cukuplah seseorang dianggap pendusta ketika dia menceritakan (menyebarkan) setiap apa yang dia dengar.” (Hadis Riwayat Muslim, Mukaqaddimah Shahih Muslim, 1/15, no. 6)

Namun apa yang dapat kita lihat, pada hari ini umat Islam benar-benar sedang diuji dan berhadapan fitnah maklumat yang besar. Pelbagai lambakan berita dan maklumat tersebar kepada masyarakat umum tanpa sebarang tapisan seiring dengan berkembangnya teknologi massa. Sebaran berita berlaku dari pelbagai lapisan pemikiran, sama ada yang adil, amanah, berkepentingan peribadi, bertujuan politik dan kuasa, berbau hasad dan dengki, dari golongan yang fasiq, mahupun yang sesat dan kafir. Perkara ini menjadi lebih bahaya apabila maklumat tersebut menyentuh isu agama sama ada secara langsung atau sampingan sedangkan masyarakat kita tidak memiliki kapasiti yang cukup untuk menilai. Lalu mereka menghadamnya bulat-bulat dan membantu pula dalam penyebarannya. Sebenarnya budaya ini mampu menjadi suatu bentuk serangan terhadap aqidah umat Islam tanpa disedari.

Sehingga apa yang dapat kita lihat hari ini, budaya berita yang bukan-bukan telah menjadi fenomena yang biasa dan sebati dalam masyarakat. Ini adalah seperti berita berbentuk hasutan membenci pemimpin dan ulama, berita artis paling seksi, kisah pecintaan dan krisis rumahtangga artis, sentimen perkauman, kisah ustazah terlampau, kisah-kisah skandal, isu-isu dalam mahkamah, kisah-kisah tahyul dan khurafat, serta lambakan siaran drama dan hiburan. Jika diteliti dari aspek positif, di manakah nilai-nilai berita seperti ini berkemampuan untuk mendidik masyarakat, membina generasi yang cemerlang aqidah dan agama, membangunkan rohani dan jatidiri yang murni, membentuk ketamadunan bangsa, menerapkan keharmonian dan perpaduan, melahirkan akhlak dan minda yang bersih, mencorak sakhsiah diri, melentur pemikiran kritis, menyuburkan nilai-nilai amanah, serta melakar kemajuan dari sudut teknologi duniawi?

Oleh sebab itulah, para ulama yang benar-benar memahami agama ini telah menggariskan beberapa prinsip dalam mengambil berita. Iaitu mengambilnya daripada orang-orang yang dipercayai, benar prinsip agamanya, serta dipastikan keabsahannya. Apabila berita datang dari selain mereka, maka berita tersebut terlebih dahulu diserahkan kepada para ilmuan dalam bidangnya (ulil amri) bagi tujuan semakkan, perbincangan, dan penilaian sebelum sebarang respon dan tindakan dibuat.

Betapa ramai pada hari ini, orang awam yang mengambil dan menelan bulat-bulat setiap berita atau maklumat yang tersebar sama ada melalui akhbar, televisyen, internet, sms, surat layang dan selainnya tanpa diketahui sumbernya, bahkan datang pula dari golongan yang tidak memiliki prinsip-prinsip agama yang benar. Padahal boleh jadi, golongan yang menyebar berita tersebut memiliki tujuan negatif di sebalik aktiviti sebarannya seperti mengadu domba, melaga-lagakan pihak tertentu, menyebarkan prasangka, membakar emosi, menanamkan syubhat terhadap agama, atau mungkin bertujuan menyebarkan perasaan takut dan cemas terhadap masyarakat awam terutamanya umat Islam. Akhirnya, masyarakat menjadi mangsa maklumat yang boleh mengakibatkan krisis keharmonian.

Manhaj dalam mengambil dan penyebaran berita ini menjadi lebih kritikal apabila melibatkan sandaran kepada sumber-sumber Islam. Dalam soal menyandarkan sesuatu kepada agama, ia mesti memiliki syarat yang ketat seperti aspek ketepatan sumber rujukan, nilai kesahihan dalil, dan aspek kefahaman. Ini kerana kesilapan yang sedikit sahaja dalam soal sumber, ia mampu mengakibatkan kesan kerosakan dan fitnah yang teruk kepada imej agama, aqidah, dan pemikiran masyarakat.

Sehingga Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengancam melalui ucapannya,

إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ

“Sesungguhnya berdusta ke atas namaku tidaklah sama dengan berdusta menggunakan nama orang lain. Maka sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, bersiap-sedialah dengan tempat duduknya di neraka.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 5/37, no. 1209)

Dari itu, apa jua maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya janganlah kita tergesa-gesa menghadamnya, apatah lagi untuk menyandarkan dan menggunakannya dalam soal agama. Kerana ia termasuk dalam perbuatan berdusta atas nama agama. Jika prinsip ini tidak diambil penting, maka tidak hairanlah apabila fakta-fakta yang tidak masuk akal dan merosakkan imej Islam serta umatnya bertebaran di sana sini.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengingatkan dengan sabdanya,

سيأتي على الناس سنوات خداعات يصدق فيها الكاذب ويكذب فيها الصادق ويؤتمن فيها الخائن ويخون فيها الأمين وينطق فيها الرويبضة. قيل وما الرويبضة؟ قال: الرجل التافه؛ يتكلم في أمر العامة

Akan datang nanti kepada manusia, masa-masa yang penuh tipu daya. Para pendusta dianggap sebagai orang yang jujur, manakala orang yang jujur dianggap pendusta. Orang khianat dianggap amanah dan orang yang amanah dilabel sebagai pengkhianat. Dan para Ruwaibidhah mula berkata-kata (bersuara).” Ada yang bertanya, “Siapa Ruwaibidhah?” Rasulullah menjawab, “Orang yang bodoh sibuk berbicara (mengulas) tentang masalah masyarakat.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah, Kitab al-Fitan, 12/44, no. 4026. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Dengan itu, sebagai seorang muslim yang sentiasa memelihara prinsip-prinsip dalam beragama seharusnya bersabar, teliti, dan mengambil nasihat para ulama dalam menganalisa sesuatu berita dan maklumat. Iaitu tidak bersikap tergesa-gesa dalam menghadam, mengulas, dan menyebarkannya.

Bagi masyarakat awam, apa yang lebih utama adalah sentiasa mendahulukan usaha-usaha mendalami ilmu-ilmu yang syar’i terutamanya ilmu aqidah dan fardhu dari sumber-sumber dan kefahaman yang benar. Sebaliknya tidak menyibukkan diri dengan mengulas isu-isu diluar bidang dan kemampuannya. Bersamaan dengan itu, jika kita tidak mampu berkata baik, ambillah sikap diam sebagai langkah terbaik. Kerana takut-takut, kitalah yang dimaksudkan hadis Nabi tersebut sebagai ruwaibidhah kerana berbicara tanpa ilmu, kefahaman, dan sumber maklumat yang tepat. Wallahu a’lam...

Selasa, Disember 21, 2010

Tauhid Yang Murni Lambang Keadilan

Tauhid Yang Murni Lambang Keadilan

Oleh: Nawawi B. Subandi
http://an-nawawi.blogspot.com


Allah telah menjelaskan tujuan penciptaan jin dan manusia di alam ini. Iaitu supaya Dia dikenali dengan nama-nama dan sifat-sifat-Nya. Hanya Dia yang diibadahi dan tidak disekutukan dengan sesuatu apa pun. Supaya manusia dapat menegakkan keadilan yang dengannya tertegaklah langit dan bumi dengan baik. Iaitu dengan mendahulukan hak-hak Allah berbanding hak-hak ciptaan manusia yang lompang di sana-sini.

Perkara ini adalah sebagaimana maksud firman-Nya, “Sesungguhnya Kami telah mengutuskan para Rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka al-Kitab dan neraca (timbangan keadilan) supaya manusia dapat menegakkan keadilan.” (Surah al-Hadid, 57: 25)

Allah mengkhabarkan bahawa Dia mengutus para Rasul-Nya serta menurunkan Kitab-kitab-Nya supaya manusia menegakkan keadilan. Keadilan yang paling agung adalah tauhid. Tauhid adalah puncak sebuah keadilan. Sekaligus, Tauhid adalah landasan menuju sebuah kejayaan. Manakala syirik pula adalah kezaliman, jalan menuju kepada kegagalan sekaligus kesengsaraan sehingga ke akhirat.

Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) menyebutkan bahawa,

وهو الحق الذي تشهد به العقول الصحيحة المستقيمة المخالفة للآراء السقيمة

“al-Haq itulah yang merupakan sumber keadilan (penimbang) yang diakui oleh akal yang sihat lagi lurus (yang mustaqim). Dan lawannya adalah pelbagai pendapat serta pandangan yang tidak benar.” Kemudian beliau menyambung,

الحق والعدل وهو: اتباع الرسل فيما أخبروا به، وطاعتهم فيما أمروا به، فإن الذي جاؤوا به هو الحق الذي ليس وراءه حق

“Yang dimaksudkan dengan melaksanakan kebenaran dan keadilan itu adalah membenarkan dan mengikuti apa yang telah disampaikan oleh para Rasul sekaligus mentaati segala apa yang diperintahkan oleh mereka. Sesungguhnya apa yang dibawa oleh para Rasul itu adalah kebenaran yang tidak dapat lagi dinafikan dan tidak ada kebenaran yang lain lagi selainnya.” (Ibnu Katsir, Tafsir al-Qur’an al-‘Adzim, 8/27)

Seterusnya, maksud keadilan ini dapat pula dilihat melalui firman Allah Subhanahu wa Ta’ala (maksudnya), “Sesungguhnya syirik itu adalah suatu kezaliman yang paling besar.” (Surah Luqman, 31: 13)

Daripada ayat ini, dapat kita fahami bahawa syirik merupakan kezaliman yang paling besar dan lawannya adalah Tauhid. Sekiranya syirik adalah kezaliman yang paling besar, maka tauhid adalah keadilan yang sebenar dan paling agung. Kerana kezaliman itu lawannya adalah keadilan. Perbuatan syirik adalah suatu tindakan yang menafikan ketauhidan sebagai sebuah keadilan yang paling besar. Sehingga dengan syirik tersebut, Allah telah menetapkan ia sebagai dosa yang paling besar pula. Dengan sebab itu juga, Allah mengharamkan Syurga bagi orang-orang musyrik (pelaku syirik), serta menjadikan darah, harta, dan keluarga mereka halal bagi ahli tauhid (apabila cukup syarat-syaratnya).

Allah berfirman (maksudnya), “Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mempersekutukan (sesuatu) dengan Dia, dan dia mengampuni dosa selain syirik bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya.” (Surah an-Nisaa, 4: 116)

Allah tidak menerima apa jua bentuk amal daripada pelaku syirik. Bahkan amal-amal mereka seperti debu yang berterbangan. Di akhirat, doanya tidak diterima, dan dia tidak dimaafkan. Ini sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala (maksudnya), “Dan kami nilai segala amal yang mereka kerjakan, lalu kami jadikan amal itu (seperti) debu yang berterbangan.” (Surah al-Furqon, 25: 23)

Dengan kezaliman tersebut, hakikatnya tidaklah dia menzalimi Tuhannya, tetapi sebenarnya dia hanya menzalimi dirinya. Yang dengan kesyirikkan tersebut dia akan diheret ke lembah yang hina lagi menakutkan. Demikianlah kerugian bagi orang-orang yang melakukan kezaliman yang besar berupa syirik.

Kerana di akhirat nanti, kunci utama untuk ke syurga yang dengannya keadilan ditegakkan adalah tauhid. Dengan neraca timbangan tauhid inilah kelak di akhirat manusia bakal diadili. Itulah neraca keadilan yang sebenar, iaitu tauhid yang murni sebagai penyelamat sekaligus sebagai lambang keadilan di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala. Dengannya kita akan selamat dan dimuliakan. Ditempatkan di Syurga sebagai destinasi bahagia yang kekal lagi abadi.

Kefahaman ini sekaligus menolak definisi keadilan yang dipegang oleh segelintir pihak yang tersasar seperti dari kalangan pejuang hak asasi manusia yang menuntut keadilan melalui perjuangan kesamarataan semua pihak dengan bertimbangkan akal dan perasaan, mereka yang fanatik dengan ideologi perjuangan parti-parti politik tertentu sehingga sanggup meminggirkan batas-batas Islam (walaupun mendakwa diri-diri mereka sebagai pejuang Islam), pejuang feminisme (yang mahu menyama-ratakan hak wanita dengan lelaki dalam segala aspek), dan juga seperti sebahagian golongan yang fanatik dengan neraca kebebasan bersuara sehingga bertindak menyama-ratakan hak umat Islam dengan kuffar yang akhirnya mengakibatkan orang-orang kafir turut boleh bersuara mengkritik Islam secara terbuka tanpa selindung.

Dari itu, di atas kefahaman keadilan tauhid inilah kita semua perlu berdiri. Dengan tauhid inilah kita bersatu membina teras keadilan manusia. Kerana dengan keadilan tauhid inilah para Nabi menyeru umatnya. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya), “Dan Kami tidak mengutus seorang Rasul pun sebelum kamu melainkan kami wahyukan kepadanya, “Bahawasanya tidak ada tuhan yang haq melainkan Aku, maka sembahlah Aku.”.” (Surah al-Anbiya’, 21: 25) “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul pada setiap umat manusia supaya menyerukan, “Sembahlah Allah sahaja dan jauhilah thaghut.” (Surah an-Nahl, 16: 36)

Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) berkata:

كل قرن من الناس وطائفة رسولا وكلهم يدعو إلى عبادة الله، وينهى عن عبادة ما سواه

فلم يزل تعالى يرسل إلى الناس الرسل بذلك، منذ حدث الشرك في بني آدم، في قوم نوح الذين أرسل إليهم نوح، وكان أول رسول بعثه الله إلى أهل الأرض إلى أن ختمهم بمحمد صلى الله عليه وسلم الذي طبقت دعوته الإنس والجن في المشارق والمغارب

“Pada setiap zaman, para rasul diutuskan untuk menyeru manusia beribadah hanya kepada Allah dan melarang beribadah kepada selain-Nya. Allah Ta’ala bertindak mengutus para Rasul kepada manusia dengan membawa misi ini semenjak terjadinya syirik dalam kalangan anak cucu Adam di zaman Nabi Nuh. Nuh ‘alaihissalam, diutus kepada mereka sebagai Rasul pertama yang diperintahkan oleh Allah Ta’ala kepada penduduk bumi sehingga Dia menutup mereka dengan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang dakwahnya mencakupi jin dan manusia di timur dan barat.” (Tafsir Ibnu Katsir, 4/570)

Demikianlah sunnah para Nabi dalam mengajak kepada keadilan. Iaitu dengan misi pemurnian tauhid yang dengannya keadilan sejagat ditegakkan. Dengan tauhid itulah dulunya generasi awal umat Islam berjaya membina kekuatan, kegemilangan, dan empayar yang diingati. Maka, sewajarnya begitu jugalah kita perlu mengajak manusia kepada keadilan yang diserukan oleh para Nabi, iaitu keadilan berteraskan tauhid.

Di antara bukti jelas yang dapat sama-sama kita lihat yang menunjukkan misi pemurnian tauhid ini tidak mendapat perhatian atau masih berada di tahap yang amat rendah dalam masyarakat hari ini adalah apabila berleluasanya amalan-amalan khurafat seperti perdukunan, perbomohan, penjualan dan kepercayaan terhadap tangkal, penjajaan air jampi, kepercayaan terhadap horoskop (ramalan bintang), filem-filem khurafat mendapat permintaan, perayaan kaum kuffar dirayakan oleh masyarakat muslim, mempercayai adanya hari dan bulan-bulan sial, bertawassul kepada orang mati dan kubur, menolak qadha dan qadar Allah, berlaku pelbagai bid’ah dan penyelewengan amalan agama, berleluasanya ajaran sesat dan pergolakkan kefahaman agama, berlaku fitnah perpecahan dalam kalangan umat Islam, serta meyakini bahawa sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah sesuatu yang jumud sehingga perlu ditinggalkan dan dilupakan.

Demikianlah beberapa contoh hak-hak Allah yang diabaikan dan dikotori. Di manakah umat Islam yang sering melaungkan slogan-slogan keadilan? Yang menuntut hak itu dan ini. Tetapi mereka melupakan hak-hak Allah yang perlu mereka tunaikan terlebih dahulu.

Maka perhatikanlah semua ini, tanyakan iman kita, dan giatkanlah usaha-usaha memurnikan tauhid secara syar’i dan dengan ilmu. Sama ada kepada diri sendiri, keluarga, mahupun masyarakat secara umum.

Wallahu a’lam...

Rabu, Disember 15, 2010

Pencerahan Hadis Abu Sa’id al-Khudri Menegur Marwan B. al-Hakam

Pencerahan Hadis Abu Sa’id al-Khudri Menegur Marwan B. al-Hakam


Adakah hadis ini boleh digunakan sebagai dalil untuk menegur pemerintah secara terbuka sebagaimana dakwaan sebahagian pihak yang lantang mengkritik pemerintah sesuka hati di sana-sini. Berikut pencerahannya, insyaAllah.

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ فَيَبْدَأُ بِالصَّلَاةِ فَإِذَا صَلَّى صَلَاتَهُ وَسَلَّمَ قَامَ فَأَقْبَلَ عَلَى النَّاسِ وَهُمْ جُلُوسٌ فِي مُصَلَّاهُمْ فَإِنْ كَانَ لَهُ حَاجَةٌ بِبَعْثٍ ذَكَرَهُ لِلنَّاسِ أَوْ كَانَتْ لَهُ حَاجَةٌ بِغَيْرِ ذَلِكَ أَمَرَهُمْ بِهَا وَكَانَ يَقُولُ تَصَدَّقُوا تَصَدَّقُوا تَصَدَّقُوا وَكَانَ أَكْثَرَ مَنْ يَتَصَدَّقُ النِّسَاءُ ثُمَّ يَنْصَرِفُ. فَلَمْ يَزَلْ كَذَلِكَ حَتَّى كَانَ مَرْوَانُ بْنُ الْحَكَمِ فَخَرَجْتُ مُخَاصِرًا مَرْوَانَ حَتَّى أَتَيْنَا الْمُصَلَّى فَإِذَا كَثِيرُ بْنُ الصَّلْتِ قَدْ بَنَى مِنْبَرًا مِنْ طِينٍ وَلَبِنٍ فَإِذَا مَرْوَانُ يُنَازِعُنِي يَدَهُ كَأَنَّهُ يَجُرُّنِي نَحْوَ الْمِنْبَرِ وَأَنَا أَجُرُّهُ نَحْوَ الصَّلَاةِ فَلَمَّا رَأَيْتُ ذَلِكَ مِنْهُ قُلْتُ أَيْنَ الِابْتِدَاءُ بِالصَّلَاةِ فَقَالَ لَا يَا أَبَا سَعِيدٍ قَدْ تُرِكَ مَا تَعْلَمُ قُلْتُ كَلَّا وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَا تَأْتُونَ بِخَيْرٍ مِمَّا أَعْلَمُ ثَلَاثَ مِرَارٍ ثُمَّ انْصَرَفَ

Terjemahan: Daripada Abu Sa’id al-Khudri, (beliau menjelaskan):

“Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam keluar pada hari ‘Iedul Adha dan ‘Iedul Fitri, lalu beliau memulakannya dengan solat. Ketika beliau telah menyelesaikan solatnya dan mengucapkan salam, beliau bangkit berdiri dan menghadap kepada manusia (orang ramai yang hadir) sementara orang ramai tersebut dalam keadaan dudu di tempat solat masing-masing. Sekiranya beliau memiliki keperluan untuk mengirim (pasukan), maka beliau mengingatkan orang ramai tentang itu, atau sekiranya beliau memiki keperluan lain, maka beliau memerintahkan mereka untuk melakukannya. Beliau bersabda, “Bersedekahlah kamu, bersedekahlah kamu semua.” Orang yang paling banyak bersedekah adalah kaum wanita, kemudian beliau berganjak dari tempatnya. Perbuatan seperti ini sentiasa dilakukan sehingga pada zaman pemerintahan Marwan B. Al-Hakam. Aku keluar sambil memegang tangan Marwan sehinggalah sampai ke Mushalla (tempat solat). Di sana nampaknya Katsir B. Ash-Shalt telah membuat mimbar dari tanah liat dan batu bata. Tiba-tiba Marwan menarik tangannya sambil seakan-akan ia menarikku sama ke arah mimbar. Manakala aku pula menariknya untuk melaksanakan solat. Ketika aku melihat situasi ini berlaku, aku pun mengatakan,

“Kenapa tidak dimulakan dengan perlaksanaan solat terlebih dahulu?” Maka beliau pun menjawab, “Tidak, wahai Abu Sa’id. Sesungguhnya perbuatan tersebut telah ditinggalkan tanpa pengetahuanmu.” Aku katakan, “Sekali-kali bukanlah demikian sepatutnya. Demi jiwaku yang berada di Tangan-Nya, kamu tidak melakukan kebaikan dari apa yang telah aku ketahui.” Beliau mengucapkan tiga kali, kemudian pergi.” (Hadis Riwayat Muslim, 4/403, Bab Solat al-‘Iedain, no. 1472. Syarah Shahih Muslim, 6/178)

Penjelasan Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkenaan teguran Abu Sa’id al-Khudri radhiyallahu ‘anhu kepada Marwan B. Al-Hakam tersebut:

فيه أن الخطبة للعيد بعد الصلاة وفيه الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر وان كان المنكر عليه واليا وفيه أن الانكار عليه يكون باليد لمن أمكنه ولا يجزئ عن اليد اللسان مع امكان اليد

1 – (Dapat difahami bahawa) Khutbah hari raya dilaksanakan setelah solat.

2 – Amar ma’ruf nahi mungkar perlu dilaksanakan walaupun yang ditegah adalah seorang pemimpin.

3 – Mencegah kemungkaran adalah dengan tangan bagi sesiapa yang mampu, dan dengan lisan sekiranya tidak dapat dengan tangan sebagai pengganti sekiranya seseorang mampu melaksanakannya. (Syarah Shahih Muslim, 6/177-178)

Di antara syarat-syarat mampu (secara ringkas) adalah:

1 – Memiliki ilmu dan kelayakan (autoriti).

2 – Terdapat maslahah.

3 – Tidak menimbulkan mudharat yang lebih besar berbanding yang sedia ada.

4 – Berdasarkan pertimbangan masa dan tempat yang sesuai sebagaimana garis panduan asal dalam memberikan sebuah teguran dan nasihat.

Kemudian beliau (an-Nawawi rahimahullah) menyatakan:

قوله لا تأتون بخير مما أعلم هو كما قال لأن الذي يعلم هو طريق النبي صلى الله عليه و سلم وكيف يكون غيره خيرا منه قوله ثم انصرف قال القاضي عن جهة المنبر إلى جهة الصلاة وليس معناه أنه انصرف من المصلى وترك الصلاة معه بل في رواية البخاري أنه صلى معه وكلمه في ذلك بعد الصلاة وهذا يدل على صحة الصلاة بعد الخطبة ولولا صحتها كذلك لما صلاها معه واتفق أصحابنا على أنه لو قدمها على الصلاة صحت ولكنه يكون تاركا للسنة مفوتا للفضيلة

Perkataan Abu Sa’id al-Khudri, “kamu tidak melakukan kebaikan dari apa yang telah aku ketahui.” Inilah yang beliau nyatakan dan ketahui berdasarkan apa yang dilaksanakan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Jadi, bagaimana mungkin ada cara lain lagi yang lebih baik (daripada cara Nabi)?

Perkataan beliau, “Kemudian beliau pun pergi,” al-Qadhi berkata, “(Maksudnya) beliau pergi dari arah mimbar untuk melaksanakan solat (mengambil tempat), bukan pergi dari tempat solat tersebut sehingga tidak solat bersamanya (Marwan B. Al-Hakam). Malah, dalam riwayat al-Bukhari disebutkan bahawasanya Abu Sa’id tetap solat bersama Marwan, dan kemudiannya berbicara berkaitan persoalan tersebut setelah solat. Ini menunjukkan sahnya solat setelah khutbah. Sekiranya tidak sah, nescaya Abu Sa’id tidak solat bersamanya. Sahabat-sahabat kami sepakat bahawa sekiranya khutbah didahulukan ke atas solat, maka tetap sah, tetapi perbuatan tersebut (mendahulukan khutbah sebelum solat ‘Ied), ianya termasuk meninggalkan sunnah dan tidak memiliki keutamaan...” (Syarah Shahih Muslim, 6/178)

Setelah meneliti Syarah an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkaitan hadis Abu Sa'id al-Khudri dan tindakannya tersebut - Sama ada ia boleh digunakan sebagai dalil untuk menegur pemerintah secara terbuka atau tidak. Maka, berikut perincian dan pencerahannya secara ringkas:

1 - Hadis tersebut adalah berkaitan teguran yang dilakukan ketika ibadah solat yang hendak dilakukan. Di mana pada ketika itu, berlaku kesalahan apabila khutbah 'Ied didahulukan sebelum solat. Dalam soal praktik ibadah, memang dibenarkan tegur secara langsung, supaya praktik ibadah sentiasa berada dalam keadaan sempurna. Sebagaimana biasa juga tentang persoalan tersalah menghadap kiblat, tersalah bacaan dalam solat, atau kesalahan-kesalahan lainnya berkaitan solat (atau praktik ibadah), ia boleh ditegur secara langsung pada waktu tersebut bagi memperbaiki keadaan.

2 - Apa yang dapat kita lihat adalah, Abu Sa'id al-Khudri radhiyallahu ‘anhu telah melaksanakan teguran secara langsung dan berdepan. Beliau menjelaskan dengan hujjah yang jelas berdasarkan apa yang beliau ketahui daripada Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

3 - Walau bagaimanapun, nasihat Abu Sa'id al-Khudri tersebut tidak diterima oleh Marwan B. al-Hakam. Dan beliau tetap meneruskan khutbahnya sebelum solat dengan alasan supaya lebih ramai yg akan mendengar khutbahnya.

4 - Walaupun demikian, apa tindakan Abu Sa'id al-Khudri seterusnya? Yang jelas, Abu Sa'id tidak memberontak atau menjadikan suasana tegang sehingga mencanangkan keburukan tersebut. Abu Sa’id bertindak meninggalkan mimbar (dari tempat dia ditarik tersebut), dan kembali mengambil tempat untuk solat. Lebih manis, Abu Sa'id tetap melaksanakan solat bersama-sama Marwan B. al-Hakam tersebut.

5 - Apa yang dilakukan oleh Abu Sa'id seterusnya adalah beliau menunggu sehingga tamatnya solat 'Ied, kemudian beliau pergi menemui Marwan B. al-Hakam secara berduaan dan beliau mengadakan perbincangan dan nasihat secara langsung.

6 – Bahkan sebenarnya hadis ini menunjukkan hujjah menegur pemimpin adalah secara tertutup dan bukan terbuka di khalayak ramai, apatah lagi untuk mencanangkannya. Hikmah dalam soal ini antaranya adalah dalam rangka menjaga ‘aib dan kredibiliti seseorang pemimpin, di samping agar sesebuah nasihat itu lebih mudah diterima, meraih maslahah, dan mengelakkan pelbagai mudharat lainnya yang lebih besar..

Rujuk Dalam Syarah Shahih Muslim, 6/478 berkaitan hadis tersebut dalam bab Solat 'Iedain.

Wallahu a'lam...