“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Isnin, Januari 31, 2011

Islam Benci Budaya Berebut Kerusi Politik

Islam Benci Budaya Berebut Kerusi Politik



Sekiranya kita melihat apa yang banyak berlaku di sekitar kita hari ini, perebutan jawatan kepimpinan sesama umat Islam bukanlah suatu yang asing. Apabila ini berlaku, maka banyaklah perkara yang tidak sepatutnya berlaku telah pun berlaku. Hubungan persahabatan dan persaudaraan sesama Islam banyak yang menjadi renggang dan tegang.

Inilah antara senario semasa yang agak menyedihkan. Hanya kerana jawatan kepimpinan tertentu, kita sesama umat Islam malah satu bangsa bertelagah tidak henti-henti. Pelbagai adegan yang begitu buruk dan mencemarkan imej umat Islam sentiasa mengiringi perbalahan rebut jawatan. Perbuatan melondeh aib sudah menjadi perkara biasa. Kata-kata cacian, kesat dan keji dihambur sesama sendiri. Apa yang tidak ada dan tidak pasti, sengaja ditimbulkan dan diada-adakan. Sehingga hal-hal dalam kain dan selimut pun habis diselongkar dan dicanang. Harta dan wang jadi pertaruhan. Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’ala telah mengeluarkan larangan dengan firman-Nya,

وَلا تَجَسَّسُوا وَلا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ

“Janganlah mencari-cari keburukan orang dan jangan pula saling memburuk-burukkan (memfitnah) di antara satu sama lain. Adakah sesiapa di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik dengannya. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Hujuraat, 49: 12)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga telah memberi amaran,

سِبَابُ الْمُسْلِمِ فُسُوقٌ وَقِتَالُهُ كُفْرٌ

“Mencaci orang muslim adalah perbuatan fasiq dan membunuhnya (tanpa haq) adalah perbuatan kufur.” (Muttafaq ‘alaih)

Jika kita perhatikan dengan baik, sekiranya bukan kerana urusan merebut jawatan dan kerusi politik, nescaya mereka tidak akan bertindak sebegitu rupa dengan saling mencaci sesama sendiri.

Sebenarnya secara syar’i, meminta-minta jawatan kepimpinan itu sendiri sahaja sudah ditegah. Inikan pula mahu berebut-rebutan sehingga bergasak sesama sendiri. Sungguh buruk rupa keadaannya. Dalam beberapa hadis, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menasihatkan dan mengingatkan supaya tidak memberikan sebarang jawatan kepimpinan kepada sesiapa sahaja yang memintanya.

Dalam sebuah riwayat yang sahih, Abu Musa al-Asy’ari radhiyallahu ‘anhu bersama-sama dua orang sepupunya datang berjumpa Rasulullah. Kemudian, salah seorang dari sepupu Abu Musa pun berkata kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, jadikanlah kami pemimpin kepada salah satu daerah (wilayah) yang Allah Ta’ala telah berikan kepadamu.” Seorang lagi dari sepupu Abu Musa pun menyatakan hasrat yang sama. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

إِنَّا وَاللَّهِ لَا نُوَلِّي عَلَى هَذَا الْعَمَلِ أَحَدًا سَأَلَهُ وَلَا أَحَدًا حَرَصَ عَلَيْهِ

“Demi Allah, kami tidak akan memberikan kerusi kepimpinan ini kepada sesiapa pun yang meminta dan berusaha ingin mendapatkannya.” (Hadis Riwayat Muslim, 9/344, no. 3402)

Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) meletakkan hadis ini dalam kitabnya, Riyadhus Shalihin dan Syarah Shahih Muslim pada bab, “Larangan Meminta Kerusi Kepimpinan dan Berusaha Mendapatkannya.”

Dalam hadis yang lain, beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga bersabda,

إِنَّكُمْ سَتَحْرِصُونَ عَلَى الْإِمَارَةِ وَسَتَكُونُ نَدَامَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ

“Kamu selalu berusaha (atau berhasrat) untuk menjadi pemimpin, padahal ia akan menjadikan kamu menyesal pada hari Kiamat kelak.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 22/59, no. 6615)

Kalau kita lihat dari sejarah para nabi sendiri, nabi manakah yang bertindak mencari-cari atau meminta-minta jawatan kepimpinan bagi tujuan dakwah dan alasan tertentu? Sudah tentu tiada. Sekiranya ada pun, mereka akan memintanya kepada Allah dan bukan kepada manusia sehingga saling berebut sesama sendiri. Sekiranya untuk tujuan dakwah pun tiada contohnya dari para Nabi supaya meminta-minta jawatan, bagaimana pula untuk selainnya yang tidaklah lebih penting dari urusan menegakkan agama Allah?

Jika kita melihat dari apa yang berlaku hari ini, kebanyakan individu atau kumpulan-kumpulan tertentu yang berusaha untuk mendapatkan kerusi-kerusi kepimpinan, kebanyakan dan kebiasaan dari mereka akan berusaha gigih meraihnya dengan apa cara sekalipun walau sehingga melanggar batas-batas agama, saling menindas, memutuskan tali persaudaraan, dan akhirnya sehingga mengundang perpecahan yang melemahkan umat.

Benarlah apa yang disebutkan oleh Imam ash-Shan’ani rahimahullah (Wafat: 1182H) dalam mensyarahkan hadis-hadis berkaitan,

وإنما نهى عن طلب الإمارة لأن الولاية تفيد قوة بعد ضعف وقدرة بعد عجز تتخذها النفس المجبولة على الشر وسيلة إلى الانتقام من العدو والنظر للصديق وتتبع الأغراض الفاسدة ولا يوثق بحسن عاقبتها ولا بالإجماع مجاورتها فالأولى أن لا تطلب ما أمكن

“Larangan meminta jawatan kepimpinan adalah kerana kekuasaan dapat menjadikan mereka yang lemah menjadi lebih kuat (berkuasa) lagi berwibawa sehingga memberi peluang kepada hawa nafsunya yang (selama ini) cenderung kepada keburukan untuk melepaskan dendam terhadap para lawannya. Sebaliknya akan bertindak untuk kepentingan teman-temannya sahaja serta mengikuti keinginan-keinginan buruknya tanpa mempedulikan akibat dan keselamatan orang di sekitarnya. Dengan sebab itulah, tindakan untuk tidak meminta-minta jawatan tersebut merupakan sikap yang terbaik (lebih aman dari fitnah).” (ash-Shan’ani, Subulus Salam, 4/117)

Dalam hadis yang lain Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mengingatkan ketika berkata kepada ‘Abdurrahman B. Samurah,

لَا تَسْأَلْ الْإِمَارَةَ فَإِنَّكَ إِنْ أُوتِيتَهَا عَنْ مَسْأَلَةٍ وُكِلْتَ إِلَيْهَا وَإِنْ أُوتِيتَهَا مِنْ غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ عَلَيْهَا

“Janganlah kamu meminta jawatan kepimpinan (dalam politik). Apabila jawatan tersebut diberikan kepada kamu disebabkan kamu memintanya, maka jawatan tersebut akan menjadi bebanan bagi kamu. Tetapi sekiranya jawatan tersebut diberikan bukan kerana permintaan kamu, maka kamu akan dibantu dalam menguruskannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 20/302, no. 6132)

والحكمة في أنه لا يولى من سأل الولاية أنه يوكل إليها ولا تكون معه إعانة كما صرح به في حديث عبد الرحمن بن سمرة السابق وإذا لم تكن معه إعانة لم يكن كفئا ولا يولى غير الكفء ولأن فيه تهمة للطالب والحريص

Imam an-Nawawi menyatakan, “Di antara hikmah supaya tidak dilantik para pemimpin itu dari mereka yang memintanya adalah kerana dia akan menanggung beban dan tidak ada yang membantunya sebagaimana dijelaskan dalam hadis yang diriwayatkan ‘Abdurrahman B. Samurah tadi. Apabila tiada orang yang membantu bersamanya, bermakna jawatan tersebut akan menjadi beban. Juga tidak boleh melantik orang yang tidak layak kerana akan menimbulkan dakwaan (kebencian) bagi yang memintanya dan orang-orang yang berusaha mendapatkannya.” (Syarah Shahih Muslim, 12/207)

Perkara ini adalah sebagaimana yang dapat kita lihat berlaku di sekitar kita hari ini di mana ketika masing-masing berebut jawatan kepimpinan (sebagaimana dalam pilihan raya), pelbagai janji dan rancangan kebaikan ditabur sehingga mereka sendiri tidak sedar bahawa janji-janji manis tersebut bakal menjadi beban kepada mereka di masa hadapan. Setelah janji ditabur, banyak pula tidak mampu ditunaikan. Pelbagai alasan pun mula direka. Akhirnya jadilah mereka sebagai orang-orang yang cakap tidak serupa bikin, mula berbohong, bersumpah palsu dan akhirnya menjadi pendusta. Bentuk-bentuk sikap seperti ini adalah di antara sikap yang sangat dibenci oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Allah berfirman,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لا تَفْعَلُونَ. كَبُرَ مَقْتًا عِنْدَ اللَّهِ أَنْ تَقُولُوا مَا لا تَفْعَلُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, kenapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu lakukan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan perkara-perkara yang tidak kamu laksanakan.” (Surah ash-Shaff, 61: 2-3)

Sebahagian ulama salaf (generasi awal) menyatakan bahawa ayat ini merupakan dalil yang menunjukkan memenuhi janji itu adalah wajib secara mutlak. Selain itu, Rasulullah juga telah mengkhabarkan melalui sabdanya,

أَرْبَعٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنَافِقًا خَالِصًا وَمَنْ كَانَتْ فِيهِ خَلَّةٌ مِنْهُنَّ كَانَتْ فِيهِ خَلَّةٌ مِنْ نِفَاقٍ حَتَّى يَدَعَهَا إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ

“Terdapat empat perkara yang sesiapa pada dirinya ada keempat-empat perkara tersebut, maka dia adalah seorang munafiq sejati. Dan sesiapa yang di dalam dirinya ada satu perkara dari empat perkara tersebut, maka orang tersebut memiliki pula sebahagian dari ciri-ciri kemunafikan sehingga dia benar-benar meninggalkannya. Iaitu jika diberi amanah ia khianat, jika berbicara ia berdusta, jika berjanji ia tidak menunaikannya, dan jika dia bertengkar ia melakukan kecurangan.” (Muttafaq ‘alaih)

Walau demikian jelas dalil-dalil larangan berebut dan meminta-minta jawatan, sebahagian mereka yang berdegil berusaha menyebarkan syubhat dengan membawakan dalil kisah Nabi Yusuf ‘alaihis Salam. Di mana Yusuf ‘alaihis Salam sendiri pernah meminta supaya dijadikan bendaharawan yang menjaga harta dan khazanah negara daripada Raja Mesir ketika itu. Ini sebagaimana keratan ayat 55 Surah Yusuf, “(Yusuf berkata kepada sang raja): Jadikanlah aku bendaharawan Negara (Mesir).”

Secara ringkas, syubhat (kekeliruan) tersebut dapat dijawab dengan melihat keseluruhan ayat yang berkaitan. Sebenarnya Nabi Yusuf ‘alaihis Salam asalnya tidak meminta sebarang jawatan pun daripada Raja Mesir. Sebaliknya beliau dipanggil oleh sang raja untuk ditawarkan suatu kedudukan (pangkat) yang tinggi di sisi raja. Dengan sebab itulah kemudian Nabi Yusuf pun berkata, “Jadikanlah aku bendaharawan Negara (Mesir).” Ini sebenarnya adalah penjelasan supaya beliau diletakkan pada tempat yang beliau memiliki kebolehan mengendalikannya dengan baik jika benar-benar beliau mahu ditawarkan jawatan. Di samping beliau tetap kekal bebas menjalankan tanggungjawabnya terhadap Allah tanpa terikat dengan mana-mana perundangan yang bertentangan syari’at atau menyekat. Ini adalah sebagaimana ayat Surah Yusuf berikut,

وَقَالَ الْمَلِكُ ائْتُونِي بِهِ أَسْتَخْلِصْهُ لِنَفْسِي فَلَمَّا كَلَّمَهُ قَالَ إِنَّكَ الْيَوْمَ لَدَيْنَا مَكِينٌ أَمِينٌ. قَالَ اجْعَلْنِي عَلَى خَزَائِنِ الأرْضِ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ

“Raja berkata, “Bawalah Yusuf kepadaku, supaya aku memilih dia sebagai orang yang dekat denganku (sebagai pembesar).” Maka ketika raja telah bercakap-cakap dengannya, dia pun berkata, “Sesungguhnya kamu (mulai) hari ini menjadi seorang yang berkedudukan tinggi lagi dipercayai pada sisi kami." Berkata Yusuf, “Jadikanlah aku bendaharawan negara (Mesir), sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga (hafiiz) lagi berilmu.” (Surah Yusuf, 12: 54-55)

Pada ayat seterusnya, Allah Subhanahu wa Ta’ala menjelaskan pula bahawa Dia-lah sebenarnya yang memberikan kedudukan tersebut kepada Yusuf ‘alaihis Salam. Sekaligus menunjukkan bukanlah Yusuf sendiri yang meminta-minta jawatan. Allah berfirman,

وَكَذَلِكَ مَكَّنَّا لِيُوسُفَ فِي الأرْضِ يَتَبَوَّأُ مِنْهَا حَيْثُ يَشَاءُ نُصِيبُ بِرَحْمَتِنَا مَنْ نَشَاءُ وَلا نُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ

“Dan demikianlah Kami memberi kedudukan kepada Yusuf di negeri Mesir. Dia (Yusuf) bebas untuk pergi ke mana sahaja yang dia kehendaki di bumi Mesir tersebut. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang muhsinin.” (Surah Yusuf, 12: 56)

Demikianlah balasan bagi seorang hamba yang sentiasa ikhlas (muhsinin) dalam mentaati perintah dan larangan Allah. Di mana Allah jua yang membalas kebaikan yang diusahakannya. Sekiranya ada di antara kita yang berhajat dengan kedudukan dan kuasa, maka renungkanlah hadis-hadis yang disebutkan tadi dan fikirkanlah pula akan bebannya. Hargailah sebuah persaudaraan dan keharmonian yang ada, perkukuhkanlah ia, bukan direnggangkan. Selain tanggungjawab yang besar terhadap masyarakat, kita juga perlu menjaga tanggungjawab terhadap Allah Subhanahu wa Ta’ala. Iaitu dengan menegakkan hukum-hukum Allah di samping perlu sentiasa memelihara diri bersama para rakyat dari terjerumus ke kancah larangan dan maksiat terhadap Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Sebagai menutup tulisan ini, penulis akhiri dengan mutiara nasihat daripada Sufyan ats-Tsauri rahimahullah.

Beliau berkata:

قال الأحنف قال لنا عمر بن الخطاب تفقهوا قبل أن تسودوا قال سفيان لأن الرجل إذا أفقه لم يطلب السؤدد

al-Ahnaf pernah berkata, “‘Umar B. al-Khaththab mengatakan kepada kami:

“Fahamilah agama sebelum memegang kekuasaan.”

Sufyan menjelaskan perkataan ‘Umar tersebut, “Kerana jika seseorang telah memahami agama, dia tidak akan berhasrat terhadap kekuasaan.” (Ibnul Jauzi, Shifah ash-Shafwah, 2/236)

Wallahu a’lam.

Isnin, Januari 24, 2011

Memahami Hukum Bersalaman Dengan Bukan Mahram

Memahami Hukum Bersalaman Dengan Bukan Mahram

Oleh: Nawawi B. Subandi
http://an-nawawi.blogspot.com


Gejala Ikhtilath (percampuran di antara kaum lelaki dengan wanita) semakin dianggap perkara biasa. Mereka saling bersentuhan kulit, bersalaman tangan, bertepuk-tampar, bersenda-gurau, sehingga ada yang berpelukan sesama sendiri tanpa timbul sebarang rasa bersalah. Lebih merisaukan apabila ada yang menganggap bahawa ia tidak termasuk kesalahan di sisi agama. Di antara sebab-sebab perkara ini terus berleluasa mungkin adalah kerana faktor lemahnya iman, budaya persekitaran yang penuh syubhat, terkesan dengan pelbagai adegan filem dan drama, dan ketidak-tahuan mereka terhadap dalil-dalil berkaitan yang menjelaskan persoalan tersebut secara jelas.

Di samping adanya beberapa fatwa meragukan dari tokoh-tokoh tertentu masakini yang mengharuskan bersalaman di antara lelaki dan wanita ajnabiyah (bukan mahram) dalam keadaan tertentu. Ini adalah sebagaimana yang diutarakan dan ditunjukkan antaranya oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi berpandukan beberapa tafsiran dan takwilan yang dikemukakannya. Apa pun, fatwa beliau tersebut wajar ditinggalkan dengan mendahulukan apa yang telah jelas dan bebas dari syubhat sebagaimana ditunjukkan oleh akhlak Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan para sahabatnya sebagaimana dalil-dalil yang bakal dikemukakan.

Dalil pertama

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

لأن يطعن في رأس رجل بمخيط من حديد خير من أن يمس امرأة لا تحل له

“Sekiranya kepala salah seorang daripada kamu ditusuk dengan jarum besi, itu adalah lebih baik bagi kamu daripada kamu menyentuh wanita yang tidak halal bagi kamu.” (Hadis Riwayat ath-Thabrani. Dinilai sahih oleh al-Mundziri, al-Haitsami, dan al-Albani)

Syaikh al-Albani rahimahullah berkata, “Pada hadis ini terdapat ancaman yang keras (tegas) kepada sesiapa sahaja yang menyentuh wanita ajnabiyah (yang bukan mahram). Padanya juga terdapat dalil atas haramnya bersalaman (mushofahah) dengan wanita. Sebab itu, tidak diragukan bahawa bersalaman itu mengandungi unsur bersentuhan. Pada masa ini, umat Islam banyak diuji dengan situasi ini, dan di antara mereka adalah dari kalangan ahli ilmu. Sekiranya mereka mengingkari perkara tersebut dengan hati mereka, tentu ada sedikit kemudahan untuk menasihati mereka. Tetapi sayangnya, mereka menghalalkan perkara tersebut dengan pelbagai cara (jalan) dan takwilan (penafsiran).” (Rujuk: al-Albani, as-Silsilah ash-Shahihah, 1/225)

Dalil Kedua

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

كُتِبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ نَصِيبُهُ مِنْ الزِّنَا مُدْرِكٌ ذَلِكَ لَا مَحَالَةَ فَالْعَيْنَانِ زِنَاهُمَا النَّظَرُ وَالْأُذُنَانِ زِنَاهُمَا الِاسْتِمَاعُ وَاللِّسَانُ زِنَاهُ الْكَلَامُ وَالْيَدُ زِنَاهَا الْبَطْشُ وَالرِّجْلُ زِنَاهَا الْخُطَا وَالْقَلْبُ يَهْوَى وَيَتَمَنَّى وَيُصَدِّقُ ذَلِكَ الْفَرْجُ وَيُكَذِّبُهُ

“Persoalan anak Adam berkaitan zina telah ditentukan. Tidak mustahil ia pasti melakukannya. Dua mata berzina dengan melihat, dua telinga berzina dengan mendengar, lidah berzina dengan berkata-kata, tangan berzina dengan menyentuh, kaki berzina dengan melangkah, hati berzina dengan angan-angan (kehendak), dan kemaluanlah yang akan membenarkan (merealisasikan) atau mendustakan semua itu.” (Sahih: Hadis Riwayat Muslim)

Kaedah pengambilan dalil dari hadis ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah,

وَالْيَدُ زِنَاهَا الْبَطْشُ

“... dan tangan berzina dengan menyentuh.” (Dari hadis di atas)

Dalam riwayat Ahmad disebutkan,

وَالْيَدُ زِنَاهَا اللَّمْسُ

“... dan tangan berzina dengan menyentuh.”

Dalam riwayat Ibnu Hibban juga disebutkan,

وَالْيَدُ زِنَاؤُهَا اللَّمْسُ

“... dan tangan berzina dengan menyentuh.”

Imam an-Nawawi rahimahullah menjelaskan, “Makna hadis di atas adalah bahawa setiap anak Adam itu mungkin ada yang ditakdirkan untuk melakukan perbuatan zina. Di antara mereka ada yang melakukan zina dengan sebenar-benarnya, iaitu dengan memasukkan kemaluannya ke dalam kemaluan wanita secara haram. Di antara mereka ada yang zinanya secara majaz (kiasan), iaitu dengan melihat perkara-perkara yang haram, atau dengan mendengar sesuatu yang mengajak kepada perzinaan dan usaha-usaha untuk melakukan kepada zina, atau dengan sentuhan tangan, atau menyentuh wanita ajnabiyah (yang bukan mahram) dengan tangannya, atau menciumnya. Atau dengan melangkah kaki menuju tempat perzinaan, melihat, menyentuh, atau berkata-kata dengan cara yang haram bersama dengan wanita ajnabiyah (yang bukan mahram), atau berangan-angan (imaginasi atau berniat) dengan hatinya. (an-Nawawi, Syarah Shahih Muslim, 16/206)

Dalil ketiga

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak pernah bersalaman dengan wanita yang bukan mahram baginya walaupun dalam perlaksanaan proses bai’at. Secara umumnya tuntutan proses ini berlaku dengan cara bersalaman, iaitu apabila dilakukan di antara Nabi dengan para sahabat lelaki yang lain.

Umaimah Binti Ruqaiqah menyatakan,

أتيت رسول الله صلى الله عليه وسلم في نساء لنبايعه، فأخذ علينا ما في القرآن: { أَنْ لا يُشْرِكْنَ بِاللَّهِ شَيْئًا } الآية، وقال: "فيما استطعتن وأطقتن"، قلنا: الله ورسوله أرحم بنا من أنفسنا، قلنا: يا رسول الله، ألا تصافحنا؟ قال "إني لا أصافح النساء، إنما قولي لامرأة واحدة كقولي لمائة امرأة

“Aku pernah pergi menemui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersama beberapa orang wanita untuk melakukan bai’at (perjanjian taat setia) kepada beliau. Maka beliau pun membai’at kami dengan apa yang terdapat dalam al-Qur’an, iaitu kami tidak boleh mensyirikkan Allah dengan segala sesuatu. Lalu beliau bersabda, “Iaitu berkenaan dengan apa yang kamu mampu dan sanggupi.”

Maka kami pun berkata, “Allah dan Rasul-Nya yang lebih menyayangi kami daripada diri kami sendiri.” Seterusnya kami bertanya, “Wahai Rasulullah, tidakkah kita perlu bersalaman?”

Beliau menjawab, “Sesungguhnya aku tidak bersalaman dengan wanita. Ucapanku kepada seorang wanita bersamaan dengan untuk seratus orang wanita.” (Sahih: Hadis Riwayat Ahmad)

Syaikh Muhammad al-Amin asy-Syanqithi rahimahullah berkata, “Bahawasanya telah tsabit daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam beliau bersabda, “Sesungguhnya aku tidak pernah bersalaman dengan kaum wanita.” Dan Allah telah berfirman, “Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu contoh tauladan yang baik.” Dengan itu, demi untuk mencontohi (mengikuti) beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, maka kita tidak bersalaman tangan dengan wanita ajnabiyah... dan sikap beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang tidak bersalaman tangan dengan wanita di ketika melakukan bai’ah adalah merupakan dalil yang sangat jelas bahawa seseorang lelaki tidak boleh bersalaman tangan dengan wanita yang bukan mahramnya dan tidak dibenarkan sama sekali dari anggota badannya menyentuhnya. Ini adalah kerana bentuk sentuhan yang paling ringan adalah dengan bersalaman. Apabila Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri enggan untuk bersalaman dengan wanita ajnabiyah di ketika waktu-waktu yang sangat diperlukan untuk bersalaman iaitu di ketika waktu berbai’ah, maka ini menunjukkan bahawa bersalaman tangan dengan kaum wanita ajnabiyah adalah tidak dibenarkan. Sesiapa pun tidak wajar untuk menyelisihi beliau. Kerana beliau adalah yang menetapkan syari’at untuk umat beliau sama ada dengan ucapan, perbuatan, ataupun pembenaran (taqrir).” (al-Amin asy-Syanqitihi, Adhwa’ul Bayan fii Idhahal Qur’an bil Qur’an, 6/256)

Imam an-Nawawi rahimahullah berkata, “Perkataan (suara) wanita ajnabiyah boleh kita dengari apabila ada keperluan, dan suaranya tidak termasuk aurat (apabila tidak berlebih-lebihan – pent.). Menyentuh kulit wanita ajnabiyah tidak dibolehkan tanpa adanya alasan darurat seperti sebab perubatan, pendarahan, bekam, mencabut gigi, dan seumpamanya, di mana apabila tiada wanita yang boleh melakukannya. Maka pada ketika itu lelaki yang bukan mahram dibenarkan melakukannya atas faktor keterpaksaan tertentu.” (Imam an-Nawawi, Syarah Shahih Muslim, 13/10)

Beliau juga berkata, “Disebabkan melihat wanita yang bukan mahram itu diharamkan (terdapat perintah menundukkan pandangan – pent.), sudah tentu menyentuh kulitnya lebih diharamkan lagi. Ini adalah kerana menyentuh lebih mudah membangkitkan syahwat.” (Imam an-Nawawi, Raudhatut Thalibin wa ‘Umdatul Muftiin, 7/27)

Demikianlah antara dalil-dalil utama dan penegasan para ulama ahlus Sunnah wal-jama’ah dalam persoalan hukum bersentuhan kulit (termasuk bersalaman) di antara lelaki dengan wanita bukan mahram yang disengajakan. Sama ada berlapik atau bersarung tangan, maka ia tetap terlarang. Tidak pernah pula dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Walau bagaimanapun, bersalaman atau bersentuhan di antara suami dengan isteri adalah dibenarkan walaupun dalam keadaan berwudhu’ dan tidak terbatal wudhu’ mereka. Semoga kita selaku umat Islam diberikan kemudahan untuk memahami persoalan ini dengan baik. Sekiranya bersalaman dan bersentuhan pun termasuk perkara yang terlarang, fikirkanlah yang melampau dari itu! Wallahu ‘alam...

Sabtu, Januari 01, 2011

Pencerahan Istilah Negara Islam

Menolak Tanggapan Salah Istilah Negara Islam



Memiliki tanah dan kawasan tempat bernaung adalah salah satu lambang atau tanda kewujudan sesebuah negara. Setiap negara perlu memiliki kawasan (tanah) yang meliputi ruang daratan, bumi atau lautan, serta udara. Tanah adalah unsur utama dalam pembinaan sesebuah negara. Sesuatu kelompok masyarakat tidak akan dikatakan memiliki daulah dan kuasa pemerintahan selagi mereka tidak memiliki tanah. Penguasaan terhadap tanah adalah lambang berdirinya sesebuah negara sebagai tempat penduduknya berlindung menjalani kehidupan serta sebagai pusat menegakkan ketuanannya. Fungsi tanah tidak hanya menyentuh aspek geografi, tetapi juga berperanan dalam membina kekuatan maknawi dan menonjolkan ciri-ciri peribadinya. Setelah penguasaan terhadap tanah dapat difahami, barulah ia pergi kepada konteks keperibadian yang ditonjolkan olehnya yang sekaligus menentukan sifat dan wajah sesebuah negara.

Asalnya, definisi atau penentuan sesebuah negara sebagai negara Islam tidak disebutkan secara spesifik melalui al-Qur'an mahupun as-sunnah. Namun, dengan bertunjangkan prinsip-prinsip umum yang dijelaskan oleh dalil-dalil nabawi dan penegasan para ulama Ahlus Sunnah wal-Jama’ah, maka kita akan dapat lihat bahawa sesebuah Negara itu adalah Negara atau wilayah Islam (Daar al-Islam) apabila ia dipimpin dan dikuasai oleh umat Islam, pemimpinnya muslim, dan syi’ar solat bebas dilaksanakan di dalamnya tanpa sekatan. Kriteria asas ini kemudian dikuatkan lagi dengan majoriti penduduknya yang teguh berpegang kepada agama dan perundangan syari’ah pula ditegakkan di dalamnya.

Dasar paling asas ini dapat dilihat melalui sejarah pembentukan kota Islam Madinah selaku Negara Islam pertama oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Ketika baginda Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memasuki kota Madinah, perkara pertama yang ditegakkan oleh beliau adalah syi’ar-syi’ar solat. Ini difahami melalui langkah pertama beliau membina masjid Nabawi diikuti seruan azan. Setelah fasa tersebut berlangsung, Rasulullah bertindak mempersaudarakan kaum anshar dan muhajirin pula sebagai langkah awal semaian benih-benih perpaduan di kalangan umat Islam. Seterusnya berlaku pula perjanjian keamanan dengan golongan bukan Islam sehingga akhirnya Madinah terus berkembang sebagai sebuah kota Islam. Peristiwa bersejarah ini dapat dihayati antaranya melalui kitab al-Rahiq al-Makhtum, yang merupakan antara kitab sirah terbaik era ini susunan Syaikh Syafiyyurrahman al-Mubarakfuri rahimahullah.

Apabila kriteria asas ini dapat difahami, suara-suara sumbang pengkafiran dan penafian keislaman terhadap sesebuah negara yang dikuasai dan dipimpin oleh umat Islam tidak sepatutnya berlaku. Perlu kita fahami bahawa selagi seseorang pemimpin muslim menegakkan syi’ar solat dan masih menzahirkan keislamannya maka ia tetap wajib ditaati dan negara yang dipimpinnya adalah negara Islam sekalipun mungkin ia bertindak zalim serta berlaku fasiq. Ini kerana kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengkafirkan seseorang atas alasan semata-mata zalim dan fasiq. Maka, begitu juga dengan status sesebuah negara yang ia pimpin. Lebih-lebih lagi dalam masa sama, syari’at sendiri telah menjelaskan kaedah bermu’amalah dengan pemerintah sama ada yang adil mahupun sebaliknya. Dan perkara ini telah penulis jelaskan dalam beberapa siri tulisan sebelum ini.

Persoalan ini perlu dikembalikan kepada asasnya. Di mana bagi seseorang muslim yang zalim dan fasiq, ia masih tetap dianggap seorang muslim selagi mana ia melaksanakan solat dan menzahirkan keislamannya. Demikian juga bagi sesebuah negara, ia tidak dianggap berstatus kafir hanya disebabkan pemimpinnya yang zalim atau fasiq, atau dalam sistem pentadbirannya tidak melaksanakan sepenuhnya dari hukum-hukum Allah seperti perundangan hudud, ekonomi Islam, atau selainnya atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

لينقضن عرا الإسلام عروة عروة فكلما انتقضت عروة تشبت الناس بالتي تليها وأولهن نقضا الحكم وأخرهن الصلاة

“Ikatan-ikatan Islam akan terlepas satu demi satu. Di setiap kali ikatannya terlepas, ia diikuti oleh manusia (ikatan seterusnya akan terlepas). Dan yang pertama kali terlepas adalah hukum (perundangan) dan yang terakhir sekali adalah solat.” (Hadis Riwayat Ahmad, 36/485, no. 22160. Komentar Syu’aib al-Arnauth: Isnadnya Jayyid)

Berdasarkan hadis ini menunjukkan bahawa hukum Allah yang terpenting sekali dalam penzahiran keislaman adalah syi’ar solat. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga bersabda,

إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاةِ

“Bahawasanya yang membezakan di antara seseorang dengan kesyirikkan dan kekafiran adalah meninggalkan solat.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab al-Iman, 1/228, no. 116)

Ini mudah difahami kerana seseorang pemimpin dan pentadbiran sesebuah negara tidak bersifat maksum dan sentiasa terdedah kepada pelbagai kekurangan dan kelemahan yang perlu untuk sama-sama diperbaiki dan diperbetulkan. Bukan untuk sentiasa dikecam dan dikritik tanpa mahu membina.

Persoalan ini juga antaranya dapat diteliti dan saling berkait-rapat dengan dalil-dalil yang menyusun prinsip kewajiban mentaati pemerintah yang mana menunjukkan wujudnya larangan memerangi, menentang, dan menzahirkan sifat kepembangkangan kepada para pemimpin selagi mana mereka (para pemimpin) menzahirkan keislaman dan tetap menegakkan syi’ar dan seruan solat. Dalil-dalil dalam persoalan ini saling berkait-rapat dengan dalil-dalil dalam perbahasan berkaitan prinsip-prinsip Ahlus Sunnah wal-Jama’ah dalam mentaati pemerintah. Persoalan ini memerlukan ruang lain yang lebih besar bagi membahaskannya secara terperinci. Walau bagaimanapun secara ringkasnya di antara dalil utama yang digunakan dalam bab ini adalah sebuah hadis di mana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

إنه يستعمل عليكم أمراء فتعرفون وتنكرون فمن كره فقد برئ ومن أنكر فقد سلم ولكن من رضي وتابع قالوا يا رسول الله ألا نقاتلهم قال لا ما صلوا أي من كره بقلبه وأنكر بقلبه

“Akan diangkat para penguasa untuk kamu. Di mana kamu mengenalinya dan kemudian engkau mengingkarinya (kerana ia telah melakukan maksiat). Sesiapa yang benci, maka ia telah berlepas tangan. Sesiapa yang mengingkarinya, benar-benar ia telah selamat. Akan tetapi, sebaliknya pula kepada mereka yang redha dan patuh kepada keburukan pemimpin tersebut (dia tidak akan selamat)”. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah kami boleh memeranginya?”. Beliau menjawab: “Tidak, selagi mereka masih melaksanakan solat”. Iaitu sesiapa yang membenci dan mengingkari dengan hatinya.” (Hadis Riwayat Muslim, 9/401, no. 3446)

Untuk kefahaman hadis ini, Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menyebutkan perkataan al-Qadhi ‘Iyadh, “Para ‘ulama telah berijma’ (bersepakat) bahawa imamah (kepimpinan) tidak boleh diserahkan kepada orang kafir dan apabila secara tiba-tiba kekafiran terjadi padanya, maka ia dilucutkan (sebagai pemimpin). Dan beliau turut menyatakan, “Begitu juga apabila ia meninggalkan perlaksanaan solat dan seruan kepadanya (seruan solat).” (an-Nawawi, Syarah Shahih Muslim, 12/229)

Al-‘Allamah Mulla ‘Ali Al-Qari al-Hanafi (Wafat: 1014H) ketika menjelaskan hadis tersebut, beliau berkata,

إقامتهم الصلاة فيما بينكم لأنها علامة اجتماع الكلمة في الأمة قال الطيبي فيه إشعار بتعظيم أمر الصلاة وإن تركها موجب لنزع اليد عن الطاعة

“Mereka menegakkan solat bersama-sama kamu, kerana perkara tersebut merupakan tanda perpaduan bagi ummat (masyarakat). Telah berkata ath-Thibi, “Pada hadis tersebut terdapat maklumat yang menunjukkan keagungan persoalan solat di mana apabila ia ditinggalkan akan memberi kesan (akibat) terlepasnya tangan dari ketaatan.” (‘Ali al-Qari, Mirqatul Mafatih Syarah Misykat al-Mashabih, Kitab al-Imarah wal-Qadha’, 11/307 – al-Meshkah)

Imam asy-Syafi’i rahimahullah (Wafat: 204) melalui katanya,

والسمع لأولي الأمر ما داموا يصلون والموالاة لهم، ولا يخرج عليهم بالسيف

“Dan hendaklah kamu tetap mendengar (tidak melepaskan ketaatan) kepada pemerintah (ulil amri) selagi mana mereka masih melaksanakan solat dan hendaklah memberi kesetiaan kepada mereka serta tidak khuruj dengan pedang (menjadi pemberontak) terhadap mereka.” (as-Suyuthi, al-Amru bil Ittiba’ wan Nahi ‘anil Ibtida’, m/s. 313, Tahqiq Masyhur Hasan Salman – Daar Ibnul Qayyim)

Hadis ini memberi kefahaman bahawa suatu masa nanti akan berlaku pengangkatan kepimpinan yang dibenci di kalangan umat Islam. Keduanya, hadis ini memberi indikasi bahawa sesebuah pemerintahan Islam itu tidak tergugur selagi mana syi’ar solat ditegakkan, walaupun padanya terdapat beberapa bentuk kemungkaran dan kefasikan. Ketiganya, hadis ini membatalkan sebahagian pandangan yang menyatakan bolehnya menzahirkan penentangan, kepembangkangan, dan menafikan hak kepimpinanan bagi sesebuah negara disebabkan kelemahan tertentu, serta gagal melaksanakan perundangan syari’ah seperti hudud dan qishash. Manakala sebahagian pandangan yang lain ada yang menafikan keabsahan kepimpinan sesebuah negara semata-mata tidak ditegakkan Daulah Khilafah padanya. Pandangan tersasar ini sebenarnya mendekati ciri-ciri kelompok sesat Khawarij, Syi’ah, dan Mu’tazilah pada era awal Islam.

Seterusnya, bentuk kefahaman tentang kriteria asas sesebuah negara Islam ini juga dapat diambil berdasarkan penegasan para ulama. Di antaranya adalah penjelasan Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) dengan katanya,

وَكَوْنُ الْأَرْضِ دَارَ كُفْرٍ وَدَارَ إيمَانٍ أَوْ دَارَ فَاسِقِينَ لَيْسَتْ صِفَةً لَازِمَةً لَهَا ؛ بَلْ هِيَ صِفَةٌ عَارِضَةٌ بِحَسَبِ سُكَّانِهَا فَكُلُّ أَرْضٍ سُكَّانُهَا الْمُؤْمِنُونَ الْمُتَّقُونَ هِيَ دَارُ أَوْلِيَاءِ اللَّهِ فِي ذَلِكَ الْوَقْتِ وَكُلُّ أَرْضٍ سُكَّانُهَا الْكُفَّارُ فَهِيَ دَارُ كُفْرٍ فِي ذَلِكَ الْوَقْتِ وَكُلُّ أَرْضٍ سُكَّانُهَا الْفُسَّاقُ فَهِيَ دَارُ فُسُوقٍ فِي ذَلِكَ الْوَقْتِ فَإِنْ سَكَنَهَا غَيْرَ مَا ذَكَرْنَا وَتَبَدَّلَتْ بِغَيْرِهِمْ فَهِيَ دَارُهُمْ

“Bahawasanya penilaian terhadap sesebuah negara sama ada ia negara (daar) kuffar atau iman (Islam) atau fasiq, ianya bergantung kepada sifat penduduknya. Jika penduduk negara tersebut adalah orang-orang mukmin, maka itu adalah negara Islam (Aulia Allah) pada masa tersebut. Sekiranya penduduknya adalah orang-orang kafir maka itu adalah negara kafir pada masa tersebut. Sekiranya penduduknya adalah orang-orang fasiq, maka itu adalah negara fasiq pada masa tersebut. Dan sekiranya berlaku suatu masa penduduknya berganti, maka status negaranya juga bertukar.”

وَكَذَلِكَ الْمَسْجِدُ إذَا تَبَدَّلَ بِخَمَّارَةٍ أَوْ صَارَ دَارَ فِسْقٍ أَوْ دَارَ ظُلْمٍ أَوْ كَنِيسَةً يُشْرِكُ فِيهَا بِاَللَّهِ كَانَ بِحَسَبِ سُكَّانِهِ ؛ وَكَذَلِكَ دَارُ الْخَمْرِ وَالْفُسُوقِ وَنَحْوُهَا إذَا جُعِلَتْ مَسْجِدًا يُعْبَدُ اللَّهُ فِيهِ جَلَّ وَعَزَّ كَانَ بِحَسَبِ ذَلِكَ وَكَذَلِكَ الرَّجُلُ الصَّالِحُ يَصِيرُ فَاسِقًا وَالْكَافِرُ يَصِيرُ مُؤْمِنًا أَوْ الْمُؤْمِنُ يَصِيرُ كَافِرًا أَوْ نَحْوُ ذَلِكَ كُلٌّ بِحَسَبِ انْتِقَالِ الْأَحْوَالِ مِنْ حَالٍ إلَى حَالٍ

“Sebagaimana sesebuah masjid apabila ditukar menjadi tempat memproses khamar (arak), atau tempat untuk bersuka-ria (berpesta), atau tempat kesesatan, atau gereja di mana padanya tempat mensyirikkan Allah. Begitulah juga rumah memperoses arak dan pusat hiburan (tempat maksiat) dan selainnya apabila dijadikan (ditukar menjadi) masjid yang padanya tempat mengabdikan diri (beribadah) kepada Allah akan menjadi mulia dan terpuji berdasarkan apa yang diperlakukan padanya. Begitu juga sebagaimana seseorang lelaki yang soleh berubah menjadi fasiq, dan yang kafir pula berubah menjadi beriman (mukmin) atau mukmin berubah menjadi kafir atau yang sewaktu dengannya, semuanya itu adalah bergantung pada ciri-ciri yang menghiasi dirinya.” (Ibnu Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 18/282 - Daar al-Wafaa’)

Lebih awal lagi, penegasan oleh Imam Abu Bakr al-Isma’ili rahimahullah (Wafat: 371H),

ويرون الدار دار الإسلام لا دار الكفر كما رأته المعتزلة، ما دام النداء بالصلاة والإقامة ظاهرين وأهلها ممكنين منها آمنين

“Dan mereka (Ahlus Sunnah wal-Jama’ah) mengimani (mengakui) bahawa sesebuah negara (daar) adalah negara Islam bukan negara kafir sebagaimana pandangan al-Mu’tazilah, apabila masih terdapat seruan (azan) untuk solat dan solat didirikan dengan zahir (terang-terangan) dan ahlinya (rakyatnya) pula sentiasa bebas mendirikannya dalam suasana aman.” (Rujuk: Abu Bakr al-Isma’ili, I’tiqad A’immatul Hadis, m/s. 31, Bab: Daar al-Islam - Maktabah Syamilah)

Kemudian dari kalangan ulama mutaakhirin, Imam asy-Syaukani rahimahullah turut menjelaskan,

الاعتبار بظهور الكلمة فإن كانت الأوامر والنواهي في الدار لأهل الإسلام بحيث لا يستطيع من فيها من الكفار أن يتظاهر بكفره إلا لكونه مأذونا له بذلك من أهل الإسلام فهذه دار إسلام ولا يضر ظهور الخصال الكفرية فيها لأنها لم تظهر بقوة الكفار ولا بصولتهم كما هو مشاهد في أهل الذمة من اليهود والنصارى والمعاهدين الساكنين في المدائن الإسلامية وإذا كان الأمر العكس فالدار بالعكس

“Ukuran bagi menentukan sesebuah negara Islam itu adalah dizahirkankan (tampak) tanda-tanda agama, iaitu perundangannya sama ada yang bersifat perintah atau larangan di bawah kawal-selia umat Islam, manakala orang kafir tidak menampakkan (menzahirkan) kekufurannya melainkan setelah mendapat kebenaran dari penduduk negara Islam tersebut. Maka dengan keadaan yang demikian, sesebuah wilayah itu disebut sebagai negara Islam dan keberadaan tanda/syiar kekufuran yang wujud/kelihatan tidak menafikan penamaan ini kerana ia bukan disebabkan usaha dan kekuatan dari orang-orang kafir sebagaimana ahluzd-dzimmah yang mendiami negara/bandar umat Islam dari kalangan orang Yahudi dan Nashara serta sekutu mereka yang tunduk (kepada peraturan) berlindung dalam naungan negara Islam. Sekiranya keadaan ini adalah sebaliknya, maka status negara juga adalah begitu.” (asy-Syaukani, as-Sailul Jarrar al-Mutadafiq ‘Ala Hada’iqil Azhar, 1/976 - Maktabah Syamilah)

Dengan demikian, cerminan atau status sesebuah negara adalah merujuk kepada amalan pemimpin dan masyarakat yang mendiaminya. Dari sudut asasnya, sesebuah negara adalah negara Islam apabila ia dikuasai dan dipimpin oleh pemimpin muslim, dan syi’ar solat dipraktikkan dengan bebas. Status sesebuah negara tidak dianggap kafir hanya semata-mata di dalamnya tidak menegakkan hukum hudud atau perundangan Islam lainnya kerana sebab kelemahan tertentu. Ia juga tidak dianggap kafir semata-mata kerana dipimpin oleh pemimpin yang zalim dan fasiq.

Kelancangan dalam melabelkan sesebuah negara sebagai negara kafir (Daar al-Harb) atau tidak Islam atau sekuler, ditakuti kelak boleh mengakibatkan lahirnya tanggapan atau pandangan bahawa halalnya memerangi sesebuah negara Islam (termasuk Malaysia), sekaligus menimbulkan hilangnya kredibiliti, munculnya bibit-bibit pemberontakan, dan suasana bertukar huru-hara sebagaimana yang banyak berlaku pada negara-negara luar tertentu.

Dari itu, setiap kelemahan dan kelompangan yang terdapat dalam sesebuah negara umat Islam itu tidak sepatutnya dijadikan sebagai dalil untuk bermudah-mudah melabelkan kafir atau tidak Islam terhadapnya. Sebaliknya, setiap kelemahan dan kelompangan tersebut perlulah diperbaiki dan ditopang secara bersama oleh para pemimpin, para ulama, dan masyarakatnya dengan kaedah-kaedah yang syar’i.