“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Jumaat, September 30, 2011

Tauhid Sebagai Kunci Kekuatan

Tauhid Sebagai Kunci Kekuatan

Abu Numair Nawawi B. Subandi


Kalau kita imbau kebangkitan dan kegemilangan umat Islam di masa lampau bermula pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, ia amat-amat membanggakan dan dirindukan. Diikuti pula oleh generasi khulafa al-Rasyidin. Umat Islam merupakan generasi yang cukup kuat dan gah di persada dunia ketika itu. Sehingga musuh-musuh yang berada di sekitar pun merasa gerun dan tunduk.

Tetapi pada hari ini, umat Islam kian kehilangan jati diri dan kekuatannya. Umat Islam berpecah-belah dan lemah. Orang-orang di sekeliling hilang hormat terhadap mereka. Rasa gerun di dalam dada-dada musuh umat Islam seakan-akan telah tercabut.

Di antara faktor kelemahan tersebut sebenarnya berpunca dari dasar aqidah dan keimanan mereka yang amat-amat rapuh. Boleh dikatakan kefahaman dan pegangan terhadap agama terlalu cetek sehingga mudah diperkotak-katikkan.

Bukti kerapuhan aqidah umat Islam pada hari ini antaranya dapat dilihat melalui suburnya amalan-amalan khurafat, tahayyul, bid’ah dan kesyirikan. Di antara contoh mudah yang dapat kita perhatikan adalah suburnya amalan tangkal dan pelaris. Kunjungi dan singgahlah di mana-mana kedai makan orang Melayu atau Mamak, sebahagian besar dari mereka pasti ada menggantung sesuatu di bahagian dinding belakang kaunter bayaran.

Kalau kita perhatikan baik-baik biasanya pada bahagian dinding tersebut mereka gantung dengan sesuatu berupa bingkai (frame) berisi kertas kuning atau kilat berwarna perak, gantungan kain hitam atau kuning, gambar “wali keramat”, ayat 7 bismillah, tulisan-tulisan jawi berbentuk formasi aneh, “ayat 1000 dinar”, atau rajah-rajah dan simbol-simbol pelik yang hanya boleh difahami oleh pembuat tangkal.

Apabila budaya khurafat dan tahayyul yang penuh kesyirikan seperti ini berleluasa, selagi itulah umat Islam akan terus dilanda kehinaan dan kelemahan. Kerana kebergantungan mereka kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala telah bertukar kepada tangkal dan azimat tersebut.

Kata Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

مَنْ تَعَلَّقَ شَيْئًا وُكِلَ إِلَيْهِ

“Sesiapa yang menggantungkan sesuatu (berupa tangkal), maka segala urusannya akan diserahkan kepadanya (kepada tangkal).” (Hadis Riwayat Ahmad, 31/78, no. 18781. Dinilai hasan oleh Syu’aib al-Arnauth)

Mungkin ada yang terlupa bahawa di antara tujuan utama diutus para Rasul kepada umat manusia di muka bumi ini adalah bagi menghapuskan kesyirikan dan mengajak mengabdikan diri semata-mata hanya kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Allah Subhanahu wa Ta’ala menjelaskan:

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul pada setiap umat manusia supaya menyerukan, “‘Abdikanlah diri hanya kepada Allah dan jauhilah thaghut.” (Surah an-Nahl, 16: 36)

Juga sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam menjelaskan keutamaan dalam berdakwah:

إِنَّكَ تَقْدَمُ عَلَى قَوْمٍ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ فَلْيَكُنْ أَوَّلَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَى أَنْ يُوَحِّدُوا اللَّهَ تَعَالَى

“Sesungguhnya engkau akan mendatangi kelompok ahli kitab, maka hendaklah yang pertama kali engkau serukan kepada mereka adalah supaya mereka mentauhidkan Allah Ta’ala.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 22/363, no. 6824)

Tegaknya tauhid dan terhapusnya kesyirikan adalah formula utama kejayaan umat Islam di masa lampau. Ini dapat dilihat dari sirah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersama-sama para sahabatnya. Tetapi setelah kesyirikan kembali subur di kalangan umat Islam, mereka pun kembali lemah lagi terhina.

Mungkin kita pernah mendengar nama seorang pendakwah terkenal Syaikh Muhammad B. ‘Abdul Wahhab rahimahullah (Wafat: 1206H). Beliau terkenal dengan dakwah dan karya-karya tulis membasmi kesyirikan di tanah Arab. Beliau membesar di tengah-tengah masyarakat arab yang berpecah-belah dan mengamalkan pelbagai bentuk tahayyul, khurafat, dan bid’ah yang kufur. Ini seperti pengangungan terhadap kubur, percaya kepada kuasa sihir, pemujaan terhadap batu dan pokok keramat, serta ketaksuban terhadap mazhab-mazhab sehingga mengkibatkan pertelagahan.

Beliau memulakan dakwahnya dengan menekuni pelbagai bidang ilmu syar’i dan menela’ah pelbagai kitab para ulama terutamanya mazhab Ahmad B. Hanbal. Kemudian barulah beliau memulakan dakwahnya dengan mengajak masyarakat kepada tauhid serta membasmi kesyirikan dan bid’ah-bid’ah.

Di antara karya tulis beliau yang terkenal sebagai bukti utuhnya dakwah beliau sehingga ke hari ini adalah seperti Kitabut Tauhid, Ushul Tsalatsah, dan Kasyufu Syubuhat. Kitab beliau ini telah diterjemahkan ke dalam banyak bahasa di seluruh dunia pada hari ini.

Hasil kesabaran dan keberkahan usaha dakwah beliau menegakkan tauhid dan membasmi kesyirikan ketika itu, dengan izin Allah Subhanahu wa Ta’ala tanah arab yang sebelumnya berpecah-belah di sekitar wilayah yang beliau diami telah berjaya disatukan. Kejayaan beliau menyatukan tanah Arab menjadi satu daulah atau negara Islam ketika itu hampir seiring dengan kejatuhan kerajaan Turki Utsmaniyyah.

Apa yang boleh kita lihat dari rentetan sejarah dan dakwah beliau ini adalah dari usaha beliau yang mungkin dianggap kecil di mata masyarakat umum. Beliau muncul dalam kalangan masyarakat yang berpecah-belah dan saling bertelagah sesama sendiri. Beliau juga saling berpindah-randah dari satu wilayah ke satu wilayah lainnya akibat dakwahnya yang tidak disukai orang sekeliling pada peringkat awalnya. Tetapi hasil kesabaran dan keteguhan prinsip beliau dalam mendakwahkan tauhid membasmi kesyirikan, akhirnya dari sebuah kelompok kecil, beliau berjaya menyatukan beberapa wilayah sehingga membina sebuah Daulah Islam.

Sebaliknya, lain pula halnya dengan kerajaan Turki Utsmaniyyah yang masyarakatnya ketika itu bergelumang dengan bid’ah dan kesyirikan, ia akhirnya tumbang walaupun kerajaan dan jajahan takluknya besar.

Manfaat dakwah Syaikh Muhammad B. ‘Abdul Wahhab ketika itu begitu besar sekali kepada seluruh umat Islam. Beliau berjaya menghapuskan kesyirikan sekaligus menyatukan masyarakat yang sedang berpecah-belah. Dakwah tauhid yang beliau sampaikan juga telah berjaya melembutkan hati pemerintah ketika itu.

Hasilnya, kesan dakwah beliau masih terus dirasai sehingga ke hari ini sama ada kita sedar ataupun tidak. Antara yang paling ketara adalah khidmat negara tersebut kepada para jama’ah haji dari seluruh dunia. Umat Islam hari ini dapat menunaikan haji dengan selesa, tenang, dan aman. Pengajian ilmu-ilmu agama pun banyak berpusat di sana sehingga hari ini.

Malah Arab Saudi adalah antara negara utama yang mengumpulkan begitu ramai ilmuan dari pelbagai bidang dan cabang ilmu Islam. Para ulamanya bebas berdakwah sehingga dicemburui oleh para ahli bid’ah. Boleh dikatakan, Arab Saudi adalah satu-satunya negara Islam yang ada pada hari ini mampu melaksanakan hukum-hukum Islam dengan baik dan menjadikannya sebagai dustur perundangan negara. Walaupun masih ada kelemahan, tetapi ia adalah contoh yang baik hasil sebuah dakwah yang murni pada hari ini.

Benarlah sebagaimana janji Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam firman-Nya:

وَلَيَنْصُرَنَّ اللَّهُ مَنْ يَنْصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ

“Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” (Surah al-Hajj, 22: 40-41)

Iaitu mereka yang menegakkan agama Allah yang sebenar-benarnya, bukan yang bercampur-aduk dengan bid’ah dan kesyirikan. Allah Subhanahu wa Ta’ala juga telah berjanji melalui firman-Nya:

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الأرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan yang melaksanakan amal-amal soleh bahawa Dia benar-benar akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan adalah benar bahawa Dia akan memperkukuhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, setelah sebelumnya mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap mentauhidkan-Ku dengan tidak mensyirikkan Aku. Dan sesiapa yang ingkar setelah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” (Surah an-Nuur, 24: 55)

Syaikh ‘Abdurrahman as-Sa’di rahimahullah menjelaskan:

هذا من أوعاده الصادقة، التي شوهد تأويلها ومخبرها، فإنه وعد من قام بالإيمان والعمل الصالح من هذه الأمة، أن يستخلفهم في الأرض، يكونون هم الخلفاء فيها، المتصرفين في تدبيرها، وأنه يمكن لهم دينهم الذي ارتضى لهم، وهو دين الإسلام، الذي فاق الأديان كلها، ارتضاه لهذه الأمة، لفضلها وشرفها ونعمته عليها، بأن يتمكنوا من إقامته، وإقامة شرائعه الظاهرة والباطنة، في أنفسهم وفي غيرهم

“Ayat ini termasuk di antara janji-janji Allah yang benar (lagi pasti), yang telah disaksikan kenyataannya dan kandungan beritanya. (Allah) telah berjanji kepada orang yang menegakkan iman dan beramal soleh dari kalangan umat ini bahawa Dia akan memberikan kepada mereka khilafah di muka bumi. Mereka akan menjadi para khalifah di atasnya, yang mengatur urusan-urusan mereka dan meneguhkan agama (yang diredhai) untuk mereka, iaitu agama Islam yang telah mengalahkan seluruh agama kerana keutamaan, kemuliaan dan kenikmatan Allah atasnya. Mereka bebas dalam menegakkannya dan menegakkan syari’at sama ada yang zahir dan yang batin sama ada untuk diri mereka atau pun selain mereka.” (Tafsir as-Sa’di, m/s. 573 – Mu’assasah ar-Risalah)

Perhatikanlah sirah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Hasil dakwah dan perjuangannya, tidaklah beliau meninggal dunia kecuali Allah telah memberikan kemenangan kepada umat Islam ketika itu dengan tunduknya kota Makkah, Khaibar, Bahrain, seluruh negeri ‘Arab dan seluruh negeri Yaman. Beliau memerintahkan pungutan jizyah dari bangsa Majusi di Hajar dan sebahagian daerah di sempadan Syam.

Herkulis (Raja Romawi) pula meminta perdamaian kepada beliau. Demikian pula penguasa Mesir dan penguasa Iskandariah yang digelar sebagai Muqauqis. Juga raja-raja Oman dan raja Najasyi, iaitu penguasa Habasyah yang menjadi raja setelah ‘Ashimah. Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam meninggal, pemerintahan Islam diteruskan oleh para khalifah setelah beliau.

Abu Bakar ash-Shiddiq melanjutkan kekuasaan dan mengirim pasukan Islam ke Parsi, dipimpin Khalid B. al-Walid. Kaum muslimin menguasai sebahagian wilayah Parsi dan membunuh sebahagian tentera mereka. Pasukan lain yang dipimpin Abu Ubaidah dan para pemimpin lainnya bersamanya menuju Syam. Pasukan ketiga pimpinan ‘Amr B. al-‘Ash menuju Mesir. Allah memberikan kemenangan bagi pasukan yang menuju Syam dan berjaya menguasai Bashrah, Damsyik, dan beberapa yang lain.

Demikianlah seterusnya empayar Islam terus berkembang mencakupi timur dan barat hasil keutuhan pegangan aqidah mereka. Namun setelah lunturnya pegangan aqidah yang tulen dan banyaknya hukum-hakam agama mula mereka abaikan, umat Islam pun melemah sehingga berlakulah apa yang berlaku pada hari ini.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا تَبَايَعْتُمْ بِالْعِيْنَةِ وَأَخَذْتُمْ أَذْنَابَ الْبَقَرِ وَرَضِيْتُمْ بِالزَّرْعِ وَتَرَكْتُمُ الْجِهَادَ سَلَّطَ اللهُ عَلَيْكُمْ ذُلاَّ لاَ يَنْزِعُهُ عَنْكُمْ حَتىَّ تَرْجِعُوا إِلىَ دِيْنِكُمْ

“Sekiranya kamu melakukan perniagaan dengan ‘inah (sejenis riba), mengikuti belakang ekor lembu (sibuk bekerja), berpuas-hati dengan pertanian (sibuk dengan duniawi), serta meninggalkan jihad (tidak memperjuangkan agama Allah), maka Allah pasti membelenggu kamu dalam kehinaan. Dia tidak akan mencabut kehinaan tersebut dari diri kamu sehinggalah kamu kembali kepada agama kamu (Islam yang sebenar).” (Hadis Riwayat Abu Daud, 9/325, no. 3003. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Sebahagian kelompok umat Islam hari ini ada yang berteriak dengan slogan “tegakkanlah hukum Allah” dan “dirikanlah Daulah Islamiyyah”, tetapi itu tidak lebih hanya semata-mata slogan kosong warisan kaum khawarij. Syirik dan bid’ah di depan mata mereka biarkan. Dakwah tauhid mereka abaikan. Ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi mereka takwil semahunya dengan akal dan hawa nafsu demi kepentingan suku.

Jauh lebih hina, mereka saling bekerjasama dengan kelompok-kelompok sesat lainnya seperti Syi’ah dan tangan-tangan Nashara serta Yahudi untuk “mendakwah” masyarakat membelasah pemerintah demi sebuah kekuasaan.

Isnin, September 19, 2011

Menangani Penyelewengan Fakta Sejarah

Menangani Penyelewengan Fakta Sejarah

Abu Amru Mohd Radzi B. Othman


Betapa ramai umat Islam dari dahulu hingga kini beriman bahawa Tsa’labah radhiyallahu ‘anhu adalah seorang sahabat yang derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya setelah Rasulullah S.A.W. mendoakan agar dia menjadi hartawan.

Disebutkan dari lidah para penceramah dan para pengkhutbah bahawa seorang sahabat yang hanya memiliki sehelai pakaian yang sempurna akan bergegas pulang ke rumah setelah selesai solat berjamaah. Tujuannya hanya untuk membolehkan isteri tercinta menyarung pakaian tersebut untuk mendirikan solat.

Disingkatkan kisah, setelah harta beliau melimpah ruah, perasaan kikir menyelinap ke dalam kalbu. Beliau enggan untuk mengeluarkan zakat sehinggalah zakatnya ditolak Rasulullah walaupun telah insaf. Ini berterusan sehingga zaman Khalifah ‘Utsman B. ‘Affan radhiyallahu ‘anhu. Akhirnya beliau mati dalam keadaan menanggung dosa. Mati dalam hina. Jadilah dia sahabat yang menyeleweng.

Walhal jika kita cermati kisah yang bersumber dari pensejarahan Islam yang tulen, ternyata cerita tersebut berupa sebuah dusta ke atas sahabat baginda. Bukan Tsa’labah sahaja yang ditohmah malah terdapat sekian banyak sahabat yang disesatkan malah dikafirkan oleh para munafik dan penjahat agama.

Para munafik ini berkeinginan agar dasar agama Islam akan luluh satu persatu, kerana mereka mengetahui bahawa asas Islam itu adalah bersumberkan dari para sahabat. Lantas sekiranya para sahabat dicacatkan dan disesatkan malah dikafirkan, natijahnya Islam boleh dirombak dan dibentuk mengikut kemahuan mereka.

Ilmu Hadis Sebagai Benteng Penyelewengan

Namun tipudaya mereka ini tidak kesampaian lantaran Allah sentiasa mengukuhkan sebuah kaum yang jumlahnya kecil sehinggakan disebut sebagai “ghuraba” (kaum yang cukup asing) untuk menjaga kemurnian Islam. Kaum yang asing ini akan terus maujud sehingga langit dilipat pada akhir zaman. Amanah yang mereka bebani akan terus dipindahkan dari satu generasi kepada generasi seterusnya tanpa terputus. Merekalah yang disebut sebagai Ahlul Hadits wal Atsar.

Apa yang mereka wariskan itulah hadis dan atsar; yang menjadi dasar epistimologi Islam. Mengekori peredaran waktu, dibangunkan pula sebuah disiplin ilmu khusus untuk menjaga keabsahan dan keautentikan hadis dan atsar ini, agar kedua sumber ini tidak terkontaminasi sehingga sumber hukum Islam terseleweng. Disiplin ilmu ini sangat ketat dan cabang-cabangnya sangat banyak.

Walaupun telah terjaga dasar hukum Islam dengan adanya para Ahlul Hadith di setiap zaman, dibukukan kitab-kitab hadith, tersebarnya kitab-kitab sejarah yang sahih, namun oleh kerana jumlah umat Islam yang terlalu besar menyebabkan ramai dari kita tidak mendapat sumber yang sahih. Ditambah dengan kemalasan untuk menuntut ilmu, malah lebih parah apabila kita menjulang sikap taqlid buta, menyebabkan kita tertipu dalam hal agama.

Natijahnya, banyak dari para sahabat yang kita calarkan kehormatan mereka. Kita katakan Muawiyah B. Abi Sufyan sebagai penjahat. Kita dendangkan bahawa Amru al-Ash sebagai “putar alam”. Kita kalungkan “lelaki menderhakai ibu” kepada Alqamah sehingga sukar mati.

Maha Suci Allah dari tuduhan-tuduhan hina ini. Sesungguhnya mereka (para sahabat) merupakan manusia yang telah Allah takdirkan untuk menjadi teman Kekasihya-Nya, berjuang dan berkorban bersama sehingga menjadikan batang tubuh mereka sebagai galang ganti nyawa Rasul-Nya. Mereka ditarbiah langsung oleh Rasulullah S.A.W. dan mereka akan ditegur dari atas ‘Arsy sekiranya mereka berbuat salah.

Sejarah Palsu Disebar Oleh Para Pemuka

Kalaulah begitu pasti bidang sejarah yang lain juga telah mengalami pembauran antara fakta dan praduga. Terutama sekali pada “tafsiran sejarah” kerana seperti kata Herodotus bahawa “sejarah adalah milik kaum yang menang”. Sesiapa yang memiliki lidah di dada akhbar, atau media massa yang lain, atau mempunyai gelar “sejarahwan” atau “pakar”, dia mampu untuk berkata semahunya tanpa ditanyakan “mana dalil yang tuan bicarakan itu?”

Lebih berbahaya apabila para penceramah yang tidak mengetahui ilmu-ilmu Islam dibenarkan angkat bicara di atas mimbar. Bicara mereka selalunya akan mengherotkan wajah Islam dan sering menyampaikan berita yang diragukan. Namun walaupun berita itu kadangkala tidak masuk dek akal, tetapi oleh kerana penyampainya orang ternama, kita bulat-bulat menelan berita “aneh” tersebut dengan sebuah keimanan “bahawa mustahil si fulan berdusta”.

Selang beberapa waktu, datang orang lain menerangkan bahawa berita aneh tersebut adalah palsu. Khabar tersebut adalah keliru, atau peristiwa yang dikatakan terjadi itu sebenarnya belum berlaku.

Tabiat Manusia Untuk Menolak Sesuatu Yang Baharu

Justeru, apakah pada saat itu, saat kita dikhabarkan bahawa berita yang disampaikan oleh tokoh yang kita sanjungi berupa sekadar sebuah prasangka, kita akan duduk meneliti segala fakta dari segala sumbernya atau kita terus saja menafikan berita yang disampaikan oleh orang tadi?

Sepertinya Tuhan telah ciptakan kita secara tabi’i untuk menolak khabar yang bertentangan dengan keimanan yang telah lama kita anuti, atau kalimat yang dituturkan oleh guru atau tokoh yang kita sanjungi, atau pengetahuan yang telah kita garap dari pandaindera kita. Inilah tabiat manusia.

Namun sebagai seorang yang mencintai kebenaran, kita tetap akan mengiyakan “haq” walaupun yang menuturkannya syaitan. Dan kita tetap akan terus-menerus berusaha untuk istiqamah di atas kebenaran walaupun pahit untuk ditelan. Kebenaran bukan dinilai kepada tingginya individu tersebut, atau betapa kuat pengaruhnya di kalangan umat, namun kebenaran itu adalah apa yang bertepatan dengan al-Qur’an dan as-Sunnah; yang mengikuti tafsiran para sahabat.

Sepertinya Salman yang merantau dari Parsi yang telah menganut pelbagai agama sebelum menemui agama yang hakiki di tanah Arab. Begitu juga seperti Abu Hurairah yang menerima berita yang sah dari Iblis Sang Pendusta di kebun tamar tentang ayat Kursi. Begitulah sikap seorang Muslim terhadap sebuah khabar. Kerana kita disuruh untuk mengikut kebenaran dan meninggalkan kebatilan walau kebatilan itu terbit dari rumah kita.

Syi'ah Banyak Menyelewengkan Fakta

Sesuatu yang jarang kita ketahui bahawa berita yang direkodkan oleh ahli bid’ah seperti Khawarij, atau Mu’tazilah, atau Qadariyah; boleh diterima setelah sisi-sisi lain dalam ilmu Riwayah dan Dirayah terpenuhi. Namun riwayat yang direkodkan oleh seorang Syi’i walaupun dia tidak pernah berbuat maksiat, walaupun dia terkenal sebagai seorang ulama’ di sisi Syi’ah, riwayat tersebut wajib ditolak.

Kerana kaum Syi’ah terkenal sebagai kaum pendusta sehingga mereka memasukkan “taqiyah” atau kemunafikan sebagai salah satu asas agama mereka. Ironinya kita yang mengaku sebagai Sunni, mengambil berita dari kaum penipu ini dan menuangkan ke dalam buku-buku kita untuk diajarkan kepada anak-anak kita. Hasil dari pendustaan mereka terhadap sejarah; kita boleh lihat dalam buku-buku sejarah yang ada di depan mata kita. Lihat bagaimana para sahabat disesatkan dan dikafirkan!

Lantas apabila ada tokoh yang dikatakan terpengaruh dengan agama Syi’ah berceramah dan memutar-belitkan fakta, ketahuilah bahawa tindakannya itu adalah normal bagi seorang Syi’i. Telah berlalu 1000 tahun para Syi’i memutarbelitkan sejarah agama, inikan pula jika sejarah Bukit Kepong atau sejarah Negara?!

Malah lebih lucu lagi apabila tokoh seperti Mat Sabu lebih mengetahui sejarah komunis berbanding dengan sejarah para sahabat. Jika masih ada ahli PAS yang benar-benar mencintai Islam dan menyayangi para sahabat Rasulullah; tanyakanlah kepadanya, “Kenapa para mullah (tokoh-tokoh Syi’ah) sanjungan tuan telah mengkafirkan para sahabat di dalam kitab-kitab mereka seperti Kasyful Asrar oleh Khomeini dan al-Kishal oleh al-Qummi? Apakah “kesesatan sahabat” itu fakta atau momokan sesat dari kaum munafik?”

Menariknya, mengikut kaedah ilmu hadis yang benar, setiap butir bicara tokoh tersebut tidak boleh diterima!

Jumaat, September 16, 2011

Menjadi Hamba Yang Bersyukur

Menjadi Hamba Yang Bersyukur

Abu Numair Nawawi B. Subandi
http://an-nawawi.blogspot.com/


Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memberi kepada kita nikmat yang terlalu besar dan banyak. Bahkan nikmat yang tidak ternilai harganya. Nikmat hidup, nikmat udara, nikmat air, nikmat makanan, nikmat kesihatan, nikmat ilmu, dan selainnya tanpa mampu dihitung. Termasuk di dalamnya adalah nikmat keamanan dan kemerdekaan. Manakala nikmat yang paling besar adalah nikmat Islam dan iman.

Maka bersyukurlah kita dengan nikmat-nikmat Allah tersebut. Kerasa syukur adalah sebahagian dari tujuan penciptaan dan perintah-Nya. Allah Subhaanhu wa Ta’ala berfirman:

وَاللَّهُ أَخْرَجَكُمْ مِنْ بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ لا تَعْلَمُونَ شَيْئًا وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالأبْصَارَ وَالأفْئِدَةَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

“Dan Allah mengeluarkan kamu dari pertu ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu apa pun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan, dan al-af’idah (akal dan hati) agar kamu bersyukur.” (Surah an-Nahl, 16: 78)

Allah Ta’ala menjelaskan bahawa salah satu tanda syukur adalah dengan mengabdikan diri kepadanya, iaitu mentauhidkannya. Sesiapa yang tidak mensyukuri nikmat-nikmat-Nya, maka dia belum benar-benar mentauhidkan-Nya. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّهِ إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah jika benar-benar kamu mentauhidkan-Nya.” (Surah al-Baqarah, 2: 172)

Allah Subhanahu wa Ta’ala juga telah mewahyukan kepada para Nabi dengan perkara yang serupa, berupa perintah mentauhidkan-Nya dan perintah supaya bersyukur. Allah berfirman:

وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

بَلِ اللَّهَ فَاعْبُدْ وَكُنْ مِنَ الشَّاكِرِينَ

“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada (nabi-nabi) yang sebelum kamu. Jika kamu mensyirikkan Allah, nescaya akan terhapuslah amalan kamu dan sudah tentu kamu termasuk orang-orang yang rugi. Oleh itu, hendaklah Allah sahaja yang kamu sembah dan hendaklah kamu termasuk orang-orang yang bersyukur.” (Surah az-Zumar, 39: 66)

Tipu Daya Iblis

Ketika musuh Allah iaitu Iblis mengetahui kedudukan, keagungan, dan ketinggian sifat syukur maka ia pun berusaha untuk menjauhkan manusia dari sikap syukur tersebut. Ia berkata sebagaimana yang disebutkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam al-Qur’an:

ثُمَّ لآتِيَنَّهُمْ مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ أَيْمَانِهِمْ وَعَنْ شَمَائِلِهِمْ وَلا تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَاكِرِينَ

“Kemudian aku (Iblis) akan mendatangi mereka dari depan mereka, dari belakang mereka, dari kanan mereka, dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan dari mereka itu bersyukur.” (Surah al-A’raaf, 7: 17)

Dari keseluruhan manusia secara umumnya, jumlah mereka yang bersyukur amat-amatlah sedikit. Oleh itu kita perlu berusaha dengan sedaya-upaya kita dan sentiasa ingat agar kita termasuk dalam kelompok yang diberkahi tersebut walaupun sedikit lagi terasing. Iaitu kelompok orang-orang yang bersyukur. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَقَلِيلٌ مِنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ

“... Dan amat sedikit dari hamba-hamba-Ku yang bersyukur.” (Surah Saba’, 34: 13)

وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لا يَشْكُرُونَ

“... akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.” (Surah al-Baqarah, 2: 243)

Istidraj

Suatu nikmat yang datang juga boleh jadi sebagai satu bentuk ujian bagi seseorang. Sama ada dia beryukur atau kufur, sama ada dia redha atau merungut. Beruntunglah mereka yang bersyukur dan merasa qona’ah.

Sebahagian besar masyarakat atau kelompok manusia di negara-negara luar tertentu banyak diuji dengan kesusahan, kemelaratan, dan kemiskinan hidup. Tetapi kita di Malaysia secara umumnya diuji dengan kesenangan, kemudahan, dan kemewahan hidup. Semoga Allah menjadikan kita sebagai kelompok masyarakat yang bersyukur kepada-Nya.

Kalau sekiranya kita melihat diri kita ini terus-menerus mendapat nikmat dari Allah, tetapi dalam masa yang sama kita sentiasa bermaksiat kepada-Nya, maka ada sesuatu yang perlu kita renungkan. Berhati-hatilah dengannya. Takut-takut ia menjadi satu bentuk ujian dan istidraj (kesenangan yang memperdaya). Jangan biar kita hanyut dalam nikmat dan kesenangan tersebut tanpa mensyukurinya. Kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّى إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُمْ بَغْتَةً فَإِذَا هُمْ مُبْلِسُونَ

“Maka ketika mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka - sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami siksa mereka dengan secukupnya, maka ketika itu mereka terdiam berputus-asa.” (Surah al-An’am, 6: 44)

Sebaliknya jika seseorang hamba itu memiliki kedudukan, kelebihan, atau nikmat dari sisi Allah lalu dia menjaganya dengan penuh rasa syukur kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, nescaya Allah akan tambahkan lagi bagi dirinya dengan sesuatu yang lebih baik berbanding apa yang sedia ada. Jika tidak di dunia, nescaya di akhirat. Tetapi sekiranya ia meremehkan sikap untuk bersyukur, maka Allah akan memperdayakannya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لأزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

“Dan ingatlah ketika Tuhan-mu menyatakan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan tambahkan (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat tersebut), maka sesungguhnya azab-Ku amatlah pedih.” (Surah Ibrahim, 14: 7)

Allah subhanahu wa Ta’ala juga berfirman:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالأرْضِ وَلَكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

“Sekiranya penduduk negeri-negeri tersebut beriman dan bertaqwa, sudah tentu Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami), maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya.” (Surah al-A’raaf, 7: 96)

Mensyukuri Nikmat

Cara mensyukuri nikmat boleh dibahagikan kepada tiga bentuk keadaan. Iaitu dengan hati, dengan lisan, dan dengan anggota badan (amalan fizikal). Mensyukuri dengan hati adalah dengan meneguhkan tauhid, keimanan, dan mengakui nikmat-nikmat tersebut datangnya dari Allah Subhanahu wa Ta’ala. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَمَا بِكُمْ مِنْ نِعْمَةٍ فَمِنَ اللَّهِ ثُمَّ إِذَا مَسَّكُمُ الضُّرُّ فَإِلَيْهِ تَجْأَرُونَ

“Dan apa jua nikmat yang ada pada kamu, maka dari Allah-lah ia datang, dan apabila kamu ditimpa oleh kemudharatan, maka hanya kepada-Nya-lah kamu meminta pertolongan.” (Surah an-Nahl, 16: 53)

Mensyukuri nikmat Allah dengan lisan adalah dengan sentiasa memperbanyakkan pujian serta mengingati-Nya (dengan zikir dan doa) di setiap keadaan sebagaimana yang disyari’atkan. Di antara pintu syukur melalui lisan adalah dengan ucapan hamdalah.

Manakala mensyukuri nikmat dengan anggota badan adalah dengan cara menggunakan anggota badan untuk amal-amal kebaikan serta mencari keredhaan Allah serta dengan tidak menggunakan nikmat-nikmat yang dimiliki untuk perkara-perkara yang dibenci oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Semoga kita mampu menjadi manusia yang paling bahagia dengan menjadikan nikmat-nikmat yang kita kecapi sebagai sarana mencari redha Allah Subhanahu wa Ta’ala. Iaitu dengan menjadikan setiap rezeki dan kelebihan yang diusahakan sebagai aset untuk mentauhidkan dan bersyukur kepada Allah. Setiap nikmat yang dikurniakan Allah kita jaga dengan cara mentaati dan melaksanakan perintah-Nya serta kita menjaganya dengan cara memeliharanya sebagaimana diperintahkan.

Sebaliknya semoga kita tidak menjadi manusia yang malang lagi mengkufuri nikmat-nikmat Allah dengan menggunakan kelebihan nikmat-nikmat tersebut untuk bermaksiat kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala sehingga mengundang kemurkaan-Nya.

Sifat syukur dan insaf dapat lahir antaranya dengan selalu melihat kesusahan dan kepayahan orang lain. Sebaliknya jangan terlalu asyik melihat kelebihan orang lain sehingga membuatkan diri merungut rasa kekurangan. Oleh itu di samping merasa syukur, ia perlu diiringi juga dengan sikap qona’ah, iaitu merasa cukup dengan apa yang kita miliki dan mengusahakannya sekadar kemampuan tanpa berlebih-lebihan mengejar apa yang di luar kemampuan.

Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Salam bersabda:

إِذَا نَظَرَ أَحَدُكُمْ إِلَى مَنْ فُضِّلَ عَلَيْهِ فِي الْمَالِ وَالْخَلْقِ فَلْيَنْظُرْ إِلَى مَنْ هُوَ أَسْفَلَ مِنْهُ مِمَّنْ فُضِّلَ عَلَيْهِ

"Apabila salah seorang dari kamu memandang orang yang diberi kelebihan melebihi harta dan bentuk tubuhnya, hendaklah ia memandang orang yang lebih rendah darinya di mana ia diberi kelebihan berbanding orang tersebut." (Hadis Riwayat Muslim, 14/212, no. 5263)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

قَدْ أَفْلَحَ مَنْ أَسْلَمَ وَرُزِقَ كَفَافًا وَقَنَّعَهُ اللَّهُ بِمَا آتَاهُ

“Benar-benar beruntung seseorang yang masuk Islam, kemudian mendapat rezeki yang secukupnya dan Allah menganugerahkan pula kepadanya sifat qona’ah (merasa cukup dan redha) dengan rezeki yang Allah berikan kepadanya.” (Hadis Riwayat Muslim, 5/276, no. 1746)

Bersyukur Walau Sedikit

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah bersabda dari atas mimbar:

مَنْ لَمْ يَشْكُرِ الْقَلِيلَ، لَمْ يَشْكُرِ الْكَثِيرَ، وَمَنْ لَمْ يَشْكُرِ النَّاسَ، لَمْ يَشْكُرِ اللهَ. التَّحَدُّثُ بِنِعْمَةِ اللهِ شُكْرٌ، وَتَرْكُهَا كُفْرٌ، وَالْجَمَاعَةُ رَحْمَةٌ، وَالْفُرْقَةُ عَذَابٌ

“Siapa yang tidak mampu mensyukuri nikmat yang sedikit, maka ia tidak akan mampu mensyukuri nikmat yang banyak. Dan siapa yang tidak mampu berterima kasih kepada manusia, maka ia tidak akan mampu bersyukur kepada Allah. Membicarakan nikmat Allah adalah syukur, meninggalkannya adalah kufur. Hidup berjama'ah adalah rahmat, manakala perpecahan adalah azab.” (Hadis Riwayat Ahmad, 30/390, no. 18449. Kata al-Haitsami, “Diriwayatkan oleh Ahmad, ath-Thabrani, dan al-Bazzar. Para perawi keduanya tsiqah.” Dinilai sahih oleh al-Albani. Lihat juga Majma’ az-Zawa’id, 5/392 oleh al-Haitsami dan Tahqiq Musnad Ahmad oleh Syu’aib al-Arnauth)

Nikmat Keamanan dan Kemewahan

Harga dan nilai barangan sentiasa turun naik setiap hari. Tetapi taraf hidup masyarakat di negara kita umumnya jauh lebih baik berbanding 10 hingga 20 tahun lalu. Ini suatu yang wajib disyukuri. Kalau 15 tahun lalu di desa-desa, kanak-kanak ke sekolah rendah dan menengah dengan berbasikal meredah becak tanah merah, tetapi sekarang ramai yang sudah bergaya bermotorsikal ke sekolah dengan jalan berturap walupun sebahagiannya tidak berlesen.

Di universiti pula rata-rata pelajarnya sudah bekereta, sehingga jalan-jalan dan tempat-tempat letak kenderaan Universiti penuh sesak. Inilah antara nikmat kemewahan yang kita kecapi walupun dalam masa yang sama harga bahan api kenderaan melambung tinggi.

Ketika penulis di sekolah dulu, nikmat telefon bimbit memang tidak pernah dikecapi. Bahkan telefon bimbit termasuk sebahagian gadget mewah yang bukan sebarangan orang mampu memilikinya.

Tetapi hari ini, Allah menganugerahkan kemudahan telefon bimbit dengan harga yang jauh lebih murah dengan kualiti yang jauh lebih baik. Kalau dulu harganya mahal tetapi dengan screen monochrome, tetapi hari ini harganya murah fungsinya pelbagai. Caj perkhidmatan yang dikenakan pun amat rendah berbanding dulu. Ruang lingkup telekomunikasi dan perhubungan menjadi lebih mudah dan pantas. Sehingga kanak-kanak di sekolah pun dibekalkan telefon bimbit oleh ibu atau bapa.

Taraf pendidikan di negara kita secara umumnya semakin meningkat. Lebih ramai mampu melanjutkan pelajaran. Peluang pekerjaan pula terbuka luas. Sama ada sebagai penjawat awam, di sektor swasta, mahupun bekerja sendiri.

Kalau sekitar 20 tahun lalu, orang-orang di kampung keluar menoreh getah dan memetik kelapa sawit dengan berbasikal atau motorsikal Honda Cup 70. Tetapi hari ini ramai di antara mereka telah keluar ke kebun dengan berkereta sambil mengecapi nikmat rumah besar yang penuh keselesaan.

Kemudahan untuk beribadah juga amat baik. Masjid-masjid tersergam indah. Umat Islam bebas mengamalkan agamanya. Bebas untuk bersolat, bebas untuk berpuasa, bebas untuk berhari-raya. Cuma adakalanya mungkin disebabkan “masjid terlalu besar” dan luas, jumlah orang yang menunaikan solat di masjid nampak terlalu sedikit. Inilah di antara hasil keamanan yang ada di negara kita berbanding di negara-negara Islam lain yang sebahagiannya hendak menunaikan solat fardhu berjama’ah pun terancam nyawanya. Jadi, syukurilah nikmat masjid ini dengan memenuhinya di setiap kali tiba waktu solat.

Nikmat makanan di negara kita tidak lagi dapat dinafikan. Walaupun ramai yang mengeluh mengatakan banyak harga makanan meningkat tetapi hakikatnya majoriti rakyat Malaysia tiada yang mati kerana kebuluran. Sebaliknya ramai yang mati kerana terlalu banyak makan. Buktinya, dalam hari-hari perayaan ini sahaja terlalu banyak undangan makan di rumah-rumah terbuka. Pelbagai menu dan juadah dihidang percuma.

Sehingga terlebihnya nikmat kemewahan, tidak kurang ramai yang menghisap rokok sebaik selesai makan. Demikianlah hakikat kemewahan yang dikecapi di negara ini, sebahagiannya sampai terlupa mensyukurinya hingga terlajak melakukan kemungkaran menghisap rokok.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَآتَاكُمْ مِنْ كُلِّ مَا سَأَلْتُمُوهُ وَإِنْ تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لا تُحْصُوهَا إِنَّ الإنْسَانَ لَظَلُومٌ كَفَّارٌ

“Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian dari setiap apa yang kamu ingini dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu bukan pada tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.” (Surah Ibrahim, 14: 34)

Sepatutnya, inilah antara nikmat-nikmat keamanan dan kemewahan yang perlu kita syukuri. Hargailah ia sebagai sarana untuk menuntut ilmu-ilmu yang syar’i dan mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan cara yang benar. Bukan sebagai alat untuk bermaksiat dan melakukan kekufuran. Hamparkanlah sifat qona’ah dan tawakkal, serta buangkanlah jauh-jauh sikap suka merungut dan berkeluh-kesah. Renungilah kesusahan dan kesempitan orang lain, nescaya kita akan rasa sangat beruntung.

Semoga kita tidak menjadi orang yang hanya mengenal nikmat-nikmat tersebut setelah Allah menariknya kembali.

اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

“Ya Tuhanku berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu/bapaku dan untuk mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai. Dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh.” (Surah an-Naml, 27: 19)

Wallahu a’lam...