http://an-nawawi.blogspot.com/
Adakalanya kita mungkin menemui golongan manusia yang suka berserah dan beralasan dengan takdir. Mereka mudah putus-asa dan malas berusaha.
Mereka sering mengeluh dan berkata bahawa sekiranya sesuatu itu telah ditakdirkan, maka tiada gunanya sama ada kita berdoa atau pun tidak. Sekiranya sesuatu itu telah tertulis untuk berlaku, sudah tentu berusaha atau pun tidak, ia sama sekali tidak akan mendatangkan faedah mahu pun hasil yang diingini.
Lalu, mereka pun bermalas-malasan atau melakukan apa sahaja yang mereka suka serta kehendaki tanpa mahu berfikir panjang. Bahkan mereka sebenarnya mengabaikan prinsip-prinsip ilmu. Merekalah orang yang tidak memiliki tujuan hidup, malah tidak memiliki wawasan. Mereka beranggapan diri mereka pandai, walhal mereka di dalam kebodohan. Tidakkah mereka pernah mengerti untuk apa mereka dijadikan? Di suatu sisi yang lain, mereka menggunakan alasan tersebut hanya sebagai modal untuk melakukan apa sahaja yang mereka kehendaki tanpa mahu ada yang mengekang.
Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menjadikan sesuatu itu dengan beralasan dan bersebab. Setiap akibat itu dijadikan dengan faktor tertentu sebagai penyebab dengan seizin-Nya dan kehendak-Nya.
Allah Ta’ala telah menjelaskan di dalam banyak ayat-ayat-Nya, bahawa Dia telah menetapkan sesuatu dengan ukuran/kadar yang sangat rapi, segala sesuatu berlaku dengan sebab dan akibat. Sama ada kita mengetahui mahu pun tidak.
Di antaranya, adalah sebagaima firman-Nya di dalam ayat-ayat berikut:
الَّذِي لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَلَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُنْ لَهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَخَلَقَ كُلَّ شَيْءٍ فَقَدَّرَهُ تَقْدِيرًا
Kepunyaan-Nya-lah kerajaan langit dan bumi, dan Dia tidak mempunyai anak, dan tidak ada sekutu bagi-Nya dalam kekuasaan-(Nya), dan dia telah menciptakan segala sesuatu, dan Dia menetapkan ukuran-ukurannya dengan serapi-rapinya. (Surah al-Furqon, 25: 2)
Iman dan amal soleh serta kaitannya dengan kuasa:
وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الأرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ
Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia benar-benar akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa. (Surah an-Nuur, 24: 55)
Harta dan anak-anak sebagai ujian:
وَاعْلَمُوا أَنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلادُكُمْ فِتْنَةٌ وَأَنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ
Ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai ujian dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar. (Surah al-Anfal, 8: 28)
Penjelasan Ketika tewas di Perang Uhud:
أَوَلَمَّا أَصَابَتْكُمْ مُصِيبَةٌ قَدْ أَصَبْتُمْ مِثْلَيْهَا قُلْتُمْ أَنَّى هَذَا قُلْ هُوَ مِنْ عِنْدِ أَنْفُسِكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Dan mengapa ketika kamu ditimpa musibah (pada peperangan Uhud), padahal kamu telah menewaskan dengan dua kali lipat kepada musuh-musuhmu (pada peperangan Badar), kamu berkata: "Dari mana datangnya (kekalahan) ini?" Katakanlah: "Itu dari (kesalahan) dirimu sendiri." Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. (Surah Ali Imran, 3: 165)
Berkenaan musibah yang menimpa:
وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَنْ كَثِيرٍ
Dan apa sahaja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu). (Surah asy-Syura, 42: 30)
Disebabkan sentiasa mengingati (berzikir kepada) Allah:
فَلَوْلا أَنَّهُ كَانَ مِنَ الْمُسَبِّحِينَ (١٤٣)لَلَبِثَ فِي بَطْنِهِ إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ
Sekiranya dia tidak termasuk orang-orang yang banyak mengingati Allah, nescaya ia akan tetap tinggal di perut ikan itu sehingga hari berbangkit. (Surah ash-Shaffat, 37, 143-144)
Azab disebakan mengingkari peringatan:
لِنَفْتِنَهُمْ فِيهِ وَمَنْ يُعْرِضْ عَنْ ذِكْرِ رَبِّهِ يَسْلُكْهُ عَذَابًا صَعَدًا
Sesiapa yang berpaling dari peringatan Tuhannya, nescaya akan dimasukkan-Nya ke dalam azab yang amat berat. (Surah al-Jin, 72: 17)
Disebabkan iman:
فَآمَنُوا فَمَتَّعْنَاهُمْ إِلَى حِينٍ
Lalu mereka beriman, dengan sebab itu Kami anugerahkan kenikmatan hidup kepada mereka sehingga waktu yang tertentu. (Surah ash-Shaffat, 37: 148)
Hasil sifat sabar di dalam mencari keredhaan Allah:
وَالَّذِينَ صَبَرُوا ابْتِغَاءَ وَجْهِ رَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلاةَ وَأَنْفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلانِيَةً وَيَدْرَءُونَ بِالْحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ أُولَئِكَ لَهُمْ عُقْبَى الدَّارِ (٢٢)جَنَّاتُ عَدْنٍ يَدْخُلُونَهَا وَمَنْ صَلَحَ مِنْ آبَائِهِمْ وَأَزْوَاجِهِمْ وَذُرِّيَّاتِهِمْ وَالْمَلائِكَةُ يَدْخُلُونَ عَلَيْهِمْ مِنْ كُلِّ بَابٍ
Orang-orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan; orang-orang itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik), (iaitu) syurga 'Adn... (Surah ar-Ra’d, 13: 22-23)
Doa orang-orang yang beriman dan beramal soleh:
وَيَسْتَجِيبُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَيَزِيدُهُمْ مِنْ فَضْلِهِ وَالْكَافِرُونَ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ
Dia memperkenankan (doa) orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal yang soleh dan menambah (pahala) kepada mereka dari kurnia-Nya. Dan orang-orang yang kafir bagi mereka azab yang sangat keras. (Surah asy-Syura, 42: 26)
Disebabkan bersegera dengan kebaikan, sabar, dan khusyu’ kerana Allah:
إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا وَكَانُوا لَنَا خَاشِعِينَ
Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyu' kepada Kami. (Surah al-Anbiya’, 21: 90)
Hukuman kejahatan (disebabkan keingkaran):
إِنَّهُمْ كَانُوا قَوْمَ سَوْءٍ فَأَغْرَقْنَاهُمْ أَجْمَعِينَ
Sesungguhnya mereka adalah kaum yang jahat, maka Kami tenggelamkan mereka semuanya. (Surah al-Anbiya’, 21: 77)
Begitulah sebahagian dari ayat-ayat Allah sebagai tanda bahawa Allah sentiasa memberi kepada kita ruang untuk mencorakkan warna-warni di dalam kehidupan ini. Setiap hasil akibat, memiliki sebab yang relevan. Sebab dan akibat mungkin hadir di antara satu daripada dua keadaan, iaitu dalam keadaan yang disedari mahu pun sebaliknya (tanpa sedar).
Dari sini, sekiranya takdir masih dijadikan sebagai alasan, ini hanya menunjukkan betapa tertutupnya akal-akal mereka terhadap tanda-tanda yang ada di sekeliling mereka. Betapa mereka memperkecilkan ruang yang telah sedia diberi.
Cukuplah perbuatan makan minum mereka untuk mereka fikirkan. Sekiranya takdir menjadi alasan, apa gunanya mereka makan dan minum. Kerana sekiranya mereka telah ditakdirkan untuk kenyang, sudah tentu sama ada mereka makan atau pun tidak, minum atau pun tidak, tentu tidak akan berguna sama sekali. Kerana takdir telah menetapkan mereka untuk kenyang. Begitulah sebaliknya, sekiranya mereka telah ditakdirkan untuk lapar, sudah tentu makan dan minum tidak akan membantu mereka sama sekali, kerana takdir mereka adalah kelaparan.
Begitu pula dengan perkahwinan. Apa guna mereka berkahwin? Sekiranya mereka meletakkan persoalan zuriat itu pada takdir semata tanpa sebarang inisiatif usaha, sudah tentu perkahwinan itu tidak perlu. Kerana, sekiranya kita beralasan dengan takdir, kahwin atau pun tidak, sekiranya takdir telah menyatakan tiada zuriat, sudah tentu tiada zuriat jua. Maka, begitulah sebaliknya. Mengapa mereka tidak bersetuju?
Dari itulah, maka ada perkara yang perlu kita fahami dengan baik. Tugas dan urusan kita sebenarnya adalah melaksanakan berdasarkan ukuran dan apa yang diperintahkan. Mengikuti panduan dan tidak keluar dari batasan.
Ada pun takdir, ia adalah merupakan ketentuan dan urusan Allah yang bukan urusan kita untuk mengira-ngira serta menentukannya mahu pun memutuskannya.
Firman Allah Subahanhu wa Ta’ala:
وَعِنْدَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لا يَعْلَمُهَا إِلا هُوَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَمَا تَسْقُطُ مِنْ وَرَقَةٍ إِلا يَعْلَمُهَا وَلا حَبَّةٍ فِي ظُلُمَاتِ الأرْضِ وَلا رَطْبٍ وَلا يَابِسٍ إِلا فِي كِتَابٍ مُبِينٍ
Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci setiap yang ghaib; tidak ada yang mengetahuinya melainkan Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji-pun dalam kegelapan bumi, dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis di dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfudz)". (Surah al-An’am, 6: 59)
Kerana di sana, terdapat suatu batas sempadan yang tidak mampu kita rungkaikan. Kerana kemampuan kita amat terhad dan telah ditetapkan tidak mampu menerokai sesuatu yang sememangnya bukan urusan kita.
Maka, kita lakukanlah apa yang kita mampu dengan ruang yang telah terbentang. Apa yang terbuka di hadapan mata diusahakanlah, dan apa yang bukan urusan kita, kita serahkan kepada Yang Maha Berkuasa, Yang Maha Mengatur Segala sesuatu.
Wallahu a’lam...