
Rabu, Januari 11, 2012
Berilmu Sebelum Berkata dan Beramal
Berilmu Sebelum Berkata dan Beramal
Abu Numair Nawawi B. Subandi
http://an-nawawi.blogspot.com

Imam al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H) membuat bab dalam kitab Shahihnya, “Bab al-‘Ilmu Qablal Qaul wal ‘Amal.” Iaitu bab: berilmu sebelum berkata dan beramal.
Maksudnya, “Ilmu adalah syarat sahnya suatu ucapan dan perbuatan. Ucapan dan perbuatan tidak akan bermakna melainkan dengan ilmu. Ilmu lebih didahulukan dari keduanya (ucapan dan amal). Kerana ilmu akan meluruskan niat dan membenarkan amal.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 1/160)
Untuk melakukan sesuatu kebaikan, kita perlukan ilmu. Untuk mendapat dunia, kita perlukan ilmu. Untuk mendapatkan akhirat, tidak dapat tidak mestilah dengan ilmu.
Ilmu yang wajib dan fardhu bagi kita semua adalah ilmu tentang agama ini. Iaitu ilmu tentang iman kita, tentang tauhid, dan yang dapat membuahkan jalan petunjuk kehidupan dunia dan akhirat. Dengan ilmu jugalah kita dapat mengenali Rabb kita.
Kata Imam adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 748H), “Ilmu itu bukanlah dengan banyaknya riwayat, tetapi ia adalah cahaya yang dicampakkan oleh Allah ke dalam hati, dan syaratnya adalah al-ittiba’ (mengikuti sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam), dan melarikan diri dari hawa nafsu serta menjauhi al-ibtida’ (bid’ah).” (Siyar A’lam an-Nubala’, 13/323)
Ilmu tentang agama, tidak dapat tidak mesti diambil dari sumber yang benar. Diambil dan ditela‘ah dari kitab-kitab tafsir dan kitab-kitab hadis. Iaitu kitab-kitab yang memuatkan penjelasan tentang wahyu Allah berupa tafsir-tafsir al-Qur’an dan syarah hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Di antara kitab tafsir terbaik adalah seperti Tafsir Ibnu Katsir manakala rangkaian kitab-kitab hadis menurut keutamaan adalah seperti Shahih al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Tirmidzi dan seterusnya berserta syarah dan penjelasannya.
Dari kitab-kitab ini kita dapat mendulang mutiara petunjuk yang tidak ternilai harganya. Di sinilah letak perkhabaran penting. Iaitu khabar wahyu tentang apa yang telah berlaku, yang sedang terjadi, dan apa yang bakal datang di masa hadapan. Kandungannya bukan jenaka, bukan khayalan. Bukan untuk satu atau dua hari seperti kisah surat khabar. Tetapi merupakan khabar kebahagiaan dan bekal selamanya.
Di dalamnya adalah khabar ilmu bermanfaat. Sebagaimana kata adz-Dzahabi rahimahullah, “Tahukah kamu apa ilmu yang bermanfaat tersebut? Iaitu ilmu yang turun bersama al-Qur’an dan ditafsirkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan ucapan, perbuatan, dan yang tiada larangan darinya. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Sesiapa yang membenci sunnahku, maka dia tidak termasuk golonganku.” (Siyar A’lam an-Nubala’, 19/339-340)
Ilmu Sebelum Beramal
Aqidah dan tauhid yang benar akan menyelamatkan kita dari syirik. Untuk membezakan di antara tauhid dan syirik, tidak dapat tidak, mestilah dengan ilmu. Apabila ilmu yang benar dikuasai, tauhid yang murni pun diimani. Apabila tauhid telah murni, maka amal-amal soleh tidak akan disia-siakan. Kerana di antara syarat diterimanya amal adalah dengan murninya aqidah.
Keutamaan Orang Berilmu
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya), “Katakanlah: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” (Surah az-Zumar, 39: 9)
Dari ayat ini, Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma menyatakan:
“Syarat bagi seseorang untuk dikatakan sebagai ‘aalim tentang Allah yang Maha Pengasih di antara hamba-hamba-Nya adalah tidak mensyirikkan Allah, menghalalkan dan mengharamkan sebagaimana yang ditetapkan Allah, menjaga dan memelihara tuntutan dan kehendak Allah, meyakini bahawa Allah akan menemuinya dan menghisap amal perbuatannya.” (Tafsir Ibnu Katsir, 6/544)
Maka dari mana lagi untuk kita meraih ilmu-ilmu pengetahuan tentang agama ini melainkan dari kitab Allah (al-Qur’an) dan hadis-hadis Rasul-Nya. Inilah apa yang telah dihadam dan difahami oleh generasi terbaik dari umat manusia setelah para Nabi dan Rasul. Generasi manusia pilihan yang telah dijanjikan Syurga oleh Allah Ta’ala kerana menerima dan beriman dengan apa yang datang dari Allah dan Rasul-Nya.
Allah Ta’ala berfirman (maksudnya), “Dan apabila dikatakan: “Berdirilah kamu.” Maka berdirilah, nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (Surah al-Mujadilah, 58: 11)
Kata Imam Qotadah, “Apabila kamu diajak kepada kebaikan (ilmu), maka ikutlah.” Kerana dengan mengikuti ilmu, darjat seseorang akan diangkat di sisi Allah.
Tidak Berkata Tanpa Ilmu
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya), “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak memiliki pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati, semuanya itu akan diminta bertanggungjawab.” (Surah al-Isra’, 17: 36)
Tetapi kita berasa kecewa pada hari ini apabila mendengar banyaknya orang-orang yang bercakap dan mengambil agama tanpa membawakan dalil dari al-Qur’an mahupun as-Sunnah. Sedangkan agama Islam ini bukan agama yang diolah dengan hawa nafsu dan perasaan. Tidak juga boleh digoreng sesuka hati. Tapi sayangnya, ramai orang hari ini perkataan dan perbuataannya mendahului ilmu di dalam dadanya.
Lebih-lebih lagi dengan kepesatan teknologi internet seperti youtube, blog, dan media sosial hari ini. Orang jahil berlumba-lumba mahu berbicara dan menonjolkan diri. Pantang ditanya, pasti menjawab. Jarang sekali hari ini kita menemui orang-orang agama yang sanggup mengatakan “Allahu A’lam” bagi sesuatu yang tidak diketahuinya. Sedangkan jawaban “Allahu A’lam” tersebut termasuk sebahagian dari tanda dalamnya ilmu seseorang.
Ini sebagaimana kata sahabat nabi, ‘Abdullah B. Mas’oud radhiyallahu ‘anhu, “Wahai manusia, sesiapa yang mengetahui sesuatu hendaklah dia mengatakannya, dan sesiapa yang tidak mengetahui hendaklah dia mengatakan, “Allahu A’lam (Allah lebih mengetahui).”
Kerana termasuk sebahagian dari ilmu adalah mengatakan “Allahu A’lam” bagi sesuatu yang tidak diketahuinya.” Kemudian beliau menyebutkan firman Allah Surah Shaad, 38: 86: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak meminta upah sedikitpun padamu atas dakwahku dan bukanlah aku dari kalangan orang yang mengada-adakan (dari apa yang tidak diketahui).”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 4435)
Jangan Berdusta
Apa jua ilmu mestilah dipastikan kesahihannya dan tidak diambil dari yang bukan sumbernya. Kerana setiap ilmu (atau maklumat) yang diambil tanpa dapat dipastikan sumber dan kesahihannya, hakikatnya ia bukanlah ilmu. Malah Banyak dalil-dalil yang mengancam dari menyebarkan sesuatu tentang agama yang tidak dapat ditentukan benar atau tidaknya.
Bercakap agama tanpa dalil yang benar, ia akan menjerumuskan pelaku ke dalam perbuatan mendakwa-dakwi tentang Allah dan agama ini dengan sesuatu yang tidak pasti. Perbuatan seperti ini termasuk kedustaan dan kezaliman. Malah termasuk ajaran syaitan.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya), “Maka siapakah yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah untuk menyesatkan manusia dengan tidak berdasarkan ilmu pengetahuan? Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.” (Surah al-An’am, 6 : 144)
Dalam ayat yang lain, “Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui.” (Surah al-Baqarah, 2: 169)
Dan orang-orang yang bercakap agama tanpa bukti dalil yang benar serta tergesa-gesa dalam menyebarkannya, ia dianggap pendusta. Kata Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Cukuplah seseorang dianggap pendusta ketika dia menceritakan setiap apa yang dia dengar.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 6)
Oleh itu, berilmulah sebelum berkata dan beramal!
Khamis, Januari 05, 2012
Kita Solat Ikut Siapa?
Kita Solat Ikut Siapa?
Abu Numair Nawawi B. Subandi
http://an-nawawi.blogspot.com
Cabang iman itu banyak jumlahnya. Ini sebagaimana disebutkan dalam hadis ada lebih dari enam puluh atau tujuh puluh cabang. Iman yang paling tinggi adalah memahami kalimat tauhid laa ilaaha illallah, manakala yang paling rendah adalah menyingkirkan gangguan dari jalanan.
Di antara cabang keimanan yang paling tinggi setelah kalimat tauhid adalah mendirikan solat. Ini bersesuaian juga dengan tahapan kedudukannya dalam rukun Islam. Mendirikan solat bukan sekadar perbuatan, tetapi perlu dengan keimanan, penghayatan, perkataan, ilmu, dan kesungguhan.
Berdasarkan dalil-dalil yang sahih, ditunjukkan bahawa solat memiliki nilai keududukan yang tinggi. Antaranya ia menjadi pembeza di antara kafir dan Islam sekaligus menunjukkan agama tidak akan tertegak jika ia ditinggalkan. Ini sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاةِ
“Bahawasanya yang membezakan di antara seseorang dengan kesyirikkan dan kekafiran adalah meninggalkan solat.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab al-Iman, 1/228, no. 116)
Selain sebagai tanda keimanan dan keislaman, Allah Subhanahu wa Ta’ala juga menjadikannya termasuk di antara tanda-tanda kejayaan dan asas-asas kebahagian. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ
الَّذِينَ هُمْ فِي صَلاتِهِمْ خَاشِعُونَ
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyu’ dalam solatnya.” (Surah al-Mukminun, 23: 1-2)
Maka dari sini menunjukkan bahawa amalan solat itu amat penting kepada umat Islam. Ia menjadi nadi keimanan, tiang agama, dan asas-asas utama sebuah kejayaan.
Solat Ikut Nabi
Di antara ciri utama solat yang sempurna adalah dengan mengikuti sifat solatnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Kerana tatacara solat ini tidak dapat diketahui dan dipelajari melainkan dengan melihat kepada praktik solat Rasulullah. Beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
وَصَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي
“Solatlah sebagaimana kamu melihat aku solat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 3/7, no. 595)
Bagi melaksanakan tuntutan hadis ini pada hari ini, tidak dapat tidak, kita mesti melihatnya melalui penjelasan yang disampaikan oleh hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang sahih.
Pernahkah kita terfikir, “Sejauh manakah solat yang kita praktikkan pada hari ini menepati tatacara sifat solat Nabi dan para sahabatnya?” “Adakah yang kita amalkan selama ini benar-benar menepati sunnah Rasulullah?”
“Apa dalil dan landasannya?” “Kenapa adakalanya solat yang kita laksanakan berbeza dengan tatacara solat orang yang lain? Ada yang begitu, dan ada yang tidak begini?” “Kalau solat dilaksanakan begini sahkah? Apa buktinya?” “Kenapa praktik solat mazhab A berbeza dengan praktik solat Mazhab B?”
Maka, apa tindakan kita terhadap persoalan-persoalan yang ditimbulkan ini?
Sebenarnya Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memberikan jalan keluar kepada perselisihan dan keraguan ini sebagaimana firman-Nya:
“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Qur’an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Ini lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (Surah an-Nisaa’, 4: 59)
Pada hari ini, buku-buku atau kitab-kitab yang menjelaskan tentang tatacara sifat solat Rasulullah berdasarkan hadis-hadis yang sahih telah banyak diterjemahkan dan beredar di pasaran serta boleh pula dimuat turun percuma dari internet. Inilah antara nikmat Allah kepada kita dengan memudahkan proses meraih ilmu.
Antara buku atau kitab terbaik dalam bab ini adalah seperti karya seorang ulama hadis kontemporari Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah (Wafat: 1420H). Ia telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Malaysia dan Indonesia dengan judul, Sifat Solat Nabi.
Selain itu, para pembaca juga boleh mendapatkan bantuan dari para ilmuan untuk mendapat lebih penjelasan sekiranya perkara ini sukar difahami. Adalah termasuk perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala supaya kita bertanya kepada para ulama dan orang-orang yang mengetahui tentang al-Qur’an dan al-Hadis apabila kita tidak mengetahuinya. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لا تَعْلَمُونَ
“... maka bertanyalah kepada orang-orang yang memiliki pengetahuan (tentang al-Qur’an dan as-Sunnah) jika kamu tidak mengetahui.” (Surah an-Nahl, 16: 43)
Termasuk kefahaman dari ayat ini juga, adalah menjadi tanggungjawab bagi para ulama dan ilmuan supaya menjelaskan dan menyampaikan ilmu-ilmu Islam kepada masyarakat berdasarkan al-Qur’an dan al-Hadis. Iaitu bukan sekadar pendapat yang diada-adakan sendiri tanpa dalil yang jelas.
Tidaklah nanti praktik solat kita ini bila timbul persoalan, maka kita hanya tahu menyandarkannya kepada si fulan, ustaz fulan, dan kitab fulan. Maka kelak nanti akan timbul gejala kepuakan dan perselisihan disebabkan masing-masing melaksanakan agamanya berdasarkan idea si fulan dan tokoh si fulan. Sedangkan Rasulullah Shallalalhu ‘alaihi wa Sallam meminta kita merujuk kepadanya. Dan ini tidak dapat dilakukan melainkan berdasarkan kemampuan, ilmu, dan usaha yang bersungguh-sungguh.
Dan perkara ini bersesuaian dengan wasiat para imam mazhab yang empat termasuk Imam asy-Syafi’i rahimahullah sendiri.
Kata Imam asy-Syafi’i (Wafat: 204H), “Tidak ada seorang pun melainkan ia wajib bermazhab dengan sunnah Rasulullah dan mengikutinya. Apa jua yang aku ucapkan atau tetapkan tentang sesuatu perkara (ushul), sedangkan ucapanku itu bertentangan dengan sunnah Rasulullah, maka yang diambil adalah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan demikianlah ucapanku (dengan mengikuti sabda Rasulullah).” (Disebutkan oleh Ibnul Qayyim dalam I’lam al-Muwaqq’in, 2/286)
Jadi, apabila para ulama besar seperti imam asy-Syafi’i sendiri telah menyatakan demikian, maka tidak patut lagi ada alasan bagi kita untuk mengambil enteng persoalan agama ini terutamanya isu-isu berkaitan solat selaku amalan terbesar sebagai seorang muslim. Tidak bolehlah kita hanya memberi alasan aku ikut mazhab si fulan, aku ikut mazhab imam ini, dan aku ikut ustaz si fulan. Sedangkan kita sendiri tidak mengetahui apa dalil yang menjadi pijakan kita di sebalik perbuatan mengikuti mereka.
Imam Abu Hanifah rahimahullah (Wafat: 150H) pernah menegaskan:
لا يحل لأحد أن يأخذ بقولنا ما لم يعلم من أين أخذناه
“Tidak halal bagi seorang pun mengikuti perkataan kami apabila ia tidak tahu dari mana kami mengambil sumbernya.” (Ibn ‘Abidin, Hasyiah al-Bahri ar-Ra’iq, 4/293 – Dinukil dari Shifah ash-Sholah oleh al-Albani)
Maka, bukalah minda, tuntulah ilmu, dan perbaikilah solat-solat kita. Jangan jadikan perbezaan yang ada pada hari sebagai alat perselisihan dan medan perdebatan. Sebaliknya ambillah perbezaan dengan sikap insaf dan muhasabah diri, iaitu dengan mengembalikannya kepada dalil-dalil yang jelas, iaitu dalil-dalil yang menyatukan kita. Jadikan khazanah tinggalan imam-imam mazhab dan ilmu-ilmu para ulama silam sebagai pedoman untuk mencari pegangan yang terbaik dalam setiap perselisihan.
Pastikan sumbernya jelas, rujukannya diketahui, dan dalil-dalilnya boleh diterima pakai. Prinsip ini sekaligus membantu kita untuk mencapai kesempurnaan dalam agama bukan sekadar dalam persoalan solat, tetapi juga isu-isu yang lainnya. InsyaAllah kita akan menjadi lebih terbuka dan tenang kerana memahami pokok pangkal kepada setiap perbezaan dan permalasahan dengan jalan yang betul.
Wallahu a’lam.
Jumaat, Disember 23, 2011
Misteri Surah Yasin
Misteri Surah Yasin
Abu Numair Nawawi B. Subandi
http://an-nawawi.blogspot.com
Sebahagian umat Islam di negara kita hari ini apabila membaca al-Qur’an, kebiasaannya mereka akan lebih sinonim, kenal, dan rapat dengan surah Yasin berbanding surah-surah yang lainnya. Sehingga ada hari-hari khusus bagi membaca dan mengamalkan surah Yasin ini.
Surah Yasin juga sinonim dengan malam Jumaat, sehingga diadakan majlis-majlis khas bacaan berjama’ah dari rumah ke rumah dan kenduri makan-makan.
Persoalannya, kenapa tidak surah lain dan hanya surah Yasin? Kenapa tidak surah al-Baqarah, atau Ali ‘Imran, atau al-Mu’minuun, atau ar-Rahman, atau rangkaian surah-surah dalam Juz ‘Amma seperti an-Naba’, al-Fajr, atau al-Kaafiruun, atau al-Ikhlas misalnya? Kenapa Mesti pula hari Juma’at?
Selain itu, surah Yasin turut sering dikaitkan dengan pelbagai misteri lainnya. Seperti untuk mencari barang yang hilang, untuk mengiringi orang mati, untuk membuat “air Yasin”, bacaan ketika masuk rumah baru, untuk memudahkan jodoh, untuk mengirimkan pahala kepada orang mati, untuk sambutan majlis-majlis tertentu seperti nisfu Sya'ban dan seumpamanya yang selainnya.
Malah surah Yasin juga telah pun dibukukan dan diterjemahkan secara berasingan menjadi buku-buku khusus seperti buku bersaiz poket, buku cenderamata, buku zikir, dan turut dimasukkan ke dalam pakej tahlilan.
Tidak pernahkah kita terfikir, dari mana datangnya ketetapan bagi Surah Yasin seperti ini? Dari al-Qur’an? Dari sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam? Atau dari amalan para sahabat ridhwanullah ‘alaihim ajma’in?
Anjuran Membaca al-Qur'an
Jika yang dimaksudkan adalah galakkan dalam membaca al-Qur’an, maka di sana terdapat anjuran yang banyak tanpa ditentukan surah yang mana serta tidak juga dikhususkan dengan hari yang mana. Antaranya sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لَا أَقُولُ الم حَرْفٌ وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ
“Sesiapa membaca satu huruf dari Kitabullah (al-Qur’an), maka baginya satu pahala kebaikan dan satu pahala kebaikan akan dilipat gandakan menjadi sepuluh kali, aku tidak mengatakan Alif Laam Miim itu satu huruf, akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf, dan Miim satu huruf.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, 10/153, no. 2835)
Juga sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
الْمَاهِرُ بِالْقُرْآنِ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ وَالَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَتَتَعْتَعُ فِيهِ وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ لَهُ أَجْرَانِ
“Orang yang mahir membaca al-Qur’an, maka kedudukannya di akhirat ditemani oleh para malaikat yang mulia. Dan orang yang berusaha membaca al-Qur’an dengan gagap (tersangkut-sangkut), ia sukar dalam membacanya, maka ia mendapat dua pahala.” (Hadis Riwayat Muslim, 4/219, no. 1329)
Tapi persoalannya, kenapa ramai yang mengkhususkan hanya surah Yasin, dan tidak surah yang lain?
Fadhilat Surah Yasin
Sebenarnya Surah Yasin adalah sama pentingnya sebagaimana surah-surah yang lainnya. Ia mengandungi ayat-ayat Allah sebagaimana surah-surah lain. Membacanya termasuk ke dalam keumuman dalil-dalil anjuran membaca al-Qur’an sebagaimana membaca surah-surah yang lain juga. Tiada fadhilat khusus bagi surah Yasin berbanding surah-surah yang lainnya.
Para ulama hadis menjelaskan bahawa hadis-hadis berkaitan fadhilat Yasin tidak terlepas sama ada dhaif (lemah) atau maudhu’ (palsu). Maksudnya, tiada dalil yang sahih menetapkan fadhilat surah Yasin secara khusus.Sebagai contoh, di antara hadis yang popular tentang surah Yasin ini adalah hadis Qalbul Qur’an (jantung atau hati al-Qur’an). Riwayat hadis tersebut adalah sebagaimana berikut:
حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ وَسُفْيَانُ بْنُ وَكِيعٍ قَالَا حَدَّثَنَا حُمَيْدُ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ الرُّؤَاسِيُّ عَنْ الْحَسَنِ بْنِ صَالِحٍ عَنْ هَارُونَ أَبِي مُحَمَّدٍ عَنْ مُقَاتِلِ بْنِ حَيَّانَ عَنْ قَتَادَةَ عَنْ أَنَسٍ قَالَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ لِكُلِّ شَيْءٍ قَلْبًا وَقَلْبُ الْقُرْآنِ يس وَمَنْ قَرَأَ يس كَتَبَ اللَّهُ لَهُ بِقِرَاءَتِهَا قِرَاءَةَ الْقُرْآنِ عَشْرَ مَرَّاتٍ
Telah mengkhabarkan kepada kami, Qutaibah dan Sufyan B. Waqiq. Daripada Humaid B. 'Abdurrahman ar-Ru'asi, daripada Hasan B. Soleh, daripada Harun Abi Muhammad, daripada Muqatil B. Hayyan, daripada Qotadah, daripada Anas (bahawasanya):
Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda, “Sesungguhnya setiap sesuatu itu memiliki hati dan hati bagi al-Qur'an itu adalah Yasin. Sesiapa yang membacanya, maka Allah akan memberikan pahala bagi bacaannya itu seperti pahala membaca al-Qur'an sepuluh kali.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi, Sunan at-Tirmidzi, 10/121, no. 2812, Bab Fadhail al-Qur’an. Ad-Darimi, Sunan ad-Darimi, 10/311, no. 3479.
Setelah Imam at-Tirmidzi rahimahullah (Wafat: 279H) membawakan hadis ini, beliau pun berkata, “Hadis ini gharib (asing, tidak dikenali). Pada sanadnya terdapat Harun Abi Muhammad, beliau seorang yang majhul (tidak dikenali). Juga diriwayatkan oleh ad-Darimi, dan pada sanadnya dhaif.” (Sunan at-Tirmidzi, 10/121, no. 2812, Bab Fadha’il al-Qur'an)
Kalaupun sahih hadis ini, maka ia tetap bukan dalil untuk mengkhususkan surah Yasin dengan pengkhususan-pengkhususan tertentu seperti bacaan khas malam Juma’at, untuk menjampi air, dan sebagainya.
Bukan Untuk Orang Mati
Surah Yasin juga sering dikaitkan dengan kematian. Dalam perkara ini terdapat beberapa hadis tetapi ianya tidak lepas dari kelemahan atau kepalsuan (maudhu’). Di antara hadisnya adalah sebagaimana yang datang dari jalan (sanad) Sulaiman at-Taimi, daripada Abu ‘Utsman (bukan an-Nahdi), daripada ayahnya, daripada Ma’qil B. Yasar, beliau mengatakan, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
اقْرَءُوا عَلَى مَوْتَاكُمْ يس
“Bacakanlah ke atas mereka yang mati surah Yasin.”Atau:
اقْرَءُوا يس عَلَى مَوْتَاكُمْ
“Bacakanlah Yasin ke atas mereka yang mati.” (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasaa’i, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, dan al-Hakim. Rujuk: Talkhis al-Habir oleh al-Hafiz Ibnu Hajar, 2/244)
Hadis ini lemah dengan beberapa sebab sebagaimana dinyatakan oleh para ulama hadis, antaranya pada sanadnya terdapat perawi bernama Abu ‘Utsman dan ayahnya. Mereka ini adalah perawi yang majhul (tidak dikenali). Hadis ini juga dikategorikan sebagai hadis mudhtharib, iaitu tidak kukuh sanadnya
Di antara ulama hadis yang menegaskan kelemahan hadis ini adalah seperti Imam ad-Daruquthni (Wafat: 285H), Abu Bakar Ibnul ‘Arabi (Wafat: 543H), an-Nawawi (Wafat: 676H), Ibnul Qaththan (Wafat: 813H), al-Hafiz Ibnu Hajar (Wafat: 852H), al-Albani dan ramai lagi selainnya. (lihat: Ibnu Hajar, Talkhis al-Habir, 2/244. An-Nawawi, al-Adzkar, m/s. 122. Al-Albani, Silsilah al-Ahadits adh-Dha’ifah wal-Maudhu’ah, 12/783)
Imam ad-Daruquthni rahimahullah (Wafat: 285H) mengatakan, “Tiada satu hadis pun yang sahih dalam bab ini.” Iaitu tiada satu hadis pun yang sahih yang menganjurkan membaca Yasin kepada orang mati.
Begitu juga dengan hadis:
وَيس قَلْبُ الْقُرْآنِ لَا يَقْرَؤُهَا رَجُلٌ يُرِيدُ اللَّهَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى وَالدَّارَ الْآخِرَةَ إِلَّا غُفِرَ لَهُ وَاقْرَءُوهَا عَلَى مَوْتَاكُمْ
“....Surah Yasin adalah qalbul Qur’an (jantung atau hati al-Qur’an), tidaklah seseorang yang membacanya kerana mengharap keredhaan Allah dan negeri akhirat (Syurga), melainkan akan diampunkan dosanya. Dengan itu, bacakanlah ia kepada orang yang akan mati di antara kamu.” (Hadis Riwayat Ahmad dan an-Nasaa’i. Dinilai lemah oleh ad-Daruquthni, al-Haitsami, al-Albani dan Syu’aib al-Arnauth)
Masyarakat Melayu terkenal membacakan Surah Yasin untuk orang mati atau yang sedang nazak menghadapi sakaratul maut. Tapi ironinya, selama kita membaca atau menghafal surah Yasin, pernahkah kita memahami dan menghayati apa yang terkandung di dalam ayat-ayatnya? Bukankah di dalam Surah Yasin terdapat ayat:
إِنْ هُوَ إِلا ذِكْرٌ وَقُرْآنٌ مُبِينٌلِيُنْذِرَ مَنْ كَانَ حَيًّا وَيَحِقَّ الْقَوْلُ عَلَى الْكَافِرِينَ
“al-Qur’an itu tidak lain, ia adalah peringatan dan kitab yang memberi penjelasan. Supaya ia menjadi peringatan UNTUK ORANG-ORANG YANG HIDUP dan sebagai perkataan yang haq ke atas orang-orang kafir.” (Surah Yasin, 36: 69-70)
Kata al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) berkaitan ayat ini:
أي: لينذر هذا القرآن البيّن كلّ حي على وجه الأرض
“Maksudnya supaya peringatan al-Qur’an ini menjadi bukti yang nyata bagi setiap yang hidup di atas muka bumi ini.” Beliau juga mengatakan:
وإنما ينتفع بنذارته من هو حَيّ القلب، مستنير البصيرة، كما قال قتادة: حي القلب، حي البصر. وقال الضحاك: يعني: عاقلا
“Orang yang dapat mengambil manfaat peringatan dari al-Qur’an adalah orang-orang yang hidup hatinya dan yang terang pandangannya. Sebagaimana kata Qotadah, “Hati yang hidup adalah dengan hidupnya pandangan.” Juga sebagaimana kata adh-Dhahhak, “Iaitu orang yang berakal.” (Tafsir Ibnu Katsir, 6/592)
Ini menegaskan bahawa al-Qur’an ini adalah untuk orang-orang yang hidup, iaitu untuk orang-orang yang beriman dan mereka yang mahu mengambil pelajaran. Bukan untuk orang yang telah mati. Termasuklah surah Yasin, ia pelajaran untuk orang yang hidup.
Sekiranya setiap surah atau ayat-ayat al-Qur’an tertentu itu mahu dikhususkan dengan kelebihan-kelebihan khusus, maka kita perlu mengkhususkannya berdasakan dalil dan petunjuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Kita tidak boleh menetapkan atau mengkhususkannya dengan akal, sangkaan, atau hawa nafsu. Kerana agama kita ini tidak sampai kepada kita secara misteri, sebaliknya datang dengan hujah dan dalil yang jelas.
Walaupun tiada dalil yang sahih tentang fadhilat Yasin secara khusus, termasuk fadhilat membacanya pada hari Juma’at, ini bukan bermakna ia tidak boleh dibaca pada hari Juma’at. Surah Yasin tetap dibaca sebagaimana surah-surah yang lain juga cuma tidaklah perlu dikhususkan pada hari-hari tertentu atau dengan kaedah-kaedah khusus tertentu.
Adapun bacaan Surah secara khusus pada hari Juma’at yang padanya disebutkan kelebihannya dari sunnah sebenarnya adalah Surah al-Kahfi, namun ianya sering dilupakan oleh masyarakat kita.Ini sebagaimana Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ في يَوْمِ الجُمُعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّورِ مَا بَيْنَ الجُمُعَتَيْنِ
“Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Juma’at, Allah akan meneranginya dari cahaya di antara dua Juma’at.” (Hadis Riwayat an-Nasaa’i dan al-Baihaqi. Dinilai sahih oleh al-Albani)
Wallahu a’lam...
Jumaat, November 11, 2011
Merentasi Sempadan Jama’ah-jama’ah Islam
Merentasi Sempadan Jama'ah-jama'ah Islam
Abu Numair Nawawi B. Subandi
Di antara bukti berlaku perpecahan di kalangan umat Islam pada hari ini adalah munculnya pelbagai bentuk jama’ah-jama’ah atas nama Islam. Kemudian diikuti pula sikap taksub dari kalangan ahli dan pendukung jama’ah terhadap jama’ah-jama’ah tersebut.
Lebih menguatkan lagi perkara ini adalah apabila setiap jama’ah saling bertelagah, saling menyerang, dan saling membelasah di antara satu jama’ah dengan jama’ah-jama’ah yang lain.
Kepelbagaian Ideologi Pemikiran
Ketika ini, kita amat sering digemparkan dengan pelbagai isu semasa yang sangat menyentuh sensitiviti dalam beragama. Pelbagai manhaj dan ideologi pemikiran melanda masyarakat ketika ini. Kita tidak pernah sunyi dari isu ajaran syi’ah, mazhab demonstrasi, ideologi kepembangkangan, isu-isu demokrasi, dan yang terbaru isu ideologi seks bebas atas kerangka ideologi mazhab hak asasi manusia. Selain itu, kita juga tidak kering dengan isu-isu murtad dan ajaran sesat.
Sebenarnya fenomena seperti ini bukanlah suatu yang baru. Kalau kira-kira seribu tahun lalu kita dapat lihat dari bacaan sejarah akan kewujudan mazhab-mazhab aqidah yang sesat seperti Khawarij, Rafidhah, Qadariyah, Jahmiyah, Murji’ah, dan Jabariyah. Kemudian dari kelompok-kelompok ini berkembang pula kelompok-kelompok yang lainnya seperti Muktazilah, sufi, tasawuf, al-Asya’irah serta yang seumpamanya. Demikian juga pada hari ini sebenarnya tidak jauh beza keadaan yang melanda. Ideologi pemikiran yang dibawa tetap sama, tapi mungkin label dan penamaan sahaja yang berubah.
Di antara punca lahirnya mazhab-mazhab sesat seperti ini adalah kerana mengabaikan manhaj yang benar dalam menghadam dalil-dalil al-Qur’an dan as-Sunnah. Di samping kejahilan dan sikap hawa nafsu, kelompok-kelompok ini turut mengasaskan kerangka mazhab-mazhab mereka dengan akal, mantiq, dan falsafah. Kemudian dengan kerangka mazhab inilah setiap jama’ah dan kelompok tadi menyeru manusia kepadanya.
Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman:
مِنَ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعًا كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ
“Janganlah kamu termasuk orang-orang yang mensyirikkan Allah, iaitu orang-orang yang menjadikan fahaman agama mereka berpecah-belah mengikut puak. Setiap puak berbangga dengan apa yang ada pada puak masing-masing.” (Surah ar-Ruum, 30: 31-32)
Isyarat Perpecahan
Sebenarnya fenomena perpecahan di kalangan umat Islam ini telah dikhabarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sejak lebih 1400 tahun dahulu. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
وَإِنَّ بَنِي إِسْرَائِيل تَفَرَّقَتْ عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ مِلَّة، وَتَفْتَرِق أُمَّتِي عَلَى ثَلَاث وَسَبْعِينَ مِلَّة، كُلّهمْ فِي النَّار إِلَّا مِلَّة وَاحِدَة، قَالُوا: مَنْ هِيَ يَا رَسُول اللَّه ؟ قَالَ: مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي
“Sesungguhnya bani Israel telah berpecah-belah menjadi 72 golongan, dan umatku akan berpecah-belah menjadi 73 golongan. Mereka semua di Neraka kecuali satu golongan.”
Para sahabat bertanya, “Siapakah dia (yang selamat) wahai Rasulullah?” Beliau menjawab, “Apa yang aku dan para sahabatku berada di atasnya.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi. Dinilai hasan oleh al-Albani)
Sebagaimana yang penulis sebutkan berkaitan kewujudan firqah-firqah sesat tadi, pada hari ini kita mungkin melihat nisbat kelompok-kelompok pengaku jama’ah-jama’ah Islam seperti Tabligh, Qur’aniyuun, Hizbut Tahrir, Ikhwanul Muslimin, Wahhabi, al-Ahbash, Ahlul Bait, dan seumpamanya. Setiap mereka masing-masing mendabik dada bahawa merekalah yang paling benar di samping saling menghentam di antara satu dengan yang lainnya.
Perbezaan ketara dalam setiap mazhab aqidah dan pemikiran yang dipegang menjadikan setiap kelompok ini gagal disatukan walaupun setiap mereka sama-sama umat Islam.
Di antara mereka ada yang berhujah dengan dalil kasyaf dan mimpi, ada yang menolak hadis ahad, ada yang menjadikan pembangkangan terhadap pemerintah sebagai ibadah, ada yang menyeru kepada slogan “Islam moderate”, ada yang menyeru kepada mazhab arus perdana, dan ada pula yang menyesatkan dan mengkafirkan para sahabat Rasulullah selaku pembawa agama yang terpercaya. Sebenarnya ini semua bermula dari sikap mendahulukan hawa nafsu dan akal berbanding nash-nash syari’at.
Jama'ah Yang Benar
Walaupun Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mengisyaratkan berlakunya perpecahan besar di kalangan umat Islam, beliau juga telah mengkhabarkan tentang jama’ah yang selamat dari sekian banyak golongan yang wujud dalam kalangan umat Islam. Sebagai umat Islam yang memiliki fitrah yang murni, sudah tentu kita akan berusaha untuk menyertai golongan yang selamat tersebut. Dan bukan sebaliknya dengan mencari-cari dalil dan membuat akal untuk memenangkan kelompok masing-masing walaupun telah jelas kesesatan dan ketergelincirannya dari agama.
Dari hadis di atas, ketika para sahabat bertanya:
مَنْ هِيَ يَا رَسُول اللَّه ؟ قَالَ: مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي
“Siapakah dia (yang selamat) wahai Rasulullah?” Beliau menjawab, “Apa yang aku dan para sahabatku berada di atasnya.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi. Dinilai hasan oleh al-Albani)
Dalam riwayat yang lain:
وَسَبْعِينَ ثِنْتَانِ وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ وَوَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ وَهِيَ الْجَمَاعَةُ
“... 72 di neraka, dan yang 1 di dalam jannah, dan mereka itu adalah al-Jama’ah.” (Hadis Riwayat Abu Daud, 12/196, no. 3981. Dinilai sahih oleh al-Albani)
Dalam riwayat yang lain:
تختلف هذه الأمة على ثلاث وسبعين فرقة، اثنتان وسبعون في النار وواحدة في الجنة. قلنا: انعتهم لنا قال: السواد الأعظم
“Akan berpecah umatku ini menjadi 73 firqah, 72 golongan di neraka dan hanya 1 di jannah. Satu golongan itu adalah as-Sawaadul A’zham.” (Hadis Riwayat al-Lalika’i, Syarah Ushul I’tiqad, 1/155, no. 131. ath-Thabrani, 8/273, no. 8051. Kata al-Haitsami, “Para perawinya tsiqah”)
Persoalannya, siapakah yang dimaksudkan oleh hadis ini sebagai al-Jama’ah dan as-Sawaadul A’zham? Maka riwayat pertama dan riwayat-riwayat yang lainnya sebenarnya saling menjelaskan. Al-Jama’ah dan as-Sawaadul A’zham adalah sesiapa sahaja yang berjalan di atas jalan agama Rasulullah bersama-sama para sahabatnya.
Beruntunglah jama’ah Islam yang berjalan di atas jalannya Rasulullah bersama-sama para sahabatnya. Biarpun mereka itu sedikit jumlahnya dengan kadar 1 nisbah 72. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
بَدَأَ الْإِسْلَامُ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ
“Islam itu bermula asing lagi aneh (ganjil) dan akan kembali asing sebagaimana asal datangnya. Maka beruntunglah mereka yang dianggap aneh (asing).” (Hadis Riwayat Muslim, 1/350, no. 208)
Dalam riwayat yang lain:
فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ الَّذِينَ يُصْلِحُونَ مَا أَفْسَدَ النَّاسُ
“Maka beruntunglah mereka yang dianggap asing, iaitu orang-orang yang melakukan islah (pembaikan) di ketika manusia berkeadaan rosak.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, 9/219, no. 2554. At-Tirmidzi mensahihkannya)
Dalam riwayat yang lain:
إِنَّ الْإِسْلَامَ بَدَأَ غَرِيبًا، وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ، فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ "، قِيلَ: وَمَنِ الْغُرَبَاءُ ؟ قَالَ: " النُّزَّاعُ مِنَ الْقَبَائِلِ
“Sesungguhnya Islam itu bermula asing (ganjil) dan akan kembali asing sebagaimana asal datangnya. Maka beruntunglah mereka yang dianggap aneh (asing).” (Para sahabat) bertanya:
“Siapakah al-Ghuroba’ (golongan yang asing) itu?” Rasulullah bersabda, “Orang-orang yang menjauhi sikap berpuak-puak.” (Hadis Riwayat Ahmad, 6/325, no. 3784. Kata Syu’aib al-Arnauth, “Isnadnya sahih di atas syarat Muslim”)
Label atau Manhaj?
Berdasarkan dalil-dalil yang diutarakan, label bukanlah menjadi fokus, sebaliknya manhaj dan prinsip menjadi pegangan. Iaitu agar selari dengan jalan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersama-sama para sahabatnya dalam beragama. Iaitu hanya tunduk dengan hujah dan kebenaran, bukan menegakkan taksub, fanatik, dan memperjuangkan ashabiyyah jama’ah masing-masing. Sebaliknya menempatkan diri di dalam kebenaran, mengamalkannya, dan mendakwahkannya.
Kata Ibnu Mas’oud radhiyallahu ‘anhu:
إنما الجماعة ما وافق طاعة الله وإن كنت وحدك
“Sesungguhnya al-Jama’ah itu adalah dengan mentaati Allah walaupun engkau berseorangan.” (Syarah Ushul I’tiqad, 1/163)
Dalam riwayat yang lain:
ان جمهور الناس فارقوا الجماعة وأن الجماعة ما وافق الحق وأن كنت وحدك
“Sesungguhnya kebanyakan manusia berpecah dari al-Jama’ah dan al-Jama’ah itu adalah apa yang bersesuaian dengan kebenaran walaupun engkau berseorangan.” (al-Ba’its ‘ala Inkaril Bida’ wal Hawadits, 1/22)
Sebaliknya, ashabiyyah pula adalah (sebagaimana dalam sebuah hadis), Daripada Watsilah Bt. al-Asqa’, ayahnya berkata:
قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا الْعَصَبِيَّةُ قَالَ أَنْ تُعِينَ قَوْمَكَ عَلَى الظُّلْمِ
“Aku pernah bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah dia ashabiyyah?” Rasulullah menjawab, “Engkau menolong kaummu dalam kezaliman (kebathilan).” (Hadis Riwayat Abu Daud, 13/323, no. 4454. Dinilai hasan lighairihi oleh Syu’aib al-Arnauth)
Tapi sayangnya sikap ashabiyyah inilah yang meracuni jama’ah-jamah Islam hari ini. Setiap jama’ah saling mendabik dada mendakwa kebenaran bersama-sama mereka. Setiap mereka ego dengan kelompok sendiri sehingga tidak mungkin akan bersatu melainkan atas label atau nama jama’ah masing-masing.
Sikap dan karektor seperti ini jauh menyelisihi ciri-ciri golongan yang selamat yang disebutkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Iaitu golongan yang bersatu di atas manhaj kebenaran. Suatu kerangka manhaj yang memahami al-Qur’an dan as-Sunnah sebagaimana kefahaman para sahabat ridhwanullah ‘alaihim ajma’in.
Bukan kefahaman yang dibina atas hawa nafsu dan mendahulukan akal atas nash-nash syari’at. Bukan juga bentuk-bentuk kesatuan yang dibina atas nama parti, nama jama’ah, atau nama-nama organisasi yang mencampur-adukkan pelbagai pemikiran dan manhaj sesat yang dinobatkan dengan nama agama dan kebenaran.
Sebab itulah dapat kita lihat hari ini begitu ramai tokoh-tokoh mengaku ulama bijak pandai yang berhujah dengan al-Qur’an dan as-Sunnah, tetapi saling bertelagah di antara satu sama lain. Ini menjadi bukti wujudnya suatu jurang perbezaan manhaj yang besar dalam memahami Islam di antara satu jama’ah dengan jama’ah-jama’ah Islam lainnya.
Wallahu a’lam.
Khamis, Oktober 27, 2011
Cintakan Dunia Takutkan Mati
Cintakan Dunia Takutkan Mati
Abu Numair Nawawi B. Subandi
http://an-nawawi.blogspot.com
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
يُوشِكُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمُ الْأُمَمُ مِنْ كُلِّ أُفُقٍ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ عَلَى قَصْعَتِهَا
قَالَ: قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللهِ، أَمِنْ قِلَّةٍ بِنَا يَوْمَئِذٍ ؟
قَالَ: أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ، وَلَكِنْ تَكُونُونَ غُثَاءً كَغُثَاءِ السَّيْلِ، تُنْتَزَعُ الْمَهَابَةُ مِنْ قُلُوبِ عَدُوِّكُمْ، وَيَجْعَلُ فِي قُلُوبِكُمُ الْوَهْنَ
قَالَ: قُلْنَا: وَمَا الْوَهْنُ ؟
قَالَ: حُبُّ الْحَيَاةِ وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ
“Begitu hampir waktunya orang-orang kafir saling menyeru untuk menyerang kamu semua dari segala penjuru sebagaimana orang-orang lapar mengerumuni dulang berisi makanan.”
Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah pada ketika itu bilangan kami sedikit?”
Nabi menjawab, “Tidak, sebaliknya pada ketika itu bilangan kamu amat ramai, tetapi kamu seperti buih-buih di air bah. Sesungguhnya Allah akan mencabut rasa takut dari hati musuh-musuh kamu terhadap kamu. Dan Allah mencampakkan dalam hati kamu al-Wahn.”
Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apa yang dimaksudkan dengan al-Wahn?”
Rasulullah menjawab, “Cintakan dunia dan takutkan mati.” (Hadis Riwayat Ahmad, 37/82, no. 22397. Dinilai hasan oleh Syu’aib al-Arnauth. Abu Daud, 11/371, no. 3745. Dinilai sahih oleh al-Albani)
Mungkinkah situasi ini telah berlaku dan sedang berlaku? Kerana pada hari ini orang-orang kafir berkumpul bersama-sama mereka menyerang umat Islam di segala penjuru dan sudut kawasan. Lihatlah apa yang berlaku di Mesir saat ini, apa yang berlaku di Palestin, apa yang berlaku di Iraq, apa yang berlaku di Afghanistan, apa yang berlaku di Libya, dan banyak lagi tempat-tempat lainnya.
Kaum Syi’ah Rafidhah bersama-sama kaum Nashara menyerang dan menguasai Iraq. Ratusan jiwa umat Islam di Iraq dikorbankan setiap hari. Kaum Nashara dan Yahudi menguasai dan menjajah bumi Palestin.
Baru-baru ini tersebar pendedahan penulis buku “Inside The Company: CIA Diary” – Phil Agee melalui Youtube.com – adanya agenda dan perancangan rapi Yahudi, Barat, dan sekutu-sekutu mereka untuk menguasai negara-negara dunia tertentu termasuk negara-negara Islam dan tanah-tanah ‘Arab pada hari ini.
Antaranya melalui agenda demokrasi, hak asasi manusia, ideologi revolusi, kemudian melalui cetusan ketegangan dan kemarahan di kalangan umat Islam sesama sendiri yang mengakibatkan demonstrasi jalanan, rusuhan, dan pemberontakan. Sehingga sekutu mereka ini tadi seperti NED, PBB, dan Nato pula akan memainkan peranan! Keadaan umat Islam menjadi lebih buruk dan tertindas setelah kedatangan mereka.
Arial Sharon, Moshe Dayan, Benjamin Netanyahu, Yeztak Rabin adalah antara individu yang dibuat-buat lupa oleh masyarakat dunia. Sedangkan setiap hari mereka ini semenjak Israel masih belum tertubuh membunuh ribuan jiwa umat Islam di bumi Palestin. Namun tidak ada pula serangan udara dari NATO atau Amerika kepada kelompok ini?
Iraq jatuh ke tangan Amerika dan sekutu mereka (kaum Syi’ah Rafidhah) masa ini akibat serangan bertali arus tentera penceroboh melalui udara. Taliban di Afghanistan dan Libya turut tumbang dengan kaedah yang sama.
Pelik atau tidak, cuba kita fikirkan bersama, walaupun Korea Utara merupakan negara paling aktif berkonfrantasi dengan Amerika Syarikat dan Sekutunya. Demikian juga beberapa negara kaum kuffar lainnya yang aktif berkonfrantasi dengan mereka. Tidak pula negara berkenaan diserang oleh Barat dan sekutunya. Malah tidak ada sebarang rekod bantuan dana kewangan kepada pembangkang di negara berkenaan bagi menyebarluaskan “Demokrasi” ke semenanjung Korea Utara.
Berbeza di negara-negara Islam, termasuk Malaysia sendiri. Agen-agen barat seperti CIA dan NED melalui beberapa siri pengakuan dan laporan telah menyalurkan bantuan kepada kumpulan-kumpulan pembangkang dan aktivis-aktivis demonstrasi jalanan tertentu! Maka, fikir-fikirkanlah agenda-agenda licik di sebalik slogan-slogan demokrasi yang wujud pada hari ini. Ia sebenarnya didalangi oleh musuh-musuh Islam dan dibantu pula oleh sebahagian umat Islam sendiri.
Dengan keadaan umat Islam yang sangat lemah, agenda-agenda dan siri konspirasi jahat tersebut kini sedang rancak berjalan! Ini sebagaimana yang kita lihat hari ini terhadap apa yang berlaku di Mesir, Libya, Syiria, Afghanistan, Iraq, Palestin, dan seumpamanya. Juga sebagaimana fenomena demonstrasi yang hangat melanda negara akhir-akhir ini.
Cintakan Dunia
Benarlah sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tersebut. Umat Islam pada hari ini dikerumuni oleh orang-orang kafir dari pelbagai arah dan penjuru. Dalam masa yang sama, hanya sedikit yang menyedari hakikat ini. Manakala sebahagian besar lainnya amat sibuk dengan dunia masing-masing.
Pada saat ini, adakah kita termasuk orang-orang yang menasihati anak-anak dengan nasihat, “Belajar rajin-rajin ya nak, nanti bila besar senang cari kerja, hidup pun senang.” Atau termasuk yang menasihati anak-anak dengan nasihat, “Jagalah aqidah baik-baik nak, sunnah-sunnah Nabi kena amalkan betul-betul, semoga nanti boleh menjadi orang beriman dan bertaqwa.”??
Kalau kita perhatikan baik-baik, hari ini umat Islam sanggup berhutang berhabis harta untuk mengejar kemewahan yang sementara. Dari saat di alam pengajian sehinggalah ke alam kerjaya, masyarakat Islam tidak sudah-sudah bermain dengan hutang. Hutang pengajian, hutang kenderaan, hutang rumah, hutang kad kredit, hutang riba, hutang perniagaan, hutang barang kemas, dan sebagainya. Kerana hutang itu akhirnya menjadikannya sibuk dan dilupakan dengan janji-janji akhirat.
Sedar atau tidak, sebenarnya cinta terhadap dunia akan menuntut adanya sikap pengagungan terhadapnya. Padahal ia adalah rendah di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala. Dan di antara dosa yang besar adalah mengagung-agungkan sesuatu yang telah dihinakan oleh Allah.
Allah membenci mereka yang menjadikan dunia sebagai tujuan, sebaliknya mencintai mereka yang mengambil dunia sekadar keperluan atau sarana meraih keredhaan-Nya. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):
مَنْ كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الآخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ وَمَنْ كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَا لَهُ فِي الآخِرَةِ مِنْ نَصِيبٍ
“Sesiapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambah keuntungan itu baginya dan sesiapa yang menghendaki keuntungan di dunia Kami berikan kepadanya sebahagian dari keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagianpun di akhirat.” (Surah asy-Syuura, 42: 20)
Ayat ini antaranya menunjukkan bahawa sesiapa yang menjadikan amal perbuatannya untuk meraih hal-ehwal dunia dan bukan untuk tujuan mencari redha Allah Subhanahu wa Ta’ala dan kehidupan akhirat, maka dia akan mendapat apa yang dikehendakinya dari sebahagian keuntungan di dunia tetapi tidak mendapat bahagian di akhirat.
Sebenarnya mencintai dunia akan menjadi penghalang kepada seseorang hamba untuk melaksanakan amal-amal yang memberi manfaat kepadanya di akhirat kelak lantaran kesibukannya dengan apa yang dicintainya tersebut. Dari kecil sehingga dewasa ramai manusia yang menjadikan fokus hidupnya adalah untuk meraih gelaran dan kesenangan dunia.
Tidak sedikit dalam kalangan umat Islam sendiri yang hidupnya sibuk sehingga lupa untuk menuntut ilmu sebagai bekal memahami erti iman, Islam dan taqwa. Kerana terlalu ghairah mengejar masa depan dunia, terlupa pentingnya ilmu-ilmu aqidah untuk masa depan akhirat. Kerana terlalu sibuknya bekerja, sehingga terlupa untuk belajar tentang solat dan melaksanakannya. Anak-anak lebih dirisaukan tentang kehidupan dunianya dari kehidupan akhiratnya.
Malah pelbagai lagi cabang kewajiban agama dialalaikan kerana sibuk mengurus hal-ehwal keduniaan. Dan kebanyakan dari mereka hanya berhenti dari kesibukan tersebut setelah ajal yang amat ditakuti datang tanpa disedari.
Sedangkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bersabda:
مَنْ كَانَتْ اْلآخِرَةُ هَمَّهُ جَعَلَ اللَّهُ غِنَاهُ فِي قَلْبِهِ وَجَمَعَ لَهُ شَمْلَهُ وَأَتَتْهُ الدُّنْيَا وَهِيَ رَاغِمَةٌ وَمَنْ كَانَتْ الدُّنْيَا هَمَّهُ جَعَلَ اللَّهُ فَقْرَهُ بَيْنَ عَيْنَيْهِ وَفَرَّقَ عَلَيْهِ شَمْلَهُ وَلَمْ يَأْتِهِ مِنْ الدُّنْيَا إِلاَّ مَا قُدِّرَ لَهُ
“Sesiapa yang akhirat menjadi harapannya, Allah akan menjadikan rasa cukup di dalam hatinya dan menyatukan urusannya, dan dunia akan datang tunduk kepadanya. Tetapi sesiapa yang menjadikan dunia sebagai harapannya, nescaya Allah akan menjadikan kefaqiran di antara dua matanya serta mencerai-beraikan urusannya, dan dunia tidak akan datang kepadanya melainkan sekadar apa yang telah ditetapkan baginya.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, 9/5, no. 2389. Dinilai sahih oleh al-Albani)
Orang yang mencintai dunia dan menjadikannya sebagai tujuan adalah orang yang paling tersiksa hidupnya. Di dunia dia sibuk bersaing, berusaha mencari, dan menjaganya.
Di alam barzakh dia tersiksa dengan hilangnya dunia dan penyesalan pun datang kepadanya. Akhirnya dia disiksa kerana kecintaan kepada dunia dan mengabaikan kehidupan akhirat.
Hidup di dunia ini umpama khayalan dan hanya sebentar. Umpama mimpi indah yang akan hilang bila-bila masa terjaga.
Maka, janganlah kehidupan akhirat yang penuh keindahan dan kenikmatan dijual dengan harga yang sedikit. Kerana hasilnya adalah kehinaan dan penyiksaan yang dahsyat di akhirat. Malah sebahagiannya boleh dirasai semenjak di dunia lagi sebagaimana kelemahan dan kehinaan yang melanda umat Islam secara umum pada hari ini.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِذَا تَبَايَعْتُمْ بِالْعِيْنَةِ وَأَخَذْتُمْ أَذْنَابَ الْبَقَرِ وَرَضِيْتُمْ بِالزَّرْعِ وَتَرَكْتُمُ الْجِهَادَ سَلَّطَ اللهُ عَلَيْكُمْ ذُلاَّ لاَ يَنْزِعُهُ عَنْكُمْ حَتىَّ تَرْجِعُوا إِلىَ دِيْنِكُمْ
“Sekiranya kamu melakukan perniagaan dengan ‘inah (sejenis riba), mengikuti belakang ekor lembu (sibuk bekerja), berpuas-hati dengan pertanian (sibuk dengan duniawi), serta meninggalkan jihad (tidak memperjuangkan agama Allah), maka Allah pasti membelenggu kamu dalam kehinaan. Dia tidak akan mencabut kehinaan tersebut dari diri kamu sehinggalah kamu kembali kepada agama kamu (Islam yang sebenar).” (Hadis Riwayat Abu Daud, 9/325, no. 3003. Dinilai sahih oleh al-Albani)
Wallahu a’lam.
Jumaat, September 30, 2011
Tauhid Sebagai Kunci Kekuatan
Tauhid Sebagai Kunci Kekuatan
Kalau kita imbau kebangkitan dan kegemilangan umat Islam di masa lampau bermula pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, ia amat-amat membanggakan dan dirindukan. Diikuti pula oleh generasi khulafa al-Rasyidin. Umat Islam merupakan generasi yang cukup kuat dan gah di persada dunia ketika itu. Sehingga musuh-musuh yang berada di sekitar pun merasa gerun dan tunduk.
Tetapi pada hari ini, umat Islam kian kehilangan jati diri dan kekuatannya. Umat Islam berpecah-belah dan lemah. Orang-orang di sekeliling hilang hormat terhadap mereka. Rasa gerun di dalam dada-dada musuh umat Islam seakan-akan telah tercabut.
Di antara faktor kelemahan tersebut sebenarnya berpunca dari dasar aqidah dan keimanan mereka yang amat-amat rapuh. Boleh dikatakan kefahaman dan pegangan terhadap agama terlalu cetek sehingga mudah diperkotak-katikkan.
Bukti kerapuhan aqidah umat Islam pada hari ini antaranya dapat dilihat melalui suburnya amalan-amalan khurafat, tahayyul, bid’ah dan kesyirikan. Di antara contoh mudah yang dapat kita perhatikan adalah suburnya amalan tangkal dan pelaris. Kunjungi dan singgahlah di mana-mana kedai makan orang Melayu atau Mamak, sebahagian besar dari mereka pasti ada menggantung sesuatu di bahagian dinding belakang kaunter bayaran.
Kalau kita perhatikan baik-baik biasanya pada bahagian dinding tersebut mereka gantung dengan sesuatu berupa bingkai (frame) berisi kertas kuning atau kilat berwarna perak, gantungan kain hitam atau kuning, gambar “wali keramat”, ayat 7 bismillah, tulisan-tulisan jawi berbentuk formasi aneh, “ayat 1000 dinar”, atau rajah-rajah dan simbol-simbol pelik yang hanya boleh difahami oleh pembuat tangkal.
Apabila budaya khurafat dan tahayyul yang penuh kesyirikan seperti ini berleluasa, selagi itulah umat Islam akan terus dilanda kehinaan dan kelemahan. Kerana kebergantungan mereka kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala telah bertukar kepada tangkal dan azimat tersebut.
Kata Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
مَنْ تَعَلَّقَ شَيْئًا وُكِلَ إِلَيْهِ
“Sesiapa yang menggantungkan sesuatu (berupa tangkal), maka segala urusannya akan diserahkan kepadanya (kepada tangkal).” (Hadis Riwayat Ahmad, 31/78, no. 18781. Dinilai hasan oleh Syu’aib al-Arnauth)
Mungkin ada yang terlupa bahawa di antara tujuan utama diutus para Rasul kepada umat manusia di muka bumi ini adalah bagi menghapuskan kesyirikan dan mengajak mengabdikan diri semata-mata hanya kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Allah Subhanahu wa Ta’ala menjelaskan:
وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ
“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul pada setiap umat manusia supaya menyerukan, “‘Abdikanlah diri hanya kepada Allah dan jauhilah thaghut.” (Surah an-Nahl, 16: 36)
Juga sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam menjelaskan keutamaan dalam berdakwah:
إِنَّكَ تَقْدَمُ عَلَى قَوْمٍ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ فَلْيَكُنْ أَوَّلَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَى أَنْ يُوَحِّدُوا اللَّهَ تَعَالَى
“Sesungguhnya engkau akan mendatangi kelompok ahli kitab, maka hendaklah yang pertama kali engkau serukan kepada mereka adalah supaya mereka mentauhidkan Allah Ta’ala.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 22/363, no. 6824)
Tegaknya tauhid dan terhapusnya kesyirikan adalah formula utama kejayaan umat Islam di masa lampau. Ini dapat dilihat dari sirah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersama-sama para sahabatnya. Tetapi setelah kesyirikan kembali subur di kalangan umat Islam, mereka pun kembali lemah lagi terhina.
Mungkin kita pernah mendengar nama seorang pendakwah terkenal Syaikh Muhammad B. ‘Abdul Wahhab rahimahullah (Wafat: 1206H). Beliau terkenal dengan dakwah dan karya-karya tulis membasmi kesyirikan di tanah Arab. Beliau membesar di tengah-tengah masyarakat arab yang berpecah-belah dan mengamalkan pelbagai bentuk tahayyul, khurafat, dan bid’ah yang kufur. Ini seperti pengangungan terhadap kubur, percaya kepada kuasa sihir, pemujaan terhadap batu dan pokok keramat, serta ketaksuban terhadap mazhab-mazhab sehingga mengkibatkan pertelagahan.
Beliau memulakan dakwahnya dengan menekuni pelbagai bidang ilmu syar’i dan menela’ah pelbagai kitab para ulama terutamanya mazhab Ahmad B. Hanbal. Kemudian barulah beliau memulakan dakwahnya dengan mengajak masyarakat kepada tauhid serta membasmi kesyirikan dan bid’ah-bid’ah.
Di antara karya tulis beliau yang terkenal sebagai bukti utuhnya dakwah beliau sehingga ke hari ini adalah seperti Kitabut Tauhid, Ushul Tsalatsah, dan Kasyufu Syubuhat. Kitab beliau ini telah diterjemahkan ke dalam banyak bahasa di seluruh dunia pada hari ini.
Hasil kesabaran dan keberkahan usaha dakwah beliau menegakkan tauhid dan membasmi kesyirikan ketika itu, dengan izin Allah Subhanahu wa Ta’ala tanah arab yang sebelumnya berpecah-belah di sekitar wilayah yang beliau diami telah berjaya disatukan. Kejayaan beliau menyatukan tanah Arab menjadi satu daulah atau negara Islam ketika itu hampir seiring dengan kejatuhan kerajaan Turki Utsmaniyyah.
Apa yang boleh kita lihat dari rentetan sejarah dan dakwah beliau ini adalah dari usaha beliau yang mungkin dianggap kecil di mata masyarakat umum. Beliau muncul dalam kalangan masyarakat yang berpecah-belah dan saling bertelagah sesama sendiri. Beliau juga saling berpindah-randah dari satu wilayah ke satu wilayah lainnya akibat dakwahnya yang tidak disukai orang sekeliling pada peringkat awalnya. Tetapi hasil kesabaran dan keteguhan prinsip beliau dalam mendakwahkan tauhid membasmi kesyirikan, akhirnya dari sebuah kelompok kecil, beliau berjaya menyatukan beberapa wilayah sehingga membina sebuah Daulah Islam.
Sebaliknya, lain pula halnya dengan kerajaan Turki Utsmaniyyah yang masyarakatnya ketika itu bergelumang dengan bid’ah dan kesyirikan, ia akhirnya tumbang walaupun kerajaan dan jajahan takluknya besar.
Manfaat dakwah Syaikh Muhammad B. ‘Abdul Wahhab ketika itu begitu besar sekali kepada seluruh umat Islam. Beliau berjaya menghapuskan kesyirikan sekaligus menyatukan masyarakat yang sedang berpecah-belah. Dakwah tauhid yang beliau sampaikan juga telah berjaya melembutkan hati pemerintah ketika itu.
Hasilnya, kesan dakwah beliau masih terus dirasai sehingga ke hari ini sama ada kita sedar ataupun tidak. Antara yang paling ketara adalah khidmat negara tersebut kepada para jama’ah haji dari seluruh dunia. Umat Islam hari ini dapat menunaikan haji dengan selesa, tenang, dan aman. Pengajian ilmu-ilmu agama pun banyak berpusat di sana sehingga hari ini.
Malah Arab Saudi adalah antara negara utama yang mengumpulkan begitu ramai ilmuan dari pelbagai bidang dan cabang ilmu Islam. Para ulamanya bebas berdakwah sehingga dicemburui oleh para ahli bid’ah. Boleh dikatakan, Arab Saudi adalah satu-satunya negara Islam yang ada pada hari ini mampu melaksanakan hukum-hukum Islam dengan baik dan menjadikannya sebagai dustur perundangan negara. Walaupun masih ada kelemahan, tetapi ia adalah contoh yang baik hasil sebuah dakwah yang murni pada hari ini.
Benarlah sebagaimana janji Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam firman-Nya:
وَلَيَنْصُرَنَّ اللَّهُ مَنْ يَنْصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ
“Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” (Surah al-Hajj, 22: 40-41)
Iaitu mereka yang menegakkan agama Allah yang sebenar-benarnya, bukan yang bercampur-aduk dengan bid’ah dan kesyirikan. Allah Subhanahu wa Ta’ala juga telah berjanji melalui firman-Nya:
وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الأرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan yang melaksanakan amal-amal soleh bahawa Dia benar-benar akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan adalah benar bahawa Dia akan memperkukuhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, setelah sebelumnya mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap mentauhidkan-Ku dengan tidak mensyirikkan Aku. Dan sesiapa yang ingkar setelah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” (Surah an-Nuur, 24: 55)
Syaikh ‘Abdurrahman as-Sa’di rahimahullah menjelaskan:
هذا من أوعاده الصادقة، التي شوهد تأويلها ومخبرها، فإنه وعد من قام بالإيمان والعمل الصالح من هذه الأمة، أن يستخلفهم في الأرض، يكونون هم الخلفاء فيها، المتصرفين في تدبيرها، وأنه يمكن لهم دينهم الذي ارتضى لهم، وهو دين الإسلام، الذي فاق الأديان كلها، ارتضاه لهذه الأمة، لفضلها وشرفها ونعمته عليها، بأن يتمكنوا من إقامته، وإقامة شرائعه الظاهرة والباطنة، في أنفسهم وفي غيرهم
“Ayat ini termasuk di antara janji-janji Allah yang benar (lagi pasti), yang telah disaksikan kenyataannya dan kandungan beritanya. (Allah) telah berjanji kepada orang yang menegakkan iman dan beramal soleh dari kalangan umat ini bahawa Dia akan memberikan kepada mereka khilafah di muka bumi. Mereka akan menjadi para khalifah di atasnya, yang mengatur urusan-urusan mereka dan meneguhkan agama (yang diredhai) untuk mereka, iaitu agama Islam yang telah mengalahkan seluruh agama kerana keutamaan, kemuliaan dan kenikmatan Allah atasnya. Mereka bebas dalam menegakkannya dan menegakkan syari’at sama ada yang zahir dan yang batin sama ada untuk diri mereka atau pun selain mereka.” (Tafsir as-Sa’di, m/s. 573 – Mu’assasah ar-Risalah)
Perhatikanlah sirah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Hasil dakwah dan perjuangannya, tidaklah beliau meninggal dunia kecuali Allah telah memberikan kemenangan kepada umat Islam ketika itu dengan tunduknya kota Makkah, Khaibar, Bahrain, seluruh negeri ‘Arab dan seluruh negeri Yaman. Beliau memerintahkan pungutan jizyah dari bangsa Majusi di Hajar dan sebahagian daerah di sempadan Syam.
Herkulis (Raja Romawi) pula meminta perdamaian kepada beliau. Demikian pula penguasa Mesir dan penguasa Iskandariah yang digelar sebagai Muqauqis. Juga raja-raja Oman dan raja Najasyi, iaitu penguasa Habasyah yang menjadi raja setelah ‘Ashimah. Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam meninggal, pemerintahan Islam diteruskan oleh para khalifah setelah beliau.
Abu Bakar ash-Shiddiq melanjutkan kekuasaan dan mengirim pasukan Islam ke Parsi, dipimpin Khalid B. al-Walid. Kaum muslimin menguasai sebahagian wilayah Parsi dan membunuh sebahagian tentera mereka. Pasukan lain yang dipimpin Abu Ubaidah dan para pemimpin lainnya bersamanya menuju Syam. Pasukan ketiga pimpinan ‘Amr B. al-‘Ash menuju Mesir. Allah memberikan kemenangan bagi pasukan yang menuju Syam dan berjaya menguasai Bashrah, Damsyik, dan beberapa yang lain.
Demikianlah seterusnya empayar Islam terus berkembang mencakupi timur dan barat hasil keutuhan pegangan aqidah mereka. Namun setelah lunturnya pegangan aqidah yang tulen dan banyaknya hukum-hakam agama mula mereka abaikan, umat Islam pun melemah sehingga berlakulah apa yang berlaku pada hari ini.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِذَا تَبَايَعْتُمْ بِالْعِيْنَةِ وَأَخَذْتُمْ أَذْنَابَ الْبَقَرِ وَرَضِيْتُمْ بِالزَّرْعِ وَتَرَكْتُمُ الْجِهَادَ سَلَّطَ اللهُ عَلَيْكُمْ ذُلاَّ لاَ يَنْزِعُهُ عَنْكُمْ حَتىَّ تَرْجِعُوا إِلىَ دِيْنِكُمْ
“Sekiranya kamu melakukan perniagaan dengan ‘inah (sejenis riba), mengikuti belakang ekor lembu (sibuk bekerja), berpuas-hati dengan pertanian (sibuk dengan duniawi), serta meninggalkan jihad (tidak memperjuangkan agama Allah), maka Allah pasti membelenggu kamu dalam kehinaan. Dia tidak akan mencabut kehinaan tersebut dari diri kamu sehinggalah kamu kembali kepada agama kamu (Islam yang sebenar).” (Hadis Riwayat Abu Daud, 9/325, no. 3003. Dinilai sahih oleh al-Albani)
Sebahagian kelompok umat Islam hari ini ada yang berteriak dengan slogan “tegakkanlah hukum Allah” dan “dirikanlah Daulah Islamiyyah”, tetapi itu tidak lebih hanya semata-mata slogan kosong warisan kaum khawarij. Syirik dan bid’ah di depan mata mereka biarkan. Dakwah tauhid mereka abaikan. Ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi mereka takwil semahunya dengan akal dan hawa nafsu demi kepentingan suku.
Jauh lebih hina, mereka saling bekerjasama dengan kelompok-kelompok sesat lainnya seperti Syi’ah dan tangan-tangan Nashara serta Yahudi untuk “mendakwah” masyarakat membelasah pemerintah demi sebuah kekuasaan.
Langgan:
Catatan (Atom)











