Tapi dalam masa yang sama, sudah hebat berpacaran ke sana ke mari. Keluar berduaan lelaki dan wanita sambil berpegangan tangan bagai dunia mereka yang punya.
Itulah realitinya, ramai di antara kita memandang perkahwinan dari sudut kos dan material. Tetapi lupa dari sudut agama.
Sebenarnya jika kita kembali kepada agama, perkahwinan itu adalah mudah demi menjaga kesucian diri, maruah, dan agama. Yang sukar adalah urusan tanggungjawab dan tahap kematangan dalam pengurusan. Namun itu semua boleh dipupuk asalkan memiliki ketekunan, kesabaran, dan kesediaan untuk belajar.
Kenapa perlu tunggu lama-lama membiarkan maruah dan agama digadai, mengumpul dosa dalam rindu, duit pula habis untuk pacaran? Bukankah itu jauh lebih sukar berbanding membelanjakan sedikit harta untuk sebuah perkahwinan yang benar? Maka, segerakanlah perkahwinan.
Sehingga Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri pernah menikahkan sahabat dengan mahar yang begitu mudah, iaitu antaranya dengan mahar cincin besi dan mengajar hafaz bacaan sebahagian ayat al-Qur’an. Kenapa kita pula bertindak meninggalkan sunnah Rasulullah dan memilih perkara yang menyusahkan lagi membebankan diri sendiri?
Perlu kita fahami bahawa pernikahan itu bukanlah pasar untuk memperdagangkan anak gadis melalui kutipan belanja hantaran daripada pihak suami. Sebaliknya ia adalah ikatan untuk menuju hidup bahagia berpasangan dengan cara yang syar’i. Bukankah wang dan belanja hantaran yang adakalanya mencecah puluhan ribu ringgit itu lebih baik diguna menampung keperluan hidup berumah-tangga, seperti kos tempat tinggal, kenderaan, dan kehadiran anak-anak kelak?
Selari dengan pesanan Rasulullah bahawa sebaik-baik pernikahan adalah yang paling mudah, majlis kendurinya pun turut dianjurkan dengan cara yang mudah. Selain itu, turut dianjurkan supaya kita menghulur bantuan perbelanjaan walimah kepada pasangan baru bernikah.
Ia tidaklah seperti sebahagian daripada kita hari ini yang berlebih-lebihan dalam walimah sehingga sanggup membuat pinjaman kewangan demi merealisasikan kenduri perkahwinan yang mahu dilihat besar dan gah.
Menurut sunnah, majlis walimah yang dianjurkan Rasulullah itu tidak lebih dari sekadar jamuan makan dengan bergembira meraikan pasangan yang berkahwin. Ini berlangsung dengan cara menghadiri dan mendoakannya dengan kebaikan. Sehingga orang-orang yang berpuasa pun turut wajib menghadirkan diri ke majlis walimah jika mendapat jemputan.
Dalam masa sama, majlis walimah ini tidaklah sewajarnya diiringi dengan maksiat dan kemungkaran. Sangat menyedihkan perkara-perkara maksiat dalam acara-acara walimah hari ini dilihat begitu subur. Sehingga ada yang sanggup berbelanja besar kerananya pula. Perkara ini wajib kita sedari dari awal agar tidak terus menular.
Di antara perkara buruk yang telah mula membudaya dalam majlis-majlis walimah hari ini yang dapat penulis sebutkan adalah seperti budaya mendedahkan aurat dan tabarruj (berdandan) untuk tontonan umum dalam praktik persandingan, menghambur-hambur harta (membazir) untuk menunjuk-nunjuk dan mendapat pujian, mencukur kening dan janggut, mengkhususkan adanya acara potong kek dan menyarung cincin perkahwinan, adat bersanding dan pelamin, upacara merenjis dan menepung tawar demi meraih keberkatan, bersalam-salaman dengan yang bukan mahram, acara tahlilan khas memohon restu nenek moyang, menjemput bomoh tolak hujan, majlis karaoke dan nyanyi-nyanyian, permainan kuda kepang, menggantung gambar pengantin, dan seumpamanya.
Hukum mendedahkan aurat adalah suatu yang maklum di kalangan umat Islam. Lebih lagi apabila berlaku pembaziran wang untuk belanja solekan, set baju yang menggambarkan bentuk tubuh wanita, dan mencukur kening demi kelihatan cantik. Ini semua termasuk bentuk-bentuk peragaan tubuh ala jahiliyah yang telah diharamkan Allah Subhanahu wa Ta’ala melalui firman-Nya (maksudnya), “Dan janganlah kamu berhias (tabarruj) dan bertingkah-laku seperti orang-orang Jahiliyyah.” (Surah al-Ahzab, 33: 33)
Manakala acara khas sesi sarung cincin dan potong kek perkahwinan pula ia termasuk meniru-niru adat keagamaan kaum kafir yang tidak pernah sedikitpun dianjurkan dalam sunnah Rasulullah. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
Manakala amalan meminta individu tertentu untuk menolak dan menahan hujan dengan jampi tertentu agar majlis dapat berjalan lancar, maka ini termasuk pula ke dalam perbuatan syirik. Ini sama juga dengan adat menepung tawar yang tidak diketahui asal-usulnya dari ajaran agama Islam. Sebenarnya untuk tujuan ini, cukuplah dengan berdoa kepada Allah dan bersedia dengan sebarang kemungkinan secara teknikal.
Jika di dalam majlis-majlis walimah tertentu mengandungi praktik-praktik maksiat seperti ini, terdapat petunjuk Rasulullah supaya tidak menghadirinya atau sekiranya mampu maka berilah nasihat dan teguran.
Dari itu, mudahkanlah pernikahan dan majlisnya. Ambillah sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sebagai pedoman dan ikutan. Berbanggalah dengan kemuliaan Islam, bukan dengan maksiat, kemungkaran dan pembaziran. Hindarilah juga budaya pacaran tanpa nikah! Semoga semaian cinta dan majlis kita mendapat berkah dan keredhaan Allah. Itulah yang perlu kita cari dan kejar. Wallahu a’lam.
9 comments:
salam. terima kasih atas pencerahan. mohon kongsi
salam..setuju sgt dengan ustaz. sy nak tanya kalau nikah lari tu adakah sudah memadai yang dimaksudkan dengan pernikahan ikut sunnah? cume restu dari ibu bapa ja yang tak dapat..cmna tu?
trima kasih
Salam ustaz...info yg menarik. mohon utk share..
info yang baik...mohon share
info yang baik...mohon share
mohon share ustaz.
syariat itu mudah.. tp undang2 sekarang sdkit mnyusahkan..
nak kne wat pemeriksaan,
pastu borg msti kne negeri sendiri..
kalu kje dekat ngeri sndiri ok la..
salam, sy nak bernikah dgn janda tp keluarganya d indo. sy nak nilah d sini cume bagaimana syarat yg sah iaitu wali n saksi.
Catat Ulasan