Iktibar Dari Medan Hunain
Ahad, September 23, 2012
Iktibar Dari Medan Hunain
Jumlah Yang Banyak Belum Tentu Bermanfaat
Iktibar Dari Medan Hunain
Iktibar Dari Medan Hunain
Jumlah yang banyak tidak bermanfaat jika tidak didahulukan dengan ilmu dan tauhid yang sahih.
Allah Subhanahu wa Ta'ala telah berfirman:
لَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ فِي مَوَاطِنَ كَثِيرَةٍ وَيَوْمَ حُنَيْنٍ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنْكُمْ شَيْئًا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُمْ مُدْبِرِينَ
“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (kaum mukminin) dalam banyak medan peperangan, dan (ingatlah) peperangan Hunain; iaitu di waktu kamu berasa bangga kerana banyaknya jumlah kamu. Maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepada kamu sedikitpun, dan bumi yang luas itu telah terasa sempit oleh kamu, kemudian kamu bercerai-berai mundur lari ke belakang.” (Surah at-Taubah, 9: 25)
Allah menyebutkan kurniaan dan kebaikan-Nya yang telah diberikan kepada orang-orang yang beriman ketika Allah memberikan pertolongan di dalam banyak peperangan yang mereka hadapi bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Semua kemenangan tersebut adalah hasil kehendak dan pertolongan Allah, bukan kerana jumlah dan kelengkapan yang mereka miliki. Allah juga mengingatkan bahawa kemenangan adalah datang dari Allah sama ada jumlah pasukan Islam itu sedikit mahupun banyak. (Tafsir Ibnu Katsir, 4/125)
Dalam peristiwa Hunain, ketika mereka merasa kagum dan terlena dengan jumlah mereka yang banyak, sedangkan hakikatnya jumlah yang banyak itu tidaklah bermanfaat bagi mereka, maka mereka pun lari tunggang-langgang dan kucar-kacir kecuali sebilangan kecil orang-orang Mukmin yang bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Walau bagaimanapun, setelah situasi dan fenomena tersebut, maka Allah Subhanahu wa Ta’ala pun menurunkan bantuan dan pertolongan-Nya kepada Rasul-Nya dan orang-orang Mukmin yang setia bersama-sama beliau. Ini adalah dalam rangka memberi pengajaran bahawa kemenangan itu hanyalah berasal dari Allah semata-mata walaupun jumlah tenteranya hanya sedikit.
Betapa banyak kelompok yang kecil dapat mengalahkan kelompok yang besar dengan izin Allah, dan adalah Allah itu sentiasa bersama-sama orang yang sabar. (Tafsir Ibnu Katsir, 4/125)
Peperangan di medan Hunain ini adalah peperangan yang berlaku setelah dan sebaik penaklukan kota Makkah, iaitu setelah Fathul Makkah (pembukaan Makkah). Ia berlangsung pada bulan Syawwal tahun 8 Hijriyyah. Pada ketika itu begitu ramai penduduk sekitar yang memeluk agama Islam bersamaan dengan peristiwa tersebut.
Pada ketika itulah sampai berita kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa kelompok Bani Hawazin di bawah pimpinan Malik B. ‘Auf an-Nadhari sedang mengumpulkan bala tentera serta kelengkapan bertujuan memerangi Rasulullah.
Bersama-sama mereka ada Bani Tsaqif, Bani Jasyim, Bani Sa’ad B. Bakar, dan beberapa kelompok yang tidak berapa banyak jumlah pengikutnya dari kalangan Bani Hilal, sebilangan orang dari Bani ‘Amr B. ‘Amir, dan dari Bani ‘Aun B. ‘Amir. Mereka datang secara segerombolan semuanya dengan membawa anak-anak, kaum wanita, orang-orang tua, dan haiwan-haiwan peliharaan.
Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersama-sama pasukannya dari kalangan Muhajirin, Anshar, dan suku-suku ‘Arab, ditambah pula dengan jumlah sekitar 2000 orang dari kalangan penduduk Makkah yang baru masuk Islam.
Mereka bertemu dengan musuh di lembah Hunain, sebuah lembah yang terletak antara Makkah dan Tha’if. Di sinilah pertempuran yang dinamakan peperangan Hunain berlangsung.
Pada ketika itu sebaik setelah Subuh ketika terbitnya matahari, pasukan Islam bertempiaran lari ke tengah lembah dan terperangkap dengan kepungan musuh dari bala tentera pasukan Hawazin yang telah berada di kawasan tersebut jauh lebih awal secara sembunyi-sembunyi.
Ketika sebaik pasukan Islam berada di tengah-tengah lembah tersebut, mereka pun diserang secara mengejut dan tiba-tiba dengan tebasan pedang dan hujanan anak-anak panah. Maka secara mendadak pasukan Islam ketika itu pun bertempiaran menjadi tunggang-langgang dan tidak keruan. Mereka lari mundur ke belakang sebagaimana yang dinyatakan Allah Ta’ala dalam firman-Nya.
Kecuali Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di atas baghal tunggangannya tidak berganjak berserta beberapa kaum mukminin yang setia bersamanya sambil berusaha mara ke arah pasukan lawan.
Melihat situasi itu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun berteriak:
أين يا عباد الله؟ إليَّ أنا رسول الله
“Ke mana wahai hamba-hamba Allah, kembalilah kepadaku, aku ini utusan Allah!”
Beliau juga berteriak:
أنا النبي لا كذب ... أنا ابن عبد المطلب ...
“Aku ini Nabi, tidak berbohong. Aku anak keturunan ‘Abdul Muththalib.”
Jumlah sahabat yang pada ketika itu teguh bersama-sama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah sekitar 100 orang (dan ada yang mengatakan sekitar 80 orang), di antaranya adalah Abu Bakr, ‘Umar, al-‘Abbas, Usamah B. Zaid, dan yang lainnya.
Kemudian Rasulullah pun memerintahkan pak ciknya, al-‘Abbas radhiyallahu ‘anhu (yang memiliki suara lantang) untuk memanggil dengan suara yang sekuat-kuatnya:
يا أصحاب الشجرة
“Wahai orang-orang yang telah turut serta di bawah pohon...” iaitu pohon lokasi peristiwa bai’at ar-Ridhwan di mana mana ketika itu sejumlah orang Muhajirin dan Anshar berjanji untuk tidak meninggalkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Al-‘Abbas juga memanggil dengan teriakan: “Wahai orang-orang yang turut serta di malam hari.” Dan beliau juga memanggil dengan teriakan:
يا أصحاب البقرة
“Wahai orang-orang yang hafal Surah al-Baqarah.” Maka kaum Muslimin pun menyahut panggilan tersebut seraya bergegas menuju kepada Rasulullah sampai-sampai ada yang meninggalkan untanya kerana tersekat oleh orang-orang yang mundur.
Ketika sejumlah pasukan yang sebelumnya telah bercerai-berai itu berkumpul semula dan berdiri teguh di sisi Rasulullah, beliau pun mengingatkan mereka agar bersungguh-sungguh, lalu mengambil segenggam pasir dan berdoa memohon kepada Allah Ta’ala:
اللَّهُمَّ أَنْجِزْ لِي مَا وَعَدْتَنِي
“Ya Allah, penuhilah untukku apa yang telah Engkau janjikan.”
Kemudian beliau pun lemparkan pasir tersebut ke arah pasukan musuh dan tidak seorang pun dari kalangan musuh yang tidak terkena pasir di kedua mata dan mulutnya. Sehinggalah musuh-musuh pun disibukkan oleh pasir-pasir tersebut. Manakala kaum Muslimin pula sibuk mengasak, membunuh, dan menawan musuh-musuh tersebut sehingga begitu ramai musuh yang berjaya ditawan dalam keadaan mereka tidak berdaya melawan lagi. (Lihat: Tafsir Ibnu Katsir, 4/125-128)
Atas sikap berani, sabar, dan tawakkal mereka inilah Allah Subhanahu wa Ta’ala membantu mereka lalu memenangkan mereka walaupun dalam keadaan permulaan yang penuh mengejutkan, kucar-kacir, dan mendebarkan lagi tidak disangka-sangka diserang musuh.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
ثُمَّ أَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَى رَسُولِهِ وَعَلَى الْمُؤْمِنِينَ وَأَنْزَلَ جُنُودًا لَمْ تَرَوْهَا وَعَذَّبَ الَّذِينَ كَفَرُوا وَذَلِكَ جَزَاءُ الْكَافِرِينَ
“Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan bala tentera yang kamu tidak melihatnya, dan Allah menimpakan ‘azab bencana kepada orang-orang yang kafir, dan demikianlah balasan kepada orang-orang yang kafir.” (Surah at-Taubah, 9: 25)
Demikianlah Allah menurunkan bantuan pertolongan dan kemenangan kepada orang-orang yang teguh keimanannya, iaitu orang-orang yang sabar dan tunduk. Dan perkara itu adalah mudah bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Di antara punca mundurnya umat Islam di fasa awal peperangan Hunain adalah kerana masih lemahnya tahap kefahaman tauhid dalam kalangan orang-orang yang baru memeluk Islam walaupun jumlah mereka telah ramai dan senjata mereka telah hebat waktu itu.
Mereka dari kalangan yang baru memeluk Islam ini masih belum benar-benar bersih dari saki-baki noda-noda jahiliyah di dalam lubuk hati mereka. Mereka masih memiliki sikap ingin mengikuti sebahagian amalan jahiliyyah yang dulunya mereka amalkan. Malah disebutkan dalam sebahagian kitab-kitab sirah, orang-orang yang masih belum Islam pun ada yang turut serta dalam ekspedisi ke medan Hunain ini.
Ada di antara mereka yang turut serta tersebut semata-mata tidak suka diperintah oleh Bani Hawazin dan mereka mengaku lebih baik jika ditadbir oleh bangsa Quraisy berbanding ditakluk oleh puak Hawazin. Bukannya kerana mereka mahukan Islam. (al-Baihaqi, Dalaa’il an-Nubuwwah, 5/128 – Daar al-Kitab al-‘Ilmiyah. Fiqhus Sirah, m/s. 528-529)
Oleh sebab perkara seperti inilah antaranya telah memberi dampak yang negatif terhadap peperangan yang mereka hadapi.
Sedangkan sebelumnya Allah telah banyak memenangkan mereka dalam banyak peperangan walaupun jumlah mereka sedikit dan kelengkapan mereka tidak sehebat musuh yang dihadapi.
Dalam sebuah hadis disebutkan: Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam keluar dalam perjalanan menuju ke medan Hunain, beliau melewati sebatang pokok milik golongan Musyrikin yang dikenali sebagai Zaatu Anwaath yang digunakan (oleh para Musyrikin) sebagai tempat persinggahan dan menggantung senjata sambil berkumpul di sekitarnya, beribadah, dan mencari keberkahan. (Ibnu Katsir, al-Fushuul fii Siirah ar-Rasuul, Tahqiq: Salim al-Hilali, no. 447. Zaid B. ‘Abdul Karim az-Zaid, Fikih Sirah, m/s. 526 dan 536 – Darus Sunnah)
Mengenangkan manfaat pokok tersebut, sebahagian sahabat yang turut serta pun berkata: “Wahai Rasulullah, jadikanlah untuk kami Zaatu Anwaath sebagaimana mereka juga memiliki Zaatu Anwaath.”
Mendengar kata-kata Sahabat tersebut, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda:
سُبْحَانَ اللهِ هَذَا كَمَا قَالَ قَوْمُ مُوسَى {اجْعَلْ لَنَا إِلَهًا كَمَا لَهُمْ آلِهَةٌ} وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَتَرْكَبُنَّ سُنَّةَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ
“Subhanallah (Maha Suci Allah)! (Perkataan) ini sama seperti perkataan kaum Musa:
“Buatkanlah untuk kami (sebuah patung) sebagai sembahan sebagaimana mereka juga memiliki beberapa patung (sembahan).”
Demi jiwaku yang berada di Tangan-Nya! Sesungguhnya kamu akan mengikuti sunnah-sunnah golongan sebelum kamu.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 2180. Dinilai sahih oleh at-Tirmidzi)
1, Perlu berhati-hati terhadap sikap kemusyrikan, menyerupai orang-orang kafir, dan sifat ghurur. Demikian juga wajib berwaspada dari mengikuti sikap orang-orang menyimpang dari kalangan umat terdahulu yang banyak mempertuhankan hawa nafsu. Ini kerana, perbuatan meniru-niru atau menyerupai amalan orang-orang kafir adalah antara punca yang mendorong berbuat bid’ah, kesyirikan, dan kesesatan.
2, Berhati-hati dengan perbuatan menyerupai orang-orang kafir dan sifat-sifat jahiliyyah. Kerana perbuatan menyerupai dan meniru-niru amalan kebiasaan orang-orang kafir adalah termasuk isyarat tercemarnya tauhid, tidak yakin dengan Islam, dan merupakan tanda kelemahan.
3, Perlu waspada dengan sikap sombong dan merasa bangga diri. Ia termasuk sikap yang dibenci dan membawa kepada kekalahan.
4, Jumlah yang ramai bukan jaminan kemenangan seandainya tidak bertaqwa, tiada tawakkal, dan tidak bersabar dengan sabar yang syar’i. Sebaliknya, jumlah yang sedikit tetapi memiliki keyakinan terhadap Allah, kekuatan tawakkal, dan sabar jitu, pasti akan mendapat bantuan dari Allah Ta’ala.
5, Menunjukkan kewajiban menyahut seruan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam apa jua keadaan agar beroleh kemenangan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala. Demikian juga pada hari ini, kewajiban menyahut seruan beliau adalah dengan cara taat dan mengikuti al-Qur’an dan as-Sunnah yang beliau tinggalkan.
6, Pentingnya kefahaman aqidah yang mantap dan sahih sebelum berjuang. Aqidah yang benar adalah tunjang kekuatan dan penyebab turunnya pertolongan Allah.
7, Disyari’atkan berdoa memohon pertolongan Allah dengan sepenuh keyakinan dan tawakkal terutamanya dalam keadaan yang genting dan darurat. Doa adalah antara faktor yang sangat penting dalam mengubah suasana kekalahan dan genting kepada kemenangan.
Wallahu a’lam.
Bertambah Rezeki Dan Umur Dengan Silaturrahim
Bertambah Rezeki Dan Umur Dengan Silaturrahim
Di antara amal-amal kebaikan yang akan mendatangkan barakah dan manfaat yang banyak dalam kehidupan ini adalah menyambung dan menghubungkan silaturrahim. Menghubungkan silaturrahim ini termasuk salah satu bentuk ibadah yang diberi nilai pahala yang tidak kurang besarnya di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Silaturrahim adalah amalan yang merujuk hubungan atau jalinan kekeluargaan yang terkait dengan hubungan nasab atas dasar iman dan Islam.
Makna silaturrahim secara bahasa berasal dari kata rahmah yang bererti lembut dan kasih-sayang. Imam Abu Ishaq rahimahullah mengungkapkan:
“Disebutkan sebagai yang paling dekat rahimnya adalah orang yang paling dekat kasih-sayangnya. Dan yang paling dekat hubungan kekeluargaannya.” (Lisan ul-‘Arab, 5/174)
Ar-Raghib al-Asfahani rahimahullah pula mengatakan:
“Ar-Rahim berasal dari kata rahmah yang bermaksud lembut yang memberi kesan melakukan perbuatan baik kepada orang yang disayangi.” (Mufradatu al-‘Qur’an, m/s. 346)
Manakala kata Imam Ibn ul-Atsir rahimahullah:
“Silaturrahim adalah sebuah ungkapan yang merujuk menjalinkan hubungan dan perbuatan baik terhadap kaum kerabat (atau ahli keluarga) yang memiliki hubungan nasab atau perkahwinan, iaitu dengan berlemah-lembut terhadap mereka, menyayangi mereka, dan mengambil berat urusan keadaan mereka, walaupun mereka berjauhan dan berbuat keburukan. Manakala memutuskan silaturrahim adalah suatu perbuatan yang bertentangan dengan itu semua.”
Adapun hubungan yang dinisbatkan kepada umat Islam lainnya secara umum selain ahli keluarga, maka ia disebut sebagai ukhuwah Islamiyah, iaitu persaudaraan sesama Islam.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا
“Dan ingatlah nikmat-nikmat Allah ke atas kamu ketika kamu dahulu saling bermusuhan lalu Allah pun mempersatukan hati-hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat-Nya saling bersaudara.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 103)
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ
“Sesungguhnya kaum yang beriman itu adalah bersaudara.” (Surah al-Hujuraat, 49: 10)
Dari sini menunjukkan bahawa hubungan silaturrahim itu adalah suatu bentuk hubungan dekat yang rapat seperti hubungan di antara seorang ayah dengan anaknya, atau seseorang dengan ahli keluarganya di atas ikatan nasab dan kasih-sayang yang akrab serta penuh kemesraan. Ini sebagaimana firman Allah subhanahu wa Ta’ala:
وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ
“Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan nama-Nya kamu saling meminta, dan peliharalah hubungan rahim.” (Surah an-Nisaa’, 4: 1)
Memelihara hubungan rahim (silaturrahim) dan berbuat baik kepada kedua ibu dan bapa serta ahli keluarga lainnya adalah termasuk urusan dunia yang memiliki nilai ibadah yang agung. Bahkan ia termasuk apa yang diwajibkan dalam Islam, tidak sekadar semata-mata urusan dunia. Oleh itu, ia pun termasuklah ke dalam amal-amal yang mulia di sisi Allah Ta’ala lagi berpahala besar. Terdapat begitu banyak dalil yang menggesa kita semua agar menjalinkan dan memelihara hubungan rahim ini. Bahkan dalil-dalil yang mengancam bagi sesiapa yang memutuskan hubungan rahim ini juga pun tidak kurang tegasnya.
Silaturrahim Membuka Rezeki
Silaturrahim merupakan di antara amalan yang mampu membukakan pintu-pintu rezeki di sisi Allah Ta’ala. Oleh itu, seseorang yang berhajat agar dimudahkan rezeki baginya hendaklah tidak meremehkan urusan hubungan kekeluargaan rahim ini. Bahkan dia harus sentiasa menghiasi hidupnya dengan banyak bersilaturrahim, sama ada terhadap kaum keluarganya sendiri mahupun menjalinkan hubungan sesama umat Islam lainnya dalam rangka berbuat baik dan mencari redha Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Semoga dengan terpeliharanya hubungan ini, Allah pun akan membukakan baginya rezeki yang baik-baik lagi dipanjangkan umurnya. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، أَوْ يُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
“Sesiapa yang mahu dimudahkan rezekinya dan ditambah umurnya maka hendaklah dia menyambungkan hubungan rahim.” (Shahih al-Bukhari, 2067. Shahih Muslim, no. 2557)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
فَإِنَّ صِلَةَ الرَّحِمِ مَحَبَّةٌ فِي الأَهْلِ، مَثْرَاةٌ فِي المَالِ، مَنْسَأَةٌ فِي الأَثَرِ
“Bahawa sesungguhnya silaturrahim itu adalah mahabbah (saling mencintai) di dalam keluarga, ia menambahkan harta, ia memanjangkan usia.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 1979)
Kata ‘Abdullah B. ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma:
مَنِ اتَّقَى رَبَّهُ، وَوَصَلَ رَحِمَهُ، نُسّىءَ فِي أَجَلِه وَثَرَى مَالَهُ، وَأَحَبَّهُ أَهْلُهُ
“Siapa yang bertaqwa kepada Rabb-nya dan menyambung silaturrahim, nescaya umurnya akan dipanjangkan dan hartanya akan ditambah-banyakkan serta keluarganya akan mencintainya.” (Al-Adabul Mufrad, no. 58)
Di antara maksud ditambahkan umurnya adalah merujuk kepada kehidupannya yang dipenuhi dengan barakah, taufiq untuk beramal soleh, dan waktu usianya sentiasa terhindar dari amal-amal yang sia-sia lagi tidak bermanfaat sama ada untuk dunianya mahupun agamanya. Termasuk di dalam maksudnya juga adalah namanya yang sentiasa disebut-sebut dan menjadi ingatan dengan sebab kebaikannya di sepanjang zaman. Atau memang benar-benar umurnya ditambah oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala secara hakiki.
Manakala maksud dimudahkan padanya rezeki adalah penuhnya kebaikan terhadap apa yang dimilikinya, dikurniakan rasa redha, qona’ah, dan banyak manfaatnya selain benar-benar ditambahkan rezeki secara nyata untuknya.
Dan keutamaan-keutamaan ini semua terdapat pada amalan menyambungkan hubungan rahim yang terputus. Maka, sambungkanlah silaturrahim di antara kita terutamanya sesama kaum kerabat dan ahli keluarga yang dekat. Lebih-lebih lagi yang telah terputus atau diputuskan oleh sesuatu sebab.
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
لَيْسَ الوَاصِلُ بِالْمُكَافِئِ، وَلَكِنِ الوَاصِلُ الَّذِي إِذَا قُطِعَتْ رَحِمُهُ وَصَلَهَا
“Sesungguhnya bukanlah orang yang menyambung silaturrahim itu orang yang membalas kebaikan, tetapi orang yang menyambung silaturrahim itu adalah orang yang menyambung hubungan dengan orang yang telah memutuskannya.” (Musnad Ahmad, no. 6785. Shahih al-Bukhari, no. 5991)
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
فَهَلْ عَسَيْتُمْ إِنْ تَوَلَّيْتُمْ أَنْ تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ وَتُقَطِّعُوا أَرْحَامَكُمْ (22) أُولَئِكَ الَّذِينَ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فَأَصَمَّهُمْ وَأَعْمَى أَبْصَارَهُمْ
“Maka adakah seandainya jika kamu berkuasa kamu akan membuat kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan rahim (kekeluargaan)? Mereka itulah orang-orang yang dilaknati Allah dan ditulikan telinga mereka dan dibutakan penglihatan mereka oleh Allah.” (Surah Muhammad, 47: 22-23)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
لَا يَدْخُلُ الجَنَّةَ قَاطِعٌ» قَالَ ابْنُ أَبِي عُمَرَ: قَالَ سُفْيَانُ: يَعْنِي قَاطِعَ رَحِمٍ
“Tidak masuk Syurga mereka yang memutuskan (iaitu memutuskan hubungan rahim).” (Sunan at-Tirmidzi, no. 1909)
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَا مِنْ ذَنْبٍ أَحْرَى أَنْ يُعَجِّلَ اللهُ لِصَاحِبِهِ الْعُقُوْبَةَ فِى الدُّنْيَا مَعَ مَا يُدَّخَرُ لَهُ فِى اْلآخِرَةِ مِنَ الْبَغْيِ وَقَطِيْعَةِ الرَّحِمِ
“Tidak ada dosa yang Allah lebih menyegerakan siksaan kepada pelakunya di dunia, serta yang disimpan untuknya di akhirat selain perbuatan zalim dan memutuskan silaturrahim.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 2511)
Dibalas Syurga
Kata Abu Ayyub al-Anshari radhiyallahu ‘anhu:
“Seorang lelaki datang bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Wahai Rasulullah, khabarkanlah kepadaku suatu amal yang dapat memasukkan aku ke dalam Syurga dan menjauhkan aku dari Neraka.” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun menjawab:
تَعْبُدُ اللَّهَ لاَ تُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا، وَتُقِيمُ الصَّلاَةَ، وَتُؤْتِي الزَّكَاةَ، وَتَصِلُ الرَّحِمَ
“Engkau beribadah kepada Allah dengan tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu apa pun, menegakkan solat, menunaikan zakat, dan menghubungkan silaturrahim.” (Shahih al-Bukhari dan Muslim)
Tanda Iman
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menghubungkan silaturrahim.” (Shahih al-Bukhari, no. 6138)
Sedekah Kepada Ahli Keluarga
الصَّدَقَةُ عَلَى المِسْكِينِ صَدَقَةٌ، وَهِيَ عَلَى ذِي الرَّحِمِ ثِنْتَانِ: صَدَقَةٌ وَصِلَةٌ
“Sedekah ke atas golongan miskin itu adalah sedekah (1 pahala), dan sekiranya dia bersedekah ke atas ahli keluarga maka itu adalah dua pahala, iaitu sedekah dan menyambung hubungan rahim.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 658. Shahih Ibnu Hibban, no. 3344)
Allah Memenangkan Mereka Yang Bersilaturrahim
Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata:
“Seorang lelaki datang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam lalu berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki kaum kerabat yang aku sentiasa berusaha menyambung hubungan dengan mereka tetapi mereka memutuskan, aku berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berbuat jahat kepadaku, dan mereka bersikap bodoh kepadaku sedangkan aku selalu bersikap sopan-santun kepada mereka.” Rasulullah pun bersabda:
لَئِنْ كُنْتَ كَمَا قُلْتَ، فَكَأَنَّمَا تُسِفُّهُمُ الْمَلَّ وَلَا يَزَالُ مَعَكَ مِنَ اللهِ ظَهِيرٌ عَلَيْهِمْ مَا دُمْتَ عَلَى ذَلِكَ
“Jika engkau benar-benar sebagaimana yang engkau katakan, maka seolah-olah engkau menaburkan bara yang panas di wajah mereka. Dan kemenangan dari Allah itu sentiasa bersama-sama engkau terhadap mereka, selagi mana engkau tetap seperti itu.” (Shahih Muslim, no. 2558)
Allah Menyambung Hubungan
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
قَالَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ: أَنَا اللهُ، وَأَنَا الرَّحْمَنُ، خَلَقْتُ الرَّحِمَ وَشَقَقْتُ لَهَا مِنَ اسْمِي فَمَنْ وَصَلَهَا وَصَلْتُهُ، وَمَنْ قَطَعَهَا بَتَتُّهُ
“Allah ‘Azza wa Jalla berfirman: Akulah Allah, dan Aku-lah ar-Rahman. Aku menciptakan rahim dan aku menamakannya dari nama-Ku. Sesiapa yang menyambungnya, maka Aku pun menyambung (hubungan dengan)nya. Dan Sesiapa yang memutuskannya, maka Aku pun memutuskannya.” (Musnad Ahmad, no. 1686)
Oleh itu, peliharalah silaturrahim antara kaum kerabat dan sesama ahli keluarga. Dan sambungkanlah jika ada yang terputus. Kenangkanlah besarnya tuntutan menyambug silaturrahim ini di sisi Islam dan agungnya amalan ini di sisi Allah Ta’ala.
Wallahu A’lam...
Langgan:
Catatan (Atom)