“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Memaparkan catatan dengan label Politik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Politik. Papar semua catatan

Rabu, Disember 02, 2009

Doa Berlindung Dari Kezaliman Penguasa

Doa Berlindung Dari Kezaliman Penguasa

http://an-nawawi.blogspot.com

قال أبو عثمان : فانصح للسلطان و أكثر له من الدعاء بالصلاح و الرشاد بالقول و العمل و الحكم فإنهم إذا صلحوا صلح العباد بصلاحهم و إياك أن تدعو عليهم باللعنة فيزدادوا شرا و يزداد البلاء على المسلمين و لكن ادع لهم بالتوبة فيتركة الشر فيرتفع البلاء عن المؤمنين

Terjemahan: Abu Utsman berkata: “Nasihatilah penguasa, perbanyakkan mendo’akan dengan kebaikan dan kebenaran bagi mereka dengan ucapan, perbuatan dan hukum. Kerana apabila mereka baik, rakyat akan baik. Janganlah kamu mendo’akan keburukkan dan laknat bagi penguasa, kerana keburukkan mereka akan bertambah dan bertambah pula musibah bagi umat Islam. Do’akanlah mereka supaya bertaubat dan meninggalkan keburukkan sehingga musibah hilang dari orang-orang beriman.” (Rujuk: al-Baihaqi, Su’abul Iman, 6/26, penjelasan hadis no. 7401)

Berikut disertakan doa apabila merasa bimbang terhadap penguasa yang zalim:

عن عبد الله بن مسعود: إذا كان على أحدكم إمام يخاف تغطرسه، أو ظلمه، فليقل: اللهم رب السماوات السبع ورب العرش العظيم، كن لي جاراً من فلان بن فلان وأحزابه من خلائقك؛ أن يفرط علي أحد منهم، أو يطغى، عز جارك، وجل ثناؤك، ولا إله إلا أنت

Terjemahan: Apabila salah seorang dari kamu takut kepada kezaliman seseorang imam (penguasa), atau akan ketidakadilannya, maka katakanlah (berdoa):

اَللَّهُمَّ رَبَّ السَّمَاوَاتِ السَّبْعِ، وَرَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيْمِ، كُنْ لِيْ جَارًا مِنْ فُلاَنٍ بْنِ فُلاَنٍ، وَأَحْزَابِهِ مِنْ خَلاَئِقِكَ، أَنْ يَفْرُطَ عَلَيَّ أَحَدٌ مِنْهُمْ أَوْ يَطْغَى، عَزَّ جَارُكَ، وَجَلَّ ثَنَاؤُكَ، وَلاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ

Maksud Doa: Ya Allah, Tuhan penguasa tujuh langit, Tuhan Penguasa ‘Arsy yang agung. Engkau lindungilah diriku dari Fulan bin Fulan, dan para kelompoknya dari makhluk-Mu. Jangan ada seorang pun dari mereka yang menyakitiku atau melampaui batas terhadapku. Perlindungan dari-Mu sangat kuat, dan puji-pujian bagi-Mu sangat agung. Tiada Tuhan yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau.

Hadis Riwayat al-Bukhari. Rujuk: Shohih Adabul Mufrad, 1/257, no. 264.

باب الدعاء إذا خاف السلطان

Bab: Apabila rasa takut kepada sultan (Penguasa).

Khamis, Oktober 01, 2009

Dakwah Atau Kuasa?

Dakwah Atau Kuasa?

http://an-nawawi.blogspot.com

Nabi Musa 'alaihis Salam ketika berdakwah kepada Fir'aun, dia diperintahkan supaya berdakwah dengan lemah lembut.

Fir'aun pula adalah seorang pemerintah (raja) yang sangat zalim. Bahkan dia seorang yang kafir.

Di dalam teguh berdakwah kepada Fir'aun dan orang-orangnya, tidak pula Nabi Musa diperintahkan supaya menjatuhkan kepimpinan Fir'aun. Tetapi, dia hanya sekadar diperintahkan untuk mendakwahi dan menyatakan kebenaran ke atas Fir'aun.

Sedangkan, tidak pula Fir'aun mahu beriman sedikit pun melainkan penyesalan di hujung hayat yang tidak boleh diperkirakan...

Kalau Nabi Musa mahu, secara logiknya, itu bukan suatu masalah yang besar. Bahkan Allah sentiasa bersamanya, bersama seorang Nabi. Mukjizat yang diberikan oleh Allah kepadanya juga tidak terkalahkan. Bukan calang-calang!

Namun, itulah yang dinamakan prinsip. Prinsip dalam agama bukan untuk merampas takhta pemerintah sesuka hati. Tetapi, prinsip Islam memerintahkan supaya kita berdakwah kepada pemerintah dengan baik dan teguh di atas jalan yang benar.

Bukan kita malah menghanyutkan pemerintah dengan caci-maki dan hinaan. Bahkan tidak sepatutnya pula kita yang hanyut bersama kezaliman dan arus kemungkaran sang penguasa...

Tidak usah kita melampaui batas (ghuluw). Di samping berdakwah, mahu pula habuan takhta seorang pemerintah dan penguasa negara. Dakwahnya tidak seberapa, hasilnya tidak ke mana, tetapi hajat mahu kuasa pula yang berlebih... Akhirnya nanti agama yang dibawa tidak ke mana. Diri sendiri pun jahannam!

Khamis, September 03, 2009

Merintis Perubahan Dengan Demokrasi Telus

Merintis Perubahan Dengan Demokrasi Telus

http://an-nawawi.blogspot.com

Ada seseorang bertanya melalui sms:

Tidak bolehkah kita menyertai pilihanra raya sistem demokrasi?

Reply:

Tak perlu turut serta.

Tanya lagi:

Bukankah melalui pilihanraya, kita boleh mengubah atau menukar kedudukan para pemimpin yang tidak layak dan melakukan kezaliman? Dan ia merupakan salah satu cara terbaik pada masa ini untuk mengubah keadaan yang tidak Islamic kepada keadaan yang lebih Islamic?

Reply:

Mereka yang masuk pilihanraya sistem demokrasi, mereka lebih cepat berubah sebelum sempat mereka mengubah. Sedikit pun mereka tidak mengubah kepada apa yang sepatutnya. Tetapi, rupa-rupanya merekalah yang diubah!

Sabtu, Jun 27, 2009

Kelembutan Sunnah Dalam Bermu’amalah Terhadap Pemimpin

Kelembutan Sunnah Dalam Bermu’amalah Terhadap Pemimpin

http://an-nawawi.blogspot.com/

Islam adalah sebuah agama yang telah lengkap lagi menyeluruh meliputi setiap persoalan kehidupan alam manusia. Ini termasuklah kepada urusan bermu’amalah terhadap para pemimpin.

Dalam perkara ini, Islam amat memandang tinggi kedudukan seseorang pemimpin bersesuaian dengan tugas dan beratnya tanggungjawab yang dipikul oleh pemimpin itu sendiri. Di dalam sebuah hadis disebutkan bahawa: “Para penguasa adalah naungan Allah di muka bumi. Sesiapa yang memuliakan pemimpin, Allah akan memuliakannya. Sesiapa yang menghinakan pemimpin, Allah akan menghinakan dia.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

Imam al-Qurthubi menukilkan di dalam tafsirnya bahawa: “Manusia akan sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mana mereka masih menghormati pemimpin dan para ulama. Apabila mereka memuliakan dua golongan ini, Allah akan memperbaiki dunia dan akhirat mereka. Apabila mereka merendahkannya, bererti mereka telah menghancurkan dunia dan akhirat mereka sendiri.”

Namun sayangnya, pada masa ini banyak sekali umat Islam yang melupakan adab di dalam bermu’amalah terhadap pemimpin. Mereka memiliki sikap yang cepat emosi dan mudah melenting hanya disebabkan oleh beberapa kesilapan dan kesalahan yang dilakukan oleh pemimpin. Dalam perkara ini, Syaikh Dr. Khalid Ali al-Anbariy hafizahullah berkata: “Rasulullah SAW telah mewajibkan ke atas umat ini supaya menghormati dan memuliakan para pemimpin. Pada waktu yang sama, baginda melarang mencaci mereka dan menyebut kekurangan serta kelemahan mereka kerana ianya hanya akan menyebabkan kebencian rakyat kepada mereka bahkan juga akan membawa kepada kejahatan, kerosakan, kederhakaan, dan permusuhan.”

Sekiranya para pemimpin ada yang melakukan kesalahan atau terjebak ke dalam perbuatan maksiat, Islam juga telah menyediakan sebuah garis panduan yang begitu indah bagi tujuan menasihati mereka kerana para pemimpin adalah manusia biasa seperti manusia-manusia yang lainnya juga yang tidak terlepas dari melakukan kesalahan. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang hendak menasihati pemimpin, janganlah dia menampakkannya secara terang-terangan, akan tetapi hendaklah dia memegang tangannya, kemudian bersendirian dengannya. Apabila pemimpin itu mahu menerima nasihat, maka itulah yang diinginkan. Apabila tidak, sesungguhnya dia (yang menasihati) telah menunaikan kewajibannya.” (Hadis Riwayat Ibnu Abi Ashim)

Imam asy-Syaukani RH berkata: “Mereka yang menyedari berkenaan kesalahan pemimpin, hendaklah dia berusaha menasihatinya tanpa menyebarkannya di hadapan orang ramai (khalayak umum). Tetapi hendaklah dia berbincang secara empat mata di dalam rangka menasihatinya, tidak merendahkan atau menjatuhkan maruah dan martabatnya, serta tidak memperlekehkannya sebagaimana yang terdapat di dalam hadis.”

Telah tercatat di dalam sejarah di era para sahabat berkenaan kekejaman seorang gabernor di bawah pemerintahan Khalifah Malik bin Marwan yang bernama Hajjaj bin Yusuf as-Tsaqofi. Di mana dia (Hajjaj) telah banyak membunuh jiwa, sehingga sahabat yang mulia Abdullah bin Zubair RA terbunuh. Tetapi, bagaimanakah Sikap para sahabat yang lain pada ketika itu, adakah mereka bertindak mengumpulkan kekuatan untuk memberontak? Demi Allah, tidak sama sekali, bahkan mereka tetap menganjurkan untuk mendengar dan taat. Zubair bin Adiy berkata: “Kami mendatangi Anas bin Malik mengeluhkan perihal Hajjaj. Anas menjawab: “Bersabarlah, kerana tidaklah datang sebuah zaman kecuali yang setelahnya akan lebih buruk sehingga kamu berjumpa dengan Tuhan kamu, aku mendengar ini dari Nabi kamu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Begitu juga dengan kisah Musa dan Harun ‘alaihimus Salam ketika diperintahkan mendakwahi Fir’aun, seorang raja yang zalim lagi kafir, Allah SWT berfirman: “Pergilah kamu berdua kepada Fir'aun, sesungguhnya dia telah melampaui batas, maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia ingat atau takut.” (Surah Thaha, 20: 43-44)

Selain menasihati dan membimbing dengan cara yang disunnahkan, agama kita juga meminta supaya sentiasa mendoakan kebaikan buat para pemimpin. Abu Utsman Said bin Ismail berkata: “Nasihatilah penguasa, doakanlah kebaikan bagi mereka dengan ucapan, perbuatan dan hukum. Kerana apabila mereka baik, rakyat akan mendapat kebaikannya. Janganlah kamu mendoakan keburukkan dan laknat bagi penguasa, kerana keburukkan mereka akan bertambah dan bertambah pula musibah bagi umat Islam. Doakanlah mereka supaya bertaubat dan meninggalkan keburukkan sehingga musibah hilang dari kaum muslimin.”

Fudhail bin Iyadh berkata: “Sekiranya aku mempunyai doa yang mustajab pasti aku gunakannya untuk mendoakan pemimpin.” (Syarhus Sunnah) Imam al-Barbahari berkata: “Apabila kamu melihat orang yang mendoakan keburukan bagi pemimpin, maka ketahuilah bahawa dia seorang pengikut hawa nafsu. Apabila kamu melihat orang yang mendoakan kebaikan bagi pemimpin, maka dia adalah pengikut sunnah, insya-Allah.” (Syarhus Sunnah)

Dengan ini, telah jelaslah beberapa adab dan ciri-ciri khas di dalam bermu’amalah terhadap pemimpin sekaligus memperlihatkan kepada kita betapa indahnya akhlak di dalam Islam itu sendiri. Maka dengan itu, hendaklah kita mengikutinya dengan baik. Kerana setiap apa yang datang daripada sunnah itu adalah kebaikan sekaligus merupakan hukum Allah yang wajib kita patuhi biar pun kita masih tidak mampu merungkainya.

Manakala, bagi pemimpin yang telah diberikan amanah oleh Allah SWT untuk memimpin rakyatnya, hendaklah dia juga sentiasa berusaha mentaati Allah dan menjalankan amanahnya sebagai seorang pemimpin yang baik. Allah SWT berfirman yang maksudnya: “(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi niscaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.” (Surah al-Hajj, 22: 41)

Juga firman-Nya: “Wahai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan.” (Surah Shad, 38: 26)

Sebagai mengakhiri tulisan ini, kita perhatikan perkataan Syaikh al-Albani rahimahullah sebagai renungan: “... Cara menghilangkan kezaliman yang dilakukan oleh para pemimpin yang satu kulit dan satu bahasa dengan kita, hendaklah umat Islam bertaubat kepada Allah, memurnikan aqidah, dan mendidik diri serta keluarga mereka dengan pendidikan Islam secara benar. Perkara tersebut adalah sebagai usaha yang berpandukan kepada firman Allah Subhanahu wa Ta’ala berikut: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sehinggalah mereka sendiri yang mengubah keadaan yang ada pada diri-diri mereka.” (Surah ar-Ra’d, 7: 11)

Juga firman Allah: “Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi teman bagi sebahagian yang lain disebabkan apa yang mereka usahakan.” (Surah al-An’am, 6: 129) Imam Ibnu Abil Izz al-Hanafi berkata: “(Dengan ini) apabila rakyat ingin selamat dari kezaliman para pemimpin mereka, hendaklah mereka meninggalkan kezaliman juga (iaitu dengan mentaati Allah dalam apa jua keadaan).” (Tahzib Syarh ath-Thahawiyah)

Sabtu, Disember 13, 2008

Parti Islam, Negara Islam???

Parti Islam, Negara Islam???

http://an-nawawi.blogspot.com

Sungguh suatu ketika kita sering kedengaran bahawa mereka pernah mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara kafir (bukan negara Islam). Mungkin kurang dari itu, dan lebih sopan lagi, mereka mengatakan Malaysia negara sekular.

Namun anehnya, mereka menyanjung tinggi Iran sebagai Republik Islam.
[1] Iran sebagai sebuah negara Islam contoh! Mereka mengakui Sang Khomeini laknatullah sebagai seorang Imam tokoh revolusi (mujaddid) di dalam Islam yang wajar dihormati dan didoakan rahmat ke atasnya.[2] Hakikatnya, dia bukanlah Ayatullah (tanda-tanda Allah) Khomeini, tetapi Ayatus Syaithon (tanda-tanda Syaithon)![3]

Melabelkan negara sendiri (Malaysia) sebagai kafir, sekular, dan seumpamanya. Yang negara sendiri masih melaungkan azan yang baik dan syi’ar solat berjama’ah yang diimarahkan.
[4] Tetapi kenapa mahu menyanjung pula negara yang cukup-cukup diragui status agamanya sebagai “Republik Islam”. Yang mana negara tersebut terpenuhi dengan kalam ulamanya yang mencela dan mencaci para sahabat-sahabat Nabi kita yang diredhai.[5] Yang menzahirkan solat dan azannya cukup-cukup berbeza dari apa yang dibawakan oleh para salaf kita yang mulia. Yang menjadi pendukung-pendukung negaranya adalah Syi’ah Rafidhah yang melancarkan perang di serata tempat terhadap masyarakat Ahlus Sunnah[6]...

Jadi, di mana letak akalmu???

Footnote:

[1] Boleh juga dilihat sebahagian pernyataan mereka di sini: http://bahaya-syirik.blogspot.com/2008/06/065-apakah-orang-orang-pas-masih-tidak.html
[2] Ibid.
[3] Rujuk Kuliah “Konspirasi Syi’ah & Yahudi”, Armen Halim Naro. http://an-nawawi.4shared.com
[4] Rujuk artikel: Kriteria Asas Sebuah Negara Islam, http://an-nawawi.blogspot.com/2007/07/kriteria-asas-sebuah-negara-islam.html
[5] Sila teliti di dalam buku-buku seperti berikut: 1 - asy-Syi’ah was Sunnah, Dr. Ihsan Ilahi Zahir, Idarah Tarjuman as-Sunnah, Lahore (Pakistan). 2 – Risalatun fir Raddi ‘alal Rafidhah, Muhammad Abdul Wahhab, Darul Atsar, Yaman. 3 – Jawapan Ahl al-sunnah Kepada Syi’ah al-Rafidhah..., Kapten Hafiz Firdaus Abdullah, Perniagaan Jahabersa, Johor Baru (Malaysia). 4 – Komeini - A Moderate or a Fanatic Shi’ite, Dr. Abdullah Muhmmad Ghareeb, Pustaka Ushamurni, Kuala Lumpur (Malaysia).
[6] Komeini - A Moderate or a Fanatic Shi’ite, Dr. Abdullah Muhmmad Ghareeb, Pustaka Ushamurni, Kuala Lumpur (Malaysia).

Wahai Manusia Parti

Wahai Manusia Parti
(Dari Kumpulan Berlabel Parti Islam)!

http://an-nawawi.blogspot.com/

Wahai orang-orang parti politik!
Suatu ketika pernah kalian bersuara lantang,
Bergegar bumi mahu menegakkan negara Islam,
Namun kini, di mana itu semua?

Wahai orang-orang parti-parti politik!
Yang mahu menegakkan daulah Islamiyah,
Tetapi tidak mahu menegakkan tauhid.

Wahai orang-orang parti-parti!
Yang mahu menegakkan daulah Islamiyah,
Tetapi berganding bahu bersama pemusnah Islam.

Wahai orang-orang parti-parti!
Yang mahu menegakkan hukum qisas dan potong tangan,
Tetapi tidak mahu menegakkan hukum di hadapan pelaku syirik.
Meraikan sang syi’ah, muktazilah, khawarij, asya’irah, sufi, sekular, liberalisme...

Wahai orang-orang parti-parti!
Yang mahu membina jama'ah mapan kuat berjihad,
Tetapi sarang mu terpenuhkan dengan sang syi’ah, muktazilah, khawarij, asya’irah, sufi, sekularisme, liberalisme...
Yang akhirnya mebuahkan Neo-Pluralisme.

Wahai orang-orang parti-parti!
Yang bergaduh berebut selembar tanah jajahan,
Tapi tidak menyedari aqidah luput melayang.
Membiarkan dalil dan prinsip dipijak-pijak.

Wahai orang-orang parti-parti!
Yang mahu meninggikan syi’ar Islam,
Tetapi kelompok mu tempat bersarangnya bid’ah.
Tempat bersarangnya pencemaran aqidah,
Lubuknya kecelaruan dalam beragama.

Wahai orang-orang parti-parti!
Kasihanilah pengekor-pengekor (pengikut) mu,
Yang mendambakan ilmu dan tauhid yang murni,
Tetapi, perasaan amarah dan emosi yang kau terapkan.

Wahai orang-orang parti-parti!
Mari kita buka kitab para salaf,
Kita bersama cari ilmu untuk beramal,
Kembali di atas pijakan salafush soleh.
Meninggalkan kefahaman ala-jahiliyyah!

Sabtu, September 06, 2008

Doakanlah Kebaikan Buat Para Pemimpin

Doakanlah Kebaikan Buat Para Pemimpin

http://an-nawawi.blogspot.com

Menurut Imam al-Barbahari rahimahullah:

Jika kamu melihat orang yang berdoa keburukan kepada pemimpin, ketahuilah bahawa ia termasuk salah seorang pengikut hawa nafsu, namun bila kamu melihat orang yang berdoa untuk kebaikan seseorang pemimpin, ketahuilah bahawa ia tergolong sebagai seorang ahli sunnah, insyaAllah.

Fudhail bin Iyadh berkata, “Jika aku mempunyai doa yang baik yang makbul, maka semuanya akan aku persembahkan (pohonkan) untuk pemerintah.” Ia ditanya, “Wahai Abu Ali, jelaskan maksud ucapan tersebut?” Beliau berkata, “Bila doa itu hanya aku tujukan untuk diriku, tidak lebih hanya bermanfaat untuk diriku, namun bila aku pohonkan untuk pemimpin dan ternyata para pemimpin berubah menjadi baik, maka semua orang dan negara merasakan manfaat dan kebaikan.” (Dikeluarkan oleh Abu Nu’aim dalam “al-Hilyah” (8/91) dari jalan Mardawaih as-Shabigh dan sanad Abu Nu’aim adalah sahih)

Kita diperintahkan untuk mendoakan mereka dengan kebaikan bukan keburukan, meskipun ia seorang pemimpin yang zalim lagi jahat kerana kezalian dan kejahatan akan kembali kepada diri mereka sendiri sementara bila mereka (pemimpin) menjadi baik maka mereka dan seluruh kaum muslimin akan merasakannya. (Imam al-Barbahari, Syarhus Sunnah, Tahqiq Syaikh Khalid bin Qasim al-Roddadiy, Edisi Terjemahan Terbitan Dar El-Hijrah, Cet. Pertama, 1423H/2002M, m/s. 83-84)

Isnin, Ogos 25, 2008

Pemimpin Yang Baik, Lahir Dari Masyarakat Yang Baik

Pemimpin Yang Baik, Lahir Dari Masyarakat Yang Baik

http://an-nawawi.blogspot.com

Kestabilan sesebuah negara (pemerintahan dan pentadbirannya) itu sebenarnya terbentuk bermula dari diri setiap individu yang kemudiannya keluarganya, dan seterusnya keterlibatannya dalam kemasyarakatan, yang akhirnya menyumbang dalam pembinaan sesebuah negara tertentu tersebut.

Maka, perlulah untuk kita memahami bahawa pemimpin yang baik itu asalnya sebenarnya terlahir dari masyarakat kebanyakan iaitu dari kalangan sesama kita. Jika setiap individu tidak dibina dengan keimanan dan kesolehan yang betul, bagaimana kita mahu melahirkan pemimpin yang benar-benar baik dari kelompok masyarakat tersebut? Sedangkan usaha-usaha pembinaan yang positif tidak wujud dalam diri setiap individu yang membentuk sesebuah masyarakat tersebut?

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya),

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Aku. Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” (an-Nuur, 24: 55)

Imam Ibnu katsir rahimahullah menjelaskan,

“Dari sini kita berupaya mengetahui dan menilai akan kebenaran janji Allah dan Rasul-Nya. Maha Benar Allah dan Rasul-Nya. Kita memohon kepada Allah supaya Dia selalu melimpahkan kepada kita keimanan kepada Allah dan Rasul-Nya serta kekuatan untuk mensyukurinya bersesuaian dengan apa yang diredhai-Nya.

Ar-Rabi’ bin anas telah meriwayatkan sebuah hadis yang bersumber dari Abul ‘Aliyah ketika menafsirkan firman Allah tersebut, ia berkata,

“Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam dan para sahabatnya tinggal di Makkah sekitar sepuluh tahun. Mereka berdakwah, menyerukan untuk beribadah kepada Allah dan menyembah Sang Khaliq Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya. Dakwah yang dilaksanakan bersifat rahsia dan secara senyap-senyap. Mereka tidak berani bertindak lebih dari itu, kerana pada ketika itu, masih belum ada perintah untuk berperang. Perintah keluar berperang hanya muncul sekitar selepas mereka berhijrah ke Madinah.

Pada awalnya mereka merasa takut, sama ada di waktu pagi atau pun di petang hari. Mereka selalu sentiasa bersiap sedia dengan senjata. Mereka berada dalam keadaan seperti itu sehingga ke waktu yang dikehendaki oleh Allah... ...Dan Allah Subhanahu wa Ta’ala pun menurunkan ayat tersebut (an-Nuur, 24: 55).

Allah menjadikan Nabi-Nya mampu menguasai Jazirah arab, sehingga mereka pun merasa aman dan tidak lagi sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga (ketakutan). Kemudian setelah Allah mewafatkan Nabi-Nya, mereka tetap merasa aman di bawah pemerintahan Abu Bakar, Umar dan Ustman...” (Rujuk: Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Terbitan Pustaka Ibnu katsir, jil. 6, m/s. 431-432)

Beliau juga menjelaskan,

Adalah para Sahabat, kerana mereka merupakan kelompok (komuniti) manusia yang paling mentaati perintah Allah setelah Nabi wafat, maka kejayaan yang mereka perolehi itu adalah bersesuaian dengan (keikhlasan) mereka di dalam menegakkan kalimatullah di penjuru bumi di bahagian timur mahu pun barat. Oleh kerana itu, Allah memperkuatkan (memperkukuhkan) kejayaan mereka sekuat-kuatnya sehingga mereka berupaya menakluki pelbagai negeri lainnya dan menjadi penguasa penduduk negeri yang mereka takluki. Namun ketika umat telah mula lalai dalam menjalani ketaatan kepada Allah, maka menjadi pudarlah kejayaan umat Islam. Namun dalam sebuah hadis yang termaktub di dalam kitab Shahih al-Bukhari dan Shahih muslim, dan diriwayatkan melalui banyak jalur periwayatan, disebutkan bahawa Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

“Akan sentiasa ada segolongan dari umatku yang membela kebenaran. Tidak akan membahayakan mereka orang-orang yang menghina dan yang menyelisihi mereka, sehinggalah datang hari kiamat”.” (Hadis Riwayat muslim, 1/137) (Rujuk: Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Terbitan Pustaka Ibnu katsir, jil. 6, m/s. 436-437)

Dari sini kita dapat melihat sebuah penjelasan yang menerangkan bahawa sebuah pemerintahan yang baik (pentadbiran yang berkesan) lahir dari sebuah masyarakat yang memiliki keimanan, kesolehan dan ketaatan yang baik kepada Allah.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya),

“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri itu beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi.” (al-A’raaf, 7: 96)

“Dan mengapa tidak ada (penduduk) suatu kota yang beriman, lalu imannya itu bermanfaat bagi mereka, selain kaum Yunus. Tatkala mereka (kaum Yunus itu) beriman, Kami hilangkan dari mereka azab yang menghinakan dalam kehidupan dunia, dan Kami beri kesenangan kepada mereka sehingga pada waktu yang tertentu.” (Yunus, 10: 98)

“Dan Kami utus dia (Yunus) kepada seratus ribu orang atau lebih. Lalu mereka beriman, kerana itu Kami anugerahkan kenikmatan hidup kepada mereka hingga waktu yang tertentu.” (ash-Shaffat: 147-148)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya),

“Dan demikian kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menguasai sebahagian yang lain disebabkan apa-apa yang mereka (masyarakat) usahakan.” (al-An’am, 6: 129)

Imam Ibnu katsir rahimahullah menjelaskan (berkenaan ayat tersebut),

“Tiada orang yang zalim pun melainkan ia akan diuji dengan orang yang zalim. Dijadikan dari kalangan orang-orang yang zalim, mereka dikuasai oleh orang-orang-orang yang zalim lainnya. Sebahagian mereka dihancurkan dengan sebahagian lainnya, dan sebahagian mereka disiksa dengan sebahagian lainnya, sebagai balasan atas kezaliman mereka.” (Rujuk: Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Terbitan Pustaka Ibnu katsir, jil. 3, m/s. 430)

“Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri maka Kami perintahkan orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah), tetapi mereka melakukan kefasikan/kederhakaan dalam negeri itu, maka sudah sewajarnya berlaku terhadap mereka perkataan (ketentuan) Kami, kemudian kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.” (al-Isra’, 17: 16)

Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa atas sebab kefasikan dan sikap ingkar terhadap ketaatan kepada Allah akan mengakibatkan suatu masyarakat atau negeri itu dibinasakan.

Begitu juga dengan firman Allah,

“Dan (penduduk) negeri itu telah Kami binasakan ketika mereka berbuat kezaliman.” (al-Hakfi, 18: 59)

Al-Walid ath-Tharthusi rahimahullah berkata, “Sehingga sekarang masih terdengar orang-orang berkata, “amalan-amalan kalian adalah pekerja-pekerja kalian”, sebagaimana kalian sekarang ini; maka seperti itulah kalian akan dipimpin. Di dalam al-Qur’an terdapat ayat yang semakna dengan perkara ini,

“Dan demikian kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menguasai sebahagian yang lain disebabkan apa-apa yang mereka (masyarakat) usahakan.” (al-An’am, 6: 129)

Abdul Malik bin Marwan pernah berkata,

“Wahai rakyatku! Bersikap adillah kepada kami! (Bagaimana mungkin) kalian mahukan dari diri kami sebagaimana yang dilaksanakan oleh Abu Bakar dan Umar, sedangkan kalian tidak pun mengerjakan sebagaimana apa yang mereka amalkan?!” (Siraj al-Muluk, m/s. 100-101)

Maka, dengan ini dapatlah kita mengetahui dan memahami bahawa kesolehan dan keadilan yang terpancar (lahir) pada diri pemerintah berserta cemerlangnya sesebuah pentadbiran itu sebenarnya turut bergantung kepada kesolehan, keimanan, dan keadilan dalam diri-diri masyarakatnya. Maka, atas sebab itu, kita tidak memiliki jalan lain melainkan kita masing-masing mengambil inisiatif untuk bermula melakukan perubahan ke dalam diri sendiri dan seterusnya ke dalam masyarakat di sekeliling kita. Maka, bermuhasabahlah dan berusahalah menambah ilmu, pengetahuan dan maklumat berkaitan agama bagi tujuan membersihkan diri (dan masyarakat) dari pelbagai jenis kecelaruan dan kekeliruan (kejahilan). Hanya dengannya kita mampu memperbaiki diri-diri kita, keluarga kita dan seterusnya menerapkannya ke dalam segenap ruang lingkup kehidupan kita dan mengaktifkannya bersama-sama dengan masyarakat sekeliling.

“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah at-Tahrim, 66: 6)

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasehati supaya menetapi kesabaran.” (al-‘Ashr, 103: 1-3)

“Sesungguhnya Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (ar-Ra’d, 13: 11)

Maka, sebagai jalan penyelesaiannya di sini adalah kita masing-masing perlu berusaha memperbaiki diri dengan menerapkan agama berpandukan dasar-dasar yang jelas tsabit berpandukan petunjuk dari al-Qur’an dan as-Sunnah dengan tafsiran-tafsirannya yang jelas (di atas prinsip para salaf). Proses tasfiyah (pemurnian) dalam beragama (beraqidah) perlu berlaku dan pentarbiyahan pula perlu berlangsung dengan ilmu yang betul.

Prinsip-Prinsip Utama Seorang Pemimpin

Prinsip-Prinsip Utama Seorang Pemimpin

http://an-nawawi.blogspot.com

Agama Islam adalah agama yang sempurna. Ia turun untuk memberikan petunjuk dan dasar yang betul kepada setiap perjalanan kehidupan manusia dengan mencakupi setiap aspek dan sudut.

Betapa sempurnanya Islam, sehinggakan kepada tatacara membuang air juga ia turut diperjelaskan dengan begitu terperinci. Begitu jugalah dalam persoalan yang lebih rumit seperti permasalahan politik dan pentadbiran. Islam memberikan gambaran dan ciri-ciri yang begitu jelas bagi tujuan mewujudkan atau melahirkan kepemimpinan yang berkesan, adil, dan benar. Maka, secara ringkasnya, tulisan yang berikut ini adalah bertujuan membawakan kepada kita berkaitan ciri-ciri utama lagi asas yang perlu dimikili dalam diri setiap pemimpin yang beriman serta bertanggungjawab terhadap jawatan yang dipegangnya untuk sesebuah masyarakat dan negara.

1 – Memiliki Sikap Ikhlas Kerana Allah.

Walau siapapun dia, selagi dia berpegang kepada prinsip-prinsip Islam, dalam apa jua tindakannya, dia mestilah memiliki dan mendahulukan sikap ikhlas di dalam setiap tindakan gerak kerja yang dilakukannya. Seseorang muslim yang sejati, dia perlu memiliki sikap ikhlas yang semuanya adalah kerana mengaharap keredhaan dari Allah. Kerana dia tahu, tujuan dia diciptakan adalah untuk memperhambakan diri (beribadah) kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala semata.

“... mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus” (al-Baiyinah, 98: 5)

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku.” (adz-Dzariyat, 51: 56)

2 – Pemimpin Mestilah Dari Kaum Lelaki.

“Tidak akan berjaya suatu kaum yang menyerahkan kepemimpinannya kepada seorang wanita.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 4425, 7099)

Salah satu hikmahnya adalah kerana wanita memiliki beberapa kelemahan dan keadaan yang dapat menghalanginya untuk melaksanakan tugas dengan baik dan sempurna jika dibandingkan dengan kaum lelaki. Wanita memiliki mental dan daya fizikal yang lebih lemah, tidak terlepas dari permasalahan biologi yang fitrah seperti haid, nifas, melahirkan anak, menyusui anak dan seumpamanya.

3 – Tidak Bersikap Meminta-minta Jawatan.

Nabi Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Kamu selalu berusaha untuk menjadi penguasa, padahal akan menjadikan kamu menyesal pada hari Kiamat kelak. Sungguh perkara tersebut (ibarat) sebaik-baik susuan dan seburuk-buruk penyapihan (cerai susu). (Hadis Riwayat al-Bukhari, 7148)

Nabi Shalallahu ‘alaihi wa Sallam juga pernah bersabda kepada Abdur Rahman bin Samurah radhiyallahu ‘anhu, “Ya Abdur Rahman bin Samurah, janganlah engkau meminta jawatan pemerintahan. Apabila jawatan itu diberikan kepadamu disebabkan engkau memintanya, maka jawatan itu sepenuhnya akan dibebankan kepadamu. Namun apabila jawatan itu diberikan bukan kerana permintaanmu, maka engkau akan dibantu dalam memikulnya. Jika engkau bersumpah atas sesuatu perkara, setelah itu engkau melihat ada yang lebih baik dari sumpahmu, maka tunaikan kafaratnya dan lakukanlah apa yang lebih baik.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 7147, Muslim, 1652)

Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam juga pernah menolak permintaan seorang sahabat yang datang meminta agar diberi jawatan. Beliau bersabda,

“Kami tidak akan memberikan jawatan pemerintahan ini kepada orang yang memintanya dan berusaha untuk mendapatkannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 7149, Muslim, 1733. Hadis dari Abu Musa radhiyallahu ‘anhu)

4 – Berhukum Berdasarkan Syariat Yang Betul.

“Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah.” (al-Ma’idah, 5: 49)

“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakekatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.” (an-Nisaa’, 4: 65)

Menurut Imam Ibnu Katsir rahimahullah, “Allah Subhanahu wa Ta’ala bersumpah dengan diri-Nya yang Maha Mulia, bahawa seseorang tidak beriman sehingga dia berhukum kepada Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam dalam setiap urusan dan perkara. Hukum apa sahaja yang beliau tetapkan, itulah kebenaran yang wajib dipatuhi dengan sebaiknya, zahir dan batin. (Rujuk: Shahih Tafsir Ibnu Katsir, terbitan Pustaka Ibnu Katsir, jil. 2, m/s. 572)

Ini adalah suatu kewajiban yang terbesar yang wajib dilaksanakan oleh seseorang pemimpin atau penguasa. Seseorang pemimpin perlu memastikan perjalanan pemerintahannya/pentadbirannya berjalan menepati dasar-dasar syariat agama bermula dari dasar aqidahnya, hukum-hakamnya dan dalam soal membuat keputusan. Persoalan syi'ar-syi'ar Islam perlu dibangunkan (disemarakkan) dan dizahirkan seperti persoalan solat berjama'ah, solat Juma'at, azan, zakat, dan seterusnya. Seterusnya, sehinggalah kepada sistem pentadbiran, perundangan dan lainnya.

“(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi niscaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.” (al-Hajj, 22: 41)

5 – Memutuskan Dan Menetapkan Sesuatu Dengan Adil.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,

“Hai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan.” (Shad, 38: 26)

“... dan (menyuruh kamu) agar sentiasa apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil...” (an-Nisaa’, 4: 58)

Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

“Sesungguhnya orang-orang yang berlaku adil, pada hari kiamat kelak, ia berada di atas mimbar dari cahaya di sebelah kanan Allah yang maha Pengasih. Kedua tangan Allah sebelah kanan. (Mimbar tersebut) diberikan untuk orang yang berlaku adil dalam hukum mereka, keluarga mereka, dan yang mereka kuasai.” (Hadis Riwayat Muslim, 1827)

“Tidaklah seseorang lelaki memimpin sepuluh orang, kecuali ia akan didatangkan dalam keadaan tangan yang terbelenggu pada hari Kiamat. Keadilan yang ia lakukan akan melepaskannya dari ikatan, atau kezalimannya akan menjadikannya celaka.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi dalam al-Kubra, 10/96)

Maka, atas sebab itulah, seorang pemimpin wajib untuk sentiasa berlaku adil dalam setiap tindakan serta keputusan yang dibuat.

“..berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada sikap taqwa...” (al-Ma’idah, 5: 8)

6 – Bersedia Memenuhi Keperluan Rakyat.

Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

“Tidaklah seseorang pemimpin atau penguasa menutup pintunya dari orang-orang yang memiliki keperluan, rayuan serta orang-orang faqir, kecuali Allah akan menutup pintu langit dari keperluannya, rayuan, dan hajatnya.” (Hadis Riwayat Ahmad, 4/231, at-Tirmidzi, 1332)

7 – Memberi Nasihat Kepada Orang Yang Dipimpimnya.

Dari Ma’qal bin Yasar radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

“Tidak seorang pemimpin yang mengawal selia urusan kaum muslimin, kemudian ia tidak merasa susah payah untuk kebaikan mereka dan menasihati mereka, kecuali pemimpin itu akan masuk ke dalam Syurga bersama mereka.” (Hadis Riwayat Muslim, 142)

Dari Tamim ad-Daari, bahawa Nabi Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

“Diin (agama) itu adalah ketulusan (nasihat).” Kami bertanya, “Untuk siapa?” beliau menjawab, “Untuk Allah, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, pemimpin kaum muslimin dan rakyatnya.” (Hadis Riwayat Muslim, 55)

8 – Tidak Menipu Rakyatnya.

Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

“Tidaklah seorang hamba yang mendapat amanah dari Allah untuk memimpin rakyatnya, lantas dia meninggal pada hari meninggalnya dalam keadaan menipu rakyatnya, kecuali Allah telah haramkan Syurga baginya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 7150, 7151, dan Muslim, 142)

9 – Tidak Menerima Hadiah.

Apabila seseorang rakyat, atau sekumpulan orang yang dipimpin datang dengan membawa hadiah, pemimpin harus bersiap sedia untuk menolak hadiah tersebut. Ini kerana pertamanya ia boleh menimbulkan fitnah, dan sudah tentu ada yang tidak kena apabila rakyat yang datang memberi hadiah kepada pemerintah. Ini mungkin bertujuan agar pemimpin sentiasa dekat dengan si pemberi hadiah, dan menjadikan pemimpin suka dengan dirinya.

Dalam hal ini, Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

“Hadiah-hadiah yang diberikan kepada seseorang pemimpin adalah pengkhianatan.” (Hadis Riwayat at-Thabrani di dalam Mu’jam al-Kabir, 11/11486. Rujuk: Shahih al-Jami’ ash-Shagheir, no. 7054 oleh al-Albani)

“Hadiah-hadiah yang diberikan kepada penguasa adalah pengkhianatan.” (Hadis Riwayat Ahmad, 5/424, al-Baihaqi, 10/138 dari Abu Humaid. Rujuk: Shahih al-Jami’ ash-Shagheir, 7071 oleh al-Albani)

Seorang Gabernor Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam ada yang berkata, “Yang ini untuk kalian dan yang ini dihadiahkan untukku.” Lantas Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

Amma ba’du, mengapa pegawai yang kami angkat berkata, “Yang ini dari hasil pekerjaan kalian, sementara yang ini khusus dihadiahkan untukku?” Mengapa ia tidak duduk sahaja di rumah ayah atau ibunya, lalu ia tunggu, adakah masih ada orang yang mahu memberikan hadiah untuknya ataukah tidak?” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 1500, 6979, dan Muslim, 1832 dari Abu Humaid as-Sa’di)

Selain tidak menerima hadiah, ia juga tidak boleh menyembunyikan harta tertentu dan menyimpannya sebagai hak milik peribadinya.

Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

“Barangsiapa di antara kamu yang kami tugaskan untuk memimpin lalu ia menyembunyikan satu jarum atau lebih, maka pada hari Kiamat nanti dia akan datang membawanya.” (Hadis Riwayat Muslim, 1833)

10 – Mengambil Dan Bersedia Menerima Nasihat Dari Orang Yang Memahami.

Dari Abu Sa’id radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

“Tidak ada nabi yang Allah utus, dan tidak pula ada seorang pemimpin yang Dia angkat, kecuali mereka mempunyai dua jenis teman terdekat. Teman yang menyuruhnya untuk berbuat baik serta selalu mendorongnya untuk berbuat kebaikan, dan teman yang menyuruhnya berbuat jahat serta selalu mendorongnya untuk melakukan tindak kejahatan. Orang yang selamat, ialah orang yang sememangnya mendapat jagaan dari Allah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 6611, 7198)

Oleh itu, seseorang pemimpin seharusnya mengambil dan mendapatkan khidmat nasihat dari kalangan orang-orang yang berilmu dan taat kepada agama. Dengan itu, penasihat tersebut berupaya memberikan nasihat, peringatan, dan dorongan yang betul di ketika si pemimpin terlupa dan berbuat kesilapan. Si penasihat juga berupaya untuk mengawasi dan memastikan si pemimpin agar sentiasa berada pada tindakan yang betul dan mendorongnya sentiasa berbuat kebaikan sekaligus menjauhi tindakan yang tidak baik.

11 – Bersikap Mesra Dan Sayang Terhadap Rakyat.

Seorang pemimpin yang bersikap mesra terhadap rakyatnya dan sentiasa mengambil tahu persoalan rakyatnya dengan baik sehingga menjadikan rakyatnya senang kepadanya maka dia berhak mendapatkan doa Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam,

“Ya Allah, bagi siapa yang menjadi penguasa umatku, lalu dia menyulitkan mereka, maka timpakanlah kesulitan kepadanya. Dan barang siapa yang menjadi penguasa umatku, lalu ia menyayangi mereka, maka sayangilah dia.” (Hadis Riwayat Muslim, 1848)

12 – Bersikap Jujur Serta Amanah Dalam Semua Urusan Dan Tugasannya.

Secara kesimpulannya, setiap pemimpin yang mentadbir rakyatnya haruslah bertindak dengan jujur dan amanah terhadap peranan dan tanggungjawab yang dipikulnya. Dia harus jujur dan amanah terhadap penyebar-luasan agamanya, menjaga agamanya agar terjauh dari tindakan penyimpangan kelompok yang tidak bertanggungjawab, menjalankan amar ma’ruf nahi mungkar, menjaga keamanan negaranya, harta rakyatnya, dan memastikan kelangsungan rakyatnya serta negaranya berjalan dengan lancar dan baik. Ia juga perlu mengawasi setiap pegawai-pegawai yang dilantik sentiasa menjalankan tugasan dengan baik, cekap, dan betul.

Isnin, Julai 14, 2008

Kenapa Sampai Perlu Jatuhkan Pemerintah?

Kenapa Sampai Perlu Jatuhkan Pemerintah?

http://an-nawawi.blogspot.com

Tiba-tiba terdetik dan terfikir. Lalu aku tuliskan ia berbantukan papan kekunci dan perisian MS Office 2003, agar dapat dikongsikan di ruang layar maya kelaknya. Persoalannya... “Mengapa mestinya menjatuhkan pemerintah baru dikatakan mampu melaksanakan Islam dan isi-isi syari’atnya?”

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berdakwah pun tidak ada meminta dan memaksa pemerintah di tempatnya supaya turun dari takhta atas alasan zalim dan korupsi. Lalu mahu menggantikannya dengan pemerintah yang lain yang akan melaksanakan apa yang beliau kehendaki.

Sedangkan kita tahu, di zaman itu, pemerintahnya zalim-zalim belaka. Kita tahu bagaimana mereka menyeksa Nabi dan para sahabatnya. Malah, kezaliman pemimpin pada zaman itu bukan kezaliman yang biasa-biasa. Tapi kezaliman yang Allah sendiri katakan sebagai kezaliman yang paling besar. Iaitulah yang dinamakan sebagai syirik, seperti kafir, menyembah berhala, mempercayai adanya pengaruh kuasa selain Allah, membunuh anak perempuan tanpa hak dan seumpamanya.

“... Janganlah kamu mensyirikkan Allah, sesungguhnya perbuatan syirik adalah benar-benar kezaliman yang besar.” (Surah Luqman, 31: 13)

Kita ambil juga dari iktibar Nabi Nuh ‘alaihi salam. Apakah beliau berdakwah sehingga 1000 tahun kurang 50 tahun pernah memaksa atau pun meminta pemerintah dari kaumnya supaya turun takhta dan letak jawatan. Lalu mengatakan bahawa pemerintah yang ada perlu diganti dengan orang yang lain yang lebih baik agamanya...

Begitu juga Musa ‘alahi salam dan Harun ‘alaihi salam. Apakah mereka diperintahkan supaya menjatuhkan Fir’aun yang mana kita sedia tahu betapa zalimnya Fir’aun? Atau sebenarnya Musa dan Harun diwahyukan supaya melaksanakan tugas dakwah dengan kaedahnya? Yang mana, Tauhid dan mengesakan Allah sebagai priority intisari dakwahnya. Malah, ia adalah merupakan intisari utama dakwah para nabi dan rasul, iaitu mengajak dan menegakkan tauhid ke dalam hati dan diri setiap manusia sasarannya. Bukannya menjatuhkan pemerintah dan menukar pemerintah sebagai asas yang paling utama dan terutama. Tiada Kalam yang menyatakan di mana Musa dan Harun diutuskan supaya menjatuhkan Fir’aun bagi tujuan dan wasilah jalan dakwahnya sebagaimana dakwaan kebanyakan orang-orang agama zaman ini yang lantang menghambur peribadi pemerintah.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya),

“Pergilah kamu berdua (Musa dan Harun) kepada Fir'aun, sesungguhnya dia telah melampaui batas; maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut”.” (Surah Thoha, 20: 43-44)

Dalam hal ini, Allah telah berfirman (yang maksudnya),

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahku-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” (Surah an-Nuur, 24: 55)

Berkata Syaikh Dr. Soleh Abdullah Fauzan al-Fauzan, di dalam kata pengantar kitab Minhajul Anbiya’ Fid Da’wati Ila Allah fihil Hikmatu wa ‘aql tentang ayat di atas sebagai berikut:

Sebagaimana yang telah diisyaratkan, tidak akan tercapai, kecuali setelah memperbaiki aqidah mereka dengan beribadah hanya kepada Allah dan meninggalkan penyembahan kepada selain-Nya. Dan mereka berkeinginan untuk mendahulukan adanya “Daulah Islamiyah” sebelum membersihkan negara dari aqidah-aqidah berhala, seperti penyembahan orang mati dan kebergantungan terhadap kuburan (serta masih bersama memenangkan aqidah selain daripada aqidah ahlus sunnah (seperti syi’ah, muktazilah, khawarij, sufi, dll. – tambahan penulis). Padahal, perkara tersebut tidak jauh berbeza dengan penyembahan terhadap Latta, Uzza, dan Manaat dan yang lainnya. Bahkan lebih dari itu, mereka mencari sesuatu yang lain yang mustahil adanya.

“Barangsiapa mencari kemuliaan, tanpa ada usaha yang keras, maka telah hilanglah usia akibat mencari kemustahilan” (Rujuk; Minhajul Anbiya’ Fid Da’wati Ila Allah fihil Hikmatu wa ‘aql, karangan Syaikh Dr. Rabi Bin Hadi ‘Umair al-Madkhaly)

Demikianlah yang berlaku ketika ini di tempat-tempat kita. Kebanyakan mereka yang keras dan gencar tidak lain kebanyakannya hanya berbekalkan semangat tanpa ilmu serta prinsip yang jelas. Mereka disibukkan mengkritik pemerintah salah itu dan ini, serta memaksakan supaya turun dari jawatan dan membawakan kelompok manusia dari kalangan mereka pula yang dikatakan sebagai lebih baik kriterianya. Yang anehnya, kriteria “baik” tu adalah menurut perkiraan mereka. Tidak mestilah sama ada dari golongan hindu, budha, liberal, Syi’ah, khawarij, dan seumpamanya, tetapi mestilah dari golongan yang sehaluan dengan mereka dalam melawan barisan pemerintah. Soal agama dan aqidahnya, bukan soal priority, dan boleh saja ditolak ke tepi dulu...

Sedangkan tidak kurang juga apa yang terdapat di dalam kelompok-kelompok mereka sendiri betapa dhoifnya pemahaman dan penerapan aqidah yang berlangsung. Pelbagai pemikiran bercampur-aduk, berkecamuk, dan bergaulan di dalamnya. Masing-masing memiliki tujuannya masing-masing. Sekadar bersatu atas niat buruk yang satu iaitu menumbangkan pemerintah. Sedangkan manhaj dan kerangka pembinaan agamanya jauh berbeza dan tidak sama. Bayangkan, apakah puak syiah, tarekat, sufi, khawarij, murji’ah, muktazilah, golongan tukang tangkalan, peniup dan pejual air yasinan, malah yang kafir juga bergaulan dalam satu nama pakatan... Apakah jenis perjuangan agama dan daulah apakah sebenarnya yang mahu ditegakkan jika prinsip penyatuannya bukan atas dasar aqidah yang jelas? Inikah yang di atas-namakan sebagai perjuangan sebuah dakwah agama bernama Islam... Amat kusut rupa dan gambarannya.

Nawawi Subandi,
00:37, 14/07/2008
Bandaraya Anggerik (Shah Alam).

Jumaat, Mac 28, 2008

Apa Kata Imam Ahmad Rahimahullah?

Apa Kata Imam Ahmad Rahimahullah?

Menurut Imam Ahmad Bin Hanbal rahimahullah, di dalam kitabnya, Ushulus Sunnah:

Prinsip ahlus sunnah (di dalam prinsip ke-28) - Mendengar dan taat kepada para imam (penguasa pemerintahan), khalifah, amirul mukminin, yang baik mahupun sebaliknya. Begitu juga (mendengar dan taat kepada) orang yang memegang tampuk pemerintahan (kekhalifahan yang telah disepakati dan diredhai oleh umat manusia). Demikian pula (mendengar dan taat kepada) orang yang dapat mengalahkan manusia dengan pedang hingga menjadi khalifah, penguasa, atau amirul mukminin.

Kekuasaan itu boleh terjadi melalui tiga kemungkinan:

Pertama:

Dengan ketetapan dan wasiat dari imam (penguasa) terdahulu. Demikian ini sebagaimana terjadi pada Abu Bakar ketika mewasiatkan supaya Umar menjadi khalifah.

Kedua:

Dengan pemilihan yang dilakukan oleh ahlul Halli wal aqdi. Mereka memilih khalifah dan imam, sebagaimana yang terjadi pada pengangkatan Ali bin Abi Thalib sebagai khalifah. Para sahabat Nabi s.a.w.bersepakat membai’at Ali sebagai khalifah. Begitu juga bersepakatnya para sahabat membai’at Mu’awiyah selepas Ali.

Ketiga:

Dengan kekuatan dan pemaksaan (kekerasan – tidak melalui jalan yang aman - penterjemah). Iaitu bila mana seseorang mengalahkan orang yang banyak atau kumpulan tentera yang lain, sehingga dengan kekerasan dan kekuatannya, ia menjadi penguasa. Pada cara yang ketiga ini, seseorang menang dan berkuasa dengan cara kekerasaan. Walaupun banyak syarat tidak dipenuhi, namun di dalamnya mengandungi hikmah, iaitu apabila seseorang menang dengan kekerasannya, menunjukkan bahawa ia mempunyai kekuatan. Jika ia diperangi lagi, tentu ia akan menimbulkan konflik dan fitnah yang berterusan. Bahkan mampu menimbulkan suasana saling berbunuhan dan perperangan yang lebih besar di kalangan umat muslimin. Dalam keadaan yang seperti ini, maka, maslahah dan keutamaannya adalah, agar pemimpin yang memperoleh kekuasaan dengan cara ketiga ini tetap harus didengari (ditaati). Inilah pegangan para ulama. Sebahagian ulama yang lain menyatakan, ia lebih kuat untuk berjihad, kerana jika ia memiliki tentera yang dapat menguasai kaum muslimin di suatu negeri dan memiliki kekuatan, bererti membuktikan bahawa ia merupakan orang terkuat untuk melakukan jihad dan perang. Yang mana, dengan kekuatannya itulah dia menjadi pemimpin.

al-Hafizd Ibnu Hajar berkata:

Para fuqaha bersepakat atas wajibnya taat kepada imam yang mutaghalib (berkuasa melalui peperangan mahupun kekerasan). (Fathul Bari (13/7), Maktabah Riyadh Haditsah).

Jumaat, Februari 22, 2008

SYARIAT ISLAM DALAM PERSOALAN PENUBUHAN PARTI, ORGANISASI, DAN JEMAAH

SYARIAT ISLAM DALAM PERSOALAN PENUBUHAN PARTI, ORGANISASI, DAN JEMAAH

http://an-nawawi.blogspot.com

“Sesungguhnya orang-orang yang memecah belah agama-Nya dan mereka menjadi bergolongan, tidak ada sedikit pun tanggung jawabmu kepada mereka. Sesungguhnya urusan mereka hanyalah terserah kepada Allah, kemudian Allah akan memberitahukan kepada mereka apa yang telah mereka perbuat.” (al-An’am 6: 199)

Ibnu Katsir rahimahullah menyatakan, “Pemeluk agama sebelumnya berselisih di antara satu sama lain di dalam pola berfikir. Maisng-maisng mengaku bahawa kelompoknya yang benar, umat ini pun berselisih satu sama lain di dalam beragama, semuanya tersesat kecuali satu iaitu ahlu sunnah wal jama’ah, iaitu mereka yang berpegang teguh dengan al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah s.a.w. dan generasi pertama dari kalangan sahabat radhiyallahu ‘anhum, dan para tabi’in dan para ulama muslimin (salaf) dahulu dan sekarang, sebagaimana diriwayatkan oleh imam al-Hakim di dalam kitab Mustadraknya ketika Rasulullah s.a.w. ditanya berkenaan golongan yang selamat, maka beliau s.a.w. menjawab: “Mereka adalah orang yang mengikuti Sunnahku pada hari ini dan sahabatku.”” (Tafsir Ibnu Katsir, 5/282)

Ibnu Katsir rahimahullah berkata: “Orang-orang musyrik suka mengganti dan mengubah agamanya, mereka beriman terhadap sebahagian akan tetapi menolak sebahagian yang lain. Mereka meninggalkan agamanya seperti orang Yahudi, Nashrani, Majusi, penyembah berhala dan semua pengikut agama yang bathil sebagaimana dicantumkan di dalam ayat ini.” (Tafsir Ibnu Katsir, 6/282)

“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada peubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui dengan kembali bertaubat kepada-Nya dan bertakwalah kepada-Nya serta dirikanlah shalat dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah yaitu orang-orang yang memecah-belah agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka.” (ar-Rum 30: 30-32)

Ibnu Taimiyah rahimahullah menyatakan: “Tidak boleh bagi siapa pun mengangkat orang, mengajak umat ini mengikut pola hidup dan peraturannya, suka dan membenci kerana nya selain Nabi s.a.w. dan ijma’ Ulama Sunnah. Ada pun ciri ahli bid’ah, mereka mengangkat pemimpin dari umat ini, atau membuat peraturan yang mengakibatkan umat berpecah-belah, mereka mencintai umat kerana mengikuti peraturan golongan-golongannya dan memusuhi orang yang tidak mengikuti golongannya.” (Dar’ut Ta’arudh, 1/149)

Seterusnya, beliau rahimahullah menyatakan: “Dan tidak boleh seorang pun membuat undang-undang yang dia menyenangi orang atau memusuhinya dengan dasar peraturannya, bukan peraturan yang tercantum dalam al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah s.a.w. (Majmu’ Fatawa Ibnu Taimiyah, 20/164)

Sheikh Soleh Fauzan rahimahullah (anggota Kibarul Ulama Saudi Arabia) ditanya: “Kita sering mendengar istilah jama’ah-jama’ah (golongan-golongan) Islam pada zaman sekarang yang telah menyebar di dunia. Dari mana istilah penamaan ini?” Beliau rahimahullah menjawab: “Rasulullah s.a.w. telah memberitahu kepada kita cara beramal, beliau tidaklah meninggalkan sesuatu yang dapat mendekatkan umat ini kepada Allah melainkan beliau telah menjelaskannya, dan tidaklah meninggalkan sesuatu yang membuat manusia jauh dari Allah melainkan beliau telah menjelaskannya. Termasuk perkara yang kamu tanyakan ini, beliau s.a.w. bersabda (maksudnya): “Sesungguhnya barangsiapa di antara kalian hidup (setelah aku meninggal dunia) akan menjumpai perselisihan yang banyak.” Bagaimana cara mengatasinya ketika perkara ini terjadi? Beliau s.a.w. bersabda: “Wajib bagimu berpegang kepada Sunnahku dan Sunnah Khulafaur Rasyidin yang mendapat petunjuk sesudahku, hendaklah kamu berpegang kepadanya, dan gigitlah dengan gigi gerahammu, jauhkan dirimu dari perkara baru, kerana setiap perkara baru itu bid’ah, dan setiap bid’ah itu sesat.” (Disahihkan oleh Sheikh al-Albani, di dalam al-Irwa’, 2455) Maka dari jema’ah yang ada, apabila dia berdiri di atas petunjuk Nabi s.a.w. dan para sahabatnya, terutamanya Khulafaur Rasyidin dan dalam abad yang mulia, maka jema’ah dan golongan di mana sahaja kita masuk di dalamnya, dan wajib kita bekerja sama dengan mereka. Adapun jema’ah yang menyelisihi petunjuk Nabi s.a.w., kita wajib menjauhinya, walaupun dia mengatakan jema’ah Islamiyah. Yang menadi ukuran bukanlah nama, akan tetapi hakikat/kentaannya. Adapun nama memang banyak dan marak kita saksikan di mana-mana, akan tetapi jelas salah dan bathil juga. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Telah berpecah orang Yahudi menjadi tujuh puluh satu golongan, dan orang Nashrani menjadi tujuh puluh dua golongan, dan akan berpecah umat ini menjadi tujuh puluh tiga golongan, semua di neraka kecuali satu.” Kami berkata, “Siapa dia wahai Rasulullah s.a.w.?” Beliau s.a.w. menjawab: “Orang yang berpijak seperti aku pada hari ini dan berpijak kepada jalan sahabatku.” Keterangan ini jelas dan terang. Jika kita menjumpai jama’ah dan ini tandanya, mereka mengikuti Sunnah Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya, maka mereka golongan Islam yang benar. Adapun jama’ah yang meyelisihi jalan ini, dan berjalan di atas jalan lain, jama’ah itu bukan golongan kita, dan kami pun bukan golongan mereka, kita tidak masuk di dalamnya, dan mereka pun tidak masuk golongan kita, mereka bukan dinamakan jama’ah, akan tetapi mereka itu firqoh (golongan pemecah belah) dari firqoh yang menyimpang. Kerana istilah jema’ah tidaklah ada melainkan di atas manhaj yang benar, yang manusia bersatu di atasnya, sedangkan kebathilan pasti memecah-belah dan tidak menyatukan.

Allah s.w.t. berfirman:

...dan jika kalian berpaling, sesungguhnya mereka berada dalam permusuhan (dengan kamu)... (al-Baqarah 2: 137) (al-Ajwibah al-Mufidah an As’olatil Manahijil Jadidah, 6-8)

Sheikh Bakar bin Abdullah Abu Zaid (Anggota Kibarul Ulama Saudi arabia) menyatakan: “Tidak boleh diangkat seorang pun untuk mengajak umat ini menuju ke jalannya melainkan Nabi kita s.a.w. dan Rasul kita Muhammad s.a.w. Barangsiapa yang mengangkat selain Nabi s.a.w. sebagai panduan hidup, maka dia tersesat dan ahli bid’ah.” (Hukmal Intima’ Illal Firoq wal Ahzab wa Jama’at Islamiyah, 96-97)

Sheikh Abu anas Ali menyatakan: “Sesungguhnya parti dan golongan yang memilki peraturan yang menyelisihi al-Qur’an dan as-Sunnah ditolak oleh ajaran Islam, kerana tidak ada dalil dari al-Qur’an dan hadis yang membolehkan umat Islam berparti dan bergolong-golong, justeru sebaliknya kita jumpai banyak dalil yang mencela berdirinya beberapa parti dan golongan, contohnya adalah firman-Nya yang tercantum dalam surah al-An’am, 6: 159, dan ar-Rum 30: 32, bahkan dampakkesan yang kita ketahui dengan adanya banyak parti dan golongan datu sama lain saling menjelekkan, mencaci dan memfasikkan, bahkan boleh jadi lebih daripada itu, mengkafirkan yang lain tanpa dalil (Kaifa Nualiju Waqanal Alim, 199-200)

Benarkah Dakwah Tidak Akan Maju Tanpa Organisasi?

Sheikh Abu Anas Ali berkata:

“Ada orang yang berkata: “Tidak mungkin dakwah akan tertegak dan tersebar melainkan apabila di bawah naungan parti atau golongan.” Maka kami jawab: Sheikh Ibnu Uthaimin berkata: “Pendapat ini adalah salah, bahkan sebaliknya dakwah menjadi kuat dan tersebar tatkala manusia kuat berpegang teguh kepada al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah s.a.w. dan orang yang paling banyak mengikuti jejak Nabi s.a.w. dan para sahabat. Ketahuilah wahai para pemuda! Sesungguhnya banyaknya jema’ah atau golongan adalah fakta yang menyakitkan dan bukan fakta yang menyihatkan. Saya berpendapat hendaknya umat Islam satu parti sahaja, iaitu yang kembali kepada al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah s.a.w.”.” (as-Shohwatul Islamiyah Dhowabith wa Taujihat oleh Sheikh Ibnu Uthaimin, 258-259)

Sheikh Ibnu Uthaimin rahimahullah berkata: “Adapun umat yang berpecah-belah menjadi sekian banyak golongan sehingga masing-masing mengatakan dia yang paling benar, bukan hanya ini saja, bahkan mereka menganggap sesat golongan lain, membid’ahkan golongan lain, membuat orang menjauhi kelompok lain, maka tidaklah diragukan bahawa ini adalah pendiskreditan dan cacat bagi umat Islam. Ini merupakan senjata yang paling kuat untuk membinasakan kebangkitan Islam yang penuh barokah ini. Maka kami perlu menasihati saudara-saudara kami, hendaknya kalian bersatu, hindari perpecahan, kembalilah kepada jalan yang haq. Inilah kewajban setiap umat Islam. (Kajian rutin setiap bulan oleh Sheikh Ibnu Uthaimin, edisi pertama, hlm. 31)

Sheikh al-Muhaddis Muhammad Nashiruddin al-Albani ketika ditanya, “Bagaimana menurut pandangan syari’at Islam, kaum muslimin bergolong-golong, berparti yang berbeza, berorganisasi Islam, padahal satu sama lain berbeza sistemnya, caranya, seruannya, aqidahnya, dan berbeza pula landasan yang menjadi pegangan mereka, padahal golongan yang benar hanya satu sebagaimana yang disebut di dalam hadis yang sahih?” Beliau menjawab: “Tidaklah ragu bagi orang yang berilmu al-Qur’an dan as-Sunnah dan memahaminya dengan pemahaman salafus soleh yang diredhai Allah ‘azza wa jalla, bahawa berparti, bergabung dalam kelompok-kelompok yang berbeza pola berfikirnya, ini adalah yang pertama. Dan manhaj atau cara serta sarana yang berbeza pula, ini yang kedua, maka tidaklah Islam membolehkan hal ini sedikitpun, bahkan Allah Pencipta kita melarang kita berpecah-belah bukan hanya dengan satu ayat, sebagai contoh, surah ar-Rum 30: 32, Hud 11: 118-119. Di dalam ayat ini Allah ‘azza wa jalla tidak mengecualikan perselisihan yang terjadi, kerana ini merupakan kehendak kauni yang harus terjadi, bukan kehendak syar’i, maka Allah hanya mengecualikan golongan yang dirahmati, iaitu (yang maksudnya), “Kecuali orang yang dirahmati oleh Rabbmu.” (Hud 11: 119)” (Fatwa Sheikh al-Albani, Rakaman kaset no. 608, atau lihat kitab Kaifa Nualiju Waqianal Alim, 201)

Sheikh Ibnu Jibrin tatkala ditanya: “Bagaimana hukumnya umat Islam mendirikan parti politik?” Beliau menjawab: “Islam mengajak kita bersatu, dan melarang kita berpecah-belah, orang Islam dilarang berpecah-belah berdasarkan firman-Nya di dalam surah Ali Imran 3: 105, Surah ar-Rum 30: 31-32.

Dari keterangan ulama sunnah di atas, nampak jelas bahawa kenyataan yang ada, parti dan golongan yang landasannya menyimpang dari Sunnah tidaklah menjadi sebab berkembangnya dakwah Islamiyah, akan tetapi sebaliknya merosak aqidah umat. Berapa banyak para tokoh parti menghalalkan yang haram, menghalalkan bid’ah dan syirik, mencintai dengan agama selain Islam kerana ingin mencari pengikut dan ingin mencari ekrusi. Akan tetapi sebaliknya berdakwah yang dilakukan oleh perorangan dari kalangan ulama Sunnah yang kembali kepada pemahaman salafus soleh, mereka berhasil, mereka bersatu, walaupun di lain tempat dan waktu. Lihatlah kepada dakwah Imam Ahmad rahimahullah, Ahli Hadis, Ahli Fiqh, dan ahli Tafsir salafus soleh, Ibnu Taimiyah, Muhammad bin Abdul Wahhab dan ulama Sunnah yang baru sahaja meninggal dunia, misalnya Ibnu Baz, al-Albani, Ibnu Uthaimin, yang lainnya sama ada yang telah meninggal dunia atau yang masih hidup, dakwah mereka nyata, menerangi penduduk dunia, rahmatan lil ‘alamin. Mereka berhasil membanteras kemusyrikan dan kebid’ahan, penyakit yang sangat berbahaya di dunia yang merosakkan tauhid dan Sunnah, padahal mereka tidak mendirikan parti, organisasi dan jama’ah yang tersesat.

Bahaya Fanatik Golongan

Sheikh Robee’ bin Hadi al-Madkhali berkata: “Sesungguhnya sebahagian ulama telah menjelaskan kerosakan yang disebabkan oleh manusia yang fanatik kepada mazhab-mazhab atau golongan, di antaranya Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, beliau menjelaskan kerosakannya sebagai berikut:

1 – Menentang nash yang kuat dari al-Qur’an dan Sunnah, kerana fanatik kepada golongan, dan kadang-kala merasa cukup dengan pendapat saja.

Penulis berkata: “Memang demikian kenyataannya, banyak pengikut terkena sihir dan tertipu oleh pemimpinnya, sehingga agama adalah apa kata pemimpinnya.”

2 – Mengambil hadis lemah dan palsu sebagai dasar untuk mempertahankan pendapatnya, bahkan mereka berdusta dan berani membuat hadis untuk medukung pendapatnya.

Penulis berkata: “Di antara ciri ahli bid’ah, mereka menolak hadis yang sahih dan mengambil hadis yang lemah.”

3 – Mereka mendahulukan pendapat orang yang dianggap berilmu pada zaman sekarang daripada ilmu ulama salafus soleh.

Penulis berkata: “Benar, kerana ulama salaf pada zaman dahulu dianggap tidak tahu fiqhul waqi’ atau politik, dan dituduh dengan tuduhan yang buruk.”

4 – Terjerat oleh pendapat perorangan, dan tidak mahu mengambil ilmu atau kebenaran mazhab yang lain, tidak mahu membaca nasihat ulama, dikeranakan fanatik kepada pemimpinnya.

Penulis berkata: “Memang demikian, tidak sedikit pemimpin yang rosak aqidah dan moralnya, akan tetapi kerana jadi pemimpin, menjadi cermin hidup oleh pengikutnya.”

5 – Umumnya ketetapan atau anggaran dasar setiap golongan sunyi dari dalil syar’i bahakan membencinya.

Penulis berkata: “Benar, bagaimana tidak, kerana kelompok perumusnya adalah dari pelbagai macam aliran, sedangkan ketetapan diambil dengan suara terbanyak, mana yang banyak, itulah yang menang.

6 – Tersebarnya taqlid, jumud dan tertutupnya pintu ijtihad. (Diringkaskan dari at-Taashub al-Dzamim wa atsarohu, oleh Dr. Robee’ bin Hadi Umair al-Madkhali, 5-15)

Sheikh Bakat bin Abdillah Abu Zaid menjelaskan ada empat puluh satu behaya dengan berdirinya parti dan golongan Islam, di antaranya:

1 – Mereka mengikat wala’ dan bara’ atau menyenangi dan membenci orang kerana golongan.

2 – Kebanyakan kelompok/golongan yang menamakan dirinya kelompok/golongan Islam merosakkan Islam, lihat kelompok Baha’iyah dan Qodyaniyah.

3 – Kami bertanya: “Apakah setiap parti membolehkan apabila ditandingi oleh parti yang lain di dalam suatu negeri? Jika dijawab boleh, ini adalah jawaban yang tidak masuk akal, dan tidak ingin umat ini menjadi baik. Jika tidak boleh, bagaimana membolehkan dirinya dan melarang orang lain pula? Padahal semua parti menurut dugaan mereka ingin membela Islam.”

4 – Berapa banyak parti yang dasarnya hanya politik belaka, sunyi dari kaedah Islam, yang akhirnya merosak Islam dan dakwah Islam menjadi suram.

5 – Dengan adanya beberapa golongan di dalam tubuh kaum muslimin menunjukkan adanya perpecahan di dalamnya.

6 – Dengan banyaknya parti, dakwah amal Islami akan ditinggalkan.

7 – Masing-masing parti dan golongan menyembunyikan kebenaran Islam kerana penyakit fanatik golongan.

8 – Parti dan golongan pasti merosak persaudaraan umat Islam.

9 – Dengan berdirinya banyak golongan pasti mencela dan memberi gelar yang buruk kepada golongan lain. Ini adalah ciri orang jahiliyyah yang merosakkan agama.

10 – Parti dan golongan dibangunkan atas dasar suara yang banyak, tidak mahu dikritik dan dibantah.

11 – Pada awalnya parti itu dibangun untuk mewujudkan amal Islami agar menjadi insan yang bertauhid, akan tetapi pada umumnya berubah menjadi bentuk yang aneh pada tubuh umat, kerana ingin menyaingi parti yang lain.

12 – Bahaya yang paling nampak dengan berdirinya golongan dan parti adalah lenyapnya dakwah menuju ke jalan Allah sesuai dengan sunnah Nabi s.a.w..

13 – Dakwah yang dilakukan parti dibangun atas dasar pola berfikir dan rancangan kelompoknya.

Inuilah sebahagian bahaya akibat munculnya banyak parti dan golongan. Bagi yang ingin mengetahui bahaya yang lain, silakan merujuk kitab Hukmul Intima’ Ilal Firoq wal Ahzab wal Jamaa’at al-Islamiyah oleh sheikh Bakr Abdullah Abu Zaid, hlm. 135-152.

Bersambung...

Artikel Ini di-ambil dari salah satu keluaran/edisi majalah al-Furqon...

Untuk Perbahasan Selanjutnya, boleh merujuk topic yang lalu:

1 –
Menyelami Prinsip Aqidah & Fenomena Perpecahan

2 -
Persoalan al-Wala’ (Kecintaan) & Bara’ (Kebencian)

3 –
Siapakah Ahlus Sunnah

4 –
Melihat Manhaj Salafus Soleh Sebagai Manhaj Beragama

5 -
Parti Orang-orang Yang Beriman

http://an-nawawi.blogspot.com

Sabtu, Februari 16, 2008

BERSAMA PARTI ORANG-ORANG BERIMAN (HIZBULLAH)???

BERSAMA PARTI ORANG-ORANG BERIMAN (HIZBULLAH)???

Para Nabi/Rasul itu di-utus untuk daulah aqidah, bukan untuk mencari kuasa, apatah lagi merampas kuasa untuk menyampaikan dakwahnya.

“Dan Kami tidak mengutus sebelummu (Wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: "Bahawa Sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku; oleh itu, Beribadatlah kamu kepadaku".” (al-Anbiya’ (21): 25)

Tidak lain, segala-galanya adalah kerana aqidah yang mulus dan tulus, sebagaimana firman-Nya yang lain:

Katakanlah lagi (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya Aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat kepadanya; (az-Zumar (39): 11)

Ini dibuktikan lagi dengan firman Allah s.w.t. berikut bahawa dakwah para Nabi bukan dengan kekuasaan atau perundangan pemerintahan:

“Pergilah kamu berdua kepada Fir'aun, sesungguhnya dia telah melampaui batas; maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut." (Thoha 20: 43-44)

Di mana, Musa dan Harun a.s. berdakwah dengan cara lemah lembut kepada pemerintah pada masa itu yang jelas zalim, melampuai batas dan merupakan seorang yang kafir. Nabi Musa a.s. yang memiliki Mukjizat besar berupa tongkatnya, tidak pula digunakan untuk menjatuhkan Fir’aun walaupun terbukti mampu membelah lautan. Batas-batas dan prinsip yang Allah gariskan tetap dipegang.

Begitu pula dengan Nuh a.s. yang berdakwah selama hampir seribu tahun lamanya, namun tetap penuh dengan kesabaran, sehingga datang ketetapan Allah.

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya, maka ia tinggal di antara mereka seribu tahun kurang lima puluh tahun. Maka mereka ditimpa banjir besar, dan mereka adalah orang-orang yang zalim.” (al-Ankabut 29: 14)

Difahami pula bahawa dakwah perlulah dilakukan dengan lemah lembut dan penuh kesabaran dan bukannya dengan menghujam dan memaksa:

“Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.” (Ali Imran 3: 159)

Allah s.w.t. menjelaskan di dalam firman-Nya bahawa hidayah itu bukan di tangan para ustaz, tangan para nabi, ataupun tangan-tangan manusia, tetapi, Allah lah yang berkuasa memberikan hidayah itu:

“Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah yang memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya...” (al-Qashash, 28: 56)

“Dan jikalau Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang yang di muka bumi seluruhnya. Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya?” (Yunus 10: 99)

Malah dalam sebuah hadis, Nabi s.a.w. telah menyatakan bahawa dakwah bukanlah mencari kuantiti kumpulan manusia atau seberapa banyak ahli dan pengikut. Tetapi, dakwah adalah menyebarkan haqq dan mengajak manusia kepada kebenaran yang jelas. Menanamkan suatu kualiti beraqidah yang murni dan bersih dari segala macam kesyirikan.

“Telah diperlihatkan kepadaku umat-umat, maka aku melihat seorang Nabi bersamanya sekelompok orang, aku pun melihat seorang nabi bersamanya hanya seorang atau dua orang saja, dan aku pun melihat seorang nabi yang tidak ada perngikutnya sama sekali...” (Hadis Riwayat Bukhari, 5/2157, dan 2170. Muslim, 1/199, no. 220)

Dan, dalam sebuah ayat, Allah s.w.t. menyatakan kepada Nabi-Nya:

“Katakanlah: "Inilah jalan (agama)-ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik”.” (Yusuf 12: 108)

Berkenaan kepelbagaiannya jema’ah di persekitaran kita yang amat-amat membingungkan, berikut dibawakan berkenaan suatu hadis,

Dari Hudzaifah bin al-Yaman r.a., dia berkata: “Orang-orang bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang kebaikan. Sedangkan aku sudah bertanya tentang keburukan, kerana takut ia akan menghampiriku. Lalu aku berkata, “wahai Rasulullah, sesungguhnya dulu kami dalam Jahiliyah dan keburukan. Lalu Allah membawa kepada kami kebaikan. Lalu apakah sesudah kebaikan ini ada keburukan?” Beliau s.a.w. menjawab: “benar.” Aku bertanya lagi, “Apakah sesudah keburukan itu ada kebaikan?” Beliau menjawab, “Benar, dan di dalamnya terdapat asap.” Aku bertanya, “Apakah asapnya?” Beliau s.a.w. menjawab, “Sekelompok orang yang memberi petunjuk tanpa petunjukku, engkau melihat sebahagian di antara mereka dan engkau terus mengingkari mereka.” Aku bertanya, “Apakah sesudah kebaikan itu terdapat keburukan?” Beliau menjawab, “Benar, iaitu ada para penyeru berada di ambang pintu Jahannam. Siapa memenuhi seruannya, maka mereka akan melemparkannya ke neraka.” “Wahai Rasulullah, beritahukanlah sifat-sifat mereka kepada kami,” Aku berkata. Beliau menjawab, “Mereka dari jenis kita dan berbicara dengan bahasa kita.” “Lalu apa yang engkau perintahkan kepadaku jika hal itu hendak menghampiriku?” Aku bertanya. Beliau menjawab, “engkau harus komited terhadap jema’ah kaum muslimin dan imam mereka.” Aku bertanya, “Bagaimana jika mereka tidak mempunyai jama’ah dan imam?” “Hindarilah semua golongan yang ada, meskipun engkau harus menggigit pangkal pohon, sehingga engkau meninggal dunia, sedangkan engkau tetap dalam keadaan seperti itu.” (Hadis Diriwayatkan oleh Bukhari, no. 4084, dan Muslim, no. 1847)

Menurut Sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, Hadis ini sangat agung, kerana di dalamnya terkandung penerangan yang jelas, berkaitan dengan keadaan masyarakat Islam pada masa sekarang. Sebab mereka tidak mempunyai jama’ah yang mapan dan imam yang dibai’at. Mereka terdiri dari pelbagai golongan yang beraneka ragam, termasuk pula dalam pemikiran dan manhajnya. Di dalam hadis ini dijelaskan, bahawa jika orang muslim mengalami keadaan seperti ini, maka dia tidak perlu bergabung dengan golongan dan dengan kelompok mana pun, selagi di sana tidak ada jema’ah yang mempunyai imam yang dibai’at orang-orang muslim. (Menurut Sheikh Ali Hasan, ia merupakan pernyataan Sheikh al-Albani, dinukuil dari ad-Da’wah ilallah, oleh sheikh Ali bin Hasan al-Halaby, m/s. 104, terbitan Pustaka al-Kautsar)

Makanya, kembalilah kita kepada jema’ah yang benar, iaitu jemaahnya kaum muslimin yang tidak diikat dengan nama, kumpulan ataupun tokoh. Iaitu jemaah yang diikat dengan tali aqidah dan perngertian syahadah yang haqq.

Ini dapat difahami melalui antaranya adalah tafsiran ibnu mas’oud dalam persoalan atau maksud al-Jama’ah, iaitu: “Yang disebutkan al-Jama’ah adalah yang seiring dengan kebenaran, walaupun engkau sendirian.” (Diriwayatkan oleh al-Laalika’i di dalam as-Sunnah, no. 160) (Lebih detail, rujuk pautan (link berikut):
http://aqidah-wa-manhaj.blogspot.com/2008/02/045-merungkai-siapakah-ahlus-sunnah-wal.html)

Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk. (Ali Imran 3: 103)

"Kebenaran itu dari Tuhanmu sebab itu janganlah sekali-kali kamu termasuk orang-orang yang ragu". (al-Baqarah, 2: 147)

Perlu diketahui, suara majoriti dalam persoalan agama bukanlah hujjah dalam membuktikan/menetapkan sesuatu itu adalah benar.

“Dan apabila dikatakan kepada mereka, “Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah", mereka menjawab: "(Tidak), bahkan Kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya". Patutkah (Mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara agama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?” (al-Baqarah: 170)

Maka, sedarlah kita, kembalilah kepada hakikat agama Islam yang sebenar dengan melihat kembali kepada dalil yang haq, dan bukannya kepada kelompok-kelompok manusia yang tertentu sahaja. Marilah kita menuju kepada manhaj ilmu yang sahih, kerana hanya dengan ilmu kita mampu menilai sebahagian besar erti agama dan kehidupan..

“…Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna”. (Surah Zumar (30): 9)

Dengan ilmu, keimanan yang benar, dan amalan yang sahih, maka secara automatik, kita terikat dengan jemaah yang sebenar iaitu hizbullah atau parti Allah yang terbina dari kelompok orang-orang yang beriman.

“Kamu tidak akan mendapati kaum yang beriman pada Allah dan hari akhirat, saling berkasih-sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu bapak-bapak, atau anak-anak atau saudara-saudara ataupun keluarga mereka. Mereka itulah orang-orang yang telah menanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripada-Nya. Dan dimasukkan-Nya mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Allah redha terhadap mereka, dan merekapun merasa puas terhadap (limpahan rahmat)-Nya. Mereka itulah golongan Allah (Hizbullah). Ketahuilah, bahwa sesungguhnya hizbullah itu adalah golongan yang beruntung.” (al-Majadilah 58: 22)

Sesungguhnya, orang-orang yang beriman jugalah yang saling menolong sesama mereka, dan bukannya kaum yang lain yang kafir dan golongan yang menyimpang dari kebenaran...

“Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, lalu mereka tunduk (kepada Allah). Dan barangsiapa mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut agama Allah (Hizbullah) itulah yang pasti menang.” (al-Ma’idah 5: 55-56)

Fahamilah janji Allah ini...

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (Wahai umat Muhammad) bahawa Dia (Allah) akan menjadikan mereka berkuasa memegang pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa Yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang Yang derhaka (fasik). (an-Nuur: 55)

Berkata Sheikh Soleh Fauzan al-Fauzan, di dalam kata pengantar kitab Minhajul Anbiya’ Fid Da’wati Ila Allah fihil Hikmatu wa ‘aql tentang ayat di atas (an-Nuur: 55) sebagai berikut:

Sebagaimana yang telah diisyaratkan (oleh Allah s.w.t.), tidak akan tercapai, kecuali setelah memperbaiki aqidah mereka dengan beribadah hanya kepada Allah dan meninggalkan penyembahan kepada selain-Nya. Dan mereka berkeinginan untuk mendahulukan adanya Daulah Islamiyah sebelum membersihkan negara dari aqidah-aqidah berhala, seperti penyembahan orang mati dan kebergantungan terhadap kuburan (serta masih bersama memenangkan aqidah selain daripada aqidah ahlus sunnah (syi’ah, muktazilah, khawarij, sufi, dll.) – tambahan penulis). Padahal hal tersebut tidak jauh berbeza dengan penyembahan terhadap Latta, Uzza, dan Manaat dan yang lainnya. Bahkan lebih dari itu, mereka mencari sesuatu yang lain yang mustahil adanya.

“Barangsiapa mencari kemuliaan, tanpa ada usaha yang keras, maka telah hilanglah usia akibat mencari kemustahilan” (Rujuk; Minhajul Anbiya’ Fid Da’wati Ila Allah fihil Hikmatu wa ‘aql, karangan sheik Dr. Rabi Bin Hadi ‘Umair al-Madkhaly)

Sekian...

Selain itu, dijemput untuk membaca artikel yang terdahulu:

1 –
Mencari Kemenangan Yang Dijanjikan

2 –
Menyelami Prinsip Aqidah & Fenomena Perpecahan

3 –
Persoalan al-Wala’ (Kecintaan) & Bara’ (Kebencian)

4 -
Demokrasi Dan Persoalannya

Jumaat, Disember 14, 2007

Sikap Rakyat Terhadap Pemerintah Yang Dianjurkan Rasulullah s.a.w.

Sikap Rakyat Terhadap Pemerintah Yang Dianjurkan Rasulullah s.a.w.

Sesungguhnya taat kepada penguasa adalah termasuk ke dalam dasar aqidah/i’tiqad Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Tidak ada yang menyelisihi aqidah ini kecuali kelompok yang jahil atau pengikut hawa nafsu. Cukuplah usaha yang bersungguh-sungguh dari para ulama dalam menjelaskan aqidah yang murni ini di dalam kitab-kitab mereka sebagai bukti akan agungnya dan keutamaan kewajiban taat kepada penguasa/pemerintah/kerajaan. Bahkan dahulu dikatakan: “Enam puluh tahun bersama penguasa yang zalim itu adalah lebih baik daripada semalam tanpa penguasa.” (Fiqh as-Siyasah asy-Syar’iah, hal. 121, DR. Kholid al-Anbari Dar Minhaj)

Kewajiban mendengar dan taat kepada penguasa terletak kepada seluruh perkara yang bukan perkara maksiat kepada Allah s.w.t., kerana tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam soal kemaksiatan kepada Allah. Dalil-dalil yang menerangkan usul yang agung ini di antaranya adalah sebagai berikut:

Allah s.w.t. berfirman;

Hai orang-orang yang beriman, ta’atilah Allah dan ta’atilah Rasul(Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berselisihan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Qur’an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (Surah an-Nisa [4]: 59)

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah Rahimahullah menyatakan:

“Ulil Amri mencakupi dua golongan, iaitu ulama dan penguasa.” (Majmu’ Fatawa, 18/158) (Lihat pula Tafsir at-Thobari, 5/93, Ibnu Katsir, 1/530, Fathul Bari, 8/254, Risalah at-Tabukiah, hal. 47)

Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa Sallam juga bersabda;

Wajib bagi seorang muslim untuk mendengar dan taat (kepada penguasa) dalam perkara yang ia senangi dan ia benci kecuali apabila diperintah berbuat kemaksiatan. Apabila penguasa memerintahkan melakukan kemaksiatan maka tidak perlu didengari dan ditaati (kemaksiatan itu). (Hadis Riwayat Bukhari 13/121, Muslim 3/1469)

Al-Hafizh Ibnu Hajar al-Asqalani Rahimahullah menyatakan: “Hadis ini menunjukkan wajibnya taat kepada penguasa, hal itu berlaku dalam perkara yang bukan maksiat. Hikmahnya taat kepada penguasa adalah agar menjaga persatuan kalimat, kerana yang dinamakan sebagai perpecahan adalah kehancuran.” (Fathul Bari, 13/112)

Wajibnya taat kepada penguasa adalah bersifat umum, tidak kira sama ada kepada penguasa yang baik atau yang zalim selama mana mereka masih muslim, mengerjakan solat, tidak boleh memberontak sehinggalah jelas kekafirannya. Inilah keyakinan Ahlus Sunnah wal Jama’ah, mereka mendahulukan nash-nash (dalil-dalil) syar’i dan tidak mengikut hawa nafsu. Persoalan ini berbeza dengan keyakinan sebahagian kelompok Islam yang membolehkan memberontak apabila melihat penguasa berlaku zalim (merupakan salah satu sifat/sikap puak Khawarij), atau kelompok yang terlalu menganggap suci penguasa hingga maksum dan tidak perlu menasihatinya!! (Ini berlaku di dalam kaum Syi’ah/Rafidhah). Allahu al-Musta’an. (Perbahasan ini banyak mengambil hujjah-hujjah dari dua sumber utama Muamalatul Hukkam Fi Dhauil Kitab was Sunnah oleh Abdus Salam bin Barjas, al-Wardul Maqthuf oleh Fauzi al-Atsari dengan sedikit tambahan oleh penulis)

ADAB KEPADA PENGUASA

Islam mengatur bagaimana seharusnya hubungan di antara rakyat dengan penguasa, agar hubungan ini berjalan dengan harmoni sehingga terbentuklah sebuah susunan/jalinan masyarakat yang diidam-idamkan. Berikut ini adalah sebahagian adab kepada penguasa;

1. Menghormati penguasa

Islam sangat memuliakan penguasa, ini adalah kerana beratnya tugas yang mereka tanggung/pikul. Tidak boleh bagi sesiapa pun untuk memperlekehkan penguasa, sama ada dengan celaan, ghibah (umpatan) atau yang selainnya. Namun amat mendukacitakan ajaran yang mulia ini (yang berlandaskan al-Qur’an & as-Sunnah) sudah banyak dilupakan oleh sebahagian kaum muslimin. Jangan hairan seandainya ada penguasa dijatuhkan kehormatannya (diaibkan), dicela dan direndahkan. Ketahuilah wahai saudaraku, Rasulullah melarang keras sikap merendah-rendahkan penguasa, Baginda Shalallahu 'alaihi wa Sallam bersabda;

Para penguasa adalah naungan Allah di muka bumi. Barangsiapa yang memuliakan penguasa, Allah akan memuliakannya. Barangsiapa yang menghina penguasa, Allah akan menghinakan dia. (Hadis Riwayat Baihaqi 17/6, as-Sunnah, Ibnu Abi Ashim, 2/698. Lihat as-Sahihah 5/376)

Imam Ibnu Abi Ashim dalam kitabnya as-Sunnah (2/727) dari Muawiyah bin Abi Sufyan dia berkata: “Ketika Abu Dzar keluar menuju Robadzah dia bertemu dengan sekelompok penduduk dari Iraq. Mereka berkata: ‘Wahai Abu Dzar kami sudah tahu apa yang dilakukan penguasa ke atas-mu, duduklah dan pasangkanlah bendera pemberontakan, maka orang-orang akan berhimpun bersamamu.’ Abu Dzar berkata: ‘Tenang.. tenang wahai saudara se-islam, sesungguhnya aku mendengar Rasulullah bersabda: ‘Akan ada sepeninggalanku para penguasa. Hormatilah mereka, barangsiapa yang mencari-cari keburukannya, sungguh dia telah meruntuhkan dinding Islam. Tidak akan diterima taubatnya sehingga dia mengembalikan dinding yang dirosakkannya itu sebagaimana awalnya.”

Semoga Allah merahmati Sahl bin Abdullah at-Tustari yang telah berkata: “Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama mereka menghormati penguasa dan para ulama. Apabila mereka mengagungkan dua golongan ini, Allah akan memperbaiki dunia dan akhirat mereka. Apabila mereka merendahkannya, bererti mereka telah menghancurkan dunia dan akhirat mereka sendiri.” (Tafsir al-Qurthubi, 5/260)

2. Jangan dicela

Mencela penguasa adalah kesalahan yang besar. Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa Sallam bersabda;

Janganlah kalian mencela penguasa kalian, jangan kalian menipu dan membencinya. Bertakwa dan bersabarlah kepada Allah, sesungguhnya perkaranya dekat. (Hadis Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’abul Iman 6/69, Ibnu Abi Ashim dalam as-Sunnah 2/488, Tahqiq DR. Basim Jawabirah dan beliau menghasankannya)

Ziyad bin Kusaib al-Adawi berkata: “Aku pernah bersama Abu Bakrah duduk di bawah mimbar Ibnu Amir yang sedang berkhutbah dan memakai pakaian tipis. Abu Bilal berkata: ‘Lihatlah pemimpin kita, dia memakai pakaian orang fasik!’ Abu Bakrah berkata: “Diamlah! Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah bersabda: Barangsiapa yang menghina penguasa Allah di muka bumi, Allah akan menghinakannya.” (as-Sahihah, 5/376)

Larangan mencela penguasa bukan hanya kerana memelihara kehormatan kepada mereka semata, akan tetapi demi membendung dan mencegah kerosakan/keburukan yang besar. Tidak mustahil bahawa diawali dengan soal cela-mencela akan berakhir dengan pemberontakan. Fahamilah wahai saudaraku! Taatilah sunnah Rasulullah dan pendirian para sahabat-sahabat Rasulullah.

3. Ingkarul mungkar kepada penguasa

Amar ma’ruf nahi mungkar merupakan salah satu asas yang sangat penting di dalam agama ini. Tegaknya amar ma’ruf nahi mungkar akan membawa kepada lahirnya kebaikan dan menghapuskan pelbagai kebatilan/kemungkaran. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman;

Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar; mereka adalah orang-orang yang beruntung. (Surah Ali Imran [3]: 104)

Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa Sallam bersabda;

Barangsiapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangannya. Apabila tidak mampu maka dengan lisannya. Apabila tidak mampu maka dengan hatinya. Dan itulah selemah-lemah iman. (Hadis Riwayat Muslim, 49. Ahmad 3/10, Abu Daud, 1140. Tirmidzi, 2172. Nasa’i 8/111. Ibnu Majah 1275. Ibnu Hibban 306)

Lantas apabila sudah jelas kewajiban amar ma’ruf nahi mungkar, bagaimanakah cara yang syar’i dalam mengingkari kemungkaran penguasa? Hal ini perlu difahami dengan baik, agar kita tidak tersalah dalam mengatur langkah sebagai seorang muslim yang taat dan soleh. Janganlah kerana terburu-buru mengikut nafsu, amar ma’ruf nahi mungkar yang diingini menatijahkan kepada kerosakan yang lebih parah lantaran kaedah yang salah dan menjauhi Sunnah.

Ibnu Nuhas Rahimahullah berkata: ‘Mencegah kesalahan penguasa tidak boleh dengan kekuatan tangan, tidak boleh mengangkat senjata, atau mengumpulkan orang untuk memberontak, kerana akan membangkitkan fitnah, menimbulkan keburukan dan menjatuhkan kewibawaan penguasa, bahkan berupaya mendorong rakyat untuk memberontak, menghancurkan negeri dan yang seumpamanya dan kejelekan yang tidak samar lagi.” (hal. 46)

Imam Ahmad rahimahullah berkata:

“Penguasa tidak boleh ditentang, kerana pedangnya terhunus.” (al-Adab asy-Syar’iah, 1/197)

Imam Ibnu Muflih rahimahullah berkata: “Tidak boleh bagi seorang pun untuk mengingkari penguasa kecuali dengan nasihat dan peringatan dari hukuman dunia dan akhirat, perkara itu wajib dan selain itu tidak boleh.” (al-Adab asySyar’iah, 1/195)

Manhaj Ahlus Sunnah dalam masalah ini adalah berusaha mengumpulkan hati manusia agar mencintai penguasa, menyebarkan rasa cinta di antara rakyat dan penguasa, menunjuki rakyat agar bersabar atas keburukan penguasa walaupun penguasa mereka memonopoli terhadap harta, dan perbuatan zalimnya dan lain-lain. Istiqamah menasihati penguasa dengan rahsia, memperingatkan penguasa dari kemungkaran secara umum tanpa menyebutkan individu orangnya, seperti memperingatkan bahaya zina secara umum, riba secara umum, korupsi (penyelwengan) secara umum dan yang seumpamanya. (Muamalatul Hukkam, hal. 111)

Renungilah penjelasan ini wahai saudaraku, fahamilah dan berfikirlah dengan akal yang sihat, terimalah dengan hati yang terbuka nescaya engkau akan selamat dari jeratan dan hembusan syubhat orang yang menyimpang dari jalan yang lurus ini.

4. Menasihati secara rahsia

Penguasa adalah sebahagian dari kaum muslimin, mereka berhak dinasihati. Akan tetapi menasihati penguasa tidak sama seperti menasihati orang lain, renungilah hadis berikut;

Barangsiapa yang hendak menasihati penguasa, janganlah ia menampakkannya secara terang-terangan, akan tetapi hendaklah ia memegang tangannya, kemudian bersendirian dengannya. Apabila penguasa itu mahu menerima nasihat, maka itulah yang diinginkan. Apabila tidak, sesungguhnya dia (yang menasihati) telah menunaikan kewajibannya. (Hadis Riwayat Ibnu Abi Ashim 2/507, Ahmad 3/403, Hakim 3/290, hadis ini disahihkan oleh Syaikh al-Albani dalam Dhilalil Jannah, hal. 507)

Imam al-Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan bahawasanya Usamah bin Zaid pernah ditanya:

“Tidakkah engkau menemui Utsman kemudian menasihatinya?” Beliau menjawab: “Apakah kamu fikir aku tidak menasihatinya kecuali harus memberitahumu?! Sungguh aku telah menasihatinya dengan empat mata, dan aku tidak ingin membuka rahsia.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari 6/330, al-Fath 13/48, Muslim 4/2290)

Al-Hafizh Iyadh rahimahullah berkata:

“Maksud Usamah adalah dia tidak ingin membuka pintu pengingkaran kepada penguasa secara terang-terangan, kerana khuwatir timbul akibat yang buruk. Bahkan hendaklah mengingkari dengan lemah lembut, menasihati secara rahsia kerana hal itu lebih mudah diterima.” (Fathul Bari, 13/52)

Tempuhlah cara yang selamat ini wahai saudaraku seiman, nasihati penguasa secara rahsia dan bukanlah dengan terang-terangan (dipertontonkan), jangan menyebarkan keburukkannya di mimbar-mimbar bebas, di tempat-tempat umum, di pentas ceramah, media-media massa & cetak, majalah-majalah & risalah-risalah, demonstrasi, atau apa saja dari cara-cara yang menyelisihi prinsip Ahlus Sunnah. Janganlah kita tertipu dengan kebanyakan orang yang menempuh cara seperti itu walaupun mungkin niat pelakunya baik, kerana cara yang demikian adalah jelas menyelisihi manhaj Ahlus Sunnah.

5. Bersabar atas kezaliman

Bersabar atas kezaliman penguasa termasuk dasar/prinsip Aqidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Dalil-dalil dalam masalah ini sangat banyak, bahkan hadis-hadis dalam masalah ini mencapai darjat yang mutawatir. Allah s.w.t. berfirman;

Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah) (QS. Luqman [31]: 17)

Barangsiapa yang melihat sesuatu yang ia benci dari penguasanya maka hendaklah ia bersabar. Barangsiapa yang meninggalkan jama’ah walau sejengkal maka dia mati dalam keadaan jahiliyyah. (Hadis Riwayat al-Bukhari, 7143 & Muslim, 1849)

Nabi Shalallahu 'alaihi wa Sallam bersabda (yang ertinya): “Sesungguhnya akan ada setelahku para pemimpin yang mementingkan diri mereka sendiri, perkara-perkara yang kalian ingkari.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah apa yang engkau perintahkan kepada kami?” Beliau menjawab: “Hendaklah kalian menunaikan kewajiban kalian dan mintalah hakmu kepada Allah. (Hadis Riwayat al-Bukhari 13/5, Muslim 3/1472)

Imam Hasan al-Bashri Rahimahullah menyatakan: “Ketahuilah kezaliman penguasa adalah kemurkaan dari kemurkaan Allah. Kemurkaan Allah tidaklah dihadapi dengan pedang, akan tetapi dengan takwa, tolaklah dengan do’a, taubat dan menjauhkan dosa.” (Adab, al-Hasan al-Bashri hal. 119)

Imam Ibnu Abil Izzi rahimahullah berkata:

“Adapun taat kepada penguasa tetap wajib sekalipun mereka zalim, kerana keluar dari ketaatan terhadap mereka akan menimbulkan keburukkan yang banyak melebihi kezaliman mereka. Bahkan sabar di atas kezaliman penguasa adalah penghapus dosa, melipat gandakan pahala, kerana tidaklah Allah menimpakan hal itu kecuali kerana keburukkan perbuatan kita sendiri. Balasan itu setimpal dengan perbuatan. Wajib bagi kita untuk bersunguh-sungguh meminta ampun kepada Allah, taubat dan memperbaiki diri. Maka apabila rakyat ingin membebaskan diri dari kezaliman penguasa hendaklah mereka mengawali dengan meninggalkan perbuatan zalim pada diri mereka sendiri.” (Syarah al-Aqidah at-Thohawiyyah, 2/542) (Alangkah bagusnya ucapan Abdul Malik bin Marwan ketika berkata: “Berlaku adillah kepada kami wahai seluruh rakyat. Kalian menghendaki dari kami seperti pemerintahan Abu Bakar dan Umar, akan tetapi kalian tidak mahu berjalan bersama kami dan tidak pula mencontohi di zaman Abu Bakar dan Umar”. (Sirojul Muluk, hal.100))

6. Memberontak?!

Memberontak terhadap penguasa hukumnya adalah haram walau bagaimanapun keadaan dan keburukkan penguasa.

Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa Sallam bersabda (yang ertinya); Sebaik-baiknya penguasa adalah yang kalian mencintainya dan mereka mencintai kalian. Kalian mendo‘akannya dan mereka mendo’akan kalian. Seburuk-buruknya penguasa adalah yang kalian membencinya dan mereka pun membenci kalian, kalian mencacinya dan mereka mencaci kalian.” Rosulullah ditanya: “Wahai Rasulullah tidakkah kita memberontak dengan pedang?” beliau menjawab: “Jangan, selama mereka masih menegakkan solat.” Apabila kalian melihat sesuatu yang kalian benci dari penguasa kalian, maka bencilah perbuatannya dan janganlah kalian mencabut ketaatan dari mereka. (Hadis Riwayat Muslim, 3/1481)

Imam al-Barbahari berkata:

“Tidak halal memerangi penguasa dan memberontak sekalipun mereka itu zalim. Tidak ada di dalam sunnah yang namanya memberontak kepada penguasa, kerana hal itu akan membawa kerosakan agama dan dunia.” (Syarhus Sunnah, hal. 78) (Imam Nawawi berkata: “Adapun memberontak dan memerangi penguasa adalah haram berdasarkan kesepakan kaum muslimin sekalipun mereka zalim dan fasiq”. (Syarah Sahih Muslim, 12/229))

Sungguh sejarah telah mencatat kekejaman seorang yang bernama Hajjaj bin Yusuf as-Tsaqofi. Dia telah banyak membunuh jiwa, sehingga sahabat yang mulia Abdullah bin Zubair radhiyallahu 'anhu terbunuh. Lantas bagaimana Sikap para sahabat yang lain, apakah mereka menyusun kekuatan untuk memberontak? Wallahi, tidak sama sekali, bahkan mereka tetap menganjurkan untuk mendengar dan taat. Zubair bin Adiy berkata: “Kami mendatangi Anas bin Malik mengeluhkan perihal Hajjaj. Anas menjawab:

“Bersabarlah, kerana tidaklah datang sebuah zaman kecuali yang setelahnya akan lebih buruk sehingga kalian berjumpa dengan Rabb kalian, aku mendengar ini dari Nabi kalian.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 13/20)

Walau bagaimanapun memberontak kepada para penguasa adalah suatu yang haram dan dilarang. Akan tetapi sangat mengecewakan, kerana masih ada (ramai) orang-orang yang menyelisihi hal ini dengan lisan dan perbuatan! Bahkan ada yang begitu gigih bersekutu dengan syaitan untuk memalingkan manusia dari jalan Allah. Mereka menghasut rakyat untuk memberontak dengan melakukan pelbagai makar dan dakwah seperti demonstrasi, ceramah yang mencaci maki, dan seumpamanya kepada penguasa atas nama keadilan, demokrasi, dan amar ma’ruf nahi mungkar!!

Sesungguhnya, perbuatan mereka amat jauh menyimpang dari saranan sunnah Rasulullah dan golongan ulama Salafus soleh sendiri.

Salah satu makar/muslihat Yahudi yang membunuh Utsman bin Affan radhiyallahu 'anhu selalu berwasiat kepada pengikutnya: “Mulailah dengan mencela para penguasa kalian dan tampakkanlah bahawa hal itu sebagai amar ma’ruf nahi mungkar, maka hati manusia akan condong kepada kalian, kemudian barulah ajak mereka untuk memberontak!”. (Tarikh Rusul, 4/340 oleh Ibnu Jarir at-Thabari)

7. Mendo’akan kebaikan

Abu Utsman Said bin Ismail berkata: “Nasihatilah penguasa, perbanyakkan mendo’akan kebaikan bagi mereka dengan ucapan, perbuatan dan hukum. Kerana apabila mereka baik, rakyat akan baik. Janganlah kalian mendo’akan keburukkan dan laknat bagi penguasa, kerana keburukkan mereka akan bertambah dan bertambah pula musibah bagi kaum muslimin. Do’akanlah mereka agar bertaubat dan meninggalkan keburukkan sehingga musibah hilang dari kaum muslimin.” (Su’abul Iman, 13/99)

Fudhail bin Iyadh berkata:

“Andaikan aku mempunyai do’a yang mustajab niscaya akan aku panjatkan untuk penguasa.” (Dikeluarkan oleh Abu Nuaim dalam al-Hilyah, 8/91)

Maka kami mengajak seluruh kaum muslimin untuk mendo’akan kebaikan penguasa kita, kerana kebaikan mereka adalah kebaikan rakyat juga. Kami menyeru kepada seluruh khatib, da’i dan alim ulama, do’akanlah kebaikan bagi para pemimpin, sama ada dalam khutbah Juma’at atau yang lain-lain kerana hal itu termasuk sunnah yang telah ditinggalkan (semakin diabaikan).

Imam al-Barbahari berkata:

“Apabila engkau melihat orang yang mendo’akan kejelekan bagi penguasa maka ketahuilah bahwa dia seorang pengikut hawa nafsu. Apabila engkau melihat orang yang mendo’akan kebaikan bagi penguasa, maka dia adalah pengikut sunnah, insya-Allah.” (Syarhus Sunnah, hal. 113)

PENUTUP

Ketahuilah wahai saudaraku, musibah yang silih berganti datang menimpa negeri kita adalah ketentuan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Maka jangan salahkan sesiapa. Jangan salahkan penguasa atau rakyatnya. Hendaknya kita memuhasabah diri terhadap kesalahan, kerana tidaklah musibah yang menimpa melainkan sebab perbuatan/perlakuan kita sendiri. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar) (Surah ar-Ruum [30]: 41)

Perbuatan syirik, bid’ah, maksiat masih sering kita temui dan berleuasa di dalam masyarakat kita, sedarkah kita bahawa ini adalah salah satu sebab musibah.

Lantas bagaimana agar musibah ini dapat dihilangkan/dihapuskan atau setidak-tidaknya dapat dikurangkan? Penyelesaiannya wahai saudaraku, perhatikan firman Allah sebagai berikut:

Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan suatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri... (Surah ar-Ra’d [13]: 11)

Berusahalah agar selalu taat kepada Allah, tinggalkan dosa, insya-Allah musibah ini akan hilang, negeri menjadi makmur, dan Allah pun akan memilihkan para nyang baik. (Malik bin Dinar menceritakan bahwa Hajjaj as-Tsaqafi pernah berkata: “Ketahuilah, sesungguhnya setiap-kali kalian berbuat dosa maka Allah akan menimpakan balasannya kepada penguasa kalian.” (as-Syari’ah, hal. 38 oleh al-Ajurri))

Dikisahkan ada seorang Khawarij yang datang menemui Ali bin Abi Thalib lalu berkata:

“Wahai khalifah Ali, mengapa pemerintahanmu banyak dikritik oleh orang tidak sebagaimana pemerintahannya Abu Bakar dan Umar?!.” Sahabat Ali Menjawab:

“Kerana pada zaman Abu Bakar dan Umar yang menjadi rakyat adalah aku dan orang-orang yang sepertiku, sedangkan rakyatku adalah kamu dan orang-orang yang seumpamamu!!” (Syarh Riyadhus Sholihin, 3/43, oleh Ibnu Utsaimin). Wallahu a’lam...