“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Memaparkan catatan dengan label Fikirkanlah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Fikirkanlah. Papar semua catatan

Sabtu, November 21, 2009

Orang Miskin Tidak Hisap Rokok

Orang Miskin Tidak Hisap Rokok

http://an-nawawi.blogspot.com

Kenapa orang miskin tidak hisap rokok? Kerana:

1 – Harga rokok mahal. Tiap-tiap tahun harga makin naik. Hanya orang yang banyak duit lebih je mampu beli. Orang yang nampak miskin tapi sentiasa hisap rokok, sebenarnya dia banyak duit. Cuma duitnya banyak dihabiskan untuk beli rokok. Melainkan kalau dia paww orang lain punya.

2 – Kebarangkalian penghisap rokok untuk mendapat sakit adalah tinggi. Jadi, hanya orang yang kaya dan ada banyak duit sahaja mampu menyediakan wang sebagai persediaan menampung kos rawatan yang tinggi pada masa hadapan. Itu tak masuk lagi kos untuk orang sekeliling (keluarga) penghisap rokok yang sentiasa mendapat kesan asap.

Maka, fikir-fikirkanlah...

Khamis, November 19, 2009

Sifat Solat Nabi VS Majlis Tahlilan Cara Nabi

Sifat Solat Nabi
VS
Majlis Tahlilan Cara Nabi

http://an-nawawi.blogspot.com

Saya adalah antara pembaca yang sangat tertarik dengan hasil-hasil karya atau penulisan oleh Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani (rahimahullah). Seorang ulama hadis yang namanya begitu menyinar di era ini.

Salah satu bukunya yang begitu membuka minda dan corak berfikir adalah berjudul Sifat Solat Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam (judul Edisi terjemahan). Di dalamnya beliau memulakan dengan sebuah mukaddimah yang cukup-cukup membuka mata dan menyedarkan.

Kalam para imam terkemuka yang mazhabnya (himpunan fatwanya) menjadi panutan (ikutan) dihamparkan di lembaran-lembaran awal karya Syaikh al-Albani, Sifat Solat Nabi.

Antara yang saya ingati adalah:

Sekiranya suatu hadis itu sahih, maka itulah mazhabku. (Kalam 4 imam mazhab)

Juga:

Sekiranya kamu temui sesuatu di dalam kitabku yang bertentangan dengan hadis Rasulullah, maka ambillah hadis Rasulullah tersebut dan tinggalkanlah pendapatku. (Perkataan Imam asy-Syafi'e)

Jika kita terus membelek dari lembaran demi lembaran, nescaya kita akan temui butiran permata demi permata yang memukau penglihatan. Melainkan mereka yang terpejam hatinya, mungkin terlepas dari melihat kemilaunya cahaya sunnah yang terukir dari helaian ke satu helaian.

Kandungannya berisi penuh dengan hadis-hadis Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bagi merealisasikan perintah baginda:

Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat. (Hadis Riwayat al-Bukhari di dalam Kitab al-Azan)

Turut dipersembahkan dengan perkataan para ulama terkemuka dari era awal sehingga masa terhampir. Dengannya beliau mengutarakan kesimpulan dan hujjah bagi setiap tajuk perbahasan bukunya.

Begitulah Syaikh al-Albani membuka mata memukau para pembacanya mengajak kepada Solat yang sempurna mengikuti suluhan as-Sunnah.

Begitu jugalah kekagumanku kepada karya beliau ini. Begitu banyak mengubah corak berfikirku yang sebelum ini hanya sekadar berpuas hati dengan mengikuti tatacara ajaran mazhab pak-pak ustaz. Jika dikata A, maka ku ikutkan saja A. Jika diperintahkan B, maka aku terus B. Tanpa pernah kritis dari mana datangnya A dan B.

Begitulah karya Syaikh al-Albani tentang perihal Sifat Solat ini begitu memberi kesan ke atas diriku.

Namun, begitu jugalah sunnahnya alam ini. Jika ada peminat, ada juga yang membenci dan bersikap menentang.

Dakwaan demi tuduhan dilontarkan kepada Syaikh al-Albani sebagai penyesat. Dek kerana hasil karyanya ini tidak sebulu dengan konsep arus perdana, maka ia ditohmah dan difitnah. Diberi label dengan pelbagai nama. Di antaranya adalah dengan nama Wahhabi, sebuah nama yang entah dari mana dan entah apa kaitannya.

Dikatakan Wahhabi ini dari bicara mereka, adalah sebagai satu kelompok yang antara karektornya tidak bermajlis tahlilan dan membenci perkara-perkara kebaikan (hasanah). Dikatakan juga sebagai perosak sunnah.

Subhanallah... begitu sekali label yang diberi. Sedangkan Syaikh al-Albani ini membawakan sunnah-sunnah Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam yang mulia di dalam mana pun buku-bukunya. Setiap hasil tulisnya tidak pernah luput dari cahaya perkataan Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam.

Jadi, dari sudut mana benarnya dakwaan mulut mereka yang lancang itu?

Nah! Jika begitu, bawakan saja buku yang boleh kujadikan rujukan supaya ku ikuti Majlis Tahlilan Cara Nabi! Dengannya supaya aku tidak dilabel dengan gelar Wahhabi sebagaimana yang dipaksakan ke atas Syaikh al-Albani. Kerana dengannya kita mampu amalkan tahlilan persis sebagaimana Nabi melakukannya. Persis laksana para sahabat bertahlil untuk para sahabat yang lain.

Supaya jelas nantinya bahawa Majlis Tahlilan itu adalah benar-benar dari Sunnah Nabi kita. Apakah nanti karya yang diberi judul Majlis Tahlilan Cara Nabi itu mampu menyaingi konsep persembahan buku Sifat Solat Nabi? Dapat atau tidak misteri sunnah tahlilan itu disingkap dengan ilmiyah?

Sama-sama kita nantikan dan saksikan...

Selasa, November 17, 2009

Kismis Doa: Orang Kita Memang Kreatif

Kismis Doa: Orang Kita Memang Kreatif

http://an-nawawi.blogspot.com

(Gambar Hiasan)


Kira-kira dua minggu lepas di salah sebuah gerai makan Seksyen 2 Shah Alam. Aku bersama seorang rakan lama sedang asyik bersembang, tiba-tiba kami didatangi seorang Abang yang hendak mempromosikan barang jualannya.

Abang tersebut pun menunjukkan produk jualannya, lalu menawarkan kepada kami.

Abang: Adik, kismis doa dik. Abang jual murah je dik. Selalu kat tempat lain harga dia RM8 sebotol. Yang ni abang jual RM6 je sebotol.

Saya: Kismis doa ni kismis apa ye abang?

Abang: Kismis ni telah dibacakan dengan doa oleh Tok Guru.

Saya: Doa apa? Tok Guru mana?

Abang: Kismis ni dah dibacakan dengan doa. InsyaAllah, Kismis ni bagus... Antaranya boleh membantu adik-adik yang sedang belajar supaya mudah menerima pelajaran, terang hati, dan kuat ingatan. Selain tu, ia juga baik untuk membantu kita dari serangan penyakit-penyakit yang berbahaya. Kismis ni sudah didoakan oleh Tok-tok Guru yang hebat-hebat. Alim-alim semua orang-orangnya. Doa-doanya pun berkah...

Saya: Owh, macam tu ke? Menarik tu... Jadi, maknanya, kalau kita nak makan kismis ni dah tak perlu baca doa lah ye? Tinggal makan je lah kan?

Abang: Emmm... Tak jugak dik... Kalau adik nak makan dia, kena ikut peraturan dia yang tok guru dah senaraikan. Adik baca Bismillah, al-Fatihah sekali, dan selawat 3 kali, lepas tu adik makan. InsyaAllah, kebaikannya untuk adik.

Saya: Owh, tok guru yang susun aturannya ke?

Abang: Ye dik.

Saya: Ingatkan saya tadi ada sunnah Nabi yang tetapkan macam tu.

Abang: Tak lah dik... Ini sebagai wasilah je dik. Yang berikan hasilnya semua Allah je.

Saya: Hmmm... Ingatkan dah tak perlu baca doa tadi, sebab kismis ni dah didoakan. Emmm, tapi abang... Saya biasanya, lebih suka baca doa sendiri lah abang. Lebih yakin dan puas hati. Sebab, selain doa makan, Nabi kita pun dah banyak ajar doa yang baik-baik untuk kita amalkan. Rasanya, tak perlulah untuk saya buat masa ni, saya lebih selesa beli kismis yang RM8 dapat sekilo tu. Yang abang punya ni dapat sikit je, berapa gram je dapat. Lagi pun, saya boleh baca doa sendiri. Allah dan Rasul-Nya pun galakkan kita supaya baca doa sendiri-sendiri. Maaf ye abang...

Abang: Owh ye ke... Ok lah dik kalau macam tu. Maaf mengganggu.

Saya: Tak pe abang. Tak ganggu mana pun, sebab kitorang pun tengah tunggu makanan tak sampai-sampai ni ha...

Abang tersebut pun beredar sambil tersenyum...

Kawanku: Kenapa ko cakap macam tu kat abang tu... Kesian dia, macam kecil hati je.

Saya: Eh, tak nampak kecil hati pun. Biasa je dia aku tengok. Tapi, walau macam mana pun aku harap dia buka minda dan berfikir dengan lebih luas lagi. Orang kita ni pun satu... Tak reti entah malas nak belajar berdoa. Air paip yang harga 20 sen tu pun ada yang sanggup bayar sampai puluhan ringgit secawan semata-mata dah kena tiup dengan doa entah ustaz mana-mana entah. Ada tauliah entah tidak untuk tiup meniup doa ni... Kreatifnya lah orang kita ni kan bila buat bizness!

Kawanku: Kenapa? Apa maksud ko? Aku tak fahamlah...

Makanan yang dipesan pun sampai...

Saya: Eh, jom lah makan. Nanti ada masa aku cerita kat kau tentang hal tiup-tiup doa kat makanan dan dijadikan produk pasaran ni. Ko jangan pening-pening... Kang aku tiup doa kat ko pulak kang nanti...

Kawanku: Eh, ko kata ko pandai baca doa sendiri tadi kan? Apa kata ko bacakan doa kat nasik goreng USA aku ni? Mana tau doa ko tu ada berkah macam doa tok guru tadi.

Saya: Eh, jangan nak mengarut, ko baca ajelah bismillah... Hah, apa lagi? bedal aje lerr...

Jumaat, Oktober 16, 2009

Siapa Lagi Besar

Siapa Lagi Besar

http://an-nawawi.blogspot.com

Ketika azan berkumandang,
Laungan Kalimah Allah dikeudarakan.
Seruan Allahu Akhbar (Allahu Maha Besar)!
Allahu Akhbar (Allah Maha Besar) menerpa seluas pandangan.

Namun, apalah ertinya...
Jika maksudnya tidak dimengerti.
Seruan yang menyeru ditunaikan solat,
Tidak lagi sekuat seruan keindahan fatamorgana.
Seruan yang menyeru agar ke masjid.
Tidak lagi sekuat bisingnya hiruk-pikuk kesibukan.

Masjid begitu besar tersergam,
Bukan sedikit masjid yang besar-besar.
Tapi masih tidak cukup besar jumlah pengunjungnya.

Lihatlah betapa ramainya tidak endahkan suara itu.
Kerana mungkin jauh di lubuk hatinya,
Tertanam kalimah yang lebih besar (iaitu):

Motor aku lagi besar, kereta aku lagi besar, duit aku lagi besar, gaji aku lagi besar, isteri aku lagi besar.

Harta aku lebih besar!

Solat?! Ahh... Kemudianlah...
Itu soal kecil saja...
Boleh qodho bila-bila saja...

Khamis, Oktober 01, 2009

Dakwah Atau Kuasa?

Dakwah Atau Kuasa?

http://an-nawawi.blogspot.com

Nabi Musa 'alaihis Salam ketika berdakwah kepada Fir'aun, dia diperintahkan supaya berdakwah dengan lemah lembut.

Fir'aun pula adalah seorang pemerintah (raja) yang sangat zalim. Bahkan dia seorang yang kafir.

Di dalam teguh berdakwah kepada Fir'aun dan orang-orangnya, tidak pula Nabi Musa diperintahkan supaya menjatuhkan kepimpinan Fir'aun. Tetapi, dia hanya sekadar diperintahkan untuk mendakwahi dan menyatakan kebenaran ke atas Fir'aun.

Sedangkan, tidak pula Fir'aun mahu beriman sedikit pun melainkan penyesalan di hujung hayat yang tidak boleh diperkirakan...

Kalau Nabi Musa mahu, secara logiknya, itu bukan suatu masalah yang besar. Bahkan Allah sentiasa bersamanya, bersama seorang Nabi. Mukjizat yang diberikan oleh Allah kepadanya juga tidak terkalahkan. Bukan calang-calang!

Namun, itulah yang dinamakan prinsip. Prinsip dalam agama bukan untuk merampas takhta pemerintah sesuka hati. Tetapi, prinsip Islam memerintahkan supaya kita berdakwah kepada pemerintah dengan baik dan teguh di atas jalan yang benar.

Bukan kita malah menghanyutkan pemerintah dengan caci-maki dan hinaan. Bahkan tidak sepatutnya pula kita yang hanyut bersama kezaliman dan arus kemungkaran sang penguasa...

Tidak usah kita melampaui batas (ghuluw). Di samping berdakwah, mahu pula habuan takhta seorang pemerintah dan penguasa negara. Dakwahnya tidak seberapa, hasilnya tidak ke mana, tetapi hajat mahu kuasa pula yang berlebih... Akhirnya nanti agama yang dibawa tidak ke mana. Diri sendiri pun jahannam!

Isnin, Ogos 31, 2009

Erti Sebuah Kemerdekaan

Erti Sebuah Kemerdekaan

http://an-nawawi.blogspot.com

Erti sebuah kemerdekaan adalah merdekanya jiwa seseorang manusia itu daripada pengaruh kesyirikan. Iaitu perbuatan penyembahan kepada selain dari Allah Subhanahu wa Ta’ala hendaklah dihapuskan. Kepercayaan kepada karut-marut hendaklah dibersihkan. Kepelbagaian ritual ibadah rekaan dan ciptaan manusia hendaklah ditinggalkan.

Syirik adalah bencana terbesar yang menimpa dunia manusia di alam ini. Mereka dibelenggu dari mengerti maksud tujuan hidup yang sebenar. Mereka terhampar di lembah kegelapan yang mengusutkan, tersesat dari menemui jalan keluar yang lurus dan fitrah. Mereka tertipu dengan banyaknya jalan-jalan yang mengelirukan di kanan, kiri, serta pelbagai sudut arah lainnya yang melorong.

Tanpa berbekalkan ilmu di perjalanan, mereka tersesat… jiwa-jiwa mereka lalu terbelenggu. Mereka terperangkap di jalan-jalan syaitan. Mereka meninggalkan erti fitrah yang bersih suci. Tauhid di dalam diri ternoda. Petunjuk wahyu tidak lagi dimengerti.

Ini dapat dilihat kepada banyaknya penyembahan dan pemujaan terhadap kuburan. Jika kita melihat ke luar, di Iran atau Iraq sana, suatu tempat bernama Karbala, yang didakwa memiliki kuburan al-Hussain, betapa pelaku syirik dari kelompok Syi'ah memuja-muja kuburan tersebut. Bahkan mereka melakukan ritual ratapan dan penyembahan ke atasnya. Tidak kurang di Mesir, terdapat manusia dari kalangan sesat umat Islam yang membina rumah-rumah ibadah di atas perkuburan yang didakwa milik imam asy-Syafi'e (rahimahullah). Lalu mereka melakukan peribadatan di sana, malah dijadikan juga sebagai tempat permohonan hajat-hajat tertentu. Begitu juga di Yaman, di sebuah tempat bernama Hadramaut, di mana ramainya manusia yang bertawaf dan melakukan pemujaan di sebuah kawasan yang didakwa memiliki perkuburan milik Nabi Nuh 'alaihis Salam. Begitulah penyembahan kuburan yang masih subur berlaku di muka bumi ini. Selainnya, percayanya manusia kepada tukang ramal dan tukang-tukang bomoh. Ini juga suatu amalan yang sangat subur berlaku di serata pelusuk dunia manusia. Begitulah mereka memperhambakan nasib kepada manusia lainnya yang mendakwa mengetahui sesuatu yang tersembunyi, padahal mereka tidak lain hanyalah orang-orang sesat lagi bodoh. Penyembahan kepada bintang-bintang, api, pokok-pokok, patung-patung, matahari, bulan, dan berhala juga tidak pernah berkurang malah bertebaran di serata alam. Permohonan doa tidak lagi kepada Tuhan yang berhak tetapi dihadapkan kepada Nabi-nabi dan jasad-jasad orang-orang yang telah mati. Kepercayaan mereka kepada kehebatan firasat dan semangat ghaib juga sering menguasai kehidupan. Manusia tunduk di bawah penguasaan jasad-jasad yang lemah tanpa sedar. Terdapat juga ritual-ritual baru yang berlangsung akibat pemujaan dan penghormatan yang dilakukan ke atas tokoh-tokoh tertentu. Mereka mencipta patung-patung khusus berupa tokoh-tokoh tersebut, lalu melakukan ritual penghormatan ke atasnya seperti tabik hormat, kalungan bunga, dan seumpamanya. Sungguh, sebenarnya mereka memenjara dan membelenggu benak pemikiran dan jiwa mereka sendiri.

Mereka tidak bebas! Mereka tidak merdeka!

Begitulah berleluasanya syirik. Banyaknya manusia yang tidak lagi merdeka. Mereka tunduk dan menyerah kepada yang bukan selayaknya. Terkapai-kapai dalam kegelapan, membelenggu diri sendiri…

Dari sebab seperti itulah. Dari tujuan memurnikan tauhid dari syirik yang seperti itulah, maka para Nabi dan Rasul telah diutuskan bagi membersihkan bencana terbesar umat manusia. Peringatan turut diberi akan bagaimana kesudahan golongan manusia terdahulu yang mendustakan perintah bertauhid dan bergelumang dengan kesyirikan. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:



وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ فَمِنْهُمْ مَنْ هَدَى اللَّهُ وَمِنْهُمْ مَنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلالَةُ فَسِيرُوا فِي الأرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ


Maksud: Dan sesungguhnya Kami telah mengutus rasul pada setiap umat (untuk menyerukan): “Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thaghut (kesesatan) itu”, maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul). (Surah an-Nahl, 16: 36)

Dengan tauhid yang suci murni, bersih dari noda syirik, para Rasul menyeru dan menyatukan para manusia. Kerana, hanya dengan tauhid yang suci, manusia akan bersatu. Tunduk kepada Penguasa sebenar. Mengenal erti hidup. Dari mana dia datang, kenapa dia diciptakan, dan ke mana dia akan berakhir atau menuju.

Sebaliknya...

Dengan syirik, berpecah-belahlah kehidupan manusia yang harmoni. Kepelbagaian kelompok dan fahaman serta kepercayaan akan mencemari muka bumi. Manusia tidak lagi bersatu biar pun rupa bentuk mereka sama, lalu berpuak-puak mengikuti kesesatan dan fahaman mereka masing-masing. Sehingga saling berbunuhan, menghapuskan serta mengusai.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:


فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لا يَعْلَمُونَ (٣٠)مُنِيبِينَ إِلَيْهِ وَاتَّقُوهُ وَأَقِيمُوا الصَّلاةَ وَلا تَكُونُوا مِنَ الْمُشْرِكِينَ (٣١)مِنَ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعًا كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ


Maksud: Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada peubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui, dengan kembali bertaubat kepada-Nya dan bertaqwalah kepada-Nya serta dirikanlah solat dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah, iaitu orang-orang yang memecah-belah agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Setiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka. (Surah ar-Ruum, 30: 30-32)

Lihatlah bagaimana permusuhan terbesar kaum manusia di antara golongan Yahudi, Nashara, dan umat Islam. Sejak berzaman hingga kini, ia terus berlanjutan.

Sungguh hairan sekiranya masih ada manusia menyanjungi Islam sebagai agamanya, namun dalam masa yang sama, mereka masih boleh saling meraikan kegembiraan syi’ar agama seperti Kristian, Yahudi, Budha, Hindu, Tao, mahu pun selainnya. Lihat saja, bagaimana gelagat mereka di hari-hari kebesaran (perayaan) masing-masing. Kesyirikan saling dirai bersama...

Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman di dalam Surah al-Kafiroon... Saksikanlah di sana. Apakah kita telah melupakannya?

Dan Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman:


وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ النَّاسَ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلا يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ (١١٨)إِلا مَنْ رَحِمَ رَبُّكَ وَلِذَلِكَ خَلَقَهُمْ وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ لأمْلأنَّ جَهَنَّمَ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

Maksud: Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat, kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka. Kalimat Tuhanmu (keputusan-Nya) telah ditetapkan: Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan jin dan manusia (yang derhaka) semuanya. (Surah Huud, 11: 118-119)

Akuilah bahawa tiada penyatuan dan kebersatuan umat manusia, melainkan dengan kalimat yang satu, iaitu tauhid yang fitrah suci dan murni. Dengannyalah, kita bakal merasa sebuah kemerdekaan sejati. Terlepas dari segala bentuk belenggu kegelapan...

Bebas dari belenggu perkauman dan kepuakan. Tiada lagi ketundukkan kepada jasad-jasad yang lemah. Tiada lagi jurang di antara yang kaya dengan yang miskin, yang tua mahu pun yang muda. Dengan,

1 Tauhid: Islam diutamakan, Aqidah didahulukan...


Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:


يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ (٢٧)ارْجِعِي إِلَى رَبِّكِ رَاضِيَةً مَرْضِيَّةً


Maksud: Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. (Surah al-Fajr, 89: 27-28)

Wallahu a’lam...

Ahad, Disember 21, 2008

Di Mana Teras Kita (Foundation)?

Di Mana Teras Kita (Foundation)?

http://an-nawawi.blogspot.com

Nabi Kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, seorang yang mulia dan manusia paling sempurna di muka bumi Allah.

Beliau mendahkwahkan aqidah selama lebih kurang 13 tahun. Menghantar utusan ke sana sini atas tujuan pemurnian aqidah. Menyembah Tuhan yang satu dan meninggalkan segala bentuk kesyirikan.

Nabi Nuh ‘alaihi salam juga mendakwahkan aqidah, menyeru kepada Tuhan yang satu. Mengajak manusia meninggalkan segala bentuk kesyirikan. Dakwahnya ditolak oleh majoriti manusia, namun tetap teguh walaupun sehingga 1000 tahun kurang 50 tahun lamanya berusaha keras.

Berbeza dengan kebanyakan para pengaku da’i zaman sekarang. Kalau boleh semuanya mahu segera. Semuanya mahu ekspress.

Mahu negara Islam segera dibina. Daulah Islam segera ditegakkan. Namun sayangnya, dakwahnya kosong dari nilai aqidah yang murni. Aqidah ditolak ke belakang dahulu. Ditangguhkan untuk cerita kemudian.

Berbeza dengan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dikala orang kafir Quraisy menawarkan jawatan (kuasa pemerintahan), harta, dan pelbagai lagi kemewahan... Beliau menolaknya dan tidak hairan dengan semua itu. Ini adalah kerana aqidah ummat tidak selesai lagi. Mana mungkin manusia boleh menerima perkataannya tanpa ada pemahaman yang benar dan dakwah yang sahih. Maka, kuasa tidak akan bermakna, tidak akan utuh tanpa penyatuan di atas asas yang tepat.

Berbeza dengan kebanyakan masyarakat Islam zaman sekarang. Berbeza dengan pengaku Da’i zaman ini. Mereka mahu diberikan jawatan terlebih dahulu, mengalahkan Musa dan Harun yang menghadapi Fir’aun. Seolah-olah dakwahnya lebih hebat dari dakwahnya Musa dan Harun ke atas Fir’aun.

Mereka fikir, dengan jawatan, mereka akan mampu mengislamkan manusia. Memurnikan aqidah manusia... Jawabannya mungkin “Ya”. Itu mungkin dari satu sudut pandang sahaja. Hakikatnya? Mahu raih jawatan pun sudah menggadai prinsip Islam, inikan pula mahu bercakap menegakkan hukum Islam. Logikkah?

Fikir-fikirkanlah... kalau nak membina sebuah bangunan KLCC itu pun menghabiskan masa selama 2 hingga 3 tahun hanya untuk pembinaan dasarnya (foundation/piling). Di mana tempohnya lebih lama dari membina puncaknya. Inikan pula mahu membina kelompok umat Islam yang cemerlang dan sempurna. Maka, pembinaan dan penerapan asas tarbiyah dan tasfiyyahnya perlulah tepat dan memerlukan kesabaran di atas niat yang ikhlas.

Ingatlah, dakwah bukan diukur dengan berapa banyaknya pengikut dan terbinanya sebuah wilayah atau negara. Tetapi, ia adalah sebagai tanggungjawab. Mengajak manusia untuk beriman kepada Allah dan meninggalkan segala kesyirikan. Memurnikan segala bentuk penyelewengan aqidah. Beribadah hanya kepada-Nya dengan cara yang paling sahih sebagaimana yang dibawa oleh utusan-Nya, Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Hambar di dunia, semoga Syurga di akhirat.

Dikhabarkan dalam Shahih al-Bukhari, ada Nabi yang berdakwah hanya berjaya membawa beberapa pengikut, dan ada pula yang langsung tidak memiliki sebarang pengikut.

Apa yang penting adalah... Prinsip tetap prinsip. Kalau prinsip digadai, di mana hendak kita hadapkan muka nanti?

Pandai Bahasa Arab, Pandai Agama?

Pandai Bahasa Arab, Pandai Agama?

http://an-nawawi.blogspot.com

Ada sebahagian kelompok manusia dia memang mahir berbahasa arab. Tetapi terdapat satu kelemahan pada dirinya. Iaitu dia gemar memperkecilkan orang lain yang tidak pandai berbahasa arab.

Dia menyatakan dan membuat seakan sebuah “standardize”, sekiranya mahu bercakap tentang perkara agama, mesti pandai bahasa arab, baru boleh baca kitab asli.

Tapi, peliknya, dia yang sudah mendabik dada pandai berbahasa arab itu sendiri pun malas mahu baca kitab arab dan melakukan rujukan rupanya. Buktinya adalah apabila diberikan rujukan atau footnote, dia tidak pernah tahu untuk menela’ah sendiri rujukan yang diberi. Cakap tak serupa bikin.

Kalau setakat pandai bahasa arab, Abu Jahal pun pandai berbahasa arab. Tetapi ke mana dia? Bagaimana juga Umaiyah bin Khalaf? Berapa ramai orang yang bijak berbahasa arab tetapi mati kafir dan tidak kurang juga yang sesat!

Adakah bahasa arab mestinya membawa manusia ke jalan yang benar? Tahukah kita di masa zaman Nabi bersama para sahabatnya, berapa ramai di antara mereka yang ummi (tidak tahu membaca)? Malah yang buta tidak dapat melihat pun ramai. Namun, hati mereka dipenuhi dengan keimanan dan tauhid yang murni.

Itulah hakikatnya, keimanan bukan ditentukan dari kebijaksanaan berbahasa Arab. Bukan juga dari kepetahannya berbicara. Tetapi kemahiran berbahasa arab tetap sebuah kelebihan. Jika kita menguasai bahasa Arab, gunakanlah dengan sebaiknya. Manfaatkanlah. Bukan malah menyesatkan diri sendiri dengan bersifat sombong yang bakal mengundang kesyirikan.

Isnin, November 10, 2008

“Holy Water” Versi Orang Melayu

“Holy Water” Versi Orang Melayu

http://an-nawawi.blogspot.com/

Kalau suatu ketika atau mungkin sehingga masa ini, nama Holy Water (Air Keramat) memang cukup terkenal sebagai air sihir yang dikatakan dihasilkan oleh golongan paderi dari kalangan penganut kristian. Sebahagian masyarakat Islam khususnya dari kalangan orang Melayu pernah menggembar-gemburkan isu air tersebut (Holy Water) yang dikatakan memiliki kuasa tertentu yang mampu menjadikan seseorang penganut Islam yang meminumnya murtad dengan serta-merta akibat dari melupai Allah, gagal membaca syahadah, dan lantas membenci agama asalnya. Tetapi sebaliknya akan terus berminat kepada agama kristian dan menganutinya.

Nah! Betapa hebatnya air Holy Water!

Namun sayangnya, fakta-fakta tersebut telah disangkal sendiri oleh para paderi kristian sekaligus menafikan kewujudan air sihir yang bersifat seperti itu. Seandainya ia benar sekalipun, ia tidak akan mampu memudharatkan umat Islam kerana Allah Subhanahu wa Ta’la telah berfirman,

“Dan mereka itu (ahli sihir) tidak memberi mudharat dengan sihirnya kepada sesiapa pun, kecuali dengan izin Allah.” (Surah al-Baqarah, 2: 102)

“Dan tidak akan menang tukang sihir itu, dari mana saja ia datang” (Surah Thoha, 20: 69)

Secara logiknya, sekiranya Holy Water tersebut benar-benar wujud sebagaimana dikata yang memiliki kuasa sihir untuk mempengaruhi manusia memeluk kristian, sudah tentu tidak akan ada orang kristian yang akan masuk Islam. Tetapi itulah hakikatnya, di mana puluhan ribu manusia penganut kristian boleh memeluk Islam dengan sukarela saban waktu. Sehingga paderi-paderi mereka pun ramai yang mendapat hidayah memeluk Islam dan kini giat menjadi pendakwah yang mengajak orang lain menganut Islam.

Setelah kewujudan air “Holy Water” kristian itu menjadi reda, air “Holy Water” buatan orang melayu masih belum reda malah semakin menyubur sehingga ke masa ini.

Holy Water milik masyarakat melayu ini dikatakan mampu menjadikan seseorang yang asalnya malas menjadi rajin, si bodoh boleh menjadi bijak, orang yang gelap hatinya akan menjadi ulama, orang yang selalu gagal boleh menjadi manusia berjaya, orang bujang boleh segera bertemu jodoh, malah sehingga boleh menjadikan seseorang yang sakit tenat kembali sihat. Sehingga terdapat Holy Water dengan ramuan-ramuan yang tertentu mampu membantu mengubati sehingga penyakit jantung dan buah pinggang yang kronik.

Begitulah keajaiban Holy Water versi melayu. Ia bukanlah suatu yang ditakuti sebagaimana kewujudan Holy Water versi kristian. Tetapi, Air keramat versi melayu ini adalah air yang menjadi buruan masyarakat yang benar-benar belum mengerti yang mengejar keajaiban segera. Mereka sebenarnya menjadi mangsa oleh golongan agamawan yang merosakkan.

Malah, kini ia bukan lagi setakat air, tetapi produk ini kini diperluaskan lagi ke dalam bentuk lainya seperti melalui “Kismis Keramat”, “Madu Keramat”, dan seumpamanya. Produk-produk ini kini memiliki nilai komersil yang begitu hebat sekali.


Akhirnya, cara menghasilkan air-air keramat dan produk-produk keramat itu kian terbongkar! Caranya amat mudah iaitu hanya dengan memanggil mana-mana orang berpangkat tok-tok guru atau ustaz-ustaz tertentu supaya mereka membacakan doa-doa tertentu, atau jampi-jampi tertentu, atau dengan mana-mana ayat-ayat suci al-Qur’an atau kebiasaannya surah Yasin, pada produk-produk tersebut. Setelah dibacakan pada produk tersebut, maka ianya akan dibungkuskan untuk dipasarkan kepada para pengguna atau pembeli yang mengkehendakinya. Malah ada juga produk seperti madu asli yang khas dibacakan dengan 30 Juzuk al-Qur’an oleh Ma’had-ma’had tahfiz tertentu bagi menjadikan madu tersebut lebih “power” (memiliki nilai tambah) berbanding madu asli yang lainnya. Malah dengan bacaan tersebut, akan menjadikan madu tersebut memiliki kuasa terapi dan daya penyembuhan yang lebih dasyat. Sehingga mampu memberikan keajaiban segera kepada para peminumnya. Wallahu a’lam.

Namun, tidak pula kita temui daya tambah yang seperti itu melalui kalam Rasulullah... wallahu a’lam. Meminum madu itu sememangnya anjuran sunnah, sayangnya tidak pula Rasulullah Shalallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan atau menunjukkan kaedah nilai tambah sebagaimana yang tersebut.

Sehinggakan saya sendiri pernah melihat ada sebahagian majlis-majlis bacaan yasin (yasinan) dan majlis-majlis tahlil (tahlilan) yang menyediakan air dalam jumlah-jumlah tertentu dengan diletakkan pada bekas-bekas tertentu yang kebiasaannya botol-botol bersaiz bekas mineral water, diletakkan pada kedudukan di tengah-tengah lingkaran majlis tersebut diadakan. Lebih menariknya, apabila bacaan/majlis hendak dimulakan, penutup bekas (atau botol) akan dibuka dan setelah tamat majlis, penutup botol akan ditutupkan semula. Kemudiannya air-air tersebut akan diagih-agihkan dan diminum dengan hasrat akan memberi keberkatan dan penerang hati kepada si peminumnya.

Malah, selain dari majlis itu, air-air seperti itu kini kian menjadi suatu bahan produk yang benar-benar memiliki nilai yang tinggi hasilnya. Serta memiliki nilai permintaan yang begitu tinggi di negara kita. Sekaligus mampu memberikan hasil pendapatan yang lumayan kepada para penjualnya.

Begitulah betapa telah meluasnya produk-produk ganjil dan aneh tersebut di dalam pasaran negara kita hari ini. Semuanya tidak lain, ianya wujud dan menjadi begitu “demand” disebabkan oleh kejahilan sebahagian masyarakat kita terhadap agama.

Jikalah benar para ustaz dan tok-tok guru tersebut ikhlas mahu membantu, apalah salahnya sekiranya dijampikan saja air sebanyak di lautan, air sepanjang sungai, air-air di empangan milik jabatan bekalan air, selebar air di tasik-tasik, air setelaga, beras di gudang-gudang, dan padi yang sedang menguning di sawah-sawah padi. Cara seperti ini lebih membantu, malah hasilnya kelak bakal diterima oleh keseluruhan masyarakat dengan lebih komprehensif dan adil. Kebaikannya bakal dapat dirasai bersama. Sama ada masyarakat yang miskin atau kaya. Yang mengetahui atau yang tidak mengetahui. Lalu, akan cerdik agama, bijak bestari dan sihat-sihat belakalah seluruh masyarakat kita lantaran berkatnya Holy Water versi melayu tersebut. Akhirnya, seluruh negara akan mendapat manfaatnya. Nescaya akan cemerlang, gemilang dan terbilang masyarakat kita di Malaysia dengan berkatnya Holy Water versi melayu tersebut. Kelak akan lahirlah bijak pandai Melayu yang bakal menerima anugerah Nobel di peringkat antarabangsa, dan apabila ditanya tentang rahsia kejayaannya, maka jawablah, “Saya mengamalkan memakan madu keramat atau air penerang hati atau mungkin juga kismis doa!”

Tidak dinafikan memang wujud hadis-hadis yang menunjukkan kepada adanya persoalan ruqyah dan jampi. Namun bukanlah sehingga diperluaskan skopnya kepada semua persoalan dan malah sehingga ianya dikomersilkan (dipasarkan).

Perlu untuk kita fahami sesuatu konsep itu dengan betul. Bahawa orang yang jahil (bodoh), ubatnya adalah dengan menuntut ilmu, orang yang gelap hatinya adalah dengan mempelajari al-Qur’an dan hadis, ubat bagi sebuah kegagalan adalah dengan meningkatkan daya usaha dan perancangan, orang yang malas ubatnya adalah dengan motivasi dan galakkan, orang yang sakit adalah dengan berjumpa doktor. Jangan kita brputus asa, Malah Allah memberi ruang kepada kita agar sentiasa berdoa memohon kepadanya.

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah ar-Ra’d, 13: 11)

Mungkin ada sebahagian penyakit seperti kerasukan jin atau terkena sihir, bolehlah dia diruqyah iaitu diberi rawatan dengan cara terapi jampi berpandukan petunjuk as-Sunnah. Iaitu dengan doa-doa tertentu yang tsabit dari as-Sunnah dan dengan membaca ayat-ayat suci al-Qur’an tertentu. Namun, perlulah merujuk dengan kaedah yang benar-benar sahih dari petunjuk Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Bukannya main hentam kromo mengikut hawa nafsu yang kemudiannya dijadikannya sebagai produk meraih keuntungan. Bukanlah juga dengan sekadar membeli air pelbagai kegunaan cap “tok ustaz” di pasaran lalu diberikan kepada anak-anak yang sedang demam, anak yang mahu mengambil peperiksaan, anak-anak yang mahu menambah daya hafalan, dan seumpamanya.

Cara yang terbaik adalah si pesakit (yang mengalami gangguan) mengubati dirinya sendiri berpandukan zikir-zikir atau doa-doa yang ditunjuk-ajarkan oleh baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melalui hadis-hadisnya yang sahih. Di samping itu, mereka sendirilah yang perlu mengubah cara hidupnya iaitu dengan cara memperbaiki amal-amalnya, menjauhi syirik (sentiasa memelihara aqidah), dan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah. Tidak lupa supaya dia sentiasa membaca, meneliti, serta mengamalkan isi kandungan al-Qur’an di mana pun dia berada. Jangan sehingga menjadikan rumahnya seperti kawasan kuburan yang tidak dibacakan al-Qur’an. Begitulah indah dan mudahnya mengamalkan Islam. Ia dipraktikkan berdasarkan ilmu dan keikhlasan.


Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman, “Sesiapa yang beramal soleh, sama ada dari lelaki atau perempuan, dan ia sentiasa di dalam keadaan yang beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang telah mereka kerjakan.” (Surah an-Nahl, 16: 97)

Berdoalah dan mintalah kepada Allah dengan istiqomah dan menjauhi perbuatan-perbuatan yang menjurus kepada syirik. Mintalah kepada Allah dengan bersungguh-sungguh tanpa putus asa. Allah itu Maha Mendengar, Maha Pemurah, Maha Penyayang, dan Maha memperkenankan doa. Dia sentiasa dekat dan memberikan pertolongan kepada hamba-hambanya yang beriman.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman, “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Surah al-Baqarah, 2: 186)

Maka, dengan ini, tinggalkanlah air-air keramat berupa produk-produk yang boleh menjadikan kita sebahagian dari pengikut hawa nafsu! Berubahlah dengan menjadi manusia yang beragama berpandukan ilmu.

Selasa, Oktober 28, 2008

Wajah-Wajah Agama 3 - Berhala Di Rumah & Kedai Orang Islam

Wajah-Wajah Agama 3 - Berhala Di Rumah & Kedai Orang Islam

http://an-nawawi.blogspot.com

Ramai orang Islam kita sekarang ini seakan-akan semakin berminat dan begitu gemar sekali meletakkan, memaparkan, atau menggantungkan gambar-gambar mereka, gambar keluarga mereka, atau ahli-ahli keluarga mereka sama ada yang telah meninggal dunia atau pun yang masih hidup di dinding-dinding rumah mereka. Malah, mereka memperbesarkan wajah-wajah gambar tersebut kepada size-size tertentu atas alasan sebagai kenangan dan melahirkan perasaan-perasaan tertentu sama ada perasaan semangat atau memori tertentu. Inilah di antara cara mereka menghias dan mengimarahkan (menyerikan) rumah-rumah mereka.

Malahan sebahagian mereka ada yang menggantungkan gambar-gambar wali-wali yang entahkan dari mana mereka meraih gambarnya. Mereka membayangkan gambar tersebut sebagai Wali Songo, gambar Abdul Qadir Jailani, Tok kenali, dan mungkin juga gambar Tok-Tok Guru mereka atau tokoh-tokoh pejuang mereka yang menurut mereka mampu melahirkan semangat perjuangan Islam dan sebagai lambang mengenang kehebatan serta jasa-jasa mereka.

Namun, lebih teruk lagi, ada pula yang meyakini bahawa gambar-gambar ini mampu membantu mereka beroleh berkah dan kejayaan/keuntungan dalam perniagaan yang mereka jalankan. Tidak hairanlah jika kita melihat di sebahagian kedai-kedai umat Islam terutamanya di sekitar Kedah dan Selangor yang kelihatannya banyak sekali menggantungkan gambar-gambar tokoh-tokoh silam tertentu. Di mana sebenarnya di sana mereka turut menyertakan dengan iktikad-iktikad (kepercayaan) tertentu bersekali dalam penggantungan gambar-gambar tersebut. Ketahuilah bahawa perbuatan ini adalah antara perbuatan yang membawa kepada syirik yang sangat besar!

Kita berbalik kepada menggantung gambar. Tanpa disedari, sedikit sebanyak telah berlaku kesilapan dan kesalahan yang tidak kurang besarnya dalam persoalan ini yang telah mereka lakukan. Perkara tersebut kebanyakannya berlaku di rumah-rumah kediaman mereka. Termasuklah juga sebahagiannya di kedai-kedai dan premis-premis perniagaan mereka.

Kalau sebelum ini kita mungkin biasa melihat patung-patung dan gambar berupa manusia atau makhluk bernyawa berbentuk seperti manusia berupa gajah, manusia berupa monyet, patung bernama Dewa Erlang, atau pun manusia berekor serta bertangan banyak di tempat-tempat kediaman orang bukan Islam (orang kafir) serta mungkin juga kita boleh lihat dengan mudah apabila datang ke premis-premis perniagaan mereka.

Malah jika di gereja-gereja pula, kalau mungkin kita pernah mengetahui, ada sebahagian gereja, mereka akan meletakkan potret atau lakaran gambar yang mereka anggap sebagai Nabi ‘Isa (Jesus), Mariam (Mary), atau juga Mother Teressa. Tidak lain, itu semua adalah sebagai berhala-berhala mereka yang dijadikan sebagai bahan atau perantaraan untuk beribadah.

Kini, semakin berleluasa di kediaman-kediaman orang Islam terutamanya di negara kita, mereka pula yang menggantungkan gambar-gambar manusia dan makhluk-makhluk bernyawa. Malah, saya sebagai pelajar, pernah juga ke rumah-rumah kediaman pelajar yang lain bahawa betapa mereka menggemari satu-satu watak sama ada watak dalam filem, video games, dan tokoh-tokoh tertentu itu sehinggakan mereka turut menterjemahkan pengangungan (fanatik) mereka dengan cara menggantungkan gambar-gambar watak tersebut di dinding-dinding kediaman mereka. Malah sehingga di setiap meja-meja tulis mereka juga turut disematkan dengan patung-patung berkaitan watak yang mereka gemari. Mungkin di sana sebagaimana yang saya maklum sebahagiannya adalah seperti watak Naruto, Budak Getah, Dragon Ball, wanita sexy, dan Mickey Mouse. Ini mungkin di peringkat pelajar-pelajar kita di kampus. Jika melihat di kediaman-kediaman mereka yang berkeluarga & berkerjaya, mungkin berbeza pula watak yang mereka gantungkan dengan gambar-gambar yang lain.

Sewajarnya kita mengetahui bagaimanakah pesanan Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam persoalan gambar ini yang antaranya melalui hadis-hadisnya sebagaimana berikut,

Daripada Ibnu ‘Abbas, dia menjelaskan bahawa “Nabi pernah memasuki Ka’bah dan menemui di dalamnya (lukisan) gambar Nabi Ibrahim dan Mariam. Kemudiannya beliau berkata, “Benda apa ini? Bukankah mereka mengetahui bahawa malaikat (pembawa rahmat) tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya mengandungi gambar (makhluk bernyawa); termasuklah gambar (Nabi) Ibrahim ini. Dan kenapa dia digambarkan sedang mempraktikkan meramal dengan anak panah?”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab Para Nabi (4/55), no. 570)

Daripada Abu Talha, “Aku mendengar Rasulullah berkata, “Malaikat (Pembawa Rahmat) tidak akan memasuki rumah yang di dalamnya ada anjing atau gambar yang berupa dari makhluk bernyawa”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab Penciptaan (4/54), no. 448)

Hakikat dan realitinya, umat Islam kelihatan seakan-akan mengabaikan dan meremehkan persoalan gambar ini. Ditakuti akhirnya nanti kita pula yang akan menuruti jejak langkah Kaum Yahudi, Nashrani, Budha, Hindu, dan seumpamanya dalam persoalan gambar ini sehinggakan kita pula turut membina berhala sendiri iaitu dengan bermula melalui pengangungan (fanatik) kepada watak-watak yang terdapat di dalam gambar-gambar yang kita sematkan.

Wallahu a’lam.

Nawawi Subandi, 12:40p.m., 28 Oktober 2008.
Bandaraya Anggerik, Shah Alam, Selangor.

Selasa, Julai 15, 2008

Pemimpin Atau Rakyat?

Pemimpin Atau Rakyat?

http://an-nawawi.blogspot.com

Kita selalu mahukan pemerintah dan barisan pemimpin yang baik sebagaimana hebatnya pentadbiran Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali radhiyallahu ‘anhum.

Tetapi kita selalu lupa, kenapa tidak terlebih dahulu kita menjadi sebaik sebagaimana para rakyat di zaman Abu Bakar, Umar, Usman, dan Ali radhiyallahu ‘anhum.

Kita selalu mengharapkan yang terbaik itu dari orang lain untuk kita. Tetapi kita sendiri melupakan kebaikan dari diri sendiri kepada orang lain bahkan kepada diri sendiri. Kita juga melupakan sunnah-sunnah yang dipengangi oleh para sahabat di zaman khulafa’ur rashidin, tetapi dalam masa yang sama kita sibuk memperkatakan bahawa orang lain tidak menegakkan sunnah dan tidak kembali kepada al-Qur’an.

Begitu jugalah dengan para pemimpin, sebelum mahu rakyat menjadi baik. Wajarlah bertindak untuk membimbingi dan menaungi masyarakat dengan baik.

Apa yang mahu saya simpulkan, setiap individu memiliki tanggungjawabnya sendri terhadap diri, keluarga, masyarakat, dan Tuhannya. Jika setiap insan boleh memahami tanggungjawabnya masing-masing berdasarkan manual yang Tuhan berikan, insyaAllah, segalanya mampu berjalan lancar dan harmoni walaupun siatuasi cabarannya begitu hebat seakan-akan seperti di zaman para nabi.

Dari 'Auf bin Malik, katanya: “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Pemimpin-pemimpin pilihan di antara engkau semua ialah orang-orang yang engkau semua mencintai mereka dan mereka pun mencintaimu semua, juga yang engkau semua mendoakan kebaikan untuk mereka dan mereka pun mendoakan kebaikan untukku semua.

Adapun pemimpin-pemimpin yang jahat di antara engkau semua ialah orang-orang yang engkau semua membenci mereka dan mereka pun membenci padamu semua, juga yang engkau semua melaknat mereka dan mereka pun melaknat padamu semua.” 'Auf berkata: “Kita para sahabat lalu berkata: “Ya Rasulullah,apakah kita tidak boleh menentang kepada pemimpin-pemimpin yang sedemikian itu? Beliau s.a.w. bersabda: “Jangan menentang mereka, selama mereka masih tetap mendirikan solat di kalanganmu semua.” (Hadis Riwayat Muslim)