“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Sabtu, Disember 13, 2008

Jom Keluar (Khuruj) 3 Hari???

Jom Keluar (Khuruj) 3 Hari???

http://an-nawawi.blogspot.com

Beberapa bulan yang lalu, saya pernah diajak oleh beberapa orang sahabat untuk supaya keluar tiga (3) hari. Dengan tujuannya adalah untuk belajar agama, memperkuatkan keimanan dan meningkatkan amalan. Di samping itu, katanya kita akan dapat berjumpa dengan alim ulama yang datang dari pelbagai tempat.

Sahabat-sahabat saya ini memang kerap keluar ke tempat-tempat tertentu atas tujuan tersebut sebagaimana yang mereka maklumkan. Mereka kebiasaannya akan keluar sekurang-kurangnya 1 atau 2 hari bagi yang baru berjinak-jinak dengan kumpulan ini.

Pernah saya di-ajak,

“Nawi, jom lah kita cuba keluar. Enta cuba sehari je dulu, tengok macam mana nanti.”

“Kalau tak dapat sekarang, sekurang-kurangnya enta tanamkan azam dulu untuk keluar satu hari atau tiga hari. InsyaAllah, Allah akan bagi kelapangan kepada enta.”

“Seperti sahabat-sahabat yang lain ada yang sudah biasa keluar 3 hari. Dan untuk cuti akan datang ni mereka semua berazam untuk keluar empat puluh (40) hari.”

“Malah ada sahabat-sahabat kita yang telah pun keluar sehingga tiga atau empat bulan ke negara-negara lain seperti India, Pakistan, Bangladesh, dan Australia untuk berdakwah. Dengan jalan keluar seperti inilah kita berupaya untuk melihat semula jalan dakwah para Nabi. Kita dapat berusaha menambahkan iman dan meningkatkan amalan. Mengajak sahabat-sahabat kita yang lain untuk mengikut jejak Nabi dan sahabat-sahabatnya. Kita ikut cara Nabi.”

Saya hanya mampu berkata kepada mereka,

“Saya memang mahu keluar lebih jauh lagi. Tetapi, memandangkan sudah tujuh tahun saya keluar meninggalkan kampung halaman sehingga ke Arau Perlis selama tiga tahun, dan sekarang sudah di Shah Alam selama empat tahun, saya kira saya mahu pulang menetap di kampung halaman semula bersama-sama keluarga tersayang. Kerana, amat-amat jarang sekali saya pulang ke kampung halaman sejak tujuh tahun kebelakangan ini. Alhamdulillah, selama tujuh tahun saya keluar, banyak perkara dapat saya pelajari selain dari perkara akademik. Banyak jalan yang Allah tunjuk kepada saya dan telah saya lalui (termasuk bersama kelompok Tabligh). Biarlah jika saya mahu keluar lagi, dengan berbekalkan ilmu dari dalil-dalil dan kefahaman yang jelas.”

Saya pernah katakan kepada mereka,

“Apakata kita keluar bersama-sama sahabat-sahabat saya yang lain untuk mengikuti pelbagai jenis kelas pengajian agama berkaitan Aqidah, fiqh, hadis dan seumpamanya. Tidak lama, sebentar saja, hanya mengambil satu jam atau dua jam dalam seminggu. Atau mungkin kita letakkan sehari dalam seminggu atau sebulan untuk pergi ke kuliah-kuliah hadis atau seumpamanya. Kita boleh buka kitab-kitab Mazhab Syafi’i, kita hadis al-Bukhari, juga kitab-kitab lainnya seperti kitab sirah.”

Namun, sedikit sekali yang mahu mengikutinya dari kalangan mereka. Kerana mungkin, mereka hanya mahu keluar dengan berpandukan cara-cara yang telah kelompok-kelompok mereka garis dan tetapkan sahaja.

Wallahu a’alam, sekadar sedikit catatan berhadapan dengan mereka yang berfikrah Tabligh.

Parti Islam, Negara Islam???

Parti Islam, Negara Islam???

http://an-nawawi.blogspot.com

Sungguh suatu ketika kita sering kedengaran bahawa mereka pernah mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara kafir (bukan negara Islam). Mungkin kurang dari itu, dan lebih sopan lagi, mereka mengatakan Malaysia negara sekular.

Namun anehnya, mereka menyanjung tinggi Iran sebagai Republik Islam.
[1] Iran sebagai sebuah negara Islam contoh! Mereka mengakui Sang Khomeini laknatullah sebagai seorang Imam tokoh revolusi (mujaddid) di dalam Islam yang wajar dihormati dan didoakan rahmat ke atasnya.[2] Hakikatnya, dia bukanlah Ayatullah (tanda-tanda Allah) Khomeini, tetapi Ayatus Syaithon (tanda-tanda Syaithon)![3]

Melabelkan negara sendiri (Malaysia) sebagai kafir, sekular, dan seumpamanya. Yang negara sendiri masih melaungkan azan yang baik dan syi’ar solat berjama’ah yang diimarahkan.
[4] Tetapi kenapa mahu menyanjung pula negara yang cukup-cukup diragui status agamanya sebagai “Republik Islam”. Yang mana negara tersebut terpenuhi dengan kalam ulamanya yang mencela dan mencaci para sahabat-sahabat Nabi kita yang diredhai.[5] Yang menzahirkan solat dan azannya cukup-cukup berbeza dari apa yang dibawakan oleh para salaf kita yang mulia. Yang menjadi pendukung-pendukung negaranya adalah Syi’ah Rafidhah yang melancarkan perang di serata tempat terhadap masyarakat Ahlus Sunnah[6]...

Jadi, di mana letak akalmu???

Footnote:

[1] Boleh juga dilihat sebahagian pernyataan mereka di sini: http://bahaya-syirik.blogspot.com/2008/06/065-apakah-orang-orang-pas-masih-tidak.html
[2] Ibid.
[3] Rujuk Kuliah “Konspirasi Syi’ah & Yahudi”, Armen Halim Naro. http://an-nawawi.4shared.com
[4] Rujuk artikel: Kriteria Asas Sebuah Negara Islam, http://an-nawawi.blogspot.com/2007/07/kriteria-asas-sebuah-negara-islam.html
[5] Sila teliti di dalam buku-buku seperti berikut: 1 - asy-Syi’ah was Sunnah, Dr. Ihsan Ilahi Zahir, Idarah Tarjuman as-Sunnah, Lahore (Pakistan). 2 – Risalatun fir Raddi ‘alal Rafidhah, Muhammad Abdul Wahhab, Darul Atsar, Yaman. 3 – Jawapan Ahl al-sunnah Kepada Syi’ah al-Rafidhah..., Kapten Hafiz Firdaus Abdullah, Perniagaan Jahabersa, Johor Baru (Malaysia). 4 – Komeini - A Moderate or a Fanatic Shi’ite, Dr. Abdullah Muhmmad Ghareeb, Pustaka Ushamurni, Kuala Lumpur (Malaysia).
[6] Komeini - A Moderate or a Fanatic Shi’ite, Dr. Abdullah Muhmmad Ghareeb, Pustaka Ushamurni, Kuala Lumpur (Malaysia).

Wahai Manusia Parti

Wahai Manusia Parti
(Dari Kumpulan Berlabel Parti Islam)!

http://an-nawawi.blogspot.com/

Wahai orang-orang parti politik!
Suatu ketika pernah kalian bersuara lantang,
Bergegar bumi mahu menegakkan negara Islam,
Namun kini, di mana itu semua?

Wahai orang-orang parti-parti politik!
Yang mahu menegakkan daulah Islamiyah,
Tetapi tidak mahu menegakkan tauhid.

Wahai orang-orang parti-parti!
Yang mahu menegakkan daulah Islamiyah,
Tetapi berganding bahu bersama pemusnah Islam.

Wahai orang-orang parti-parti!
Yang mahu menegakkan hukum qisas dan potong tangan,
Tetapi tidak mahu menegakkan hukum di hadapan pelaku syirik.
Meraikan sang syi’ah, muktazilah, khawarij, asya’irah, sufi, sekular, liberalisme...

Wahai orang-orang parti-parti!
Yang mahu membina jama'ah mapan kuat berjihad,
Tetapi sarang mu terpenuhkan dengan sang syi’ah, muktazilah, khawarij, asya’irah, sufi, sekularisme, liberalisme...
Yang akhirnya mebuahkan Neo-Pluralisme.

Wahai orang-orang parti-parti!
Yang bergaduh berebut selembar tanah jajahan,
Tapi tidak menyedari aqidah luput melayang.
Membiarkan dalil dan prinsip dipijak-pijak.

Wahai orang-orang parti-parti!
Yang mahu meninggikan syi’ar Islam,
Tetapi kelompok mu tempat bersarangnya bid’ah.
Tempat bersarangnya pencemaran aqidah,
Lubuknya kecelaruan dalam beragama.

Wahai orang-orang parti-parti!
Kasihanilah pengekor-pengekor (pengikut) mu,
Yang mendambakan ilmu dan tauhid yang murni,
Tetapi, perasaan amarah dan emosi yang kau terapkan.

Wahai orang-orang parti-parti!
Mari kita buka kitab para salaf,
Kita bersama cari ilmu untuk beramal,
Kembali di atas pijakan salafush soleh.
Meninggalkan kefahaman ala-jahiliyyah!

Jumaat, Disember 05, 2008

Kuliah Sehari: “Pesanan-Pesanan Terakhir Rasulullah Shallallahu ‘alahi wa Sallam”

-------@@@----@@@----@@@-------
Daurah Sehari (25/12/2008):
“Pesanan-Pesanan Terakhir Rasulullah Shallallahu ‘alahi wa Sallam”
- Pusat Pengajian al-Faqeh -
-------@@@----@@@----@@@-------

1 - Bersama kita menyingkapi dan menyelami pesan-pesan (wasiat) Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam kepada umatnya berkenaan perlunya berpegang teguh di atas Kitabullah dan Sunnahnya serta sunnah Khulafa’ur Rasyidin. Pesanannya kepada kita supaya berdiri teguh di atas manhaj para sahabat Salafus Soleh.

2 - Menjauhi perpecahan dan bersatu di atas jalan yang satu iaitu jalan yang beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan para sahabatnya berada di atasnya, dengan memahami konteks aqidah yang sahih dari sudut rububiyah, uluhiyyah, dan sekaligus membersihkan masyarakat dari unsur-unsur syirik dan penyimpangan di dalam agama.

3 - Dengan ini seterusnya mengajak kita agar berhati-hati dengan kepelbagaian perkara baru yang diada-adakan di dalam agama yang murni sedangkan Allah sendiri telah cukupkan Islam untuk kita semua tanpa perlu kita menokok tambah.

4 - Semoga program yang kami rangkakan ini bakal membuka minda serta pemikiran kita semua supaya kembali mengambil, memegang, dan mengamalkan agama (Islam) itu di atas prinsip-prinsip yang benar-benar sahih. Iaitu memahami agama berlandaskan al-Qur'an dan as-Sunnah di atas kefahaman 3 generasi terawal dari golongan para Sahabat, Tabi'in, dan Tabi' at-Tabi'in. Sekaligus berusaha membersihkan dan menghapuskan kefahaman agama yang dibina/didirikan di atas kefahaman akal, hawa nafsu, emosi, dan semangat kepuakkan.

5 - Dengan ini, kami menjemput dan mengalu-alukan anda untuk:

Bersama:
- Ust. Abu Ihsan al-Atsari -

(Seorang pendakwah yang bergiat aktif di banyak negara seperti Jepun, Amerika, Australia, Malaysia, dan terutamanya Indonesia. Juga seorang yang mengetuai barisan panel penterjemahan kitab-kitab induk di bawah Penerbit Pustaka Imam asy-Syafi’i. Juga aktif bersama beberapa pustaka yang lain seperti Pustaka an-Naba' dan Pustaka at-Tibyan. Di antara kitab-kitab besar yang telah beliau terjemahkan adalah seperti Tafsir Ibnu Katsir (oleh Imam Ibnu Katsir), al-Ibanah al-Ushul ad-Diyanah (Kitab Milik Imam Abu Hasan al-Asy'ary), serta banyak lagi kitab-kitab yang selainnya yang kini telah menjelajah ke segenap pasaran utama di serata Indonesia dan Malaysia. Kini, antara projek penterjemahan besar yang sedang giat beliau jalankan bersama Pustaka Imam asy-Syafi'i adalah menterjemahkan Kitab besar milik al-Hafiz Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani (tokoh besar dalam bidang fiqh dan hadis Mazhab asy-Syafi'i), iaitu kitab Fathul Bari, Syarah kepada Shahih al-Bukhari)

Bertempat di:
- Pusat Pengajian al-Faqeh -
35-A, Jalan Cokmar 1, Taman Mutiara, Bukit Raja Off Jalan Meru, 41050 Klang, Selangor.

Pada (Tarikh/Hari):
25 Disember 2008 (Cuti Umum)
(Hari Khamis)

Masa:
Dari jam 9:30pg – 5:00ptg

Bayaran penyertaan:
RM25.00 Seorang (Termasuk Nota/Buku dan Makan/Minum)

Untuk menyertai:
Hubungi Saudara Adi Negara, 016-2091531 atau Nawawi, 013-3701152. Tarikh tutup penyertaan, sebelum atau pada 22 Disember2008. Terhad kepada peserta lelaki sahaja (buat masa ini).

Untuk Update dan informasi terkini program ini:
Sila kunjungi http://an-nawawi.blogspot.com/

Jumaat, November 21, 2008

SEHARI MEMBEDAH BUKU “SEJARAH PEMIKIRAN 1”

SEHARI MEMBEDAH BUKU
“SEJARAH PEMIKIRAN 1”

Menyingkap Rahsia Sains & Politik Yang Disembunyikan. Wujudkah Fakta-Fakta Sains Yang Dirahsiakan dan Diselewengkan? Konspirasi Di Dalam Sains Perubatan, Penyelewengan Mata Wang, Siapa Di Sebalik Semua Itu? Merungkai Bagaimana Ianya Boleh Berlaku, Bersama:

Dr. Sulaiman Nordin (Penulis)

Pada 30 November 2008, Hari Ahad, Dari Jam 9:30 pagi - 4.00 petang, Bertempat di Akademi Pengajian al-Faqeh, 35-A, Jalan Cokmar 1, Taman Mutiara, Bukit Raja Off Jalan Meru, 41050 Klang, Selangor.

Jom Daftarkan Nama Anda Untuk Bersama-sama Membedah Buku Tersebut. Rm15* Untuk Setiap Penyertaan. Potongan Harga Untuk Pembelian Buku Dengan Setiap Penyertaan. Hubungi 013-3701152 (Nawawi), Atau 016-2091531 (Adi Negara).


* Jamuan Makan & Minum Disediakan Untuk Peserta.

Jumaat, November 14, 2008

Al-Qur’an Sebagai Penawar Dan Rahmat Bagi Orang-orang Yang Beriman

Al-Qur’an Sebagai Penawar Dan Rahmat Bagi Orang-orang Yang Beriman


http://an-nawawi.blogspot.com

“Dan Kami turunkan dari al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.” (Surah al-Isra’, 17: 82)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman menjelaskan tentang Kitab-Nya yang telah Dia turunkan kepada kepada Rasul-Nya Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, iaitu al-Qur’an yang tidak datang kepadanya kebatilan, sama ada dari depan mahu pun belakangnya, diturunkan dari Allah Yang Maha Binjaksana lagi Maha Terpuji.

Sesungguhnya al-Qur’an merupakan penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. Maksudnya adalah dapat menghilangkan penyakit hati, seperti keraguan, kemunafikan, kemusyrikan, kesesatan dan ketidak tetapan pendirian. Al-Qur’an dapat menyembuhkan semua penyakit tersebut.

Di samping sebagai penawar, al-Qur’an juga merupakan rahmat yang dapat melahirkan keimanan, hikmah, dan kesungguhan dalam melakukan kebaikan. Namun perkara seperti ini, hanyalah dapat dirasakan oleh orang-orang yang beriman, percaya dan mengikutinya. Maka bagi orang seperti itu, al-Qur’an adalah penawar dan rahmat.

Ada pun bagi orang kafir dan zalim terhadap dirinya sendiri dengan tidak mempercayainya, maka mendengar al-Qur’an itu tidaklah menambah keimanan, melainkan akan menjadikannya semakin jauh dan mengingkarinya.

Ini bererti, penyakit itu datangnya dari orang kafir, bukan dari al-Qur’an. Perkara ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam firman-Nya,

“Katakanlah: “al-Qur’an itu adalah petunjuk dan penawar bagi orang-orang yang beriman. Dan orang-orang yang tidak beriman pada telinga mereka ada sumbatan, manakala al-Qur’an itu suatu kegelapan bagi mereka. Mereka itu adalah seperti orang-orang yang dipanggil dari tempat yang jauh”.” (Surah al-Fushilat, 41: 44)

Dan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,

“Dan apabila diturunkan suatu surah, maka di antara mereka (orang-orang munafiq) ada yang berkata: “Siapa di antara kamu yang bertambah imannya dengan (turunnya) surah ini?” Adapun orang yang beriman, maka surah ini menambah imannya, dan mereka juga merasa gembira. Dan ada pun orang yang di dalam hati mereka ada penyakit, maka dengan surah itu bertambahlah kekafiran mereka, di samping kekafirannya (yang telah ada) dan mereka mati dalam keadaan kafir.” (Surah at-Taubah, 9: 124-125)

Sementara itu, tentang firman Allah: “Dan Kami turunkan dari al-Qur’an sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman”,

Qatadah berkata, “Apabila al-Qur’an tersebut didengar oleh orang yang beriman, lalu ia memahami, menghafal, dan mengamalkannya, maka akan menjadi penawar dan menjadi rahmat baginya.

“Dan al-Qur’an itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian” yakni, ia tidak dapat memahaminya, menghafal dan mengamalkannya. Kerana sesungguhnya Allah hanya menjadikan al-Qur’an sebagai penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman sahaja.

Daripada Ibnu ‘Abbas, Mujahid, ‘Ikrimah, Sa’id bin Jubayr, as-Suddi dan selainnya berkata berkenaan ayat, “al-Qur’an itu adalah petunjuk dan penawar bagi orang-orang yang beriman”, adalah bermaksud bahawa al-Qur’an ini adalah bagi mereka yang mengimaninya, iaitu sebagai petunjuk kepada hatinya dan penawar kepada keraguan serta kekeliruan yang berlaku di dalam hati-hati manusia.

Lihat juga Tafsir Ibnu Katsir berkenaan ayat 82, Surah al-Isra’ dan ayat 44 dari Surah Fushilat.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,

“Kitab (al-Qur’an) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa (iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka, dan mereka yang beriman kepada Kitab (al-Qur’an) yang telah diturunkan kepadamu dan Kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya (kehidupan) akhirat. Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang beruntung. (Surah al-Baqarah, 2: 2-5)

Isnin, November 10, 2008

“Holy Water” Versi Orang Melayu

“Holy Water” Versi Orang Melayu

http://an-nawawi.blogspot.com/

Kalau suatu ketika atau mungkin sehingga masa ini, nama Holy Water (Air Keramat) memang cukup terkenal sebagai air sihir yang dikatakan dihasilkan oleh golongan paderi dari kalangan penganut kristian. Sebahagian masyarakat Islam khususnya dari kalangan orang Melayu pernah menggembar-gemburkan isu air tersebut (Holy Water) yang dikatakan memiliki kuasa tertentu yang mampu menjadikan seseorang penganut Islam yang meminumnya murtad dengan serta-merta akibat dari melupai Allah, gagal membaca syahadah, dan lantas membenci agama asalnya. Tetapi sebaliknya akan terus berminat kepada agama kristian dan menganutinya.

Nah! Betapa hebatnya air Holy Water!

Namun sayangnya, fakta-fakta tersebut telah disangkal sendiri oleh para paderi kristian sekaligus menafikan kewujudan air sihir yang bersifat seperti itu. Seandainya ia benar sekalipun, ia tidak akan mampu memudharatkan umat Islam kerana Allah Subhanahu wa Ta’la telah berfirman,

“Dan mereka itu (ahli sihir) tidak memberi mudharat dengan sihirnya kepada sesiapa pun, kecuali dengan izin Allah.” (Surah al-Baqarah, 2: 102)

“Dan tidak akan menang tukang sihir itu, dari mana saja ia datang” (Surah Thoha, 20: 69)

Secara logiknya, sekiranya Holy Water tersebut benar-benar wujud sebagaimana dikata yang memiliki kuasa sihir untuk mempengaruhi manusia memeluk kristian, sudah tentu tidak akan ada orang kristian yang akan masuk Islam. Tetapi itulah hakikatnya, di mana puluhan ribu manusia penganut kristian boleh memeluk Islam dengan sukarela saban waktu. Sehingga paderi-paderi mereka pun ramai yang mendapat hidayah memeluk Islam dan kini giat menjadi pendakwah yang mengajak orang lain menganut Islam.

Setelah kewujudan air “Holy Water” kristian itu menjadi reda, air “Holy Water” buatan orang melayu masih belum reda malah semakin menyubur sehingga ke masa ini.

Holy Water milik masyarakat melayu ini dikatakan mampu menjadikan seseorang yang asalnya malas menjadi rajin, si bodoh boleh menjadi bijak, orang yang gelap hatinya akan menjadi ulama, orang yang selalu gagal boleh menjadi manusia berjaya, orang bujang boleh segera bertemu jodoh, malah sehingga boleh menjadikan seseorang yang sakit tenat kembali sihat. Sehingga terdapat Holy Water dengan ramuan-ramuan yang tertentu mampu membantu mengubati sehingga penyakit jantung dan buah pinggang yang kronik.

Begitulah keajaiban Holy Water versi melayu. Ia bukanlah suatu yang ditakuti sebagaimana kewujudan Holy Water versi kristian. Tetapi, Air keramat versi melayu ini adalah air yang menjadi buruan masyarakat yang benar-benar belum mengerti yang mengejar keajaiban segera. Mereka sebenarnya menjadi mangsa oleh golongan agamawan yang merosakkan.

Malah, kini ia bukan lagi setakat air, tetapi produk ini kini diperluaskan lagi ke dalam bentuk lainya seperti melalui “Kismis Keramat”, “Madu Keramat”, dan seumpamanya. Produk-produk ini kini memiliki nilai komersil yang begitu hebat sekali.


Akhirnya, cara menghasilkan air-air keramat dan produk-produk keramat itu kian terbongkar! Caranya amat mudah iaitu hanya dengan memanggil mana-mana orang berpangkat tok-tok guru atau ustaz-ustaz tertentu supaya mereka membacakan doa-doa tertentu, atau jampi-jampi tertentu, atau dengan mana-mana ayat-ayat suci al-Qur’an atau kebiasaannya surah Yasin, pada produk-produk tersebut. Setelah dibacakan pada produk tersebut, maka ianya akan dibungkuskan untuk dipasarkan kepada para pengguna atau pembeli yang mengkehendakinya. Malah ada juga produk seperti madu asli yang khas dibacakan dengan 30 Juzuk al-Qur’an oleh Ma’had-ma’had tahfiz tertentu bagi menjadikan madu tersebut lebih “power” (memiliki nilai tambah) berbanding madu asli yang lainnya. Malah dengan bacaan tersebut, akan menjadikan madu tersebut memiliki kuasa terapi dan daya penyembuhan yang lebih dasyat. Sehingga mampu memberikan keajaiban segera kepada para peminumnya. Wallahu a’lam.

Namun, tidak pula kita temui daya tambah yang seperti itu melalui kalam Rasulullah... wallahu a’lam. Meminum madu itu sememangnya anjuran sunnah, sayangnya tidak pula Rasulullah Shalallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan atau menunjukkan kaedah nilai tambah sebagaimana yang tersebut.

Sehinggakan saya sendiri pernah melihat ada sebahagian majlis-majlis bacaan yasin (yasinan) dan majlis-majlis tahlil (tahlilan) yang menyediakan air dalam jumlah-jumlah tertentu dengan diletakkan pada bekas-bekas tertentu yang kebiasaannya botol-botol bersaiz bekas mineral water, diletakkan pada kedudukan di tengah-tengah lingkaran majlis tersebut diadakan. Lebih menariknya, apabila bacaan/majlis hendak dimulakan, penutup bekas (atau botol) akan dibuka dan setelah tamat majlis, penutup botol akan ditutupkan semula. Kemudiannya air-air tersebut akan diagih-agihkan dan diminum dengan hasrat akan memberi keberkatan dan penerang hati kepada si peminumnya.

Malah, selain dari majlis itu, air-air seperti itu kini kian menjadi suatu bahan produk yang benar-benar memiliki nilai yang tinggi hasilnya. Serta memiliki nilai permintaan yang begitu tinggi di negara kita. Sekaligus mampu memberikan hasil pendapatan yang lumayan kepada para penjualnya.

Begitulah betapa telah meluasnya produk-produk ganjil dan aneh tersebut di dalam pasaran negara kita hari ini. Semuanya tidak lain, ianya wujud dan menjadi begitu “demand” disebabkan oleh kejahilan sebahagian masyarakat kita terhadap agama.

Jikalah benar para ustaz dan tok-tok guru tersebut ikhlas mahu membantu, apalah salahnya sekiranya dijampikan saja air sebanyak di lautan, air sepanjang sungai, air-air di empangan milik jabatan bekalan air, selebar air di tasik-tasik, air setelaga, beras di gudang-gudang, dan padi yang sedang menguning di sawah-sawah padi. Cara seperti ini lebih membantu, malah hasilnya kelak bakal diterima oleh keseluruhan masyarakat dengan lebih komprehensif dan adil. Kebaikannya bakal dapat dirasai bersama. Sama ada masyarakat yang miskin atau kaya. Yang mengetahui atau yang tidak mengetahui. Lalu, akan cerdik agama, bijak bestari dan sihat-sihat belakalah seluruh masyarakat kita lantaran berkatnya Holy Water versi melayu tersebut. Akhirnya, seluruh negara akan mendapat manfaatnya. Nescaya akan cemerlang, gemilang dan terbilang masyarakat kita di Malaysia dengan berkatnya Holy Water versi melayu tersebut. Kelak akan lahirlah bijak pandai Melayu yang bakal menerima anugerah Nobel di peringkat antarabangsa, dan apabila ditanya tentang rahsia kejayaannya, maka jawablah, “Saya mengamalkan memakan madu keramat atau air penerang hati atau mungkin juga kismis doa!”

Tidak dinafikan memang wujud hadis-hadis yang menunjukkan kepada adanya persoalan ruqyah dan jampi. Namun bukanlah sehingga diperluaskan skopnya kepada semua persoalan dan malah sehingga ianya dikomersilkan (dipasarkan).

Perlu untuk kita fahami sesuatu konsep itu dengan betul. Bahawa orang yang jahil (bodoh), ubatnya adalah dengan menuntut ilmu, orang yang gelap hatinya adalah dengan mempelajari al-Qur’an dan hadis, ubat bagi sebuah kegagalan adalah dengan meningkatkan daya usaha dan perancangan, orang yang malas ubatnya adalah dengan motivasi dan galakkan, orang yang sakit adalah dengan berjumpa doktor. Jangan kita brputus asa, Malah Allah memberi ruang kepada kita agar sentiasa berdoa memohon kepadanya.

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah ar-Ra’d, 13: 11)

Mungkin ada sebahagian penyakit seperti kerasukan jin atau terkena sihir, bolehlah dia diruqyah iaitu diberi rawatan dengan cara terapi jampi berpandukan petunjuk as-Sunnah. Iaitu dengan doa-doa tertentu yang tsabit dari as-Sunnah dan dengan membaca ayat-ayat suci al-Qur’an tertentu. Namun, perlulah merujuk dengan kaedah yang benar-benar sahih dari petunjuk Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Bukannya main hentam kromo mengikut hawa nafsu yang kemudiannya dijadikannya sebagai produk meraih keuntungan. Bukanlah juga dengan sekadar membeli air pelbagai kegunaan cap “tok ustaz” di pasaran lalu diberikan kepada anak-anak yang sedang demam, anak yang mahu mengambil peperiksaan, anak-anak yang mahu menambah daya hafalan, dan seumpamanya.

Cara yang terbaik adalah si pesakit (yang mengalami gangguan) mengubati dirinya sendiri berpandukan zikir-zikir atau doa-doa yang ditunjuk-ajarkan oleh baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melalui hadis-hadisnya yang sahih. Di samping itu, mereka sendirilah yang perlu mengubah cara hidupnya iaitu dengan cara memperbaiki amal-amalnya, menjauhi syirik (sentiasa memelihara aqidah), dan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah. Tidak lupa supaya dia sentiasa membaca, meneliti, serta mengamalkan isi kandungan al-Qur’an di mana pun dia berada. Jangan sehingga menjadikan rumahnya seperti kawasan kuburan yang tidak dibacakan al-Qur’an. Begitulah indah dan mudahnya mengamalkan Islam. Ia dipraktikkan berdasarkan ilmu dan keikhlasan.


Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman, “Sesiapa yang beramal soleh, sama ada dari lelaki atau perempuan, dan ia sentiasa di dalam keadaan yang beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang telah mereka kerjakan.” (Surah an-Nahl, 16: 97)

Berdoalah dan mintalah kepada Allah dengan istiqomah dan menjauhi perbuatan-perbuatan yang menjurus kepada syirik. Mintalah kepada Allah dengan bersungguh-sungguh tanpa putus asa. Allah itu Maha Mendengar, Maha Pemurah, Maha Penyayang, dan Maha memperkenankan doa. Dia sentiasa dekat dan memberikan pertolongan kepada hamba-hambanya yang beriman.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman, “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Surah al-Baqarah, 2: 186)

Maka, dengan ini, tinggalkanlah air-air keramat berupa produk-produk yang boleh menjadikan kita sebahagian dari pengikut hawa nafsu! Berubahlah dengan menjadi manusia yang beragama berpandukan ilmu.