“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Sabtu, Mei 30, 2009

Daurah Bersama Tiga (3) Ustaz

Daurah Bersama Tiga (3) Ustaz

Tema:
Menebar Sunnah, Membela Kebenaran.

Tarikh/Masa:
12 Jun 2009 - 13 Jun 2009 (Jumaat & Sabtu)
Jumaat, bermula selepas Maghrib.
Sabtu, 08:30pagi-05:00petang

Tempat:
Surau al-Hidayah, Sungai Kantan, Kajang.

Pendaftaran Percuma:
Hubungi Saudara Tahmin, 012-6047428.

Pembentang:
1 - Ustaz Abu Umar Idris Sulaiman (Syari'ah, U. Madinah & Master Hadis, UKM)
2 - Dr. Sulaiman Nordin (BA. Syari'ah Ummul Qurra)
3 - Dr. Azwira Abdul Aziz (BA. Madinah, MA. Jordan, PHD. UKM)

Jumaat, Mei 29, 2009

Apabila Yang Dicari Adalah Pahala

Apabila Yang Dicari Adalah Pahala

http://an-nawawi.blogspot.com/

Sahabat-sahabatku,

Apabila anda menyampaikan sesuatu lalu anda dibalas dengan sebuah tamparan dan kejian yang menyakitkan, maka bersabarlah, usah cepat melenting dan terkejut. Jangan pula terus membenci dan meluah kata-kata kesat sama seperti mereka.

Kerana bukan redha mereka yang kita harapkan. Bukan jua tagih simpati mereka yang kita nanti-nantikan.

Sesungguhnya kita hanya menyampaikan sesuatu yang perlu disampaikan. Kita menyampaikan hanya kerana Allah jua. Maka, apa jua yang kita lakukan, hanya kepada Allah tempat kita berharap. Kepada Allah jua tempat kita bersimpuh.

Hanya pahala dan kebaikan dari Allah-lah tujuan sebenar kita.

Kita mencari redha Allah semata. Jauh sekali mengharap habuan manusia yang sedikit jika dibandingkan kurnia dan pahala dari sisi-Nya.

Kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Aku tidak meminta upah sedikit pun darimu atas da'wahku dan bukanlah aku termasuk orang-orang yang mengada-adakan.” (Surah Shaad, 38: 86)

Sesungguhnya kita hanya berusaha menyampaikan sesuatu yang realiti lagi hakikat. Bukan fantasi dan imaginasi yang diada-adakan. Kita hanya menyampaikan agama yang di dalamnya ditegakkan fakta-fakta ilmiyah dari kalamullah dan hadis-hadis Rasul-Nya, insyaAllah...

Biarkanlah mereka berfikir jika mereka mahu berfikir.

“Maka apakah mereka tidak memikirkan?” (Surah Yasin, 36: 62, 68)

“Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Surah ar-Ra’d, 13: 4)

Maka, usahlah bersedih. Tidak perlu putus asa. Jika benar yang anda cari adalah redha dan pahala dari sisi Allah.

Kerana Allah subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“... Padahal tidak ada seorang pun memberi suatu nikmat kepadanya yang harus dibalasnya, tetapi (dia memberikan itu semata-mata) kerana mencari keredhaan Tuhannya yang Maha Tinggi. Dan kelak nanti dia benar-benar mendapat kepuasan.” (Surah al-Lail, 92: 19-21)

Istiqomahlah di atas kebenaran di atas jalan-jalan ilmu dan fakta.

Sesungguhnya, untuk mereka yang melaksanakan kebaikan itu, dari sisi Allah jua pahalanya, dan tidak akan sirna dikeranakan kejian dan makian manusia.

Wallahu a’lam...

Rabu, Mei 27, 2009

Kuliah: "Menyelami 'Aqidah Para Sahabat Sebagai Asas Penyatuan"

Info Kuliah:
"Menyelami 'Aqidah Para Sahabat Sebagai Asas Penyatuan"

Bersama:
Ust. Abu Umar Idris b. Sulaiman

Bertempat di:
Dewan Solat Utama, Surau al-Mawaddah, Seksyen 7, Shah Alam Selangor. (Belakang Bangunan Belia Selangor, Tepi Tasik Seksyen 7)

Masa/Tarikh:
Selepas Maghrib, 30 Mei 2009 (Sabtu)

Maklumat lanjut, hubungi:
019-2232177 (Abg. Ghazali, Biro Kuliah)

Semua dijemput hadir

Rabu, Mei 06, 2009

Undangan Ke Majlis Walimatul Urus

Undangan Ke Majlis Walimatul Urus

Nawawi B. Subandi dan Isteri (Nur Amalina Bt. Zahari)

Pada: 09/05/2009 (Sabtu)

Masa: Dari jam 11pagi-4ptg.

Alamat: No. 16, Kg. Pt. Marion, 86400 Pt. Raja, Bt. Pahat, Johor.

Sesi kuliah khas bertajuk:

1 – Kembali Kepada Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

2 – Perkahwinan Menurut Sunnah.

3 – Tokok tambah (Bid’ah) di dalam perkahwinan masyarakat Melayu hari ini.

Bersama Ustaz Rasul Dahri. Dari jam 12tgh-2ptg.

Para pembaca blog dijemput hadir.

Jumaat, Mei 01, 2009

Berjihad Dengan Ilmu Dan Dakwah

Berjihad Dengan Ilmu Dan Dakwah

http://an-nawawi.blogspot.com/

Sesungguhnya menuntut dan menyampaikan ilmu itu amat besar manfaatnya kepada individu dan masyarakat umat Islam. Menuntut ilmu agama bermula dari aqidah, fiqh, tafsir, akhlak, sehinggalah kepada pemahaman prinsip-prinsipnya yang tulen adalah merupakan suatu tuntutan yang amat besar lagi tinggi keutamaannya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila dikatakan kepadamu: “Berlapang-lapanglah dalam majlis”, maka lapangkanlah niscaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: “Berdirilah kamu”, maka berdirilah, niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Mujadilah, 58: 11)

Umar radhiyallahu ‘anhu berkata:

“Ketahuilah bahawa Nabi kamu telah bersabda:

“Sesungguhnya Allah akan mengangkat sesuatu kaum dan merendahkan suatu kaum yang lainnya dengan Kitab Suci ini”.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Muslim)

Dari sini menunjukkan bahawa menuntut ilmu (mempelajari agama) itu adalah suatu keperluan yang besar yang perlu digalas dan dikuasai oleh setiap muslim, yang mana dengannya umat Islam akan dimuliakan.

Malah Allah sendiri telah memerintahkan kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam supaya berdoa agar ditambahkan ilmu.

“Maka Maha Tinggi Allah Raja Yang sebenar-benarnya, dan janganlah kamu tergesa-gesa membaca al-Qur’an sebelum disempurnakan penyampaiannya kepadamu, dan katakanlah: “Ya Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan”.” (Surah Thoha, 20: 114)

Ayat ini adalah merupakan satu dalil yang sangat jelas yang menunjukkan berkenaan keutamaan ilmu. Kerana Allah sendiri telah memerintahkan kepada Nabi-Nya agar meminta ditambahkan ilmu.

Di antara sebab-sebab keutamaannya adalah kerana dengan ilmu, manusia mampu mengenal Allah. Dengan ilmu, manusia akan mengerti tujuan sebuah kehidupan. Dengan ilmu, manusia akan mengerti pentingnya konsep uluhiyah dan ubudiyah terhadap Tuhannya. Dengan ilmu, pendirian manusia boleh sama ada berubah atau semakin teguh. Dengan ilmu, manusia mampu memahami agama dari asasnya sehingga ke cabang-cabangnya. Dengan ilmu, umat Islam akan mampu beramal dengan sempurna. Dengan ilmu juga umat Islam akan memahami perintah dan pesanan Nabi serta para ulamanya.

Di atas kesan-kesan tersebut, manusia menjadi tunduk disebabkan dia mengenal betapa rendahnya diri di hadapan Tuhannya.

Oleh kerana itulah, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):

“Sesungguhnya dari kalangan hamba Allah yang paling takut (tunduk) kepada-Nya adalah para ulama (orang yang berilmu).” (Surah Fathir, 35: 28)

Dengan sikap itu juga, umat Islam akan diangkat oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala ke suatu darjat yang tinggi berbanding dengan kaum yang selainnya.

“...niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Mujadilah, 58: 11)

Orang-orang yang berilmu adalah mereka yang mampu menghadapi kepelbagaian bentuk ujian, rintangan, musibah, serangan, dan syubhat yang mendatang dengan sikap yang penuh tenang dan sabar. Dengan ilmu yang mereka kuasai, mereka mampu untuk membezakan kepelbagaian bentuk permasalahan yang muncul yang sekaligus mampu menentukan pendirian (sikap) dan jalan keluar yang tepat buat dirinya dan orang lain. Ini adalah sebagaimana yang Allah Subhanahu wa Ta’ala singkapkan berkenaan peristiwa yang terjadi ke atas Qarun:

“Maka keluarlah Qarun kepada kaumnya di atas kemegahannya. Berkatalah orang-orang yang sangat ingin kepada kehidupan dunia: “Moga-moga kiranya kita mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada Qarun, sesungguhnya dia benar-benar memiliki keuntungan yang besar”. Berkatalah orang-orang yang dikurniakan dengan ilmu: “Kecelakaan besarlah bagimu, pahala Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan tidak diperolehi pahala itu, melainkan oleh orang-orang yang sabar”.” (Surah al-Qasas, 28: 79-80)

Allah juga turut menjelaskan bahawa orang-orang yang berilmulah yang mampu memahami dan menganalisa hakikat kepelbagaian permasalahan yang terjadi,

“Dan itulah contoh-contoh yang kami buat untuk manusia, dan tiada yang memahaminya melainkan orang-orang yang berilmu.” (Surah al-Ankabut, 29: 43)

Atas sebab itu jugalah dapat kita fahami bahawa dengannya (ilmu) umat Islam akan pergi berjihad sama ada di medan perperangan mahu pun di medan dakwah. Tanpa ilmu, umat Islam tidak akan mampu memberi sesuatu kepada yang lain, malah Islam itu sendiri tidak akan mampu ditegakkan jika tidak dibawa dengan ilmu. Inilah di antara apa yang ditunjukkan melalui Surah al-Furqon, di ayatnya yang ke-51 dan 52.

Ini jugalah sebagaimana yang dimaksudkan oleh para ulama, di antaranya imam Ibnul Qayyim rahimahullah yang telah menjelaskan bahawa menuntut ilmu dan menyebarkan ilmu itu termasuk berjihad di jalan Allah. Ini adalah berdasarkan perkataan beliau yang terkandung di dalam kitabnya, Miftahu Daris Sa’adah:

“Menuntut ilmu disebutkan juga sebagai jihad fi sabilillah kerana dengannya agama Islam ini akan ditegakkan, sebagaimana juga agama Islam yang ditegakkan melalui medan peperangan. Jadi, Islam itu ditegakkan dengan ilmu dan peperangan.

Dengan itulah, jihad ada dua jenis:

Pertama: Jihad dengan tangan dan senjata. Jihad jenis ini semua orang mampu turut serta di dalamnya.

Kedua: Jihad dengan hujjah dan bayan (ilmu). Jihad jenis ini merupakan jihad dari kalangan orang-orang yang khusus iaitu dari kalangan ulama. Ini merupakan jihad yang hanya dapat dilaksanakan oleh orang-orang yang menguasai ilmu. Dan jihad kedua ini lebih utama daripada jihad yang pertama. Ini adalah disebabkan oleh betapa besarnya manfaat, tinggi risikonya, dan sangat banyak musuh-musuh yang akan dihadapinya. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman di dalam Surah al-Furqon di mana surah ini adalah surah Makkiyyah:

“Dan sekiranya Kami kehendaki, niscaya Kami utus kepada setiap negeri seorang pemberi peringatan (rasul), maka janganlah kamu taati orang-orang kafir dan berjihadlah melawan mereka dengan al-Qur’an dengan jihad yang besar.” (Surah al-Furqon, 25: 51-52)”

Malah jika kita teliti pengertian jihad itu sendiri, iaitu menurut apa yang dijelaskan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah di dalam kitabnya yang masyhur, Fathul Bari dan Ibnu Manzur rahimahullah di dalam Lisanul Arab, ia sebenarnya mencakupi perbuatan menegakkan hujjah (dengan perkataan atau lisan) terhadap orang-orang kafir dengan cara mendakwahi, menyerang, dan menahan (menangkis hujjah) mereka dengan bersungguh-sungguh serta dengan sepenuh tenaga dan usaha. Dengan ini juga bermaksud, jihad itu tidaklah terhad hanya sekadar turun di medan perperangan, tetapi juga adalah dengan penegakkan hujjah-hujjah ilmiyah kepada kaum yang tidak mengerti dan ingkar.

Berdasarkan surah al-Furqon ayat 51-52 tadi juga sebenarnya ia turut menjelaskan sejak awal-awal lagi bahawa Allah memerintahkan supaya tidak mentaati orang-orang kafir dan supaya berjihad terhadap mereka. Maka, jelaslah di sini bahawa pada fasa tersebut, orang-orang kafir tidak diperangi melainkan dengan hujjah, bayan, dan menyampaikan isi kandungan al-Qur’an itu sendiri dan bukanlah dengan pedang mahu pun ketenteraan semata-mata.

Demikianlah juga dengan persoalan orang-orang munafiq yang duduk hidup di bawah kekuasaan umat Islam yang mana Allah turut memerintahkan dengan kalimah jihad kepada umat Islam ke atas mereka.

“Wahai Nabi, berjihadlah melawan orang-orang kafir dan munafiq dan bersikap keraslah terhadap mereka.” (Surah at-Taubah, 9: 73)

Ini adalah sepertimana yang diketahui bahawa orang-orang munafiq itu tidak diperangi dengan pedang, dan mereka juga tidak memerangi umat Islam dengan ketenteraan. Tetapi, mereka (orang-orang munafiq) diperangi di atas nama jihad dengan menegakkan hujjah-hujjah ilmiyah dari al-Qur’an dan perkataan Nabi-Nya.

Imam Ibnul Qayyim rahimahullah turut menegaskan di dalam kitabnya yang lain, I’lam al-Muwaqqi’in bahawa ketaatan kepada umara’ (pemimpin) itu adalah mengikuti ketaatan kepada ulama. Maka, menuntut ilmu dan mempelajarinya adalah termasuk jihad di atas jalan Allah.

Abu Darda’ radhiyallahu ‘anhu juga pernah berkata bahawa, “Sesiapa yang mengatakan bahawa pergi berulang-alik mencari ilmu itu bukan sebahagian dari jihad, maka sesungguhnya akal dan fikirannya telah lemah.” (Diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abdil Barr)

Begitulah dia sebuah hakikat yang kian dipandang remeh, padahal ia adalah sebuah tuntutan besar bagi setiap manusia dari kalangan umat Islam. Menuntut ilmu dari ilmu-ilmu agama semenjak zaman-berzaman sehinggalah ke masa ini bukanlah sebuah usaha yang boleh ditinggalkan, bahkan ia adalah sebuah perjuangan yang dengannya umat Islam akan berjihad menegakkan Tauhid bermula dari dalam diri masing-masing sehinggalah ke setinggi-tinggi kemampuan ke atas segenap manusia umumnya.

Semoga kesarjanaan ilmu di dalam bidang agama ini mampu ditegakkan dan kembali dipandang tinggi oleh umat Islam seluruhnya. Hanya dengan ilmu umat Islam akan kembali dimuliakan, dan dengan ilmu itu jugalah umat Islam bakal kembali berjihad dengan sebesar-besar jihad.

Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata:

“Sungguh aku mengetahui (menguasai) satu bab dari sesuatu ilmu itu sama ada berkenaan perintah atau pun larangan, ia adalah lebih aku sukai berbanding dengan 70 kali pertempuran di medan jihad.” (al-Ilmu, Ibnul Qayyim)

Jumaat, April 24, 2009

Jangan Biarkan Kesucian Nama Allah Dipermainkan

Jangan Biarkan Kesucian Nama Allah Dipermainkan

http://an-nawawi.blogspot.com

Beberapa hari yang lalu ada orang menelefon, bertanyakan kepada saya berkenaan persoalan bolehkah kita membiarkan orang kristian dan orang kafir lainnya menggunakan nama Allah untuk agama mereka?

Saya katakan kepada beliau, saya tangguh dulu persoalan tersebut dan apabila saya sudah selesai meneliti beberapa bahan rujukan, saya akan tuliskannya di dalam blog dan saya akan sms kepada beliau agar boleh merujuk ke dalam blog ini.

Maka di sini setelah saya melihat kepada beberapa sumber rujukan termasuk bertanyakan kepada ustaz-ustaz dan beberapa orang sahabat, saya senaraikan (simpulkan) beberapa jawaban secara ringkas:

1 – Perlu kita fahami bahawa, Allah adalah Tuhan Semesta alam, Tuhan bagi setiap makhluk. Maka, secara umumnya, setiap kita wajib dan berhak memperakui serta mengimani (mengakui) bahawa Allah adalah tuhan kita semua. Dengan itu, kita wajib meletakkan (memperakui) Allah sebagai tuhan. Orang-orang kafir juga perlu memahami bahawa Allah adalah tuhan semesta alam.

2 – Dari itu, adalah dibolehkan orang kristian atau orang kafir menggunakan kalimah atau nama Allah. Dan hendaklah mereka menggunakan (atau meletakkan) nama Allah tersebut dengan cara yang selayaknya iaitu dengan tidak menyelewengkan nama tersebut. Hendaklah nama (kalimah) Allah itu disifatkan atau diletakkan (ditetapkan) dengan apa yang telah Allah Subhanahu wa Ta’ala tetapkan melalui kalam-Nya atau melalui lisan Rasul-Nya.

3 – Nama Allah hendaklah disucikan dari sebarang penyelewengan dan tidak disifatkan dengan sifat yang tidak layak bagi-Nya iaitu tidak disifatkan dengan sifat yang tidak Dia tetapkan sama ada melalui khabar dari al-Qur’an atau hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Juga tidak menisbahkan sesuatu kepada nama atau kalimah Allah dengan sesuatu yang telah Allah nafikan atau dengan sesuatu yang tidak diketahui (yang kita tiada pengetahuan tentangnya).

4 – Nama Allah tidak digunakan bagi tujuan manipulasi dan kepentingan tertentu seperti mempromosi agama yang sesat iaitu selain Islam. Di mana pada masa ini terdapat sekumpulan pihak yang menggunakan nama Allah bagi tujuan menyesatkan umat Islam dengan cara yang cukup halus iaitu dengan meletakkan nama “Tuhan ayah” (God Father) digantikan dengan nama (kalimah) Allah. Lalu bahan-bahan seperti tulisan, atau artikel, atau buku yang mengandungi penyelewengan nama Allah (yang asalnya God Father tadi) disebarkan sebagai bahan dakyah untuk menyesatkan (mengelirukan) pemahaman umat Islam.

5 – Namun jika mereka (orang-orang kafir termasuk kristian) tetap berkeras mahu menggunakan nama Allah tersebut dengan cara yang batil (menyimpang), maka perkara tersebut adalah terserah kepada mereka. Cumanya ia hendaklah terhad untuk kegunaan dari kalangan (kelompok) mereka sahaja. Di mana mereka tidak boleh menggunakan nama Allah tersebut dengan cara yang batil bagi tujuan sebaran umum atau sebagai tujuan untuk mengajak masyarakat kepada agama mereka.

6 – Perlu kita fahami bahawa, sekali-kali kita tidak pernah redha dengan agama mereka termasuklah perbuatan mereka menggunakan nama Allah dengan cara yang menyimpang (batil).

7 – Maka dengan ini, pihak berkuasa dari kalangan pemerintah umat Islam (di dalam negara Islam) atau mereka yang ber-autoriti, perlulah mengambil penting perkara ini dan melarang pihak-pihak tertentu yang mempermain-mainkan (atau mempergunakan) nama Allah bagi tujuan menjaga keharmonian dan kelangsungan umat Islam. Pihak selain umat Islam seperti kumpulan kristian atau orang-orang kafir lainnya tidaklah wajar mempergunakan nama Allah bagi tujuan kepentingan dakwah mereka. Dan mereka tidak berhak untuk mendakwahkan kepercayaan mereka secara umum sama ada kepada umat Islam atau masyarakat lainnya di dalam wilayah Islam khususnya.

8 – Pihak yang berkelayakan dari kalangan ilmuan dari umat Islam hendaklah memberi penjelasan yang sejelas-jelasnya kepada masyarakat secara umum sama ada kepada umat Islam itu sendiri mahu pun orang kafir lainnya. Para ilmuan hendaklah memberi penekanan khususnya kepada umat Islam berkenaan persoalan pentingnya penerapan kefahaman aqidah yang benar. Dan hendaklah para ilmuan tidak membiarkan umat Islam meremehkan persoalan asas-asas aqidah sehingga mereka mudah termakan dengan kepelbagaian bentuk dakyah orang-orang kafir seperti kristian (atau selainnya).

Rujukan:

1 – Tahzib Syarah ath-Thahawiyah, Abdul Akhir Hammad al-Ghunaimi, Terbitan/terjemahan: Pustaka at-Tibyan.

2 – Kitab Tauhid, Dr. Soleh Fauzan al-Fauzan, Terbitan/terjemahan: Pustaka Darul Haq.

3 – Tafsir Ibnu Katsir, Terbitan/terjemahan: Pustaka Ibnu Katsir.

4 –
Rakaman Kuliah (MP3) Ust. Rasul Dahri.

5 – Ringkasan Kaedah-Kaedah Penting Dalam Memahami Asma’ wa Sifat Allah (Nama dan Sifat Allah), Link:
http://aqidah-wa-manhaj.blogspot.com/2008/12/090-ringkasan-kaedah-kaedah-penting.html

Sabtu, April 18, 2009

Seminar: "Umat Islam Dikepung Dari Segala Penjuru"

Seminar:
“Umat Islam Dikepung Dari Segala Penjuru”

Pembentang:
Ust. Abu Ihsan al-Atsary

(Pemantau/Panel Penterjemahan Pustaka Imam asy-Syafi’i)

Tempat:
Bangunan Pengajian al-Faqeh,

35-A, Jalan Cokmar 1, Taman Mutiara,
Bukit Raja, OFF Jalan Meru,
41050 Klang, Selangor.

Tarikh:
09 Mei 2009 (Sabtu)

Masa:
9.00 pagi – 5.00 ptg.

Bayaran:
RM15.00 (Pendaftaran)
RM15.00 (Buku)

Urusan Pendaftaran:
Hubungi Adi Negara, 016-2091531.

Kandungan Seminar:

Topic-topic yang akan dibicarakan adalah berpandukan kepada sebuah buku tulisan Syaikh Salim ‘Ied al-Hilali, berjudul “Umat Islam dikepung Dari Segala Penjuru”. Buku ini mengupas/mensyarahkan sebuah hadis, iaitu hadis dari Tsauban radhiyallahu ‘anhu, dia berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (maksudnya):

Hampir-hampir orang-orang kafir saling menyeru untuk menyerang kamu dari segala penjuru sebagaimana orang-orang yang hendak makan (dalam keadaan yang sangat lapar) mengerumuni dulang yang berisi makanan. Dia (Tsauban) berkata: Kami (sahabat) bertanya, “Wahai Rasulullah adakah pada waktu itu jumlah kami sangat sedikit”. Jawab Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam: “Tidak, pada waktu itu kamu berjumlah ramai/banyak. Akan tetapi kamu seperti buih banjir. Dan benar-benar Allah akan mencabut dari hati musuh-musuh kamu rasa takut kepada kamu. Dan benar-benar Allah akan mencampakkan al-Wahn ke dalam hati-hati kamu”. Mereka (para sahabat) bertanya: “Wahai Rasulullah, apa yang dimaksudkan dengan al-Wahn tersebut?” Nabi menjawab: “Mencintai dunia dan takut (membenci) kepada mati (akhirat)”. (Hadis Riwayat Ahmad, al-Musnad, 5/278)

Di antara point-point yang dibicarakan adalah:

1 – Status hadis

2 – Permusuhan di antara orang-orang kafir. Namun, mereka boleh bersatu untuk menentang umat Islam.

3 – Wilayah umat Islam adalah sumber kebaikan dan keberkahan.

4 – Orang-orang kafir sentiasa berusaha merampas sumber-sumber dari bumi umat Islam.

5 – Orang-orang kafir melakukan angkara supaya umat Islam berpecah belah.

6 – Kekuatan Umat Islam bukan pada jumlah bilangan serta persenjataan.

7 – Orang kafir hilang rasa takut terhadap umat Islam.

8 – Kesan buruk dari perbuatan mencintai dunia.

9 – Orang-orang kafir tidak akan mampu memusnahkan umat Islam.

10 – Tashfiyah dan Tarbiyah adalah jalan membina semula kekuatan umat Islam.