“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Selasa, April 06, 2010

Lahirnya Generasi Kartun

Lahirnya Generasi Kartun

http://an-nawawi.blogspot.com

Apabila belajar dan mengajarkan Kitab al-Umm (Imam asy-Syafi’i), Shohihaian (Dua kitab Sahih: al-Bukhari & Muslim), Tafsir Ibnu Katsir, al-Adzkar (Imam an-Nawawi), Fathul Bari (al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani), Bulughul Maram (juga al-Hafiz Ibnu Hajar), Kitab-kitab ‘Aqidah seperti ath-Thahawiyah dan Ushulus Sunnah (Imam Ahmad) pun kena tangkap dan dihalang, maka tidak hairanlah sekiranya masyarakat hari ini mula jahil terhadap agama.

Lebih malang, mereka mula meninggalkan agama mereka. Meninggalkan al-Qur’an dan perkataan-perkataan Nabi mereka dari Hadis-hadis yang sahih.

Akhirnya mereka pun beralih kepada kitab-kitab alternatif yang lain seperti Kitab Sin Chan, Doraemon, Dragon Ball dan yang sewaktu dengannya.

Maka, lahirlah generasi-generasi berfikiran kartun…

Khamis, Mac 25, 2010

Pengajian Bersama Syaikh 'Abdullah al-Mar'i


Pengajian Khas Bersama:
asy-Syaikh 'Abdullah B. Mar'i al-Adeny

Bertajuk:
Perpaduan Membawa Rahmat
Perpecahan Membawa Azab


Tarikh:
25 Mac 2010 (9 Rabbi'ul Akhir 1431H)

Masa/waktu:
Selepas Maghrib

Tempat:
Masjid Paya, Perlis (Malaysia).

Juga Live (Secara Langsung Audio):
http://annashradio.com

Isnin, Mac 01, 2010

Ibnu ‘Abbas Sebagai Ulama Tafsir

Ibnu ‘Abbas Sebagai Ulama Tafsir

http://an-nawawi.blogspot.com

عن ابن عباس قال: كنت في بيت ميمونة ابنة الحارث فوضعت لرسول الله صلى الله عليه وسلم طهوره فقال: من وضع هذا؟ فقالت ميمونة: عبد الله ، فقال: " اللهم فقهه في الدين وعلمه التأويل "

Dari Ibnu ‘Abbas, beliau berkata: “Aku pernah berada di rumah Maimunah binti Al-Haarits. Maka aku ambilkan untuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam (air) untuk bersuci (thoharah). Beliau pun bertanya:

“Siapakah yang mengambilkan (air) ini?”. Maimunah menjawab: “Abdullah”. Beliau bersabda: “Ya Allah, faqihkanlah ia dalam agama dan ajarkanlah ilmu ta’wil (tafsir) kepadanya”. (Hadis Riwayat Ibnu Hibban, 15/531, no. 7055. Ath-Thabrani, 10/263, no. 10614. Juga diriwayatkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Ibnu Sa’ad, Ibnu Abi ‘Ashim)

Juga diriwayatkan oleh al-Bukhari secara marfu’ dengan lafaz:

اللهم علِّمْهُ الكتاب

“Ya Allah, ajarkanlah beliau al-Kitaab (al-Qur’an)”. (Hadis Riwayat al-Bukhari, 1/134, no. 73)

Dalam lafaz yang lain:

اللهم علمه الحكمة

“Ya Allah, ajarkanlah ia al-Hikmah”. (Hadis Riwayat al-Bukhari, 12/100, no. 3473)

Melalui jalan ‘Amr bin Dinar, dari Kuraib, dari Ibnu ‘Abbas, beliau berkata:

أتيت رسولَ الله صلى الله عليه وسلم فدعا الله لي أن يزيدني علماً وفهماً

“Aku mendatangi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan beliau berdoa kepada Allah untukku agar menambahkan kepadaku ilmu dan kefahaman (dalam agama)”. (Hadis Riwayat Ahmad, 1/330, no. 3061. Tahqiq Syaikh Syu’aib al-Arnauth: Isnadnya Sahih di atas Syarat al-Bukhari dan Muslim)

al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah berkata:

وهذه الدعوة مما تحقق إجابة النبي صلى الله عليه و سلم فيها لما علم من حال بن عباس في معرفة التفسير والفقه في الدين رضي الله تعالى عنه

Terjemahan: “Doa ini merupakan satu bentuk jaminan dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, di mana beliau mengetahui keadaan Ibnu ‘Abbas atas keilmuannya di dalam bidang tafsir dan kefaqihannya (kefahamannya) di dalam agama – radliyallahu ta’ala ‘anhu”. (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 1/170)

al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah berkata di ketika menyebutkan nama-nama sebagai rujukan di dalam penafsiran al-Qur’an:

ومنهم الحبر البحر عبد الله بن عباس، ابن عم رسول الله صلى الله عليه وسلم، وترجمان القرآن وببركة دعاء رسول الله صلى الله عليه وسلم له حيث قال: "اللهم فقهه في الدين، وعلمه التأويل"

Terjemahan: “Di antara mereka adalah: “al-habrul-bahr” ‘Abdullah bin ‘Abbas, anak pak cik Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “turjumaanul-qur’an”, dan orang yang memiliki barakah doa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, di ketika beliau bersabda: “Ya Allah, faqihkanlah ia dalam agama, dan ajarkanlah ia ilmu ta’wil (tafsir)”.” (Ibnu Katsir, Tafsir al-Qur’an al-‘Adzim, 1/8)

Ibnu Mas’ud radliyallaahu ‘anhu berkata:

لو أن ابن عباس أدرك أسناننا ما عاشره منا أحدٌ. قال وكان يقول : نعم ترجمان القرآن ابن عباس رضي الله عنه

“Sekiranya Ibnu ‘Abbas sampai kepada umur/masa kita, nescaya tidak ada seorang pun di antara kami yang dapat menandingi (ilmu)-nya. Sebaik-baik penafsir al-Qur’an adalah Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhu.” (Diriwayatkan oleh al-Hakim, al-Mustadrak, 3/618, no. 6289. Ta’liq adz-Dzahabi: Sahih di atas Syarat al-Bukhari dan Muslim)

Al-Imam Mujahid bin Jabar Al-Makkiy rahimahullah berkata:

كان ابن عباس يُسَمَّى البحر من كثرة علمه

“Ibnu ‘Abbas dinamakan al-Bahr (samudera) kerana banyaknya ilmu yang beliau miliki”. (Rujuk al-Itqan fii ‘Ulumul Qur’an, 2/494, no. 6376)

Wallahu a’lam...

Khamis, Februari 18, 2010

Sebab Dan Akibat

Sebab Dan Akibat

http://an-nawawi.blogspot.com/

Adakalanya kita mungkin menemui golongan manusia yang suka berserah dan beralasan dengan takdir. Mereka mudah putus-asa dan malas berusaha.

Mereka sering mengeluh dan berkata bahawa sekiranya sesuatu itu telah ditakdirkan, maka tiada gunanya sama ada kita berdoa atau pun tidak. Sekiranya sesuatu itu telah tertulis untuk berlaku, sudah tentu berusaha atau pun tidak, ia sama sekali tidak akan mendatangkan faedah mahu pun hasil yang diingini.

Lalu, mereka pun bermalas-malasan atau melakukan apa sahaja yang mereka suka serta kehendaki tanpa mahu berfikir panjang. Bahkan mereka sebenarnya mengabaikan prinsip-prinsip ilmu. Merekalah orang yang tidak memiliki tujuan hidup, malah tidak memiliki wawasan. Mereka beranggapan diri mereka pandai, walhal mereka di dalam kebodohan. Tidakkah mereka pernah mengerti untuk apa mereka dijadikan? Di suatu sisi yang lain, mereka menggunakan alasan tersebut hanya sebagai modal untuk melakukan apa sahaja yang mereka kehendaki tanpa mahu ada yang mengekang.

Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menjadikan sesuatu itu dengan beralasan dan bersebab. Setiap akibat itu dijadikan dengan faktor tertentu sebagai penyebab dengan seizin-Nya dan kehendak-Nya.

Allah Ta’ala telah menjelaskan di dalam banyak ayat-ayat-Nya, bahawa Dia telah menetapkan sesuatu dengan ukuran/kadar yang sangat rapi, segala sesuatu berlaku dengan sebab dan akibat. Sama ada kita mengetahui mahu pun tidak.

Di antaranya, adalah sebagaima firman-Nya di dalam ayat-ayat berikut:

الَّذِي لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَلَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُنْ لَهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَخَلَقَ كُلَّ شَيْءٍ فَقَدَّرَهُ تَقْدِيرًا

Kepunyaan-Nya-lah kerajaan langit dan bumi, dan Dia tidak mempunyai anak, dan tidak ada sekutu bagi-Nya dalam kekuasaan-(Nya), dan dia telah menciptakan segala sesuatu, dan Dia menetapkan ukuran-ukurannya dengan serapi-rapinya. (Surah al-Furqon, 25: 2)

Iman dan amal soleh serta kaitannya dengan kuasa:

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الأرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ

Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia benar-benar akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa. (Surah an-Nuur, 24: 55)

Harta dan anak-anak sebagai ujian:

وَاعْلَمُوا أَنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلادُكُمْ فِتْنَةٌ وَأَنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ

Ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai ujian dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar. (Surah al-Anfal, 8: 28)

Penjelasan Ketika tewas di Perang Uhud:

أَوَلَمَّا أَصَابَتْكُمْ مُصِيبَةٌ قَدْ أَصَبْتُمْ مِثْلَيْهَا قُلْتُمْ أَنَّى هَذَا قُلْ هُوَ مِنْ عِنْدِ أَنْفُسِكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Dan mengapa ketika kamu ditimpa musibah (pada peperangan Uhud), padahal kamu telah menewaskan dengan dua kali lipat kepada musuh-musuhmu (pada peperangan Badar), kamu berkata: "Dari mana datangnya (kekalahan) ini?" Katakanlah: "Itu dari (kesalahan) dirimu sendiri." Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. (Surah Ali Imran, 3: 165)

Berkenaan musibah yang menimpa:

وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَنْ كَثِيرٍ

Dan apa sahaja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu). (Surah asy-Syura, 42: 30)

Disebabkan sentiasa mengingati (berzikir kepada) Allah:

فَلَوْلا أَنَّهُ كَانَ مِنَ الْمُسَبِّحِينَ (١٤٣)لَلَبِثَ فِي بَطْنِهِ إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ

Sekiranya dia tidak termasuk orang-orang yang banyak mengingati Allah, nescaya ia akan tetap tinggal di perut ikan itu sehingga hari berbangkit. (Surah ash-Shaffat, 37, 143-144)

Azab disebakan mengingkari peringatan:

لِنَفْتِنَهُمْ فِيهِ وَمَنْ يُعْرِضْ عَنْ ذِكْرِ رَبِّهِ يَسْلُكْهُ عَذَابًا صَعَدًا

Sesiapa yang berpaling dari peringatan Tuhannya, nescaya akan dimasukkan-Nya ke dalam azab yang amat berat. (Surah al-Jin, 72: 17)

Disebabkan iman:

فَآمَنُوا فَمَتَّعْنَاهُمْ إِلَى حِينٍ

Lalu mereka beriman, dengan sebab itu Kami anugerahkan kenikmatan hidup kepada mereka sehingga waktu yang tertentu. (Surah ash-Shaffat, 37: 148)

Hasil sifat sabar di dalam mencari keredhaan Allah:

وَالَّذِينَ صَبَرُوا ابْتِغَاءَ وَجْهِ رَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلاةَ وَأَنْفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلانِيَةً وَيَدْرَءُونَ بِالْحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ أُولَئِكَ لَهُمْ عُقْبَى الدَّارِ (٢٢)جَنَّاتُ عَدْنٍ يَدْخُلُونَهَا وَمَنْ صَلَحَ مِنْ آبَائِهِمْ وَأَزْوَاجِهِمْ وَذُرِّيَّاتِهِمْ وَالْمَلائِكَةُ يَدْخُلُونَ عَلَيْهِمْ مِنْ كُلِّ بَابٍ

Orang-orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan; orang-orang itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik), (iaitu) syurga 'Adn... (Surah ar-Ra’d, 13: 22-23)

Doa orang-orang yang beriman dan beramal soleh:

وَيَسْتَجِيبُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَيَزِيدُهُمْ مِنْ فَضْلِهِ وَالْكَافِرُونَ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ

Dia memperkenankan (doa) orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal yang soleh dan menambah (pahala) kepada mereka dari kurnia-Nya. Dan orang-orang yang kafir bagi mereka azab yang sangat keras. (Surah asy-Syura, 42: 26)

Disebabkan bersegera dengan kebaikan, sabar, dan khusyu’ kerana Allah:

إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا وَكَانُوا لَنَا خَاشِعِينَ

Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyu' kepada Kami. (Surah al-Anbiya’, 21: 90)

Hukuman kejahatan (disebabkan keingkaran):

إِنَّهُمْ كَانُوا قَوْمَ سَوْءٍ فَأَغْرَقْنَاهُمْ أَجْمَعِينَ

Sesungguhnya mereka adalah kaum yang jahat, maka Kami tenggelamkan mereka semuanya. (Surah al-Anbiya’, 21: 77)

Begitulah sebahagian dari ayat-ayat Allah sebagai tanda bahawa Allah sentiasa memberi kepada kita ruang untuk mencorakkan warna-warni di dalam kehidupan ini. Setiap hasil akibat, memiliki sebab yang relevan. Sebab dan akibat mungkin hadir di antara satu daripada dua keadaan, iaitu dalam keadaan yang disedari mahu pun sebaliknya (tanpa sedar).

Dari sini, sekiranya takdir masih dijadikan sebagai alasan, ini hanya menunjukkan betapa tertutupnya akal-akal mereka terhadap tanda-tanda yang ada di sekeliling mereka. Betapa mereka memperkecilkan ruang yang telah sedia diberi.

Cukuplah perbuatan makan minum mereka untuk mereka fikirkan. Sekiranya takdir menjadi alasan, apa gunanya mereka makan dan minum. Kerana sekiranya mereka telah ditakdirkan untuk kenyang, sudah tentu sama ada mereka makan atau pun tidak, minum atau pun tidak, tentu tidak akan berguna sama sekali. Kerana takdir telah menetapkan mereka untuk kenyang. Begitulah sebaliknya, sekiranya mereka telah ditakdirkan untuk lapar, sudah tentu makan dan minum tidak akan membantu mereka sama sekali, kerana takdir mereka adalah kelaparan.

Begitu pula dengan perkahwinan. Apa guna mereka berkahwin? Sekiranya mereka meletakkan persoalan zuriat itu pada takdir semata tanpa sebarang inisiatif usaha, sudah tentu perkahwinan itu tidak perlu. Kerana, sekiranya kita beralasan dengan takdir, kahwin atau pun tidak, sekiranya takdir telah menyatakan tiada zuriat, sudah tentu tiada zuriat jua. Maka, begitulah sebaliknya. Mengapa mereka tidak bersetuju?

Dari itulah, maka ada perkara yang perlu kita fahami dengan baik. Tugas dan urusan kita sebenarnya adalah melaksanakan berdasarkan ukuran dan apa yang diperintahkan. Mengikuti panduan dan tidak keluar dari batasan.

Ada pun takdir, ia adalah merupakan ketentuan dan urusan Allah yang bukan urusan kita untuk mengira-ngira serta menentukannya mahu pun memutuskannya.

Firman Allah Subahanhu wa Ta’ala:

وَعِنْدَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لا يَعْلَمُهَا إِلا هُوَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَمَا تَسْقُطُ مِنْ وَرَقَةٍ إِلا يَعْلَمُهَا وَلا حَبَّةٍ فِي ظُلُمَاتِ الأرْضِ وَلا رَطْبٍ وَلا يَابِسٍ إِلا فِي كِتَابٍ مُبِينٍ

Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci setiap yang ghaib; tidak ada yang mengetahuinya melainkan Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji-pun dalam kegelapan bumi, dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis di dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfudz)". (Surah al-An’am, 6: 59)

Kerana di sana, terdapat suatu batas sempadan yang tidak mampu kita rungkaikan. Kerana kemampuan kita amat terhad dan telah ditetapkan tidak mampu menerokai sesuatu yang sememangnya bukan urusan kita.

Maka, kita lakukanlah apa yang kita mampu dengan ruang yang telah terbentang. Apa yang terbuka di hadapan mata diusahakanlah, dan apa yang bukan urusan kita, kita serahkan kepada Yang Maha Berkuasa, Yang Maha Mengatur Segala sesuatu.

Wallahu a’lam...

Rabu, Februari 17, 2010

Amalan Ibu Bapa Memberi Kesan Kepada Anak-anak

Amalan Ibu Bapa Memberi Kesan Kepada Anak-anak

http://an-nawawi.blogspot.com

Syaikh Musthafa al-Adawi hafizahullah berkata:

Seseorang anak yang melihat ayahnya selalu berzikir, mengucapkan tahlil, tahmid, tasbih, dan takbir nescaya akan menirunya untuk mengucapkannya.

Begitulah juga, seseorang anak yang diutus orang tuanya di malam hari untuk memberi sedekah kepada orang-orang miskin di rumah-rumah mereka tanpa pengetahuan orang lain dia akan memiliki sikap yang berbeza dengan seorang anak yang diminta oleh orang tuanya untuk keluar membeli rokok dan barang-barang yang memabukkan.

Seseorang anak yang melihat ayahnya berpuasa di setiap hari Isnin dan Khamis, serta melaksanakan solat Juma’at dan berjama’ah tidak akan sama dengan anak-anak yang melihat kebiasaan ayahnya yang gemar melepak di gerai-gerai, pusat-pusat hiburan, dan panggung wayang.

Apabila seseorang ayah selalu melakukan kebaikan kepada orang tuanya, mendoakan, dan memohonkan ampun untuk mereka, sentiasa berusaha mengambil tahu khabar mereka, mengambil hati mereka, memenuhi keperluan mereka, memperbanyakkan doa-doa kebaikan untuk mereka, serta menziarahi ke kubur mereka apabila telah meninggal, bersedekah untuk mereka, serta tetap menjalinkan hubungan baik dengan sahabat-sahabat mereka dan memberi hadiah kepada orang-orang yang biasa diberi hadiah oleh mereka dahulu, maka anak-anak yang melihat akhlak ayahnya seperti ini dengan izin Allah akan mengikutinya (mengambil contoh) dan juga akan memohonkan keampunan untuk orang tuanya.

Seseorang anak yang dididik dengan solat tidak akan sama dengan anak yang dibiasakan menonton filem, mendengar muzik, dan permainan bola sepak.

Seseorang anak yang melihat ayahnya melaksanakan solat di malam hari, menangis kerana takutkan Allah, membaca al-Qur’an, sudah tentu mereka akan berfikir:

“Mengapa ayah menangis?”

“Mengapa ayah solat?”

“Untuk apa ayah meninggalkan (bangun dari) tidur lalu pergi berwudhu’ dengan air yang sejuk di tengah-tengah malam seperti ini?”

“Untuk apa ayah hanya mengambil waktu yang sedikit untuk tidurnya dan memperbanyakkan berdoa dengan penuh kekhusyukkan, penuh harap, dan diliputi dengan perasaan penuh cemas?”

Setiap pertanyaan ini akan bermain-main di benak fikirannya dan akan sentiasa hadir di dalam perasaan ingin tahunya. Seterusnya ia mampu melahirkan perasaan ingin untuk mengikutinya.

Demikian juga dengan seorang anak perempuan yang melihat ibunya berhijab dari lelaki yang bukan mahramnya, menutup aurat di hadapan mereka, menutupi diri dengan perasaan malu, bersikap tenang, dan sentiasa menjaga kesucian diri. Anak tersebut akan menekuni dan menyelami akhlak tersebut dari ibunya.

Berbeza dengan seseorang anak perempuan yang selalu melihat ibunya bersolek di hadapan para lelaki bukan mahram, bersalaman dengan mereka, ikhtilat (bercampur-gaul dengan lelaki bukan mahram), serta melepak dengan mereka, saling bergelak-tawa, dan apatah lagi saling menari berdansa. Sudah tentu ia akan mempengaruhi jiwa dan naluri anak tersebut untuk mengikutinya.

Dari itu, takutlah kepada Allah, wahai ayah dan ibu di dalam membina jati diri anak-anak anda. Jadikanlah diri anda sebagai contoh teladan yang baik, berhiaslah dengan akhlak yang baik, tabiat yang mulia, dan sebelum semua itu berlaku - berpegang teguhlah terlebih dahulu dengan agama ini dan cintailah Allah dan Rasul-Nya.

Dinukil & Di-Alih Bahasa dari:

Syaikh Musthafa al-Adawi, Tarbiyatul Abna’- Bagaimana Nabi Mendidik Anak, m/s. 47-49, Terbitan/terjemahan Media Hidayah, Cet. 3.

Rabu, Februari 10, 2010

Nasihat Buat Penuntut Ilmu (Tholibil Ilm)

Nasihat Buat Penuntut Ilmu (Tholibil Ilm)

http://an-nawawi.blogspot.com

Berhati-hatilah dari menuntut ilmu untuk tujuan yang tidak benar dan bagi tujuan yang buruk seperti untuk berbangga-bangga, pertengkaran, riya’, dan sum’ah. Serta menjadikannya untuk mengejar habuan dunia serta jawatan. Ini bukanlah tujuan ahlul ilmi (ahli ilmu), padahal yang sebenarnya mereka adalah orang yang paling berhak. Sesiapa yang menuntut ilmu atau menggunakannya bagi tujuan yang buruk, maka dia tidak akan mendapat tempat di akhirat.

Mengamalkan ilmu bagi seseorang penuntut ilmu adalah suatu perkara yang paling utama yang perlu dipraktikkan. Hendaklah mereka memiliki sifat sebagaimana yang dituntut oleh ilmu sama ada di dalam persoalan akhlak, amalan, dan pengajaran. Dia (penuntut ilmu) adalah yang paling wajib untuk memiliki sifat dengan akhlak yang indah dan terlepas dari setiap akhlak yang buruk. Dia adalah orang yang paling layak untuk menunaikan kewajiban-kewajiban yang tersurat atau pun yang tersurat, dan meninggalkan perkara-perkara terlarang (haram), dan dengan ilmu tersebut ia dibezakan (dari peribadi yang buruk). Dan mereka sewajarnya dapat menjadi contoh teladan yang baik bagi manusia lainnya. Kerana kebiasaan manusia itu sewajarnya adalah mengambil contoh teladan dari para ulama mereka, sama ada mahu atau pun tidak di dalam pelbagai persoalan.

Para ahlul ilmi itu, mereka sering menjadi sasaran serangan dan kritikan di ketika mereka meninggalkan perkara yang dituntut oleh ilmu.

Demikian juga, para salaf itu mendapatkan pertolongan dengan mengamalkan ilmu untuk mengukuhkan ilmu mereka. Apabila dia mengamalkan ilmunya, maka ilmu tersebut akan tetap berada bersamanya, tidak hilang, dan akan terus berkembang, serta akan banyak mendatangkan keberkahan.

Sekiranya dia meninggalkan amal terhadap ilmunya, maka ilmu tersebut akan pergi dan hilang berkahnya. Ruh ilmu, kehidupan ilmu, dan penegak ilmu hanyalah dengan cara mengamalkannya, menerapkan akhlak, pengajaran, dan nasihat. Dan tiada daya dan kekuatan melainkan dengan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Agung.

Dinukil dari:

Syaikh Dr. Abdus Salam B. Barjas, 10 Rintangan Menuntut Ilmu (عوائق الطلب), m/s. 90-91, Terbitan/Terjemahan Pustaka al-Haura’, Cet. 3 2009M.

Rabu, Januari 06, 2010

Tabligh Akbar Bersama Prof. Dr. 'Abdurrozzaq B. 'Abdul Muhsin al-'Abbad al-Badr

Tabligh Akbar


Hadirlah ke Tabligh Akbar bersama Prof. Dr. Syaikh 'Abdurrozzaq B. 'Abdul Muhsin al-'Abbad al-Badr. Beliau adalah Pensyarah (Tenaga Pengajar Pasca Sarjana) Di Fakulti 'Aqidah & Usuluddin Universiti Islam Madinah. Terbuka kepada umum, sama-ada individu, keluarga, para penuntut ilmu, atau para pendidik.

Tarikh:
17 January 2010 (01 Safar 1431H) / Ahad

Waktu:
9pagi-waktu Zuhur.

Tempat:
Masjid Istiqlal, Jakarta Pusat.

Tajuk:
Sebab-sebab Datangnya Kebahagiaan...

Siaran Live (Audio):
InsyaAllah di Radio Rodja 756am.