
Selasa, Februari 14, 2012
Mengenal Imam asy-Syafi’i rahimahullah
Mengenal Imam asy-Syafi'i Rahimahullah
Abu Numair Nawawi. B. Subandi
http://an-nawawi.blogspot.com

Kita di Malaysia sering mendakwa dan mendabik dada mengamalkan Islam berdasarkan Mazhab asy-Syafi’i ahli sunnah wal-jama’ah. Tapi sayangnya, majoriti masyarakat Islam kita sendiri masih tidak tahu siapakah dia Imam asy-Syafi’i rahimahullah. Kenapa kita bermazhab Syafi’i? Apa karya-karya tulis beliau? Apa pegangannya?
Lantas benarkah kita bermazhab dengan mazhab asy-Syafi’i? Atau kita sedang mengamalkan mazhab yg kita pun tidak tahu menahu?
Sepatutnya wajib bagi kita untuk mengenali siapakah ulama kita. Iaitu tempat di mana kita mengambil ilmu, agama, dan pendapat. Iaitu para ulama yang mewariskan ilmu-ilmu tinggalan Nabi berupa al-Qur’an dan as-Sunnah.
Tidak wajar sekiranya kita mengamalkan suatu ilmu dan menisbahkan atas nama ulama tersebut namun kita tidak mengetahui siapakah beliau.
Seorang tabi’in besar, Muhammad B. Sirin rahimahullah (Wafat: 110H) mengatakan:
إِنَّ هَذَا الْعِلْمَ دِينٌ فَانْظُرُوا عَمَّنْ تَأْخُذُونَ دِينَكُمْ
“Sesungguhnya ilmu itu adalah dien (petunjuk kehidupan), oleh itu telitilah dengan baik daripada siapa kamu mengambil ilmu agama.” (Rujuk Mukaddimah Shahih Muslim, 1/33)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ
“Sesungguhnya para ulama itu adalah pewaris para Nabi. Dan para Nabi tidaklah mewariskan dinar mahu pun dirham. Namun, mereka mewariskan ilmu. Maka, sesiapa yang mengambil ilmu tersebut, benar-benar dia telah mendapat bahagian yang sangat besar.” (Hadis Riwayat Abu Daud, 49/10, no. 3157. Dinilai sahih oleh al-Albani)
Oleh itu, sebelum kita mengambil ilmu ulama tersebut dan bermazhab dengan pendapat serta ilmunya, ada baiknya kita mengenali terlebih dahulu siapakah beliau.
Perkataan Mazhab
Asal makna mazhab sebenarnya merujuk kepada pendapat, jalan, methodologi, aliran, ajaran, kerangka pemikiran, atau ushul bagi sesuatu perkara. Dari sudut istilah, mazhab merujuk kepada himpunan pendapat atau kerangka methodologi yang membina sesuatu pendapat bagi sesebuah aliran agama.
Contohnya seperti mazhab asy-Syafi’i, merujuk kepada methodologi yang digunakan oleh Imam asy-Syafi’i atau para pengikutnya dalam memahami nash-nash al-Qur’an dan al-hadis. Boleh juga merujuk kepada pegangan (atau fatwa) yang dikeluarkan oleh Imam asy-Syafi’i dan para pengikutnya sama ada dalam persoalan aqidah atau fiqh.
Di antara contoh-ontoh mazhab dalam aqidah adalah seperti mazhab ahlus sunnah wal-jama’ah, mazhab al-khawarij, muktazilah, qadariyah, murji’ah, al-asya’irah, dan syi’ah. Bagi mazhab fiqh, ia merujuk kepada contoh-contoh perbezaan pendapat dalam aliran ahli sunnah wal-jama’ah dalam urusan fiqh seperti Maliki, Hanafi, Syafi’i, dan Hanbali.
Perbezaan mazhab dalam aqidah akan menentukan benar atau sesatnya sesuatu kelompok tertentu. Dan mazhab yang benar dalam aqidah adalah mazhab ahli sunnah wal-jama’ah atau juga dikenali sebagai mazhab para salaf. Berbeza dengan perselisihan dalam aliran fiqh seperti Maliki, Hanafi, Syafi’i, dan Hanbali, ia tidak menjadi ukuran terkeluarnya seseorang atau pendukung mazhab fiqh tersebut dari kebenaran selagi mana masih berada dalam kerangka methodologi (mazhab) aqidah ahli sunnah wal-jama’ah.
Siapa Imam asy-Syafi’i?
Beliau adalah Muhammad B. Idris asy-Syafi’i B. al-‘Abbas B. ‘Utsman B. Syafi’i B. as-Saib B. ‘Ubaid B. ‘Abdu Yazid B. Hisyam B. al-Muthallib B. ‘Abdi Manaf. Imam asy-Syafi’i lahir pada tahun 150H yang merupakan tahun kewafatan Imam Abu Hanifah rahimahullah.
Beliau adalah seorang imam, ‘aalim (sangat berilmu), naashirul hadits (pembela hadis), dan pendapatnya (mazhabnya) menjadi ikutan. Beliau berketurunan Quraisy, lahir di perkampungan Ghozzah di kota ‘Asqalan lalu berhijrah ke Makkah. Beliau memiliki nasab sampai kepada nasab Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pada ‘Abdi Manaf B. Qushay.
Imam asy-Syafi’i rahimahullah dikenali sebagai pembela hadis kerana komitmennya dalam mengikuti sunnah dan terkenal menentang aliran ra’yi, iaitu golongan yang suka berhujah menggunakan akal berbanding dalil-dalil al-Qur’an dan al-hadis seperti golongan ahli kalam dan ahli falsafah. Termasuk gurunya sendiri iaitu Muhammad B. al-Hasan asy-Syaibani rahimahullah sering beliau bantah kerana berhujah dengan ra’yi.
Walaupun Imam asy-Syafi’i sangat menghormati dan menyayangi Muhammad B. al-Hasan asy-Syaibani rahimahullah, tetapi dikala pendapat yang dipegang oleh gurunya tersebut bertentangan dengan dalil, ia tidak berbasa-basi untuk menegur dan membantahnya. Oleh kerana itulah di setiap kali selesainya halaqah Muhammad B. al-Hasan, beliau akan datang mendekati anak-anak murid Muhammad B. al-Hasan yang lain untuk berdiskusi dengan mereka.
Pengembaraan beliau dalam menuntut ilmu mencakupi bumi Makkah, Madinah, Yaman, Kufah, Bashrah, Syam, dan Mesir. Beliau adalah seorang yatim, miskin, dan tidak berharta. Tetapi kerana semangatnya yang kental dan cintakan ilmu, akhirnya Allah memuliakannya sebagai seorang imam dalam agama ini.
Beliau membesar dalam asuhan seorang ibu dan guru yang ramai. Beliau begitu tekun belajar sehingga menguasai al-Qur’an seawal usia 7 tahun dan hafal kitab al-Muwaththa’ karya Imam Malik ketika usianya 10 tahun atau 13 tahun. Pada usianya 15 tahun (manakala dalam riwayat lain 18 tahun), beliau telah mendapat izin daripada gurunya Muslim B. Khalid az-Zanji rahimahullah untuk berfatwa.
Ketika di Makkah
Di usia kanak-kanaknya beliau telah menghabiskan masanya untuk mendalami agama dan berguru dengan ramai ulama. Beliau rajin menulis setiap ilmu yang dipelajarinya pada tulang-tulang dan yang seumpamanya. Kesusahan dan kemiskinan hidup sama sekali bukan halangan bagi dirinya untuk berkomitmen dalam menuntut ilmu.
Imam asy-Syafi’i menceritakan, “Aku hidup sebagai seorang yatim dalam jagaan ibuku. Ibuku tidak mampu membayar seorang guru untuk mengajarku. Tetapi guru tersebut redha dan merasa senang jika aku dapat menjadi penggantinya. Maka setelah aku menghabiskan al-Qur’an, aku hadir di masjid dan berkumpul bersama-sama para ulama untuk menghafal hadis dan permasalahan agama sementara tempat tinggal kami terletak di jalan Bukit al-Khaif. Aku menulis (ilmu yang dipelajari) di atas tulang. Setelah banyak, tulang-tulang tersebut aku masukkan ke dalam sebuah bekas besar.” (Tawaali at-Ta’siis, m/s. 54. Dr. Muhammad al-‘Aql, Manhaj al-Imam asy-Syafi’i fii Itsbaat al-‘Aqiidah, m/s. 23 – Maktabah Adhwa as-Salaf)
Berdasarkan keterangan riwayat-riwayat, Imam asy-Syafi’i memulakan pengajiannya dengan mempelajari al-Qur’an di Makkah, dan kemudian meneruskan kepada ilmu bahasa dengan mula menekuni sya’ir-sya’ir ‘Arab, sejarah ‘Arab, dan sastera-sastera ‘Arab. Beliau banyak bergaul rapat dengan suku Hudzail jauh di kawasan pedalaman yang dengannya beliau menguasai bahasa ‘Arab, balaghah, dan syai’r-sya’ir ‘Arab. Ini turut beliau teruskan ketika berulang-alik di antara Makkah dan Madinah.
Setelah menekuni ilmu bahasa, beliau kembali semula ke Makkah. Kemudian barulah beliau mendalami ilmu-ilmu fiqh di Makkah terutamanya bersama-sama dengan mufti Makkah ketika itu, Syaikh Muslim B. Khalid az-Zanji rahimahullah.
Setelah beberapa ketika, beliau pun mula mengorak langkah memulakan pengembaraan pertamanya ke Madinah dalam rangka menuntut ilmu. Beliau berangkat ke Madinah kira-kira pada usia 13 tahun dalam rangka menguasai ilmu hadis dan fiqh serta sering ulang-alik di antara Makkah dan Madinah.
Di Madinah beliau bertemu dengan Imam Malik B. Anas rahimahullah (Wafat: 179H), berguru dengannya, dan membacakan kitab al-Muwaththa’ karya Imam Malik yang telah beliau hafal sejak awal. Beliau dikatakan oleh para ulama sebagai telah mengambil hampir semua ilmu yang dimiliki oleh Imam Malik B. Anas dan menghimpunkan imu dari para ulama di Madinah.
Imam asy-Syafi’i rahimahullah menceritakan, “Aku keluar dari Makkah untuk hidup dan bergaul dengan suku Hudzail di kawasan pedalaman. Aku mengambil bahasa mereka dan mempelajari ucapan-ucapan mereka. Mereka adalah suku ‘Arab yang paling fasih bahasanya. Setelah beberapa tahun tinggal bersama-sama dengan mereka, aku pun kembali ke Makkah. Kemudian aku membacakan sya’ir-sya’ir mereka, mengungkapkan peristiwa-peristiwa dan kisah-kisah peperangan bangsa ‘Arab. Ketika itu lalulah seorang lelaki dari suku az-Zuhri dan beiau berkata kepadaku, “Wahai Abu ‘Abdillah, sayang sekali jika keindahan bahasa yang engkau kuasai tersebut tidak dimmbangi dengan ilmu dan fiqh.”
Aku (Imam asy-Syafi’i) menjawab, “Siapakah orang yang patut aku temui?” Ia menjawab pula, “Malik B. Anas, pemimpin umat Islam.” Imam asy-Syafi’i mengatakan, “Maka timbullah minatku untuk mempelajari kitab al-Muwaththa’ karya Imam Malik.” Atas sebab itu, aku pun meminjam kitab tersebut daripada seorang lelaki di Makkah. Setelah menghafalnya, aku pun menemui Gabernor Makkah dan mengambil surat untuk aku berikan kepada Gabernor Madinah dan Imam Malik.” (Dr. Muhammad al-‘Aql, Manhaj al-Imam asy-Syafi’i fii Itsbaat al-‘Aqiidah, m/s. 26 – Maktabah Adhwa as-Salaf)
Mush’ab az-Zuhri mengatakan, “Imam asy-Syafi’i telah mengambil hampir semua ilmu yang dimiliki oleh Imam Malik B. Anas dan mengumpulkan ilmu para syaikh yang ada di Madinah.” (Mu’jam al-Udabaa’, 17/283)
Ujian Melanda
Sekembalinya imam asy-Syafi’i dari Madinah ke Makkah, beliau rahimahullah amat sibuk dengan ilmunya. Walau bagaimanapun beliau masih tetap tidak merasa cukup dengan ilmu yang telah dimilikinya setakat itu. Jiwanya terus haus dan dahagakan ilmu. Ketika beliau mendengar perkhabaran tentang Yaman sebagai gudang ilmu, semangatnya pun membuak-buak untuk mendatangi negeri Yaman.
Setelah mendapat bekal yang mencukupi, beliau pun berangkat ke Yaman. Ketika Imam asy-Syafi’i berada di Yaman dalam rangka menuntut ilmu sambil bekerja, beliau telah difitnah oleh para pencinta dunia.
Pada ketika itu telah berlaku banyak permusuhan dan pembangkangan terhadap pemerintah yang dilakukan oleh golongan ‘Alawiyyah terhadap pemerintahan bani ‘Abbasiyyah ketika itu.
Mungkin disebabkan beliau dibenci oleh sebahagian kelompok disebabkan prestasi kerjanya ketika itu, beliau pun difitnah oleh para pencinta dunia kerana mereka bimbang imam asy-Syafi’i akan mendapat tempat di sisi pemerintah. Beliau dituduh sebagai berkomplot dengan golongan pemberontak puak ‘Alawiyyin.
Kerana fitnah yang berlegar tersebut, seorang panglima Bani ‘Abbasiyyah pun mengirimkan surat kepada khalifah Harun ar-Rasyid yang di antara kandungannya adalah, “Masyarakat sedang bimbang terhadap bahaya kaum ‘Alawiyyin kerana dalam kalangan mereka ada seorang pemuda bernama Muhammad B. Idris yang dengan lisannya mampu melakukan sesuatu yang jauh berbahaya berbanding pembunuh dengan pedangnya. Oleh itu, jika tuan memiliki kepentingan terhadap wilayah Hijjaz, asingkanlah mereka daripadanya.” Maka Imam asy-Syafi’i pun diikat tangannya bersama beberapa orang ‘Alawiyyin lalu dibawa ke ‘Iraq. (al-Baihaqi, Manaqib asy-Syafi’i, 1/106-107 – Maktabah Daar at-Turaats)
Atas sebab fitnah tersebut, maka khalifah Harun ar-Rasyid pun lantas memerintahkan Gabernor Yaman supaya mengusir asy-Syafi’i bersama-sama yang lainnya. Lalu beliau pun dibawa ke ‘Iraq dalam keadaan diikat dan dirantai. Selain itu beliau turut dibawa dalam keadaan disiksa sepanjang perjalanan untuk menghadap khalifah. Peristiwa ini berlaku pada sekitar tahun 184H ketika usia Imam asy-Syafi’i 30 tahun. Beliau disiksa, dipenjara, dan hampir dibunuh atas arahan khalifah ketika itu.
Tetapi Allah menyelamatkannya melalui bantuan Muhammad B. al-Hasan asy-Syaibani yang merupakan orang yang banyak berdampingan dengan khalifah. Setelah beliau dibebaskan, beliaupun berguru dan berdampingan dengan Muhammad B. al-Hasan bagi mendapatkan ilmu-ilmu fiqh dan hadis-hadis di ‘Iraq daripadanya. Setelah beberapa lama, beliau pun kembali ke Makkah dan mengajar di sana sebelum kembali semula ke ‘Iraq untuk kali keduanya.
Ini antaranya adalah sebagaimana apa yang digoreskan oleh al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) dalam kitab sirahnya, “Maka imam asy-Syafi’i rahimahullah dibawa dengan dinaikkan ke atas keldai dalam keadaan terikat menuju Baghdad pada tahun 184H. Ketika itu usianya 30 tahun. Kemudian beliau dihadapkan kepada Harun ar-Rasyid dan berlangsunglah perbicaraan di antara mereka berdua sementara Muhammad B. al-Hasan duduk di sisi khalifah Harun sambil memuji imam asy-Syafi’i rahimahullah. Akhirnya jelaslah bagi Harun ar-Rasyid bahawa tuduhan yang dilemparkan ke atas imam asy-Syafi’i tidaklah benar.
Seterusnya Muhammad B. al-Hasan asy-Syaibani pun memberikan tempat kepada imam asy-Syafi’i manakala sahabat beliau Abu Yusuf telah setahun atau dua tahun wafat. Asy-Syafi’i dimuliakan oleh Muhammad B. al-Hasan dan beliau pun menimba ilmu daripadanya.” (Ibnu Katsir, al-Bidayah wa an-Nihayah, 14/133 – Daar al-Hajr)
Walaupun imam asy-Syafi’i banyak mengambil ilmu daripada Muhammad B. al-Hasan asy-Syaibani dan sangat menghormatinya, tetapi perselisihan yang berlaku di antara mereka amat terkenal dan begitu masyhur sekali. Keduanya sering berdiskusi, berselisih pendapat, dan saling berdebat. Ini adalah kerana keteguhan pegangan imam asy-Syafi’i terhadap mazhab ahli hadis manakala Muhammad B. al-Hasan pula adalah mazhab ahli ar-ra’yi yang lebih mengedepankan logika.
Imam asy-Syafi’i banyak membaca dan mendalami karya-karya Muhammad B. al-Hasan, tetapi itu tidak bermakna beliau menerima secara bulat-bulat tanpa sebarang sifat kritis dan analisa. Imam asy-Syafi’i rahimahullah mengatakan, “Untuk memiliki kitab Muhammad B. al-Hasan rahimahullah, aku menghabiskan wang sebanyak 60 dinar. Kemudian aku mempelajarinya lalu aku tuliskan sebuah hadis bagi setiap permasalahan. Maksudnya adalah bertujuan melakukan bantahan (atau koreksi dengan mengemukakan dalil).” (Aadaab asy-Syafi’i, m/s. 33-34. Dr. Muhammad al-‘Aql, Manhaj al-Imam asy-Syafi’i fii Itsbaat al-‘Aqiidah, m/s. 34 – Maktabah Adhwa as-Salaf)
Setelah beberapa tempoh mengambil ilmu dari para ulama di ‘Iraq, beliau pun pulang ke Makkah dan namanya ketika itu cukup masyhur lagi dikenali. Beliau pun mula mengajarkan ilmunya di Masjid al-Haram yang merupakan tempat di mana dahulu beliau menimba ilmu.
Pada setiap kali tiba musim haji, ribuan manusia datang ke Makkah. Bagi mereka yang pernah mendengar nama beliau berserta ilmunya yang mengagumkan, mereka pun berlumba-lumba mengikuti majlis-majlis ilmu imam asy-Syafi’i sehinggalah nama imam asy-Syafi’i semakin terkenal ke pelbagai negeri.
Di antara yang mendatangi majlis ilmu imam asy-Syafi’i adalah imam al-Humaidi, Ishaq B. Rahawaih, dan Ahmad B. Hanbal rahimahumullah.
Imam al-Humaidi rahimahullah mengatakan, “Ketika Ahmad B. Hanbal rahimahullah tinggal bersama kami di Makkah, beliau mengikuti majlis ilmu Sufyan B. ‘Uyainah rahimahullah. Pada suatu hari, beliau mengajakku ke suatu tempat. Kata beliau, “Di sana ada seorang lelaki Quraisy yang memiliki ilmu pengetahuan dan bicara yang amat baik.”
“Siapakah beliau?” Aku bertanya. Ahmad menjawab, “Muhammad B. Idris asy-Syafi’i.” Ketika di ‘Iraq, Ahmad B. Hanbal pernah turut serta di majlis ilmunya. Kerana beliau sering memujukku, akhirnya aku pun duduk bersama dengannya. Setelah mendengar huraian perbahasannya dalam beberapa permasalahan, kami beredar. “Bagaimana pendapat engkau?” Tanya Ahmad B. Hanbal. Aku berusaha mencari-cari kesalahannya dan itu aku lakukan kerana dalam diriku terdapat kedengkian terhadap orang Quraisy. Maka Ahmad B. Hanbal pun berkata, “Rupanya engkau tidak senang jika ada pemuda Quraisy memiliki ilmu dan keindahan bahasa seperti beliau. Beliau membahaskan seratus masalah, tetapi salahnya hanya lima atau hanya sepuluh. Tinggalkanlah yang salah dan ambillah yang benar!”.” (Aadaab asy-Syafi’i, m/s. 44)
Imam Ahmad B. Hanbal rahimahullah pernah ditanya tentang imam asy-Syafi’i lalu beliau menjawab, “Allah telah menganugerahkan asy-Syafi’i kepada kami. Dahulu kami belajar perkataan para ulama dan menuliskan kitab-kitab mereka sehinggalah datang asy-Syafi’i kepada kami. Ketika kami mendengar perkataan asy-Syafi’i, maka kami tahu bahawa beliau lebih alim berbanding para ulama lainnya. Kami bermajlis bersamanya selama berhari-hari dan bermalam-malam tetapi kami tidak melihat sesuatu daripadanya melainkan yang baik-baik.”
Ahmad B. Hanbal juga mengatakan, “Tidak ada seorang pun yang berbicara tentang ilmu yang lebih sedikit kesalahannya dan lebih teguh berpegang terhadap sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam daripada asy-Syafi’i.” Selain itu, beliau juga mengatakan, “Apabila datang persoalan yang tidak ada riwayat hadisnya, maka berilah fatwa berdasarkan perkataan asy-Syafi’i.” Juga kata imam Ahmad, “Tidaklah seseorang memegang tinta dan pena melainkan asy-Syafi’i memiliki sumbangan terhadapnya.” (Mukaddimah Ahkam al-Qur’an karya al-Baihaqi, m/s. 12 – Pustaka Azzam)
Bertemu Imam Ahmad B. Hanbal di ‘Iraq
Pada pemergiannya ke ‘Iraq buat kali kedua pada tahun 195H (manakala sebahagian riwayat mengatakan tahun 199H atau 200H), beliau bertemu dengan Imam Ahmad B. Hanbal rahimahullah (Wafat: 241H) walaupun sebelumnya pernah bersua di Makkah ketika musim haji.
Perjalanannya yang kedua ini berbeza dengan perjalanannya yang pertama. Jika yang pertama disebabkan beliau difitnah dan diusir, tetapi kali ini adalah kerana kehendaknya sendiri. Nama beliau ketika ini jauh lebih dikenali berbanding kedatangan yang sebelumnya.
Beliau mendapat tempat dan kedudukan yang mulia di sisi masyarakat ‘Iraq ketika ini. Para penuntut ilmu yang sebelumnya belajar dengan para ulama lain justeru berpindah dan mengambil tempat di majlis-majlis imam asy-Syafi’i rahimahullah.
Sebaik beliau tiba di Iraq, para penuntut ilmu berlumba-lumba datang mengambil ilmu kepadanya termasuk Ahmad B. Hanbal, Ishaq B. Rahawaih, dan ‘Abdurrahman B. Mahdi. Di samping itu, beliau turut bergaul dan saling mengambil ilmu daripada Imam Ahmad B. Hanbal. Majlis-majlis para ahli ra’yi yang sebelumnya begitu banyak pun akhirnya berkurangan sebaik kedatangan imam asy-Syafi’i kerana masing-masing penuntut ilmu berpindah ke majlis ilmu imam asy-Syafi’i. Demikian juga para pencinta hadis, mereka tidak melepaskan peluang untuk bermajlis dan mengambil ilmu daripda imam asy-Syafi’i.
Imam Ahmad B. Hanbal berkata, “Kalau sebelumnya banyak kesimpulan kami (para ulama hadis) diambil dari para pengikut imam Abu Hanifah dan ianya tidak diangkat sehinggalah datangnya imam asy-Syafi’i rahimahullah. Beliau adalah orang yang paling faham tentang kitab Allah dan Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Beliau tidak pernah puas dengan hanya mencari sedikit hadis.”
Imam Ibrahim B. al-Harbi rahimahullah mengatakan, “Ketika imam asy-Syafi’i rahimahullah datang ke Baghdad, di Masjid Jami al-Gharbi terdapat 20 halaqah (majlis ilmu) yang diadakan oleh para ulama ra’yi. Pada Juma’at kedua setelah kedatangan imam asy-Syafi’i, yang tinggal hanya 3 atau 4 halaqah sahaja. Padahal imam asy-Syafi’i tidaklah menetap di ‘Iraq dan adakalanya di Makkah.”
Imam asy-Syafi’i rahimahullah datang ke negeri kami pada tahun 195H dan beliau menetap selama 2 tahun. Setelah itu beliau pergi ke Makkah lalu pada tahun 198H beliau datang lagi dan menetap selama beberapa bulan dan kemudian pergi pula ke Mesir.” (al-Baihaqi, Manaqib asy-Syafi’i, m/s. 1/220)
Abu Tsaur rahimahullah mengatakan, “Ketika imam asy-Syafi’i datang ke ‘Iraq, datanglah kepadaku Husain al-Karabisi. Beliau dan aku ketika itu cenderung kepada mazhab ahli ra’yi. Kata Husain, “Telah datang seorang lelaki ahli hadis yang juga ahli fiqh. Marilah kita uji beliau.” Maka kami pun berangkat menemui imam asy-Syafi’i. Husain al-Karabisi mengujinya dengan mengajukan sebuah pertanyaan. Maka imam asy-Syafi’i terus menjawabnya dengan membawakan ayat-ayat al-Qur’an dan banyak hadis-hadis sehingga akhirnya kami pun meninggalkan bid’ah-bid’ah yang kami lakukan sebelum itu lalu kami pun mengikutinya.” (Manaaqib asy-Syafi’i, 1/220)
Kata Imam Ahmad B. Hanbal, “Imam asy-Syafi’i benar-benar adalah pembela sunnah.” (Manaaqib asy-Syafi’i, 1/471)
Imam Ahmad B. Hanbal juga berkata, “Di antara sikap terpuji imam asy-Syafi’i adalah apabila beliau mendengar sebuah hadis (yang sahih yang bertentangan dengan pendapatnya) yang belum pernah beliau dengar, maka beliau akan mengambil hadis tersebut dan meninggalkan pendapatnya.” (Manaaqib asy-Syafi’i, 1/476)
Beliau juga mengatakan, “Mujaddid pada abad pertama adalah ‘Umar B. ‘Abdul ‘Aziz rahimahullah, manakala pada abad kedua pula adalah imam asy-Syafi’i rahimahullah.”
Kata beliau juga, “Benar-benar semenjak 40 tahun lalu aku sentiasa mendoakan imam asy-Syafi’i dalam setiap solatku.” (al-Baihaqi, Manaaqib asy-Syafi’i, 1/55)
Kata Ahmad B. Hanbal rahimahullah lagi, “Aku tidak pernah melihat orang yang lebih mengikuti sunnah berbanding imam asy-Syafi’i rahimahullah.” (al-Baihaqi, Manaaqib asy-Syafi’i, 1/471)
Kata ‘Abdurrahman B. Abu Hatim rahimahullah, Ahmad B. Hanbal lebih hebat daripada Imam asy-Syafi’i (dalam bidang hadis) kerana Imam asy-Syafi’i belajar banyak perkara berkaitan hadis daripada Imam Ahmad. Kata Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah, Imam Ahmad tidak membaca kitab tertentu secara khusus bersama Imam asy-Syafi’i, tetapi mereka saling berdampingan dan saling mengambil ilmu di antara satu sama lain.
Kata Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahillah (Wafat: 728H), Imam Ahmad B. Hanbal rahimahullah tidak membaca suatu kitab tertentu di hadapan imam asy-Syafi’i rahimahullah secara khusus, tetapi mereka saling berdampingan (mengambil ilmu) sebagaimana imam asy-Syafi’i rahimahullah mendampingi Muhammad B. al-Hasan asy-Syaibani yang mana masing-masing saling mengambil dan memberi ilmu di antara mereka.
Keselarian pendapat di antara mereka berdua dalam ushul fiqh lebih banyak berbanding keselarian imam asy-Syafi’i dengan Muhammad B. al-Hasan. Usia imam asy-Syafi’i rahimahullah 17 tahun lebih tua berbanding imam Ahmad B. Hanbal. Imam asy-Syafi’i rahimahullah datang pertama kali ke Baghdad pada tahun 187H. Ketika Muhammad B. al-Hasan masih hidup dan setelah wafatnya al-Qadhi Abu Yusuf rahimahullah, kemudian beliau datang untuk kali keduanya ke Baghdad pada tahun 197H. Ketika itulah beliau bertemu dengan Ahmad B. Hanbal.” (Ibnu Taimiyyah, Minhajus Sunnah an-Nabawiyah, 7/533)
Pergi ke Mesir
Ketika fitnah ilmu kalam melanda, imam asy-Syafi’i pun tidak lagi senang tinggal di ‘Iraq. Ketika itu ‘Iraq dipimpin oleh khalifah al-Ma’mun dan beliau dikuasai oleh tokoh-tokoh ahli kalam sehingga al-Ma’mun sendiri turut merealisasikan permusuhan terhadap para ahli sunnah.
Khalifah al-Ma’mun ketika itu begitu rapat dan bergaul sama dengan para tokoh utama ulama ilmu kalam malah beliau menjadikan para ulama ahli kalam sebagai juru tulis dan sahabat-sahabat yang akrab. Tokoh-tokoh ahli kalam diberi kedudukan yang istimewa di sisi beliau. Dunia Islam pada itu benar-benar bergolak dengan fitnah ilmu kalam.
Darah-darah para ulama ahli sunnah mula halal ditumpahkan, mereka dibunuh dan disiksa dengan kejam. Di antara fitnah yang begitu jelas melanda adalah perintah supaya mengimani bahawa al-Qur’an adalah makhluk, bukan kalamullah. Para ulama ahli sunnah benar-benar tersiksa dan menderita ketika itu.
Di sinilah bermulanya kemuncak kegemilangan bid’ah muktazilah (ahli kalam). Ia menyebar-luas di ‘Iraq di bawah pemerintahan khalifah al-Ma’mun dan sunnah pun tampak tenggelam, manakala tokoh-tokohnya ditindas dan dibunuh.
Inilah faktor yang menjadikan imam asy-Syafi’i rahimahullah berhasrat meninggalkan ‘Iraq lalu memilih dan menuju Mesir. Di Mesir, mazhab imam Malik masih tersebar luas dan ia adalah termasuk mazhab ahli hadis atau ahli sunnah wal-jama’ah. Suasana di Mesir ketika itu masih murni dan jauh dari bid’ah-bid’ah ilmu kalam dan tokoh-tokohnya.
Imam asy-Syafi’i berkata di dalam Sya’irnya:
Jiwaku ingin ke Mesir
Tetapi aku perlu menempuh tanah yang tandus...
Wallahi, aku tidak tahu sama ada untuk mendapatkan kekayaan
Atau meraih kebahagiaanku di sana.
Atau ke kuburan aku akan digiring? (Diiwaan asy-Syafi’i, m/s. 47)
Apabila sampai sahaja di Mesir beliau pun menuju ke Masjid ‘Amr B. al-‘Ash. Untuk pertama kalinya beliau berbicara di situ dan dengan serta-merta beliau pun dicintai dan disukai oleh masyarakat. (al-Baihaqi, Manaaqib asy-Syafi’i, 2/284)
Harun B. Sa’id al-Ayli berkata, “Aku tidak pernah melihat orang seperti imam asy-Syafi’i rahimahullah. Ketika datang ke Mesir, orang-orang berkata, “Telah datang kepada kita seorang lelaki Quraisy. Kami pun mendatanginya ketika beliau sedang solat. Ternyata kami belum pernah melihat seorang yang solatnya lebih baik daripada beliau dan wajah yang lebih tampan daripada beliau.
Bila beliau berbicara, kami pun belum pernah mendengar ada orang lain yang lebih indah bahasanya dari bahasa beliau. Kerana itulah kamipun tertarik kepadanya.”
Di sanalah ilmu dan keluasan pandangan imam asy-Syafi’i rahimahullah terpapar. Ia meguasainya melalui pengembaraan dan beliau mengambil banyak pelajaran melalui siri-siri pengembaraan tersebut. Beliau teliti kembali kitab-kitab yang telah ditulisnya lali beliau perbaiki kesalahan-kesalahan yanga da. Beliau banyak mengubah pendapat-pendapatnya dengan mengemukakan pendapat-pendapat yang baru lalu beliau tuliskan ke dalam kitab.
Ramai para ulama yang terkesan dengan ilmu, manhaj, dan keteguhan beliau dalam mengikuti sunnah. Mereka belajar dan berguru kepadanya setelah sebelumnya mereka fanatik terhadap satu mazhab iaitu sama ada mazhab Malik B. Anas atau mazhab Abu Hanifah. (Dr. Muhammad al-‘Aql, Manhaj al-Imam asy-Syafi’i fii Itsbaat al-‘Aqiidah, m/s. 39 – Maktabah Adhwa as-Salaf)
Wafatnya Imam asy-Syafi’i rahimahullah
Imam asy-Syafi’i begitu giat dan sibuk berdakwah sehingga akhir hayatnya. Beliau begitu gigih menyebarkan ilmu dan mengarang kitab di Mesir tersebut sehingga ianya memberi mudharat ke atas tubuh beliau. Akibatnya beliau terkena penyakit buwasir yang menyebabkan keluarnya darah. Tetapi disebabkan kecintaannya terhadap ilmu, beliau tetap meneruskan pekerjaannya tersebut tanpa mempedulikan sakitnya. Sehingga akhirnya beliau pun meningga dunia di akhir bulan Rejab tahun 204H. Semoga Allah memberi rahmat yang luas kepadanya. (al-Baihaqi, Manaaqib asy-Syafi’i, 2/291. Dr. Muhammad al-‘Aql, Manhaj al-Imam asy-Syafi’i fii Itsbaat al-‘Aqiidah, m/s. 39)
Para Guru dan Murid Imam asy-Syafi’i
Imam asy-Syafi’i rahimahullah mengambil banyak ilmu dari para ulama di pelbagai tempat dan wilayah. Ini disebutkan oleh ramai ulama tahqiq dan penyusun biografi seperti al-Baihaqi, Ibnu Katsir, al-Mizzi, dan al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani.
Kata al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah, “Imam asy-Syafi’i belajar banyak hadis daripada para syaikh dan para imam. Beliau membaca sendiri kitab al-Muwaththa’ dengan hafalan sehingga imam Malik rahimahullah kagum terhadap daya hafalan dan usaha gigihnya. Diriwayatkan daripada Imam Malik bahawa imam asy-Syafi’i rahimahullah mengambil ilmu ulama Hijjaz sebagaimana beliau mengambilnya daripada Syaikh Muslim B. Khalid az-Zanji rahimahullah.” (Ibnu Katsir, al-Bidayah wa an-Nihayah, 14/132-133 – Daar al-Hajr)
Imam al-Baihaqi menyebutkan di antara guru Imam asy-Syafi’i di Makkah adalah Imam Sufyan B. ‘Uyainah (Wafat: 198H), ‘Abdurrahman B. Abu Bakar B. ‘Abdullah B. Abu Mulaikah, Ismai’il B. ‘Abdullah B. Qisthinthin al-Muqri (Wafat: 170H), Muslim B. Khalid az-Zanji (Wafat: 179H), dan banyak lagi yang lain.
Kemudian ketika di Madinah adalah Imam Malik B. Anas, ‘Abdul ‘Aziz B. Muhammad ad-Darawadi, Ibrahim B. Sa’ad B. ‘Abdurrahman B. ‘Auf, dan selainnya. Dari wilayah-wilayah lainnya pula adalah seperti Hisyam B. Yusuf ash-Shan’ani (Wafat: 197H), Mutharrif B. Mazin ash-Shan’ani, Waki’ B. al-Jarrah (Wafat: 196H), dan Muhammad B. al-Hasan asy-Syaibani (Wafat: 189H), serta banyak lagi selainnya.
Imam al-Baihaqi rahimahullah turut menyebutkan anak-anak murid utama Imam asy-Syafi’i rahimahullah dalam kitab Manaqibnya. Secara umumnya, orang yang mengambil ilmu secara langsung daripada Imam asy-Syafi’i amatlah ramai dan tidak ada yang mampu menghitungnya kecuali Allah Subhanahu wa Ta’ala. Tetapi di antara yang terkenal lagi utama adalah seperti Imam ar-Rabi’ B. Sulaiman al-Muradi lahir pada 174H dan wafat pada tahun 270H. Beliau banyak meriwayatkan hasil tulisan Imam asy-Syafi’i.
Kedua, Abu Ibrahim Isma’il B. Yahya al-Muzani (Wafat: 264H). Imam al-Muzani dikatakan oleh Imam asy-Syafi’i sebagai, “pembela mazhabku.”
Seterusnya adalah Imam Abu Ya’qub Yusuf B. Yahya al-Buwaithi rahimahullah (Wafat: 231H). Beliau adalah al-Imam, al-‘Allamah, Sayyid al-fuqaha’ (imam para ahli fiqh), dan merupakan sahabat imam asy-Syafi’i yang saling berdampingan sehingga ia menjadi murid asy-Syafi’i yang paling menonjol.
Imam asy-Syafi’i menyebutkan tentang al-Buwaithi, “Tidak ada seorang pun dari para sahabatku yang lebih banyak ilmunya daripada al-Buwaithi.”
Al-Buwaithi banyak berhadapan dengan fitnah ahli kalam (muktazilah) ketika pemerintahan khalifah al-Watsiq. Beliau disiksa atas arahan khalifah dan akhirnya mati dalam penjara. Beliau adalah seorang yang sabar, imam dalam ilmu, menjadi contoh dalam amal, seorang yang zuhud, sentiasa berzikir, dan banyak tahajjudnya.
Imam ar-Rabi’ B. Sulaiman rahimahullah berkata, “al-Buwaithi rahimahullah bibirnya sentiasa bergerak mengingati Allah. Aku tidak pernah menemui orang yang lebih cepat memetik hujjah dari Kitabullah mengatasi al-Buwaithi.
Aku melihat beliau dinaikkan di atas seekor kuda dengan leher dan kakinya diikat serta diberi beban batu seberat 40 rithil (lebih kurang 17 kilogram).
Al-Buwaithi berkata, Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menciptakan makhluk dengan kata “kun” (jadilah!), maka makhluk itu pun jadi (wujud). Jika kata “kun” merupakan makhluk, seakan-akan suatu makhluk telah diciptakan oleh makhluk yang lain!?
Jika aku dimasukkan untuk menghadapnya (khalifah al-Watsiq), aku akan tetap berkata jujur padanya. Aku akan mati dalam belenggu ini sehingga datang suatu kaum yang mengetahui bahawasanya telah mati dalam keadaan terbelenggu segolongan manusia kerana persoalan ini.”
Al-Buwaithi rahimahullah meninggal dunia dalam keadaan terbelenggu di penjara ‘Iraq pada tahun 231H. (adz-Dzahabi, Siyar A’lam an-Nubala’, 12/358)
Demikianlah serba ringkas catatan-catatan berkaitan kehidupan, peribadi, pengembaraan, dan keilmuan imam asy-Syafi’i rahimahullah. Semoga kita dapat mengenali beliau dengan lebih dekat sekaligus mengambil manfaat yang luas daripada beliau. Tidak hanya sekadar mengenal dan mendengar nama, tetapi mengenal beliau dari sudut ilmu, agama, dan kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Wallahu a’lam.
Rabu, Januari 11, 2012
Berilmu Sebelum Berkata dan Beramal
Berilmu Sebelum Berkata dan Beramal
Abu Numair Nawawi B. Subandi
http://an-nawawi.blogspot.com

Imam al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H) membuat bab dalam kitab Shahihnya, “Bab al-‘Ilmu Qablal Qaul wal ‘Amal.” Iaitu bab: berilmu sebelum berkata dan beramal.
Maksudnya, “Ilmu adalah syarat sahnya suatu ucapan dan perbuatan. Ucapan dan perbuatan tidak akan bermakna melainkan dengan ilmu. Ilmu lebih didahulukan dari keduanya (ucapan dan amal). Kerana ilmu akan meluruskan niat dan membenarkan amal.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 1/160)
Untuk melakukan sesuatu kebaikan, kita perlukan ilmu. Untuk mendapat dunia, kita perlukan ilmu. Untuk mendapatkan akhirat, tidak dapat tidak mestilah dengan ilmu.
Ilmu yang wajib dan fardhu bagi kita semua adalah ilmu tentang agama ini. Iaitu ilmu tentang iman kita, tentang tauhid, dan yang dapat membuahkan jalan petunjuk kehidupan dunia dan akhirat. Dengan ilmu jugalah kita dapat mengenali Rabb kita.
Kata Imam adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 748H), “Ilmu itu bukanlah dengan banyaknya riwayat, tetapi ia adalah cahaya yang dicampakkan oleh Allah ke dalam hati, dan syaratnya adalah al-ittiba’ (mengikuti sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam), dan melarikan diri dari hawa nafsu serta menjauhi al-ibtida’ (bid’ah).” (Siyar A’lam an-Nubala’, 13/323)
Ilmu tentang agama, tidak dapat tidak mesti diambil dari sumber yang benar. Diambil dan ditela‘ah dari kitab-kitab tafsir dan kitab-kitab hadis. Iaitu kitab-kitab yang memuatkan penjelasan tentang wahyu Allah berupa tafsir-tafsir al-Qur’an dan syarah hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Di antara kitab tafsir terbaik adalah seperti Tafsir Ibnu Katsir manakala rangkaian kitab-kitab hadis menurut keutamaan adalah seperti Shahih al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Tirmidzi dan seterusnya berserta syarah dan penjelasannya.
Dari kitab-kitab ini kita dapat mendulang mutiara petunjuk yang tidak ternilai harganya. Di sinilah letak perkhabaran penting. Iaitu khabar wahyu tentang apa yang telah berlaku, yang sedang terjadi, dan apa yang bakal datang di masa hadapan. Kandungannya bukan jenaka, bukan khayalan. Bukan untuk satu atau dua hari seperti kisah surat khabar. Tetapi merupakan khabar kebahagiaan dan bekal selamanya.
Di dalamnya adalah khabar ilmu bermanfaat. Sebagaimana kata adz-Dzahabi rahimahullah, “Tahukah kamu apa ilmu yang bermanfaat tersebut? Iaitu ilmu yang turun bersama al-Qur’an dan ditafsirkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan ucapan, perbuatan, dan yang tiada larangan darinya. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Sesiapa yang membenci sunnahku, maka dia tidak termasuk golonganku.” (Siyar A’lam an-Nubala’, 19/339-340)
Ilmu Sebelum Beramal
Aqidah dan tauhid yang benar akan menyelamatkan kita dari syirik. Untuk membezakan di antara tauhid dan syirik, tidak dapat tidak, mestilah dengan ilmu. Apabila ilmu yang benar dikuasai, tauhid yang murni pun diimani. Apabila tauhid telah murni, maka amal-amal soleh tidak akan disia-siakan. Kerana di antara syarat diterimanya amal adalah dengan murninya aqidah.
Keutamaan Orang Berilmu
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya), “Katakanlah: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” (Surah az-Zumar, 39: 9)
Dari ayat ini, Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma menyatakan:
“Syarat bagi seseorang untuk dikatakan sebagai ‘aalim tentang Allah yang Maha Pengasih di antara hamba-hamba-Nya adalah tidak mensyirikkan Allah, menghalalkan dan mengharamkan sebagaimana yang ditetapkan Allah, menjaga dan memelihara tuntutan dan kehendak Allah, meyakini bahawa Allah akan menemuinya dan menghisap amal perbuatannya.” (Tafsir Ibnu Katsir, 6/544)
Maka dari mana lagi untuk kita meraih ilmu-ilmu pengetahuan tentang agama ini melainkan dari kitab Allah (al-Qur’an) dan hadis-hadis Rasul-Nya. Inilah apa yang telah dihadam dan difahami oleh generasi terbaik dari umat manusia setelah para Nabi dan Rasul. Generasi manusia pilihan yang telah dijanjikan Syurga oleh Allah Ta’ala kerana menerima dan beriman dengan apa yang datang dari Allah dan Rasul-Nya.
Allah Ta’ala berfirman (maksudnya), “Dan apabila dikatakan: “Berdirilah kamu.” Maka berdirilah, nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (Surah al-Mujadilah, 58: 11)
Kata Imam Qotadah, “Apabila kamu diajak kepada kebaikan (ilmu), maka ikutlah.” Kerana dengan mengikuti ilmu, darjat seseorang akan diangkat di sisi Allah.
Tidak Berkata Tanpa Ilmu
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya), “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak memiliki pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati, semuanya itu akan diminta bertanggungjawab.” (Surah al-Isra’, 17: 36)
Tetapi kita berasa kecewa pada hari ini apabila mendengar banyaknya orang-orang yang bercakap dan mengambil agama tanpa membawakan dalil dari al-Qur’an mahupun as-Sunnah. Sedangkan agama Islam ini bukan agama yang diolah dengan hawa nafsu dan perasaan. Tidak juga boleh digoreng sesuka hati. Tapi sayangnya, ramai orang hari ini perkataan dan perbuataannya mendahului ilmu di dalam dadanya.
Lebih-lebih lagi dengan kepesatan teknologi internet seperti youtube, blog, dan media sosial hari ini. Orang jahil berlumba-lumba mahu berbicara dan menonjolkan diri. Pantang ditanya, pasti menjawab. Jarang sekali hari ini kita menemui orang-orang agama yang sanggup mengatakan “Allahu A’lam” bagi sesuatu yang tidak diketahuinya. Sedangkan jawaban “Allahu A’lam” tersebut termasuk sebahagian dari tanda dalamnya ilmu seseorang.
Ini sebagaimana kata sahabat nabi, ‘Abdullah B. Mas’oud radhiyallahu ‘anhu, “Wahai manusia, sesiapa yang mengetahui sesuatu hendaklah dia mengatakannya, dan sesiapa yang tidak mengetahui hendaklah dia mengatakan, “Allahu A’lam (Allah lebih mengetahui).”
Kerana termasuk sebahagian dari ilmu adalah mengatakan “Allahu A’lam” bagi sesuatu yang tidak diketahuinya.” Kemudian beliau menyebutkan firman Allah Surah Shaad, 38: 86: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak meminta upah sedikitpun padamu atas dakwahku dan bukanlah aku dari kalangan orang yang mengada-adakan (dari apa yang tidak diketahui).”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 4435)
Jangan Berdusta
Apa jua ilmu mestilah dipastikan kesahihannya dan tidak diambil dari yang bukan sumbernya. Kerana setiap ilmu (atau maklumat) yang diambil tanpa dapat dipastikan sumber dan kesahihannya, hakikatnya ia bukanlah ilmu. Malah Banyak dalil-dalil yang mengancam dari menyebarkan sesuatu tentang agama yang tidak dapat ditentukan benar atau tidaknya.
Bercakap agama tanpa dalil yang benar, ia akan menjerumuskan pelaku ke dalam perbuatan mendakwa-dakwi tentang Allah dan agama ini dengan sesuatu yang tidak pasti. Perbuatan seperti ini termasuk kedustaan dan kezaliman. Malah termasuk ajaran syaitan.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya), “Maka siapakah yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah untuk menyesatkan manusia dengan tidak berdasarkan ilmu pengetahuan? Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.” (Surah al-An’am, 6 : 144)
Dalam ayat yang lain, “Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui.” (Surah al-Baqarah, 2: 169)
Dan orang-orang yang bercakap agama tanpa bukti dalil yang benar serta tergesa-gesa dalam menyebarkannya, ia dianggap pendusta. Kata Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Cukuplah seseorang dianggap pendusta ketika dia menceritakan setiap apa yang dia dengar.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 6)
Oleh itu, berilmulah sebelum berkata dan beramal!
Khamis, Januari 05, 2012
Kita Solat Ikut Siapa?
Kita Solat Ikut Siapa?
Abu Numair Nawawi B. Subandi
http://an-nawawi.blogspot.com
Cabang iman itu banyak jumlahnya. Ini sebagaimana disebutkan dalam hadis ada lebih dari enam puluh atau tujuh puluh cabang. Iman yang paling tinggi adalah memahami kalimat tauhid laa ilaaha illallah, manakala yang paling rendah adalah menyingkirkan gangguan dari jalanan.
Di antara cabang keimanan yang paling tinggi setelah kalimat tauhid adalah mendirikan solat. Ini bersesuaian juga dengan tahapan kedudukannya dalam rukun Islam. Mendirikan solat bukan sekadar perbuatan, tetapi perlu dengan keimanan, penghayatan, perkataan, ilmu, dan kesungguhan.
Berdasarkan dalil-dalil yang sahih, ditunjukkan bahawa solat memiliki nilai keududukan yang tinggi. Antaranya ia menjadi pembeza di antara kafir dan Islam sekaligus menunjukkan agama tidak akan tertegak jika ia ditinggalkan. Ini sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاةِ
“Bahawasanya yang membezakan di antara seseorang dengan kesyirikkan dan kekafiran adalah meninggalkan solat.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab al-Iman, 1/228, no. 116)
Selain sebagai tanda keimanan dan keislaman, Allah Subhanahu wa Ta’ala juga menjadikannya termasuk di antara tanda-tanda kejayaan dan asas-asas kebahagian. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ
الَّذِينَ هُمْ فِي صَلاتِهِمْ خَاشِعُونَ
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyu’ dalam solatnya.” (Surah al-Mukminun, 23: 1-2)
Maka dari sini menunjukkan bahawa amalan solat itu amat penting kepada umat Islam. Ia menjadi nadi keimanan, tiang agama, dan asas-asas utama sebuah kejayaan.
Solat Ikut Nabi
Di antara ciri utama solat yang sempurna adalah dengan mengikuti sifat solatnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Kerana tatacara solat ini tidak dapat diketahui dan dipelajari melainkan dengan melihat kepada praktik solat Rasulullah. Beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
وَصَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي
“Solatlah sebagaimana kamu melihat aku solat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 3/7, no. 595)
Bagi melaksanakan tuntutan hadis ini pada hari ini, tidak dapat tidak, kita mesti melihatnya melalui penjelasan yang disampaikan oleh hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang sahih.
Pernahkah kita terfikir, “Sejauh manakah solat yang kita praktikkan pada hari ini menepati tatacara sifat solat Nabi dan para sahabatnya?” “Adakah yang kita amalkan selama ini benar-benar menepati sunnah Rasulullah?”
“Apa dalil dan landasannya?” “Kenapa adakalanya solat yang kita laksanakan berbeza dengan tatacara solat orang yang lain? Ada yang begitu, dan ada yang tidak begini?” “Kalau solat dilaksanakan begini sahkah? Apa buktinya?” “Kenapa praktik solat mazhab A berbeza dengan praktik solat Mazhab B?”
Maka, apa tindakan kita terhadap persoalan-persoalan yang ditimbulkan ini?
Sebenarnya Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memberikan jalan keluar kepada perselisihan dan keraguan ini sebagaimana firman-Nya:
“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Qur’an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Ini lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (Surah an-Nisaa’, 4: 59)
Pada hari ini, buku-buku atau kitab-kitab yang menjelaskan tentang tatacara sifat solat Rasulullah berdasarkan hadis-hadis yang sahih telah banyak diterjemahkan dan beredar di pasaran serta boleh pula dimuat turun percuma dari internet. Inilah antara nikmat Allah kepada kita dengan memudahkan proses meraih ilmu.
Antara buku atau kitab terbaik dalam bab ini adalah seperti karya seorang ulama hadis kontemporari Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah (Wafat: 1420H). Ia telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Malaysia dan Indonesia dengan judul, Sifat Solat Nabi.
Selain itu, para pembaca juga boleh mendapatkan bantuan dari para ilmuan untuk mendapat lebih penjelasan sekiranya perkara ini sukar difahami. Adalah termasuk perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala supaya kita bertanya kepada para ulama dan orang-orang yang mengetahui tentang al-Qur’an dan al-Hadis apabila kita tidak mengetahuinya. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لا تَعْلَمُونَ
“... maka bertanyalah kepada orang-orang yang memiliki pengetahuan (tentang al-Qur’an dan as-Sunnah) jika kamu tidak mengetahui.” (Surah an-Nahl, 16: 43)
Termasuk kefahaman dari ayat ini juga, adalah menjadi tanggungjawab bagi para ulama dan ilmuan supaya menjelaskan dan menyampaikan ilmu-ilmu Islam kepada masyarakat berdasarkan al-Qur’an dan al-Hadis. Iaitu bukan sekadar pendapat yang diada-adakan sendiri tanpa dalil yang jelas.
Tidaklah nanti praktik solat kita ini bila timbul persoalan, maka kita hanya tahu menyandarkannya kepada si fulan, ustaz fulan, dan kitab fulan. Maka kelak nanti akan timbul gejala kepuakan dan perselisihan disebabkan masing-masing melaksanakan agamanya berdasarkan idea si fulan dan tokoh si fulan. Sedangkan Rasulullah Shallalalhu ‘alaihi wa Sallam meminta kita merujuk kepadanya. Dan ini tidak dapat dilakukan melainkan berdasarkan kemampuan, ilmu, dan usaha yang bersungguh-sungguh.
Dan perkara ini bersesuaian dengan wasiat para imam mazhab yang empat termasuk Imam asy-Syafi’i rahimahullah sendiri.
Kata Imam asy-Syafi’i (Wafat: 204H), “Tidak ada seorang pun melainkan ia wajib bermazhab dengan sunnah Rasulullah dan mengikutinya. Apa jua yang aku ucapkan atau tetapkan tentang sesuatu perkara (ushul), sedangkan ucapanku itu bertentangan dengan sunnah Rasulullah, maka yang diambil adalah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan demikianlah ucapanku (dengan mengikuti sabda Rasulullah).” (Disebutkan oleh Ibnul Qayyim dalam I’lam al-Muwaqq’in, 2/286)
Jadi, apabila para ulama besar seperti imam asy-Syafi’i sendiri telah menyatakan demikian, maka tidak patut lagi ada alasan bagi kita untuk mengambil enteng persoalan agama ini terutamanya isu-isu berkaitan solat selaku amalan terbesar sebagai seorang muslim. Tidak bolehlah kita hanya memberi alasan aku ikut mazhab si fulan, aku ikut mazhab imam ini, dan aku ikut ustaz si fulan. Sedangkan kita sendiri tidak mengetahui apa dalil yang menjadi pijakan kita di sebalik perbuatan mengikuti mereka.
Imam Abu Hanifah rahimahullah (Wafat: 150H) pernah menegaskan:
لا يحل لأحد أن يأخذ بقولنا ما لم يعلم من أين أخذناه
“Tidak halal bagi seorang pun mengikuti perkataan kami apabila ia tidak tahu dari mana kami mengambil sumbernya.” (Ibn ‘Abidin, Hasyiah al-Bahri ar-Ra’iq, 4/293 – Dinukil dari Shifah ash-Sholah oleh al-Albani)
Maka, bukalah minda, tuntulah ilmu, dan perbaikilah solat-solat kita. Jangan jadikan perbezaan yang ada pada hari sebagai alat perselisihan dan medan perdebatan. Sebaliknya ambillah perbezaan dengan sikap insaf dan muhasabah diri, iaitu dengan mengembalikannya kepada dalil-dalil yang jelas, iaitu dalil-dalil yang menyatukan kita. Jadikan khazanah tinggalan imam-imam mazhab dan ilmu-ilmu para ulama silam sebagai pedoman untuk mencari pegangan yang terbaik dalam setiap perselisihan.
Pastikan sumbernya jelas, rujukannya diketahui, dan dalil-dalilnya boleh diterima pakai. Prinsip ini sekaligus membantu kita untuk mencapai kesempurnaan dalam agama bukan sekadar dalam persoalan solat, tetapi juga isu-isu yang lainnya. InsyaAllah kita akan menjadi lebih terbuka dan tenang kerana memahami pokok pangkal kepada setiap perbezaan dan permalasahan dengan jalan yang betul.
Wallahu a’lam.
Jumaat, Disember 23, 2011
Misteri Surah Yasin
Misteri Surah Yasin
Abu Numair Nawawi B. Subandi
http://an-nawawi.blogspot.com
Sebahagian umat Islam di negara kita hari ini apabila membaca al-Qur’an, kebiasaannya mereka akan lebih sinonim, kenal, dan rapat dengan surah Yasin berbanding surah-surah yang lainnya. Sehingga ada hari-hari khusus bagi membaca dan mengamalkan surah Yasin ini.
Surah Yasin juga sinonim dengan malam Jumaat, sehingga diadakan majlis-majlis khas bacaan berjama’ah dari rumah ke rumah dan kenduri makan-makan.
Persoalannya, kenapa tidak surah lain dan hanya surah Yasin? Kenapa tidak surah al-Baqarah, atau Ali ‘Imran, atau al-Mu’minuun, atau ar-Rahman, atau rangkaian surah-surah dalam Juz ‘Amma seperti an-Naba’, al-Fajr, atau al-Kaafiruun, atau al-Ikhlas misalnya? Kenapa Mesti pula hari Juma’at?
Selain itu, surah Yasin turut sering dikaitkan dengan pelbagai misteri lainnya. Seperti untuk mencari barang yang hilang, untuk mengiringi orang mati, untuk membuat “air Yasin”, bacaan ketika masuk rumah baru, untuk memudahkan jodoh, untuk mengirimkan pahala kepada orang mati, untuk sambutan majlis-majlis tertentu seperti nisfu Sya'ban dan seumpamanya yang selainnya.
Malah surah Yasin juga telah pun dibukukan dan diterjemahkan secara berasingan menjadi buku-buku khusus seperti buku bersaiz poket, buku cenderamata, buku zikir, dan turut dimasukkan ke dalam pakej tahlilan.
Tidak pernahkah kita terfikir, dari mana datangnya ketetapan bagi Surah Yasin seperti ini? Dari al-Qur’an? Dari sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam? Atau dari amalan para sahabat ridhwanullah ‘alaihim ajma’in?
Anjuran Membaca al-Qur'an
Jika yang dimaksudkan adalah galakkan dalam membaca al-Qur’an, maka di sana terdapat anjuran yang banyak tanpa ditentukan surah yang mana serta tidak juga dikhususkan dengan hari yang mana. Antaranya sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لَا أَقُولُ الم حَرْفٌ وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ
“Sesiapa membaca satu huruf dari Kitabullah (al-Qur’an), maka baginya satu pahala kebaikan dan satu pahala kebaikan akan dilipat gandakan menjadi sepuluh kali, aku tidak mengatakan Alif Laam Miim itu satu huruf, akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf, dan Miim satu huruf.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, 10/153, no. 2835)
Juga sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
الْمَاهِرُ بِالْقُرْآنِ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ وَالَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَتَتَعْتَعُ فِيهِ وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ لَهُ أَجْرَانِ
“Orang yang mahir membaca al-Qur’an, maka kedudukannya di akhirat ditemani oleh para malaikat yang mulia. Dan orang yang berusaha membaca al-Qur’an dengan gagap (tersangkut-sangkut), ia sukar dalam membacanya, maka ia mendapat dua pahala.” (Hadis Riwayat Muslim, 4/219, no. 1329)
Tapi persoalannya, kenapa ramai yang mengkhususkan hanya surah Yasin, dan tidak surah yang lain?
Fadhilat Surah Yasin
Sebenarnya Surah Yasin adalah sama pentingnya sebagaimana surah-surah yang lainnya. Ia mengandungi ayat-ayat Allah sebagaimana surah-surah lain. Membacanya termasuk ke dalam keumuman dalil-dalil anjuran membaca al-Qur’an sebagaimana membaca surah-surah yang lain juga. Tiada fadhilat khusus bagi surah Yasin berbanding surah-surah yang lainnya.
Para ulama hadis menjelaskan bahawa hadis-hadis berkaitan fadhilat Yasin tidak terlepas sama ada dhaif (lemah) atau maudhu’ (palsu). Maksudnya, tiada dalil yang sahih menetapkan fadhilat surah Yasin secara khusus.Sebagai contoh, di antara hadis yang popular tentang surah Yasin ini adalah hadis Qalbul Qur’an (jantung atau hati al-Qur’an). Riwayat hadis tersebut adalah sebagaimana berikut:
حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ وَسُفْيَانُ بْنُ وَكِيعٍ قَالَا حَدَّثَنَا حُمَيْدُ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ الرُّؤَاسِيُّ عَنْ الْحَسَنِ بْنِ صَالِحٍ عَنْ هَارُونَ أَبِي مُحَمَّدٍ عَنْ مُقَاتِلِ بْنِ حَيَّانَ عَنْ قَتَادَةَ عَنْ أَنَسٍ قَالَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ لِكُلِّ شَيْءٍ قَلْبًا وَقَلْبُ الْقُرْآنِ يس وَمَنْ قَرَأَ يس كَتَبَ اللَّهُ لَهُ بِقِرَاءَتِهَا قِرَاءَةَ الْقُرْآنِ عَشْرَ مَرَّاتٍ
Telah mengkhabarkan kepada kami, Qutaibah dan Sufyan B. Waqiq. Daripada Humaid B. 'Abdurrahman ar-Ru'asi, daripada Hasan B. Soleh, daripada Harun Abi Muhammad, daripada Muqatil B. Hayyan, daripada Qotadah, daripada Anas (bahawasanya):
Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda, “Sesungguhnya setiap sesuatu itu memiliki hati dan hati bagi al-Qur'an itu adalah Yasin. Sesiapa yang membacanya, maka Allah akan memberikan pahala bagi bacaannya itu seperti pahala membaca al-Qur'an sepuluh kali.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi, Sunan at-Tirmidzi, 10/121, no. 2812, Bab Fadhail al-Qur’an. Ad-Darimi, Sunan ad-Darimi, 10/311, no. 3479.
Setelah Imam at-Tirmidzi rahimahullah (Wafat: 279H) membawakan hadis ini, beliau pun berkata, “Hadis ini gharib (asing, tidak dikenali). Pada sanadnya terdapat Harun Abi Muhammad, beliau seorang yang majhul (tidak dikenali). Juga diriwayatkan oleh ad-Darimi, dan pada sanadnya dhaif.” (Sunan at-Tirmidzi, 10/121, no. 2812, Bab Fadha’il al-Qur'an)
Kalaupun sahih hadis ini, maka ia tetap bukan dalil untuk mengkhususkan surah Yasin dengan pengkhususan-pengkhususan tertentu seperti bacaan khas malam Juma’at, untuk menjampi air, dan sebagainya.
Bukan Untuk Orang Mati
Surah Yasin juga sering dikaitkan dengan kematian. Dalam perkara ini terdapat beberapa hadis tetapi ianya tidak lepas dari kelemahan atau kepalsuan (maudhu’). Di antara hadisnya adalah sebagaimana yang datang dari jalan (sanad) Sulaiman at-Taimi, daripada Abu ‘Utsman (bukan an-Nahdi), daripada ayahnya, daripada Ma’qil B. Yasar, beliau mengatakan, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
اقْرَءُوا عَلَى مَوْتَاكُمْ يس
“Bacakanlah ke atas mereka yang mati surah Yasin.”Atau:
اقْرَءُوا يس عَلَى مَوْتَاكُمْ
“Bacakanlah Yasin ke atas mereka yang mati.” (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasaa’i, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, dan al-Hakim. Rujuk: Talkhis al-Habir oleh al-Hafiz Ibnu Hajar, 2/244)
Hadis ini lemah dengan beberapa sebab sebagaimana dinyatakan oleh para ulama hadis, antaranya pada sanadnya terdapat perawi bernama Abu ‘Utsman dan ayahnya. Mereka ini adalah perawi yang majhul (tidak dikenali). Hadis ini juga dikategorikan sebagai hadis mudhtharib, iaitu tidak kukuh sanadnya
Di antara ulama hadis yang menegaskan kelemahan hadis ini adalah seperti Imam ad-Daruquthni (Wafat: 285H), Abu Bakar Ibnul ‘Arabi (Wafat: 543H), an-Nawawi (Wafat: 676H), Ibnul Qaththan (Wafat: 813H), al-Hafiz Ibnu Hajar (Wafat: 852H), al-Albani dan ramai lagi selainnya. (lihat: Ibnu Hajar, Talkhis al-Habir, 2/244. An-Nawawi, al-Adzkar, m/s. 122. Al-Albani, Silsilah al-Ahadits adh-Dha’ifah wal-Maudhu’ah, 12/783)
Imam ad-Daruquthni rahimahullah (Wafat: 285H) mengatakan, “Tiada satu hadis pun yang sahih dalam bab ini.” Iaitu tiada satu hadis pun yang sahih yang menganjurkan membaca Yasin kepada orang mati.
Begitu juga dengan hadis:
وَيس قَلْبُ الْقُرْآنِ لَا يَقْرَؤُهَا رَجُلٌ يُرِيدُ اللَّهَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى وَالدَّارَ الْآخِرَةَ إِلَّا غُفِرَ لَهُ وَاقْرَءُوهَا عَلَى مَوْتَاكُمْ
“....Surah Yasin adalah qalbul Qur’an (jantung atau hati al-Qur’an), tidaklah seseorang yang membacanya kerana mengharap keredhaan Allah dan negeri akhirat (Syurga), melainkan akan diampunkan dosanya. Dengan itu, bacakanlah ia kepada orang yang akan mati di antara kamu.” (Hadis Riwayat Ahmad dan an-Nasaa’i. Dinilai lemah oleh ad-Daruquthni, al-Haitsami, al-Albani dan Syu’aib al-Arnauth)
Masyarakat Melayu terkenal membacakan Surah Yasin untuk orang mati atau yang sedang nazak menghadapi sakaratul maut. Tapi ironinya, selama kita membaca atau menghafal surah Yasin, pernahkah kita memahami dan menghayati apa yang terkandung di dalam ayat-ayatnya? Bukankah di dalam Surah Yasin terdapat ayat:
إِنْ هُوَ إِلا ذِكْرٌ وَقُرْآنٌ مُبِينٌلِيُنْذِرَ مَنْ كَانَ حَيًّا وَيَحِقَّ الْقَوْلُ عَلَى الْكَافِرِينَ
“al-Qur’an itu tidak lain, ia adalah peringatan dan kitab yang memberi penjelasan. Supaya ia menjadi peringatan UNTUK ORANG-ORANG YANG HIDUP dan sebagai perkataan yang haq ke atas orang-orang kafir.” (Surah Yasin, 36: 69-70)
Kata al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) berkaitan ayat ini:
أي: لينذر هذا القرآن البيّن كلّ حي على وجه الأرض
“Maksudnya supaya peringatan al-Qur’an ini menjadi bukti yang nyata bagi setiap yang hidup di atas muka bumi ini.” Beliau juga mengatakan:
وإنما ينتفع بنذارته من هو حَيّ القلب، مستنير البصيرة، كما قال قتادة: حي القلب، حي البصر. وقال الضحاك: يعني: عاقلا
“Orang yang dapat mengambil manfaat peringatan dari al-Qur’an adalah orang-orang yang hidup hatinya dan yang terang pandangannya. Sebagaimana kata Qotadah, “Hati yang hidup adalah dengan hidupnya pandangan.” Juga sebagaimana kata adh-Dhahhak, “Iaitu orang yang berakal.” (Tafsir Ibnu Katsir, 6/592)
Ini menegaskan bahawa al-Qur’an ini adalah untuk orang-orang yang hidup, iaitu untuk orang-orang yang beriman dan mereka yang mahu mengambil pelajaran. Bukan untuk orang yang telah mati. Termasuklah surah Yasin, ia pelajaran untuk orang yang hidup.
Sekiranya setiap surah atau ayat-ayat al-Qur’an tertentu itu mahu dikhususkan dengan kelebihan-kelebihan khusus, maka kita perlu mengkhususkannya berdasakan dalil dan petunjuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Kita tidak boleh menetapkan atau mengkhususkannya dengan akal, sangkaan, atau hawa nafsu. Kerana agama kita ini tidak sampai kepada kita secara misteri, sebaliknya datang dengan hujah dan dalil yang jelas.
Walaupun tiada dalil yang sahih tentang fadhilat Yasin secara khusus, termasuk fadhilat membacanya pada hari Juma’at, ini bukan bermakna ia tidak boleh dibaca pada hari Juma’at. Surah Yasin tetap dibaca sebagaimana surah-surah yang lain juga cuma tidaklah perlu dikhususkan pada hari-hari tertentu atau dengan kaedah-kaedah khusus tertentu.
Adapun bacaan Surah secara khusus pada hari Juma’at yang padanya disebutkan kelebihannya dari sunnah sebenarnya adalah Surah al-Kahfi, namun ianya sering dilupakan oleh masyarakat kita.Ini sebagaimana Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ في يَوْمِ الجُمُعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّورِ مَا بَيْنَ الجُمُعَتَيْنِ
“Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Juma’at, Allah akan meneranginya dari cahaya di antara dua Juma’at.” (Hadis Riwayat an-Nasaa’i dan al-Baihaqi. Dinilai sahih oleh al-Albani)
Wallahu a’lam...
Jumaat, November 11, 2011
Merentasi Sempadan Jama’ah-jama’ah Islam
Merentasi Sempadan Jama'ah-jama'ah Islam
Abu Numair Nawawi B. Subandi
Di antara bukti berlaku perpecahan di kalangan umat Islam pada hari ini adalah munculnya pelbagai bentuk jama’ah-jama’ah atas nama Islam. Kemudian diikuti pula sikap taksub dari kalangan ahli dan pendukung jama’ah terhadap jama’ah-jama’ah tersebut.
Lebih menguatkan lagi perkara ini adalah apabila setiap jama’ah saling bertelagah, saling menyerang, dan saling membelasah di antara satu jama’ah dengan jama’ah-jama’ah yang lain.
Kepelbagaian Ideologi Pemikiran
Ketika ini, kita amat sering digemparkan dengan pelbagai isu semasa yang sangat menyentuh sensitiviti dalam beragama. Pelbagai manhaj dan ideologi pemikiran melanda masyarakat ketika ini. Kita tidak pernah sunyi dari isu ajaran syi’ah, mazhab demonstrasi, ideologi kepembangkangan, isu-isu demokrasi, dan yang terbaru isu ideologi seks bebas atas kerangka ideologi mazhab hak asasi manusia. Selain itu, kita juga tidak kering dengan isu-isu murtad dan ajaran sesat.
Sebenarnya fenomena seperti ini bukanlah suatu yang baru. Kalau kira-kira seribu tahun lalu kita dapat lihat dari bacaan sejarah akan kewujudan mazhab-mazhab aqidah yang sesat seperti Khawarij, Rafidhah, Qadariyah, Jahmiyah, Murji’ah, dan Jabariyah. Kemudian dari kelompok-kelompok ini berkembang pula kelompok-kelompok yang lainnya seperti Muktazilah, sufi, tasawuf, al-Asya’irah serta yang seumpamanya. Demikian juga pada hari ini sebenarnya tidak jauh beza keadaan yang melanda. Ideologi pemikiran yang dibawa tetap sama, tapi mungkin label dan penamaan sahaja yang berubah.
Di antara punca lahirnya mazhab-mazhab sesat seperti ini adalah kerana mengabaikan manhaj yang benar dalam menghadam dalil-dalil al-Qur’an dan as-Sunnah. Di samping kejahilan dan sikap hawa nafsu, kelompok-kelompok ini turut mengasaskan kerangka mazhab-mazhab mereka dengan akal, mantiq, dan falsafah. Kemudian dengan kerangka mazhab inilah setiap jama’ah dan kelompok tadi menyeru manusia kepadanya.
Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman:
مِنَ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعًا كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ
“Janganlah kamu termasuk orang-orang yang mensyirikkan Allah, iaitu orang-orang yang menjadikan fahaman agama mereka berpecah-belah mengikut puak. Setiap puak berbangga dengan apa yang ada pada puak masing-masing.” (Surah ar-Ruum, 30: 31-32)
Isyarat Perpecahan
Sebenarnya fenomena perpecahan di kalangan umat Islam ini telah dikhabarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sejak lebih 1400 tahun dahulu. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
وَإِنَّ بَنِي إِسْرَائِيل تَفَرَّقَتْ عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ مِلَّة، وَتَفْتَرِق أُمَّتِي عَلَى ثَلَاث وَسَبْعِينَ مِلَّة، كُلّهمْ فِي النَّار إِلَّا مِلَّة وَاحِدَة، قَالُوا: مَنْ هِيَ يَا رَسُول اللَّه ؟ قَالَ: مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي
“Sesungguhnya bani Israel telah berpecah-belah menjadi 72 golongan, dan umatku akan berpecah-belah menjadi 73 golongan. Mereka semua di Neraka kecuali satu golongan.”
Para sahabat bertanya, “Siapakah dia (yang selamat) wahai Rasulullah?” Beliau menjawab, “Apa yang aku dan para sahabatku berada di atasnya.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi. Dinilai hasan oleh al-Albani)
Sebagaimana yang penulis sebutkan berkaitan kewujudan firqah-firqah sesat tadi, pada hari ini kita mungkin melihat nisbat kelompok-kelompok pengaku jama’ah-jama’ah Islam seperti Tabligh, Qur’aniyuun, Hizbut Tahrir, Ikhwanul Muslimin, Wahhabi, al-Ahbash, Ahlul Bait, dan seumpamanya. Setiap mereka masing-masing mendabik dada bahawa merekalah yang paling benar di samping saling menghentam di antara satu dengan yang lainnya.
Perbezaan ketara dalam setiap mazhab aqidah dan pemikiran yang dipegang menjadikan setiap kelompok ini gagal disatukan walaupun setiap mereka sama-sama umat Islam.
Di antara mereka ada yang berhujah dengan dalil kasyaf dan mimpi, ada yang menolak hadis ahad, ada yang menjadikan pembangkangan terhadap pemerintah sebagai ibadah, ada yang menyeru kepada slogan “Islam moderate”, ada yang menyeru kepada mazhab arus perdana, dan ada pula yang menyesatkan dan mengkafirkan para sahabat Rasulullah selaku pembawa agama yang terpercaya. Sebenarnya ini semua bermula dari sikap mendahulukan hawa nafsu dan akal berbanding nash-nash syari’at.
Jama'ah Yang Benar
Walaupun Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mengisyaratkan berlakunya perpecahan besar di kalangan umat Islam, beliau juga telah mengkhabarkan tentang jama’ah yang selamat dari sekian banyak golongan yang wujud dalam kalangan umat Islam. Sebagai umat Islam yang memiliki fitrah yang murni, sudah tentu kita akan berusaha untuk menyertai golongan yang selamat tersebut. Dan bukan sebaliknya dengan mencari-cari dalil dan membuat akal untuk memenangkan kelompok masing-masing walaupun telah jelas kesesatan dan ketergelincirannya dari agama.
Dari hadis di atas, ketika para sahabat bertanya:
مَنْ هِيَ يَا رَسُول اللَّه ؟ قَالَ: مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي
“Siapakah dia (yang selamat) wahai Rasulullah?” Beliau menjawab, “Apa yang aku dan para sahabatku berada di atasnya.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi. Dinilai hasan oleh al-Albani)
Dalam riwayat yang lain:
وَسَبْعِينَ ثِنْتَانِ وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ وَوَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ وَهِيَ الْجَمَاعَةُ
“... 72 di neraka, dan yang 1 di dalam jannah, dan mereka itu adalah al-Jama’ah.” (Hadis Riwayat Abu Daud, 12/196, no. 3981. Dinilai sahih oleh al-Albani)
Dalam riwayat yang lain:
تختلف هذه الأمة على ثلاث وسبعين فرقة، اثنتان وسبعون في النار وواحدة في الجنة. قلنا: انعتهم لنا قال: السواد الأعظم
“Akan berpecah umatku ini menjadi 73 firqah, 72 golongan di neraka dan hanya 1 di jannah. Satu golongan itu adalah as-Sawaadul A’zham.” (Hadis Riwayat al-Lalika’i, Syarah Ushul I’tiqad, 1/155, no. 131. ath-Thabrani, 8/273, no. 8051. Kata al-Haitsami, “Para perawinya tsiqah”)
Persoalannya, siapakah yang dimaksudkan oleh hadis ini sebagai al-Jama’ah dan as-Sawaadul A’zham? Maka riwayat pertama dan riwayat-riwayat yang lainnya sebenarnya saling menjelaskan. Al-Jama’ah dan as-Sawaadul A’zham adalah sesiapa sahaja yang berjalan di atas jalan agama Rasulullah bersama-sama para sahabatnya.
Beruntunglah jama’ah Islam yang berjalan di atas jalannya Rasulullah bersama-sama para sahabatnya. Biarpun mereka itu sedikit jumlahnya dengan kadar 1 nisbah 72. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
بَدَأَ الْإِسْلَامُ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ
“Islam itu bermula asing lagi aneh (ganjil) dan akan kembali asing sebagaimana asal datangnya. Maka beruntunglah mereka yang dianggap aneh (asing).” (Hadis Riwayat Muslim, 1/350, no. 208)
Dalam riwayat yang lain:
فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ الَّذِينَ يُصْلِحُونَ مَا أَفْسَدَ النَّاسُ
“Maka beruntunglah mereka yang dianggap asing, iaitu orang-orang yang melakukan islah (pembaikan) di ketika manusia berkeadaan rosak.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, 9/219, no. 2554. At-Tirmidzi mensahihkannya)
Dalam riwayat yang lain:
إِنَّ الْإِسْلَامَ بَدَأَ غَرِيبًا، وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ، فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ "، قِيلَ: وَمَنِ الْغُرَبَاءُ ؟ قَالَ: " النُّزَّاعُ مِنَ الْقَبَائِلِ
“Sesungguhnya Islam itu bermula asing (ganjil) dan akan kembali asing sebagaimana asal datangnya. Maka beruntunglah mereka yang dianggap aneh (asing).” (Para sahabat) bertanya:
“Siapakah al-Ghuroba’ (golongan yang asing) itu?” Rasulullah bersabda, “Orang-orang yang menjauhi sikap berpuak-puak.” (Hadis Riwayat Ahmad, 6/325, no. 3784. Kata Syu’aib al-Arnauth, “Isnadnya sahih di atas syarat Muslim”)
Label atau Manhaj?
Berdasarkan dalil-dalil yang diutarakan, label bukanlah menjadi fokus, sebaliknya manhaj dan prinsip menjadi pegangan. Iaitu agar selari dengan jalan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersama-sama para sahabatnya dalam beragama. Iaitu hanya tunduk dengan hujah dan kebenaran, bukan menegakkan taksub, fanatik, dan memperjuangkan ashabiyyah jama’ah masing-masing. Sebaliknya menempatkan diri di dalam kebenaran, mengamalkannya, dan mendakwahkannya.
Kata Ibnu Mas’oud radhiyallahu ‘anhu:
إنما الجماعة ما وافق طاعة الله وإن كنت وحدك
“Sesungguhnya al-Jama’ah itu adalah dengan mentaati Allah walaupun engkau berseorangan.” (Syarah Ushul I’tiqad, 1/163)
Dalam riwayat yang lain:
ان جمهور الناس فارقوا الجماعة وأن الجماعة ما وافق الحق وأن كنت وحدك
“Sesungguhnya kebanyakan manusia berpecah dari al-Jama’ah dan al-Jama’ah itu adalah apa yang bersesuaian dengan kebenaran walaupun engkau berseorangan.” (al-Ba’its ‘ala Inkaril Bida’ wal Hawadits, 1/22)
Sebaliknya, ashabiyyah pula adalah (sebagaimana dalam sebuah hadis), Daripada Watsilah Bt. al-Asqa’, ayahnya berkata:
قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا الْعَصَبِيَّةُ قَالَ أَنْ تُعِينَ قَوْمَكَ عَلَى الظُّلْمِ
“Aku pernah bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah dia ashabiyyah?” Rasulullah menjawab, “Engkau menolong kaummu dalam kezaliman (kebathilan).” (Hadis Riwayat Abu Daud, 13/323, no. 4454. Dinilai hasan lighairihi oleh Syu’aib al-Arnauth)
Tapi sayangnya sikap ashabiyyah inilah yang meracuni jama’ah-jamah Islam hari ini. Setiap jama’ah saling mendabik dada mendakwa kebenaran bersama-sama mereka. Setiap mereka ego dengan kelompok sendiri sehingga tidak mungkin akan bersatu melainkan atas label atau nama jama’ah masing-masing.
Sikap dan karektor seperti ini jauh menyelisihi ciri-ciri golongan yang selamat yang disebutkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Iaitu golongan yang bersatu di atas manhaj kebenaran. Suatu kerangka manhaj yang memahami al-Qur’an dan as-Sunnah sebagaimana kefahaman para sahabat ridhwanullah ‘alaihim ajma’in.
Bukan kefahaman yang dibina atas hawa nafsu dan mendahulukan akal atas nash-nash syari’at. Bukan juga bentuk-bentuk kesatuan yang dibina atas nama parti, nama jama’ah, atau nama-nama organisasi yang mencampur-adukkan pelbagai pemikiran dan manhaj sesat yang dinobatkan dengan nama agama dan kebenaran.
Sebab itulah dapat kita lihat hari ini begitu ramai tokoh-tokoh mengaku ulama bijak pandai yang berhujah dengan al-Qur’an dan as-Sunnah, tetapi saling bertelagah di antara satu sama lain. Ini menjadi bukti wujudnya suatu jurang perbezaan manhaj yang besar dalam memahami Islam di antara satu jama’ah dengan jama’ah-jama’ah Islam lainnya.
Wallahu a’lam.
Khamis, Oktober 27, 2011
Cintakan Dunia Takutkan Mati
Cintakan Dunia Takutkan Mati
Abu Numair
Dari hadis Tsauban radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
يُوشِكُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمُ الْأُمَمُ مِنْ كُلِّ أُفُقٍ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ عَلَى قَصْعَتِهَا
قَالَ: قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللهِ، أَمِنْ قِلَّةٍ بِنَا يَوْمَئِذٍ ؟
قَالَ: أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ، وَلَكِنْ تَكُونُونَ غُثَاءً كَغُثَاءِ السَّيْلِ، تُنْتَزَعُ الْمَهَابَةُ مِنْ قُلُوبِ عَدُوِّكُمْ، وَيَجْعَلُ فِي قُلُوبِكُمُ الْوَهْنَ
قَالَ: قُلْنَا: وَمَا الْوَهْنُ ؟
قَالَ: حُبُّ الْحَيَاةِ وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ
“Begitu hampir waktunya orang-orang kafir saling menyeru untuk menyerang kalian (kaum muslimin) semua dari segala arah dan penjuru sebagaimana orang-orang lapar mengerumuni dulang berisi makanan.”
Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah pada ketika itu bilangan kami sedikit?”
Nabi menjawab, “Tidak, sebaliknya pada ketika itu bilangan kalian amat ramai, tetapi kalian seperti buih-buih (bercampur sampah) di air bah. Sesungguhnya Allah akan mencabut rasa takut dari hati musuh-musuh kalian terhadap kalian. Dan Allah mencampakkan dalam hati kalian Al-Wahn.”
Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apa yang dimaksudkan dengan Al-Wahn?”
Rasulullah menjawab, “Cintakan dunia dan takutkan mati.” (Musnad Ahmad, no. 22397. Dinilai hasan oleh Syu’aib Al-Arnauth. Sunan Abi Dawud, no. 3745. Dinilai sahih oleh Al-Albani)
Ikuti artikel lengkap di website baru kami di, http://www.ilmusunnah.com/cintakan-dunia-takutkan-mati/
Langgan:
Catatan (Atom)






