“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Ahad, September 23, 2012

Istimewanya Ramadhan


Istimewanya Ramadhan

Abu Numair Nawawi B. Subandi
www.ilmusunnah.com


Alhamdulillah, insyaAllah tahun ini kita bakal bersua lagi dengan Ramadhan. Bulan Ramadhan adalah bulan yang memiliki keutamaan dan keistimewaannya.

Di dalam bulan inilah al-Qur’an diturunkan. Di dalam bulan inilah pintu-pintu Syurga dibuka manakala pintu-pintu Neraka ditutup. Di dalam bulan ini ada malam al-Qadr, iaitu malam yang mulia yang memiliki kebaikan melebihi seribu bulan. Di dalam bulan inilah umat Islam diperintahkan agar berpuasa yang dengannya terkandung pelbagai kebaikan.

Bulan Diturunkan al-Qur’an

Allah subhanahu wa Ta’ala berfirman:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ

“Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan sebagai pembeza (antara yang haq dengan yang bathil). Maka, sesiapa di antara kamu menyaksikan (di negeri tempat tinggalnya) bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa di bulan tersebut.” (Surah al-Baqarah, 2: 185)

Berdasarkan pengangan jumhur ulama, al-Qur’an diturunkan secara sekaligus ke langit dunia di Baitul ‘Izzah untuk menunjukkan kepada para malaikat-Nya akan agungnya al-Qur’an ini. Diturunkan pada bulan yang mulia dan malam yang mulia, iaitu malam al-Qadr pada tanggal 24 Ramadhan.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أُنْزِلَتْ صُحُفُ إِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلَامُ فِي أَوَّلِ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ، وَأُنْزِلَتِ التَّوْرَاةُ لِسِتٍّ مَضَيْنَ مِنْ رَمَضَانَ، وَالْإِنْجِيلُ لِثَلَاثَ عَشْرَةَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ، وَأُنْزِلَ الْقُرْقَانُ لِأَرْبَعٍ وَعِشْرِينَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ

“Shuhuf (lembaran-lembaran) Ibrahim diturunkan pada malam pertama bulan Ramadhan, Taurat diturunkan pada tarikh 6 Ramadhan, Injil diturunkan pada tarikh 13 Ramadhan, dan al-Qur’an diturunkan (nuzul al-Qur’an) pada tarikh 24 Ramadhan.” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 16984. Ath-Thabrani, no. 3740)

Secara rasminya, al-Qur’an diturunkan kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam untuk pertama kalinya pada malam itu juga. Kemudian secara beransur-ansur selama 23 tahun bersesuaian dengan peristiwa-peristiwa yang mengiringinya bermula dari beliau diutus sehinggalah wafatnya. Selama tiga belas tahun beliau tinggal di Makkah, dan selama itu jugalah wahyu turun kepadanya.

Selepas hijrah, beliau tinggal di Madinah selama sepuluh tahun dan selama itu jugalah wahyu terus turun kepada beliau secara beransur-ansur. Beliau wafat dalam usia 63 tahun. Maka, dengan rasminya sempurnalah penurunan al-Qur’an dan bermula dari saat itu terputuslah wahyu dari langit dengan wafatnya beliau.

Dibukanya Pintu-pintu Syurga

Ramadhan adalah bulan di mana pintu-pintu Syurga dibuka, pintu-pintu Neraka ditutup, dan syaitan-syaitan dibelenggu.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا دَخَلَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ

“Apabila masuk sahaja Ramadhan, maka pintu-pintu Jannah (Syurga) pun dibuka, pintu-pintu jahannam ditutup, dan syaitan-syaitan pula dibelenggu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, bab: Sifat-sifat Iblis dan Para Tenteranya, no. 3277)

Pada bulan Ramadhan para syaitan tidak sebebas bulan lainnya kerana ia dibelenggu, maka kuasa gangguannya merosot pada bulan tersebut sebagaimana pandangan sebahagian ulama.

Manakala sebahagian ulama lainnya mengatakan bahawa hadis tersebut bukan bererti menunjukkan setiap syaitan dibelenggu, tetapi disebutkan sebagaimana dalam hadis yang lain bahawa yang dibelenggu adalah sebahagian besar syaitan atau merujuk para syaitan yang besar dan ganas.

Imam al-Qurthubi rahimahullah menjelaskan:

فإن قيل كيف نرى الشرور والمعاصى واقعة في رمضان كثيرا فلو صفدت الشياطين لم يقع ذلك فالجواب أنها إنما تقل عن الصائمين الصوم الذي حوفظ على شروطه وروعيت ادابه أو المصفد بعض الشياطين وهم المردة لاكلهم كما تقدم في بعض الروايات أو المقصود تقليل الشرور فيه وهذا أمر محسوس فإن وقوع ذلك فيه أقل من غيره اذلا يلزم من تصفيد جميعهم أن لا يقع شر ولا معصية لأن لذلك اسبابا غير الشياطين كالنفوس الخبيثة والعادات القبيحة والشياطين الإنسية

“Apabila dikatakan, “Mengapa kita masih melihat kejahatan dan maksiat berlaku di bulan Ramadhan, sekiranya syaitan dibelenggu, bukankah sepatutnya perkara seperti itu tidak akan berlaku?”

Maka jawabannya, “Bahawasanya gangguan syaitan hanya berkurang terhadap orang-orang berpuasa yang memelihara syarat-syarat puasa dan adab-adabnya. Atau yang dibelenggu hanya sebahagian syaitan sahaja, iaitu para penentang yang ganas dari kalangan mereka sebagaimana dinyatakan dalam sebahagian riwayat. Atau yang dimaksudkan adalah berkurangnya kejahatan dalam bulan Ramadhan, dan ini merupakan perkara yang dapat dirasakan, di mana kejahatan ketika bulan Ramadhan lebih sedikit jika dibandingkan dengan bulan-bulan selainnya. Apabila semua syaitan dibelenggu, juga tidak menjadi sebab untuk tidak akan berlakunya kejahatan dan kemaksiatan. Kerana sebab berlakunya kemaksiatan itu turut didorong oleh sejumlah faktor lainnya selain dari faktor syaitan. Boleh jadi disebabkan nafsu yang buruk, tabiat yang kotor, dan syaitan-syaitan dari kalangan manusia sendiri.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 4/114)

Malam al-Qadr

Malam al-Qadr (atau lailatul qadr) adalah malam yang Allah muliakan dengan banyaknya keutamaan dan kebaikan. Ia adalah malam yang lebih baik dari seribu bulan.  Ibadah yang dikerjakan pada malam tersebut setanding dengan amalan kebaikan selama seribu bulan, iaitu 83 tahun 4 bulan. Sedangkan umur umat Muhammad puratanya hanyalah sekitar 60 hingga 70 tahun sebagaimana disebutkan dalam hadis.

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أَعْمَارُ أُمَّتِي مَا بَيْنَ السِّتِّينَ إِلَى السَّبْعِينَ، وَأَقَلُّهُمْ مَنْ يَجُوزُ ذَلِكَ

“Umur umatku adalah di antara 60 hingga 70 tahun. Yang melebihi usia tersebut adalah amat sedikit sekali.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, no. 3550)

Tetapi Allah telah memuliakan mereka dengan adanya malam al-Qadr tersebut di setiap tahun pada bulan Ramadhan untuk beramal dengan ganjaran pahala selama amalan seribu bulan.

Kata al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H), “Malaikat banyak yang turun pada malam tersebut kerana banyaknya kebaikan. Para malaikat turun bersamaan dengan turunnya keberkahan dan rahmat.” (Tafsir Ibnu Katsir, 5/444)

Kata Syaikh Muhammad B. Soleh al-‘Utsaimin rahimahullah, “Para Malaikat turun pada malam al-Qadr dengan membawa kebaikan, rahmat, dan barakah. Malam tersebut disebut malam kesejahteraan kerana banyaknya hamba Allah yang selamat dari siksaan disebabkan ketaatannya kepada Allah.” (Majalis Syahri Ramadhan, m/s. 252-253)

Bulan Keampunan

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ، وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ، وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ، مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ

“Solat 5 waktu, Juma’at ke Juma’at berikutnya, dan Ramadhan ke Ramadhan berikutnya adalah pelebur dosa antara keduanya apabila dosa-dosa besar dijauhi.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 233)

Beliau juga bersabda:

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ القَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ، وَمَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Sesiapa yang menghidupkan malam al-Qadr dengan keimanan dan mengharap pahala Allah, maka diampunkan dosanya yang telah lalu. Dan sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kerana keimanan dan mengharap pahala Allah, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 1901)

Demikianlah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjelaskan betapa Ramadhan penuh dengan peluang keampunan dosa-dosa. Antaranya dengan berpuasa dan menghidupkan malam al-Qadr dengan keimanan dan mengharap pahala Allah Subhanahu wa Ta’ala. Maka ya Allah, ampunilah kami dari dosa-dosa kami.

‘Umrah di Bulan Ramadhan

Selain ibadah-ibadah yang dimaklumi seperti berpuasa wajib, qiyam Ramadhan, dan bersedekah, melaksanakan ibadah ‘umrah pada bulan Ramadhan juga turut dijelaskan sebagai memiliki fadhilat dan ganjaran yang khusus. Ini sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

فَإِنَّ عُمْرَةً فِي رَمَضَانَ تَقْضِي حَجَّةً أَوْ حَجَّةً مَعِي

“Sesungguhnya (pahala) melaksanakan ‘umrah pada bulan Ramadhan itu menyamai (pahala) melaksanakan haji bersama-ku.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 1863)

Cukuplah beberapa contoh keutamaan yang menunjukkan agungnya bulan Ramadhan ini. Di samping memang masih banyak lagi contoh-contoh keutamaan yang lainnya. Semoga kita manfaatkan Ramadhan ini semaksima mungkin bertepatan dengan sifat keistimewaannya sebagai bulan yang penuh kebaikan, penuh rahmat, penuh ganjaran, bulan keampunan, dan bulan ibadah.

Wallahu a’lam.

Jumaat, Jun 22, 2012

Sampai Bila Harus Sabar?

Sampai Bila Harus Sabar?

Abu Numair Nawawi B. Subandi
www.ilmusunnah.com

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ، إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ، فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ، صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

“Amat menakjubkan urusan orang yang beriman kerana setiap urusannya adalah baik, dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada orang beriman. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2999)

Orang-orang beriman yang sempurna dan tulus keimanannya akan sentiasa baik urusannya kerana dia sentiasa bersyukur dan bersabar. Dia sentiasa berada pada kedudukan redha dan merasa cukup. Baginya, kesenangan yang diterima adalah anugerah, manakala musibah yang menimpa pula adalah ujian yang mampu menaikkan kedudukannya serta membuahkan pahala tanpa batasan dari sisi Allah.

Manakala orang yang tidak beriman, hatinya sentiasa gelisah dan jiwanya selalu meronta walau begitu banyak kelebihan yang diraih. Apatah lagi kalau musibah pula yang datang, lebih lagi jiwanya tersiksa. Hatinya penuh hasad, kemarahan, memberontak, tidak redha, sehingga menjadikannya penuh dosa. Orang-orang yang tidak beriman dia selalu membenci dan tidak sabar dalam menjalani ketentuan taqdir Allah Ta’ala ke atas dirinya.

Maka di sinilah pentingnya memahami nilai sabar dalam menjalani kehidupan sebagai seorang hamba. Seorang hamba pasti memerlukan kesabaran dalam setiap keadaan yang ditempuhinya. Kerana setiap apa yang dialaminya di dunia ini pasti tidak lepas dari dua keadaan, iaitu yang pertama apabila dia mendapat nikmat anugerah dari Allah, maka dia wajib bersabar dalam menerima, menikmati, dan menyelenggarakannya. Keduanya, ketika dia menerima musibah, sudah tentu dia perlu lebih lagi bersabar dalam menanganinya agar tidak bersikap melampaui batas.

Erti Sabar Dalam Islam

Sabar dapat dimaksudkan sebagai pengurusan diri untuk tetap melaksanakan ketaatan terhadap Allah berdasarkan apa yang disyari’atkan dan menahan diri dari apa-apa yang diharamkan-Nya serta bersikap redha terhadap setiap ketentuan taqdir-Nya tanpa berkeluh-kesah atau melampaui batas. Oleh itu, sabar di sini terbahagi kepada tiga keadaan iaitu sabar dalam menjalani ketaatan, sabar dalam menahan diri terhadap kemaksiatan, dan sabar dengan setiap ketentuan taqdir dari Allah Ta’ala.

Maka dari itu, hukum sabar adalah wajib dan tiada istilah “sabar itu memiliki hadnya” atau “sabar itu ada batasnya.” Maka yang benar, sabar itu adalah wajib dalam apa jua keadaan bertepatan dengan maksud yang dijelaskan.

Jika mungkin ada yang bertanya, sampai bila mahu bersabar? Maka jawabnya, sabar itu wajib sampai ajal datang menjemput bersesuaian dengan apa yang disyari’atkan.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا

“Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan perkukuhkanlah kesabaran kamu.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 200)

Kata al-Hasan al-Bashri rahimahullah (Wafat: 110H):

أمروا أن يصبروا على دينهم الذي ارتضاه الله لهم، وهو الإسلام، فلا يدعوه لسرّاء ولا لضرّاءَ ولا لشِدَّة ولا لرِخَاء، حتى يموتوا مسلمين

“Mereka diperintahkan agar sentiasa bersabar dalam menjalankan agamanya yang diredhai oleh Allah ‘Azza wa Jalla, iaitu Islam. Sehingga mereka tidak meninggalkannya sama ada pada waktu lapang ataupun sukar, pada ketika senang atapun susah, sehinggalah mereka mati dalam keadaan Muslim.” (Tafsir Ibnu Katsir, 2/195)

Dari sini difahami bahawa Allah Ta’ala sebenarnya memerintahkan kepada orang-orang yang beriman agar tetap teguh berbuat taat, meninggalkan apa jua bentuk kemaksiatan, redha terhadap taqdir-Nya, serta perlu berusaha untuk menangani hal-hal di persekitarannya dengan penuh kesabaran.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

أُولَئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ

“Dan benar-benar akan Kami berikan ujian kepada kamu semua dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun.” Mereka itulah yang mendapat selawat (keselamatan) yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk” (Surah al-Baqarah, 2: 155-157)

Allah Ta’ala memberitahu kita bahawa Dia akan menguji para hamba-Nya dengan kesenangan dan kesusahan, rasa takut, lapar, hilangnya harta, hilangnya orang yang disayangi, dan merosotnya hasil bumi. Ini semua adalah termasuk bentuk-bentuk ujian yang diberikan Allah kepada para hamba-Nya. Sesiapa yang bersabar dengannya maka ia mendapat pahala melimpah-ruah dan khabar gembira di Syurga, sebaliknya sesiapa yang putus-asa, maka ia sendiri yang rugi malah akan beroleh azab.

Dari itu, sesiapa yang sentiasa bersabar dengan setiap keadaan yang dihadapinya sama ada yang menyenangkan mahupun yang menyakitkan kerana semata-mata mencari keredhaan Allah, bererti dia telah menghiasi dirinya dengan akhlak yang mulia lagi terpuji.

Bergantung Harap Hanya Kepada Allah

Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintahkan kepada para hamba-Nya agar sentiasa bersabar dan memohon pertolongan (dengan berdoa harap) hanya kepada-Nya. Ini sebagaimana firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

“Wahai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan melaksanakan solat. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, 2: 153)

اسْتَعِينُوا بِاللَّهِ وَاصْبِرُوا إِنَّ الْأَرْضَ لِلَّهِ يُورِثُهَا مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِينَ

“Mohonlah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah. Sesungguhnya bumi (ini) adalah milik Allah; diberikan kepada sesiapa yang dihendaki-Nya dari kalangan hamba-hamba-Nya. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Surah al-A’raaf, 7: 128)

Ini kerana hanya dengan bergantung harap kepada Allah-lah, hati akan merasa tenang dan tenteram. Orang-orang yang bersabar tidak putus asa malah semakin teguh dan yakin hatinya dengan apa yang ada di sisi Allah. Orang yang bersabar, dia pasti akan mengembalikan setiap perkara dan urusannya hanya kepada Allah. Dengan itu, keimanan dan tauhidnya pun akan menjadi semakin sempurna.

Sesiapa yang bersabar, dia tahu Allah sentiasa bersamanya sekaligus mengetahui bahawa dirinya sentiasa dipelihara dan diawasi. Hasilnya, dia akan sentiasa redha terhadap ketentuan dari Allah dan tidak berkeluh-kesah bila menghadapi ujian. Dengannya dia pun akan tetap tekun beribadah hanya kepada Allah Ta’ala walau apa pun keadaannya dan sedikit pun tidak berhajat untuk melakukan hal-hal yang boleh mencemarkan ke-Islamannya dengan melakukan hal-hal yang syirik, hal-hal yang haram, serta hal-hal yang maksiat lagi melampaui batas.

Musibah Menjadi Nikmat

Dengan sebab sabar, setiap musibah yang datang akan menjadi nikmat. Ia akan diberi pahala yang tidak terkira, darjatnya dinaikkan, Allah mengasihinya, beroleh petunjuk, rahmat turun kepadanya, dan dosa-dosanya pula disucikan.

Allah Ta’ala berfirman:

إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ

“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tidak terkira.” (Surah az-Zumar, 39: 10)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَا يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ مِنْ وَصَبٍ، وَلَا نَصَبٍ، وَلَا سَقَمٍ، وَلَا حَزَنٍ حَتَّى الْهَمِّ يُهَمُّهُ، إِلَّا كُفِّرَ بِهِ مِنْ سَيِّئَاتِهِ

“Tidaklah menimpa seorang mukmin itu penderitaan, kesusahan, penyakit dan juga kesedihan, sehinggalah kerisauan yang merunsingkan, melainkan akan dihapuskan dari dirinya keburukan-keburukannya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2573)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَا مِنْ شَيْءٍ يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ حَتَّى الشَّوْكَةِ تُصِيبُهُ، إِلَّا كَتَبَ اللهُ لَهُ بِهَا حَسَنَةً أَوْ حُطَّتْ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةٌ

“Tidaklah seseorang muslim yang tertusuk duri atau yang lebih kecil dari itu, melainkan dituliskan baginya satu darjat dan dihapuskan pula satu kesalahannya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2572)

Selain dari itu, musibah juga adalah termasuk peringatan bagi manusia yang terleka dan terlalai. Apabila ia tersedar dan bersabar dengannya, maka pasti ia akan kembali mengingat Rabb-Nya. Sebaliknya jika tiada kesabaran, pasti ia akan hanyut dan semakin lalai lalu dengan musibah itu ia pun tersesat lebih jauh lagi.

Demikianlah sebahagian keindahan buah tangan kesabaran. Ia terbentuk hasil dari keimanan yang benar lagi sempurna.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَالصَّابِرِينَ فِي الْبَأْسَاءِ وَالضَّرَّاءِ وَحِينَ الْبَأْسِ أُولَئِكَ الَّذِينَ صَدَقُوا وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُتَّقُونَ

“...dan orang-orang yang sabar dalam kesusahan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa.” (Surah Al-Baqarah, 2: 177)

Orang-orang yang beriman dan beramal soleh sentiasa mengharap pahala dari sisi Allah. Kebergantungan dan harapannya hanya kepada Allah. Dan tidaklah diperolehi pahala itu melainkan dengan kesabaran. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَقَالَ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ وَيْلَكُمْ ثَوَابُ اللَّهِ خَيْرٌ لِمَنْ آمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا وَلَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الصَّابِرُونَ

“Berkatalah orang-orang yang dianugerahi ilmu: “Kecelakaan besarlah bagimu, pahala Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan tidaklah diperolehi pahala itu melainkan bagi orang-orang yang sabar.”.” (Surah al-Qashash, 28: 80)

Wallahu a'lam...

Tinggalkan Hal-hal Yang Tidak Bermanfaat

Tinggalkan Hal-hal Yang Tidak Bermanfaat

Abu Numair Nawawi B. Subandi
www.ilmusunnah.com

Setiap kita tahu bahawa masa yang berlalu itu pasti tidak akan kembali lagi. Oleh itulah sikap setiap muslim yang baik keislamannya dia pasti akan sentiasa memanfaatkannya dengan perkara-perkara yang bermanfaat, sekaligus meninggalkan hal-hal yang tidak bermanfaat lagi tidak disukai Allah. Malah Allah menegaskan di antara sifat orang-orang yang berjaya adalah orang yang meninggalkan hal yang sia-sia sebagaimana dalam awal Surah al-Mukminuun.

Bagi menjelaskan lagi perkara ini, terdapat sebuah hadis di mana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مِنْ حُسْنِ إِسْلاَمِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لاَ يَعْنِيْهِ

“Sebahagian dari baiknya keislaman seseorang adalah dia meninggalkan apa yang tidak bermanfaat buat dirinya.” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 1737. At-Tirmidzi no 2317, 2718. Dinilai sahih oleh al-Albani dan hasan oleh an-Nawawi, Ibnu Hajar, dan Syu’aib Al-Arnauth)

Kata al-Hafiz Ibnu Rejab al-Hanbali rahimahullah dalam Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, hadis ini termasuk hadis yang menyebutkan salah satu prinsip adab yang agung.

Hadis ini menunjukkan meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat termasuk dari kebaikan keislaman seseorang sama ada dalam urusan agama mahupun dunia, sama ada amali atau pun lisan.

Sebagaimana kata Imam ash-Shan’ani rahimahullah, “Hadis ini mencakupi seluruh perbuatan dan perkataan yang tidak bermanfaat.” (Subulus Salam, 4/310 – al-Maktabah at-Taufiqiyah)

Maka jika ia meninggalkan apa yang tidak bermanfaat baginya dan melaksanakan apa yang bermanfaat baginya, maka sesungguhnya ia telah menuju kepada kebaikan yang menyempurnakan keislamannya.

Kata al-Hafiz Ibnu Rejab al-Hanbali rahimahullah (Wafat: 795H):

“Meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat baginya dan apa yang tidak ia inginkan bukanlah kerana mengikutkan hawa nafsu dan kehendak perasaan, sebaliknya adalah kerana pertimbangan syari’at dan Islam. Oleh sebab itulah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjadikan sikap seperti ini sebagai bukti kebaikan keislaman seseorang.

Dengan itu, apabila keislaman seseorang itu baik, ia pun meninggalkan ucapan-ucapan dan tindakan-tindakan yang tidak penting baginya dalam Islam. Kerana Islam menuntut seseorang agar melaksanakan kewajiban-kewajiban sebagaimana yang telah dijelaskan.” (Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/288-289. Tahqiq Syu’aib Al-Arnauth – Mu’asasah ar-Risalah)

Di antara perkara-perkara yang tidak bermanfaat yang harus ditinggalkan adalah apa-apa yang diharamkan oleh agama. Termasuk perkara tidak bermanfaat lainnya adalah hal-hal yang syubhat, hal-hal yang dibenci (makruh), dan hal-hal mubah yang tidak diperlukan.

Kata al-Hafiz Ibnu Rejab lagi:

“Semua itu tidak penting bagi seorang Muslim seandainya keislamannya telah baik dan mencapai darjat ihsan di mana ia mampu mengabdikan diri kepada Allah seolah-olah ia melihat-Nya dan jika ia tidak melihat-Nya maka ia tahu Allah sentiasa melihanya. Jadi, sesiapa yang mengabdikan diri kepada Allah dengan mengetahui kedekatan Allah dan pengawasan Allah kepadanya, sesungguhnya keislamannya telah baik dan menjadikannya meninggalkan apa jua perkara yang tidak bermanfaat baginya dalam Islam dan ia lebih sibuk dengan perkara-perkara yang penting untuknya.” (Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/289. Tahqiq Syu’aib Al-Arnauth – Mu’asasah ar-Risalah)

Imam ash-Shan’ani menjabarkan lagi tentang hadis tersebut dengan katanya:

“Dengan itu, tujuan hadis ini mencakup seluruh perbuatan secara umum, termasuk di dalamnya agar meninggalkan sikap bermegah-megah dalam kehidupan dunia, bercita-cita untuk mendapatkan jawatan, kerusi pemerintahan, dan puji-pujian dari orang lain serta perkara-perkara lainnya yang sebenarnya tidak berguna untuk kebaikan agama dan untuk urusan dunianya.” (Subulus Salam, 4/310 – al-Maktabah at-Taufiqiyah)

Termasuk perkara yang tidak bermanfaat yang turut disinggung oleh para ulama apabila membahaskan hadis ini adalah tidak berkata-kata melainkan yang baik-baik.

Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:

“Ketahuilah bahawa seseorang mukallaf sepatutnya mampu menjaga perkataannya untuk tidak berbicara melainkan untuk perkara yang benar-benar bermanfaat. Apabila berdasarkan pertimbangannya kemaslahatan antara diam dan berbicara adalah sama, maka menurut sunnah, lebih baik ia mengambil sikap diam. Kerana perbicaraan yang mubah (harus) adakalanya boleh membawa kepada perbuatan haram atau makruh (dibenci).” (Riyadhus Shalihin, m/s. 503 – Daar Ibnul Jauzi)

Ini bersesuaian dengan pesan-pesan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam antaranya:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhir (Kiamat), hendaklah ia berkata yang baik-baik atau hendaklah ia diam.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 6135)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah bersabda:

المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ، وَالمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ

“Seorang muslim ialah di mana umat Islam lainnya selamat dari lidah dan tangannya dan orang yang berhijrah adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 10)

Ini juga sebagaimana apa yang diingatkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala melalui firman-Nya:

“Tidak ada suatu lafaz dari apa yang diucapkan melainkan ada di sisinya Malaikat (Raqiib) yang sentiasa mencatat.” (Surah Qaaf, 50:18)

Selain itu, perbuatan meninggalkan apa-apa yang tidak bermanfaat ini sama ada perbuatan atau perkataan, ia juga termasuk kesan dan hasil sifat malu kepada Allah. Apabila seseorang mengetahui dirinya sentiasa dekat dengan Allah dan sentiasa mendapat pengawasan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala, maka sudah tentu ia akan merasa malu dan meletakkan dirinya dalam keadaan sentiasa berhati-hati lagi berwaspada.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah bersabda:

اسْتَحْيُوا مِنَ اللَّهِ حَقَّ الحَيَاءِ». قَالَ: قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا نَسْتَحْيِي وَالحَمْدُ لِلَّهِ، قَالَ: «لَيْسَ ذَاكَ، وَلَكِنَّ الِاسْتِحْيَاءَ مِنَ اللَّهِ حَقَّ الحَيَاءِ أَنْ تَحْفَظَ الرَّأْسَ وَمَا وَعَى، وَالبَطْنَ وَمَا حَوَى، وَلْتَذْكُرِ المَوْتَ وَالبِلَى، وَمَنْ أَرَادَ الآخِرَةَ تَرَكَ زِينَةَ الدُّنْيَا، فَمَنْ فَعَلَ ذَلِكَ فَقَدْ اسْتَحْيَا مِنَ اللَّهِ حَقَّ الحَيَاءِ

“Hendaklah kamu malu kepada Allah dengan sebenar-benar malu.” Ibnu Mas’oud radhiyallahu ‘anhu berkata:

“Wahai Rasulullah, alhamdulillah sesungguhnya kami ini memang pemalu.”

“Bukan itu (yang dimaksudkan), tetapi malu kepada Allah dengan sebenar-benar malu itu adalah engkau menjaga kepala dan apa yang ada padanya, menjaga perut dan apa yang ada di dalamnya, dan hendaklah sentiasa mengingat kematian dan ketika keadaan menjadi tulang-belulang. Sesiapa yang inginkan kehidupan akhirat, hendaklah ia meninggalkan perhiasan dunia, dan sesiapa yang melakukan perkara ini, sesungguhnya dia telah malu kepada Allah dengan sebenar-benar malu.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, no. 2458. Dinilai hasan oleh al-Albani)

Maka dari itu, hendaklah kita perhatikan baik-baik agar setiap amal perbuatan dan perbicaraan yang kita lontarkan adalah dari apa-apa yang bermanfaat. Dan hendaklah kita tinggalkan setiap apa yang tidak memiliki manfaat serta sia-sia. Sekiranya kita ragu antara yang bermanfaat dengan tidak, maka hendaklah kita tangguh dan diam sebagaimana ditegaskan oleh Imam an-Nawawi rahimahullah di atas.

Untuk memastikan setiap apa yang kita lakukan dan perkatakan itu bermanfaat ataupun tidak, maka tidak dapat tidak melainkan dengan ilmu yang benar. Jadi, manfaatkanlah setiap masa yang kita ada, fizikal yang sihat, dan dari harta yang dimiliki untuk menuntut ilmu yang benar dan mengamalkannya kerana mencari wajah Allah. Bukan untuk hal-hal yang haram, syubhat, dan sia-sia yang ditakuti akan menjadi beban dan siksaan di akhirat kelak.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لاَ تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ القِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ عُمُرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ، وَعَنْ عِلْمِهِ فِيمَ فَعَلَ، وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ، وَعَنْ جِسْمِهِ فِيمَ أَبْلاَهُ

“Tidak akan berganjak kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga dia ditanya tentang umurnya untuk apa dia habiskan, tentang ilmunya untuk apa dia amalkan, tentang hartanya dari mana dia perolehi dan ke mana dia belanjakan, dan tentang tubuhnya untuk apa dia gunakan.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, no. 2417. Dinilai sahih oleh at-Tirmidzi)

Wallahu a’lam.

Selasa, April 10, 2012

Ancaman Fahaman Hak Asasi Manusia

Ancaman Fahaman Hak Asasi Manusia

Abu Numair Nawawi B. Subandi


Telah berlalu sebelum ini artikel penulis yang menyentuh secara khusus hukum demonstrasi jalanan, yang membawa hukum haram dan merupakan sebahagian dari bentuk-bentuk akar ideologi fahaman hak-hak asasi manusia. Biarpun yang hendak dibela adalah perkara baik dan yang dicegah adalah hal-hal mungkar sekalipun, maka ia tetap haram.

Kerana Islam bukanlah agama yang membenarkan kemungkaran ditangani dengan cara yang mungkar juga. Islam adalah agama yang sejahtera, damai, dan cintakan keamanan. Islam bukan agama anarki, protes, dan mainan orang-orang jalanan tak ketahuan hala.

Islam tidak mengajar tunjuk perasaan, sebaliknya Islam mengajar supaya mengawal perasaan dan meletakkan pada tempatnya. Kata Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Orang yang kuat itu bukanlah yang dikenali dengan hebatnya berkelahi, tetapi orang yang kuat adalah yang mampu menguasai (menahan) dirinya ketika marah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 6114)

Dalam Islam tidak ada hak kebebasan bersuara secara mutlak. Sebaliknya Islam mengajar, mendidik, dan membimbing bagaimana seharusnya bersuara dan bertindak secara benar. Sama ada dalam keadaan susah mahupun senang, dalam keadaan marah ataupun tenang.

Tetapi inilah yang gagal difahami sebahagian masyarakat Islam. Mereka terpengaruh dengan ideologi demokrasi atau slogan hak asasi manusia. Lalu mereka menganggap semua urusan adalah milik mereka dan mereka boleh bersuara serta bertindak sesuka hati mereka pada apa jua keadaan tanpa menghiraukan hak-hak dan batas-batas yang telah Allah tentukan.

Pantang ada isu, mereka akan bersuara dan mengolah sekehendaknya walaupun dengan keadaan diri yang jahil. Dalam al-Qur’an Allah mengingatkan hal ini yang maksudnya, “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak memiliki pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semua itu akan diminta bertanggungjawab.” (Surah al-Isra’, 17: 36)

Dalam Islam, Allah Ta’ala memiliki hak terhadap para hamba-Nya iaitu hak untuk diibadahi. Allah menyusun dan membahagikan hak-hak manusia berdasarkan fitrah keadaan mereka masing-masing dalam rangka kebaikan. Sebagai contoh, ibu dan bapa memiliki hak dari anak-anak agar dilayan dengan baik dan makruf. Suami dan isteri masing-masing memiliki hak untuk berkasih-sayang dan memberi serta menerima nafkah. Orang yang miskin berhak terhadap zakat golongan berharta. Manakala anak-anak berhak mendapat jagaan dan kasih sayang daripada ibu dan bapa di rumah.

Islam tidak memukul ratakan hak-hak dan beban tugas mereka sampai orang kaya dan miskin wajib sama-sama berzakat, isteri boleh keluar bekerja manakala menyusukan anak di rumah diambil alih si suami. Islam tidak begitu, sebaliknya Islam membahagi hak tugas mereka secara adil dengan meletakkan tepat pada fitrahnya.

Islam membimbing manusia agar menunaikan hak sesama manusia dengan cara yang benar. Sebagai contoh wanita yang juga seorang isteri berhak mendapat nafkah dan tinggal di rumah menjaga harta suami bersesuaian dengan fitrah kejadiannya sebagai seorang wanita. Manakala anak-anak pula berhak mendapat jagaan dan pengawasan ibunya. Tugas kaum suami pula ditempatkan di luar untuk bekerja dan mencari nafkah.

Kata Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Seseorang lelaki adalah pemimpin yang bertanggungjawab ke atas keluarganya, manakala seseorang isteri menjadi pemimpin yang bertanggungjawab menguruskan rumah suami dan anak-anaknya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5200)

Tapi apabila datangnya slogan-slogan hak asasi manusia pada hari ini, mereka luluh-lantakkan susun atur fitrah yang Islam tetapkan ini. Mereka ajak kaum wanita supaya bersaing dengan kaum lelaki di luar. Baik dalam berpakaian, pekerjaan, mahupun kepolitikan! Lalu bagaimana institusi kekeluargaan dan tugas-tugas asal wanita di rumah?

Lebih menggerunkan, hari ini muncul pula perjuangan hak lesbian, gay, pondan, biseksual, dan transgender yang juga diperjuangkan atas slogan hak asasi manusia?!

Ini semua adalah contoh-contoh pengganggu gugat fitrah hidup normal. Bertentangan dengan apa yang telah Allah tetapkan di mana manusia dibahagikan kepada lelaki dan wanita bersesuaian dengan fitrah dan tanggungjawab mereka di muka bumi ini. Asal dalam Islam, setiap mereka baik lelaki mahupun wanita, mereka mendapat ganjaran bersesuaian dengan fitrah, posisi, dan amal-amal mereka.

Allah Ta’ala berfirman, “Sesiapa yang beramal dengan amal yang soleh, sama ada lelaki ataupun wanita dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepada mereka kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah usahakan.” (Surah an-Nahl, 16: 97)

Tapi sayang, mereka tidak bersyukur lalu menggantikan fitrah yang sejahtera dengan kebinasaan.

Politik Hak Asasi Manusia

Demikian jugalah yang terdapat dalam perjuangan politik mereka. Agenda perjuangan mereka antaranya boleh dilihat dalam pasal-pasal Deklarasi Hak Asasi Manusia (HAM) diumumkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) 10 Disember 1948 resolusi 217 A (III).

Antaranya dalam pasal 19; kata mereka, “Setiap orang berhak atas kebebasan mempunyai dan mengeluarkan pendapat; dalam hal ini termasuk kebebasan menganut pendapat tanpa mendapat gangguan, dan untuk mencari, menerima dan menyampaikan keterangan-keterangan dan pendapat dengan cara apa pun dan dengan tidak memandang batas-batas.”

Sebab itu tidak hairan muncul begitu banyak siri-siri demonstrasi jalanan di serata dunia hari ini. Hampir semua bertunjangkan slogan-slogan kebebasan dan hak asasi manusia. Seolah-olah dunia ini tiada lagi batas undang-undang yang perlu dipatuhi.

Manakala dalam Islam untuk mengetengahkan sesuatu pendapat ia perlulah dengan adab, saluran yang betul, dan dengan ilmu. Tidak setiap orang bebas mengetengahkan pendapat melainkan yang memiliki keahlian dan ilmu dalam perkara berkaitan yang hendak diketengahkan. Islam menyusun bagaimana kita wajib beradab terhadap Allah, mentaati Nabi, sehinggalah adab terhadap pemerintah pun diajar dalam Islam.

Masih lagi dalam politik bawaan HAM, dalam pasal 21; mereka menegaskan: “Kehendak rakyat perlu menjadi dasar kekuasaan pemerintah...”

Hakikat ini amat bertentangan dengan aqidah Islam. Tetapi deklarasi inilah yang banyak diperjuangkan oleh sebahagian umat Islam tanpa sedar. Mereka menghiasi perjuangan ini dengan slogan-slogan kebebasan, keamanan, membasmi penindasan, dan perjuangan menuntut hak rakyat.

Dalam Islam, sekiranya berpolitik ia adalah semata-mata dalam rangka mentaati Allah, dan urusan ini tidak diberikan bebas kepada sesiapa saja melainkan yang memiliki hak, keupayaan, dan kefaqihan. Pentadbiran sesebuah negara dalam Islam bertujuan menjaga kemaslahatan masyarakat dengan tidak menyelisihi hak-hak Allah Ta’ala.

Hakikat ini amat berbeza dengan fahaman hak asasi manusia melalui deklarasi yang mereka umumkan. Politik mereka adalah politik bertuhankan suara-suara manusia. Perjuangan mereka adalah perjuangan berhukum dengan hukum rakyat.

Sekiranya rakyat jahat, maka hukum kejahatanlah yang tertegak. Bahkan di antara slogan mereka yang terkenal adalah seperti “Dari rakyat, untuk rakyat, kerana rakyat!” Dari kacamata Islam, ini jelas menodai kemurnian tauhid apabila setiap hukum menjadi milik manusia dan tidak lagi mempedulikan dalil-dalil wahyu!

Kata Allah Ta’ala dalam firman-Nya, “Tidaklah patut bagi lelaki yang beriman dan wanita yang beriman, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka benar-benar dia telah sesat dengan sesat yang jelas.” (Surah al-Ahdzaab, 33: 36)

Lebih jauh dari isu politik, perjuangan hak asasi manusia juga turut memperjuangkan pasal yang mengatakan, “Setiap orang berhak atas kebebasan fikiran, hati nurani dan agama; dalam hal ini termasuk kebebasan bertukar agama atau kepercayaan, dengan kebebasan untuk menyatakan agama atau kepercayaan dengan cara mengajarkannya, melakukannya, beribadat dan mentaatinya, sama ada sendiri ataupun bersama-sama dengan orang lain, di muka umum ataupun sendiri.” (Pasal 18, Deklarasi HAM)

Pendek kata, apabila ini berjaya mereka ketengahkan dan akta-kan, nescaya rosaklah tunjang-tunjang Islam yang sedia ada dalam negara kita pada hari ini. Bahkan manusia bebas berbuat apa sahaja termasuk hendak murtad atau menolak Tuhan. Hendak bertukar-tukar menjadi lelaki mahupun wanita. Hendak berzina ataupun meliwat!

Wallahu a’lam.