“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Isnin, Ogos 31, 2009

Erti Sebuah Kemerdekaan

Erti Sebuah Kemerdekaan

http://an-nawawi.blogspot.com

Erti sebuah kemerdekaan adalah merdekanya jiwa seseorang manusia itu daripada pengaruh kesyirikan. Iaitu perbuatan penyembahan kepada selain dari Allah Subhanahu wa Ta’ala hendaklah dihapuskan. Kepercayaan kepada karut-marut hendaklah dibersihkan. Kepelbagaian ritual ibadah rekaan dan ciptaan manusia hendaklah ditinggalkan.

Syirik adalah bencana terbesar yang menimpa dunia manusia di alam ini. Mereka dibelenggu dari mengerti maksud tujuan hidup yang sebenar. Mereka terhampar di lembah kegelapan yang mengusutkan, tersesat dari menemui jalan keluar yang lurus dan fitrah. Mereka tertipu dengan banyaknya jalan-jalan yang mengelirukan di kanan, kiri, serta pelbagai sudut arah lainnya yang melorong.

Tanpa berbekalkan ilmu di perjalanan, mereka tersesat… jiwa-jiwa mereka lalu terbelenggu. Mereka terperangkap di jalan-jalan syaitan. Mereka meninggalkan erti fitrah yang bersih suci. Tauhid di dalam diri ternoda. Petunjuk wahyu tidak lagi dimengerti.

Ini dapat dilihat kepada banyaknya penyembahan dan pemujaan terhadap kuburan. Jika kita melihat ke luar, di Iran atau Iraq sana, suatu tempat bernama Karbala, yang didakwa memiliki kuburan al-Hussain, betapa pelaku syirik dari kelompok Syi'ah memuja-muja kuburan tersebut. Bahkan mereka melakukan ritual ratapan dan penyembahan ke atasnya. Tidak kurang di Mesir, terdapat manusia dari kalangan sesat umat Islam yang membina rumah-rumah ibadah di atas perkuburan yang didakwa milik imam asy-Syafi'e (rahimahullah). Lalu mereka melakukan peribadatan di sana, malah dijadikan juga sebagai tempat permohonan hajat-hajat tertentu. Begitu juga di Yaman, di sebuah tempat bernama Hadramaut, di mana ramainya manusia yang bertawaf dan melakukan pemujaan di sebuah kawasan yang didakwa memiliki perkuburan milik Nabi Nuh 'alaihis Salam. Begitulah penyembahan kuburan yang masih subur berlaku di muka bumi ini. Selainnya, percayanya manusia kepada tukang ramal dan tukang-tukang bomoh. Ini juga suatu amalan yang sangat subur berlaku di serata pelusuk dunia manusia. Begitulah mereka memperhambakan nasib kepada manusia lainnya yang mendakwa mengetahui sesuatu yang tersembunyi, padahal mereka tidak lain hanyalah orang-orang sesat lagi bodoh. Penyembahan kepada bintang-bintang, api, pokok-pokok, patung-patung, matahari, bulan, dan berhala juga tidak pernah berkurang malah bertebaran di serata alam. Permohonan doa tidak lagi kepada Tuhan yang berhak tetapi dihadapkan kepada Nabi-nabi dan jasad-jasad orang-orang yang telah mati. Kepercayaan mereka kepada kehebatan firasat dan semangat ghaib juga sering menguasai kehidupan. Manusia tunduk di bawah penguasaan jasad-jasad yang lemah tanpa sedar. Terdapat juga ritual-ritual baru yang berlangsung akibat pemujaan dan penghormatan yang dilakukan ke atas tokoh-tokoh tertentu. Mereka mencipta patung-patung khusus berupa tokoh-tokoh tersebut, lalu melakukan ritual penghormatan ke atasnya seperti tabik hormat, kalungan bunga, dan seumpamanya. Sungguh, sebenarnya mereka memenjara dan membelenggu benak pemikiran dan jiwa mereka sendiri.

Mereka tidak bebas! Mereka tidak merdeka!

Begitulah berleluasanya syirik. Banyaknya manusia yang tidak lagi merdeka. Mereka tunduk dan menyerah kepada yang bukan selayaknya. Terkapai-kapai dalam kegelapan, membelenggu diri sendiri…

Dari sebab seperti itulah. Dari tujuan memurnikan tauhid dari syirik yang seperti itulah, maka para Nabi dan Rasul telah diutuskan bagi membersihkan bencana terbesar umat manusia. Peringatan turut diberi akan bagaimana kesudahan golongan manusia terdahulu yang mendustakan perintah bertauhid dan bergelumang dengan kesyirikan. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:



وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ فَمِنْهُمْ مَنْ هَدَى اللَّهُ وَمِنْهُمْ مَنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلالَةُ فَسِيرُوا فِي الأرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ


Maksud: Dan sesungguhnya Kami telah mengutus rasul pada setiap umat (untuk menyerukan): “Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thaghut (kesesatan) itu”, maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul). (Surah an-Nahl, 16: 36)

Dengan tauhid yang suci murni, bersih dari noda syirik, para Rasul menyeru dan menyatukan para manusia. Kerana, hanya dengan tauhid yang suci, manusia akan bersatu. Tunduk kepada Penguasa sebenar. Mengenal erti hidup. Dari mana dia datang, kenapa dia diciptakan, dan ke mana dia akan berakhir atau menuju.

Sebaliknya...

Dengan syirik, berpecah-belahlah kehidupan manusia yang harmoni. Kepelbagaian kelompok dan fahaman serta kepercayaan akan mencemari muka bumi. Manusia tidak lagi bersatu biar pun rupa bentuk mereka sama, lalu berpuak-puak mengikuti kesesatan dan fahaman mereka masing-masing. Sehingga saling berbunuhan, menghapuskan serta mengusai.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:


فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لا يَعْلَمُونَ (٣٠)مُنِيبِينَ إِلَيْهِ وَاتَّقُوهُ وَأَقِيمُوا الصَّلاةَ وَلا تَكُونُوا مِنَ الْمُشْرِكِينَ (٣١)مِنَ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعًا كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ


Maksud: Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada peubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui, dengan kembali bertaubat kepada-Nya dan bertaqwalah kepada-Nya serta dirikanlah solat dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah, iaitu orang-orang yang memecah-belah agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Setiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka. (Surah ar-Ruum, 30: 30-32)

Lihatlah bagaimana permusuhan terbesar kaum manusia di antara golongan Yahudi, Nashara, dan umat Islam. Sejak berzaman hingga kini, ia terus berlanjutan.

Sungguh hairan sekiranya masih ada manusia menyanjungi Islam sebagai agamanya, namun dalam masa yang sama, mereka masih boleh saling meraikan kegembiraan syi’ar agama seperti Kristian, Yahudi, Budha, Hindu, Tao, mahu pun selainnya. Lihat saja, bagaimana gelagat mereka di hari-hari kebesaran (perayaan) masing-masing. Kesyirikan saling dirai bersama...

Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman di dalam Surah al-Kafiroon... Saksikanlah di sana. Apakah kita telah melupakannya?

Dan Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman:


وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ النَّاسَ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلا يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ (١١٨)إِلا مَنْ رَحِمَ رَبُّكَ وَلِذَلِكَ خَلَقَهُمْ وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ لأمْلأنَّ جَهَنَّمَ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

Maksud: Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat, kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka. Kalimat Tuhanmu (keputusan-Nya) telah ditetapkan: Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan jin dan manusia (yang derhaka) semuanya. (Surah Huud, 11: 118-119)

Akuilah bahawa tiada penyatuan dan kebersatuan umat manusia, melainkan dengan kalimat yang satu, iaitu tauhid yang fitrah suci dan murni. Dengannyalah, kita bakal merasa sebuah kemerdekaan sejati. Terlepas dari segala bentuk belenggu kegelapan...

Bebas dari belenggu perkauman dan kepuakan. Tiada lagi ketundukkan kepada jasad-jasad yang lemah. Tiada lagi jurang di antara yang kaya dengan yang miskin, yang tua mahu pun yang muda. Dengan,

1 Tauhid: Islam diutamakan, Aqidah didahulukan...


Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:


يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ (٢٧)ارْجِعِي إِلَى رَبِّكِ رَاضِيَةً مَرْضِيَّةً


Maksud: Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. (Surah al-Fajr, 89: 27-28)

Wallahu a’lam...

Jumaat, Ogos 28, 2009

Program Berbuka Puasa Bersama

-Program Berbuka Puasa Bersama-
Anjuran Ahli Komuniti Lembah Klang

Tarikh:
Sabtu, 12 September 2009

Tempat:
DEWAN KOMUNITI
3, PINGGIRAN SETIA BUDI
DAMANSARA HEIGHTS, KUALA LUMPUR.
(berhampiran Masjid Saidina Umar)

Yuran Penyertaan:
RM20 (Seorang)

Tentatif Program:

5:30 - 6:00
Pendaftaran

6:00 - 7:00
Tazkirah oleh Ustaz Hisham B. Dr. Mohd Radhi

7:14 - 7:30
Iftar (Berbuka)

7:30 - 8:45
Solat Maghrib & Makan (Dinner)

8:45 - 9:30
Solat Isya' & Tarawikh

9:30 - 11:00
1 - Ucapan Pengerusi Program Berbuka
2 - Ceramah bersama Ustaz Abu Islam Fathul Bari Bertajuk:

Orang Asing - Ramadhan, Rasul & Sahabat

11:00
Diakhiri dengan moreh (supper)
Bersurai


Pihak penganjur juga menyediakan peluang bagi para peserta untuk berinfak di bulan yang mulia ini. Tabung infak akan diadakan pada malam tersebut dan keseluruhannya akan diinfakkan kepada “INSTITUT TAHFIZ AL-MIZAN” - iaitu institusi pendidikan as-Sunnah di Terengganu yang mendidik anak-anak miskin dan yatim ke arah pemahaman al-Qur’an & as-Sunnah yang dikawal selia (dipimpin) oleh Ustaz Razali bin Tahir.

Sama-samalah Kita Menjayakan Program Ini, Mudah-Mudahan diberkati & diredhai oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Bantulah kami daripada amalan syaitan iaitu pembaziran, tolong sahkan penyertaan anda.

Sms-kan kepada 012-3076703 atau 012-2811265 pada atau sebelum 8hb. Sept 2009.

Selasa, Julai 21, 2009

Yang Telanjang Itu Menawan? (Setelah diedit semula)

Yang Telanjang Itu Menawan?

http://an-nawawi.blogspot.com

Semester baru universiti sudah pun bermula. Maka, penuhlah sekitar bandaraya Anggerik Shah Alam ini terutamanya di sekitar Seksyen 7. Saya adalah salah seorang yang menetap di kawasan ini bersama sahabat-sahabat dan masyarakat penduduk yang lain.

Hampir setiap waktu, dari pagi, tengah hari, petang dan sehinggalah ke tengah malam, kawasan ini dipenuhi dengan kebanyakannya/majoritinya adalah pelajar-pelajar dari universiti berhampiran. Adakalanya terasa sungguh meriah kawasan ini kerana dipenuhi dengan manusia bergelar pelajar. Tetapi adakalanya juga terasa begitu menyesakkan dan merimaskan suasana. Mana tidaknya, semua lokasi dipenuhi dengan gerak-aktiviti mereka. Dari kedai photostat, restorant, kedai makan, pusat komputer, klinik, dan pusat membeli belah hampir semuanya disibuki dengan aktiviti peribadi pelajar yang berkampung di kawasan ini. Maklumlah, tentu sekali masing-masing memiliki keperluan, namun tidak kurang juga mereka yang sengaja berjalan-jalan memenuhkan ruang tanpa keperluan... pendek kata, “merewang”...

Namun, itu sudah menjadi perkara yang normal dan biasa di mana-mana pun tempat yang membangun yang bernama bandar/urban/kotaraya. Sebenarnya ada lagi perkara yang lebih “menarik” perhatian. Bukannya kesibukan dan keramaian mereka semata-mata. Tetapi, adalah identiti, penampilan dan gaya yang mereka tunjukkan dan peragakan ketika menyibukkan diri di sekitar kawasan ini. Maka, sekali lagilah saya ingin menyentuh tentang perempuan, terutamanya dari golongan pelajar dan mahasiswi.

Kalau sebelum ini mungkin dalam tulisan yang terdahulu ada menyentuh berkenaan persoalan wanita yang tempatnya adalah sepatutnya di rumah dan jauh dari hiruk-pikuk dunia luar, tetapi nampaknya wanita zaman ini semakin sukar dikawal dan mengawal diri. Mereka lebih suka bebas meninggalkan kediaman masing-masing lalu mencari kepuasan buat diri mereka di luar. Maaf, kepada yang tidak terlibat. Artikel ini saya utarakan adalah berputar sekitar mereka yang berkaitan sahaja. Yang tidak berkaitan (yang baik-baik), janganlah terasa.

Adalah suatu yang normal, apabila seseorang anak kecil itu meningkat remaja, lalu mendapat kelonggaran untuk meninggalkan ibu bapa mereka lantaran tawaran masuk ke universiti, perasaan memiliki kebebasan itu amat dirasai. Lalu, lama kelamaan andainya perasaan dan naluri jiwa itu tidak dikawal, ia mengakibatkan manusia lupa akan batas kebebasan yang sewajarnya. Lalu, tanggungjawab asas masing-masing pun mula terabai. Ini merangkumilah tanggungjawab kepada diri sendiri, ibu bapa dan juga Tuhannya.

Berbalik kepada tajuk, apakah benar yang bertelanjang itu menawan? Hakikatnya, inilah yang ingin saya utarakan dan lontarkan kepada anda para mahasiswi terutamanya di mana pun berada. Apakah ketelanjangan itu identiti dan “grand trend” wanita masa kini? Inilah yang sebenarnya menyesakkan dan merimaskan mata-mata dan hati-hati manusia terutamanya lelaki tidak kira sama ada mereka itu terdiri dari golongan pelajar, pekerja kilang, pekerja kontrak, tukang paip/plumber, jurutera DNA, pakar komputer, polis, pak guard/security, ustaz, tukang jaga cyber kafe, mahupun penganggur! Hati mereka pasti gusar melihat dan memerhatikan trend wanita telanjang masa kini. Kerana, itu adalah fitrah mereka (untuk merasa terangsang) yang telah Allah berikan kepada mereka.

Mana tidaknya, kalau wanita-wanita yang berjalan ke sana dan ke mari ini berpenampilan hampir seperti seseorang dari pasukan skuad renang dunia tetapi bukan untuk berenang. Ini dibuktikan! Pakaian mereka memang habis ketat, dari hujung kaki sampai ke hujung atas. Kepalanya sudah tentu juga bertelanjang kebanyakkannya. Wajarkah mengungkapkan al-hamdulillah? Kerana walaupun ada di antara mereka yang masih berpakaian ketat dan sendat seumpama baju selam laut dalam dan renang, masih ramai yang tidak meninggalkan tudung atau tidak menelanjangkan kepala serta rambutnya. Namun, itu bukan juga lesen sebagai bukti bahawa anda sudah cukup syarat menutup apa yang sepatutnya ditutup. Tetapi, itu hanya menunjukkan yang anda ini tidak pandai berfesyen!

Ada pula sebahagiannya memotong/memendekkan habis kain-kain mereka lalu menelanjangkan betis-betis mereka sehinggalah ke peha-peha mereka. Bukan sekadar itu, sebahagiannya yang lain pula, memakai seluar agak panjang, namun, di atas nya pula sengaja ditelanjangkan, lalu dengan megah dan sengaja membanggakan barangan milik bakal anak-anak mereka untuk menghilangkan dahaga itu ditonjolkan keluar sebahagiannya.

Mana tidak menyesakkan hati, mata dan jiwa raga manusia bernama lelaki memandang atau terpandang akannya. Pasti mereka tertawan dan tidak senang duduk jadinya. Biji mata pun jadi tidak tenteram gerakannya. Biarpun mereka tukang paip, pekerja kilang, mahupun mungkin ustaz-ustaz sekalipun seperti yang saya sebutkan tadi. Peragaan mereka ini memang cukup menawan hati-hati lelaki yang gusar dan mudah luntur imannya. Orang-orang yang kuat imannya sebelum ini pun mungkin hangus imannya sekelip mata lantaran panahan dan silauan tubuh-tubuh anda itu. Apalagi yang tidak mementingkan iman dan agama!

Kalau kebiasaanya, dunia peragaan ini sedikit masa dahulu munculnya di dalam majalah-majalah hiburan, media-media massa atau elektronik, namun sekarang ini sudah live! di depan mata anda sendiri! Anda berpeluang melihatnya live! tanpa sensor. Malah tidak dikenakan sebarang caj bayaran atau segala yang berkaitan. Mereka gembira menjadi tontonan umum menelanjangkan diri mereka yang perasan cantik, menawan dan menggoda itu di kancah umum tanpa mengenakan sebarang bayaran. Apakah tubuh-tubuh mereka tidak punya nilai agaknya? Ataukah sebegitu murah sekali harga diri mereka untuk diratahi oleh si mata keranjang?

Penampilan mereka yang “vogue dan grand” itu memang “menawan sekali” dan ini amat diakui bukan sahaja dari kaca-mata seorang lelaki, tetapi juga dinyatakan oleh Kitab yang Agung. Ini lantas diambil kesempatan, oleh sebahagian di antara para pengeluar rancangan edisi kaca tv dengan memainkan isu ini, antaranya adalah dengan mengutarakan syarat untuk berlakon drama dan filem mahupun iklan 10 saat, ialah mesti sanggup bertelanjang. Sanggup membuka tudung, sanggup memendekkan kain dan seluar, serta sanggup melondehkan baju mahupun menyendatkan pakaian. Ini adalah bagi tujuan menyingkapkan/menunjukkan apa yang tersorok dari “keindahan wanita” itu bagi melahirkan perasaan ghairah dan tarikan. Tidak lain, tujuannya adalah untuk menawan, mengghairahkan, dan mempersonakan para penonton di seantero dunia manusia. Dunia haiwan, tidak termasuklah, kerana haiwan sendiri sudah lama tidak berbaju! Berbulu itu adalah...

Beginilah modes operandinya dan tampak kaedahnya... Sungguh hebat plan perniagaan jual tubuh ini dilaksanakan di seluruh dunia masa kini, dengan mengambil kesempatan melalui pesona mutiara tubuh-tubuh wanita. Sehinggalah akhirnya, perniagaan ini turut dilakukan oleh majoriti anak-anak gadis kita. Dan sebahagian besarnya tidak lagi perlu dibayar untuk tujuan itu. Mereka gembira dengan trend telanjang yang dipropagandakan itu. Kini mereka dari kaum-kaum wanita itu sendiri telah se-akan dirasuk lalu merasa bangga menelanjangkan diri sendiri. Sungguh perasan bahawa diri mereka memiliki tubuh yang hebat dan memiliki permintaan yang tinggi demi kepuasan si mata-mata keranjang.

Inilah kesibukan dan kesesakan yang menggusarkan hati-hati manusia. Jiwa mereka tertawan dengan fenomena wanita telanjang! Terdetiklah di hati sebahagian lelaki dengan keinginan untuk menyambar sahaja wanita-wanita yang lalu di depan mata. Ya, kerana mereka itu sungguh “menawan” hati-hati insan bernama lelaki sejati. Tak kira apa gelaran yang mereka sandang. Sehinggakan menteri pun sanggup melucutkan jawatan lantaran pesona wanita. Adun “parti Islam” pun pernah tertewas naik turun mahkamah kerananya. Hati lelaki mana yang tidak bergelojak nafsu dan naluri seksualnya melainkan mereka yang “kurang bernasib baik” sahaja.

Ya, identiti wanita telanjang memang “menawan” dan cukup memikat. Kalau tidak, masakan majalah-majalah dan media-media televisyen sanggup mengeluarkan pelaburan yang tinggi demi untuk memaparkan ketelanjagan wanita-wanita? Ini tidak lain untuk menawan dan memancing penonton di seantero tanah air dan sudah tentu juga di peringkat dunia!

Kalau tidak menawan, mana mungkin dunia sindikit VCD lucah/blue mampu bermaharajalela di seluruh tanah air bernama malaysia. Kalau tidak kerana kandungannya adalah terdiri dari wanita-wanita telanjang dan lelaki-lekaki telanjang juga, mana mungkin insan-insan yang sudah “tertawan hatinya” untuk tidak sanggup berebut-rebut mendapatkannya. Dan mana mungkin mereka setia di kaca-kaca TV rumah mereka bagi menunggu racangan wanita telanjang kegemaran mereka. Mana mungkin mereka sanggup berjam-jam menatap skrin komputer mereka mencari-cari laman web lucah. Mana mungkin mereka sanggup berjaga malam keluar ke disko-disko bagi menatap aksi wanita telanjang ini, dan jika ada “nasib yang baik”, mungkin mereka mendapat peluang meratah tubuh wanita separa telanjang yang diidam-idamkan.

Hakikatnya, sekarang ini tidak lagi perlu ke disco-disco, tetapi cukup berjalan-jalan di sekitar kota dan bandaraya. Semua itu sudah terbuka dan menjadi percuma. Malah, kita amat “bernasib baik”, kerana mereka yang bertelanjang itu terdiri dari kalangan yang muda-muda lagi remaja, iaitu dari kalangan para pelajar/mahasiswi IPT yang dikatakan berpelajaran tinggi. Mereka yang dikatakan “masih hijau ranum” inilah yang “seronok” dan “mengghairahkan” untuk dipandang dan ditatap. Mereka yang “masih bergetah” inilah yang dikatakan mampu menaikkan jiwa muda setiap insan bernama lelaki.

Lalu, tidak hairanlah dan jangan disalahkan jika budaya rogol dan “mengambil kesempatan” ke atas wanita begitu berleluasa berlakunya di sekitar tanah air kita. Kerana memang wanita-wanita telanjang inilah yang dengan relanya telah “memberi kesempatan” dan menyemarakkan gelombang nafsu seksual kepada laki-laki bernafsu ini meratahi tubuh anda dari hujung jari kaki, sehinggalah ke hujung rambut anda. Maka, dari dunia peragaan umum di kancah kesibukan bandar dan kota, akhirnya mengakibatkan aksi ranjang/seksual di dalam semak, hotel, kereta, dan rumah-rumah kosong yang ditinggalkan penyewa.

Yang lebih mengeruhkan keadaan, akhirnya mengeluarkan produk anak luar nikah. Setelah kemaluan dan tubuh habis dirobek serta diratah, kini kekusutan bertambah-tambah lagi. Dunia pelajar entah ke mana, pengurusan diri pun sudah menjadi serabut.

Izinkan saya membuat perumpamaan, jika kita melihat jagung dan pisang yang masak ranum, mahu tidak mahu, kenalah dikupas untuk dimakan. Namun, jika sudah tidak berkulit, apa lagi yang hendak dikupas? Ngap! Je lah!... Tapi, kebiasaannya yang sudah tidak berkulit ni sudah terdedah kepada bermacam pathogen dan udara berbahaya... wallahu a’lam...

Maka, beringatlah wahai perempuan-perempuan semua. Ketahuilah bahawa anda bukanlah semurah itu untuk diratah secara percuma. Anda bukan bahan peragaan di pentas jalanan.

Di dalam kitab Allah, Dia Subhanahu wa Ta’ala ada menyatakan:

“Hendaklah mereka (wanita) menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya) kecuali kepada mahram mereka.” (Surah an-Nuur 24: 31)

Dari sini Allah sudah menggariskan batas-batas peragaan/pemakaian yang perlu anda patuhi sebagai seorang wanita yang beriman dan baik-baik. Ini antaranya adalah kerana anda memang kumpulan yang mampu memukau dan menawan naluri lelaki-lelaki di luar sana. Lalu Allah Subhanahu wa Ta’ala atas sifat kasih sayangnya dan Maha Mengetahui, Dia menjaga anda dengan perintah seperti itu.

“...Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” (Surah an-Nuur 24: 31)

Dia Subhanahu wa Ta’ala juga memerintahkan kaum lelaki supaya menjaga pendangannya terhadap para wanita:

“Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka lalukan. ” (an-Nuur 24: 30)

Ini menandakan, perempuan/wanita memang menawan! Kalau anda silap dalam percaturan dan mengabaikan perintah Allah dengan sesuka hati, mungkin anda adalah mangsa seterusnya yang akan diterkam oleh kumpulan lelaki-lelaki buas. (Semoga anda dan kita semua dilindungi Allah) Janganlah mudah-mudah melepaskan tubuh menawan anda kepada lelaki yang entah tidak keruan sifatnya. Janganlah dipamerkan tubuh-tubuh menawan anda itu di jalan-jalanan kerana keburukannya amat besar sekali. Ketahuilah, tubuh anda bukan semurah itu untuk dijaja dan ditayangkan percuma kepada semua orang.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: “Hendaklah mereka melabuhkan pakaiannya ke seluruh tubuh mereka.” Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (al-Ahzaab 33: 59)

Menurut Sheikh Bakr Bin Abdullah Abu Zaid (Anggota Majlis Fatwa, al-Lajnah ad-Daimah Lil Buhuts al-Ilmiyah Wa al-Ifta’, Saudi Arabia) berkenaan ayat ini antaranya:

“Dengan demikian, ini merupakan pembeza antara mereka (wanita muslimah) dengan wanita-wanita Jahiliyyah/kafir yang suka mendedahkan aurat, sehingga mereka (wanita muslimah yang menutup aurat) tidak diganggu dan orang-orang yang di dalam hatinya memiliki penyakit (hawa nafsu) tidak timbul hasrat (terangsang) terhadap mereka. Ini adalah kerana, menutupnya (aurat) adalah merupakan tanda bahawa wanita-wanita tersebut sentiasa menjaga kesucian dirinya sehingga mampu menjauhi pelbagai gangguan. Ayat tersebut juga merupakan suatu perintah untuk menutup tubuh (dengan sempurna). Ini adalah kerana, wanita yang menutup tubuh (aurat), maka orang-orang yang di hatinya memiliki syahwat (bernafsu) akan dapat ditundukkan dari keinginan untuk menyingkap bahagian tubuh seseorang wanita. Jadinya, menyingkap hijab (membuka aurat) dari diri wanita mampu mendorong munculnya pelbagai gangguan dari orang-orang yang jahil. Sekaligus, ayat ini menunjukkan wajibnya menutup aurat (tubuh) bagi wanita. Hal ini adalah supaya mereka diketahui memiliki iffah (kesucian diri), terhindar, dan terjaga dari pengaruh orang-orang jahat dan yang mencurigakan. Juga agar mereka tidak terfitnah dan tidak menimbulkan fitnah bagi orang lain (wanita yang lain). Lalu kesannya, mereka pun tidak diganggu dan disakiti.” (Rujuk: Menjaga Kehormatan Muslimah, Daar an-Naba’)

Sebagai penutup, saya mengajak melalui tulisan ini supaya, kembalilah wahai wanita-wanita sekalian kepada fitrah yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Bukannya kepada pertunjangan fitrah nafsu dan hati semata-mata yang meninggalkan manual (tunjuk-cara) yang telah Allah berikan. Jika nafsu dan kehendak hati semata-mata yang menjadi pilihan anda, maka akan hilanglah kehendak tujuan syariat Allah terhadap anda. Hilanglah kesucian dan kebaikan yang sepatutnya menjadi milik anda dari anugerah Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Tidak lain, adalah kerana anda yang menolaknya/meminggirkannya.

“...kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu dan memperbaiki (dirinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (an-Nuur 24: 5)

Ayuh wanita, sedarlah! Pupuklah jiwa dan peribadi anda jadilah wanita yang solehah, bukan sekadar dalam urusan berpakaian, tetapi juga secara komprehensif mencakupi aspek-aspek yang lainnya bermula dari dasarnya yang mencakupi aspek keimanan, ketauhidan, dan syariat. Kerana anda adalah merupakan perintis/pendidik/pe-lahir/penerus/contoh kepada generasi soleh-solehah di masa hadapan.

“Kebahagiaan manusia ada tiga: Wanita yang solehah, tempat tinggal yang baik, dan kenderaan yang baik. Sedangkan kesengsaraan manusia ialah: Wanita yang buruk (perangainya), tempat tinggal yang buruk, dan kenderaan yang buruk.” (Hadis Riwayat Ahmad)

“Dunia itu seluruhnya adalah perhiasan, sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita/isteri yang solehah.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Do your best effort!...

Khamis, Julai 02, 2009

Kuliah Bersama Syaikh Muhammad Abdul Qadir al-Mandili

Kuliah Bersama Syaikh Muhammad Abdul Qadir al-Mandili

Tajuk:
al-Qur'an & as-Sunnah Asas Kekuatan Ummah

Tarikh:
5 Julai 2009 (Ahad)

Masa:
Selepas Maghrib

Tempat:
Surau Assyakirin
,
Jalan Pinggiran USJ 3/9 Taman Pinggiran USJ Jalan Batu Tiga Lama 40300 Shah Alam . Belakang Sekolah Menengah Teknik Shah Alam. (Map: Klik)

Penjelasan Peta:

1 - Kalau dari Highway Elite, keluar (exit) melalui Tol Ebor/Batu Tiga. Belok ke kiri ke simpang tiga selepas tol (ada Masjid sebelah kanan) dan selepas 50 meter akan kelihatan bangunan DHL serta papan tanda (signboard) Taman Pinggiran USJ/Jalan Batu Tiga Lama. Belok ke kiri, masuk jalan tersebut dan kemudian ada laluan (corner) ke kanan sehingga jumpa traffic light sebelum sekolah menengah teknik, belok ke kiri dan jalan 100 meter kemudian belok ke kanan. Kemudian terus ikut papan tanda (signboard) ke Surau.

2 - Sekiranya melalui Highway KESAS, keluar (exit) di Hicom (selepas bangunan Proton) kemudian masuk ke arah Shah Alam. Sehingga ke traffic light bersebelahan kilang F&N Coca Cola, belok ke kanan. Jalan dalam 500 meter, akan jumpa traffioc light dan masuk ke laluan kanan. Selepas itu, jalan terus sehingga kelihatan Kilang JCB dan belok ke kiri dan terus ikut papan tanda (signboard) ke surau. Boleh jugak keluar melalui Seafield (kemudian terus masuk ke Elite Highway dan keluar melalui Ebor/Batu.

3 - Sekiranya melalui Federal Highway/Guthrie Expressway, seila keluar selepas Stesen Komuter Batu Tiga, melalui hadapan Kilang Gula CSR, Masjid Jamek Fastabikul Khayrat, sehingga ke traffic light di DHL, dan terus ikut panduan (direction (1)).

Info/maklumat lanjut:
013-3658148 (Saudara Hafiz)

Sabtu, Jun 27, 2009

Kelembutan Sunnah Dalam Bermu’amalah Terhadap Pemimpin

Kelembutan Sunnah Dalam Bermu’amalah Terhadap Pemimpin

http://an-nawawi.blogspot.com/

Islam adalah sebuah agama yang telah lengkap lagi menyeluruh meliputi setiap persoalan kehidupan alam manusia. Ini termasuklah kepada urusan bermu’amalah terhadap para pemimpin.

Dalam perkara ini, Islam amat memandang tinggi kedudukan seseorang pemimpin bersesuaian dengan tugas dan beratnya tanggungjawab yang dipikul oleh pemimpin itu sendiri. Di dalam sebuah hadis disebutkan bahawa: “Para penguasa adalah naungan Allah di muka bumi. Sesiapa yang memuliakan pemimpin, Allah akan memuliakannya. Sesiapa yang menghinakan pemimpin, Allah akan menghinakan dia.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

Imam al-Qurthubi menukilkan di dalam tafsirnya bahawa: “Manusia akan sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mana mereka masih menghormati pemimpin dan para ulama. Apabila mereka memuliakan dua golongan ini, Allah akan memperbaiki dunia dan akhirat mereka. Apabila mereka merendahkannya, bererti mereka telah menghancurkan dunia dan akhirat mereka sendiri.”

Namun sayangnya, pada masa ini banyak sekali umat Islam yang melupakan adab di dalam bermu’amalah terhadap pemimpin. Mereka memiliki sikap yang cepat emosi dan mudah melenting hanya disebabkan oleh beberapa kesilapan dan kesalahan yang dilakukan oleh pemimpin. Dalam perkara ini, Syaikh Dr. Khalid Ali al-Anbariy hafizahullah berkata: “Rasulullah SAW telah mewajibkan ke atas umat ini supaya menghormati dan memuliakan para pemimpin. Pada waktu yang sama, baginda melarang mencaci mereka dan menyebut kekurangan serta kelemahan mereka kerana ianya hanya akan menyebabkan kebencian rakyat kepada mereka bahkan juga akan membawa kepada kejahatan, kerosakan, kederhakaan, dan permusuhan.”

Sekiranya para pemimpin ada yang melakukan kesalahan atau terjebak ke dalam perbuatan maksiat, Islam juga telah menyediakan sebuah garis panduan yang begitu indah bagi tujuan menasihati mereka kerana para pemimpin adalah manusia biasa seperti manusia-manusia yang lainnya juga yang tidak terlepas dari melakukan kesalahan. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang hendak menasihati pemimpin, janganlah dia menampakkannya secara terang-terangan, akan tetapi hendaklah dia memegang tangannya, kemudian bersendirian dengannya. Apabila pemimpin itu mahu menerima nasihat, maka itulah yang diinginkan. Apabila tidak, sesungguhnya dia (yang menasihati) telah menunaikan kewajibannya.” (Hadis Riwayat Ibnu Abi Ashim)

Imam asy-Syaukani RH berkata: “Mereka yang menyedari berkenaan kesalahan pemimpin, hendaklah dia berusaha menasihatinya tanpa menyebarkannya di hadapan orang ramai (khalayak umum). Tetapi hendaklah dia berbincang secara empat mata di dalam rangka menasihatinya, tidak merendahkan atau menjatuhkan maruah dan martabatnya, serta tidak memperlekehkannya sebagaimana yang terdapat di dalam hadis.”

Telah tercatat di dalam sejarah di era para sahabat berkenaan kekejaman seorang gabernor di bawah pemerintahan Khalifah Malik bin Marwan yang bernama Hajjaj bin Yusuf as-Tsaqofi. Di mana dia (Hajjaj) telah banyak membunuh jiwa, sehingga sahabat yang mulia Abdullah bin Zubair RA terbunuh. Tetapi, bagaimanakah Sikap para sahabat yang lain pada ketika itu, adakah mereka bertindak mengumpulkan kekuatan untuk memberontak? Demi Allah, tidak sama sekali, bahkan mereka tetap menganjurkan untuk mendengar dan taat. Zubair bin Adiy berkata: “Kami mendatangi Anas bin Malik mengeluhkan perihal Hajjaj. Anas menjawab: “Bersabarlah, kerana tidaklah datang sebuah zaman kecuali yang setelahnya akan lebih buruk sehingga kamu berjumpa dengan Tuhan kamu, aku mendengar ini dari Nabi kamu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Begitu juga dengan kisah Musa dan Harun ‘alaihimus Salam ketika diperintahkan mendakwahi Fir’aun, seorang raja yang zalim lagi kafir, Allah SWT berfirman: “Pergilah kamu berdua kepada Fir'aun, sesungguhnya dia telah melampaui batas, maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia ingat atau takut.” (Surah Thaha, 20: 43-44)

Selain menasihati dan membimbing dengan cara yang disunnahkan, agama kita juga meminta supaya sentiasa mendoakan kebaikan buat para pemimpin. Abu Utsman Said bin Ismail berkata: “Nasihatilah penguasa, doakanlah kebaikan bagi mereka dengan ucapan, perbuatan dan hukum. Kerana apabila mereka baik, rakyat akan mendapat kebaikannya. Janganlah kamu mendoakan keburukkan dan laknat bagi penguasa, kerana keburukkan mereka akan bertambah dan bertambah pula musibah bagi umat Islam. Doakanlah mereka supaya bertaubat dan meninggalkan keburukkan sehingga musibah hilang dari kaum muslimin.”

Fudhail bin Iyadh berkata: “Sekiranya aku mempunyai doa yang mustajab pasti aku gunakannya untuk mendoakan pemimpin.” (Syarhus Sunnah) Imam al-Barbahari berkata: “Apabila kamu melihat orang yang mendoakan keburukan bagi pemimpin, maka ketahuilah bahawa dia seorang pengikut hawa nafsu. Apabila kamu melihat orang yang mendoakan kebaikan bagi pemimpin, maka dia adalah pengikut sunnah, insya-Allah.” (Syarhus Sunnah)

Dengan ini, telah jelaslah beberapa adab dan ciri-ciri khas di dalam bermu’amalah terhadap pemimpin sekaligus memperlihatkan kepada kita betapa indahnya akhlak di dalam Islam itu sendiri. Maka dengan itu, hendaklah kita mengikutinya dengan baik. Kerana setiap apa yang datang daripada sunnah itu adalah kebaikan sekaligus merupakan hukum Allah yang wajib kita patuhi biar pun kita masih tidak mampu merungkainya.

Manakala, bagi pemimpin yang telah diberikan amanah oleh Allah SWT untuk memimpin rakyatnya, hendaklah dia juga sentiasa berusaha mentaati Allah dan menjalankan amanahnya sebagai seorang pemimpin yang baik. Allah SWT berfirman yang maksudnya: “(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi niscaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.” (Surah al-Hajj, 22: 41)

Juga firman-Nya: “Wahai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan.” (Surah Shad, 38: 26)

Sebagai mengakhiri tulisan ini, kita perhatikan perkataan Syaikh al-Albani rahimahullah sebagai renungan: “... Cara menghilangkan kezaliman yang dilakukan oleh para pemimpin yang satu kulit dan satu bahasa dengan kita, hendaklah umat Islam bertaubat kepada Allah, memurnikan aqidah, dan mendidik diri serta keluarga mereka dengan pendidikan Islam secara benar. Perkara tersebut adalah sebagai usaha yang berpandukan kepada firman Allah Subhanahu wa Ta’ala berikut: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sehinggalah mereka sendiri yang mengubah keadaan yang ada pada diri-diri mereka.” (Surah ar-Ra’d, 7: 11)

Juga firman Allah: “Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi teman bagi sebahagian yang lain disebabkan apa yang mereka usahakan.” (Surah al-An’am, 6: 129) Imam Ibnu Abil Izz al-Hanafi berkata: “(Dengan ini) apabila rakyat ingin selamat dari kezaliman para pemimpin mereka, hendaklah mereka meninggalkan kezaliman juga (iaitu dengan mentaati Allah dalam apa jua keadaan).” (Tahzib Syarh ath-Thahawiyah)

Sabtu, Jun 13, 2009

Bercerita Tentang Bahagia

Bercerita Tentang Bahagia

http://an-nawawi.blogspot.com


Bila berkata tentang bahagia, sudah pasti setiap insan menyukai dan mengimpikannya. Kebahagiaan adalah merupakan sebuah perasaan yang sangat sukar diungkapkan. Dan ia bersifat sangat subjektif.

Berdasarkan definisi di dalam Kamus Dewan, edisi ketiga, bahagia membawa maksud: “suasana senang dan aman, aman damai, serta gembira”.

Bahagia sebenarnya lebih bersifat subjektif, sebuah perasaan yang lahir dari dalam lubuk hati, membawa sebuah pengertian yang sangat bermakna. Bahagia dicapai apabila seseorang itu merasa sebuah kepuasan, gembira, kecukupan, serta penuh kesyukuran dan keredhaan.

Kebahagian adalah milik semua. Bahagia tidak hanya dimiliki oleh mereka yang kaya raya dan berharta. Kerana boleh sahaja, orang yang kaya raya tidak bahagia kerana runsing dengan keselamatan hartanya yang bertimbun.

Tidak kurang juga dengan keadaan manusia yang sehari-harinya penuh dengan keletihan disebabkan sibuk mengejar harta dan kerjaya. Tiada lagi masa untuk duduk bersama keluarga, isteri mahu pun suami. Sehinggakan hubungan cinta menjadi hambar.

Bahagia juga belum tentu dapat dicapai dengan memiliki sebuah kediaman yang mewah dan indah. Kerana boleh sahaja, rumah besar itu hanya mejadi penjara baginya yang penuh dengan kesunyian tanpa hiburan. Ibarat seekor burung yang terkurung di dalam sangkar emas.

Bahagia juga belum tentu dimiliki dengan memiliki pasangan (suami/isteri) yang tampan atau cantik rupawan. Kerana ketampanan dan kecantikan itu akan menghilang ditelan waktu.

Di antara faktor-faktor lain yang mungkin menyumbang kepada kenikmatan hidup sekaligus faktor menuju bahagia adalah faktor kesihatan, kecukupan makanan, kasih sayang, serta suasana persekitaran. Namun, cukupkah hanya dengan ini sahaja?

Maka dengan itu, sebuah kebahagian belum tentu dapat dicapai hanya dengan beberbekalkan harta yang melimpah ruah, kerja yang lumayan hasilnya, kediaman yang mewah, serta rupa fizikal yang menawan semata-mata. Jadi, bagaimanakah hakikat bahagia yang menjadi idaman dan kejaran seluruh manusia yang hidup itu?

Jika kita kembali kepada agama, sebenarnya kebahagiaan itu hanya dapat diraih dan dinikmati oleh mereka yang sentiasa berpegang teguh dengan prinsip-prinsip agama bagi setiap urusan yang mereka lakukan untuk perjalanan hidup mereka. Apabila mereka meletakkan prinsip-prinsip agama sebagai keutamaan, di sini mereka telah meletakkan Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagai keutamaan mereka. Mereka sentiasa bersyukur dengan nikmat-nikmat yang Allah berikan kepada mereka dan dengannya mereka bersikap qana’ah atau sentiasa merasa cukup serta berpuas hati (redha).

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.” (Surah ar-Ra’d, 13: 28)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (maksudnya):

“Sesiapa di antara kamu yang merasa aman dirinya, sihat tubuhnya dan cukup persediaan makanan rutinnya pada hari tersebut, seakan-akan dia telah diberi semua kenikmatan dunia.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi. Hadis ini hasan menurut penilaian al-Albani di dalam Silsilah Hadis ash-Shahihah)

Rasulullah juga turut menjelaskan bahawa kekayaan itu bukanlah dicapai dengan banyaknya harta yang menimbun, tetapi ia dicapai dengan kayanya hati.

“Kaya itu bukanlah diukur dengan banyaknya harta benda, akan tetapi kaya yang sebenarnya adalah kaya hati.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Orang yang kaya hatinya, dia sentiasa memiliki sifat qana’ah dengan menerima apa yang Allah berikan. Dia sentiasa redha dan merasa puas di atas usahanya. Tidak memiliki rasa tamak untuk mengejar sesuatu dengan berlebih-lebihan tanpa keperluan. Dan dia juga tidak rakus mengejar dunia serta tidak pula meminta-minta. Seolah-olah dia sentiasa memiliki kecukupan.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (maksudnya):

“Benar-benar beruntung orang yang telah memeluk Islam, mereka diberi kecukupan rezeki dan qana’ah di dalam menerima apa jua pemberian Allah terhadapnya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berpesan kepada kita supaya sentiasa melihat siapa yang berada di bawah kita dan dari mereka yang kurang bernasib baik berbanding apa yang telah kita miliki. Dan bukannya dengan melihat kekayaan yang dimiliki oleh orang yang mewah berbanding diri kita.

“Lihatlah orang yang berada di bawahmu, dan jangan melihat kekayaan orang yang di atasmu, perkara itu lebih baik sehingga engkau tidak meremehkan nikmat Allah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Pesanan Rasulullah ini sebenarnya bertujuan mengajak kita untuk sentiasa merasa bersyukur dengan segala kemampuan dan hasil yang kita usahakan serta perolehi. Sekaligus menjauhkan kita dari merasa kurang bernasib baik dan bersikap tamak.

Selain itu, tidak dapat dinafikan bahawa kehidupan yang baik adalah sangat merujuk kepada kehidupan berkeluarga iaitu dengan memiliki isteri yang baik, anak-anak dan keperluan berkaitan dengannya.

Kerana Allah subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia itu kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita (isteri), anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga).” (Surah Ali Imran, 3: 14)

Dengan itu, bagi sesebuah keluarga, suami dan isteri hendaklah sentiasa berkasih sayang, tolong-menolong dan saling memahami di dalam setiap hal-ehwal urusan kehidupan mereka. Mereka saling mengerti tugas dan hak masing-masing berdasarkan apa yang telah digaris-pandukan oleh agama. Setiap pihak sentiasa berusaha memberikan kebahagiaan, keceriaan, ketenteraman, dan kehangatan cinta sesama mereka.

Rumahtangga yang bahagia yang dibina di atas landasan agama ia akan membawa pasangan suami isteri tersebut kebahagiaan yang berkekalan sehingga ke syurga yang penuh kenikmatan. Ini dapat diraih apabila mereka menjadikan rumah tangga mereka sebagai medan meraih keredhaan dan mengejar cinta Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Dalam persoalan ini, si suami selaku ketua keluarga bertangungjawab mengemudi keluarga yang dibinanya bagi tujuan menuju kebahagiaan tersebut. Ini dapat dicapai apabila suami sentiasa bergaul, tahu mengambil hati, melahirkan rasa kemesraan, memupuk rasa mencintai dan memenuhi keperluan mereka dengan baik, dan dia sentiasa berusaha memibimbing isteri-isteri dan anak-anaknya kepada perkara yang dicintai oleh Allah.

Dengan kefahaman agama yang teguh dan satu di antara ahli keluarga, kebahagian akan dapat diraih dengan baik disebabkan mereka memiliki satu kefahaman yang teguh secara bersama. Mereka menuju fokus yang satu, iaitu keredhaan Allah semata. Sekaligus, ia bakal melahirkan generasi yang cemerlang di atas ketaatan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala yang jauh dari perasaan dengki, hasad, tamak, dan benci. Sebaliknya, hidup mereka dipenuhi dengan tauhid, kasih sayang, saling mencintai, kesyukuran dan kemesraan yang berpanjangan.

Di antara faktor-faktor lain yang mendorong kebahagiaan bagi sesebuah kehidupan adalah sebagaimana yang digambarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melalui hadisnya:

“Empat (4) perkara yang mendatangkan kebahagiaan adalah, 1 – Isteri yang solehah, 2 – Rumah yang luas, 3 – Jiran tetangga yang soleh (baik), dan 4 – Kenderaan yang selesa.

Dan empat (4) perkara yang mendatangkan kesengsaraan adalah:

1 - Isteri yang buruk akhlaknya, 2 – Jiran tetangga yang jahat, 3 - Kenderaan yang buruk, dan 4 – rumah yang sempit (tidak selesa).”
(Hadis Riwayat Ibnu Hibban. Hadis daripada Sa‘ad bin Abi Waqas radiyallahu ‘anhu, dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth di dalam Sahih Ibn Hibban. Juga dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Silsilah Hadits ash-Shahihah)

Dari hadis ini, yang dimaksudkan dengan isteri yang solehah, sudah tentu isteri yang memahami persoalan agama dengan baik, mengamalkan ilmunya (taat) dan sangat komited dengan kedudukannya sebagai seorang isteri.

Rumah yang luas adalah rumah yang sentiasa terisi dengan sifat qana’ah, terisi dengan aktiviti yang dicintai Allah, suasana yang tenteram dan ceria, dan kemudahan yang baik.

Kenderaan yang selesa adalah sebuah sarana yang sangat penting bagi tujuan kelancaran pengangkutan dan hal-ehwal urusan serta tugas seharian.

Jiran tetangga yang baik adalah merujuk kepada soal pergaulan yang baik dan kehidupan bermasyarakat di atas etika syari’at yang betul.

Dengan itu, apa yang sebaliknya adalah merujuk kepada unsur-unsur yang mampu mendatangkan keburukkan sekaligus jauh dari nilai-nilai sebuah kebahagiaan.

Dan sebagai mengakhiri tulisan ini, penulis meletakkan fokus bahawa sebenar-benar kebahagiaan itu adalah kebahagiaan yang dibina di atas keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala, sekaligus menjamin kehidupan bahagia yang berkekalan sehingga ke akhirat.

Kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):

“Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka kebahagiaan dan tempat kembali yang baik.” (Surah ar-Ra’d, 13: 29)

Nawawi B. Subandi,
12:35, 13 Jun 2009, Rawang Putra.

Ahad, Mei 31, 2009

Berqudwah Kepada Para Sahabat Sebagai Methodologi

Berqudwah Kepada Para Sahabat Sebagai Methodologi

http://an-nawawi.blogspot.com/

Malam semalam seperti yang dijadualkan, kuliah Ustaz Abu Umar Idris Sulaiman berjalan dengan lancar dan baik sekali. Al-Alhamdulillah…

Kuliah adalah berkisar sekitar persoalan prinsip dalam mengambil agama. Iaitu kewajiban untuk mengambil dan memahaminya di atas sebuah prinsip yang jelas sebagaimana datangnya ia. Dan dari mana datangnya ia.

Agama ini datangnya dari Allah Subhanahu wa Ta’ala, kemudiannya diwahyukan kepada Nabi-Nya melalui perantaraan Jibril ‘alaihis Salam. Dari Nabi-Nya, agama ini kemudiannya disampaikan dan difahami oleh para sahabat Nabi radhiyallahu ‘anhum. Yang kemudiannya diikuti dan diwarisi dari generasi ke generasi setelahnya sehinggalah sekarang.

Secara mudahnya, agama ini besumberkan dari dua rujukan yang baku. Iaitu Kitabullah bernama al-Qur’an dan al-Hadis (sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam). Inilah yang disepakati dan diperakui oleh setiap mereka yang beragama Islam.

Allahu Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Qur’an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (Surah an-Nisa’, 4: 59)

Kemudiannya, tidak dapat tidak, dua sumber itu tidak akan dapat difahami tanpa mengambil dan merujuk kepada kefahaman yang difahami oleh orang-orang pertama dan terawal memahaminya. Yang dari merekalah kita mewarisinya. Tidak lain dan tidak bukan, merekalah yang digelar dengan gelaran Sahabat-sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang diredhai.

Dari merekalah sebuah kefahaman agama ini dibangunkan dan diperturunkan kepada generasi demi generasi seterusnya. Mereka adalah golongan terbaik dari golongan manusia yang beriman kepada agama yang dibawa Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Mereka adalah kelompok manusia pertama yang memeluk Islam. Kelompok pertama yang melihat Nabi dan beriman dengan apa yang dibawanya. Di masa merekalah turunnya mukjizat yang paling agung, iaitu al-Qur’an yang menjadi huda (petunjuk) dan rahmat ke seluruh alam manusia. Para sahabat ini berpeluang berguru secara langsung kepada Nabi. Memahami al-Qur’an bersama-sama Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Kepada Nabi secara langsung, mereka mengutip mutiara-mutiara hikmah yang sangat berharga di dalam memahami agama ini yang berupa hadis-hadis dan sunnah-sunnah beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Al-Qur’an diturunkan ayat demi ayat kepada mereka. Kefahaman mereka dibentuk secara langsung oleh Nabi. Setiap kesalahan dan kesilapan akan diperbetulkan secara langsung oleh Nabi, dan begitu jugalah setiap apa yang benar akan di-iyakan oleh Nabi secara langsung.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfiman:

“Orang-orang yang terdahulu lagi yang paling awal (masuk Islam) dari golongan muhajirin dan anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar.” (Surah at-Taubah, 9: 100)

Sedar atau tidak, setiap hari kita berdoa di dalam solat meminta diletakkan di atas jalan-jalan mereka (para sahabat).

“Tunjukilah kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka (Salafus Soleh (Para Sahabat)); bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.” (Surah al-Fatihah, 1: 6-7)

Para sahabat adalah golongan manusia terbaik. Hidup pada zaman terbaik (bersama-sama Nabi). Mereka adalah golongan manusia yang diredhai dan dijamin Syurga oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

Sebaik-baik manusia adalah pada kurunku, kemudian generasi setelah mereka, kemudian generasi setelah mereka. Kemudian akan muncul suatu kaum yang memberi persaksian mendahului sumpahnya, dan bersumpah mendahului persaksiannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Mereka adalah golongan yang sentiasa bersama-sama Nabi. Beriman sebagaimana yang diperintahkan, hidup di dalam suasana yang mendapat perhatian Nabi, dan mati di atas jalan yang benar. Di masa hidupnya sentiasa bersama-sama Nabi mengutip kebenaran yang disampaikan. Mereka bermusafir dan berperang bersama-sama Nabi. Berjuang dan berdakwah menegakkan agama yang dibawa oleh Nabi.

Setelah kewafatan Nabi, merekalah kelompok manusia yang meneruskan perjuangan dan kesinambungan dakwah Baginda Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Merekalah yang memelihara al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah dari pelbagai bentuk penyelewengan, pendustaan dan penyembunyian. Mereka menyampaikan, mengajarkan, dan menyebarkannya kepada generasi manusia seterusnya bermula dari para Tabi’in dan kemudiannya dari Tabi’in mereka mewariskannya pula kepada Tabi’ut Tabi’in dan begitulah seterusnya.

Begitulah intisari utama kuliah yang disampaikan semalam iaitu menyentuh tentang kredibiliti dan keutamaan para sahabat di dalam memahami agama ini. Maka, tidak dapat tidak, pasti kita akan merujuk kepada mereka untuk mendapatkan pemahaman agama yang terbaik lagi sahih serta berkualiti.

Tidak ada lagi bentuk-bentuk agama selain dari apa yang difahami dan disampaikan oleh mereka. Kerana apa yang difahami dan diamalkan oleh mereka dari agama Islam, sudah sangat-sangat memadai dan itulah yang terbaik. Kerana apa yang diamalkan oleh mereka, itulah yang mendapat restu dan pentashihan secara langsung dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan bentuk-bentuk amalan selain dari itu, maka ia adalah suatu yang asing lagi tertolak disebabkan agama ini telah pun sempurna dan mencukupi sebagaimana yang difahami oleh golongan terbaik bernama sahabat.

Begitulah sebuah hakikat yag perlu kita terima dengan hati terbuka. Datangnya agama itu kepada kita secara sempurna dan tulin melalui apa yang difahami oleh mereka. Bukanlah melalui kefahaman kita yang lemah yang hanya bergantung semata-mata kepada akal kita yang sangat-sangat terhad untuk memikirkan, apatah lagi untuk memahaminya. Tidak dapat tidak, kefahaman kita melalui akal-akal kita perlu dibantu dan dibina di atas kefahaman (methodologi) yang diwariskan oleh para sahabat Nabi tadi yang kemudiannya diwariskan melalui para ulama yang dipercayai.

Secara mudahnya, segala perkara yang berkaitan dengan agama mencakupi persoalan aqidah, keimanan, muamalat, zuhud, ibadah, fiqh, hadis, akhlak, taqwa, dan seumpamanya, perlu-lah dirujuk kepada methodologi para sahabat sebagai golongan manusia contoh yang paling berauthoriti lagi berkelayakan.

Segala apa yang tidak ditunjukkan dan tidak diamalkan mereka dalam persoalan aqidah, akhlak dan ibadah terutamanya, maka kita juga tidak boleh mengambil dan mengamalkannya sebagai sebuah aspek agama dalam soal aqidah, akhlak dan ibadah. Segala bentuk-bentuk amalan ibadah yang tidak diamalkan oleh mereka, maka tidak perlu kita mengamalkannya sebagai ibadah. Dan sekiranya sesuatu amalan itu diamalkan sebagai ibadah oleh mereka, maka di sana barulah kita akan bersungguh-sungguh untuk mengambil dan mengamalkannya sebagai sebuah amalan yang memiliki keutamaan.

Secara mudahnya begitulah di antara kaedah untuk kita meletakkan methodologi di dalam bergama.

Di akhir kuliah Ustaz Idris tersebut, ada beberapa persoalan ditimbulkan. Di antaranya adalah persoalan amalan kenduri arwah, tahlilah, yasinan, dan sumpamanya.

Tidak dapat dinafikan, amalan-amalan tersebut adalah sebuah ritual yang sangat subur dilakukan oleh kebanyakan masyarakat melayu muslim di negara kita dan beberapa negara jiran dari wilayah nusantara lainnya seperti Indonesia. Namun, itu bukanlah sebuah standard (tunjuk ukur) untuk menyatakan bahawa amalan tersebut sebagai sebuah amalan yang disandarkan di atas paksi Islam yang benar.

Penyelesaiannya mudah. Kita lihat kembali kepada cara beramalnya para sahabat, kemudiannya lihat juga kepada para Tabi’in dan Tabi’ut Tabi’in. Adakah mereka mengamalkan amalan-amalan seperti itu? Sekiranya mereka mengamalkannya, maka ambillah ia. Dan sekiranya tidak, tinggalkanlah ia, kerana amalan yang bukan berasal dari mereka maka ia bukanlah dari sebahagian agama Islam warisan Nabi serta para sahabat beliau yang disepakati yang merupakan manusia yang pertama-tama memahaminya serta mengamalkannya di atas rekomendasi (petunjuk) Nabi, melainkan ia adalah sebuah amalan reka-rekaan manusia yang sudah mula meyimpang dan jauh dari methodologi para sahabat.

“Dan sesiapa yang menentang Rasul setelah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan selain orang-orang mukmin (para sahabat), Kami biarkan mereka hanyut terhadap kesesatan yang telah dikerjakannya itu dan Kami masukkan mereka ke dalam Jahannam, dan Jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” (Surah an-Nisa’, 4: 115)

Siapalah manusia seperti kita yang mahu mereka-reka amalan bentuk baru menyelisihi bentuk-bentuk amalan yang telah disepakati oleh para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam? Cukuplah agama yang datang dari pada mereka. Kerana apa yang datang dari selain mereka, maka itu bukanlah dinamakan sebagai agama.

Sebagai penutup, saya tinggalkan pesanan imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah sebagai panduan sekaligus merupakan sebuah prinsip,

“Dasar Ahlus Sunnah menurut kami adalah:

1 – Berpegang teguh kepada jalan hidup para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam,

2 – Berqudwah terhadap mereka (menjadikan para sahabat Rasulullah sebagai tauladan/ikutan).”
(Imam Ahmad bin Hanbal, Ushulus Sunnah, Prinsip 1 dan 2)

Wallahu a’lam...