“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Selasa, Mac 25, 2008

Persoalan Kesempurnaan Saf Solat Bukan Perkara Kecil!!!

Persoalan Kesempurnaan Saf Solat Bukan Perkara Kecil!!!

Dah lama aku tak menulis… juga sudah lama aku tidak menyusun artikel…

Mungkin kerana dihumban ke dalam jurang kesibukan yang pelbagai. Tidak harus aku rasa bersalah kerana aku sendiri-lah yang meletakkan posisi ku di sudut ini.

Akhirnya, setelah tempoh itu, ada sesuatu yang kembali menggerakkan hati aku untuk menulis dan menyusun sebuah artikel.

Ini adalah kerana suatu fenomena atau situasi yang membuatkan aku merasa begitu jengkel dan rimas sekali.

Perasaan itu timbul adalah setiap kali di mana aku menunaikan solat fardhu berjamaah di surau-surau kampus dan masjid-masjid di sekitar rumah sewa ku di seksyen 7.

Lantas kerana perasaan yang tidak senang itulah aku akhirnya dengan izin dari-Nya berjaya menyiapkan sebuah artikel berkenaan adab-adab dalam menyusun saf dalam solat berjamaah.

Sungguh membuatkan aku tidak senang di kala manusia kebanyakkannya menyeru supaya kita bersatu dengan Islam dan perjuangan Islam, namun rata-rata mereka itu semuanya tidak lebih hanya pandai berkata di bibir mereka. Habis suara-suara dilontar seakan mahu pecah anak-anak tekak mereka... Tapi, hakikat yang tersingkap di hadapan mataku, jauh sekali hasilnya dari apa yang dicanang-canangkan itu.

Bersilat di pentas pidato bukan main lagi bunga dan buahnya...

Tetapi, apabila bersolat... sikit pun tidak mahu ambil penting dalam kebanyakan situasi. Malah, apabila ada dari kalangan segolongan manusia yang ingin memperbetulkan mereka, pasti mereka akan digelar sebagai busy body, engkau bukan ustaz, dan paling menggelikan aku adalah, engkau adalah WAHHABI!.. Sungguh mengecewakan hatiku apabila aku menanyakan kepada mereka, “Apa itu Wahhabi”... mereka tidak mahu menjawab, dan aku pun beranggapan, bahawa mereka hanya tahu cakap tidak serupa bikin, ibarat orang sudah bersalah, tudung saji pun boleh diambil bagi tujuan menutup muka... itu kira baik lagi. Yang lebih menakutkan, bila dia ambil pemukul. Orang yang mahu menolong, akhirnya mendapat belantan.

Begitulah situasi aku saat ini. Mahu membantu menjernihkan keadaan, bertambah pula kekeruhan di hati ini. Aku bukan mahu mengkritik mereka, jauh pula mahu membawa mereka ke jalan yang salah... Sedangkan aku mahukan kebenaran yang selama ini mereka laung-laungkan mengajak kepadanya. Bukankah aku membawa hujjah dengan dalil dari Kitab yang satu dan hadis-hadis yang akurat dari sunnah Rasul-Nya. Mengapa aku diherdik? Jadi, di manakah hakikatnya landasan kebenaran yang sebenarnya ingin mereka bawa dan canang-canangkan itu?

Sedangkan hakikat solat itu adalah tiangnya agama bagi seseorang yang bergelar manusia muslim. Yang mana dasarnya adalah aqidah. Jika hadis yang sahih pun mereka tolak dan tidak mahu beriman dengannya, maka, bukan saja solat mereka menjadi kacau, bahkan lebih buruk sebenarnya mungkin aqidah mereka juga sudah kabur... Lantaran itu, solat pun sudah mereka tidak ambil endah...

Maka, lahirlah suatu fahaman “Janji Aku Solat”... mungkin juga ada yang lain beranggapan, masalah solat itu perkara khilaf, furu’ lagi cabang yang mana banyak perbezaan di dalamnya... lalu dengan selamba mereka menyatakan bahawa, yang utama sekarang adalah menyatukan manusia di bawah suatu panji bernama negara Islam dan khilafah!

Sungguh jelas! Bahawa pemikiran seperti ini adalah pemikiran yang sudah kacau! Menjadikan khilafah dan negara Islam sebagai keutamaan. Sedangkan aqidah dan solat ditolak ketepi akan hakikat kesempurnaannya. Bahkan jika dirujuk kepada kitab suci kita, bahawa aqidah dan amalan ibadah yang betul itulah yang diberi janji oleh Rabb kita dengan kurniaan kuasa pemerintahan yang baik. Hal ini boleh sahaja dirujuk di dalam surah an-Nuur ayat 55. Bukan itu sahaja, mahu juga kutanyakan, apakah negara Islam dan sistem Khilafah itu sebagai syaratnya yang utama bagi manusia untuk ke syurga???

Hal yang membuatkan aku meluahkan kata kali ini adalah sekitar persoalan merapatkan saf ketika mana mahu bersolat dalam jamaah. Sungguh sedihnya, kebanyakan saf-saf solat para anggota jamaah kita saat ini tidak lagi dibina dengan susunan yang baik, sempurna, dan mungkin jauh sekali dari dibina atas dasar kefahaman yang sahih. Maka, terjadilah saf-saf tersebut agak berterabur dan tidak sekata. Apabila mahu dirapatkan dan diajak merapatkannya, mereka segera menjauh. Aku sudah naik bingung. Imam pula tidak pernah ambil endah walau sudah diberi maklum sebaik mungkin. Maka, atas hal itu juga lah, akhirnya aku siap menyusun artikel berkenaan kepentingan saf di dalam solat. Kalau kesatuan saf di dalam solat pun tidak boleh menjadi betul, apatah lagi kesatuan kita dalam beraqidah, bernegara dan paling utama dalam ber-agama. Wallahu a’lam.

Baiklah, aku juga sudah malas meneruskan tulisanku kali ini... mungkin kalian pun merasa jengkel nanti. Makanya, aku tinggalkan beberapa artikel yang sempat aku susun berkenaan kesempurnaan solat yang aku maksudkan, lalu kalian semua boleh merujuknya sendiri akan hakikat yang mana lebih benar dan Haq.

Sifat Solat Menurut Sunnah – [Artikel 1], [Artikel 2]

Saf solat – Kedudukan, Keutamaan, & Kewajibannya [Klik]

Adakah Menyapu Muka Selepas Solat & Berdoa [Klik]

Sekian dulu untuk kali ini,
0054, Selasa, 25 Mac 2008.
Nawawi, Bandaraya Anggerik, Shah Alam.

0 comments: