“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Selasa, Oktober 28, 2008

Wajah-Wajah Agama 3 - Berhala Di Rumah & Kedai Orang Islam

Wajah-Wajah Agama 3 - Berhala Di Rumah & Kedai Orang Islam

http://an-nawawi.blogspot.com

Ramai orang Islam kita sekarang ini seakan-akan semakin berminat dan begitu gemar sekali meletakkan, memaparkan, atau menggantungkan gambar-gambar mereka, gambar keluarga mereka, atau ahli-ahli keluarga mereka sama ada yang telah meninggal dunia atau pun yang masih hidup di dinding-dinding rumah mereka. Malah, mereka memperbesarkan wajah-wajah gambar tersebut kepada size-size tertentu atas alasan sebagai kenangan dan melahirkan perasaan-perasaan tertentu sama ada perasaan semangat atau memori tertentu. Inilah di antara cara mereka menghias dan mengimarahkan (menyerikan) rumah-rumah mereka.

Malahan sebahagian mereka ada yang menggantungkan gambar-gambar wali-wali yang entahkan dari mana mereka meraih gambarnya. Mereka membayangkan gambar tersebut sebagai Wali Songo, gambar Abdul Qadir Jailani, Tok kenali, dan mungkin juga gambar Tok-Tok Guru mereka atau tokoh-tokoh pejuang mereka yang menurut mereka mampu melahirkan semangat perjuangan Islam dan sebagai lambang mengenang kehebatan serta jasa-jasa mereka.

Namun, lebih teruk lagi, ada pula yang meyakini bahawa gambar-gambar ini mampu membantu mereka beroleh berkah dan kejayaan/keuntungan dalam perniagaan yang mereka jalankan. Tidak hairanlah jika kita melihat di sebahagian kedai-kedai umat Islam terutamanya di sekitar Kedah dan Selangor yang kelihatannya banyak sekali menggantungkan gambar-gambar tokoh-tokoh silam tertentu. Di mana sebenarnya di sana mereka turut menyertakan dengan iktikad-iktikad (kepercayaan) tertentu bersekali dalam penggantungan gambar-gambar tersebut. Ketahuilah bahawa perbuatan ini adalah antara perbuatan yang membawa kepada syirik yang sangat besar!

Kita berbalik kepada menggantung gambar. Tanpa disedari, sedikit sebanyak telah berlaku kesilapan dan kesalahan yang tidak kurang besarnya dalam persoalan ini yang telah mereka lakukan. Perkara tersebut kebanyakannya berlaku di rumah-rumah kediaman mereka. Termasuklah juga sebahagiannya di kedai-kedai dan premis-premis perniagaan mereka.

Kalau sebelum ini kita mungkin biasa melihat patung-patung dan gambar berupa manusia atau makhluk bernyawa berbentuk seperti manusia berupa gajah, manusia berupa monyet, patung bernama Dewa Erlang, atau pun manusia berekor serta bertangan banyak di tempat-tempat kediaman orang bukan Islam (orang kafir) serta mungkin juga kita boleh lihat dengan mudah apabila datang ke premis-premis perniagaan mereka.

Malah jika di gereja-gereja pula, kalau mungkin kita pernah mengetahui, ada sebahagian gereja, mereka akan meletakkan potret atau lakaran gambar yang mereka anggap sebagai Nabi ‘Isa (Jesus), Mariam (Mary), atau juga Mother Teressa. Tidak lain, itu semua adalah sebagai berhala-berhala mereka yang dijadikan sebagai bahan atau perantaraan untuk beribadah.

Kini, semakin berleluasa di kediaman-kediaman orang Islam terutamanya di negara kita, mereka pula yang menggantungkan gambar-gambar manusia dan makhluk-makhluk bernyawa. Malah, saya sebagai pelajar, pernah juga ke rumah-rumah kediaman pelajar yang lain bahawa betapa mereka menggemari satu-satu watak sama ada watak dalam filem, video games, dan tokoh-tokoh tertentu itu sehinggakan mereka turut menterjemahkan pengangungan (fanatik) mereka dengan cara menggantungkan gambar-gambar watak tersebut di dinding-dinding kediaman mereka. Malah sehingga di setiap meja-meja tulis mereka juga turut disematkan dengan patung-patung berkaitan watak yang mereka gemari. Mungkin di sana sebagaimana yang saya maklum sebahagiannya adalah seperti watak Naruto, Budak Getah, Dragon Ball, wanita sexy, dan Mickey Mouse. Ini mungkin di peringkat pelajar-pelajar kita di kampus. Jika melihat di kediaman-kediaman mereka yang berkeluarga & berkerjaya, mungkin berbeza pula watak yang mereka gantungkan dengan gambar-gambar yang lain.

Sewajarnya kita mengetahui bagaimanakah pesanan Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam persoalan gambar ini yang antaranya melalui hadis-hadisnya sebagaimana berikut,

Daripada Ibnu ‘Abbas, dia menjelaskan bahawa “Nabi pernah memasuki Ka’bah dan menemui di dalamnya (lukisan) gambar Nabi Ibrahim dan Mariam. Kemudiannya beliau berkata, “Benda apa ini? Bukankah mereka mengetahui bahawa malaikat (pembawa rahmat) tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya mengandungi gambar (makhluk bernyawa); termasuklah gambar (Nabi) Ibrahim ini. Dan kenapa dia digambarkan sedang mempraktikkan meramal dengan anak panah?”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab Para Nabi (4/55), no. 570)

Daripada Abu Talha, “Aku mendengar Rasulullah berkata, “Malaikat (Pembawa Rahmat) tidak akan memasuki rumah yang di dalamnya ada anjing atau gambar yang berupa dari makhluk bernyawa”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab Penciptaan (4/54), no. 448)

Hakikat dan realitinya, umat Islam kelihatan seakan-akan mengabaikan dan meremehkan persoalan gambar ini. Ditakuti akhirnya nanti kita pula yang akan menuruti jejak langkah Kaum Yahudi, Nashrani, Budha, Hindu, dan seumpamanya dalam persoalan gambar ini sehinggakan kita pula turut membina berhala sendiri iaitu dengan bermula melalui pengangungan (fanatik) kepada watak-watak yang terdapat di dalam gambar-gambar yang kita sematkan.

Wallahu a’lam.

Nawawi Subandi, 12:40p.m., 28 Oktober 2008.
Bandaraya Anggerik, Shah Alam, Selangor.

6 comments:

Tanpa Nama berkata...

bagaimana pula dengan yg gantung gambar agong,raja??
pandangan anta?
jadi dosa?

Tanpa Nama berkata...

Wallahu 'alam,

Secara asasnya dan berdasarkan dalil yang benar, ianya tetap tidak boleh.

Sedangkan gambar nabi Ibrahim sendiri pun (sebagaimana hadis dalam artikel) Nabi suruh turunkan.

Tanpa Nama berkata...

terima kasih..tapi inilah masalah melayu kita.xsusah nak terima kebenaran.bila nak segar ya?

is-nanie berkata...

.... ada juga pegawai tertinggi agama di malaysia yang meletakkan gambar keluarga di dinding rumahnya..



Wallahu 'alam...

Abu Numair Nawawi B. Subandi berkata...

Tu la, Islam tidak dilihat dari jawatan atau title yg disandang/dimiliki. Tetapi ia dilihat dari imannya dan amal-amal solehnya. wallahu a'lam, Dia yg menilai...

Tanpa Nama berkata...

AL-SABIL.....
nak buat macammana..negara kita dikatakan telah lama merdeka tapi masih dijajah oleh ideologi barat...fahaman2 barat masih lagi di pegang ..tambahan pulak media kita berkembang dengan pelbagai pengaruh yang kurang sihat...sehingga tak dapat membezakan yang baik dan yang mana buruk atau silapnya