“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Jumaat, Januari 09, 2009

Azam Baru: Kenapa Perlu Tunggu Tahun Baru?

Azam Baru: Kenapa Perlu Tunggu Tahun Baru?

http://an-nawawi.blogspot.com

Apabila tiba tahun baru sahaja, maka ramai dari kalangan masyarakat kita berlumba-lumba untuk meletakkan satu titik tertentu sebagai melaksanakan suatu azam atau matlamat baru.

Soalnya, mengapa perlunya pada saat tahun baru? Kenapa tidak pada tarikh yang lain? Sedangkan jika sesuatu perkara itu baik, adalah wajar dipercepatkan atau disegerakan perlaksanaannya. Tidak perlu bertangguh-tangguh. Usahakan ia seberapa cepat yang mungkin.

Kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):

“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.” (Surah Ali Imran, 3: 133)

Namun, jika sebaliknya iaitu di mana kita sedang bergelumang dengan perkara-perkara yang tidak baik, maka segerakanlah untuk meninggalkannya.

Kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain dari pada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.” (Surah Ali Imran, 3: 135)

Maka, tidak perlulah menunggu tarikh-tarikh tertentu atau sehingga masuknya tahun-tahun tertentu baru mahu berubah. Tetapkan fokus, tetapkan pendirian, tingkatkan daya usaha, capailah kebaikan di mana jua di setiap ruang yang diberi. Manfaatkanlah masa lapang anda sebelum datang masa sibuk, masa kaya anda sebelum datang masa miskin, masa senang sebelum datang masa susah, mahu pun masa hidup yang diberi ini sebelum datangnya masa mati yang tidak diketahui bila tibanya.

Rabu, Disember 31, 2008

Fatwa Tentang Air Mushoffa

Fatwa Negeri Wilayah Persekutuan

Kategori: Muamalat

Tajuk: Kedudukan Air Musoffa Dan Seumpamanya

Isu: Kedudukan Air Musoffa Dan Seumpamanya

Fatwa:

Penjualan air musoffa dan sebarang jenis air yang diproses seumpamanya secara komersil adalah dilarang kerana boleh membuka ruang kepada penyelewengan akidah, khurafat dan penipuan.

Tarikh Pewartaan: 3 Januari 2007

Baca: 806

Oleh: Jawatankuasa Perundingan Hukum Syara' Wilayah Persekutuan

Rujukan/Sumber:

Klik http://www.e-fatwa.gov.my/mufti/fatwa_warta_view.asp?keyID=1422

Ahad, Disember 21, 2008

Di Mana Teras Kita (Foundation)?

Di Mana Teras Kita (Foundation)?

http://an-nawawi.blogspot.com

Nabi Kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, seorang yang mulia dan manusia paling sempurna di muka bumi Allah.

Beliau mendahkwahkan aqidah selama lebih kurang 13 tahun. Menghantar utusan ke sana sini atas tujuan pemurnian aqidah. Menyembah Tuhan yang satu dan meninggalkan segala bentuk kesyirikan.

Nabi Nuh ‘alaihi salam juga mendakwahkan aqidah, menyeru kepada Tuhan yang satu. Mengajak manusia meninggalkan segala bentuk kesyirikan. Dakwahnya ditolak oleh majoriti manusia, namun tetap teguh walaupun sehingga 1000 tahun kurang 50 tahun lamanya berusaha keras.

Berbeza dengan kebanyakan para pengaku da’i zaman sekarang. Kalau boleh semuanya mahu segera. Semuanya mahu ekspress.

Mahu negara Islam segera dibina. Daulah Islam segera ditegakkan. Namun sayangnya, dakwahnya kosong dari nilai aqidah yang murni. Aqidah ditolak ke belakang dahulu. Ditangguhkan untuk cerita kemudian.

Berbeza dengan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dikala orang kafir Quraisy menawarkan jawatan (kuasa pemerintahan), harta, dan pelbagai lagi kemewahan... Beliau menolaknya dan tidak hairan dengan semua itu. Ini adalah kerana aqidah ummat tidak selesai lagi. Mana mungkin manusia boleh menerima perkataannya tanpa ada pemahaman yang benar dan dakwah yang sahih. Maka, kuasa tidak akan bermakna, tidak akan utuh tanpa penyatuan di atas asas yang tepat.

Berbeza dengan kebanyakan masyarakat Islam zaman sekarang. Berbeza dengan pengaku Da’i zaman ini. Mereka mahu diberikan jawatan terlebih dahulu, mengalahkan Musa dan Harun yang menghadapi Fir’aun. Seolah-olah dakwahnya lebih hebat dari dakwahnya Musa dan Harun ke atas Fir’aun.

Mereka fikir, dengan jawatan, mereka akan mampu mengislamkan manusia. Memurnikan aqidah manusia... Jawabannya mungkin “Ya”. Itu mungkin dari satu sudut pandang sahaja. Hakikatnya? Mahu raih jawatan pun sudah menggadai prinsip Islam, inikan pula mahu bercakap menegakkan hukum Islam. Logikkah?

Fikir-fikirkanlah... kalau nak membina sebuah bangunan KLCC itu pun menghabiskan masa selama 2 hingga 3 tahun hanya untuk pembinaan dasarnya (foundation/piling). Di mana tempohnya lebih lama dari membina puncaknya. Inikan pula mahu membina kelompok umat Islam yang cemerlang dan sempurna. Maka, pembinaan dan penerapan asas tarbiyah dan tasfiyyahnya perlulah tepat dan memerlukan kesabaran di atas niat yang ikhlas.

Ingatlah, dakwah bukan diukur dengan berapa banyaknya pengikut dan terbinanya sebuah wilayah atau negara. Tetapi, ia adalah sebagai tanggungjawab. Mengajak manusia untuk beriman kepada Allah dan meninggalkan segala kesyirikan. Memurnikan segala bentuk penyelewengan aqidah. Beribadah hanya kepada-Nya dengan cara yang paling sahih sebagaimana yang dibawa oleh utusan-Nya, Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Hambar di dunia, semoga Syurga di akhirat.

Dikhabarkan dalam Shahih al-Bukhari, ada Nabi yang berdakwah hanya berjaya membawa beberapa pengikut, dan ada pula yang langsung tidak memiliki sebarang pengikut.

Apa yang penting adalah... Prinsip tetap prinsip. Kalau prinsip digadai, di mana hendak kita hadapkan muka nanti?

Pandai Bahasa Arab, Pandai Agama?

Pandai Bahasa Arab, Pandai Agama?

http://an-nawawi.blogspot.com

Ada sebahagian kelompok manusia dia memang mahir berbahasa arab. Tetapi terdapat satu kelemahan pada dirinya. Iaitu dia gemar memperkecilkan orang lain yang tidak pandai berbahasa arab.

Dia menyatakan dan membuat seakan sebuah “standardize”, sekiranya mahu bercakap tentang perkara agama, mesti pandai bahasa arab, baru boleh baca kitab asli.

Tapi, peliknya, dia yang sudah mendabik dada pandai berbahasa arab itu sendiri pun malas mahu baca kitab arab dan melakukan rujukan rupanya. Buktinya adalah apabila diberikan rujukan atau footnote, dia tidak pernah tahu untuk menela’ah sendiri rujukan yang diberi. Cakap tak serupa bikin.

Kalau setakat pandai bahasa arab, Abu Jahal pun pandai berbahasa arab. Tetapi ke mana dia? Bagaimana juga Umaiyah bin Khalaf? Berapa ramai orang yang bijak berbahasa arab tetapi mati kafir dan tidak kurang juga yang sesat!

Adakah bahasa arab mestinya membawa manusia ke jalan yang benar? Tahukah kita di masa zaman Nabi bersama para sahabatnya, berapa ramai di antara mereka yang ummi (tidak tahu membaca)? Malah yang buta tidak dapat melihat pun ramai. Namun, hati mereka dipenuhi dengan keimanan dan tauhid yang murni.

Itulah hakikatnya, keimanan bukan ditentukan dari kebijaksanaan berbahasa Arab. Bukan juga dari kepetahannya berbicara. Tetapi kemahiran berbahasa arab tetap sebuah kelebihan. Jika kita menguasai bahasa Arab, gunakanlah dengan sebaiknya. Manfaatkanlah. Bukan malah menyesatkan diri sendiri dengan bersifat sombong yang bakal mengundang kesyirikan.

Rabu, Disember 17, 2008

Kenapa Dia Tidak Mahu Mengakui Di Mana Tuhannya?

Kenapa Dia Tidak Mahu Mengakui Di Mana Tuhannya?

http://an-nawawi.blogspot.com

Sungguh sangat pelik apabila sebilangan manusia yang mengaku beriman dengan al-Qur’an dan as-Sunnah tetapi memiliki perlakuan tidak bagai dikata. Melaung-laungkan slogan mengajak manusia agar kembali kepada al-Qur’an dan as-Sunnah, namun bila diajukan kepadanya sejumlah hadis sahih untuk kita beriman dengannya, dia menolak. Menolak dengan pelbagai alasan yang tidak masuk akal dan ber-argue berhempas-pulas dengan hawa nafsunya. Dalil yang dibawa dan dihadapkan kepadanya yang tidak dapat diterimanya akan dipusing lebih sepuluh kali macam.

Semuanya tidak lain hanyalah semata-mata kerana hadis-hadis tersebut tidak sealiran dan tidak mendukung fahaman yang diperjuangkannya selama ini. Nah! Jika begitulah sikapnya manusia, maka apakah dia wajar digelar sebagai pejuang al-Qur’an dan as-Sunnah?

Dikala seorang wanita, seorang hamba si penjaga kambing diajukan persoalan di mana Allah, lantas dia memberikan jawabannya dengan, “Allah fis Samaa’” yang membawa erti “Allah di langit (tinggi di atas)” dengan sambil mengisyaratkan jari telunjuknya ke atas.

Itulah dia sifat seorang manusia yang beriman, biar pun dia seorang hamba, biar pun dia sekadar seorang pengembala kambing milik tuannya. Lantas dikeranakan hatinya yang memiliki keimanan yang tulus dan meyakini terhadap Tuhannya yang di langit, dia dibebaskan dan darjatnya ditinggikan. Iaitu apabila Rasulullah menyatakan bahawa dia seorang yang mukminah (wanita beriman) dan memerintahkan Mu’awiyah (tuannya) supaya memerdekakannya.

Namun, di kala ini kita sedia mengetahui dan saya sendiri boleh memahami hakikat ketidakwujudan lagi perihal hamba sebagaimana di zaman Nabi. Tapi, tidaklah mustahil jika hakikat itu muncul kembali.

Apa yang mahu saya sentuh adalah masyarakat kita yang kononnya begitu maju dengan teknologi dan sainsnya, sosio kehidupan, pembangunan dan tamadunnya... Namun masih sungguh malang kerana mereka tidak mengerti di mana Tuhannya. Jika mahu dibandingkan dengan wanita hamba tadi, manusia zaman ini adalah manusia yang merdeka, bukan hamba yang duduk di bawah seorang tuan. Mereka berkerjaya sebagai sama ada seorang guru, engineer, pakar geografi, tok guru agama, pak ustaz, doktor, orang korporat, professor, atau pun manusia berpangkat PHD sekalipun, masih berani menolak banyaknya hadis-hadis sahih yang dikemukakan dengan penuh penjelasan. Sedangkan mereka bertegas mengakui diri sebagai seorang muslim yang tulus berpegang dengan kefahaman ahlus sunnah wal jama’ah.

Sungguh hinanya mereka jika dibandingkan dengan pangkat hamba wanita tadi yang memahami, mengetahui, dan meyakini Allah itu di langit di atas ‘arsy-Nya lalu dinaikkan darjatnya menjadi manusia merdeka oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam sendiri setelah diketahui i’tiqadnya tersebut.

Berbeza dengan sebahagian manusia zaman ini yang mengakui sebagai manusia moden berjiwa intelek dan penuh dengan informasi di hujung jari, namun sayang apabila informasi di hujung jarinya tidak disalurkan ke lubuk hatinya di mana keimanan septutnya berputik. Maka, jiwanya tidak dapat membunga apatah lagi mahu mekar dengan imannya seorang hamba yang tulus yang ditinggikan darjatnya oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam tadi.

Dalil-dalil berkenaan sahihnya Allah di langit di atas ‘arsy-Nya diputar belitkan. Hadis-hadisnya ada yang disembunyikan dan cuba diselewengkan dengan takwilan-takwilan tertentu malah cuba didhoifkan semahunya. Walhal hadis-hadis tersebut sebahagiannya adalah diriwayatkan dan disahihkan oleh para ulama hadis terkemuka dari kalangan ahlus sunnah wal jama’ah.

Pernah mereka mempertikaikan kononnya terdapat sebilangan manusia bernama wahhabi cuba mendhoifkan hadis-hadis dari kitabnya al-Bukhari dan Muslim, namun sebenarnya sebaliknya apabila mereka sendiri menganggap hadis jariyah (hamba wanita) yang saya sentuh tadi sebagai dhoif walhal di antara yang meriwayatkan dan mensahihkannya adalah imam Muslim rahimahullah. Malahan, imam yang mereka akui berpegang dengan mazhabnya iaitu asy-Syafi’i pun mereka tinggalkan. Sedangkan imam asy-Syafi’i sendiri salah seorang dari tidak terkiranya manusia yang mengakui yakinnya akan Allah di atas langit di atas ‘arsy-Nya.

Begitulah hakikat jengkelnya manusia yang taksub dan ego tidak mahu menerima kebenaran. Semoga mereka bertaubat dan kembali kepada kebenaran sebelum hati-hati mereka memang benar-benar akan ditutup oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dari petunjuk dan jalan cahaya yang lurus.

Ayuh, tinggalkanlah hawa nafsu, beriman lah kalian kepada dalil yang sahih ini:

Daripada Muawiyah bin Hakam As-Sulami radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata: “Aku memiliki seorang hamba wanita yang mengembalakan kambing di sekitar pergunungan Uhud dan Juwaiyah. Pada suatu hari aku melihat seekor serigala menerkam dan membawa lari seekor kambing gembalaannya (peliharaannya). Dan aku adalah termasuk salah seorang anak Adam (keturunan adam) dari manusia kebanyakan. Maka aku mengeluh sebagaimana mereka (memiliki rasa marah/tidak berpuas hati). Atas sebab itu (apabila kambingnya dimakan serigala) wanita itu aku pukul dan aku marahi. Kemudian aku pergi berjumpa Rasulullah, maka baginda mempersalahkan aku. Aku berkata: “Wahai Rasulullah! Adakah aku harus memerdekakannya?” Jawab Rasulullah: “Bawalah wanita itu ke sini”. Maka Rasulullah bertanya kepada wanita itu. “Di mana Allah?” Dijawabnya: “Di langit”. Rasulullah bertanya lagi: “Siapakah aku?” Dijawabnya: “Engkau Rasulullah”. Maka baginda bersabda: “Merdekakanlah wanita ini, kerana dia adalah seorang mukminah”.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 537. al-Bukhari, Juz al-Qira’ah, 70. asy-Syafi’i, ar-Risalah, 242. Malik, al-Muwaththa’, 2/77. Ahmad, al-Musnad, 5/447)

Malulah kalian dengan wanita hamba di atas yang begitu mulia darjatnya di sisi Allah dan mendapat pengakuan sendiri dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam sebagai orang yang benar!

Cubalah kalian fikirkan, jika wanita hamba tersebut diangkat darjatnya oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam dengan imannya yang meyakini Allah di langit, maka bagaimanakah kalian yang tidak mengakui Allah di langit tetapi sebaliknya meyakini “Allah di mana-mana”, “Allah tidak di atas, tidak di bawah, tidak di kanan atau kiri, iaitu tidak di mana-mana tidak bertempat”, bahkan ada pula dari kalian yang mengakui “Allah di dalam jasad masing-masing menyatu di dalam jiwa”!

Isnin, Disember 15, 2008

Cilok Ke Syurga???

Cilok Ke Syurga???

http://an-nawawi.blogspot.com

Kira-kira jam 11 malam lebih pada hari Sabtu yang lalu, aku dan seorang kawan melalui jalan Tun Razak yang penuh sesak. Aku memandu dan kawanku dibonceng di belakang.

Dengan kesesakan yang sebegitu, kami hanya mampu menaiki motorsikal dengan kadar laju yang perlahan. Dengan penuh berhati-hati, kami sambil bersembang melihat suasana yang penuh kesibukan.

Dalam kesesakan dan kesibukan tersebut, secara tiba-tiba sekumpulan penunggang motorsikal dengan bunyi motor yang betul-betul membingitkan melintasi kami. Mungkin ada dalam jumlah motor hampir tujuh buah. Mereka memandu dengan penuh berbahaya, laju, dan baik punya cilok. Mencelah ke kanan dan ke kiri di tengah-tengah kesibukan dan kesesakan dengan gaya tersendiri.

Aku katakan pada kawan aku di belakang,

“Fuuhh! Hebat betul diorang punya style ni. Dalam keadaan macam ni pun masih boleh bawak macam tu punya hebat. Laju pulak tu. Cilok sana sini, mencelah kanan kiri... konfiden (yakin) betul laa. Memang berani tahap tak ingat la diorang nih.”

Dengan selamba kawan aku di belakang menjawab,

“Tak pe wei, mat-mat rempit ni nama-nama diorang tu dah terpahat kat pintu Syurga. Kalau apa-apa jadi pun, diorang dah tak perlu risau dah...”

Aku pun tergelak dengan tiba-tiba bila mendengarkan jawaban spontan tersebut.

Kalau dulu para Sahabat-sahabat Nabi mengejar Syahid (mati) di medan perang (Jihad). Tetapi, kini anak-anak muda remaja kita mengejar mati di jalan raya...

Sabtu, Disember 13, 2008

Jom Keluar (Khuruj) 3 Hari???

Jom Keluar (Khuruj) 3 Hari???

http://an-nawawi.blogspot.com

Beberapa bulan yang lalu, saya pernah diajak oleh beberapa orang sahabat untuk supaya keluar tiga (3) hari. Dengan tujuannya adalah untuk belajar agama, memperkuatkan keimanan dan meningkatkan amalan. Di samping itu, katanya kita akan dapat berjumpa dengan alim ulama yang datang dari pelbagai tempat.

Sahabat-sahabat saya ini memang kerap keluar ke tempat-tempat tertentu atas tujuan tersebut sebagaimana yang mereka maklumkan. Mereka kebiasaannya akan keluar sekurang-kurangnya 1 atau 2 hari bagi yang baru berjinak-jinak dengan kumpulan ini.

Pernah saya di-ajak,

“Nawi, jom lah kita cuba keluar. Enta cuba sehari je dulu, tengok macam mana nanti.”

“Kalau tak dapat sekarang, sekurang-kurangnya enta tanamkan azam dulu untuk keluar satu hari atau tiga hari. InsyaAllah, Allah akan bagi kelapangan kepada enta.”

“Seperti sahabat-sahabat yang lain ada yang sudah biasa keluar 3 hari. Dan untuk cuti akan datang ni mereka semua berazam untuk keluar empat puluh (40) hari.”

“Malah ada sahabat-sahabat kita yang telah pun keluar sehingga tiga atau empat bulan ke negara-negara lain seperti India, Pakistan, Bangladesh, dan Australia untuk berdakwah. Dengan jalan keluar seperti inilah kita berupaya untuk melihat semula jalan dakwah para Nabi. Kita dapat berusaha menambahkan iman dan meningkatkan amalan. Mengajak sahabat-sahabat kita yang lain untuk mengikut jejak Nabi dan sahabat-sahabatnya. Kita ikut cara Nabi.”

Saya hanya mampu berkata kepada mereka,

“Saya memang mahu keluar lebih jauh lagi. Tetapi, memandangkan sudah tujuh tahun saya keluar meninggalkan kampung halaman sehingga ke Arau Perlis selama tiga tahun, dan sekarang sudah di Shah Alam selama empat tahun, saya kira saya mahu pulang menetap di kampung halaman semula bersama-sama keluarga tersayang. Kerana, amat-amat jarang sekali saya pulang ke kampung halaman sejak tujuh tahun kebelakangan ini. Alhamdulillah, selama tujuh tahun saya keluar, banyak perkara dapat saya pelajari selain dari perkara akademik. Banyak jalan yang Allah tunjuk kepada saya dan telah saya lalui (termasuk bersama kelompok Tabligh). Biarlah jika saya mahu keluar lagi, dengan berbekalkan ilmu dari dalil-dalil dan kefahaman yang jelas.”

Saya pernah katakan kepada mereka,

“Apakata kita keluar bersama-sama sahabat-sahabat saya yang lain untuk mengikuti pelbagai jenis kelas pengajian agama berkaitan Aqidah, fiqh, hadis dan seumpamanya. Tidak lama, sebentar saja, hanya mengambil satu jam atau dua jam dalam seminggu. Atau mungkin kita letakkan sehari dalam seminggu atau sebulan untuk pergi ke kuliah-kuliah hadis atau seumpamanya. Kita boleh buka kitab-kitab Mazhab Syafi’i, kita hadis al-Bukhari, juga kitab-kitab lainnya seperti kitab sirah.”

Namun, sedikit sekali yang mahu mengikutinya dari kalangan mereka. Kerana mungkin, mereka hanya mahu keluar dengan berpandukan cara-cara yang telah kelompok-kelompok mereka garis dan tetapkan sahaja.

Wallahu a’alam, sekadar sedikit catatan berhadapan dengan mereka yang berfikrah Tabligh.