“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Isnin, September 03, 2007

Kehebatan Iman Generasi Terdahulu – Berusahalah Kita Untuk Menguasainya

Kehebatan Iman Generasi Terdahulu – Berusahalah Kita Untuk Menguasainya

Tahukah anda bahawa Baginda Nabi S.A.W memulakan dakwahnya di Mekah, kaum musyrikin Quraisy membalas usaha dakwah itu dengan pelbagai tindakan yang kasar dan ganas, termasuklah mencipta pelbagai bentuk azab bagi menyiksa orang-orang beriman. Namun, segala usaha mereka tidak berhasil kerana mereka bukan berhadapan dengan manusia biasa yang memiliki jati diri keimanan yang teguh, yang lebih rela nyawa mereka melayang daripada iman mereka diruntuhkan. Para sahabat mampu bertahan menghadapi segala cabaran kerana mereka memiliki iman dan keyakinan yang kental.

Siapa yang tidak kenal Bilal bin Rabah r.a., yang sanggup bersabung nyawa menanggung azab sengsara ketika beliau ditindih dengan bongkah batu raksasa di atas ramda yang merah menyala dan di bawah terik sinaran matahari yang panas membara. Bilal tidak berhenti daripada menyebut kalimah yang membakar kemarahan para penyiksanya iaitu dengan kalimah berikut:

“Ahadun Ahad”, Ahadun Ahad”.

Alangkah mudahnya bagi Bilal, jika beliau ingin menyelamatkan diri daripada siksaan itu, beliau hanya perlu berpura-pura menjadi kafir sementara. Tetapi beliau tidak tergamak melakukannya, kenapa? Kerana beliau merasa amat rugi jika melepaskan kemanisan iman yang sedang beliau kecapi.

Mana mungkin orang yang sedang menikmati kelazatan iman akan melepaskan kelazatannya. Dan mana mungkin orang yang pernah merasai kepahitan kekufuran akan kembali merasainya. Demikianlah juga Ammar, Yasir, dan Sumayyah radhiallahu ‘anhum, satu keluarga yang telah menjual nyawa mereka untuk membeli iman sehingga gugurlah Sumayyah sebagai wanita pertama syahid. Demikianlah pula kisah khubaib bin Adiyy r.a. yang telah ditawan oleh golongan musyrikin ketika beliau hendak berhijrah, lalu beliau dibawa balik semula ke Mekah. Khubaib meletakkan syarat ke atas dirinya untuk mati dalam iman dan dengan syarat itu beliau tidak peduli lagi bila, di mana, dan bagaimana beliau akan dikorbankan. Ketika sedang menunggu kematian sebagai hukuman daripada kaum musyrikin, beliau mengatakan dengan tegas:

“Aku tidak peduli jika aku mati, asalkan kematianku sebagai muslim yang berjuang pada jalan Ilahi. Kerana yang demikian itu, jika Dia kehendaki, nescaya ketulan dagingku yang bersepah akan diberkati.” (Sahih al-Bukhari, Hadis no.: 2880)

Demikianlah juga Abu Salamah r.a. yang tidak membatalkan hasratnya untuk berhijrah meskipun isterinya dirampas dari tangannya dan meskipun tangan anaknya direntap putus dihadapannya. (Ibn Hisyam, as-Sirah an-Nabawiyyah, 2: 469). Demikianlah juga Suhaib ar-Rumi r.a. yang menawarkan seluruh hartanya kepada kaum musyrikin semata-mata kerana ingin menyertai Nabi S..A.W. berhijrah ke Madinah. (Ibn Hisyam, as-Sirah an-Nabawiyyah, 2: 477). Demikianlah betapa hebatnya iman apabila telah menembusi hijab hati manusia, tiada apa lagi yang boleh menukar gantinya. Mereka diberi tawaran samaada memilih nyawa tanpa iman atau memilih iman tanpa nyawa, lalu mereka memilih iman tanpa mempedulikan nyawa mereka. Sabda Rasulullah S.A.W (maksudnya):

“Ada seorang lelaki dari kalangan umat sebelum kamu telah digali lubang untuknya, kemudian dia ditanam di dalamnya, lalu digergaji kepalanya sehingga terbelah dua, namun yang demikian itu tetap tidak mengubah pendirian agamanya. Ada pula yang disikat dengan penyikat besi sehingga pecah tulang dan urat sarafnya, tetapi semua itu tetap tidak mengubah pendirian agamanya.” (Sahih al-Bukhari, Hadis no.: 3416 & 6544)

Oleh itu, setiap muslim mestilah yakin dengan pegangan agamanya sebagaimana juga generasi umat Islam yang terawal meyakininya. Dengan keyakinan yang mantap itu, dia pasti akan dapat meneguhkan jati dirinya untuk menghadapi sebarang bentuk ancaman dan dugaan.

Disalin & Diedit daripada buku: 15 Jati Diri Muslim Cemerlang, Dr. Azwira Abdul Aziz.

0 comments: