“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Jumaat, November 12, 2010

Konsep al-Jama’ah Mendepani Fitnah Perpecahan

Konsep al-Jama’ah Mendepani Fitnah Perpecahan

http://an-nawawi.blogspot.com/

Di kala fitnah perpecahan melanda, rata-rata melupakan sebuah kalimat besar yang kian dipinggirkan. Di ketika masyarakat berlumba-lumba mengangkat kumpulan masing-masing, mereka lupa merujuk khazanah agung rahsia sebuah perpaduan. Iaitu rahsia perpaduan dan kekuatan milik agama ini sebagaimana yang difahami oleh ahlus sunnah wal-jama’ah sejak generasi awal hingga kini. Sehingga mungkinkah, sebahagian besar masyarakat hari ini anti perpaduan melacak perpecahan menjadi lebih parah?

Bukankah Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman (maksudnya), “Dan berpeganglah kamu semua kepada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai. Ingatlah akan nikmat Allah kepadamu di ketika dahulu (di masa jahiliyyah) kamu saling bermusuhan, maka Allah telah menyatukan hati kamu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 103)

Ayat ini turun berkenaan dengan kaum Aus dan Khazraj, menyorot keadaan mereka di masa jahiliyyah yang sering berperang sesama sendiri, bermusuhan, rasa dengki yang meluap-luap, dan dendam yang tidak pernah surut sehingga mengakibatkan saling berbunuhan serta pelbagai lagi bentuk pertempuran yang tiada sudahnya. Maka, Allah pun mendatangkan Islam lalu mereka menerimanya dan jadilah mereka golongan yang bersaudara, saling mencintai kerana Allah, saling menjalin persaudaran, dan tolong-menolong dalam kebaikan dan ketaqwaan. Allah berfirman (maksudnya), “Allah-lah yang memperkuatkan kamu dengan pertolongan-Nya dan dengan orang-orang yang beriman dan yang menyatukan hati mereka. Walaupun kamu menghabiskan semua kekayaan yang ada di bumi ini, nescaya kamu tidak dapat menyatukan hati mereka, akan tetapi Allah-lah yang telah menyatukan hati mereka.” (Surah al-Anfal, 8: 62-63)

Demikianlah apa yang Allah telah menjadikan sebab kepada sebuah perpaduan. Jadi, yang dimaksudkan dengan tali Allah dalam ayat di atas tadi adalah dengan berpegang teguh kepada agama Allah yang diperintahkan-Nya kepada kita supaya sentiasa memelihara perpaduan, persaudaraan, dan kesepakatan di atas kebenaran serta tunduk dengan seluruh perintah-Nya sebagaimana yang Dia nyatakan dalam Kitab-Nya. Sekaligus larangan untuk bercerai-berai dan keluar dari ketetapan-ketetapan yang telah ditentukan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Dalam fitnah perpecahan yang terus memuncak dalam kalangan umat Islam sehingga hari ini, para ulama ahlus sunnah wal-jama’ah sebenarnya telah lama menyebutkan kaedah dan prinsip untuk mendepani semua ini. Di antaranya, Imam ath-Thahawi rahimahullah (Wafat: 321H) telah menetapkan dengan katanya, “Kami berprinsip untuk tetap bersama jama’ah umat Islam sebagai sebuah kebenaran, manakala perpecahan adalah sebuah penyimpangan dan kesesatan.” (Rujuk: Matan Aqidah ath-Thahawiyah)

Maksud al-jama’ah di sini dapat difokuskan kepada dua bentuk. Iaitu pertamananya adalah jama’ah (kumpulan) kebenaran yang melazimi manhaj dan methodologi para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam beragama sehingga hari kiamat. Ini adalah jama’ah kebenaran yang umat Islam wajib untuk berpegang dengannya dan tidak dibenarkan untuk menyelisihinya supaya tidak tersesat dalam mengambil kefahaman agama. (Rujuk: Melazimi Manhaj Para Sahabat Elak Perpecahan) Manakala maksud keduanya adalah jama’ah (kumpulan) umat Islam yang telah bersepakat dalam mengangkat seorang pemimpin (muslim) yang kepadanya mereka memberikan ketaatan dalam urusan pentadbiran hal-ehwal umat Islam dan kepimpinan negara.

Dengan dua maksud al-jama’ah itulah kemudiannya Imam ath-Thabari rahimahullah (Wafat: 310H) menegaskan dengan menukil perkataan Imam Qatadah katanya,

ولا تفرّقوا واذكروا نعمة الله عليكم"، إنّ الله عز وجل قد كره لكم الفُرْقة، وقدّم إليكم فيها، وحذّركموها، ونهاكم عنها، ورضي لكم السمعَ والطاعة والألفة والجماعة، فارضوا لأنفسكم ما رضى الله لكم إن استطعتم، ولا قوّة إلا بالله

“Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla tidak menyukai adanya perpecahan terhadap kamu. Allah telah menjelaskannya kepada kamu, memberi peringatan tentang perpecahan, dan melarang kamu dari terlibat dengannya (perpecahan). Sebaliknya Allah meredhai bagi kamu kepatuhan dan ketaatan, perpaduan, dan al-jama’ah. Oleh sebab itu, redhailah untuk diri kamu sedaya-upaya apa sahaja yang telah Allah redhai bagi kamu. Dan bahawasanya tiada kekuatan melainkan dengan izin Allah.” Kemudian ath-Thabari menyebutkan pula perkataan Ibnu Mas’oud radhiyallahu ‘anhu,

يا أيها الناس، عليكم بالطاعة والجماعة، فإنها حبل الله الذي أمرَ به، وإنّ ما تكرهون في الجماعة والطاعة، هو خيرٌ مما تستحبون في الفرقة

“Wahai manusia, tetaplah kamu dalam mentaati pemerintah, dan bersatulah dengan al-jama’ah, kerana keduanya adalah tali Allah yang telah Dia perintahkan untuk dipelihara. Sungguh, apa sahaja yang kamu benci dalam al-jama’ah dan ketaatan akan lebih baik dari apa yang kamu cintai dalam perpecahan.” (Tafsir ath-Thabari, 7/74-75. Tahqiq Ahmad Muhammad Syakir)

Dan hadis yang paling masyhur dalam persoalan fitnah perpecahan ini adalah hadis yang datang daripada Hudzaifah Ibnul Yaman radhiyallahu ‘anhu di ketika beliau bertanyakan tentang keburukan,

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا كُنَّا فِي جَاهِلِيَّةٍ وَشَرٍّ فَجَاءَنَا اللَّهُ بِهَذَا الْخَيْرِ فَهَلْ بَعْدَ هَذَا الْخَيْرِ مِنْ شَرٍّ قَالَ نَعَمْ قُلْتُ وَهَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الشَّرِّ مِنْ خَيْرٍ قَالَ نَعَمْ وَفِيهِ دَخَنٌ قُلْتُ وَمَا دَخَنُهُ قَالَ قَوْمٌ يَهْدُونَ بِغَيْرِ هَدْيِي تَعْرِفُ مِنْهُمْ وَتُنْكِرُ قُلْتُ فَهَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الْخَيْرِ مِنْ شَرٍّ قَالَ نَعَمْ دُعَاةٌ عَلَى أَبْوَابِ جَهَنَّمَ مَنْ أَجَابَهُمْ إِلَيْهَا قَذَفُوهُ فِيهَا قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ صِفْهُمْ لَنَا قَالَ هُمْ مِنْ جِلْدَتِنَا وَيَتَكَلَّمُونَ بِأَلْسِنَتِنَا قُلْتُ فَمَا تَأْمُرُنِي إِنْ أَدْرَكَنِي ذَلِكَ قَالَ تَلْزَمُ جَمَاعَةَ الْمُسْلِمِينَ وَإِمَامَهُمْ قُلْتُ فَإِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُمْ جَمَاعَةٌ وَلَا إِمَامٌ قَالَ فَاعْتَزِلْ تِلْكَ الْفِرَقَ كُلَّهَا وَلَوْ أَنْ تَعَضَّ بِأَصْلِ شَجَرَةٍ حَتَّى يُدْرِكَكَ الْمَوْتُ وَأَنْتَ عَلَى ذَلِكَ

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami berada di masa jahiliyyah dan keburukan, lalu Allah mendatangkan kebaikan ini kepada kami. Adakah setelah kebaikan ini ada keburukan?” Rasulullah menjawab, “Benar, akan tetapi terdapat asap (kesamaran) padanya.” Aku bertanya, “Apakah asap (kesamaran) tersebut?” Beliau bersabda, “Iaitu orang-orang yang mengambil petunjuk selain daripada petunjukku. Engkau mengenali mereka dan mengingkarinya.” Aku bertanya, “Adakah setelah kebaikan itu ada lagi keburukan?” Beliau bersabda, “Benar, para penyeru kepada pintu-pintu jahannam. Sesiapa yang menyambut mereka maka mereka akan mencampakkannya ke dalam jahannam (kebinasaan).” Aku bertanya, “Wahai Rasulullah, sebutkan sifat-sifat mereka kepada kami.” Beliau menjawab, “Mereka berkulit sama seperti kita dan berbicara dengan bahasa kita.” Aku bertanya, “Apakah yang engkau perintahkan kepadaku sekiranya aku bertemu dengan situasi seperti itu?” Beliau menyatakan, “Hendaklah kamu tetap bersama-sama dengan jama’ah umat Islam dan pemimpin mereka.” Aku bertanya, “Bagaimana sekiranya tidak ada jama’ah dan tidak pula ada pemimpin bagi umat Islam?” Beliau menjawab, “Jauhilah kelompok-kelompok itu semuanya walaupun engkau tinggal dengan menggigit akar kayu sehingga kematian datang menjemput dalam keadaan engkau seperti itu.”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Fitan, 21/478, no. 6557)

Hadis yang mulia ini adalah dalil yang sangat jelas dalam persoalan mentaati pemerintah umat Islam. Lebih-lebih lagi dalam fenomena dan fitnah perpecahan yang sering melanda umat Islam hari ini. Kerana dengan tetap di atas prinsip inilah kita akan selamat dari perangkap dan syubhat para penyeru fitnah perpecahan tersebut. Walaupun yang menjadi pemimpin kita ketika itu adalah orang yang zalim dan fasiq. Ini adalah sebagaimana yang telah disebutkan melalui tulian-tulisan sebelum ini.

Dalam hadis tersebut juga mengandungi sanggahan kepada golongan yang beranggapan bahawa memisahkan diri dari jama’ah umat Islam dan pemimpin mereka di ketika berlakunya fitnah atas alasan mahu memperbaiki masyarakat (rakyat). Kefahaman yang menyatakan bahawa apabila berlaku masalah dan pergolakan barisan kepimpinan negara, hendaklah membina kelompok baru dan kumpulan-kumpulan pembangkang bagi menyelesaikannya, maka sebenarnya ia adalah bentuk-bentuk kefahaman yang songsang, kaedah berfikir yang sesat, serta merupakan suatu bentuk tindakan yang sangat jauh menyimpang dari apa yang disarankan oleh Allah dan Rasul-Nya sebagaimana yang telah ditegaskan oleh para ulama ahlus sunnah wal-jama’ah.

al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah (Wafat: 852H) menyatakan di ketika mensyarahkan hadis di atas ini dengan katanya bahawa,

وبالدعاة على أبواب جهنم من قام في طلب الملك من الخوارج وغيرهم والى ذلك الإشارة بقوله الزم جماعة المسلمين وامامهم يعني ولو جار ويوضح ذلك رواية أبي الأسود ولو ضرب ظهرك وأخذ مالك وكان مثل ذلك كثيرا في امارة الحجاج ونحوه قوله تلزم جماعة المسلمين وامامهم بكسر الهمزة أي أميرهم زاد في رواية أبي الأسود تسمع وتطيع وان ضرب ظهرك وأخذ مالك وكذا في رواية خالد بن سبيع عند الطبراني فان رأيت خليفة فالزمه وان ضرب ظهرك فان لم يكن خليفة فالهرب

“Para penyeru kepada pintu-pintu jahannam adalah mereka yang berusaha mencari kekuasaan, sama ada dari kalangan khawarij (pembawa idelogi pemberontakan) ataupun yang selainnya. Itulah yang dimaksudkan oleh hadis “Bersamalah dengan jama’ah muslimin dan pemimpin mereka”. Maksudnya, walaupun seseorang pemimpin itu melakukan kezaliman. Lebih menjelaskan perkara ini adalah riwayat Abu al-Aswad “walaupun dia memukul punggungmu dan merampas harta kamu”. Situasi seperti ini banyak berlaku pada masa pemerintahan al-Hajjaj dan selainnya.

“Bersamalah dengan jama’ah muslimin dan pemimpin mereka”, maksudnya adalah pemimpin (yang menaungi) mereka. Dalam riwayat Abu al-Aswad ditambahkan “hendaklah engkau mendengar dan mentaati walaupun dia memukul punggungmu dan mengambil harta kamu”. (Rujuk: Fathul Bari Syarah Shohih al-Bukhari, 13/36)

Al-Hafiz Ibnu Hajar turut menukilkan perkataan ath-Thabari, katanya,

والصواب أن المراد من الخبر لزوم الجماعة الذين في طاعة من اجتمعوا على تأميره فمن نكث بيعته خرج عن الجماعة قال وفي الحديث انه متى لم يكن للناس امام فافترق الناس احزابا فلا يتبع أحدا في لفرقة ويعتزل الجميع ان استطاع ذلك خشية من الوقوع في الشر

“Maksud hadis tersebut adalah bersama-sama dengan jama’ah yang mentaati orang yang mereka sepakati untuk memimpin mereka. Sesiapa yang melepaskan ketaatan (kepada pemimpin), maka dia terkeluar dari al-jama’ah. Melalui hadis ini, ia turut menjelaskan ketika manusia tidak memiliki imam (pemimpin muslim yang ditaati bagi sesebuah negara atau wilayah – pen.) dan masyarakat menjadi berpecah-belah (berkelompok-kelompok), maka kita tidak dibenarkan mengikuti sesiapa pun dari tokoh-tokoh (atau kumpulan) yang terlibat dalam seruan perpecahan tersebut. Tetapi, hendaklah kita menjauhkan diri dari kelompok-kelompok tersebut sekiranya mampu, kerana dibimbangi akan turut terjerumus dalam kancah keburukan (fitnah). (Rujuk: Fathul Bari Syarah Shohih al-Bukhari, 13/37)

Secara ringkas dan umum, demikianlah kefahaman para ulama ahlus sunnah wal-jama’ah dalam memahami prinsip sebuah perpaduan mendepani fitnah perpecahan di bawah konsep yang disebut sebagai al-jama’ah. Wallahu a’lam...

0 comments: