“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Isnin, November 08, 2010

Melazimi Manhaj Para Sahabat Elak Perpecahan

Melazimi Manhaj Para Sahabat Elak Perpecahan

http://an-nawawi.blogspot.com

Islam ini datangnya dari Allah Subhanahu wa Ta’ala, diwahyukan kepada Nabi-Nya melalui perantaraan Jibril ‘alaihis Salam. Melalui Nabi-Nya (Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam), agama ini pun disampaikan kepada masyarakat. Difahami dan dibantu pula oleh para sahabat Nabi ridhwanullah ‘alaihim ajma’in. Yang kemudian diikuti dan diwarisi dari generasi ke generasi setelahnya sehinggalah sekarang.

Secara umumnya, agama ini besumber dari dua rujukan yang baku. Iaitu Kitabullah (al-Qur’an) dan al-Hadis (sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam). Inilah yang disepakati dan diperakui oleh setiap mereka yang beragama Islam. Firman Allah (maksudnya): “Jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu, kembalikanlah ia kepada Allah (al-Qur’an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian.” (Surah an-Nisa’, 4: 59)

Walau bagaimanapun, dua sumber tersebut tidak akan dapat difahami tanpa mengambil dan merujuk kepada kefahaman yang difahami oleh orang-orang pertama dan terawal memahaminya. Yang daripada mereka kita mewarisi agama ini. Tidak lain dan tidak bukan, merekalah yang digelar dengan gelaran Sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang diredhai.

Daripada merekalah kefahaman agama ini diambil dan diperturunkan kepada generasi demi generasi. Mereka adalah golongan terbaik dari golongan manusia yang beriman kepada agama yang dibawa Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Mereka adalah kelompok manusia pertama yang memeluk Islam. Kelompok pertama yang melihat Nabi dan beriman dengan apa yang dibawanya. Di masa merekalah turunnya mukjizat yang paling agung, iaitu al-Qur’an yang menjadi huda (petunjuk) dan rahmat ke seluruh alam. Al-Qur’an diturunkan ayat demi ayat kepada mereka. Mereka berguru (belajar) dan memahami al-Qur’an terus daripada Nabi. Bersama-sama Nabi mereka mengutip mutiara-mutiara hikmah yang sangat berharga dalam memahami agama ini yang berupa hadis-hadis dan sunnah-sunnah beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfiman (maksudnya): “Orang-orang yang terdahulu lagi yang paling awal masuk Islam (generasi sahabat) dari golongan muhajirin dan anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar.” (Surah at-Taubah, 9: 100)

Sedar atau tidak, setiap hari kita berdoa di dalam solat meminta diletakkan di atas jalan-jalan mereka (para sahabat): “Tunjukilah kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka (para sahabat dan generasi yang mengikuti mereka) - bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.” (Surah al-Fatihah, 1: 6-7)

Sehingga Imam al-Barbahari rahimahullah (Wafat: 329H) berkata dalam kitabnya Syarhus Sunnah (m/s. 21):

فمن السنة لزوم الجماعة و من رغب غير الجماعة وفارقها فقد خلع ربقة الإسلام من عنقه وكان ضالا مضلا والأساس الذي بينا عليه الجماعة هم أصحاب محمد صلى الله عليه و سلم رحمهم الله أجمعين وهم أهل السنة والجماعة فمن لم يأخذ عنهم فقد ضل وابتدع وكل بدعة ضلالة

“Sesiapa yang berpegang dengan as-Sunnah, dialah yang melazimi al-jama’ah (termasuk dalam kumpulan kebenaran). Dan sesiapa yang cenderung kepada selain al-jama’ah dan menyelisihinya, maka dia telah melepaskan tali Islam dari bahunya sehingga dia menjadi sesat dan menyesatkan. Dan asas ukuran kebenaran al-jama’ah adalah dengan melihat para sahabat Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, semoga Allah merahmati mereka semua. Mereka adalah Ahlus Sunnah wal-jama’ah. Sesiapa yang tidak mengambil kebenaran daripada mereka, maka ia telah memilih jalan kesesatan dan agama yang diada-adakan (bid’ah). Setiap yang diada-adakan (bid’ah) dalam beragama adalah sesat.”

Para sahabat adalah golongan manusia terbaik. Hidup pada zaman terbaik bersama-sama Nabi. Mereka adalah golongan manusia yang diredhai dan dijamin Syurga oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ يَجِيءُ أَقْوَامٌ تَسْبِقُ شَهَادَةُ أَحَدِهِمْ يَمِينَهُ وَيَمِينُهُ شَهَادَتَهُ

Sebaik-baik manusia adalah pada kurunku, kemudian generasi setelah mereka, kemudian generasi setelah mereka. Kemudian akan muncul suatu kaum yang memberi persaksian mendahului sumpahnya, dan bersumpah mendahului persaksiannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 9/133, no. 2458)

Para sahabat adalah golongan yang sentiasa bersama-sama Nabi dalam apa jua keadaan, sama ada senang atau sukar. Teguh beraqidah sebagaimana yang diperintahkan, hidup di dalam suasana yang mendapat perhatian Nabi, dan mati di atas jalan yang benar. Di masa hidupnya sentiasa bersama-sama Nabi mengutip kebenaran yang disampaikan. Mereka bermusafir dan berperang bersama-sama Nabi. Berjuang dan berdakwah menegakkan agama yang dibawa oleh Nabi.

Setelah kewafatan Nabi, merekalah kelompok manusia yang meneruskan perjuangan dan kesinambungan dakwah Rasulullah. Merekalah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah memelihara al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah dari pelbagai bentuk penyelewengan, pendustaan dan penyembunyian. Mereka menyampaikan, mengajarkan, dan menyebarkannya kepada generasi manusia seterusnya.

Tidak ada lagi bentuk-bentuk agama selain dari apa yang difahami dan disampaikan oleh mereka. Kerana apa yang difahami dan diamalkan oleh mereka dari agama Islam, sudah sangat-sangat memadai dan itulah yang terbaik. Kerana apa yang diamalkan oleh mereka, itulah yang mendapat restu dan pembenaran secara langsung daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan bentuk-bentuk amalan (sandaran beragama) selain dari itu, maka ia adalah suatu yang asing lagi tertolak disebabkan agama ini telah pun sempurna dan mencukupi sebagaimana yang difahami oleh golongan terbaik bernama sahabat.

Begitulah sebuah hakikat yang perlu kita terima dengan hati terbuka. Datangnya agama kepada kita secara sempurna dan tulin melalui apa yang difahami oleh mereka. Bukan melalui kefahaman kita yang lemah yang hanya bergantung semata-mata kepada akal kita yang sangat-sangat terhad untuk memikirkan, apatah lagi untuk memahaminya. Kefahaman kita melalui akal-akal kita perlu dibantu dan dibina di atas kefahaman yang betul, iaitu sebuah methodologi atau sebuah kerangka manhaj (prinsip) yang diwariskan oleh para sahabat Nabi ridhwanullah ‘alaihim ajma’in yang dibawa pula oleh orang-orang terpercaya (ahlul hadis).

Secara amnya, segala perkara yang berkaitan dengan agama mencakupi persoalan aqidah (iman), mu’amalah, zuhud, ibadah, fiqh, hadis, akhlak, taqwa, dan seumpamanya, perlulah dirujuk kepada methodologi para sahabat sebagai golongan contoh yang paling terpercaya lagi berkelayakan.

Daripada ‘Abdullah B. ‘Amru radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

وَإِنَّ بَنِي إِسْرَائِيل تَفَرَّقَتْ عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ مِلَّة , وَتَفْتَرِق أُمَّتِي عَلَى ثَلَاث وَسَبْعِينَ مِلَّة , كُلّهمْ فِي النَّار إِلَّا مِلَّة وَاحِدَة , قَالُوا : مَنْ هِيَ يَا رَسُول اللَّه ؟ قَالَ : مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي

Sesungguhnya bani Israel telah berpecah-belah menjadi 72 golongan, dan umatku akan berpecah-belah menjadi 73 golongan. Mereka semua di Neraka melainkan satu golongan.” Para sahabat bertanya, “Siapakah mereka yang selamat itu?” Beliau menjawab, “Apa yang aku dan para sahabatku berada di atasnya.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, 9/235, no. 2565. Beliau berkata: “Hadis ini adalah hadis yang hasan gharib yang telah ditafsirkan, kami tidak mengetahui melainkan daripada periwayatan ini.” Hadis iftiraqul ummah ini diriwayatkan dengan beberapa jalur periwayatan. Para ulama berhujjah dengannya)

Melalui hadis ini, Rasulullah telah menjelaskan bahawa mereka yang selamat dan berada di atas landasan agama yang benar adalah sesiapa sahaja yang berada di atas jalan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersama-sama para sahabatnya. Iaitu mereka yang memahami agama sebagaimana para sahabat memahaminya. Sebab itulah, jika kita perhatikan di ketika era-era akhir pemerintahan Khulafa al-Rasyidin, telah mula muncul kelompok-kelompok umat Islam yang menyimpang dari kebenaran seperti al-Khawarij, kemudian Syi’ah, seterusnya muncul pula seperti Qadariyah, Muktazilah, Jahmiyah, pelbagai kelompok sufi (tarekat), sehinggalah ke hari ini begitu banyak bentuk-bentuk penyimpangan dan kelompok-kelompok sesat telah muncul. Ini adalah di antara kesan yang berlaku apabila mengambil agama tanpa berteraskan methodologi dan manhaj para sahabat radhiyallahu ‘anhum. Sekaligus, ini adalah antara punca utama berlakunya perpecahan di kalangan umat Islam dari dahulu hingga kini.

Sebagai penutup, saya tinggalkan pesanan imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah (Wafat: 241H) sebagai panduan sekaligus merupakan prinsip:

أصول السنة عندنا التمسك بما كان عليه أصحاب رسول الله صلى الله عليه و سلم والاقتداء بهم

“Dasar Ahlus Sunnah menurut kami adalah tetap teguh di atas jalan hidup para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan menjadikan mereka sebagai contoh ikutan (qudwah) dalam beragama.” (Imam Ahmad bin Hanbal, Ushulus Sunnah, no. 1-2)

Wallahu a’lam...

0 comments: