“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Isnin, Jun 11, 2007

Tajuk: Neraca Akal Dan Nafsu – Semuanya Baik Belaka

Neraca Akal Dan Nafsu – Semuanya Baik Belaka

Oleh: an-Nawawi @ Nuur Fakhrul as-ShiddiQ
http://groups.yahoo.com/group/pmh-uitm
http://aqidah-wa-manhaj.blogspot.com

Luahan satu...

Suatu ketika, aku pernah pergi kepada seorang kawan lelaki di kampungku dan bertanyakan perihal apakah perkara yang beliau sukai pada waktu-waktu cuti.

“Khairul, apakah hobi kamu pada setiap hujung minggu ya?” maka beliau lantas menjawab, “Biasanya aku akan pergi menonton wayang dengan awek aku...”

Luahan dua...

Pada waktu-waktu yang tertentu, aku juga sering berkongsi cerita bersama kawan-kawan di kampus. Suatu ketika, kami pernah bercerita berkenaan permainan komputer game. Dan seorang daripada kami telah menyatakan berkenaan keseronokan satu jenis pc game.

“Game ni memang best giler. Silap besar la kalau korang tak try main game ni. Aku sanggup tak tidur malam semata-mata nak complete dia punya mission.” Begitulah penjelasan dan luahan seorang kawan yang begitu ketagihan dengan permainan komputer.

Luahan tiga...

Begitu jugalah, pernah aku mendengar luahan seorang pemuzik dan pelakon. Apa katanya ya?

“Dalam bidang lakonan dan nyanyian ini, sebenarnya bukan nama yang kami cari, bukan juga wang dan material. Tapi sebenarnya kami lebih mencari kepada kepuasan dalam bekerja dan berkarya. Kami puas andainya semua orang menerima hasil kerja kami dengan gembira.” Beginilah pendapat para artis apabila diminta memberikan komen berkenaan aktiviti mereka sebagai ‘penghibur’.

Demikianlah juga halnya andai ditanya kepada para mat rempit, apakah kegiatan yang paling baik dan menyeronokkan dalam hidup mereka? Tentulah ‘merempit’ dan segala hal yang berkaitan dengan motor dan perlumbaan. Begitu juga kepada peminat wayang, mereka yang suka melancong, mereka yang suka memasak, mereka yang suka menonton TV, mereka yang suka menyaksikan perlawan bola atau gusti dan pelbagai lagi. Kecenderungan mereka untuk mengatakan apakah yang baik dan menggembirakan bagi mereka, tentulah apa yang mereka minati dan sukai berdasarkan hati dan fikiran mereka semata-mata.

Begitu jugalah sehingga kepada persoalan keagamaan, ibadah, mu’amalah, dan sebagainya. Masing-masing mempunyai penilaian sendiri terhadap skop yang tertentu. Sedarkah kita, bahawa wujudnya beberapa kesilapan berkenaan konsep methode penilaian seperti ini? Ataukah kita langsung tidak menyedari, dan hanya menganggap ianya sebagai bentuk citarasa manusia yang sememangnya pelbagai? Lalu membiarkan ia berlalu begitu sahaja...

Itulah hakikatnya, kita selalu alpa dan mengambil apa sahaja perkara yang dirasakan seronok secara mentah-mentah dan tanpa penilaian yang benar. Sebahagian kita dan mungkin kebanyakan daripada kita seringkali menilai atas rasa hati, nafsu, dan akal fikiran. Apa sahaja yang dirasakan sesuai dengan timbangan akal dan hati, terus sahaja kita ambil. Benarkah penilaian dengan konsep sebegini?

Lupakah kita? Bukankah kita seorang Muslim? Lalu apabila mengaku sebagai seorang Muslim, apakah prinsip kita dalam menilai? Apakah asas kita dalam mengatakan tentang sesuatu itu, samaada baik atau buruk? Sesuai atau tidak?

Hakikatnya, memang kita selalu terlupa. Dan mungkin ada yang sengaja melupakan. Terhadap DUA sumber utama kita dalam menilai baik dan buruknya sesuatu perkara itu. Ingatkah anda, apa dua sumber itu? Ya, tidak lain dan tidak bukan... iaitulah al-Qur’an (Kitabullah) dan as-Sunnah Rasulullah s.a.w. Itulah neraca timbangan kita. Yang mana seterusnya membawa kita kepada redha Allah s.w.t..

Di dalam manhaj beragama dan “The way of Life” sebagai seorang muslim. Kebaikan itu tidak boleh dikira semata-mata berdasarkan akal dan nafsu. Tapi, mestilah didahulukan kalam al-Qur’an itu sendiri bersama al-Hadis sunnah Rasulullah s.a.w. bagi menunjukkan jalan yang sebenar buat kita. Persoalannya, adakah kita telah benar-benar ikhlas dalam mendahulukan kedua-dua sumber tersebut dalam setiap penilaian yang kita ambil?

Dengan itu, maka harus sewajarnyalah kita menilai semula keikhlasan dalam beragama ini, lalu kembali melihat apakah dasar sebenar manhaj (prinsip) dalam memegangi agama ini. Apakah akal dan nafsu itu asas kita, ataukah dalil itu yang harus diberi keutamaan?

Maka, berikut kita lihat maksud firman Allah s.w.t.:

“Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah (al-Qur’an) dan Sunnah Rasul-Nya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: "Kami dengar dan kami taat": dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan.” (an-Nuur: 51-52)

“Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) dari urusan (agama itu), maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui.” (al-Jaatsiyah: 18)

Ketahuilah, setiap apa yang benar itu, timbangannya adalah al-Qur’an dan sunnah Rasul-Nya sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. itu sendiri. Dan bukanlah akal dan nafsu hati, sebagaimana firman Allah berikut:

“Andaikata kebenaran itu menuruti hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi ini, dan semua yang ada di dalamnya. Sebenarnya Kami telah mendatangkan kepada mereka kebanggaan (al-Quran) mereka tetapi mereka berpaling dari kebanggaan itu.” (al-Mu’minuun: 71)

Dan Allah juga telah mengutuskan Rasulullah itu sebagai contoh dan role model terbaik yang perlu dicontohi oleh setiap insan sebagaimana firman Allah ini:

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (al-Ahzaab: 21)

Dan berikut sempat saya bawakan pesanan imam Malik Rahimahullah dan imam Abu Hanifah Rahimahullah melalui riwayat berikut (maksudnya):

Jauhilah pendapat orang-orang yang (mengeluarkan pendapat) berdasarkan akal fikiran kecuali jika sudah disepakati oleh para ulama’ (ijma’ ahlus sunnah). Ikutilah al-Qur’an yang telah diturunkan kepadamu oleh Tuhan kamu dan ikutilah Hadis yang telah diturunkan kepadamu oleh Nabi kamu. (Malik Bin Annas Rahimahullah, Riwayat al-Sya’rani – al-Mizan al-Kubra, jld. 1, ms. 188)

Apabila aku mengeluarkan sesuatu pendapat yang bertentangan dengan al-Qur’an dan al-Sunnah, maka tinggalkanlah pendapat aku itu. (Abu Hanifah, Riwayat Salih al-Fulani di dalam Iqaz al-Himam, ms. 50.)

Oleh itu, dahulukanlah al-Qur’an dan Rasulullah s.a.w. dalam setiap penilaian yang dibuat.

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (al-Hujuurat: 1)

0 comments: