“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Ahad, Julai 29, 2007

HAKIKAT TAUBAT MENURUT AHLUS SUNNAH WAL-JAMA’AH

HAKIKAT TAUBAT MENURUT AHLUS SUNNAH WAL-JAMA’AH

Http://an-nawawi.blogspot.com

------
MUQADDIMAH
------

Kebanyakan masyarakat percaya berdasarkan sangkaan bahawa taubat bagus dimulakan apabila umur tua (sudah berumur), setelah beranak cucu, setelah menunaikan haji atau dengan beberapa alasan lain adalah suatu tradisi atau idea yang batil, berpunca dari kejahilan seseorang itu tentang apa itu taubat dan pengampunan Allah yang sebenarnya.

Tiada seorang individupun yang dibenarkan menentukan bila masanya seharusnya seseorang itu bertubat. Sedangkan perintah Allah agar bersegera bertaubat tidak pernah ditetapkan masa-masanya yang tertentu, tempat-tempatnya yang tertentu, pada situasi atau kondisi yang tertentu, malah seseorang hamba yang tahu dirinya berdosa diwajibkan agar cepat-cepat bertaubat. Ini kerana manusia sering didominan oleh hawa nafsunya dan godaan syaitan.

Oleh itu, Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang memudahkan kepada sekalian hambaNya untuk segera bertaubat. Buku kecil ini layak dikonsumsi oleh semua peringkat usia, dapat membantu dalam urusan atau cara bertaubat, membincangkan permasalahan taubat yang perinsipil agar membuka minda dan kesedaran masyarakat tentang perlunya bersegera bertaubat.

Bagi sesiapa yang telah melakukan kesalahan atau merasa berdosa, sama ada besar atau kecil, yang telah lama berlaku atau yang baru saja dilakukan, maka tulisan ini membantu para pembaca cara-cara untuk bertaubat sebagaimana yang ditunjuk ajar dan dibimbing oleh syara.

Semoga tulisan yang dipenuhi dengan hujjah dan dalil-dalil dari al-Quran dan hadis ini dapat membetulkan konsep taubat dalam fikiran pelaku dosa, memberi keinsafan kepada mereka yang takutkan Allah, yang ingin keampunan-Nya, mengharapkan rahmat dari-Nya dan ingin menjadi generasi ahlus sunnah yang soleh dan yang bertakwa.

Dengan demikian, diharapkan mereka yang telah sedar akan hakikat sifat Allah Yang Maha Pengampun agar bersegera bertaubat tanpa dilengah-lengahkan lagi, kerana bertaubat dan meminta keampunan adalah perintah dari Allah yang telah tertera di dalam al-Quran dan hadis.

Moga-moga tulisan ini sentiasa diberkati oleh Allah Azza wa-Jalla dan dapat dimanfaatkan oleh para pembaca yang budiman.

------
Taubat Dan Pengertiannya
------

Pengertian taubat menurut syara ialah kembali kepada Allah dengan berpegang teguh kepada kewajipan yang diwajibkan kepada hambaNya. Meninggalkan laranganNya atau beralih dari setiap perbuatan yang dibenci kepada yang disenangi.

Orang yang bertaubat amat beruntung kerana kembali menjalankan perintah Allah dan menjauhkan larangannya. Inilah hakikat taubat sehingga Allah memberi kejayaan dan pahala kepada sesiapa yang mentaati hakikat ini. FirmanNya:

“Dan bertaubatlah kamu sekalian wahai kaum mukminin! Semoga kamu mendapat kemenangan”. (an-Nuur: 31)

Al-Quran menjelaskan bahawa Allah Maha Pengasih, Penyayang dan Maha Pengampun yang sentiasa mengampunkan segala dosa hambaNya yang mahu bertaubat. FirmanNya lagi:

“Katakanlah! Wahai hamba-hamba Ku yang melampaui batas terhadap dirinya sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnyanya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan Kembalilah kamu kepada Tuhanmu dan berserah dirilah kepadaNya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi)”. (az-Zumar: 53-54)

Melalui Sifat Allah Yang Maha Pengasih dan Pengampun, Allah menjanjikan rahmat dan pengampunan dari semua dosa kepada hambaNya yang bertaubat. Allah Subhanahu wa-Ta’ala pula bertanya mengapa kamu tidak mahu bertaubat sedangkan taubat adalah amalan yang mulia di sisiNya sebagaimana firmanNya:

“Maka mengapa mereka tidak mahu bertaubat kepada Allah dan memohon ampun kepadaNya? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (Al-Maidah, 74)

“Dan Tuhanmu Maha Pengampun lagi melimpah-limpah rahmatNya”. (Al-Kahfi, 58)

Oleh kerana Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang, melimpah-limpah rahmatNya dan mencintai hambaNya yang bertaubat, maka adalah suatu kesilapan bagi seseorang yang melambat-lambatkan taubatnya sehingga menunggu pada sesuatu masa yang tertentu, seperti menunggu di hari tua, setelah menunaikan haji, setelah bersara, setelah berilmu, setelah berjaya meninggalkan maksiat, setelah berkeluarga atau sebagainya. Maka melengah-lengahkan taubat seperti ini adalah suatu kejahilan dan kesilapan yang nyata. Sebenarnya Allah menyeru agar hambaNya sentiasa bersegera meminta keampunan dan bertaubat kepadaNya sebagaimana firmanNya:

“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa”. (Ali-Imran, 133)

Allah Subhanu wa-Ta’ala tidak akan membiarkan para hambanya bergelumang dengan berbagai dosa, oleh kerana itu Allah sentiasa membuka luas pintu taubat dan keampunannya kepada mereka yang mahu bertaubat. Allah memberikan contoh bahawa Nabi Adam dan Hawa telah bertaubat dari kesalahannya dan Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang menerima taubat mereka. Allah berfirman:

“Keduanya (Adam dan Hawa) berdoa, Ya Tuhan kami! Kami telah menganayai diri kami sendiri dan jika Engkau tidak mengampuni kami, nescaya kami termasuk orang-orang yang merugi”. (Al-Baqarah, 23)

“Kemudian Adam Menerima beberapa kalimat dari Tuhannya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang”. (Al-Baqarah, 37)

“Kemudian Tuhan memilihnya (Nabi Adam ‘alaihis salam), maka Dia menerima taubatnya dan memberi petunjuk”. (Taha: 122)

------
Jangan Menzalimi Diri Sendiri
------

Manusia sebagai hamba Allah terbahagi kepada dua bahagian, pertama: Orang yang bertaubat dari kesalahannya dan kedua: Orang yang menzalimi dirinya sendiri. Dianggap orang yang menzalimi dirinya sendiri ialah orang yang tidak mahu bertaubat. Orang yang tidak mahu bertaubat seolah-olah tidak mengenali Tuhannya, tidak mengetahui hak-haknya yang diberikan oleh Allah kepadanya dan tidak melihat aib dirinya dan perbuatannya.

Manusia perlu sedar bahawa Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam walaupun sebagai seorang Nabi dan Rasulullah namun baginda disetiap hari sentiasa bertaubat sebagaimana sabda baginda:

“Wahai sekalian manusia! Bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, kerana demi Allah, sesungguhnya aku bertaubat kepadaNya lebih dari tujuh puluh kali dalam sehari”.

Apabila bertaubat, bererti seseorang itu telah meninggalkan jalan orang yang sesat, terkutuk dan dimurkai Allah, kemudian kembali kepada Allah Subhanahu wa-Ta’ala dengan seluruh dimensi kesedaran di hatinya.

------
Cara-Cara Bertaubat
------

Antara cara-cara dan makna taubat menurut syara ialah:

Menyedari besarnya dosa yang dilakukan sehingga menyesalinya dan menggeruni balasannya yang akan tertimpa diakhirat kelak jika tidak bertaubat, sebagaimana sabda Rasullullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

“Menyesali (dosa) itu adalah taubat”. (H/R Ahmad dan Ibn Majah. Sahih al-Jam’i. 6802)

Berniat serta berusaha sedaya upaya menjauhi dan meninggalkan dosa yang telah dilakukan dan bertekad tidak akan mengulanginya lagi.

Meninggalkan setiap apa yang dibenci dan diharamkan oleh Allah lahir dan batin, lantas beralih kepada yang dicintai dan diredhaiNya.

Bertaubat dengan taubat nasuha sebagaimana firman Allah:

“Hai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha (taubat yang semurni-murninya), mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai”. (At-Tahrim, 8)

Sememangnya sudah tercangkup dalam agama Islam pengertian taubat. Kerana taubat adalah hakikat Islam, iman dan ihsan yang meliputi semua tingkatan ibadah, amal dan tingkah laku seorang mukmin, dari awal hinggalah kepengakhir hidupnya. Oleh itu, setiap mukmin wajib menyedari dan mengetahui hakikat taubat dan menerapkan dalam ilmu dan kehidupannya. Orang yang suka bertaubat amat mulia di sisi Allah dan dicintaiNya. Allah Azza wa-Jalla bergembira dengan taubat seseorang mukmin sehinggalah ia menjadi kekasihNya. (Rujuk: Madarajus Salikin jld. 1 hlm. 187 Ibn Qayyim) Allah berfirman:

“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang mahu bertaubat dan orang-orang yang mahu membersihkan dirinya sendiri”. (Al-Baqarah, 2: 222)

Orang yang leka atau tidak mahu bertaubat, kemudian menyerahkan nasibnya kepada qada dan qadar, maka ia adalah seorang yang amat jahil, telah meninggalkan perintah Allah, seorang yang sombong, tidak sedar diri, dan telah menzalimi darinya sendiri sebagaimana firman Allah Azza wa-Jalla:

“Dan barangsiapa yang tidak mahu bertaubat maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Al-Hujurat, 49:11)

Allah menyeru dan memerintahkan agar hambaNya yang berdosa sering bertaubat dengan taubat nasuha (taubat yang murni). Perlulah diketahui dan disedari bahawa Allah Yang Maha Pengasih dan Pengampun sentiasa menerima taubat seseorang walau bagaimanapun besarnya dosa yang telah dilakukan. Allah berfirman:

“Tidakkah mereka mengetahui, bahawasanya Allah menerima taubat hamba-hambanyaNya”. (At-Taubah, 9:104)

Bertaubat bukan sahaja merupakan perintah Allah, tetapi taubat adalah nikmat dan penghapus segala dosa sehingga tiada hadnya dosa yang diampunkan. Dosa di pagi hari terhapus lantaran taubat di waktu petang dan dosa di siang hari terhapus lantaran taubat di waktu malam. Bagitulah janji Allah di dalam firmanNya:

“Hai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai”.

“Dan Dialah yang menerima taubat dari hambaNya dan mengampunkan segala dosa dan Dia mengetahui apa yang kamu kerjakan”. (As-Syura, 43:25)

“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubatlah kepadaNya (jika kamu mengerjakan yang demikian), nescaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik (terus menerus) kepadamu sampai kepada waktu yang telah ditentukan dan Dia akan memberi kepada tiap-tiap orang yang mempunyai keutamaan (balasan) keutamannya. Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya aku takut kamu akan ditimpa siksa Hari Kiamat”. (Hud, 11:3)

“Dan hendaklah kamu meminta keampunan kepada Tuhanmu dan bertaubat kepadaNya”. (Hud, 3)

Dari Abu Musa al-Asy’ari radiallahu ‘anhu beliau menceritakan: Rasulullah bersabda:

“Sesungguhnya Allah Azza wa-Jalla membentangkan tanganNya di malam hari untuk menerima taubat orang yang berbuat dosa di siang hari dan membentangkan tanganNya di siang hari untuk menerima taubat orang yang berdosa di malam hari. Demikianlah seterusnya sehingga sampai matahari terbit dari barat (Kiamat)”. (H/R Muslim)

Demikianlah keutamaan taubat sehingga orang yang meninggalkan taubat dianggap membiarkan dirinya dalam dosa dan menzalimi dirinya sendiri. Predikat zalim hanya hilang apabila dihapuskan dengan bertaubat dan mengamalkan yang diperintah serta meninggalkan yang dilarang.

------
Syarat-Syarat Taubat
------

Mengikut Manhaj Salaf as-Soleh, antara syara-syarat taubat yang wajib dipenuhi agar taubat di terima oleh Allah Azza wa-Jalla ialah:

Berazam dan bertekad untuk meninggalkan (tidak akan mengulangi lagi) perbuatan dosa yang telah dilakukan.

Kesal (menyesali) dan berduka di dalam hati terhadap perbuatan dosa yang dibuat.

Bersegera meninggalkan dosa yang telah dilakukan semata-mata kerana Allah.

Jika dosa yang dilakukan berkaitan dengan orang lain, syaratnya ia wajib membebaskan dirinya dari hak yang bukan miliknya untuk dikembalikan kepada yang berhak atau minta dihalalkan, ini bererti jika berupa harta benda wajib dikembalikan. Jika berupa fitnah, ghibah (umpatan), penghinaan, cacian, kutukan, laknat dan kezaliman, maka wajib meminta maaf daripada orang tersebut terutama terhadap kezaliman yang dilakukan kepadanya.

------
Hukum Taubat
------

Sepakat para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf as-Soleh mengatakan bahawa: “Bertaubat dari segala dosa hukumnya wajib bagi setiap muslim lelaki dan perempuan, kerana manusia selain nabi dan rasul tidak sunyi dari dosa (tidak maksum)”.

Rasulullah bersabda:

“Setiap Bani Adam mereka itu bersalah dan sebaik-baik mereka yang melakukan kesalahan itu ialah mereka yang bertaubat”.

Hadis di atas menyatakan bahawa semulia-mulia manusia adalah yang bertaubat apabila menyedari dirinya telah melakukan dosa atau bersalah. Allah Azza wa-Jalla pula telah memerintahkan setiap mukmin agar mereka segera bertaubat, janganlah ditangguh-tangguh atau dilewat-lewatkan. Adapun antara dalil-dalil dari al-Quran tentang wajibnya segera bertaubat ialah:

“Bertaubatlah kamu sekalian wahai kaum mukminin kepada Allah semoga kamu mendapat keuntungan”. (An-Nur. 31)

Bertaubat adalah amalan para Nabi, para Rasul, para sahabat, tabi’in, tabi’ut at-tabiin (para salaf) dan orang-orang soleh. Perkara ini telah digambarkan di dalam ayat-ayat al-Quran:

“Kemudian Adam menerima beberapa kalimah dari Tuhannya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang”. (Al-Baqarah, 2:37)

Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi, orang-orang Muhajirin dan orang-orang Ansar, yang mengikuti Nabi dalam masa kesulitan, setelah hati segolongan dari mereka hampir berpaling, kemudian Allah menerima taubat mereka itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada mereka”. (At-Taubah, 9:117)

“(Iaitu) bahawasanya barangsiapa yang berbuat kejahatan antara kamu lantaran kejahilan, kemudian ia bertaubat setelah mengerjakannya dan mengadakan perbaikan, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (Al-An’am, 6:54)

“Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Dan tidaklah taubat itu diterima Allah dari orang-orang yang mengerjakan kejahatan (yang) hingga apabila datang ajal kepada seseorang antara mereka (barulah) ia mengatakan: Sesungguhnya saya bertaubat sekarang. Dan tidak (pula diterima taubat) orang-orang yang mati sedang mereka di dalam kekafiran”. (An-Nisa, 4:17-18)

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah berdoa dengan doa meminta pengampunan dan taubat sebagaimana yang berikut ini:

“Ya Tuhanku! Ampunkanlah diriku dan terimalah taubatku. Sesungguhnya Engkau adalah Maha Penerima taubat dan Maha Pemberi rahmat”. (H/R Turmizi. Dan berkata Turmizi: Hadis hasan sahih)

------
Tanda-Tanda Diterimanya Taubat
------

Petanda seseorang itu bertaubat dan telah diterima taubatnya telah dijelaskan oleh Ibnul Qayyim rahimahullah. Antara tanda-tanda tersebut ialah:

Setelah bertaubat, seseorang hamba itu lebih baik dari sebelumnya.

Terus diselubungi rasa takwa dan takut terhadap dosanya dan tidak pernah merasa aman dari siksa Allah walau sekelip mata.

Terlepas dari cengkaman dosa yang dilakukan kerana penyesalan dan rasa takutkan dosa.

Lembut hatinya setelah bertaubat dengan kelembutan yang sempurna, sehingga tunduk kepada Allah walau dalam keadaan marah dan sentiasa dalam kekhusukan. (Lihat: Madarajus Salikin. Jld. 1)

Allah Azza wa-Jalla telah menggambarkan ciri-ciri atau keadaan orang yang telah bertaubat di dalam firmanNya, bahawa mereka sentiasa beramal soleh dengan cara mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menyuruh berbuat baik dan melarang dari mengerjakan yang mungkar:

“Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji (Allah), yang melawat (mencari ilmu, berjihad, berpuasa), yang menyuruh berbuat makruf dan menegah berbuat mungkar dan memelihara hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang mukmin”. (At-Taubah, 9:112)

“Jika mereka bertaubat (mereka) mendirikan solat dan menunaikan zakat, maka (mereka itu) adalah saudara-mara mu seagama”.

Allah Subhanahu wa-Ta’ala telah menggambarkan di dalam al-Quran tentang sikap mereka yang telah bertaubat dan ikhlas dalam taubatnya, bahawa mereka bertambah kuat iman dan amalnya, memperbaiki ibadahnya dengan cara banyak beramal soleh, belajar ilmu-ilmu agama, konsisten dan sentiasa beriltizam. Firman Allah:

“Kecuali orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh, maka mereka itu akan masuk syurga dan tidak dianiaya (dirugikan) sedikitpun”. (Maryam, 19:60)

“Kecuali orang-orang yang taubat dan mengadakan perbaikan dan berpegang teguh pada (agama) mereka kerana Allah. Maka mereka itu adalah bersama-sama orang yang beriman dan kelak Allah akan memberikan kepada orang-orang yang beriman pahala yang besar”. (An-Nisa, 4:146)

------
Taubat Nasuha
------

Sebagaimana yang telah dijelaskan bahawa bertaubat nasuha atau taubat yang murni adalah dituntut oleh syara berdasarkan firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu sekalian dengan taubat nasuha (taubat yang murni)” (At-Tahrim, 8)

Ibnul Qayyim al-Jauziyah rahimahullah telah menjelaskan cara-cara taubat nasuha:

Pertama:
Meminta pengampunan (taubat) yang meliputi segala dosa-dosa maksiat tanpa ada kecualinya, sehingga tidak ada dosa yang tidak disertakan dalam taubatnya.

Kedua: Membulatkan tekad dan kejujuran hati dengan sepenuhnya supaya tidak menyiksa pada dirinya keragu-raguan, kekesalan atau menanti-nanti (masa bertaubat). Tetapi seorang hamba harus mengerahkan segala keinginan dan ketekadannya untuk segera bertaubat.

Ketiga: Memurnikan taubat dari berbagai noda dan penyakit yang mengganggu keikhlasan bertaubat.

Seterusnya memastikan agar taubat itu benar-benar dari rasa takut, kesedaran dan gentar terhadap siksa Allah, mengharapkan apa yang ada di sisiNya dan khawatir terhadap ancamanNya. Jauhilah diri dari cara taubatnya orang-orang yang hanya ingin mempertahankan maruah dan kehormatannya, kedudukannya, jawatannya, kepemimpinannya untuk memelihara kekuasan dan harta bendanya, atau demi mendapatkan pujian orang banyak, takut pada penghinaan manusia agar orang-orang yang bodoh tidak memperbodohkan dan menghinanya, atau sekadar memenuhi sifat rakusnya terhadap dunia, atau kerana muflis yang tidak berdaya lagi, atau taubatnya lantaran penyakit yang tersembunyi yang telah merosakkan kebenaran dan ketulusan taubatnya kepada Allah Azza wa-Jalla. (Lihat Madarijus Salikin Jld.1 Hlm. 178)

Ketiga-tiga perkara di atas yang dijelaskan oleh Ibn Qayyim sewajarnya difahami dan dipenuhi apabila bertaubat, kerana dengannyalah taubat nasuha seseorang itu akan diterima oleh Allah Azza wa-Jalla.

------
Dosa Umpama Penyakit Yang Merbahaya
------

Orang yang berpenyakit memerlukan ubat dan rawatan. Dosa diumpamakan penyakit rohani yang bertempat di hati sebagaimana firman Allah:

“Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya”. (Al-Baqarah, 2:10)

Taubat merupakan terapi, pengubat dan penghapus segala dosa (penyakit) dan pembersih kekotoran hati yang dicemari oleh dosa. Perkara ini telah dijelaskan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam disebuah hadis baginda:

“Dari Abu Hurairah radiallahu anhu, beliau berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah bersabda: Sesungguhnya jika seorang mukmin itu melakukan dosa, maka dosa itu menjadi noktah hitam di dalam hatinya. Lalu jika dia bertaubat, melepaskan dosanya dan memohon keampunan, maka hatinya menjadi bersinar. Yang demikian itulah tutupan yang disebut Allah Azza wa-Jalla dalam kitabNya: Sekali-kali tidak (demikian)! Sebenarnya dosa yang selalu mereka lakukan itu menutup hati mereka”. (Ayat di surah al-Muthaffifin, 14. Menurut At-Tirmizi hadis ini hasan sahih. Minhajul Qasisin. Ibnu Qudamah. Hlm. 388)

Al-Hasan radiallahu ‘anhu pula berkata:

“Kebaikan adalah cahaya di dalam hati dan kekuatan bagi tubuh. Sedangkan dosa merupakan kegelapan di dalam hati dan kelesuan bagi tubuh”. (Lihat: Minhajul Qasidin. Hlm. 388. Ibnu Qudamah)

Oleh itu, janganlah dibiarkan hati gelap, lesu dan tersiksa kerana berpenyakit, ubati dan rawatlah hati dengan banyak meminta pengampunan kepada Allah Yang Maha Pengampun dengan segera dengan cara bertaubat.

------
Taubat Nasuha Menghapuskan Semua Dosa
------

Menurut ulama tafsir, semua dosa akan diampunkan oleh Allah Subhanahu wa-Ta’ala lantaran taubat nasuha. Sama ada yang besar seperti kufur, syirik atau murtad dan tercangkup dosa-dosa yang lebih rendah dari itu juga akan terampun.

Adapun keraguan bahawa dosa-dosanya terlalu banyak untuk diampunkan oleh Allah sehingga berat untuk bertaubat, maka Seyikh Muhammad Soleh al-Munajjid berkata punca-puncanya ialah dikeranakan oleh:

Ketidak-yakinan seseorang terhadap luasnya rahmat Allah dan kasih sayangNya.

Lemahnya iman dan keyakinannya terhadap kuasa Allah yang mampu mengampuni keseluruhan dosa makhlukNya.

Kurang berharap, berdoa, mengingati dan tawadhu’ kepada Allah.

Tidak berkeyakinan bahawa taubat itu pasti menghapuskan semua jenis dosa disebabkan rahmat Allah. (Lihat: اريد ان اتوب ولكن Muhammad Soleh al-Munajjid)

Allah tidak pernah merasa rugi atau kekurangan jika mengampunkan segala dosa hambaNya yang meminta pengampunan. Pengampunan Allah Azza wa-Jalla sentiasa diberikan kepada hambaNya yang bertaubat kerana rahmatNya meliputi segala-galanya. Firman Allah Subhanahu wa-Ta’ala:

“Dan rahmatKu meliputi segala sesuatu”. (Al-A’raf, 156)

“Katakanlah! Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan semua dosa”. (Az-Zumar, 53)

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah bersabda:

“Orang yang bertaubat dari dosanya bagaikan orang yang tidak mempunyai dosa sama sekali”. (H/R Ibn Majah. Sahih al-Jami’. 2008)

------
Pintu Taubat Sentiasa Terbuka
------

Pintu taubat sentiasa terbuka kecuali setelah roh berada di kerongkongan (sakaratul maut). Dan taubat belum tertutup sebelum mata hari terbit dari barat (Kiamat). Sebagaimana sabda Rasulullah sallahu ‘alaihi wa-sallam:

“Sesiapa yang bertaubat kepada Allah sebelum rohnya berada di kerongkongan (Sakaratul maut), maka Allah menerima taubatnya”. (H/R Ahmad dan Turmizi. Sahihul Jami’ 6132)

“Sesiapa yang bertaubat sebelum matahari terbit dari barat, maka Allah menerima taubatnya”. (H/R Muslim)

Segala hujjah berupa ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis sahih dan penjelasan para ulama yang tertera di atas, semuanya menunjukkan bahawa pintu dan peluang untuk bertaubat sentiasa dibuka luas oleh Allah kepada sekalian hamba-hambaNya.

Tidak ada perbuatan durjana, keji dan mungkar yang tidak diampunkan jika pelakunya bertaubat nasuha, oleh itu rebutlah peluang dan kesempatan ini sebelum menemui kematian yang menakutkan.

Semoga semua penjelasan di atas dapat dicernakan di hati, difahami dan diamalkan. Dan akhir sekali, dengan penuh harapan kita bermohon kepada Allah Yang Maha Agung agar memberikan kepada kita kemudahan untuk memperbaiki amalan kita, menjauhkan kita dari maksiat dan menjadikan kita insan yang berkemampuan dan dimudahkan untuk beramal soleh, bertaubat nasuha dan bertakwa. Amin Ya Rabbal ‘Alamin!

Khamis, Julai 26, 2007

MENTAATI PEMERINTAH/PEMIMPIN ADALAH SIKAP PARA AHLUS SUNNAH

MENTAATI PEMERINTAH/PEMIMPIN ADALAH SIKAP PARA AHLUS SUNNAH

http://an-nawawi.blogspot.com

Pada era ini, banyak sekali wujud kelompok-kelompok kecil yang mendakwakan diri sebagai pejuang Islam yang sebenar. Yang mana, setiap satunya mendakwakan bahawa kelompok merekalah yang benar dalam perjuangan menegakkan agama yang suci ini (Islam).

Namun, amat dikesalkan apabila kebanyakan daripada kelompk-kelompok ini bertindak meninggalkan golongan pemerintah dan pemimpin mereka. Pemerintah dan pemimpin di sini adalah difokuskan kepada pemerintah/pentadbir sesebuah negara.

Kelompok-kelompok ini sering melakukan banyak tindakan tertentu yang mana pada hakikatnya tidak wajar dilakukan oleh mereka yang mencintai Islam yang haq yang berada di atas manhaj/jalan kebenaran. Kebanyakan mereka meninggalkan tuntutan dan suruhan Allah serta Rasulullah dalam urusan mentaati pemerintah dan penguasa. Mereka meninggalkan hal urusan menasihati pemerintah/pemimpin melalui jalan yang ma’ruf. Mereka bertindak menjauhi para penguasa negara, lalu membiarkan para penguasa berada dalam keadaan terumbang-ambing dan jahil dalam informasi/hal-ehwal agama. Malah lebih teruk/malang lagi apabila mereka menjadi kelompok yang begitu kuat dan lantang dalam hal menetang pemerintah. Yang mana sehingga mereka sanggup memburuk-burukkan organisasi pentabiran negara mereka sendiri, dan bertindak menyebarkan ‘aib pemerintahan negara kepada khalayak ramai/rakyat. Yang mana, sebenarnya tindakan seperti ini hanya akan mendatangkan natijah/akibat yang lebih buruk lagi apabila kesalahan/kelompangan kerajaan didedahkan kepada khalayak umum. Ia akan menjadikan pelbagai pihak dari kalangan musuh-musuh Islam/negara tertentu akan mengambil peluang/kesempatan untuk mengganggu gugat urusan negara lalu menjadikan negara mengalami banyak ancaman dan kesukaran dalam banyak skop. Lalu akan menimbulkan lebih banyak lagi krisis yang buruk dalam hal-ehwal pemerintahan.

Sebenarnya, rasa tidak puas hati terhadap pemerintahan sesebuah kepimpinan dalam sesebuah negara hanya akan menghilangkan keyakinan terhadap pemerintah itu sendiri. Sedangkan jika diteliti dan dicermati dengan neraca as-Sunnah, hal mentaati pemerintah hendaklah dengan penuh keikhlasan, hikmah, dan bijaksana, dan bukanlah kerana ada tujuan atau ada niat sesuatu yang lain, apatah lagi dengan melakukan tindakan-tindakan tertentu yang kebanyakannya bertunjangkan emosi/kemarahan sebagai dasar. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

“Dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Tiga golongan yang tidak diajak berbicara oleh Allah pada Hari Kiamat dan tidak dilihatnya serta tidak diakuinya, bahkan bagi mereka siksa yang sangat pedih iaitu:

Pertama: Seseorang yang mempunyai air melimpah di tengah padang pasir dan tidak mahu memberi minum kepada seorang ibnu sabil yang kehausan.

Kedua: Seseorang menjual jualannya kepada orang lain setelah waktu Asar, kemudian bersumpah dengan nama Allah dan mengatakan bahawa dia pasti akan mengambilnya dengan harga sekian. Lalu dia (pembeli) percaya sahaja, padahal kenyataannya tidaklah demikian.

Ketiga: seseorang membuat janji setia kepada pemimpin kerana tujuan duniawi semata, bila diberi sesuatu dia menepati janji setianya, tetapi jika tidak diberi, maka dia pun ingkar (mengkhianati) pada janji setianya (kerana tidak puas hati)”. (Hadis Riwayat Bukhari, 13/201 dan Muslim, 1/103)

Dalam setiap pemerintahan, termasuk pemerintahan Islam pasti ada pengkhianat dan musuh, sama ada musuh dari dalam atau dari luar. Adapun musuh dari dalam adalah musuh dalam selimut, iaitu mereka yang didalangi oleh golongan pengkhianat dan pemberontak. Golongan seperti ini terkenal dengan sikap mereka yang sentiasa berusaha mencari ruang untuk memenuhi kepentingan kumpulannya walaupun boleh menghancurkan agama, negara dan ummah demi mencapai tujuan yang tidak sewajarnya iaitu menjatuhkan pemerintah dan pemimpin Islam.

Menentang musuh-musuh Islam adalah wajib, cara yang efisien ialah melalui rakyat yang mencintai pemimpin mereka. Namun, rakyat tidak mungkin taat, menghormati, mencintai, bekerjasama dan melindungi pemimpin Islam kecuali ditarbiyah oleh para ulama melalui manhaj dan bimbingan yang sempurna, iaitu menasihati rakyat dengan al-Quran, al-Hadis, atsar para sahabat, fatwa-fatwa para ulama terdahulu serta melalui nasihat para ulama muktabar yang banyak terdapat di dalam kitab-kitab turath/terdahulu/terawal.

Menurut ahlus sunnah wal-Jama’ah umat Islam sentiasa diwajibkan bersatu dan sentiasa komitmen dan komited mematuhi kepimpinan seorang pemimpin (penguasa) Islam. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

“Barangsiapa melepaskan ketaatan dari pemimpin, dia akan berjumpa dengan Allah pada hari kiamat tanpa mempunyai hujjah (alasan)”. (Hadis Riwayat Muslim. Kitabul Imarah, syarah Nawawi 12/240)

Tiap-Tiap orang yang berkhidmat akan diberi bendera pada hari kiamat, lalu dikatakan padanya bahawa inilah pengkhianatan si Fulan (terhadap pemimpin)”. (H/R Muslim dan Turmizi)

Berkata al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah:

“Dalam hadis ini ada kewajipan untuk taat kepada penguasa atau pemimpin yang telah diangkat, dan dilarang memberontak kepadanya walaupun dia zalim serta sewenang-wenangnya dalam melaksanakan ketetapan hukum, kerana kefasikan pemimpin bukan sesuatu yang membolehkan untuk memberontak kepadanya”. (Fathul Bari jld. 13 hlm. 68)

Syeikhul Islam Ibn Taimiyah rahimahullah berkata:

“Taat kepada Allah dan Rasul-Nya wajib bagi setiap Muslim, taat kepada penguasa merupakan penguat ketaatan kepada Allah. Barangsiapa yang taat kepada Allah dan Rasulnya dengan menjalankan ketaatan kepada penguasanya, pahalanya dijamin oleh Allah. Tetapi kalau taat kepada penguasa dalam hal-hal yang menguntungkan sahaja, bila diberi hal yang memenuhi kepentingannya ia taat dan sebaliknnya jika tidak diberi dia tidak akan taat, orang yang seperti itu pada hari akhirat tidak punya bahagian (pahala)”. (Majmu’ al-Fatawa. 35/16-17. Ibnu Taimiyah)

Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam mengajar umatnya agar sentiasa memuliakan penguasa, pemerintah atau pemimpin. Baginda bersabda:

“Barangsiapa yang memuliakan penguasa (kerana) Allah (di atas bumi), maka Allah akan memuliakannya pada Hari Kiamat”. (Hadis Riwayat Ibnu Abi Asim dalam as-Sunnah. Hlm. 275)

Imam Abul Wafa Ibnu Aqil al-Hambali pernah dikutuk (dicela) kerana mencium tangan penguasa (pemimpin) ketika bersalaman. Kemudian beliau menjelaskan mengapa beliau berbuat demikian:

“Bagaimana pendapatmu bila aku bersalaman dengan ayahku kemudian aku mencium tangannya, apakah yang demikian itu salah ataukah menjatuhkan kedudukannya? Mereka menjawab tidak salah! Beliau berkata lagi: Seseorang ayah telah mendidik anaknya secara khusus sedangkan penguasa telah mendidik rakyat secara umum, maka dia lebih berhak untuk dihormati”. (Badi’ul Fawaid. Ibnu Qaiyim)

Pendirian dan sikap Ahli Sunnah wal-Jamaah yang sebenar menyatakan wajibnya taat kepada pemimpin, penguasa dan mereka yang menguruskan urusan kaum Muslimin. Haram mengkhianati mereka terutamanya dalam urusan zakat, jihad, memerangai kesesatan dan kekufuran. Wajib bersolat di belakang mereka dan di belakang orang-orang yang menjadi wakilnya di masjid-masjid yang telah disediakan oleh penguasa Islam. Amat keji perbuatan mereka yang menjadi pengacau, seperti menghasut rakyat untuk mengkhianati pemerintah dalam hal-hal yang telah disebutkan di atas.

Malahan, kita sebenarnya sebagai seorang muslim yang sebenar yang mana berdiri di atas manhaj ahlus sunnah wal-Jama’ah, adalah wajib untuk bersama-sama di dalam jam’ah pemerintah samaada di ketika susah, sukar, mahupun senang.

Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam telah memberi peringatan bahawa keluar dari jamaah, kepimpinan atau pemerintah Islam, melakukan penentangan terhadapnya dan bergabung dengan pihak-pihak tertentu bagi tujuan menjatuhkan pemerintah/penguasa adalah suatu bentuk perbuatan yang mengundang pelbagai perpecahan yang mana akan membawa kepada ancaman neraka sebagaimana sabda baginda Rasulullah s.a.w.:

“Ketahuilah, sesungguhnya orang-orang sebelum kamu dari ahlu kitab telah berpecah belah menjadi 72 golongan. Dan sesungguhnya agama ini (Islam) akan berpecah-belah menjadi 73 golongan, 72 golongan tempatnya di dalam neraka dan satu golongan di dalam syurga, iaitu al-Jama’ah.” (Hadis Riwayat Abu Duad, Ahmad, ad-Darimi, al-Ajury, al-Lalikaiy. Disahihkan oleh al-Hakim, dan disepakati oleh Imam Az-Zhahabi)

Dalam riwayat yang lain disebutkan; “Semua golongan tersebut tempatnya di Neraka kecuali satu (iaitu) yang aku dan para sahabatku meniti di atasnya.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, dinilai Hasan oleh al-Albani)

Ketika Rasulullah memberitahukan bahawa umat ini akan terpecah menjadi 73 golongan yang kesemuanya di neraka, kecuali satu golongan. Baginda Rasulullah ditanya tentang perihal siapa yang satu itu..., lalu baginda Rasulullah s.a.w. menjawab;

“Mereka adalah orang yang berada di atas ajaran yang sama dengan ajaranku pada hari ini, dan para sahabatku.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Menurut Sheikh Soleh al-Fauzan di dalam Kitab Tauhid-nya (التوحيد للصف الاول العالي), “kebenaran sabda baginda Rasulullah s.a.w. tersebut telah terbukti ketika sebahagian manusia membangunkan aqidah dan manhaj mereka di atas selain kitab Allah dan sunnah yang sahih, iaitu dengan mengambil landasan ilmu kalam (mantiq dan aqal) yang diwarisi daripada falsafah Yunani dan Romawi. Maka atas sebab itulah, terjadinya pelbagai penyimpangan dan perpecahan dalam hal aqidah yang mana seterusnya mengakibatkan pecahnya umat dan retaknya masyarakat Islam kepada pelbagai jenis firqah dan manhaj beragama yang berbeza-beza.”

Oleh itu, marilah kita kembali semula merujuk kepada al-Qur’an dan as-Sunnah dengan method/manhaj yang benar dalam segala urusan kehidupan kita termasuklah dalam hal-ehwal urusan perhubungan terhadap pemerintah/penguasa.

Sabda Rasulullah di dalam hadis yang lain;

“Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kalian berpegang kepada sunnahku dan sunnah al-Khulafa al-Rasyidin al-Mahdiyyin (mendapat petunjuk). Berpeganglah dengannya dan gigitlah ia dengan geraham. Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan (dalam agama) kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bid‘ah dan setiap bid‘ah adalah sesat. (Diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Tirmizi, berkata al-Tirmizi: “Hadis ini hasan sahih”. Juga diriwayatkan oleh Ibn Majah dan al-Darimi dalam kitab Sunan mereka. Demikian juga oleh Ibn Hibban dalam Shahihnya dan al-Hakim dalam al-Mustadrak dengan menyatakan: “Hadith ini sahih”. Ini dipersetujui oleh al-Imam al-Zahabi (Tahqiq al-Mustadrak, 1/288))

Allah mengharamkan orang-orang yang beriman berpecah dari pemerintahan Islam, kerana pemerintah dianggap sebagai pengikat jamaah Islamiyah. Allah s.w.t. berfirman:

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai”. (Ali Imran 3:103)

Imam Al-Qurtubi rahimahullah telah menafsirkan dalam kitab tafsirnya tentang penafsiran “Tali Allah” dengan “Al-Quran” atau “Jamaah”. (al-Jami’ Li Ahkamil Quran. 4/159. Daarul Qutub) Kemudian beliau menegaskan:

“Sesungguhnya perpecahan hanya akan membawa kepada kehancuran, sedangkan jamaah akan menghantar kepada keselamatan. Semoga Allah merahmati Ibnu Mubarak yang telah menjelaskan: Sesungguhnya jamaah adalah Tali Allah, maka berpegang teguhlah dengannya”. (Al-Jami’ Li Ahkamil Quran. 4/159. Daarul Qutub)

Berkata Ibnu Abi Hatim rahimahullah:

“Ayahku menceritakan kepadaku, Amr bin Ali as-Shairafi telah menceritakan bahawa Abdul Rabbuh bin Bariq al-Hanafi telah menceritakan bahawa Simak bin Al-Walid al-Hanafi berjumpa Ibn Abbas di Madinah lalu berkata kepadanya:

Bagaimana cara menghadapi penguasa (pemerintah) yang telah menzalimi kita, mencela dan merampas sedekah kita, bukankah kita harus mencegah mereka? Ibnu Abbas menjawab: Jangan! Biarkanlah mereka wahai Hanafi! Lalu beliau menambah: Wahai Hanafi! Hendaklah bersama al-Jamaah (pemimpin Islam/penguasa), hendaklah kamu jaga persatuan (jamaah) sebab hancurnya umat dahulu kerana perpecahan (berlepas dari pemimpin atau penguasa), apakah kamu tidak mendengar firman Allah Subhanahu wa-Ta’ala: Dan berpeganglah kamu kepada tali (agama/jamaah) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai”. (Tafsir Ibnu Abi Hatim 2/455. Tahqiq Dr. Hikmat Basyir Sayuti. (2). Lihat: Ad-Darul Mansur 2/285-286. Darul Fikr)

Imam at-Tabari rahimahullah menafsirkan:

“Sesungguhnya Allah tidak menyukai perpecahan. Dia telah menjelaskan kepadamu, memperingatkan dari berpecah dan melarang dengan tegas”. (Jami’ul Bayan ‘An Ta’wili Ayi al-Quran. 4/322)

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah berkata:

“Tali Allah telah ditafsirkan dengan beberapa tafsiran, antaranya ialah kitab Allah, agama Allah, Islam, ikhlas, perintah Allah, janji Allah, taat kepada-Nya serta taat kepada jamaah (pemerintah)”. (Minhajus Sunnah an-Nabawiyah 5/134 Jamiatul Imam Saudi Arabia)

Ayat al-Quran, hadis-hadis sahih, tafsiran ayat dan fatwa para ulama terdahulu yang dibawakan di atas ini menunjukkan bahawa perpecahan adalah perbuatan yang mungkar dan malah boleh dianggap sebagai bid’ah iaitu perkara yang diada-adakan dalam agama yang mana kebanyakan kelompok yang menyelisihi pemerintah kerapkali berhujjah dengan mengambil slogan atas nama Islam. Bid’ah pula jelas merupakan perbuatan yang mendorong ke arah kesesatan dan pelakunya diancam dengan neraka sebagaimana sabda baginda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

"Berhati-hatilah kamu dengan hal yang baru (yang sengaja diada-adakan) dalam agama, sesungguhnya setiap yang diada-adakan itu adalah bid'ah dan setiap yang bid'ah itu sesat dan setiap yang sesat itu ke neraka". (H/R Ahmad (1653). Turmizi (2600). Abu Daud (3991). As-Sunnan Ibn Majah (42). Dan hadis riwayat Muslim dalam Khutbatul Hajah)

Salah satu punca kehancuran sesuatu umat adalah bermula daripada angkara tidak mentaati pemimpin mereka dan berpecah dari kelompok pemerintah. Ia juga menjadi penyebab kekufuran dan salah satu dari perbuatan bid'ah yang menakutkan kerana pada hakikatnya secara umum “Setiap bid’ah adalah sesat”. (Hadis dari Irbadh bin Sariyah diriwayatkan oleh Muslim dalam “Khutbatul Hajah” dan Turmizi) Dan “Bid'ah merupakan jambatan menuju kekufuran. Kerana bid’ah juga adalah kegemaran Iblis sebagaimana dijelaskan oleh Ibnu Ja'ad rahimahullah:

"Bid'ah itu lebih digemari (dicintai) oleh iblis daripada maksiat, kerana (pelaku) maksiat masih ada menaruh harapan untuk bertaubat dari maksiatnya. Adapun pelaku bid'ah pula tidak dapat diharapkan untuk bertaubat". (Atsar ini diriwayatkan oleh Ibn Ja'ad dalam musnadnya No. 1885)

Menurut Imam As-Syatibi, pada umumnya setiap bid’ah amat buruk dan keji. Selanjutnya beliau berkata:

"Tidaklah diragukan lagi bahawa bid'ah itu terhitung dalam perbuatan maksiat". (الاعتصام Jld. 2. Hlm. 60. As-Syatibi)

Mereka yang berpecah (bercerai-berai), keluar dari pemerintah atau penguasa Islam adalah mengingkari perintah Allah dan Rasul-Nya. Allah mengancam mereka melalui firmanNya:

"Maka awaslah orang-orang yang menyalahi perintahnya (Rasulullah) bahawa mereka akan ditimpakan fitnah atau ditimpa oleh siksa yang pedih". (an-Nur, 24:63)

Allah Subhanahu wa-Ta’ala berfirman:

“Hai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan Taatilah Rasul-(Nya), dan pemimpin antara kamu”. (an-Nisa’ 4:59)

Baginda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam diutus semata-mata untuk ditaati sebagaimana firman Allah:

"Dan tidak Kami utus seorang Rasul melainkan untuk ditaati dengan seizin Allah". (an-Nisa, 4:64)

Julukan mubtadi’ (مُبْتَدِعٌ) "Pelaku, Aktivis atau Pembuat Bid'ah” diberikan kepada sesiapa sahaja yang melakukan bid’ah dengan sedar. Antara bid'ah yang menjadi punca fitnah yang paling besar ialah perbuatan memecah-belahkan jamaah dan kesatuan umat, iaitu dengan mengajak umat meninggalkan ketaatan kepada pemimpin Islam. Rasulullah telah memberi peringatan tentang hal ini dengan sabdanya:

"Barangsiapa yang melihat pada amirnya (pemimpinnya) suatu yang dibencinya hendaklah dia tetap bersabar atasnya. Sesungguhnya tidaklah seseorang itu keluar dari (mentaati) pemerintahnya walau sejengkal kemudian ia mati dalam keadaan tersebut, maka matinya itu mati dalam keadaan jahiliyah". (Hadis Riwayat Muslim. Lihat: Sunan Abi 'Asim. No. 1101)

"Telah bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam: Sesiapa yang meninggalkan ketaatan kepada (pemerintah Islam) dan meninggalkan jamaah (keluar dari mentaati pemerintah), kemudian ia mati, maka matinya adalah kematian jahiliyah". (مجموع الفتوى jld. 35. Ibn Taimiyah)

Ibnu Abi Syaibah meriwayatkan dari Suwaid bin Ghaflah, dia berkata:

Umar bin al-Khattab radiallahu ‘anhu berkata kepadaku: Hai Abu Umaiyah! Sesungguhnya saya tidak tahu apakah saya akan berjumpa lagi dengan anda selepas tahun ini. Bila kamu diperintah oleh seorang hamba Habsyi yang terpotong telinganya, maka dengar dan taatilah dia, walaupun dia memukulmu dan bersabarlah. Apabila dia mengharamkan sesuatu kepadamu dan hendak mengurangi agama kamu, maka bersabarlah lalu katakan!: Saya dengar dan saya taat dalam urusan darahku, bukan dalam urusan agamaku. Janganlah kamu berpisah dari jamaah”. (Al-Musannaf 12/544. Lihat: as-Sunnah hlm. 111. Lihat: asy-Syariah hlm. 40 oleh Al-Ajuri. Dan lihat: Al-Amwal 1/76. Ibnu Zanjawiyah)

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

"Bertakwalah kamu sekalian kepada Allah, dan telah diwajibkan kepada kamu mendengar dan taat walaupun (dipimpin) oleh seorang hamba Habsyi". (Hadis sahih riwayat Abu Daud)

"Dari Abi Zar radiallahu 'anhu: Sesungguhnya kekasihku (Rasulullah) berwasiat kepadaku agar aku mendengar dan mentaati (pemimpin), sekalipun ia seorang hamba sahya. (Di riwayat yang lain) sekalipun seorang hamba sahya dari Habsyah". (Mutaffaq 'alaihi)

“Sesungguhnya orang yang mendengar lalu taat (kepada pemimpin), dia tidak diminta memberi alasan (di akhirat). Sesungguhnya orang yang mendengar lalu menentang (pemimpinnya), dia tidak mempunyai alasan (di akhirat)”. (As-Sunnah hadis riwayat Abi Asim dan juga dari Adi bin Hatim. Lihat: Musnad Imam Ahmad 4/9. Majmu’uz Zawaid 5/271)

Ibnu Masoud radiallahu ‘anhu dalam khutbahnya menjelaskan:

“Wajib bagi kamu untuk sentiasa taat dan beristiqamah dengan jamaah, kerana itulah tali Allah yang kita diperintahkan untuk berpegang teguh dengannya”. (Muamalatul Hukkam fi-Dhauli al-Kitab was-Sunnah. Cetakan Kelima. 1996M-1417H. Abdus Salam bin Barjis bin Nasir Ali Abdul Karim. Saudi Arabia. Riyad)

Dari Adi Bin Hatim radiallahu ‘anhu: Kami bertanya: Wahai Rasulullah! Kami tidak menanyakan kepadamu tentang taat kepada pemimpin yang bertaqwa, tetapi tentang orang yang berbuat demikian dan demikian (kezaliman atau melakukan yang keji). Maka Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam menjawab: Bertaqwalah kamu kepada Allah dan dengar serta taatlah (kepada pemimpin)”. (Zilalul Jannah fi Takhrijus Sunnah 2/508. al-Albani menyatakan hadis ini adalah hadis yang sahih. Lihat: as-Sunnah Ibnu Abi Asim)

Adapun dalil-dalil dari hadis tentang wajibnya taat kepada pemimpin selain dalil-dalil yang lalu ialah:

“Barangsiapa taat kepada penguasaku maka dia telah taat kepadaku. Barangsiapa yang bermaksiat kepada penguasaku, maka dia telah bermaksiat kepadaku”. (Muttafaq ‘Alaihi. Dari jalur Abu Hurairah. Lihat: al-Muzakkir wat-Tazkir waz-Zikra. Hlm. 42-43. Ibnu Abu Asim)

Imam Bukhari telah mengkhususkan satu bab tentang hadis ini dalam pembahasan al-Ahkam dari kitab sahihnya, iaitu bab firman Allah yang bermaksuad: “Taatilah Allah dan Rasulnya serta Ulil Amri antara kamu”.

Berkata al-Hafiz Ibn Hajar rahimahullah:

“Di dalam hadis ini disebutkan tentang wajibnya mentaati para pemimpin, tetapi ia terbatas dalam hal-hal yang bukan maksiat”. Dan lafaz dari Muslim:

“Kecuali apabila kamu melihat bahawa pemimpin itu telah kafir secara terang-terangan dengan bukti (kenyataan dalil) dari Allah”. (Sahih Muslim 3/1470)

Taatilah seruan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dalam sabda baginda:

“Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam menyeru kami (agar patuh dan taat), maka kami pun membaiatnya, dan baginda meminta dari kami adalah: Agar kami membaiatnya atas dasar mendengar dan taat dalam suka maupun duka, dalam keadaan susah ataupun senang dan dalam keadaan tidak kita sukai atau kita suka serta supaya kita tidak merampas kekuasaan dari ahlinya. Kemudian baginda bersabda: Kecuali kamu melihat kekafiran yang telah nyata oleh kamu dengan pembuktian dari Allah Ta’ala (dalil dari al-Quran yang membuktikan kekafirannya)”. (Syarah Muslim. Kitabul Imarah, bab Wujubu at-Taah al-Umara fi Ghairi Masiyah wa-Tahrimuha fi al-Masiyah. Oleh Imam Nawawi. H/R Muslim)

Para ulama ahlus sunnah wal-jama’ah mewajibkan taat kepada para pemimpin Islam dan bersatu di bawah kepimpinan mereka selagi mereka tidak menyatakan (mengiklankan) secara terang-terangan kekafirannya di khalayak ramai. Atau selagi tidak ada pembuktian melalui ukuran (penilaian) dari al-Quran atau as-Sunnah yang membuktikan ia telah benar-benar kafir. Dalam hal ini telah berkata Abu Abdillah Ahmad bin Muhammad asy-Syihhy:

“Sesungguhnya akidah kami sebagai Ahli Sunnah wal-Jamaah terhadap hukama (para pemimpin Islam negara) kami, bahawa kita tidak boleh keluar dari ketaatan kepada mereka, walaupun pada mereka terdapat kezaliman, kepalsuan (pembohongan) kefasikan dan tidak berlaku adil. Kami wajib taat selagi mereka tidak mengumumkan secara terang-terangan di khalayak ramai bahawa mereka tidak menghendaki dan tidak menyukai syariat Allah Ta’ala, kami wajib taat selagi mereka tidak kafir terhadap Allah dengan kekafiran yang dapat dibuktikannya dengan jelas melalui petunjuk dari Allah Ta’ala dan dalil dari kitab dan sunnah. Maka jika seandainya mereka berbuat demikian, bolehlah untuk keluar dari ketaatan terhadap mereka denga syarat yang kedua, iaitu kita memiliki kemampuan dan kekuasaan untuk menggulingkan mereka, tanpa mengakibatkan kerosakan yang lebih parah dari yang pertama. Kalau tidak demikian, kami Ahli Sunnah wal-Jamaah bekerjasama dengan pemimpin Islam dengan doa dan nasihat kepada mereka dengan cara hikmah, penuh bijaksana dan nasihat yang baik, tidak dengan revolusi dan pemberontakan”. (Hiwar Hadi Ma’ Ikhwani. Hlm. 30. Abi Abdullah Ahmad bin Muhammad bin Asy-Syihhy, Cetakan Pertama. 1415H-1995M)

Seterusnya beliau berkata:

“Dan kita taat kepada mereka dalam suka ataupun duka, kecuali dalam kemaksiatan, maka tidak ada ketaatan kepada mereka. Maka kami pun memberi peringatan kepada orang yang keluar dari ketaatan terhadap mereka dari kalangan kaum muslimin”. (Hiwar Hadi Ma’ Ikhwani. Hlm. 30. Abi Abdullah Ahmad bin Muhammad bin Asy-Syihhy, Cetakan Pertama. 1415H-1995M)

Perpecahan adalah dianggap sebagai sebahagian dari perbuatan bid’ah yang diharamkan oleh syara’. Sehingga orang yang menyebabkan perpecahan diperintahkan agar dibunuh sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

“Sesungguhnya suatu ketika nanti akan terjadi Hanat dan Hanat**. Barangsiapa yang ingin memecah-belahkan barisan umat ini (kaum Muslimin) sedangkan dalam keadaan kukuh (satu jamaah). Maka bunuhlah siapapun dia”. (Hadis Riwayat Muslim 3/1478/1480)

** (Yang dimaksudkan “Hanat dan Hanat” di dalam hadis ini ialah: “Fitnah dan bid’ah”. Lihat: Syarah Muslim oleh Nawawi 12/241)

Hanat mempunyai makna yang banyak, tetapi dimaksudkan di hadis ini ialah fitnah dan bid’ah. (Hadis Riwayat Muslim 3/1478/1480). Maksudnya ialah fitnah yang muncul silih berganti di muka bumi ini dan terjadinya kerosakan dan fitnah kerana merebut kuasa dan mengejar kedudukan. Menurut al-Qari, bahawa “Hanat” adalah kejahatan dan kerosakan yang muncul kemudian (setelah kewafatan Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam, pent.). Iaitu yang keluar dari sunnah dan jamaah. (Mirqatul Mafatih. 7/258-259) Dan amat jelas, sesiapa yang keluar dari sunnah dan jamaah mereka adalah benar-benar ahli bid’ah.

-------
SURUHAN UNTUK MENTAATI PEMIMPIN DI MANA ANDA BERADA DI BAWAH PENTADBIRANNYA
-------

Dari Ziyad bin Kusaib al-Adawi dia berkata: Aku pernah berada di bawah mimbar Ibnu Amir bersama Abi Bakrah, ketika itu dia berkhutbah dengan mengenakan pakaian yang sangat tipis, dengan sepontan Abu Bilal berkata: Lihatlah penguasa kita memakai pakaian orang fasik. Maka Abu Bakrah berkata: Diamlah engkau! Saya telah mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Barangsiapa menghina penguasa Allah di bumi, nescaya Allah akan menghinakannya” (Hadis Riwayat Tirmidzi)

“Ibnu Abi Asim menyatakan, telah menceritakan kepada kami Hadiyyah bin Abdil Wahab, telah menceritakan kepada kami al-Fadl bin Musa, beliau menceritakan kepada kami dari Husain bin Waqid, dari Qais bin Wahab dari Anas bin Malik dia berkata: Para pembesar (penguasa) kami dari kalangan sahabat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah melarang kami tentang beberapa hal: (1) Jangan kamu mencela (menghina) pemerintah (penguasa). (2) Jangan berbohong dengannya dan (3) Jangan menentangnya tapi bersabarlah, serta takutlah kamu kepada Allah, maka sesungguhnya perkara-Nya itu dekat. (As-Sunnah 2/488. (Sanadnya baik, semua perawinya siqah))

“Dari as-Sahmi berkata: Aku mendatangi Abu Ummah, lantas dia berkata: Janganlah kamu mencela/mengutuk/menghina al-Hajjaj, kerana dia adalah penguasamu dan bukan penguasaku. (Perkataan beliau: Dia bukan penguasaku, kerana Abu Ummah tinggal di Syam sedangkan al-Hajjaj Gabenor di wilayah Iraq”. (Riwayat Bukhari. (Rujuk: At-Tarikhul Kabir 7/18)

"Akan berlaku selepas peninggalanku nanti para pemimpin yang tidak mengikut petunjukku, tidak mengikut sunnahku dengan panduan sunnahku. Akan muncul pula di kalangan kamu orang-orang yang hatinya adalah hati syaitan (manusia berhati syaitan). Aku (Huzaifah) bertanya: Apakah harus aku lakukan jika aku menemuinya? Baginda bersabda: Hendaklah kamu mendengar dan taat kepada pemimpin walaupun dia memukul punggungmu dan merampas harta-bendamu". (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

"Dari Wail radiallahu 'anhu berkata: Kami bertanya: Wahai Rasulullah! Bagaimana pendapatmu jika kami mempunyai pemimpin yang menahan hak kami dan mereka meminta hak mereka dari kami? Baginda menjawab: (Sewajarnya kamu) sentiasa mendengar dan mentaati mereka kerana hanyalah atas mereka apa yang mereka kerjakan dan atas kamu apa yang kamu kerjakan". (Hadis Riwayat Muslim, 1846)

Dari Abdullah bin Masoud radiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

“Sesungguhnya akan berlaku selepas peninggalanku sikap pemerintah yang merampas harta kamu dan berbagai-bagai perkara yang kamu ingkari. Para sahabat bertanya: Apakah yang engkau perintahkan pada kami wahai Rasulullah!? Baginda bersabda: Tunaikanlah kewajipan kamu dan berdoalah kepada Allah untuk mendapatkan hakmu”. (Hadis Riwayat Bukhari 13/5 & Muslim 3/1472)

Imam Nawawi berkata tentang hadis di atas ini:

“Dalam hadis ini terdapat suatu perintah supaya mendengar dan taat, walaupun Si penguasa zalim dan kejam. Hak untuk ditaati tetap wajib dijunjung, tidak boleh memberontak kepadanya. Bahkan semestinya tetap bertaqarrub dan berdoa kepada Allah untuk menghilangkan kejahatannya dan menolak keburukannya”. (Lihat: Syarah Muslim 12/232. an-Nawawi)

Ibnu Allan rahimahullah pula berkata:

“Pada hadis ini ada perintah supaya bersabar menghadapi takdir Allah dan redha atas ketetapan yang manis atau yang pahit, serta pasrah terhadap kehendak Allah Subhanahu wa-Ta’ala yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”. (Lihat: Dalil Ghalihin)

"Ketahuilah! Sesiapa yang diperintah oleh seorang pemimpin kemudian dia mendapati pemimpinnya bermaksiat kepada Allah, maka hendaklah dia membenci kemaksiatannya kepada Allah (yang dikerjakannya) tetapi tidak dihalalkan melepaskan tangan dari mentaatinya (tidak boleh membenci dan tidak boleh memberontak terhadapnya)". (Hadis Riwayat Muslim)

Di zaman para Imam muktabar seperti Imam Ahmad bin Hambal, Muhammad bin Ismail, Muhammad bin Idris (as-Syafie), Ahmad bin Nuh, Ishak bin Rahawih dan ramai lagi, mereka menghadapi suatu masa di mana para penguasanya banyak melakukan perbuatan zalim dan bid’ah yang sangat serious. Penguasa pada dimasa itu mengingkari sifat-sifat Allah. Para ulama dipaksa untuk menyokong kesesatan tersebut, tetapi para ulama tidak berganjak dengan perinsip-perinsip kebenaran. Para ulama diuji dengan berbagai-bagai siksaan. Ramai yang telah dibunuh, antara mereka ialah Ahmad bin Hashr. Walaupun keadaan ini sudah demikian sadisnya, namun tidak mendorong para ulama pada era itu untuk keluar dari ketaatan dan tidak melakukan pemberontakan, tidak mencerca dan tidak memburuk-burukkan penguasa (pemimpin mereka). (Lihat: Ad-Durar as-Sunniyah fil Ajwibah an-Najdiyah 7/177-178)

Daripada beberapa hadis yang diutarakan di atas, maka jelaslah bahawa pemimpin, penguasa atau pemerintah wajib ditaati kecuali setelah terbukti ia melakukan kufur yang nyata (kekafiran).

Allahu a’lam...

Isnin, Julai 23, 2007

KRITERIA ASAS SEBUAH NEGARA ISLAM

KRITERIA ASAS SEBUAH NEGARA ISLAM

Sabda Rasulullah s.a.w.:


سَيَكُوْنُ بَعْدِيْ اُمَرَاءُ ، فَتَعْرِفُوْنَ وَتُنْكِرُوْنَ ، فَمَنْ اَنْكَرَ فَقَدْ بَرِىءَ ، وَمَنْ كَرِهَ فَقَدْ سَلِمَ ، وَلَكِنْ مَنْ رَضِيَ وَتَابَعَ ، قَالُوْا : اَفَلاَ نُنَابِذُهُمْ بَالسَّيْفِ ؟ قَالَ : لاَ ! مَااَقَامُوْا فِيْكُمُ الصَّلاَةَ

“Akan ada selepas peninggalanku nanti pemimpin yang kamu mengenalinya dan mengingkari kejahatannya, maka sesiapa yang mengingkari kejahatannya (bermakna) dia telah berlepas diri dan sesiapa yang membenci kejahatannya dia telah selamat, akan tetapi orang yang meredhai kejahatannya akan mengikuti kejahatannya. Apakah tidak kita perangi mereka dengan pedang (wahai Rasulullah!)? Baginda menjawab: Jangan! Selagi mereka masih mendirikan solat di kalangan kamu”. (Hadis Riwayat Muslim 6/23)

Seterusnya, Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam menyeru agar bersabar terhadap pemimpin dan penguasa selagi mereka bersolat, kerana ia adalah makna keIslaman yang pertama sekalipun tidak berhukum dengan hukum Islam, kerana petanda asas dan bukti utama seseorang itu pemimpin Islam adalah solatnya sebagaimana sabda baginda:


عَنْ اَبِى اُمَامَةَ الْبَاهِلِيْ ، عَنْ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَيَنْقُضَنَّ عُرَى اْلاِسْلاَمِ عُرْوَةً وَكُلَّمَا اِنْقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّتَ النَّاسُ بِالَّتِىْ تَلِيْهَا وَاَوَّلُهُنَّ نَقْضَ الْحُكْمُ وَآخِرُهَا الصَّلاَةُ.

"Dari Abi Umamah al-Bahili, dari Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam baginda bersabda: Ikatan-ikatan Islam akan terlepas satu demi satu. Apabila lepas satu ikatan akan dikuti oleh ikatan berikutnya. Ikatan Islam yang pertama kali lepas adalah hukum dan yang terakhir adalah solat". (Hadis Riwayat Ahmad. 5/251)

Hadis ini membuktikan bahawa tidak boleh dihukum kafir setiap individu atau pemimpin jika masih mendirikan solat. Dan sesebuah negara dinamakan negara Islam jika masih terdengar suara azan, solat masih didirikan dan dikuatkan lagi jika majoriti rakyatnya beragama Islam kerana hadis di atas menjelaskan: “Dan (tanda) terakhir adalah solat”.

Al-Ismaili rahimahullah berkata:

“Para ilmuan di zaman awal berpendirian, bahawa sesebuah negara dinamakan negara Islam selagi masih ada panggilan untuk solat (azan) dan didirikan solat dengan terang-terangan serta penduduknya (rakyatnya) sentiasa mendirikan solat dengan bebas (aman)”. (Lihat: Iktiqad Aimmatu Ahlu Hadis, hlm. 50)

Ini bermakna, apabila satu-satu negara atau wilayah itu masih sekurang-kurangnya berupaya mengerjakan/mengamalkan syariat solat maka ia adalah merupakan sebuah wilayah/negara Islam.

Para pemimpin adalah penguasa yang mampu menggunakan kuasa mereka melaksanakan pemerintahan berasaskan prinsip siyasah as-syariyah. Para ulama pula adalah terminal ilmu yang mampu dan diberi mandat membentuk akidah dan pemikiran ummah ke arah pemahaman siyasah Islamiyah (siyasah as-syariyah yang lebih berdisiplin lagi profesional. Ulama telah diwajibkan oleh syara bekerjasama dengan pemimpin. Dipikulkan ke atas mereka tanggungjawab sosial mentarbiyah ummah agar mentaati pemimpin demi mengelakkan perpecahan serta menghapuskan fitnah di kalangan masyarakat. Maka sesebuah negara itu dinamakan negara Islam apabila ulama dan umara (pemimpin) bekerjasama membangun rohani dan jasmani, fizikal dan mental serta untuk pembangunan dunia dan akhirat.

Penamaan negara atau negeri Islam bukan hanya menerusi perundangan, hudud atau peraturan jenayah (kriminal). Malah meliputi bidang-bidang dan aspek yang luas. Khalifah Umar bin Khattab radiallahu ‘anhu berkata:

“Wahai rakyatku! Kamu mempunyai hak ke atas kami untuk menasihati pada perkara-perkara yang kami tidak ketahui, dan hendaklah kamu saling membantu (tolong-menolong dan bekerjasama) dalam kebaikan”. (Lihat: az-Zuhud 2/602. Hannad)

Tiga perkara yang ditekankan oleh Khalifah Umar untuk membangun ummah dan daulah Islamiyah, iaitu:

1 - Merialisasikan hak individu terhadap pemerintah.

2 - Untuk saling menasihati pada perkara-perkara yang tidak diketahui.

3 - Saling membantu dalam kebaikan.

Perkara kedua yang disebut oleh Khalifah Umar dalam kata-katanya di atas: “Untuk saling menasihati pada perkara-perkara yang tidak diketahui”. Ini merupakan suatu konsep untuk mendekatkan pemimpin dengan rakyat secara bermuzakarah, bermusyawarah dan berlapang dada. Ia menjadi gagasan membuka minda dalam usaha merialisasikan sebuah negara Islam. Iaitu negara Islam yang membangun bersama rakyat untuk mencapai kemakmuran dan keharmonian.

Oleh kerana inilah kita sering mendengar ungkapan yang berbunyi:

“Bahawa agama dan penguasa adalah seumpama dua sisi mata yang tidak boleh terpisah. Apabila diangkat salah satunya, maka akan terangkatlah yang lainnya, kerana agama itu bagaikan asas bangunan, sedangkan penguasa seperti penjaga asas tersebut. Sesuatu yang tidak ada asasnya akan hancur dan sesuatu yang tidak ada penjaganya akan lenyap dengan cepat”. (Lihat: Ruhul Ma’ani 1/174. Cetakan Al-Muniriyah. Lihat: Al-Bahrul Mihit. 2/269. Abi Hayyan)

Termasuk tanda-tanda negara Islam ialah apabila ulama diberi ruang berada di samping pemimpin Islam, kerana agama dan pemimpin (politik) tidak dapat dipisahkan. Berkata Abu Abdillah al-Qala’i as-Syafir rahimahullah:

“Keseimbangan urusan agama dan dunia adalah satu tujuan yang sangat diidam-idamkan. Hal ini tidak akan terlaksana kecuali dengan adanya penguasa (pemimpin). Kalau kami tidak memandang wajib adanya penguasa, pasti hal ini akan menyebabkan manusia berada di dalam perselisihan dan kerusuhan yang berpanjangan sehingga Hari Kiamat. Kalau manusia tidak mempunyai pemimpin yang kuat dan ditaati, pasti akan pudar kemuliaan Islam lalu lenyap tak berbekas. Jika umat tidak mempunyai penguasa yang berdaulat, pasti akan lenyap aktiviti-aktiviti ibadah dan terhentilah perdagangan import-eksport”. (Lihat: Tahzib ar-Riysah. Hlm 95. Lihat: Majmu al-Fatawa 27/390. Ibn Taimiyah)

Pemimpin dan ulama dalam sesebuah negara Islam seharusnya sentiasa bekerjasama dan sentiasa saling hormat menghormati, kerana ini adalah merupakan suatu asas yang utama yang membina kesejahteraan agama, keutuhan politik (siyasah), keselamatan, perpaduan dan keharmonian rakyat, inilah juga penyebab pemimpin dan ulama dihormati. Sahl bin Abdullah at-Tusturi rahimahullah berkata:

“Manusia sentiasa dalam kebaikan jika masih menghormati pemerintah dan ulama. Jika mereka menghormati dua komponen umat Islam ini, maka Allah akan memperbaiki urusan dunia dan akhirat mereka. Seandainya mereka meremehkan dua komponen ini, akan rosaklah kepentingan dunia dan akhirat mereka”. (Dikutip dari khutbah Syeikh Uthaimin. Lihat: Huquq Ra’ii war-Ra’iyyah)

Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam telah menjelaskan peranan para ulama bersama umara (pemimpin) dalam mengurus sesebuah negara yang pada mulanya adalah tugas para nabi:


كَانَتْ بَنُوْ اِسْرَائِيْلَ تَسُوْسُهُمُ اْلاَنْبِيَاءُ ، كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ وَاَنَّهُ لاَ نَبِيَّ بَعْدِيْ ، وَسَيَكُوْنُ خُلَفَاءَ فَيَكْثِرُوْنَ قَالُوْا : فَمَا تَاْمُرُنَا ؟ قَالَ: اَوْفُوْا بِبَيْعَةِ اْلاَوَّلِ فَاْلاَوَّلِ ، اَعْطُوْهُمْ حَقَّهُمْ ، فِاِنَّ اللهَ سَائِلُهُمْ عَمَّا اسْتَرْعَاهُمْ

"Adalah Bani Israil dipimpin oleh para Nabi mereka. Setiap kali seorang Nabi wafat digantikan oleh Nabi berikutnya. Dan sesungguhnya tidak ada nabi lagi sesudahku, tetapi akan ada para pemimpin (yang beragama Islam), mereka banyak (jumlahnya). Para sahabat bertanya: Apa yang engkau perintahkan kepada kami (apabila itu terjadi)? Nabi bersabda: Patuhilah pemilihan (pemimpin yang beragama Islam) yang pertama, berikanlah oleh kamu hak mereka kepada mereka, kerana Allah akan menanyakan kepada mereka apa yang menjadi tanggungjawab mereka". (H/R Bukhari 5/401. Muslim 3/1471. Ibn Majah 2/958. Ahmad 2/297)

Ibnu Jarir rahimahullah berkata:

“Perkataan yang paling utama dan benar di dalam hal ini (negara Islam) adalah perkataan yang mengatakan bahawa Ulil Amri adalah para pemimpin dan penguasa (beragama Islam). Hadis-hadis dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dalam perintahnya untuk taat kepdaa para pemimpin dan penguasa (Islam) statusnya adalah sah belaka. Dalam ketaatan kepada mereka adalah kemaslahatan bagi kaum muslimin”. (Lihat: Tafsir at-Tabari, 5/150)

Kejahatan, penindasan atau kezaliman yang dilakukan oleh pemimpin tidak akan menghilangkan status negara yang dipimpinnya sebagai negara Islam jika ia masih bersolat, seperti dosa besar dari perzinahan yang dilakukan oleh seorang individu tidak akan menjadikan ia seorang kafir selagi dia solat, mengaku sebagai seorang muslim dan masih mengucap dua kalimah syahadah. Kerana Rasulullah telah bersabda:

“Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka mengucapkan: Tiada Tuhan yang berhak diibadahi selain Allah. Apabila mereka telah mengucapkan yang demikian, maka darah dan harta mereka terlindung kecuali dengan haknya, sedangkan perhitungannya kembali kepada Allah”.

Di hadis yang lain baginda bersabda:

“Barangsiapa mengucapkan bahawa tiada Tuhan yang berhak diibadahi selain Allah, maka darahnya haram ditumpahkan”.

Kenyataan dari hadis-hadis di atas membuktikan bahawa tanda keIslaman seorang individu termasuk penguasa atau pemimpin tidak boleh diukur pada kezaliman, kejahatan atau pelanggarannya terhadap batasan hukum-hakam syara’, tetapi solat dan pengucapan kalimah syahadahnya. Maka mereka adalah ahli kiblah dan merupakan penguasa (pemimpin Islam) yang tidak boleh dikafirkan. Malah wajib ditaati dan dipelihara kehormatan serta maruahnya

Kenyataan ini telah dijelaskan juga oleh Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib radiallahu ‘anhu:

“Tidak akan mampu memperbaiki keadaan manusia kecuali penguasa, sama ada penguasa yang baik atau yang jahat. Orang-orang bertanya kepadanya: Wahai Amirul Mukminin! Jika penguasa itu baik, ini wajar ditaati, tetapi bagaimana dengan penguasa yang jahat? Ali berkata: Sesungguhnya Allah menjaga keamanan suatu daerah melalui perantara penguasa walaupun ia jahat.” (Diriwayatkan oleh al-Baihaqi dengan sanad yang sahih sampai kepada Ali bin Abi Talib. Lihat: asy-Syu’ab)

Menurut Muhammad Abu Zahrah:

“Darul Islam (negeri atau negara Islam), adalah setiap negara yang diperintah dan dikuasai oleh Islam (umat Islam), iaitu kekuatan dan pertahanan negara berada di bawah kekuasaan umat Islam. Inilah bentuk negara yang wajib dipertahankan oleh setiap umat Islam”. (Abu Zahrah hlm. 377)

Antara petanda sesebuah negara itu dinamakan negara Islam ialah pemimpinnya Islam dan majoriti rakyatnya juga beragama Islam. Antara ciri-ciri pemimpin Islam yang wajib ditaati ialah pengakuannya serta pengucapan dua kalimah syahadahnya. Dan tanda yang paling besar ialah solatnya dan laungan azan masih berkumandang di negara tersebut sebagaimana dinyatakan oleh hadis-hadis sahih. Oleh itu, apabila seorang muslim dipilih dan dilantik dengan kesepakatan ummah (majoriti rakyat) sebagai pemimpin maka ia adalah pemimpin bagi sebuah negara Islam, ia wajib ditaati. Berkata al-Imam al-Hasan bin Ali al-Barbahari rahimahullah tentang negara dan pemimpin Islam:

“Barangsiapa memegang jawatan kepimpinan atas kesepakatan dan keredhaan kaum Muslimin, maka dia adalah pemimpin Mukmin. Tidak halal bagi seorang pun hidup walaupun satu malam sementara dia tidak mempunyai seorang pemimpin yang baik atau yang jahat. Beginilah yang diserukan oleh Imam Ahmad”. (as-Sunnah. Al-Barbahari)

Syara’ telah mengharamkan menentang dan memberontak terhadap pemimpin negara Islam yang beragama Islam, atau orang kafir yang telah dilantik oleh pemerintah Islam yang mewakili pemerintah Islam. Islam mengajar sabar terhadap pemerintah dan pemimpin yang tidak disukainya walaupun ia melakukan kezaliman selagi beragama Islam, mengucap dan mendirikan solat, atau terhadap pemimpin bukan Islam yang di bawah naungan pemerintah Islam, maka mereka wajib dipatuhi. Dalam hal ini Syeikh al-Uthaimin berkata:

“Ketahuilah bahawa orang yang belot terhadap pemerintah yang sah, pada hakikatnya telah menjadi hamba musuh-musuh Islam. Pemberontakan atau semangat meluap-meluap bukanlah suatu pelajaran yang bijak, tetapi yang harus kita ambil menjadi pelajaran adalah hikmah (mengikuti sunnah). (Huquq Ra’i war-Ra’iyah. Kumpulan Khutbah al-Uthaimin)

WUJUDKAH PEMIMPIN, RAKYAT & NEGARA YANG MAKSUM?

Sememangnya di setiap negara Islam, tidak akan lahir lagi walau seorang nabi atau rasul untuk menyatukan, memimpin dan memerintah umat secara siyasah syariyah (berhukum dengan hukum syarii) secara utuh sebagaimana yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam, tetapi pengganti dan pewarisnya untuk melanjutkan seluruh tugas tersebut ialah para penguasa atau pemimpin Islam yang dipilih oleh rakyat secara sah yang ditunjangi oleh para ulama yang ikhlas.

Namun, setiap negara Islam akan teruji dengan adanya gerakan yang menggolongkan diri mereka kumpulan ulama, mereka menjamin kononnya kalau mereka memerintah, mereka akan melaksanakan undang-undang Islam atau hudud. Persepsi mereka hanya dengan melaksanakan hudud sahaja telah sempurna tuntutan sebuah negara Islam. Mereka lupa atau jahil bahawa hudud hanya sebahagian dari tuntutan hukum-ahkam Islam yang syumul, global dan luas.

Mereka menyangka pasti akan hapus segala kezaliman, maksiat dan jenayah, termasuklah perbuatan yang dianggap dosa-dosa besar seperti riba, rasuah, arak, pencurian, perzinahan (termasuk perkosaan, rogol atau sumbang mahram) dan sebagainya apabila undang-undang hudud dilaksanakan. Inilah penipuan kalau bukan angan-angan kelompok yang kurangnya ilmu yang mana memiliki sifat tergesa-gesa, sombong dan takbur.

Sebenarnya di sebalik berbagai-bagai janji yang disebarkan oleh golongan seperti itu kepada rakyat terdapat matlamat ingin menumbangkan pemerintah, mereka mencemburui negara Islam yang telah wujud yang tidak berjenama dan berfikiran sebagaimana yang mereka kehendaki. Mereka menuduh negara yang tidak berhukum dengan undang-undang Islam adalah kafir sama ada pemimpin atau rakyat yang menyokongnya. Mereka menyempitkan pensyaratan negara Islam terbatas pada hukum (hudud) semata.

Tidak akan wujud pemimpin dan kepimpinan yang maksum (terpelihara dari membuat dosa) atau rakyat yang maksum. Tetapi persepsi orang jahil membayangkan bahawa hanya dianggap sebagai negara Islam setelah benar-benar tidak berlaku jenayah dan maksiat seperti perzinahan, riba, pencurian, rasuah dan sebagainya, sama ada dilakukan oleh pemimpin atau rakyat jelata. Mereka menyebarkan propaganda bahawa itu semua akan hapus setelah dilaksanakan undang-undang Islam (hudud). Tidakkah mereka tahu bahawa sangkaan mereka itu tidak tepat, kerana di zaman Nabi Muhammad (Nabi yang maksum) walaupun hudud telah berkuat-kuasa namun perzinahan masih ada sehingga terlaksana hukum sebat, pencurian masih terjadi sehingga berlaku hukum potong tangan, minum arak masih berlaku sehingga dilaksanakan hukum rotan dan sebagainya.

Negara khayalan kelompok yang seperti ini adalah merupakan sebuah negara malaikat, ia tidak akan wujud kerana manusia tidak akan berubah menjadi malaikat.

Kejahatan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja, maka para ulama sebagai pewaris nabi diwajibkan bekerjasama dengan para pemimpin atau penguasa untuk mentasfiyah dan mentarbiyah ummah Islamiyah supaya dapat memahami akidah, hukum-ahkam ibadah dan siyasah Islamiyah. Kerana dengan cara inilah kelak yang akan menjadi bekalan ilmu dan dapat membendung gejala fahaman dan iktikad songsang termasuklah dalam persoalan siyasah agar tidak bertentangan dengan kehendak syara’.

Amat tidak praktis jika terjadi di negara yang dipimpin oleh penguasa (pemimpin Islam) wujud ulama yang bermudah-mudah menyeru rakyat menentang penguasa dan pemimpin lantaran dosa-dosa yang dilakukan oleh pemimpin dan rakyat, kerana penentangan terhadap pemerintah amat bertentangan dengan prinsip kelompok ahlus sunnah.

Ulama dan umara perlu berdedikasi membentuk akidah sebagai asas pembangunan rohani, pembetulan ibadah, jiwa dan sikap rakyat terhadap pemimpin atau penguasa, terutamanya generasi muda yang terpelajar agar mereka tidak tersilap menganut fahaman siyasah songsang yang telah menimpa kebanyakan generasi muda pada masa ini. Melalui pendidikan akidah, ibadah dan disiplin ilmu disemua bidang, insyaAllah bakal membantu mereka untuk menghadapi pelbagai cabaran masa depan yang akan dihadapi oleh pemimpin dan negara. Ibnu Qutaibah meriwayatkan dari Ka’ab al-Akhbar, dia berkata:

“Islam, penguasa (pemimpin) dan rakyat laksana khemah, tiang dan tali khemah dan kayu pancang khemah (tonggak khemah). Islam diibaratkan khemah, pemimpin diumpamakan sebagai tiangnya, sedangkan rakyat seperti tali dan tonggak khemah, sebahagiannya tidak akan berdaya tegak kecuali dengan sokongan yang lainnya”. (Uyun al-Akhbar, dengan sanad dari Ka’ab al-Akbar)

Membiarkan arah siyasah ummah Islamiyah tanpa bimbingan, tidak berwawasan yang dinamik, terbiar tanpa ada hala-tuju dan panduan manhaj (metodologi), pasti akan mengakibatkan panduan siyasah umat terumbang-ambing lantas meninggalkan petunjuk al-Quran dan as-Sunnah. Mereka yang terus terbiar tanpa konsepsi yang jelas akan kecundang, mudah menyimpang dan mudah menyemai bibit permusuhan, perbalahan dan perpecahan sesama rakyat. Ini semua terbit lantaran kejahilan dalam meletakkan tindakan akibat cetek-nya ilmu dan mengambil sikap yang tergesa-gesa. Adanya keadaan seperti inilah sebenarnya akan membuka peluang kepada musuh-musuh Islam memusnahkan nikmat kemakmuran duniawi, keamanan, keharmonian, kemaslahatan umum dan akidah mereka. Oleh itu, penguasa dan ulama sewajarnya bertindak sebagaimana yang dinasihatkan oleh Imam al-Qarafi rahimahullah:

“Ada kaedah yang mengatakan bahawa memelihara kemaslahatan umum adalah wajib, hal ini tidak akan terwujud kecuali adanya penghormatan rakyat kepada penguasanya. Bilamana terjadi penentangan serta penghinaan terhadap mereka, maka akan terhalanglah pintu kemaslahatan umat”. (Az-Zakhirah 13/234. Cetakan Darul al-Islami)



Kuliah Berkaitan:

Mp3 -
Download - "Negara Islam, Takfir, & Demokrasi"

Video - Youtube------------------

Keratan 1



Keratan 2



Keratan 3

Sabtu, Julai 14, 2007

Mencari Sinar Dan Jati Diri Islami Di Kampus

Mencari Sinar Dan Jati Diri Islami Di Kampus

Oleh: Brother Nawawi
YM: nawie83@yahoo.com
Web-Group:
http://groups.yahoo.com/group/pmh-uitm

Dunia kampus hari ini, adalah suatu bentuk alam pendidikan yang begitu ‘meriah’ dengan pelbagai macam karenah mahasiswanya mengatur langkah menuju masa depan masing-masing. Ada yang benar-benar menumpu kepada studi yang hanya berdasarkan silibus yang diberi. Ada juga yang sering mengabaikan tanggungjawab studi yang diberikan itu dan menggantikannya dengan hal-hal yang tidak berfaedah. Dan, ada juga yang menyeimbangkan di antara studi dengan kerja-kerja pencarian ilmu yang lain di samping ilmu yang sememangnya daripada silibus pengajian.

Di dalam perjalanan hidup yang penuh ujian dan cacamerba ini, hendaklah kiranya para mahasiswa memanfaatkan masa remaja mereka untuk menimba ilmu sebanyak mungkin yang termampu. Tidak hanya terhad kepada ilmu ekonomi, perbankkan, bahasa, sastera, sains dan teknologi, bahkan ilmu yang paling asas yang menjadi prinsip kepada kehidupan kita iaitu ilmu yang membina agama dan manhaj kehidupan insan yang sejahtera. Yang mana seterusnya dengan ilmu itulah kita dipandu untuk beramal dengan ilmu-ilmu yang lainnya.

Masyarakat mahasiswa hari ini perlu dicelikkan semula kepada kepentingan ilmu-ilmu dan amalan-amalan berlandaskan al-Qur’an dan Sunnah yang sejahtera. Ini kerana bukan sahaja akhlak dan amalan sahih Islami yang semakin menghilang, malahan prinsip aqidah Islamiyah juga semakin pudar dari dalam jiwa mahasiswa.

"Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang Yang mengetahui dengan orang-orang Yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.” (az-Zumar (39): 9)

Ini terbukti dari beberapa tinjauan saya terhadap rakan-rakan terdekat terhadap asas aqidah Islami yang sejahtera.

Saya pernah bertanya, “Eh, benarkah Allah itu wujud, apa buktinya?” Saya juga pernah mengutarakan persoalan Allah di mana. “Jika benar Allah itu wujud, di manakah Allah?” Daripada dua soalan ini sahaja masih ramai yang gagal menjawabnya dan ada yang hanya menghentam sahaja untuk mengemukakan jawapan berdasarkan akal semata.

Lalu terhasillah bermacam jawaban yang mengatakan bahawa ‘Allah itu berada di mana-mana...’ Ada pula yang mengatakan ‘Allah itu tidak bertempat’ dan sebagainya. Tidak kurang ramai juga yang menjawab dengan kalimah ‘tidak tahu’ dan ‘saya tidak pasti’. Dan hanya beberapa individu sahaja yang mampu menjawab Allah itu di langit. Allah itu di ‘arsy dan Allah itu memiliki kursi dengan menyertakan beberapa dalil al-Qur’an dan hadis. Selanjutnya, bukankah fenomena ini amat menyedihkan sekali bagi kita yang memahami? Betapa rapuhnya jati diri dan pemahaman asas kita dalam mengenali Rabbul ‘alamiin..

Daripada dua soalan itu sahaja, sudah membuktikan keadaan mereka kepada kita yang betapa nipisnya asas Islami mereka dalam mengenali Allah. Tidak hairanlah jika begitu ramai umat Islam diberitakan murtad jika asas utama dalam bab aqidah ini sahaja mereka sudah tidak mampu merungkaikannya. Belum lagi ditanya hakikat pemahaman rukun iman dan sebagainya.

Tidak hairanlah jika dengan mudah sahaja mereka mengabaikan amalan-amalan islami yang samaada fardhu ataupun yang sunat. Lalu mudah-mudah sahaja menggantikannya dengan amalan-amalan yang di luar konteks Islami. Mereka tidak lagi mengenali apa itu peranan al-Qur’an dan as-sunnah (hadis) dengan sempurna. Bahkan lebih malang, ada sebahagian kecil di antara kita yang hanya mengenali al-Qur’an hanya sebagai bahan bacaan yang untuk dilagukan lalu mengabaikan apakah maksud dan tujuan sebenar penurunan al-Qur’an yang sebenarnya. Mereka melupakan bahawa al-Qur’an itu sebagai petunjuk atau manual kehidupan insan. Bila ditanya pula apakah itu hadis, mereka tidak mampu menjawabnya. Jadi, dengan asas apakah mereka mendirikan jati diri dan amalan Islami sebenarnya? Islam bukanlah adat dan warisan. Islam itu adalah agama dan petunjuk bagi setiap insan yang wujud. Ia perlu difahami dengan sebaik-baiknya bagi menjamin ketulenan amalan dan i’tiqad kita.

“(Al-Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang Yang (hendak) bertaqwa.” (Ali ‘Imran (3): 138)

Memang logiklah jika mereka mudah terikut-ikut dengan budaya dan fahaman-fahaman yang menyeleweng di sekitar mereka. Mengagungkan perkara-perkara yang jelas sia-sia melebihi menuju kepada mengingati Allah seterusnya mentahidkan Allah berdasarkan asas yang sebenar. Inilah sebenarnya natijah dan akibat daripada pemahaman Islam yang amat cetek dan diambil secara sambil lewa, lalu mengabaikan al-Qur’an dan as-Sunnah sebagai landasan penilaian hidup insani yang tulen.

“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah Engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu Yang lain), Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman Yang besar". (al-Luqman (31): 13)

Selain itu, banyak lagi fenomena yang membuatkan kita sedih melihat masyarakat remaja kampus mahupun di luar kampus dalam mengamalkan Islam.

Ini jelas terbukti apabila ada di kalangan rakan-rakan sekeliling meninggalkan solat subuh hanya kerana malas hendak bangun awal. Lalu mudah-mudah sahaja meng-qadhakannya di luar waktu. Atau pun tidak kurang ramainya yang langsung terus meninggalkannya. Selain itu, ada pula yang dengan begitu mudah menjadikan alasan menaiki bas atau dalam perjalanan jauh balik kampung atau sebagainya, memberi alasan bahawa tiada masa untuk menunaikan solat dan tiada tempat untuk menunaikan solat kerana berada di dalam bas. Inilah dia jika asas Islami insan didrikan atas dasar kejahilan dan methode yang silap.

Ada juga di antara mereka yang sanggup bermain permainan komputer game sehingga jauh malam atau sepanjang hari. Mereka lalai dalam permainan sehingga meninggalkan perkara-perkara fardhu Islami yang mesti mereka tunaikan iaitu solat. Di sini kita melihat mereka seolah-olah mengutamakan perkara yang lain itu sendiri berbanding mentaati Allah. Bukankah ini adalah sebahagian daripada pencemaran aqidah yang jelas lagi gamblang (terang).

“(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia Yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang Yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah. dan kalaulah orang-orang Yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, Bahawa Sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah, dan Bahawa Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu).” (al-Baqarah (2): 165)

Pemahaman mahasiswa seperti inilah yang amat perlu untuk ditangkis dan diperbetulkan oleh semua pihak yang memahami. Mereka bukan sahaja bermasalah dalam persoalan ibadah dan fiqh, malahan mereka amat bermasalah dalam perkara asas aqidah dan prinsip Islami yang sebenar.

Ini hanyalah menyentuh beberapa persoalan kecil dan asas dalam beragama (Islam), tidak lagi menyentuh persoalan yang lain seperti pergaulan bebas, pendedahan ‘aurat, dan sebagainya. Jika asas binaannya sahaja sudah tidak keruan, mana mungkin bangunannya boleh berdiri teguh dengan melaksanakan amal Islami yang sejahtera dari segala macam pencemaran!

Oleh itu, marilah kita sama-sama sebagai mahasiswa memupuk jiwa Islami dengan mendalami Ilmu agama yang sejahtera yang dianjurkan di mana sahaja ia diadakan selaras dengan kemampuan kita. Bersama-sama kita berusaha mengenali kandungan al-Qur’an, as-sunnah, dan ijma’ para sahabat Rasulullah (salafus-soleh) dengan lebih baik lagi supaya kehidupan kita sebagai individu atau masyarakat muslim menjadi lebih jelas dan baik selaras dengan pemahaman yang baik yang diterima. Bersungguh-sungguhlah dalam mencari ilmu dan banyak mengadakan perbincangan ilmiah bagi menilai mana yang terbaik dengan menjadikan al-Qur’an, sunnah dan ijma’ para sahabat (salafus-soleh) sebagai asas dan landasan manhaj dalam melakukan penilaian. Bukannya mantiq dan akal. Perkiraan baik dan buruk mestilah dinilai dengan dalil naqli dan bukan-nya akal.

Bagi pihak-pihak yang bertanggungjawab, seharusnya bertindak untuk memantau keadaan ini dan berusaha mengambil inisiatif menyediakan wadah atau tempat untuk para mahasiswa mendalami perihal Islam dengan lebih baik di sekitar kampus. Pendedahan dalam bentuk yang kreatif dan berfakta juga perlu diambil kira bagi menarik generasi kampus berminat untuk kembali kepada asas-asas Islam yang tulen. Ini adalah bagi mengelakkan mereka daripada terjebak kepada agenda yang lebih berbahaya oleh pelbagai pihak di luar sana. Mereka perlu diberi pemahaman yang tulen berkenaan hakikat Islam. Agar mereka mampu menilai setiap permasalahan baik dan buruk yang tertuju kepada mereka kelak. Ini adalah kerana mereka merupakan kesinambungan generasi yang lebih Hadhari di masa hadapan.

“Dan sememangnya tidaklah sama orang Yang buta dan orang Yang melihat, dan juga tidaklah sama orang-orang Yang beriman serta beramal soleh dengan orang Yang melakukan kejahatan. (Meskipun hakikat ini jelas nyata, tetapi) sedikit sangat kamu beringat dan insaf.” (al-Mu’min (40): 58)

“(Al-Quran) ini disampaikan kepada manusia supaya mereka diberi ingat dan diberi nasihat dengannya; dan supaya mereka mengetahui (dengan hujjah-hujjah Yang tersebut di dalamnya) Bahawa Sesungguhnya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa; dan supaya orang-orang Yang mempunyai fikiran, beringat dan insaf.” (Ibrahim (14): 52)

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (al-Ahzaab (33): 21)

Rabu, Julai 11, 2007

Laptop/PC Services For UiTM Shah Alam Students

Laptop/PC Services For UiTM Shah Alam Students
- HD Partitioning
- HD Fomatting
- Windows & Software Installation
- Accessories Problem
- Virus killer
- Free Islamic Items
- MP3
- Others (Please Call)

All for only RM20.00 (With driver CD)
Without Driver CD - RM28.00

Special Offer:
Finished In Only One Day/24Hours (urgent case) - RM45 per laptop/pc

Optional Services:

A4 Printing

RM0.15/sheet (For Black and White)

Contact (Just call/sms):
Brother Fakhrul
+60126887715
Ambil dan hantar disediakan..

Ahad, Julai 08, 2007

Jawaban Untuk Statement “Alaah! Perempuan Pakai Tudung Pun Perangai Buruk Nak Buat Apa!”

As-Salaamu ‘alaikum…

Kebanyakan wanita bertudung atau yang sentiasa berusaha menjaga auratnya sering menghadapi perlian seperti di atas. Maka berikut adalah beberapa jawaban saya yang mungkin dapat membantu rakan-rakan muslimah bagi menjawab perlian tersebut. Saya letakkan dalam bentuk point supaya lebih mudah dan kelihatan ringkas.

1 – Kebaikan seseorang tidaklah dinilai berdasarkan akhlak, perangai, mahupun dressing semata-mata. Tapi, dinilai bermula dari dasar akidah dan keimanan seseorang itu kepada Allah. Dinilai mengikut seberapa usaha untuk mereka taat kepada Allah. Inilah aspek pertama yang sewajarnya kita tanamkan dalam diri masing-masing yang mengaku sebagai muslim.

2 – Suruhan pemakaian tudung dan menutup aurat bukanlah untuk fesyen atau suka-suka. Tapi adalah kerana ianya merupakan perintah Allah. Berakhlak baik juga merupakan suruhan dan tuntutan sebagai muslim. Tidak kira siapa saja insan yang bergelar muslim, maka dia wajib menutup aurat seperti yang diperintahkan dan berusaha memiliki akhlak yang baik.

3 – Setiap muslim itu tidak terlepas dari setiap kewajibannya. Biarpun anda seorang pembunuh, perompak, penyamun, penzina, mahupun kaki lepak. Anda sebenarnya tidak pernah terlepas untuk menunaikan kewajiban bersolat! Sekiranya anda telah sah muslim. Jangan ingat andai anda seorang yang jahat, maka anda terlepas dari kewajiban solat? Sungguh tidak sama sekali. Jika anda jahat (eg. Pembunuh, perompak…) sekalipun, anda tetap wajib jalankan perintah Allah, bahkan wajib segera tinggalkan kejahatan anda tersebut. Begitu jugalah dengan kewajiban bertudung! Biarpun anda seorang yang jahat dalam hal yang lain, jangan ingat anda patut tinggalkan penutupan aurat. Anda tidak pernah terlepas dari kewajiban itu, walaupun anda menganggap diri anda masih tidak layak bertudung… sungguh, itu semua hanya imaginasi sampah anda sahaja.

4 – Perangai yang tidak baik adalah kesalahan. Tidak menutup Aurat juga satu kesalahan. Jika anda tinggal dua-dua (tutup aurat dan berakhlak baik), anda telah lakukan dua kesalahan. Jadi, berusahalah untuk lakukan dua-dua.

5 – Mereka yang mengatakan statement “Alaah! Perempuan Pakai Tudung Pun Perangai Buruk!”, Sebenarnya, akhlak andalah yang rosak. Malahan ditambah dengan satu lagi kerosakan, iaitu kerosakan minda dan jiwa. Anda sebenarnya telah memperlekehkan hukum Allah. Anda juga telah memperlekehkan insan yang sedang berusaha mentaati perintah Allah (dalam bab tutup Aurat). Apakah anda perasan bahawa anda sudah lebih baik berbanding insan yang menutup aurat tersebut apabila anda berani melafazkan kalimat keji seperti itu, sedangkan anda sendiri membiarkan aurat anda terbuka?! Kenapa anda mencerca insan yang berusaha untuk memakai pakaian yang disarankan oleh Allah? Apakah pakaian anda sudah lebih baik berbanding apa yang telah Allah tetapkan? Anda mahu lawan Tuhan?

6 – Penilaian baik dan buruk, atau cantik dan tidak cantik… semuanya adalah tidak muktamad pada kacamata hati dan fikiran manusia. Tetapi, ia mestilah berpandukan kepada petunjuk Allah dan Rasul-Nya. Kita tiada hak sedikitpun dalam menetapkan syari’at2 tertentu di dalam agama dan kehidupan ini. Bahkan, kitalah yang wajib menundukkan hati kita kepada-Nya. Allah berhak menetapkan segalanya. Allah juga sebenarnya telah amat banyak memberikan kelongaran kepada kita. Namun, kebanyakan manusia itu sahaja yang sememang tabiatnya gemar melampaui batas. Berbahagialah kepada sesiapa yang berusaha sedaya upaya dalam mentaati Allah.

7 – Adakah, manusia yang gagal dalam sesuatu ketaatan itu wajar meninggalkan ketaatan yang lainnya juga? Adakah manusia yang bergelar pembunuh itu wajar meninggalkan solatnya? Adakah insan yang belum sempurna akhlaknya itu tidak sepatutnya menutup aurat? Adakah mereka orang yang tidak cukup puasanya itu tidak perlu membayar zakat? Saya katakan… anda siapa untuk mengatakan mereka tidak layak? Bahkan, solat itu tuntutan ke atas seluruh umat Islam. Begitu juga penutupan aurat.

8 – Sewajarnya, dalam keadaan seperti ini… kita sewajarnya saling nasihat-menasihati. Agar dapat menambahkan kesempurnaan diri dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Melainkan ada kerosakan di dalam hati dan jiwanya, pasti tindakannya hanya mahu memberontak dan tidak senang dengan orang lain dan terhadap apa yang diturunkan oleh Allah kepada-Nya. Ketahuilah, wujudkah manusia yang benar-benar sempurna?

Ayuh, bersegeralah kita kepada syurga Allah. Burulah redha Allah dengan ilmu yang sahihah!

"Sesiapa yang memakai pakaian demi kemasyhuran, maka Allah akan memakaikannya pada hari Qiamat yang semisal, kemudian membakarnya dengan api neraka (Sunan Abu Daud: 4029. Di-nilai hasan oleh al-Albani)

“Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.” (al-A’raaf 7: 26)

Al-Faqir illallah Nawawi Bin Subandi as-Salafy wal-Atsary
http://an-nawawi.blogspot.com

Allahu a’lam…