“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Jumaat, April 24, 2009

Jangan Biarkan Kesucian Nama Allah Dipermainkan

Jangan Biarkan Kesucian Nama Allah Dipermainkan

http://an-nawawi.blogspot.com

Beberapa hari yang lalu ada orang menelefon, bertanyakan kepada saya berkenaan persoalan bolehkah kita membiarkan orang kristian dan orang kafir lainnya menggunakan nama Allah untuk agama mereka?

Saya katakan kepada beliau, saya tangguh dulu persoalan tersebut dan apabila saya sudah selesai meneliti beberapa bahan rujukan, saya akan tuliskannya di dalam blog dan saya akan sms kepada beliau agar boleh merujuk ke dalam blog ini.

Maka di sini setelah saya melihat kepada beberapa sumber rujukan termasuk bertanyakan kepada ustaz-ustaz dan beberapa orang sahabat, saya senaraikan (simpulkan) beberapa jawaban secara ringkas:

1 – Perlu kita fahami bahawa, Allah adalah Tuhan Semesta alam, Tuhan bagi setiap makhluk. Maka, secara umumnya, setiap kita wajib dan berhak memperakui serta mengimani (mengakui) bahawa Allah adalah tuhan kita semua. Dengan itu, kita wajib meletakkan (memperakui) Allah sebagai tuhan. Orang-orang kafir juga perlu memahami bahawa Allah adalah tuhan semesta alam.

2 – Dari itu, adalah dibolehkan orang kristian atau orang kafir menggunakan kalimah atau nama Allah. Dan hendaklah mereka menggunakan (atau meletakkan) nama Allah tersebut dengan cara yang selayaknya iaitu dengan tidak menyelewengkan nama tersebut. Hendaklah nama (kalimah) Allah itu disifatkan atau diletakkan (ditetapkan) dengan apa yang telah Allah Subhanahu wa Ta’ala tetapkan melalui kalam-Nya atau melalui lisan Rasul-Nya.

3 – Nama Allah hendaklah disucikan dari sebarang penyelewengan dan tidak disifatkan dengan sifat yang tidak layak bagi-Nya iaitu tidak disifatkan dengan sifat yang tidak Dia tetapkan sama ada melalui khabar dari al-Qur’an atau hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Juga tidak menisbahkan sesuatu kepada nama atau kalimah Allah dengan sesuatu yang telah Allah nafikan atau dengan sesuatu yang tidak diketahui (yang kita tiada pengetahuan tentangnya).

4 – Nama Allah tidak digunakan bagi tujuan manipulasi dan kepentingan tertentu seperti mempromosi agama yang sesat iaitu selain Islam. Di mana pada masa ini terdapat sekumpulan pihak yang menggunakan nama Allah bagi tujuan menyesatkan umat Islam dengan cara yang cukup halus iaitu dengan meletakkan nama “Tuhan ayah” (God Father) digantikan dengan nama (kalimah) Allah. Lalu bahan-bahan seperti tulisan, atau artikel, atau buku yang mengandungi penyelewengan nama Allah (yang asalnya God Father tadi) disebarkan sebagai bahan dakyah untuk menyesatkan (mengelirukan) pemahaman umat Islam.

5 – Namun jika mereka (orang-orang kafir termasuk kristian) tetap berkeras mahu menggunakan nama Allah tersebut dengan cara yang batil (menyimpang), maka perkara tersebut adalah terserah kepada mereka. Cumanya ia hendaklah terhad untuk kegunaan dari kalangan (kelompok) mereka sahaja. Di mana mereka tidak boleh menggunakan nama Allah tersebut dengan cara yang batil bagi tujuan sebaran umum atau sebagai tujuan untuk mengajak masyarakat kepada agama mereka.

6 – Perlu kita fahami bahawa, sekali-kali kita tidak pernah redha dengan agama mereka termasuklah perbuatan mereka menggunakan nama Allah dengan cara yang menyimpang (batil).

7 – Maka dengan ini, pihak berkuasa dari kalangan pemerintah umat Islam (di dalam negara Islam) atau mereka yang ber-autoriti, perlulah mengambil penting perkara ini dan melarang pihak-pihak tertentu yang mempermain-mainkan (atau mempergunakan) nama Allah bagi tujuan menjaga keharmonian dan kelangsungan umat Islam. Pihak selain umat Islam seperti kumpulan kristian atau orang-orang kafir lainnya tidaklah wajar mempergunakan nama Allah bagi tujuan kepentingan dakwah mereka. Dan mereka tidak berhak untuk mendakwahkan kepercayaan mereka secara umum sama ada kepada umat Islam atau masyarakat lainnya di dalam wilayah Islam khususnya.

8 – Pihak yang berkelayakan dari kalangan ilmuan dari umat Islam hendaklah memberi penjelasan yang sejelas-jelasnya kepada masyarakat secara umum sama ada kepada umat Islam itu sendiri mahu pun orang kafir lainnya. Para ilmuan hendaklah memberi penekanan khususnya kepada umat Islam berkenaan persoalan pentingnya penerapan kefahaman aqidah yang benar. Dan hendaklah para ilmuan tidak membiarkan umat Islam meremehkan persoalan asas-asas aqidah sehingga mereka mudah termakan dengan kepelbagaian bentuk dakyah orang-orang kafir seperti kristian (atau selainnya).

Rujukan:

1 – Tahzib Syarah ath-Thahawiyah, Abdul Akhir Hammad al-Ghunaimi, Terbitan/terjemahan: Pustaka at-Tibyan.

2 – Kitab Tauhid, Dr. Soleh Fauzan al-Fauzan, Terbitan/terjemahan: Pustaka Darul Haq.

3 – Tafsir Ibnu Katsir, Terbitan/terjemahan: Pustaka Ibnu Katsir.

4 –
Rakaman Kuliah (MP3) Ust. Rasul Dahri.

5 – Ringkasan Kaedah-Kaedah Penting Dalam Memahami Asma’ wa Sifat Allah (Nama dan Sifat Allah), Link:
http://aqidah-wa-manhaj.blogspot.com/2008/12/090-ringkasan-kaedah-kaedah-penting.html

Sabtu, April 18, 2009

Seminar: "Umat Islam Dikepung Dari Segala Penjuru"

Seminar:
“Umat Islam Dikepung Dari Segala Penjuru”

Pembentang:
Ust. Abu Ihsan al-Atsary

(Pemantau/Panel Penterjemahan Pustaka Imam asy-Syafi’i)

Tempat:
Bangunan Pengajian al-Faqeh,

35-A, Jalan Cokmar 1, Taman Mutiara,
Bukit Raja, OFF Jalan Meru,
41050 Klang, Selangor.

Tarikh:
09 Mei 2009 (Sabtu)

Masa:
9.00 pagi – 5.00 ptg.

Bayaran:
RM15.00 (Pendaftaran)
RM15.00 (Buku)

Urusan Pendaftaran:
Hubungi Adi Negara, 016-2091531.

Kandungan Seminar:

Topic-topic yang akan dibicarakan adalah berpandukan kepada sebuah buku tulisan Syaikh Salim ‘Ied al-Hilali, berjudul “Umat Islam dikepung Dari Segala Penjuru”. Buku ini mengupas/mensyarahkan sebuah hadis, iaitu hadis dari Tsauban radhiyallahu ‘anhu, dia berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (maksudnya):

Hampir-hampir orang-orang kafir saling menyeru untuk menyerang kamu dari segala penjuru sebagaimana orang-orang yang hendak makan (dalam keadaan yang sangat lapar) mengerumuni dulang yang berisi makanan. Dia (Tsauban) berkata: Kami (sahabat) bertanya, “Wahai Rasulullah adakah pada waktu itu jumlah kami sangat sedikit”. Jawab Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam: “Tidak, pada waktu itu kamu berjumlah ramai/banyak. Akan tetapi kamu seperti buih banjir. Dan benar-benar Allah akan mencabut dari hati musuh-musuh kamu rasa takut kepada kamu. Dan benar-benar Allah akan mencampakkan al-Wahn ke dalam hati-hati kamu”. Mereka (para sahabat) bertanya: “Wahai Rasulullah, apa yang dimaksudkan dengan al-Wahn tersebut?” Nabi menjawab: “Mencintai dunia dan takut (membenci) kepada mati (akhirat)”. (Hadis Riwayat Ahmad, al-Musnad, 5/278)

Di antara point-point yang dibicarakan adalah:

1 – Status hadis

2 – Permusuhan di antara orang-orang kafir. Namun, mereka boleh bersatu untuk menentang umat Islam.

3 – Wilayah umat Islam adalah sumber kebaikan dan keberkahan.

4 – Orang-orang kafir sentiasa berusaha merampas sumber-sumber dari bumi umat Islam.

5 – Orang-orang kafir melakukan angkara supaya umat Islam berpecah belah.

6 – Kekuatan Umat Islam bukan pada jumlah bilangan serta persenjataan.

7 – Orang kafir hilang rasa takut terhadap umat Islam.

8 – Kesan buruk dari perbuatan mencintai dunia.

9 – Orang-orang kafir tidak akan mampu memusnahkan umat Islam.

10 – Tashfiyah dan Tarbiyah adalah jalan membina semula kekuatan umat Islam.

Jumaat, April 17, 2009

Antara Kebahagiaan, Kesengsaraan, Dan Kebenaran

Antara Kebahagiaan, Kesengsaraan, Dan Kebenaran

http://an-nawawi.blogspot.com/

Sekiranya ilmu seseorang bertambah, maka bertambah pula kerendahan hati dan belas kasihnya. Semangatnya terus bertambah seiring dengan pertambahan ilmu untuk terus menuntut ilmu. Kerana dia sentiasa mengerti bahawa dirinya sentiasa kerdil memerlukan ilmu.

Sekiranya amal seseorang itu bertambah, rasa takut pun akan mengirinya dengan penuh kehati-hatian. Dengannya, dia terus berusaha gigih memperbaiki serta memperbanyakkan amalannya seraya beristiqomah bersamanya.

Jika bertambah umurnya, semakin berkurang ketamakkannya. Semakin bertambah harta kekayaannya, semakin dermawan dan mudah mengeluarkan sedekah. Tidak terasa bakhil dan kedekut di hatinya.

Sekiranya seseorang bertambah kuasa dan pangkatnya, semakin dekat dan rendah dirinya terhadap orang kebanyakkan. Dia datang ke khalayak ramai menghulurkan keperluan masyarakatnya. Semakin terpapar sifat tawadhu’nya.

Demikianlah serba sedikit tanda kebahagian hati seseorang manusia. Dia mengerti siapa dirinya dan di mana dia harus meletakkannya.

Ada pun sekiranya seseorang itu bertambah ilmunya, bertambah pula kesombongannya.

Bertambah amalnya, bertambah pula kesombongan dan penghinaannya kepada manusia, serta merasa cukup terhadap dirinya. Tidak lagi berburuk sangka terhadap dirinya. Meninggalkan muhasabah diri, dan suka mengangkat muka terhadap amal orang lain.

Jika dia bertambah umurnya, semakin bertambah pula kekalutannya mengumpul kekayaan. Jika bertambah kekayaan, bertambah pula kekikiran dan kebakhilannya.

Jika bertambah kuasa dan pangkatnya, bertambah pula kesombongan dan keangkuhannya. Dia merasa dirinya cukup besar berbanding manusia kebanyakan. Dia mahu dirinya sentiasa dipandang tinggi lagi dihormati.

Demikianlah sikap manusia yang sengsara hati dan jiwanya.

Hakikatnya, itu semua adalah cubaan dan ujian Allah Subhanahu wa Ta’ala terhadap para hamba-Nya, yang mana dengannya suatu kaum itu boleh menjadi bahagia dan manakala sebahagian yang lainnya akan menjadi sengsara.

Hidup ini penuh dengan ujian dan cubaan. Begitulah Allah menghiasi kehidupan para hamba-Nya.

Setiap yang diberikan, sama ada kekuasaan, kerajaan, nyawa, mahu pun harta, semuanya adalah termasuk ke dalam bentuk-bentuk ujian.

Seluruh nikmat juga termasuk ke dalam suatu bentuk ujian dari Allah yang dengannya diperlihatkan sama ada seseorang itu mahu bersyukur atau kufur (mengingkari nikmat).

Begitu juga dengan kesusahan dan bencana. Ia termasuk ke dalam bentuk ujian dan cubaan.

Allah sentiasa akan menguji manusia sama ada dengan nikmat mahu pun musibah. Allah berfirman (maksudnya):

“Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia akan berkata: “Tuhanku telah memuliakanku”.” Adapun apabila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata: “Tuhanku menghinakanku”. Sekali-kali tidak (demikian)…” (Surah al-Fajr, 89: 15-17)

Realitinya, bukanlah setiap manusia yang diberi kemudahan, kenikmatan, dan keluasan rezeki itu merupakan orang yang dimuliakan Allah dan di atas jalan kebenaran (al-Haq).

Dan bukan pula semestinya orang yang disukarkan rezeki baginya itu dia dihinakan dan dimurkai oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Pokok dasarnya, adalah kembali kepada Allah jua. Dinilaikan ia di atas neraca keadilan sebuah hakikat kebenaran jua.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):

“Setiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Dan hanya kepada Kami-lah kamu kembali.” (Surah al-Anbiya’, 21: 35)

Dalam ayat yang lain, Allah Subhanahu wa Ta’ala menyatakan (maksudnya),

“Dan Kami bahagikan mereka di dunia ini menjadi beberapa golongan, di antaranya ada orang-orang yang sholeh dan ada yang tidak demikian. Dan Kami uji mereka dengan nikmat yang baik-baik dan bencana yang buruk-buruk, agar mereka kembali (kepada kebenaran).” (Surah al-A’raaf, 7: 168)

“Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barangsiapa yang beriman kepada Allah niscaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Surah at-Taghabun, 64: 11)

Rujukan:

1 - Tafsir Ibnu Katsir, al-Hafiz Ibnu Katsir, Terbitan/Terjemahan: Pustaka Ibnu Katsir (Indonesia).
2 – al-Fawa’id, Imam Ibnul Qayyim, Terbitan/Terjemahan: Pustaka al-Kautsar (Indonesia).
3 – Artikel: “Petunjuk Wahyu Buat Mereka Yang Menghadapi Musibah”, Nawawi Subandi, http://an-nawawi.blogspot.com/.
lerini

Selasa, April 14, 2009

Menyelami Ibadahnya Seorang Insan

Menyelami Ibadahnya Seorang Insan

http://an-nawawi.blogspot.com/

Allah memiliki sesuatu yang diperintahkan kepada hamba-Nya, takdir yang ditetapkan, dan nikmat yang diberikan kepada mereka. Dan mereka tidak terlepas dari ketiga-tiga hal tersebut. Takdir (ketetapan) Allah terdiri dari dua keadaan iaitu sama ada baik atau pun sebaliknya. Allah berhak disembah (menjadi fokus setiap tujuan) oleh setiap hamba-Nya. Dengan itu, makhluk yang dicintai oleh Allah adalah mereka yang mengerti unsur ibadah bagi setiap perkara dan memenuhi segala jenis hak dan kewajibannya. Inilah makhluk yang paling dekat kepada-Nya. Manakala hamba yang paling jauh dengan-Nya adalah yang tidak mengerti kriteria bagi setiap perkara, sehingga dia tidak memiliki ilmu dan tidak pula beramal.

Ibadah seseorang bagi setiap perkara adalah dengan menjalankan perintah-Nya di atas landasan keikhlasan dan dengan mengikuti contoh yang dibawakan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam serta dengan menjauhi larangan-larangan-Nya kerana perasaan takut, rasa cinta, dan demi untuk membesarkan-Nya.

Ibadah ketika dilanda musibah adalah dengan bersabar dan redha terhadap ketentuan-Nya. Inilah ibadah yang tertinggi. Kemudian bersyukur, dan ini lebih tinggi dari redha. Hakikat ini dapat dicapai apabila rasa cinta seseorang terhadap Allah telah begitu mendalam dan dia mengetahui serta mengakui perihal baiknya setiap apa yang dipilihkan Allah bagi dirinya dan adalah demi kebaikannya sendiri walaupun dia tidak menyukainya.

Ibadah seseorang terhadap aib yang menimpanya adalah dengan segera bertaubat, menyedari ketergelincirannya, mengakui kesalahannya, dan di saat itu dia pun tahu bahawa tidak ada yang dapat mengangkat dirinya dari kesalahan tersebut melainkan Dia, dan tidak ada yang menjaganya dari segala bentuk bahaya melainkan Dia. Namun sekiranya seseorang itu terus melakukan sesuatu yang tercela, maka perbuatan tersebut hanya akan menjauhkan dirinya dari Allah. Dia pun akan melihat bahawa keburukan itu tidak akan dapat disingkirkan melainkan dengan kembali kepada-Nya. Di saat itu, dia pun berlindung kepada Allah bagi meraih keredhaan-Nya dan supaya dijauhkan dari kemarahan-Nya. Semuanya dipohon di atas sebab sifat Maha Pengampun-Nya. Semoga dengan permohonan itu akan dapat mengelakkan terjauh dari-Nya. Ini kerana, sekiranya dia jauh dari-Nya maka tidak akan ada lagi jalan untuk bertaubat melainkan jika mendapat taufiq dan pertolongan-Nya. Semua itu berada di tangan Allah, dan bukan di tangan manusia, kerana manusia sangatlah lemah malahan untuk menentukan nasibnya sendiri pun dia tidak akan berdaya jika tiada izin, kehendak, dan pertolongan Allah. Maka dia perlu datang kepada-Nya dengan penuh rasa kerendahan, hina, miskin, sujud, menunggu di depan pintu-Nya, tunduk di hadapan-Nya, mengaku di hadapan-Nya bahawa dirinya adalah insan yang paling buruk, paling faqir, dan tersangat memerlukan-Nya, dengan perasaan penuh cinta lagi pengharapan. Fizikalnya pun dikerahkan sepenuh daya bagi tujuan mengabdikan diri kepada-Nya, hatinya bersimpuh di antara kedua tangan-Nya, kerana dia mengetahui dengan sepenuh keyakinan bahawa segala kebaikan adalah milik Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Kata-kata yang sewajarnya diungkapkan adalah ziir-zikir pujian dan kata-kata berupa kalimat syukur. Manakala yang selayaknya bagi seorang hamba adalah kelemahan, serba kekurangan, dan aib. Segala puji adalah milik-Nya, segala kebaikan berada di dalam kekuasaan-Nya, segala keutamaan, keagungan, dan pemberian adalah milik-Nya. Allah telah memberi terlalu banyak kebaikan kepada manusia, tetapi kebanyakan dari mereka mengkhianati-Nya. Allah mencintai hamba-Nya dengan memberinya nikmat, namun kebanyakan dari mereka membenci, mengingkarinya dan beramal dengan maksiat. Allah telah menurunkan nasihat kepada para hamba-Nya, tetapi di antara mereka ada yang melakukan kejahatan di saat berinteraksi dengan-Nya.

Sedangkan ibadah terhadap nikmat adalah dengan mengetahui dan mengakuinya terlebih dahulu, kemudian meminta perlindungan kepada-Nya agar nikmat itu melekat di dalam hatinya. Jika ada sesuatu sebab yang menyebabkan munculnya sesuatu, maka Allah-lah yang menciptakan sebab tersebut. Segala nikmat adalah dari-Nya semata dan segala puji hanya selayaknya diberikan untuk-Nya. Puji-pujian, rasa cinta, dan rasa syukur akan dapat diterima apabila setiap nikmat digunakan sebagai sarana menuju taat kepada-Nya.

Di antara rahsia beribadah dengan nikmat tersebut adalah dengan merasa cukup walau pun dengan yang sedikit, mengungkap banyak kalimat syukur, mengakui dan mengetahui bahawa nikmat tersebut datang kepadanya dari pemiliknya tanpa melalui urusniaga jual beli mahu pun bayaran. Semuanya adalah milik Allah, bukan milik insan bergelar hamba yang sentiasa merasa lemah. Maka, nikmat itu tidak akan bertambah melainkan apabila hamba merasa penuh kerendahan, ketundukan, kehinaan, tawadhu’, dan mencintai Dzat yang memberi nikmat. Setiap kali nikmat yang datang itu baru, maka dia perlu memperbaharui ibadahnya, rasa cintanya, dan ketundukannya. Jika dia memperbaharuinya maka dia akan mendapatkan redha-Nya dan sekiranya dia melakukan perbuatan dosa, dia akan segera bertaubat dengan penuh rasa sesal dan salah. Begitulah erti seorang insan bergelar hamba yang memiliki kebijaksanaan yang sudah pasti tidak akan dapat lepas dari kekurangan. Dia tidak akan terlepas dari sifat kebergantungan kepada Allah yang Maha Agung.

Rujukan:

Disunting dan disusun semula dari Kitab al-Fawaid oleh Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyah, terjemahan/terbitan Pustaka al-Kautsar.