“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Rabu, Disember 31, 2008

Fatwa Tentang Air Mushoffa

Fatwa Negeri Wilayah Persekutuan

Kategori: Muamalat

Tajuk: Kedudukan Air Musoffa Dan Seumpamanya

Isu: Kedudukan Air Musoffa Dan Seumpamanya

Fatwa:

Penjualan air musoffa dan sebarang jenis air yang diproses seumpamanya secara komersil adalah dilarang kerana boleh membuka ruang kepada penyelewengan akidah, khurafat dan penipuan.

Tarikh Pewartaan: 3 Januari 2007

Baca: 806

Oleh: Jawatankuasa Perundingan Hukum Syara' Wilayah Persekutuan

Rujukan/Sumber:

Klik http://www.e-fatwa.gov.my/mufti/fatwa_warta_view.asp?keyID=1422

Ahad, Disember 21, 2008

Di Mana Teras Kita (Foundation)?

Di Mana Teras Kita (Foundation)?

http://an-nawawi.blogspot.com

Nabi Kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, seorang yang mulia dan manusia paling sempurna di muka bumi Allah.

Beliau mendahkwahkan aqidah selama lebih kurang 13 tahun. Menghantar utusan ke sana sini atas tujuan pemurnian aqidah. Menyembah Tuhan yang satu dan meninggalkan segala bentuk kesyirikan.

Nabi Nuh ‘alaihi salam juga mendakwahkan aqidah, menyeru kepada Tuhan yang satu. Mengajak manusia meninggalkan segala bentuk kesyirikan. Dakwahnya ditolak oleh majoriti manusia, namun tetap teguh walaupun sehingga 1000 tahun kurang 50 tahun lamanya berusaha keras.

Berbeza dengan kebanyakan para pengaku da’i zaman sekarang. Kalau boleh semuanya mahu segera. Semuanya mahu ekspress.

Mahu negara Islam segera dibina. Daulah Islam segera ditegakkan. Namun sayangnya, dakwahnya kosong dari nilai aqidah yang murni. Aqidah ditolak ke belakang dahulu. Ditangguhkan untuk cerita kemudian.

Berbeza dengan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dikala orang kafir Quraisy menawarkan jawatan (kuasa pemerintahan), harta, dan pelbagai lagi kemewahan... Beliau menolaknya dan tidak hairan dengan semua itu. Ini adalah kerana aqidah ummat tidak selesai lagi. Mana mungkin manusia boleh menerima perkataannya tanpa ada pemahaman yang benar dan dakwah yang sahih. Maka, kuasa tidak akan bermakna, tidak akan utuh tanpa penyatuan di atas asas yang tepat.

Berbeza dengan kebanyakan masyarakat Islam zaman sekarang. Berbeza dengan pengaku Da’i zaman ini. Mereka mahu diberikan jawatan terlebih dahulu, mengalahkan Musa dan Harun yang menghadapi Fir’aun. Seolah-olah dakwahnya lebih hebat dari dakwahnya Musa dan Harun ke atas Fir’aun.

Mereka fikir, dengan jawatan, mereka akan mampu mengislamkan manusia. Memurnikan aqidah manusia... Jawabannya mungkin “Ya”. Itu mungkin dari satu sudut pandang sahaja. Hakikatnya? Mahu raih jawatan pun sudah menggadai prinsip Islam, inikan pula mahu bercakap menegakkan hukum Islam. Logikkah?

Fikir-fikirkanlah... kalau nak membina sebuah bangunan KLCC itu pun menghabiskan masa selama 2 hingga 3 tahun hanya untuk pembinaan dasarnya (foundation/piling). Di mana tempohnya lebih lama dari membina puncaknya. Inikan pula mahu membina kelompok umat Islam yang cemerlang dan sempurna. Maka, pembinaan dan penerapan asas tarbiyah dan tasfiyyahnya perlulah tepat dan memerlukan kesabaran di atas niat yang ikhlas.

Ingatlah, dakwah bukan diukur dengan berapa banyaknya pengikut dan terbinanya sebuah wilayah atau negara. Tetapi, ia adalah sebagai tanggungjawab. Mengajak manusia untuk beriman kepada Allah dan meninggalkan segala kesyirikan. Memurnikan segala bentuk penyelewengan aqidah. Beribadah hanya kepada-Nya dengan cara yang paling sahih sebagaimana yang dibawa oleh utusan-Nya, Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Hambar di dunia, semoga Syurga di akhirat.

Dikhabarkan dalam Shahih al-Bukhari, ada Nabi yang berdakwah hanya berjaya membawa beberapa pengikut, dan ada pula yang langsung tidak memiliki sebarang pengikut.

Apa yang penting adalah... Prinsip tetap prinsip. Kalau prinsip digadai, di mana hendak kita hadapkan muka nanti?

Pandai Bahasa Arab, Pandai Agama?

Pandai Bahasa Arab, Pandai Agama?

http://an-nawawi.blogspot.com

Ada sebahagian kelompok manusia dia memang mahir berbahasa arab. Tetapi terdapat satu kelemahan pada dirinya. Iaitu dia gemar memperkecilkan orang lain yang tidak pandai berbahasa arab.

Dia menyatakan dan membuat seakan sebuah “standardize”, sekiranya mahu bercakap tentang perkara agama, mesti pandai bahasa arab, baru boleh baca kitab asli.

Tapi, peliknya, dia yang sudah mendabik dada pandai berbahasa arab itu sendiri pun malas mahu baca kitab arab dan melakukan rujukan rupanya. Buktinya adalah apabila diberikan rujukan atau footnote, dia tidak pernah tahu untuk menela’ah sendiri rujukan yang diberi. Cakap tak serupa bikin.

Kalau setakat pandai bahasa arab, Abu Jahal pun pandai berbahasa arab. Tetapi ke mana dia? Bagaimana juga Umaiyah bin Khalaf? Berapa ramai orang yang bijak berbahasa arab tetapi mati kafir dan tidak kurang juga yang sesat!

Adakah bahasa arab mestinya membawa manusia ke jalan yang benar? Tahukah kita di masa zaman Nabi bersama para sahabatnya, berapa ramai di antara mereka yang ummi (tidak tahu membaca)? Malah yang buta tidak dapat melihat pun ramai. Namun, hati mereka dipenuhi dengan keimanan dan tauhid yang murni.

Itulah hakikatnya, keimanan bukan ditentukan dari kebijaksanaan berbahasa Arab. Bukan juga dari kepetahannya berbicara. Tetapi kemahiran berbahasa arab tetap sebuah kelebihan. Jika kita menguasai bahasa Arab, gunakanlah dengan sebaiknya. Manfaatkanlah. Bukan malah menyesatkan diri sendiri dengan bersifat sombong yang bakal mengundang kesyirikan.

Rabu, Disember 17, 2008

Kenapa Dia Tidak Mahu Mengakui Di Mana Tuhannya?

Kenapa Dia Tidak Mahu Mengakui Di Mana Tuhannya?

http://an-nawawi.blogspot.com

Sungguh sangat pelik apabila sebilangan manusia yang mengaku beriman dengan al-Qur’an dan as-Sunnah tetapi memiliki perlakuan tidak bagai dikata. Melaung-laungkan slogan mengajak manusia agar kembali kepada al-Qur’an dan as-Sunnah, namun bila diajukan kepadanya sejumlah hadis sahih untuk kita beriman dengannya, dia menolak. Menolak dengan pelbagai alasan yang tidak masuk akal dan ber-argue berhempas-pulas dengan hawa nafsunya. Dalil yang dibawa dan dihadapkan kepadanya yang tidak dapat diterimanya akan dipusing lebih sepuluh kali macam.

Semuanya tidak lain hanyalah semata-mata kerana hadis-hadis tersebut tidak sealiran dan tidak mendukung fahaman yang diperjuangkannya selama ini. Nah! Jika begitulah sikapnya manusia, maka apakah dia wajar digelar sebagai pejuang al-Qur’an dan as-Sunnah?

Dikala seorang wanita, seorang hamba si penjaga kambing diajukan persoalan di mana Allah, lantas dia memberikan jawabannya dengan, “Allah fis Samaa’” yang membawa erti “Allah di langit (tinggi di atas)” dengan sambil mengisyaratkan jari telunjuknya ke atas.

Itulah dia sifat seorang manusia yang beriman, biar pun dia seorang hamba, biar pun dia sekadar seorang pengembala kambing milik tuannya. Lantas dikeranakan hatinya yang memiliki keimanan yang tulus dan meyakini terhadap Tuhannya yang di langit, dia dibebaskan dan darjatnya ditinggikan. Iaitu apabila Rasulullah menyatakan bahawa dia seorang yang mukminah (wanita beriman) dan memerintahkan Mu’awiyah (tuannya) supaya memerdekakannya.

Namun, di kala ini kita sedia mengetahui dan saya sendiri boleh memahami hakikat ketidakwujudan lagi perihal hamba sebagaimana di zaman Nabi. Tapi, tidaklah mustahil jika hakikat itu muncul kembali.

Apa yang mahu saya sentuh adalah masyarakat kita yang kononnya begitu maju dengan teknologi dan sainsnya, sosio kehidupan, pembangunan dan tamadunnya... Namun masih sungguh malang kerana mereka tidak mengerti di mana Tuhannya. Jika mahu dibandingkan dengan wanita hamba tadi, manusia zaman ini adalah manusia yang merdeka, bukan hamba yang duduk di bawah seorang tuan. Mereka berkerjaya sebagai sama ada seorang guru, engineer, pakar geografi, tok guru agama, pak ustaz, doktor, orang korporat, professor, atau pun manusia berpangkat PHD sekalipun, masih berani menolak banyaknya hadis-hadis sahih yang dikemukakan dengan penuh penjelasan. Sedangkan mereka bertegas mengakui diri sebagai seorang muslim yang tulus berpegang dengan kefahaman ahlus sunnah wal jama’ah.

Sungguh hinanya mereka jika dibandingkan dengan pangkat hamba wanita tadi yang memahami, mengetahui, dan meyakini Allah itu di langit di atas ‘arsy-Nya lalu dinaikkan darjatnya menjadi manusia merdeka oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam sendiri setelah diketahui i’tiqadnya tersebut.

Berbeza dengan sebahagian manusia zaman ini yang mengakui sebagai manusia moden berjiwa intelek dan penuh dengan informasi di hujung jari, namun sayang apabila informasi di hujung jarinya tidak disalurkan ke lubuk hatinya di mana keimanan septutnya berputik. Maka, jiwanya tidak dapat membunga apatah lagi mahu mekar dengan imannya seorang hamba yang tulus yang ditinggikan darjatnya oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam tadi.

Dalil-dalil berkenaan sahihnya Allah di langit di atas ‘arsy-Nya diputar belitkan. Hadis-hadisnya ada yang disembunyikan dan cuba diselewengkan dengan takwilan-takwilan tertentu malah cuba didhoifkan semahunya. Walhal hadis-hadis tersebut sebahagiannya adalah diriwayatkan dan disahihkan oleh para ulama hadis terkemuka dari kalangan ahlus sunnah wal jama’ah.

Pernah mereka mempertikaikan kononnya terdapat sebilangan manusia bernama wahhabi cuba mendhoifkan hadis-hadis dari kitabnya al-Bukhari dan Muslim, namun sebenarnya sebaliknya apabila mereka sendiri menganggap hadis jariyah (hamba wanita) yang saya sentuh tadi sebagai dhoif walhal di antara yang meriwayatkan dan mensahihkannya adalah imam Muslim rahimahullah. Malahan, imam yang mereka akui berpegang dengan mazhabnya iaitu asy-Syafi’i pun mereka tinggalkan. Sedangkan imam asy-Syafi’i sendiri salah seorang dari tidak terkiranya manusia yang mengakui yakinnya akan Allah di atas langit di atas ‘arsy-Nya.

Begitulah hakikat jengkelnya manusia yang taksub dan ego tidak mahu menerima kebenaran. Semoga mereka bertaubat dan kembali kepada kebenaran sebelum hati-hati mereka memang benar-benar akan ditutup oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dari petunjuk dan jalan cahaya yang lurus.

Ayuh, tinggalkanlah hawa nafsu, beriman lah kalian kepada dalil yang sahih ini:

Daripada Muawiyah bin Hakam As-Sulami radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata: “Aku memiliki seorang hamba wanita yang mengembalakan kambing di sekitar pergunungan Uhud dan Juwaiyah. Pada suatu hari aku melihat seekor serigala menerkam dan membawa lari seekor kambing gembalaannya (peliharaannya). Dan aku adalah termasuk salah seorang anak Adam (keturunan adam) dari manusia kebanyakan. Maka aku mengeluh sebagaimana mereka (memiliki rasa marah/tidak berpuas hati). Atas sebab itu (apabila kambingnya dimakan serigala) wanita itu aku pukul dan aku marahi. Kemudian aku pergi berjumpa Rasulullah, maka baginda mempersalahkan aku. Aku berkata: “Wahai Rasulullah! Adakah aku harus memerdekakannya?” Jawab Rasulullah: “Bawalah wanita itu ke sini”. Maka Rasulullah bertanya kepada wanita itu. “Di mana Allah?” Dijawabnya: “Di langit”. Rasulullah bertanya lagi: “Siapakah aku?” Dijawabnya: “Engkau Rasulullah”. Maka baginda bersabda: “Merdekakanlah wanita ini, kerana dia adalah seorang mukminah”.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 537. al-Bukhari, Juz al-Qira’ah, 70. asy-Syafi’i, ar-Risalah, 242. Malik, al-Muwaththa’, 2/77. Ahmad, al-Musnad, 5/447)

Malulah kalian dengan wanita hamba di atas yang begitu mulia darjatnya di sisi Allah dan mendapat pengakuan sendiri dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam sebagai orang yang benar!

Cubalah kalian fikirkan, jika wanita hamba tersebut diangkat darjatnya oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam dengan imannya yang meyakini Allah di langit, maka bagaimanakah kalian yang tidak mengakui Allah di langit tetapi sebaliknya meyakini “Allah di mana-mana”, “Allah tidak di atas, tidak di bawah, tidak di kanan atau kiri, iaitu tidak di mana-mana tidak bertempat”, bahkan ada pula dari kalian yang mengakui “Allah di dalam jasad masing-masing menyatu di dalam jiwa”!

Isnin, Disember 15, 2008

Cilok Ke Syurga???

Cilok Ke Syurga???

http://an-nawawi.blogspot.com

Kira-kira jam 11 malam lebih pada hari Sabtu yang lalu, aku dan seorang kawan melalui jalan Tun Razak yang penuh sesak. Aku memandu dan kawanku dibonceng di belakang.

Dengan kesesakan yang sebegitu, kami hanya mampu menaiki motorsikal dengan kadar laju yang perlahan. Dengan penuh berhati-hati, kami sambil bersembang melihat suasana yang penuh kesibukan.

Dalam kesesakan dan kesibukan tersebut, secara tiba-tiba sekumpulan penunggang motorsikal dengan bunyi motor yang betul-betul membingitkan melintasi kami. Mungkin ada dalam jumlah motor hampir tujuh buah. Mereka memandu dengan penuh berbahaya, laju, dan baik punya cilok. Mencelah ke kanan dan ke kiri di tengah-tengah kesibukan dan kesesakan dengan gaya tersendiri.

Aku katakan pada kawan aku di belakang,

“Fuuhh! Hebat betul diorang punya style ni. Dalam keadaan macam ni pun masih boleh bawak macam tu punya hebat. Laju pulak tu. Cilok sana sini, mencelah kanan kiri... konfiden (yakin) betul laa. Memang berani tahap tak ingat la diorang nih.”

Dengan selamba kawan aku di belakang menjawab,

“Tak pe wei, mat-mat rempit ni nama-nama diorang tu dah terpahat kat pintu Syurga. Kalau apa-apa jadi pun, diorang dah tak perlu risau dah...”

Aku pun tergelak dengan tiba-tiba bila mendengarkan jawaban spontan tersebut.

Kalau dulu para Sahabat-sahabat Nabi mengejar Syahid (mati) di medan perang (Jihad). Tetapi, kini anak-anak muda remaja kita mengejar mati di jalan raya...

Sabtu, Disember 13, 2008

Jom Keluar (Khuruj) 3 Hari???

Jom Keluar (Khuruj) 3 Hari???

http://an-nawawi.blogspot.com

Beberapa bulan yang lalu, saya pernah diajak oleh beberapa orang sahabat untuk supaya keluar tiga (3) hari. Dengan tujuannya adalah untuk belajar agama, memperkuatkan keimanan dan meningkatkan amalan. Di samping itu, katanya kita akan dapat berjumpa dengan alim ulama yang datang dari pelbagai tempat.

Sahabat-sahabat saya ini memang kerap keluar ke tempat-tempat tertentu atas tujuan tersebut sebagaimana yang mereka maklumkan. Mereka kebiasaannya akan keluar sekurang-kurangnya 1 atau 2 hari bagi yang baru berjinak-jinak dengan kumpulan ini.

Pernah saya di-ajak,

“Nawi, jom lah kita cuba keluar. Enta cuba sehari je dulu, tengok macam mana nanti.”

“Kalau tak dapat sekarang, sekurang-kurangnya enta tanamkan azam dulu untuk keluar satu hari atau tiga hari. InsyaAllah, Allah akan bagi kelapangan kepada enta.”

“Seperti sahabat-sahabat yang lain ada yang sudah biasa keluar 3 hari. Dan untuk cuti akan datang ni mereka semua berazam untuk keluar empat puluh (40) hari.”

“Malah ada sahabat-sahabat kita yang telah pun keluar sehingga tiga atau empat bulan ke negara-negara lain seperti India, Pakistan, Bangladesh, dan Australia untuk berdakwah. Dengan jalan keluar seperti inilah kita berupaya untuk melihat semula jalan dakwah para Nabi. Kita dapat berusaha menambahkan iman dan meningkatkan amalan. Mengajak sahabat-sahabat kita yang lain untuk mengikut jejak Nabi dan sahabat-sahabatnya. Kita ikut cara Nabi.”

Saya hanya mampu berkata kepada mereka,

“Saya memang mahu keluar lebih jauh lagi. Tetapi, memandangkan sudah tujuh tahun saya keluar meninggalkan kampung halaman sehingga ke Arau Perlis selama tiga tahun, dan sekarang sudah di Shah Alam selama empat tahun, saya kira saya mahu pulang menetap di kampung halaman semula bersama-sama keluarga tersayang. Kerana, amat-amat jarang sekali saya pulang ke kampung halaman sejak tujuh tahun kebelakangan ini. Alhamdulillah, selama tujuh tahun saya keluar, banyak perkara dapat saya pelajari selain dari perkara akademik. Banyak jalan yang Allah tunjuk kepada saya dan telah saya lalui (termasuk bersama kelompok Tabligh). Biarlah jika saya mahu keluar lagi, dengan berbekalkan ilmu dari dalil-dalil dan kefahaman yang jelas.”

Saya pernah katakan kepada mereka,

“Apakata kita keluar bersama-sama sahabat-sahabat saya yang lain untuk mengikuti pelbagai jenis kelas pengajian agama berkaitan Aqidah, fiqh, hadis dan seumpamanya. Tidak lama, sebentar saja, hanya mengambil satu jam atau dua jam dalam seminggu. Atau mungkin kita letakkan sehari dalam seminggu atau sebulan untuk pergi ke kuliah-kuliah hadis atau seumpamanya. Kita boleh buka kitab-kitab Mazhab Syafi’i, kita hadis al-Bukhari, juga kitab-kitab lainnya seperti kitab sirah.”

Namun, sedikit sekali yang mahu mengikutinya dari kalangan mereka. Kerana mungkin, mereka hanya mahu keluar dengan berpandukan cara-cara yang telah kelompok-kelompok mereka garis dan tetapkan sahaja.

Wallahu a’alam, sekadar sedikit catatan berhadapan dengan mereka yang berfikrah Tabligh.

Parti Islam, Negara Islam???

Parti Islam, Negara Islam???

http://an-nawawi.blogspot.com

Sungguh suatu ketika kita sering kedengaran bahawa mereka pernah mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara kafir (bukan negara Islam). Mungkin kurang dari itu, dan lebih sopan lagi, mereka mengatakan Malaysia negara sekular.

Namun anehnya, mereka menyanjung tinggi Iran sebagai Republik Islam.
[1] Iran sebagai sebuah negara Islam contoh! Mereka mengakui Sang Khomeini laknatullah sebagai seorang Imam tokoh revolusi (mujaddid) di dalam Islam yang wajar dihormati dan didoakan rahmat ke atasnya.[2] Hakikatnya, dia bukanlah Ayatullah (tanda-tanda Allah) Khomeini, tetapi Ayatus Syaithon (tanda-tanda Syaithon)![3]

Melabelkan negara sendiri (Malaysia) sebagai kafir, sekular, dan seumpamanya. Yang negara sendiri masih melaungkan azan yang baik dan syi’ar solat berjama’ah yang diimarahkan.
[4] Tetapi kenapa mahu menyanjung pula negara yang cukup-cukup diragui status agamanya sebagai “Republik Islam”. Yang mana negara tersebut terpenuhi dengan kalam ulamanya yang mencela dan mencaci para sahabat-sahabat Nabi kita yang diredhai.[5] Yang menzahirkan solat dan azannya cukup-cukup berbeza dari apa yang dibawakan oleh para salaf kita yang mulia. Yang menjadi pendukung-pendukung negaranya adalah Syi’ah Rafidhah yang melancarkan perang di serata tempat terhadap masyarakat Ahlus Sunnah[6]...

Jadi, di mana letak akalmu???

Footnote:

[1] Boleh juga dilihat sebahagian pernyataan mereka di sini: http://bahaya-syirik.blogspot.com/2008/06/065-apakah-orang-orang-pas-masih-tidak.html
[2] Ibid.
[3] Rujuk Kuliah “Konspirasi Syi’ah & Yahudi”, Armen Halim Naro. http://an-nawawi.4shared.com
[4] Rujuk artikel: Kriteria Asas Sebuah Negara Islam, http://an-nawawi.blogspot.com/2007/07/kriteria-asas-sebuah-negara-islam.html
[5] Sila teliti di dalam buku-buku seperti berikut: 1 - asy-Syi’ah was Sunnah, Dr. Ihsan Ilahi Zahir, Idarah Tarjuman as-Sunnah, Lahore (Pakistan). 2 – Risalatun fir Raddi ‘alal Rafidhah, Muhammad Abdul Wahhab, Darul Atsar, Yaman. 3 – Jawapan Ahl al-sunnah Kepada Syi’ah al-Rafidhah..., Kapten Hafiz Firdaus Abdullah, Perniagaan Jahabersa, Johor Baru (Malaysia). 4 – Komeini - A Moderate or a Fanatic Shi’ite, Dr. Abdullah Muhmmad Ghareeb, Pustaka Ushamurni, Kuala Lumpur (Malaysia).
[6] Komeini - A Moderate or a Fanatic Shi’ite, Dr. Abdullah Muhmmad Ghareeb, Pustaka Ushamurni, Kuala Lumpur (Malaysia).

Wahai Manusia Parti

Wahai Manusia Parti
(Dari Kumpulan Berlabel Parti Islam)!

http://an-nawawi.blogspot.com/

Wahai orang-orang parti politik!
Suatu ketika pernah kalian bersuara lantang,
Bergegar bumi mahu menegakkan negara Islam,
Namun kini, di mana itu semua?

Wahai orang-orang parti-parti politik!
Yang mahu menegakkan daulah Islamiyah,
Tetapi tidak mahu menegakkan tauhid.

Wahai orang-orang parti-parti!
Yang mahu menegakkan daulah Islamiyah,
Tetapi berganding bahu bersama pemusnah Islam.

Wahai orang-orang parti-parti!
Yang mahu menegakkan hukum qisas dan potong tangan,
Tetapi tidak mahu menegakkan hukum di hadapan pelaku syirik.
Meraikan sang syi’ah, muktazilah, khawarij, asya’irah, sufi, sekular, liberalisme...

Wahai orang-orang parti-parti!
Yang mahu membina jama'ah mapan kuat berjihad,
Tetapi sarang mu terpenuhkan dengan sang syi’ah, muktazilah, khawarij, asya’irah, sufi, sekularisme, liberalisme...
Yang akhirnya mebuahkan Neo-Pluralisme.

Wahai orang-orang parti-parti!
Yang bergaduh berebut selembar tanah jajahan,
Tapi tidak menyedari aqidah luput melayang.
Membiarkan dalil dan prinsip dipijak-pijak.

Wahai orang-orang parti-parti!
Yang mahu meninggikan syi’ar Islam,
Tetapi kelompok mu tempat bersarangnya bid’ah.
Tempat bersarangnya pencemaran aqidah,
Lubuknya kecelaruan dalam beragama.

Wahai orang-orang parti-parti!
Kasihanilah pengekor-pengekor (pengikut) mu,
Yang mendambakan ilmu dan tauhid yang murni,
Tetapi, perasaan amarah dan emosi yang kau terapkan.

Wahai orang-orang parti-parti!
Mari kita buka kitab para salaf,
Kita bersama cari ilmu untuk beramal,
Kembali di atas pijakan salafush soleh.
Meninggalkan kefahaman ala-jahiliyyah!

Jumaat, Disember 05, 2008

Kuliah Sehari: “Pesanan-Pesanan Terakhir Rasulullah Shallallahu ‘alahi wa Sallam”

-------@@@----@@@----@@@-------
Daurah Sehari (25/12/2008):
“Pesanan-Pesanan Terakhir Rasulullah Shallallahu ‘alahi wa Sallam”
- Pusat Pengajian al-Faqeh -
-------@@@----@@@----@@@-------

1 - Bersama kita menyingkapi dan menyelami pesan-pesan (wasiat) Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam kepada umatnya berkenaan perlunya berpegang teguh di atas Kitabullah dan Sunnahnya serta sunnah Khulafa’ur Rasyidin. Pesanannya kepada kita supaya berdiri teguh di atas manhaj para sahabat Salafus Soleh.

2 - Menjauhi perpecahan dan bersatu di atas jalan yang satu iaitu jalan yang beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan para sahabatnya berada di atasnya, dengan memahami konteks aqidah yang sahih dari sudut rububiyah, uluhiyyah, dan sekaligus membersihkan masyarakat dari unsur-unsur syirik dan penyimpangan di dalam agama.

3 - Dengan ini seterusnya mengajak kita agar berhati-hati dengan kepelbagaian perkara baru yang diada-adakan di dalam agama yang murni sedangkan Allah sendiri telah cukupkan Islam untuk kita semua tanpa perlu kita menokok tambah.

4 - Semoga program yang kami rangkakan ini bakal membuka minda serta pemikiran kita semua supaya kembali mengambil, memegang, dan mengamalkan agama (Islam) itu di atas prinsip-prinsip yang benar-benar sahih. Iaitu memahami agama berlandaskan al-Qur'an dan as-Sunnah di atas kefahaman 3 generasi terawal dari golongan para Sahabat, Tabi'in, dan Tabi' at-Tabi'in. Sekaligus berusaha membersihkan dan menghapuskan kefahaman agama yang dibina/didirikan di atas kefahaman akal, hawa nafsu, emosi, dan semangat kepuakkan.

5 - Dengan ini, kami menjemput dan mengalu-alukan anda untuk:

Bersama:
- Ust. Abu Ihsan al-Atsari -

(Seorang pendakwah yang bergiat aktif di banyak negara seperti Jepun, Amerika, Australia, Malaysia, dan terutamanya Indonesia. Juga seorang yang mengetuai barisan panel penterjemahan kitab-kitab induk di bawah Penerbit Pustaka Imam asy-Syafi’i. Juga aktif bersama beberapa pustaka yang lain seperti Pustaka an-Naba' dan Pustaka at-Tibyan. Di antara kitab-kitab besar yang telah beliau terjemahkan adalah seperti Tafsir Ibnu Katsir (oleh Imam Ibnu Katsir), al-Ibanah al-Ushul ad-Diyanah (Kitab Milik Imam Abu Hasan al-Asy'ary), serta banyak lagi kitab-kitab yang selainnya yang kini telah menjelajah ke segenap pasaran utama di serata Indonesia dan Malaysia. Kini, antara projek penterjemahan besar yang sedang giat beliau jalankan bersama Pustaka Imam asy-Syafi'i adalah menterjemahkan Kitab besar milik al-Hafiz Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani (tokoh besar dalam bidang fiqh dan hadis Mazhab asy-Syafi'i), iaitu kitab Fathul Bari, Syarah kepada Shahih al-Bukhari)

Bertempat di:
- Pusat Pengajian al-Faqeh -
35-A, Jalan Cokmar 1, Taman Mutiara, Bukit Raja Off Jalan Meru, 41050 Klang, Selangor.

Pada (Tarikh/Hari):
25 Disember 2008 (Cuti Umum)
(Hari Khamis)

Masa:
Dari jam 9:30pg – 5:00ptg

Bayaran penyertaan:
RM25.00 Seorang (Termasuk Nota/Buku dan Makan/Minum)

Untuk menyertai:
Hubungi Saudara Adi Negara, 016-2091531 atau Nawawi, 013-3701152. Tarikh tutup penyertaan, sebelum atau pada 22 Disember2008. Terhad kepada peserta lelaki sahaja (buat masa ini).

Untuk Update dan informasi terkini program ini:
Sila kunjungi http://an-nawawi.blogspot.com/