“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Selasa, Ogos 31, 2010

Meruntuhkan Otak Kaptif Setelah Merdeka

Meruntuhkan Otak Kaptif Setelah Merdeka

Oleh: Mohd Radzi Othman

Pertembungan Budaya Dan Jati Diri

Sa’ad bin Abi Waqqas menghitung jumlah penduduk daerah Ctesiphon ketika beliau membuka kota tersebut sekitar 137 000 orang namun bangsa tersebut lenyap setelah berlalu beberapa waktu. Persoalannya kemana hilang seluruh bangsa Parsi tersebut? Apakah mereka disembelih dalam upaya pembersihan etnik; sebagaimana yang telah dilakukan oleh Bangsa Serb atas Bangsa Bosnia yang menganut Islam suatu masa dahulu? Atau mereka telah mengalami diaspora atau berhijrah ke tempat lain? Ini boleh difahami dalam kacamata disiplin sosiologi dan kacamata Islam itu sendiri.

Ibn Khaldun berkata bahawa “Suatu bangsa yang telah dikalahkan dan berada dibawah kekuasaan bangsa lain, akan cepat lenyap”. (al-Mukaddimah). Kemudian beliau berkata lagi: “Peraturan Islam adalah dikenal kerana keadilannya” maka Islam tidak membenarkan umatnya membunuh kafir zimmi tanpa hak yang benar. Begitu juga darah seorang Muslim itu haram atas Muslim yang lain. Maka misteri lenyapnya Bangsa Parsi setelah berlalu beberapa waktu setelah mereka dikalahkan oleh Bangsa Arab adalah kerana difusi budaya dan teori muatan rohani, bukannya kerana ketidakadilan Islam atau kekejaman umatnya.

Dalam pembauran budaya atau penetrasi kebudayaan, akan mucul paling kurang tiga bentuk tindakbalas iaitu Akulturasi, Asimilasi atau Akomodasi. Akulturasi adalah pergabungan dua budaya sehingga terbentuk budaya baru tanpa menghilangkan unsur budaya asli. Sementara itu asimilasi adalah pertembungan dua budaya sehingga terbentuk budaya baru. Akomodasi pula adalah pembauran dua budaya yang akhirnya akan memenangkan budaya yang dominan sehingga budaya minoriti terhapus. Kaum minoriti akan melazimi budaya kaum majoriti bagi menghindari konflik.

Maka dalam kes Bangsa Parsi lenyap setelah ditakluk Bangsa Arab adalah kerana bangsa tersebut telah berakomodasi di dalam Bangsa Arab sehingga mereka berbicara dengan lidah Arab, mereka berbusana dengan pakaian Arab dan mereka berbudaya dengan budaya Arab. Oleh itu akhirnya mereka menjadi Bangsa Arab sehingga hilang unsur-unsur bangsa mereka sendiri.

Malah lebih utama adalah perubahan sesuatu bangsa itu selalu berlaku kerana “Muatan Rohani” yang berakar umbi pada agama penganutnya. Iaitu ketika bangsa Parsi meninggalkan agama Majusi dan beralih kepada Islam, maka mereka berkongsi kepercayaan dengan bangsa Arab. Malah hukum-hukum Islam memasuki diri mereka sehingga mereka menjadikan Islam sebagai pedoman dalam berbudaya yang akhirnya mereka mengikut Bangsa Arab yang lebih dahulu menemui Islam.

Minda Kaptif Muncul Dari Jatidiri Yang Lemah

Ada satu lagi teori yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh sosiologi antaranya Bapa Sosiologi Ibn Khaldun. Beliau membawakan teori “Minda Kaptif” atau Minda Terjajah.

Menariknya Minda Terjajah ini tidak berlaku kepada penganut Islam yang baharu lantaran Islam menyebar bukan kerana mahu mengorek kekayaan pribumi atau menghambakan manusia, sebaliknya Islam mahu memerdekakan manusia dari penghambaan dan memerdekakan jiwa dari kesyirikan. Ibn Khaldun berkata tentang Minda Terjajah:

Yang ditakluki selalunya mahu meniru yang menang dalam hal perilaku, caranya berpakaian, pekerjaannya dan pelbagai keadaan dan adat resam. Sebabnya ialah kerana jiwa selalunya melihat kesempurnaan pada diri orang yang berupaya menakluki jiwa itu dan kepada orang yang menjadi tempatnya bernaung. Dia melihat tokoh berkenaan sebagai sempurna, sama ada disebabkan jiwa itu dipengaruhi oleh rasa hormat terhadapnya, atau kerana jiwa itu silap dalam mengandaikan bahawa perasaan patuh kepada orang tersebut bukanlah disebabkan kekalahan tetapi kerana kesempurnaan orang yang menakluki itu. Sekiranya andaian yang salah itu telah sebati dalam jiwa, maka ia akan membentuk sebuah keyakinan yang kukuh. Jiwa itu kemudiannya akan menerima seluruh perilaku dan tindak-tanduk orang yang menang dan mengasimilasikan diri dengannya. Inilah yang dimaksudkan dengan sebuah peniruan.” (al-Mukaddimah)

Kerana itulah Munsyi Abdullah lebih suka memuji orang Inggeris, seperti pujiannya kepada isteri Tuan Raffles dengan menganugerahkan serangkap pantun: “Puyu-puyu konon namanya, Di dalam kolam konon tempatnya, Cantik manis barang lakunya, Serta dengan budi bahasanya”. Namun dia mencoretkan watak wanita Melayu dengan gambaran buruk dan biadap: “Apakah konon berkain batik, Kalau tidak dengan sujinya, Apa guna berbini cantik, Kalau tidak dengan budinya.” (Hikayat Abdullah).

Namun minda Raja Ali Haji tidak mampu dijajah oleh Belanda sepertimana terjajahnya minda Munsyi Abdullah dengan Inggeris. Dalam Tuhfat an-Nafis beliau menggambarkan perilaku Bangsa Belanda ketika beliau bersama ayahnya, Raja Ahmad Riau mengadakan misi diplomasi di Betawi: “Di situlah segala Hollanda yang muda-muda menari bersama-sama perempuan nonanya, berpelok-pelok berpusing dengan muzik”. Dengan jelas dia melihat betapa asingnya budaya Bangsa Belanda dari kacamata Islam dan akal budi Melayu. Dari keturunan Raja Ali Haji inilah lahir Syed Syeikh al-Hadi yang menjadi simbol kepada “Reformasi Pemikiran” di Tanah Melayu.

Contoh Otak Kaptif Yang Dianut

Namun begitu, tanpa sedar “Kemelayuan” yang kita warisi semakin pudar ditelan globalisasi. Selama 400 tahun umat Melayu dijajah, sedikit sebanyak budaya kita berubah akibat pertembungan budaya. Tanpa sedar juga rupanya kita masih menyanjung Barat sehingga kita “beriman” akan kesempurnaan mereka pada semua sisi. Lantas kita pun meniru mereka dalam berpakaian, tingkah-laku hatta sehingga cara mereka berfikir dan berbahasa!

Begitulah kita menerima mereka dengan hati yang terbuka dan toleransi tinggi sehingga kita mengorbankan akal budi kita sendiri. Begitu juga kita merelakan seluruh cara fikir mereka menerobos minda dan jalan fikir kita. Kita berbuat demikian untuk merasa maju, menganggap moderat dan melakar nama di persada dunia. Namun tanpa sedar pemikiran dan jalan fikir tersebut sangat berbahaya kepada kita.

Kita menerima hampir semua “isme” yang mereka bidankan tanpa banyak bicara. Begitu juga dalam beragama, kita banyak mencerap filsafat Yunani dan kemudian kita imaninya. Sedang kita semakin lupa untuk tetap teguh kepada aqidah yang sahih dan amal ibadah yang sempurna – mengikut petunjuk Rasul Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Beliau berkata: “Sesiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia sebahagiaan dari mereka.” (Direkodkan oleh Abu Dawud)

Kita dahulu dikenali sebagai sebuah umat yang bersatu sehingga kita mengungkapkan “Bulat air kerana pembentung, bulat masyarakat kerana muafakat”. Begitu juga kita dahulunya mentaati pemimpin kita dengan iman dan taqwa sehingga kita berkata: “Biar mati anak, jangan mati adat.” sedang “Adat bersendi hukum, hukum bersendi syara', syara' mengata adat menurut”. Lantas leluhur kita menterjemahkan hal tersebut dalam Hikayat Hang Tuah.

Taat Hang Tuah kepada Sultannya

Ketika Hang Tuah disingkir dan dihukum bunuh, maka dia menurut. Begitu juga ketika Sultan mengusir Puteri Gunung Ledang, dia juga mengikut. Juga seluruh rakyat diam tanpa berontak. Kerana umat Melayu mengerti bahawa ketaatan kepada penguasa penting untuk keamanan Negara. Dan mereka mengerti bahawa Hang Jebat itu pemberontak dan wajarlah hayatnya ditamatkan oleh Hang Tuah.

Citra umat Melayu ini bersamaan dengan prinsip Islam. Diriwayatkan dari Abu Hamzah, dia berkata: “Ketika sampainya kepadaku peristiwa pembakaran Ka’bah (yang dilakukan oleh Hajjaj ats-Tsaqafi – Panglima tentera Abdul Malik B. Marwan) aku keluar menuju Makkah. Aku berkali-kali menemui Ibn 'Abbas sehingga beliau mengenali aku dan menyanyangiku. Kemudian aku mencaci Hajjaj di depan Ibn Abbas, maka beliau berkata: Jangan engkau menjadi pendukung syaitan.” (Direkodkan oleh Bukhari)

Malangnya otak kita telah dijajah dengan slogan “kebebasan berpendapat” sehingga mereka berani melanggar aturan Islam dengan mencerca penguasa. Mereka menjulang kata “Raja adil raja di sembah, raja zalim raja di sanggah” yang keluar dari mulut penderhaka bangsa. Dan mereka juga malu untuk berkata “Melayu harus bersatu dan memerintah”. Mereka merasa assabiyah itu sebuah kejahatan dan dosa, sehingga mereka tidak mahu berjuang untuk bangsa. Sedangkan asabiyah yang terlarang adalah menolong bangsanya dalam melakukan kejahatan.

Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam: “Adakah perbuatan asabiyah seseorang itu suka (kasih) kepada kaumnya (bangsanya)? Tidak, tetapi asabiyah itu ialah orang yang menyokong (menolong) kaumnya melakukan kezaliman.” (Direkodkan oleh Abu Daud dan Ibnu Majah)

Usaha memperjuangkan nasib bangsa bukan sebuah asabiyah yang tercela.

Isnin, Ogos 30, 2010

Mendoakan Orang Kafir Dalam Khutbah Jumaat Bukan Amalan Islam

Mendoakan Orang Kafir Dalam Khutbah Jumaat Bukan Amalan Islam

Ustaz Ahmad Tajuddin Idris al-Manhaji
Tuantulis81@gmail.com

Baru-baru ini kita digemparkan dengan isu khatib mendoakan kesejahteraan dan rahmat kepada pemimpin bukan Islam di dalam khutbah jumaat di Pulau Pinang. Isu ini telah mendapat reaksi yang berbeza dari kalangan ilmuan dan masyarakat tanah air, ada yang melarang dan ada yang membenarkan.

Secara peribadi dalam isu ini, saya lebih cenderung kepada perkataan ulama yang melarang mendoakan kesejahteraan dan rahmat kepada bukan Islam. Kecenderungan saya ini bukanlah membabi-buta tetapi insya-Allah akan disusuli dengan hujah ilmiah bagi meluruskan perkara berkenaan isu ini.

Ada di kalangan ustaz yang membela perbuatan boleh mendoakan kepada bukan Islam dengan mendatangkan beberapa hujah berdalilkan beberapa ayat al-Qur’an dan Sunnah baginda Nabi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Cuma apa yang hendak diingatkan ialah doa yang dilakukan oleh khatib tesebut adalah di dalam khutbah jumaat. Saya ingin bertanya kepada sesiapa yang berkenaan dalam membela isu ini apakah perbuatan mendoakan kesejahteraan dan rahmat di dalam khutbah jumaat kepada bukan Islam pernah di lakukan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam? Atau pernahkan dilakukan oleh para sahabat? Apakah pernah dilakukan juga oleh para salaf? Tentu jawapanya tidak.

Kalaulah demikian keadaannya, perbuatan yang dilakukan oleh khatib tersebut adalah perkara baru yang tidak ada contohnya dalam agama, dan setiap perkara baru yang diada-adakan dalam agama adalah bid’ah dan setiap yang bid’ah itu sesat dan setiap yang sesat itu di dalam neraka. Kerana khatib tersebut telah megkhususkan suatu bentuk perbuatan yang tidak pernah dicontohkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan para salaf.

Memang benar Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah meberi ucapan “assalamualaikum” di dalam majlis yang turut dihadiri oleh orang bukan Islam. Hakikat ini bukanlah boleh dijadikan satu dalil dalam membolehkan untuk berdoa kepada bukan Islam di dalam khutbah jumaat. Bahkan ucapan salam Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tersebut adalah umum, mungkin kita juga boleh berhujah bahawa ucapan salam Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tersebut adalah khusus kepada orang Islam manakala yang bukan Islam tidaklah bermanfaat ucapan tersebut kepada mereka.

Kalau kita meneliti dengan mendalam, kita akan mendapati bahawa tidak pernah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mendoakan kesejahteraan dan rahmat kepada orang kafir atau musyrik dengan mengkhususkan ucapan salam dan doa rahmat kepada nama-nama tertentu dari kalangan orang musyrik.

Bahkan kata Syaikh Ismail bin Marsyud ar-Rumaih di dalam kitabnya Jahalatun Nas Fid Du’a (Kesalahan Dalam Berdoa), beliau berkata: “Mendoakan orang kafir supaya diberikan rahmat dan pengampunan adalah diharamkan, dan sesiapa yang melakukannya maka dia telah berdosa dan tidak akan dikabulkan doanya”.

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala agar diberikan hidayah kepada orang kafir dan musyrik sama ada secara umum mahupun secara khusus dengan menyebutkan nama-nama tertentu, seperti mendoakan hidayah terhadap penduduk Thaif, iaitu berdoa supaya salah seorang Umar memeluk Islam dan mendoakan hidayah untuk kabilah Daus. (Rujuk di dalam Sahih al-Bukhari, Kitab ad-Da’waat).

al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah berkata: “Sekali-sekala Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berdoa kepada Allah agar mereka dihancurkan dan kadang-kala beliau berdoa kepada Allah agar mereka di beri hidayah, iaitu di saat Rasulullah mendapat tekanan yang sangat dahsyat maka beliau menempuh cara yang pertama dan apabila banyak yang beriman dan yang lainya diharapkan masuk Islam maka beliau berdoa kepada Allah agar mereka mendapat hidayah”. (Fathul Bari, 6/126)

Ada juga golongan agama yang berhujah dengan kisah yang sahih bahawa ada sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah meruqyah/jampi kepada orang yang bukan Islam yang terkena penyakit gila dengan al-Fatihah sehingga sembuh dan diberikan kepada sahabat 100 ekor kambing sebagai balasan. Kisah ini dijadikan dalil dalam membela bolehnya mendoakan kesejahteraan kepada mereka.

Perlu diberikan perhatian, kadang-kala ada segelintir orang agama yang menggunakan dalil umum sebagai hujah untuk membela perkara yang khusus. Seperti ingin memaksa-maksakan dalil tersebut agar sesuai dijadikan hujah bagi membela isu agama yang ingin mereka pertahankan.

Ini adalah sebagaimana mereka mempertahankan isu khutbah Jumaat ini.

Di mana mereka menggunakan kisah ruqyah/jampi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tersebut sebagai dalil dan hujah untuk membolehkan doa kesejahteraan serta rahmat kepada bukan Islam. Sedangkan ternyata sangat jauh berbeza perbuatan dan maksudnya di antara ruqyah/jampi dengan doakan kesejahteraan dan rahmat kepada bukan Islam. Di mana ruqyah dan jampi adalah permintaan kesembuhan penyakit fizikal manakala doa kesejahteraan dan rahmat bersifat agama dan tauqifiah.

Sekirannya teringin juga untuk mendoakan orang bukan Islam dengan dalil tersebut, maka carilah orang yang sakit dari kalangan mereka (dan dengan perminataan mereka) lalu ruqyahkan dan jampilah agar meraka sembuh. Bukannya dengan menaiki di atas mimbar di hari Jumaat yang khusus, di dalam khutbah yang khusus dan doa yang khusus pula untuk mereka. Lalu meninggalkan pula doa untuk pemimpin umat Islam yang telah tsabit dalam prinsip Ahlus Sunnah wal-Jama’ah.

Jika benar ada pendapat ulama yang membolehkan mendoakan rahmat kepada bukan Islam selagi meraka tidak mati dan tidak memusuhi Islam. Maka saya ingin membawa sebuah kisah di mana pernah ada seorang Yahudi yang ingin bersin lalu dia menghampiri Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan harapan setelah ia bersin, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam akan mendoakannya dengan doa “yarhamukallah” (semoga Allah merahmatimu). Inilah doa yang Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ajarkan kepada kita untuk mendoakan kepada orang Islam yang bersin. Tetapi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak mendoakan dengan doa ini, bahkan nabi mendoakan kepada Yahudi tersebut dengan doa “yahdikumullah wa yuslihu balakum” (semoga Allah memberi hidayah kepada kamu dan membaiki hati kamu). Hadis Riwayat al-Bukhari.

Kisah ini membuktikan bahawa mendoakan rahmat kepoada orang bukan Islam tidak pernah dilakukan oleh Nabi saw secara khusus, kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menggantikan doa ‘yarhamukallah’ kepada ‘yahdikumullah wa yuslihu balakum’. Kalaulah boleh mendoakan rahmat kepada mereka, sudah tentu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak akan menggantikan doa tersebut.

Kisah ini juga membuktikan bahawa tidak ada masalah untuk mendoakan hidayah kepada orang bukan Islam samada ianya memusuhi Islam atau tidak memusuhi Islam. Mudah-mudahan doa tersebut menjadi sebab Allah memberi hidayah Islam kepada mereka, pun begitu tidaklah juga Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mendoakan hidayah kepada bukan Islam secara khusus di dalam khutbah jumaat, melainkan ianya hanya berlaku di luar khutbah jumaat.

Berhubung dengan doa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam agar dikuatkan Islam dengan salah seorang Umar, perkara ini juga perlu diambil perhatian kerana dalam doa ini Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam secara terang-terangan memohon kepada Allah agar diberi hidayah kepada salah seorang Umar dengan disebutkan nama agar keislaman salah seorang dari mereka akan menjadikan Islam itu kuat.

Secara peribadi saya bersetuju agar setiap muslim mendoakan hidayah kepada orang bukan Islam yang boleh memberi manfaat kepada kekuatan Islam. Tetapi yang perlu diluruskan adalah janganlah memilih bulu untuk mendoakan hidayah individu bukan Islam dengan hanya beberapa orang sahaja, yang kelihatannya seperti ada agenda yang berat sebelah kepada ideologi politik tertentu. Sekiranya ikhlas, kenapa tidak didoakan hidayah kepada pemimpin bukan Islam yang memimpin sebelum ini. Bahkan doakan juga sekali hidayah kepada pemimpin-pemimpin dan orang-orang kaya yang bukan Islam dengan disebutkan nama-nama mereka secara khusus, jika Allah memakbulkan insya-Allah Islam akan kuat dengan ramainya orang bukan Islam menganut Islam. Malangnya, Sudah tentu perkara ini tidak akan dilakukan disebabkan fahaman sempit ideologi politik sendiri.

Saya juga bersetuju bahawa seseorang muslim boleh berbuat baik kepada mereka dalam hal muamalah dan keduniaan seperti memberi sumbangan harta dan bergaul dengan mereka selagi mereka tidak memusuhi Islam sebagaimana firman Allah, maksudnya: "Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Mumtahanah, 58: 7-8)

Dalam ayat ini juga Allah mengingatkan kita agar tidak berteman rapat kepada orang-orang yang memerangi Islam dan orang Islam. Tetapi yang sedihnya, individu yang didoakan ini sudah kita maklumi ianya berada dalam parti yang secara terang-terangan menolak hukum Alllah agar tidak dilaksanakan di Negara ini.

Apa yang kita bimbangkan, takut-takut kita terkena firman Alllah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang melakukan kezaliman nanti api neraka akan menyentuh kamu, sedangkan kamu tidak ada sebarang penolong pun selain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan." (Surah Hud, 11: 113)

Bukankah menentang hukum Alllah secara terang-terangan ini adalah satu kezaliman?! Bukankah kezaliman yang besar itu adalah syirik kepada Allah?! Seperti kata Luqman kepada anaknya yang dirakamkan di dalam al-Qur’an: “...Sesungguhnya syirik itu satu kezaliman yang paling besar”. (Surah Luqman, 31: 13). Mana mungkin kita sewenang-wenangnya untuk cenderung kepada golongan yang membenci Islam dan syirik pula dalam beragama.

Bagi saya, yang terbaik bukanlah mendoakan kebaikan kepada pemimpin bukan Islam seperti memerintah dengan adil, kesejahteraan kesihatan atau keamanan harta tetapi yang sebaiknya ialah kita berdoa mohon perlindungan kepada Allah agar dilindungi dari kezaliman dalam pemerintahan, perlindugan agar tidak ditimpakan bala akibat kesyirikan pemimpin dan perlindungan agar nikmat keamanan diri dan harta tidak ditarik akibat tidak dapat memilih pemimpin Islam. Beginilah Islam mengajar umatnya agar sentiasa memohon perlindungan kepada Allah dalam semua keadaan sebagai bukti pergantungan harapan dan bukti kebenaran Islam itu adalah agama rahmat kepada sekalian alam.

Saya juga menyeru agar khatib yang mendoakan kesejahteraan dan rahmat kepada pemimpin bukan Islam di dalam khtubah jumaat hendaklah segera bertaubat dan mohon keampunan kepada Allah dan membetulkan kembali kesilapan yang dilakukan agar kesucian Islam terjamin. Semoga Allah SWT mengampunkan kita semua yang beriman kepada-Nya.

Semoga sedikit nasihat saya ini kepada ustaz yang mempertahankan isu tentang bolehnya mendoakan kesejahteraan dan rahmat kepada bukan Islam dapat merenung kembali isu ini dengan seadil-adilnya, supaya kita tidak tersalah dalam mempertahankan kebenaran. Semoga Allah Subhanahu wa Ta’ala memberi hidayatut taufiq kepada kita semua dan hendaklah kita sentiasa mengetahui bahawa agama itu adalah nasihat.

Khamis, Ogos 19, 2010

Pembuangan Bayi: Natijah Lambakan Gangguan Seksual

Pembuangan Bayi: Natijah Lambakan Gangguan Seksual

http://an-nawawi.blogspot.com

Suatu fenomena telah berlaku. Di mana masyarakat (terutamanya kaum lelaki) kini dihadapkan dengan pelbagai bentuk gangguan dan serangan seksual. Fokus saya adalah merujuk kepada perlakuan kebanyakan kaum wanita di luar sana di mana mereka dengan tanpa segan dan malu telah melakukan aksi-aksi yang merangsangkan naluri-naluri seksual kebanyakan kaum lelaki.

Tanpa rasa malu, ramai dari kalangan kaum wanita terutamanya peringkat remaja dan pemudi yang begitu bangga mendedahkan aurat-aurat dan mahkota mereka bagi tontonan umum. Mereka menghias dan menjaga tubuh bagai seorang puteri, tetapi akhirnya dijadikan bahan jajaan dan peragaan merangsang nafsu seksual! Tubuh-tubuh molek sang wanita dipadankan dengan pakaian sendat dan singkat atas niat untuk melawa dan mendapat perhatian pandangan umum.

Sama ada tanpa sedar atau disengajakan, tindakan kaum wanita tersebut telah membangkitkan gelojak nafsu seksual kepada ramai kaum lelaki yang normal di luar sana. Mana tidaknya, sekiranya kain disingkatkan sehingga menampakkan betis dan peha? Baju pula disendatkan dan terlondeh membayangkan bentuk tubuh serta buah dada. Untuk bertudung, apatah lagi. Rambut dibiar menjuntai. Jika bertudung, hanya sekadar fesyen.

Dalam sebuah hadis yang direkodkan oleh Imam al-Bukhari, disebutkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa: “Apabila malu tiada lagi, maka lakukanlah sesuka hatimu.”

Demikianlah yang berlaku, apabila ramai kaum wanita muslim tidak lagi memiliki rasa malu. Tubuh-badannya menjadi tatapan umum sehingga ianya bukan lagi suatu perlakuan yang janggal.

Sehingga di dalam majalah, akhbar-akhbar, media/aplikasi internet dan media-media elektronik tubuh-badan mereka dijaja dengan cara yang cukup memberahikan. Jika ini yang semakin berleluasa, maka tidak hairanlah berlaku peningkatan kepada gejala zina, seks bebas, khalwat (berduaan) lelaki dengan wanita, pergaulan bebas dan pelbagai lagi gejala negatif lainnya yang semakin menjadi-jadi sehinggalah kepada lambakan kes pembuangan dan pembunuhan bayi.

Gejala-gejala seksual inilah yang kian membinasakan masyarakat, merosakkan fitrah, meghancurkan tatasusila peraturan kemanusiaan dan kehidupan beragama. Sekaligus ia adalah sebahagian dari tanda-tanda kemusnahan manusia serta dekatnya kiamat. Ini disebutkan antaranya di dalam hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

Dan yang tinggal adalah seburuk-buruk manusia, mereka melakukan hubungan kelamin sebagaimana keldai (di khalayak umum), maka kepada merekalah kiamat akan berlaku.” (Sahih Muslim)

Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidak akan hancur umat ini sehingga kaum lelaki mendatangi kaum wanita, lalu dia menyetubuhinya (berzina).” (al-Haitsami, Majmu’ az-Zawa’id, 7/331)

Demikianlah apabila gejala ransangan seksual berlangsung dalam masyarakat manusia dengan begitu terang-terangan dan tanpa sekatan mahupun batasan. Mulanya mungkin dengan telinga, sekadar mendengar... kemudian dengan mata, iaitu melihat. Kemudian dengan tangan iaitu dengan meraba... diikuti pula dengan kata-kata yang menghairahkan dan membangkitkan syahwat, akhirnya sehinggalah kepada hubungan perzinaan yang nyata. Apatah lagi di zaman rendah dan runtuhnya budaya iman dan kefahaman terhadap agama ini. Gejala yang bertentangan dengan agama dipromosikan secara besar-besaran, manakala urusan ilmu agama dan tauhid disembunyikan.

Sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di mana zina bermula dengan pandangan, pendengaran, perkataan, permainan sentuhan tangan, dan imaginasi seks, sehingga akhirnya keimanan-lah yang menentukan:

Persoalan anak Adam berkaitan zina telah ditentukan. Tidak mustahil, ia pasti melakukannya. Dua mata berzina dengan melihat, dua telinga berzina dengan mendengar, lidah berzina dengan berkata-kata, tangan berzina dengan menyentuh, kaki berzina dengan melangkah, hati berzina dengan imaginasi, dan kemaluanlah yang akan membenarkan (merealisasikan) atau mendustakan semua itu.” (Sahih Muslim)

Fenomena ini tidak dapat dinafikan lagi oleh majoriti kita yang memandang tepat ke tengah-tengah masyarakat hari ini. Program-program pembangkit syahwat tersebar dengan begitu meluas dan di antara penyumbang utamanya adalah wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya telanjang. Dibantu pula dengan adegan peragaan yang tidak kenal erti malu melalui pelbagai media terbuka.

Sewajarnyalah kita insafi hal ini kerana ianya hanya membawa kehidupan manusia kepada akibat yang sangat buruk. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyebutkan di dalam banyak hadis-hadisnya:

Ada dua kelompok manusia penghuni neraka yang belum pernah aku lihat, (di antaranya adalah) wanita yang berpakaian tetapi telanjang, selalu melakukan maksiat dan mengajarkan maksiatnya kepada orang lain.” (Sahih Muslim)

Dengan gejala-gejala seperti inilah, yang antaranya menjadi agen penyumbang utama kepada gejala zina yang semakin berleluasa lalu menghasilkan gejala seterusnya yang lebih buruk lagi seperti gejala pembuangan dan pembunuhan bayi di sana sini.

Dari itu, serulah para wanita dan wali para wanita supaya memantau diri-diri mereka. Berilah penekanan pendidikan agama (spiritual) semaksimum mungkin terutamanya dalam aspek teras aqidah dan kepercayaan yang tepat. Sekiranya dalam bidang duniawi kita boleh utamakan, sepatutnya dalam soal ketuhanan juga tidak kita remehkan, bahkan perlu kita lebihkan lagi.

Selain itu, personaliti dan karektor pula perlulah sentiasa bertepatan dengan saranan agama, dan bukan sekadar mengikuti nafsu dan pemikiran. Kerana, agama (Islam) itu adalah keselamatan, manakala pemikiran tanpa landasan agama itu membawa kepada kebinasaan. Pelajarilah serta terapkanlah adab dan akhlak seorang insan dengan tauladan nabi. Dengan akhlak dan adablah kita pernah membina tamadun yang sungguh tinggi lagi gemilang. Bukan dengan dunia penuh nafsu dan syahwat seksual kebinatangan. Selamatkanlah nilai-nilai kemanusiaan dari ditenggelami nafsu seksual tanpa sempadan yang akhirnya menjerumuskan kepada pembunuhan dan kemusnahan. Lebih utama lagi, carilah keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala, kerana wang, rupa-paras, dan populariti bukanlah tujuan kehidupan. Bahkan ia adalah sebagai ujian.

Jika kita mahu merenung kembali, suatu ketika dahulu Islam telah membuktikan mampu menghapuskan pelbagai gejala buruk yang menimpa masyarakat arab jahiliyyah. Termasuklah gejala perzinaan dan pembunuhan bayi. Maka, tidak mustahil sekiranya masyarakat pada hari ini umumnya dan umat Islam khususnya bersedia untuk kembali kepada Islam dan mempraktikkannya dengan tepat, insyaAllah pelbagai gejala negatif yang melanda akan dapat dihapuskan atau setidak-tidaknya dikurangkan.

Wallahu a’lam...

Keadilan Demokrasi Bukan Keadilan Islam!

Demokrasi Selamanya Bukan Menegakkan Keadilan Islam!

http://an-nawawi.blogspot.com/

Takrifan adil perlu dengan takrifan Islam. Bukan dengan adil menurut akal fikiran kita.

Tahukah anda bahawa Adil di sisi demokrasi itu sebenarnya tidak adil di sisi Islam?

Adil adalah dengan meletakkan sesuatu pada tempatnya (haknya) atas timbangan agama.

Demokrasi di atas hanyalah sebagai contoh. Ramai di kalangan kita yang memperjuangkan demokrasi atas alasan “keadilan”. Hakikatnya, demokrasi memang direka-cipta untuk berlaku tidak adil. Mana mungkin hak seorang lelaki disamakan dengan hak seorang wanita. Hak seorang Muslim, professor, ulama, atau doktor mahu disamakan dengan hak seorang yang kafir, yang jahil/bodoh, tukang sapu, orang tidak bersekolah, yang zalim, yang fasiq, atau ahli maksiat? Mana mungkin lelaki memiliki hak yg sama dengan wanita, atau sebaliknya? Tidak mungkin untuk menyamakan hak lelaki dengan wanita, sehingga urusan mengandungkan anak pun boleh dipegang oleh lelaki?! Mustahil bukan!

Begitulah dengan demokrasi, semuanya itu mahu disama-ratakan atas nama menuntut keadilan yang realitinya tidak mungkin. Masing-masing mahu menjadi sama rata, dengan memegang satu undi setiap orang. Sedangkan di dalam Islam, wajarkah hak pemilihan kepimpinan negara (Islam) diserahkan kepada orang kafir, orang fasiq, atau ahli maksiat? Juga tidak wajar disamakan hak seorang professor, ulama, atau doktor dengan seorang yang jahil/bodoh, tukang sapu, orang tidak bersekolah, yang zalim, yang fasiq, atau ahli maksiat...

Para pejuang demokrasi harus sedar hal ini. Terutamanya dari kalangan umat Islam yg bersungguh menyeru kpd demokrasi adil dan telus! Kerana di dalam slogan tersebut ada kekufuran. Mana mungkin dinamakan pejuang Islam, tetapi hakikatnya menyeru kepada kekufuran (kesama-rataan yg ditentang oleh Islam sendiri)? Na'uzubillahimin zalik... Semoga Allah menyelamatkan kita semua...

Sebenarnya ramai kelompok tertentu di luar sana yang bersuara melaungkan memperjuangkan keadilan. Termasuklah pejuang keadilan untuk hak asasi wanita, hak keadilan bersuara, hak keadilan berpolitik, dan seumpamanya.

Sebagai contoh, golongan feminisme mahukan hak kesama-rataan di antara wanita dengan lelaki. Mungkinkah ini berlaku? Sedangkan dalam Islam, wanita itu ada haknya sendiri yg tidak sama dengan lelaki. Masing-masing diberikan hak bersesuaian dengan fitrahnya.

Begitu juga urusan politik. Wajarkah setiap orang untuk tampil bersuara tentang politik negara, sehinggakan orang yang jahil dan mengaku-ngaku pandai juga harus melibatkan diri? Sedangkan banyak lagi priority lain yang dia perlu penuhi utk dirinya sendiri masih tidak terpenuhi. Sungguh ini bukanlah sesuatu yang adil untuk dirinya dan agamanya.

Malah, batas-batas agama turut dipijak-pijak pula. Saranan-saranan agama turut dilempar ke tepi atas alasan ianya tidak lagi relevan atas nama sistem kita sistem demokrasi, bukan sistem khilafah! Apakah timbangan wahyu sudah diketepikan lalu harus berdalilkan demokrasi?

Untuk mengulas sesuatu isu yg besar, ilmu amat-amat diperlukan. Penguasaan terhadap banyak perkara perlu dipertimbangkan...

Sekiranya belum sampai masanya, diam itu lebih baik bagi kita, atau kita lebih redha fitnah terus melebar dan mencetus fenomena?

Rabu, Ogos 11, 2010

Daurah Ramadhan Bersama Ustaz Abu Ihsan al-Atsary

Daurah Ramadhan Bersama Ustaz Abu Ihsan al-Atsary
(Ahli Penterjemah Buku-buku Bahasa Arab di Indonesia: Seperti Tafsir Ibnu Katsir dan Fathul Bari Syarah Sahih al-Bukhari)

Tajuk:
Meraih Kebahagiaan Dengan Ahlus Sunnah wal-Jama’ah

(Sempena Tajuk Buku Baru Beliau)

Tarikh/Hari:
21-22/08/2010 (Sabtu-Ahad)

Masa:
10am-4pm (Sabtu dan Ahad)

Tempat:
Dewan Ilmu Wahyu
No. 48-A, Jalan Sri Sarawak 19,
Taman Sri Andalas, Klang.
(Belakang Hospital Bersalin Razif)

Bayaran/Yuran:
Percuma

Untuk Tempahan Tempat:
Hubungi Saudara Halim, 012-3256161

Jumaat, Ogos 06, 2010

Kerana Muzik...

Kerana Muzik...


Dibacakan kepada mereka Kitabullah, mereka pun tunduk...

Bukan kerana mereka takut, tapi kerana lalai dan alpa.

Namun, untuk mendengar nyanyian, mereka bagaikan lalat yang menari-nari terbang...

Demi Allah, mereka tidak menari kerana Allah, Tuhan mereka.

Rebana, seruling, irama muzik, dan para penyanyinya bilakah agaknya sebuah ibadah dapat dilakukan dengan hiburan?

Kitabullah menjadi berat buat mereka...

Di ketika melihat al-Qur’an membebani mereka dengan perintah dan larangan.

Manakala tarian menjadi menjadi ringan buat mereka kerana nyanyian itu nista...

Dan kebatilan pasti menjadi teman kepada para penggemarnya.

Realiti syari’at dan kebenaran mereka tinggalkan...

Mengikuti kefahaman kaum sesat yang zahir menebar.

Mereka menjadikan kemenangan dengan perdebatan...

Ayat-ayat syair menjadi mantera menyesatkan yang menyerang dengan ganas.

Nyanyian memuaskan nafsu-nafsu mereka...

Segala yang mustahil dan nista seolah-olah mereka capai dalam nyanyian.

Dengan nyanyian mereka jadikan ketaatan, taqarrub dan sunnah yang selalu dilakukan...

Dengannya mereka meniru guru-guru kesesatan.

Al-Qur’an, hadis-hadis dan fatwa para sahabat bukan lagi keutamaan, tidak lagi bererti...

Buat mereka, syair itu kehidupan...

Demi Allah, musuh tidak pernah tewas dengan kebatilan, bahkan merekalah yang tewas dengan musuh...

Di hati mereka penuh dengan angan-angan dan nafsu!

Pendahuluan

Perkembangan dunia muzik masa ini berkembang dengan sangat pesat. Dengannya telah menjadi seribu satu kepentingan, seiring dengan gaya hidup manusia masa kini yang menganggap begitu mementingkan seni dan daya ketamadunan. Pelbagai teknologi dan peralatan telah dicipta seiring dengan keinginan muzik yang lebih kepuasan lagi luar biasa. Pelbagai genre muzik terus berevolusi dan dikehadapankan. Menjadi satu sumber pendapatan dan kewangan/ekonomi. Bakat-bakat baru terus dicari dan tampil ke khalayak umum. Lelaki dan wanita semuanya seiring berlumba mendapatkan tempat dan glamour.

Begitulah dunia muzik terus pesat memenuhi ruang tempat dengan menebar sayapnya ke segenap sudut kehidupan manusia. Bermula dengan genre muzik kompang, instrumental, joget lambak, nasyid, muzik islami, pop yeh yeh, retro, balada, seni tradisional, hip hop, metal, rock, heavy metal, sehinggalah kepada black metak dan muzik ganas. Kini ianya telah berjaya menembusi sehingga ke liang-liang hati manusia seluruhnya. Segenap tempat dan ruang sentiasa dan pasti dipenuhi dengan suara-suara bingit yang bernama muzik. Dari ruang bilik-bilik rumah, kenderaan, pejabat, pasaraya, universiti, majlis-majlis, malah sehingga ke dalam masjid-masjid mereka pun kini dipenuhi dengan suara-suara muzik. Tanpanya, manusia menjadi lemah dan lesu. Begitulah betapa telah jayanya propaganda musuh-musuh Islam menguasai hati-hati umat Islam dengan senjata tanpa rupa. Hanya dengan kombinasi gubahan bunyi dan suara, manusia terperangkap tidak dapat keluar.

Dari itu, pernahkah kita terfikir bagaimanakah sebenarnya Islam meletakkan persoalan muzik ini sebenarnya? Bagaimanakah sebenarnya Islam meletakkan hukum berkaitan muzik yang semakin bermaharajalela ini? Di mana manusia semakin mabuk dan hanyut dengan kemerduan serta gemersik irama muzik dari hari ke sehari. Yang kini manusia ketagih dengannya, terasa sepi lagi sunyi tanpanya. Seakan kehidupan tanpa muzik boleh menjadikan mereka gila tak tentu hala.

Begitulah realiti apabila kita meninggalkan Islam dalam menilai kewujudan dan perkembangan muzik tersebut. Yang dengan muzik, manusia menjadi gila, mabuk, tersihir, dan terpesona dengan pelbagai jenis syubhat dan kemaksiatan. Genderang muzik menjadi penebar semangat ke arah pelbagai gejala rosak akhlak. Genderang muzik jugalah yang mengobarkan semangat menentang hukum-hukum Allah dari tunjang utamanya yang bernama tauhid. Dengannya jarum-jarum syubhat dan perosak jiwa dimasukkan. Melalui liriknya yang merosakkan aqidah dan agama menjadi makanan yang mudah dihadam disebabkan salutan istimewanya yang begitu lazat dengan iringan muzik mempersona. Racun-racun menusuk ke dalam jiwa dan hati tanpa dirasakan kesakitannya. Umat Islam tumbang longlai satu demi satu. Diruntuhkan nilai-nilai keislamannya dari dalam tunjang kalbu dan lubuk jiwa tanpa sedar. Semuanya dengan senjata bernama muzik. Tiada senjata yang ampuh mampu merosakkan jiwa-jiwa umat Islam secara langsung. Namun, dengan jarum-jarum muzik ini, tampak mudah sekali umat Islam tersihir alpa. Jiwa-jiwa mereka diracun dengan keindahan yang menipu.

Maka dari itu, tulisan ini penulis dedikasikan sebagai salah sebuah buku dari antara buku-buku yang hadir ke hadapan anda bagi menjelaskan persoalan sebenar muzik dari kaca mata Islam. Tulisan ini tampil dengan sebuah pembentangan berdasarkan ayat-ayat al-Qur'an, hadis-hadis Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam, dan fatwa-fatwa serta pendapat para ulama dari generasi awal umat Islam iaitu generasi para sahabat, tabi'in, dan ulama setelahnya yang berpegang teguh di atas prinsip Ahlus Sunnah wal-Jama'ah. Semoga dengannya mampu menjadi neraca ukur terhadap fenomena muzik yang semakin bermaharajalela di persada dunia manusia sejagat. Yang dengannya umat Islam menjadi mabuk dan hanyut. Tertipu dengan pelbagai alasan seperti muzik berentak nasyid, muzik dzikir, muzik islami, dan seumpamanya. Semoga jiwa-jiwa yang sakit dapat terubat dan diruqyah melalui tulisan ini. Supaya ianya mampu membantu diri tidak terus diracuni oleh muzik berbisa penuh kelicikan. Semoga mampu menjadi pengubat agar tidak lalai lagi sehingga melupakan al-Qur'an, as-Sunnah dan usaha mempelajarinya dengan tekun disebabkan telah enak dibuai nyanyian dan muzik.

Baca Tulisan yang dimaksudkan di sini:
http://fiqh-sunnah.blogspot.com/2010/08/176-sikap-ahlus-sunnah-wal-jamaah.html

Isnin, Ogos 02, 2010

Majlis Ilmu (Kuliah Maghrib) Di Surau ar-Raihan PWTC, Kuala Lumpur

Majlis Ilmu (Kuliah Maghrib) Di Surau ar-Raihan PWTC, Kuala Lumpur.

Isnin: 02/08/2010 – Ustaz Fathul Bari, Tajuk: Menuntut Ilmu Syar’i Sebagai Jalan Menuju Syurga.

Selasa: 03/08/2010 – Ustaz Fadlan, Tajuk: Keluasan Ibadat Dalam Islam.

Rabu: 03/08/2010 – Ustaz Mohd. Rizal (Mat Malaya), Tajuk: Sedekah Penghapus Dosa.

Khamis: 04/08/2010 – Ustaz Fathul Bari, Tajuk: Syarah Hadis 40.

Jumaat: 05/08/2010 - Ustaz Fadlan, Tajuk: Ramadhan Dalam Pembentukan Jati Diri Muslim.

Sabtu: 06/08/2010 – Ustaz Dr. Azwira Abdul Aziz, Tajuk: Tafsir ayat-ayat hukum Aqidah.

Semua dijemput hadir mengambil manfaat.

Info lanjut, hubungi Saudara Nawawi: 013-3701152