“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Jumaat, Mac 28, 2008

Apa Kata Imam Ahmad Rahimahullah?

Apa Kata Imam Ahmad Rahimahullah?

Menurut Imam Ahmad Bin Hanbal rahimahullah, di dalam kitabnya, Ushulus Sunnah:

Prinsip ahlus sunnah (di dalam prinsip ke-28) - Mendengar dan taat kepada para imam (penguasa pemerintahan), khalifah, amirul mukminin, yang baik mahupun sebaliknya. Begitu juga (mendengar dan taat kepada) orang yang memegang tampuk pemerintahan (kekhalifahan yang telah disepakati dan diredhai oleh umat manusia). Demikian pula (mendengar dan taat kepada) orang yang dapat mengalahkan manusia dengan pedang hingga menjadi khalifah, penguasa, atau amirul mukminin.

Kekuasaan itu boleh terjadi melalui tiga kemungkinan:

Pertama:

Dengan ketetapan dan wasiat dari imam (penguasa) terdahulu. Demikian ini sebagaimana terjadi pada Abu Bakar ketika mewasiatkan supaya Umar menjadi khalifah.

Kedua:

Dengan pemilihan yang dilakukan oleh ahlul Halli wal aqdi. Mereka memilih khalifah dan imam, sebagaimana yang terjadi pada pengangkatan Ali bin Abi Thalib sebagai khalifah. Para sahabat Nabi s.a.w.bersepakat membai’at Ali sebagai khalifah. Begitu juga bersepakatnya para sahabat membai’at Mu’awiyah selepas Ali.

Ketiga:

Dengan kekuatan dan pemaksaan (kekerasan – tidak melalui jalan yang aman - penterjemah). Iaitu bila mana seseorang mengalahkan orang yang banyak atau kumpulan tentera yang lain, sehingga dengan kekerasan dan kekuatannya, ia menjadi penguasa. Pada cara yang ketiga ini, seseorang menang dan berkuasa dengan cara kekerasaan. Walaupun banyak syarat tidak dipenuhi, namun di dalamnya mengandungi hikmah, iaitu apabila seseorang menang dengan kekerasannya, menunjukkan bahawa ia mempunyai kekuatan. Jika ia diperangi lagi, tentu ia akan menimbulkan konflik dan fitnah yang berterusan. Bahkan mampu menimbulkan suasana saling berbunuhan dan perperangan yang lebih besar di kalangan umat muslimin. Dalam keadaan yang seperti ini, maka, maslahah dan keutamaannya adalah, agar pemimpin yang memperoleh kekuasaan dengan cara ketiga ini tetap harus didengari (ditaati). Inilah pegangan para ulama. Sebahagian ulama yang lain menyatakan, ia lebih kuat untuk berjihad, kerana jika ia memiliki tentera yang dapat menguasai kaum muslimin di suatu negeri dan memiliki kekuatan, bererti membuktikan bahawa ia merupakan orang terkuat untuk melakukan jihad dan perang. Yang mana, dengan kekuatannya itulah dia menjadi pemimpin.

al-Hafizd Ibnu Hajar berkata:

Para fuqaha bersepakat atas wajibnya taat kepada imam yang mutaghalib (berkuasa melalui peperangan mahupun kekerasan). (Fathul Bari (13/7), Maktabah Riyadh Haditsah).

Khamis, Mac 27, 2008

SESAT DALAM CINTA DAN RINDU

SESAT DALAM CINTA DAN RINDU

http://an-nawawi.blogspot.com

Manusia secara fitrahnya memang tidak boleh dipisahkan dari memiliki sifat cinta, rindu, benci, marah, suka, dan seumpamanya. Dengan sifat-sifat ini jugalah yang menjadikan kita ini bernama manusia. Malah ditambah lagi dengan keistimewaan kemampuan berfikir. Tidak cukup dengan itu, diberi pula panduan dalam mengharungi setiap perjalanan kehidupan. Cukup istimewa kita ni...

Berbalik kepada tajuk, aku tidaklah mahu menulis dengan panjang untuk kali ini, tetapi sekadar mahu meluahkan apa yang aku terfikir dan terlintas di benak hatiku. Iaitu di mana begitu ramainya manusia tenggelam dalam rindu, sesat dalam cinta tidak ketahuan.

Janganlah kita menjadi seumpama kaum Nashara (kristian) yang disesatkan oleh Allah lantaran mengakui cintanya kepada Allah namun mengakui bahawa Tuhan itu “Three in One” malah mengakui bahawa Tuhan itu memiliki anak. Subahanallah, Maha Suci Allah dari semua itu dan Allah sendiri menyatakan bahawa Allah itu Maha Esa dan tidak mempunyai anak atau pun diperanakkan.

Jangan pula kita menjadi seperti golongan yahudi yang dimurkai oleh Allah akibat cintanya yang berbolak balik kepada Allah. Dimurkai Allah juga kerana banyak berdalih.

Malah Yahudi dan Nashara masing-masing mengakui bahawa Yahudi itu tidak benar cintanya kerana tiada berprinsip, begitu pula sebaliknya iaitu Yahudi juga mendakwa bahawa Nashara itu tiada mempunyai pegangan. Padahal, Allah sudah memberikan kepada mereka kitab yang bertujuan menjadi petunjuk buat mereka. Tetapi mereka berdua sama sahaja, tanpa rasa gementar mengubah pelbagai isi kitab-kitab mereka.

Sungguh menghairankan bahawa tradisi Yahudi dan Nashara itu pada zaman ini telah pula diikuti oleh kaum yang majoritinya dari bangsa parsi yang empayarnya pernah tumbang di tangan Islam suatu ketika dulu. Lalu, majoriti mereka yang taksub turut masuk ke dalam Islam, dengan berpura-pura cintanya kepada Islam. Namun, mereka tidak ubah hanya menunggu masa untuk membunuh Islam dan pencintanya dari dalam kalangan masyarakat Islam yang ikhlas dan mukhlis. Lalu menjadilah mereka golongan yang kononnya memperjuangkan Islam dengan bermazhab Syi'ah di Iran. Membina negara yang kononya mengamalkan perundangan Islam atas nama sebuah negara republik. Namun, hakikatnya terang-terang bahawa mereka adalah musuhnya umat Islam bagi mereka yang memiliki bashirah dan ilmu yang benar terhadap Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya.

Apa lagi yang mahu dihairankan bagi mereka yang memahami bahawa jelas-jelas sekali mulut-mulut mereka berkumat-kamit bersuara seakan-akan lantang menggegar langit mencanangkan mencintai Ali dan Husein r.anhum., hakikatnya hanya pandai meratap dan menghinakan diri di perkuburan tanah karbala berpandukan ritual syirik yang langsung tidak pernah direstui oleh Ali dan Husein sendiri sama ada semasa hayat dan matinya. Membangunkan ritual-ritual yang entah dari mana sumbernya dengan menzalimi dan mencederakan diri sendiri bagi tujuan bermandi darah dengan harapan mampu membina semangat rindukan dan cintakan Ali, Husein, dan sekalian para imam mereka. Sungguh karut dan keji sekali perbuatan mereka ini. Sungguh lebih keji lagi, mereka tanpa berselindung mengkafirkan para sahabat yang dicintai oleh Nabi kita sendiri yang mendapat jaminan (diredhai) wahyu akan peranannya seperti mana termaktub dalam surah at-Taubah ayat ke 100. Ini boleh dilihat ke dalam kitab-kitab dan melalui pengakuan lidah-lidah mereka sendiri.

Begitu jugalah kita, sungguh pelik kita apabila dipersoalkan perihal cintanya kita kepada Allah namun dia meninggalkan sunnah Rasul-Nya. Iaitu dengan mengadakan sesuatu perkara yang lain dari yang diajarkan oleh beliau s.a.w. Mengadakan-adakan suatu kalam yang baru sebagai fakta akurat untuk menyokong kedudukannya yang mengaku cintakan Allah dengan berpandukan mimpi dan yaqazah sebagai sumber fakta selain al-Qur’an dan sunnah.

Malah, kita mengakui mencintai Rasul bernama Muhammad, namun sungguh tidak kena dan pelik apabila kita menzahirkan cinta kita hanya setahun sekali dengan berpesta perarakan Maulidan dan bernyanyi lagu berzanji yang mengandungi kalimah-kalimah yang membahayakan aqidah yang murni. Malah tidak sekalipun para ilmuan hadis itu menyampaikan kepada kita akan adanya suatu riwayat yang menjelaskan bahawa Nabi kita mengajarkan perayaan dan pesta yang sepertinya itu. Tidak terfikirkah kita, bahawa apakah benar ia merupakan sunnahnya para manusia pendahalu kita dari kalangan pendamping terdekat Nabi s.a.w. sendiri dari kalangan para sahabat-sahabatnya. Tidakkah kita menyelami dan memperhatikan bagaimanakah halnya mereka mempersembahkan rasa cinta dan rindu kepada Nabinya?

Sedangkan pengaku cinta Allah, seharusnya memperhatikan seruan ini:

“Katakanlah (Muhammad): "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Ali Imran 3: 31)

Begitulah juga kepada perihal dan persoalan setiap yang lainnya dari segala persoalan di muka bumi ini. Banyak lagi kisah-kisah sesat dalam cinta dan rindu.

Seumpamanya sang pemuda yang mengakui cinta kepada seorang gadis perawan, lalu diluahkan dengan mengajaknya ke taman-taman bunga berpeleseran dan ajak beraksi dalam adegan cumbu. Tidak kurang juga yang terus sesat ke dalam bilik-bilik hotel dan rumah-rumah sewa kosong melainkan mereka berdua dengan ditemani makhluk ghaib yang juga telah mengakui sesatnya. Apakah begini munasabahnya citra seorang pemuda yang baik dan penuh tanggungjawab?

Sedangkan telah termaktub dalam kalam Tuhannya bahawa kalau benar manusia itu jatuh cinta dan rasa kepada pasangannya dan rasa ingin kan memiliki pasangan dengan jalan yang benar, maka disuruhnya menikah dengan jalan yang sah.

Baru semalam pula aku mendapat cerita dan khabar dari seorang pembaca blog-ku bahawa ada sekumpulan manusia yang mangakui cinta Allah dan Rasul, melakukan aktiviti ritual dengan berzikir berjemaah yang menggunakan theory Quantum fizik. Aku pun jenuh hendak mengerti persoalan ini. Pembaca blog-ku itu menceritakan sekadar mampu melalui perbualan yang tidak kurang lamanya melalui telefon. Beliau memberitahu bahawa gabungan paduan alunan zikir yang dilaungkan secara berjemaah mampu menghasilkan suatu bentuk gelombang bunyi sekaligus membentuk frekuensi magnetik yang mempu menghasilkan paduan cahaya lutsinar yang menghala ke langit lalu sampai kepada para malaikat dan seterusnya diterima oleh Allah. Sungguh lawak aku memikirkannya, tidak ku sangka ada manusia yang cuba membuktikan sehingga ke tahap seperti itu. Sedangkan dalam kalam Allah hanya menyatakan bahawa jika sesuatu itu diperintahkan oleh Allah dan Rasul, maka “samigna wa ‘atho’na” iaitu kami dengar dan kami taat. Ini kerana akal manusia tidak sampai mampu mendahului ketentuan dan ketetapan yang Allah berikan. Malah theory karut ini sendiri sebenarnya tidak masuk akal sama sekali lantaran menyanggahi adab dan akhlak dalam berzikir malah seolah-olah Allah itu tidak mengetahui bahawa hambanya sedang buat apa. Sungguh buat aku berkerut sinis, mungkinkah Allah dan malaikat itu suatu ketikanya nanti boleh dihubungi dengan hanya menggunakan teknologi telefon selular dan frekuensi radio yang tertentu. Subhanallah (Maha Suci Allah), benarlah sungguh jahilnya manusia yang meninggalkan kalam Allah dan Sunnah Rasul-Nya yang sahih. Yang sanggup mencipta-cipta dan meng-ada-adakan corak peribadatan yang baru berdasarkan akal dan menolak kebijaksanaan (ketentuan) Allah 'Azza wa Jalla...

Sebagaimana diberitahukan bahawa fakta-fakta al-Qur’an itu mendahului zaman. Adapun ia diturunkan lebih 1400 tahun yang lampau, namun masih banyak persoalan yang tidak mampu dirungkai oleh manusia melainkan mengikutinya dengan iman. Salah satunya kerana segala fakta-faktanya tidak pernah walau sekalipun dibuktikan salah oleh seorang manusia jua. Malah kurun demi kurun hanya menampakkan betapa agung-nya ia. Suatu yang tidak pernah difikirkan tiba-tiba muncul di kurun yang berikutnya, manakala al-Qur’an telah awal-awal menyatakannya dari zaman sebelumnya, dangkalnya tidak kurang juga telah ramai yang kecundang lantaran kerana tidak mengimaninya. Apa gunanya untuk lagi meletakkkan rasa kasihan dan takziah kepada yang kecundang, kerana bukan tidak ia diperingatkan? Kepada Allah jualah mereka dikembalikan...

Maka, marilah kita sentiasa memanjatkan doa, supaya diletakkan di atas jalan-Nya yang benar seperti jalannya golongan salafus soleh pendahulu kita yang dijanjikan syurga kekal abadi.

"Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; kerana sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (kurnia)." (Ali Imran 3: 8)

Janganlah kita alpa lantas membiarkan diri kita dihanyutkan nafsu dan akal fikiran sendiri yang disangkanya maha cerdik. Padahal, hakikatnya kita sendiri harus tahu Dia itulah yang Maha bijaksana, yang mengatur Segala Urusan kita. Yang mana telah dipertunjukkan bermacam tanda dan “sign” dari segenap ufuk timur dan barat, malahan pada tubuh diri kita sendiri.

“Aku wasiatkan kepada kalian agar selalu mendengar dan taat meskipun yang memimpin kalian adalah seorang budak hitam (Habsyi). Kerana sesungguhnya, siapa yang masih hidup (sepeninggalanku) nescaya akan melihat perselisihan yang banyak. Oleh kerana itu, hendaklah kalian berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah Khulafa’ur Rasyidin yang mendapat petunju. Gigitlah sunnah itu dengan gigi geraham. Jauhilah oleh kalian terhadap perkara yang baru, kerana setiap perkara yang diada-adakan (dalam agama) itu adalah sesat.” (Pesanan Rasulullah s.a.w., dari ‘Irbadh bin Sariyah; direkodkan dalam Sahih Sunan Abu Daud, no. 3851)

Jangan lah kita jadi seumpama kisah si majnun (si gila) yang mengaku mencintai laila, dan laila juga mencintainya, namun hakikatnya, Laila sedikit pun tidak pernah mengenali majnun.

Wallahu a’lam...

Sumber:
http://an-nawawi.blogspot.com/2008/03/sesat-dalam-cinta-dan-rindu_27.html

Selasa, Mac 25, 2008

Persoalan Kesempurnaan Saf Solat Bukan Perkara Kecil!!!

Persoalan Kesempurnaan Saf Solat Bukan Perkara Kecil!!!

Dah lama aku tak menulis… juga sudah lama aku tidak menyusun artikel…

Mungkin kerana dihumban ke dalam jurang kesibukan yang pelbagai. Tidak harus aku rasa bersalah kerana aku sendiri-lah yang meletakkan posisi ku di sudut ini.

Akhirnya, setelah tempoh itu, ada sesuatu yang kembali menggerakkan hati aku untuk menulis dan menyusun sebuah artikel.

Ini adalah kerana suatu fenomena atau situasi yang membuatkan aku merasa begitu jengkel dan rimas sekali.

Perasaan itu timbul adalah setiap kali di mana aku menunaikan solat fardhu berjamaah di surau-surau kampus dan masjid-masjid di sekitar rumah sewa ku di seksyen 7.

Lantas kerana perasaan yang tidak senang itulah aku akhirnya dengan izin dari-Nya berjaya menyiapkan sebuah artikel berkenaan adab-adab dalam menyusun saf dalam solat berjamaah.

Sungguh membuatkan aku tidak senang di kala manusia kebanyakkannya menyeru supaya kita bersatu dengan Islam dan perjuangan Islam, namun rata-rata mereka itu semuanya tidak lebih hanya pandai berkata di bibir mereka. Habis suara-suara dilontar seakan mahu pecah anak-anak tekak mereka... Tapi, hakikat yang tersingkap di hadapan mataku, jauh sekali hasilnya dari apa yang dicanang-canangkan itu.

Bersilat di pentas pidato bukan main lagi bunga dan buahnya...

Tetapi, apabila bersolat... sikit pun tidak mahu ambil penting dalam kebanyakan situasi. Malah, apabila ada dari kalangan segolongan manusia yang ingin memperbetulkan mereka, pasti mereka akan digelar sebagai busy body, engkau bukan ustaz, dan paling menggelikan aku adalah, engkau adalah WAHHABI!.. Sungguh mengecewakan hatiku apabila aku menanyakan kepada mereka, “Apa itu Wahhabi”... mereka tidak mahu menjawab, dan aku pun beranggapan, bahawa mereka hanya tahu cakap tidak serupa bikin, ibarat orang sudah bersalah, tudung saji pun boleh diambil bagi tujuan menutup muka... itu kira baik lagi. Yang lebih menakutkan, bila dia ambil pemukul. Orang yang mahu menolong, akhirnya mendapat belantan.

Begitulah situasi aku saat ini. Mahu membantu menjernihkan keadaan, bertambah pula kekeruhan di hati ini. Aku bukan mahu mengkritik mereka, jauh pula mahu membawa mereka ke jalan yang salah... Sedangkan aku mahukan kebenaran yang selama ini mereka laung-laungkan mengajak kepadanya. Bukankah aku membawa hujjah dengan dalil dari Kitab yang satu dan hadis-hadis yang akurat dari sunnah Rasul-Nya. Mengapa aku diherdik? Jadi, di manakah hakikatnya landasan kebenaran yang sebenarnya ingin mereka bawa dan canang-canangkan itu?

Sedangkan hakikat solat itu adalah tiangnya agama bagi seseorang yang bergelar manusia muslim. Yang mana dasarnya adalah aqidah. Jika hadis yang sahih pun mereka tolak dan tidak mahu beriman dengannya, maka, bukan saja solat mereka menjadi kacau, bahkan lebih buruk sebenarnya mungkin aqidah mereka juga sudah kabur... Lantaran itu, solat pun sudah mereka tidak ambil endah...

Maka, lahirlah suatu fahaman “Janji Aku Solat”... mungkin juga ada yang lain beranggapan, masalah solat itu perkara khilaf, furu’ lagi cabang yang mana banyak perbezaan di dalamnya... lalu dengan selamba mereka menyatakan bahawa, yang utama sekarang adalah menyatukan manusia di bawah suatu panji bernama negara Islam dan khilafah!

Sungguh jelas! Bahawa pemikiran seperti ini adalah pemikiran yang sudah kacau! Menjadikan khilafah dan negara Islam sebagai keutamaan. Sedangkan aqidah dan solat ditolak ketepi akan hakikat kesempurnaannya. Bahkan jika dirujuk kepada kitab suci kita, bahawa aqidah dan amalan ibadah yang betul itulah yang diberi janji oleh Rabb kita dengan kurniaan kuasa pemerintahan yang baik. Hal ini boleh sahaja dirujuk di dalam surah an-Nuur ayat 55. Bukan itu sahaja, mahu juga kutanyakan, apakah negara Islam dan sistem Khilafah itu sebagai syaratnya yang utama bagi manusia untuk ke syurga???

Hal yang membuatkan aku meluahkan kata kali ini adalah sekitar persoalan merapatkan saf ketika mana mahu bersolat dalam jamaah. Sungguh sedihnya, kebanyakan saf-saf solat para anggota jamaah kita saat ini tidak lagi dibina dengan susunan yang baik, sempurna, dan mungkin jauh sekali dari dibina atas dasar kefahaman yang sahih. Maka, terjadilah saf-saf tersebut agak berterabur dan tidak sekata. Apabila mahu dirapatkan dan diajak merapatkannya, mereka segera menjauh. Aku sudah naik bingung. Imam pula tidak pernah ambil endah walau sudah diberi maklum sebaik mungkin. Maka, atas hal itu juga lah, akhirnya aku siap menyusun artikel berkenaan kepentingan saf di dalam solat. Kalau kesatuan saf di dalam solat pun tidak boleh menjadi betul, apatah lagi kesatuan kita dalam beraqidah, bernegara dan paling utama dalam ber-agama. Wallahu a’lam.

Baiklah, aku juga sudah malas meneruskan tulisanku kali ini... mungkin kalian pun merasa jengkel nanti. Makanya, aku tinggalkan beberapa artikel yang sempat aku susun berkenaan kesempurnaan solat yang aku maksudkan, lalu kalian semua boleh merujuknya sendiri akan hakikat yang mana lebih benar dan Haq.

Sifat Solat Menurut Sunnah – [Artikel 1], [Artikel 2]

Saf solat – Kedudukan, Keutamaan, & Kewajibannya [Klik]

Adakah Menyapu Muka Selepas Solat & Berdoa [Klik]

Sekian dulu untuk kali ini,
0054, Selasa, 25 Mac 2008.
Nawawi, Bandaraya Anggerik, Shah Alam.

Sabtu, Mac 15, 2008

Kuliah Sunnah Di Sekitar Shah Alam

Kuliah Sunnah Di Sekitar Shah Alam

---------------------------------------------------
Surau ar-Rayyan, Jalan Kristal 7/74, Seksyen 7, 40000 Shah Alam. (Belakang Restoran Hakim Baru)
---------------------------------------------------


Kuliah Subuh, Riyadhus Soliheen Bersama Ust. Firdaus, setiap Ahad minggu pertama (1) & ketiga (3).

Kuliah Maghrib, (Fiqh) bersama Ust. Fairooz, setiap Selasa minggu ketiga.


---------------------------------------------------
Surau al-Mawaddah, Berhadapan dengan Pangsapuri Danau Mas, Lot 6, Jalan Platinum 7/8, Seksyen 7, Shah Alam.
---------------------------------------------------


Minggu Pertama:

Jumaat (Maghrib), Kuliah Tafsir, bersama ust. Abu Ruwais asy-Syubrawi.

Sabtu (Subuh & Dhuha), Kuliah Bulughul Maram, Kuliah Subuh bersama Ust. Fairooz. Manakala Kuliah untuk sesi Muslimat jam 9.00pg.

Ahad (Subuh), Kuliah Fiqh Muamalat, bersama ust. Zamerey.

Isnin (Maghrib), Kuliah Fiqhus Sirah, bersama Ust. Helmi Abdul Rahim.

Minggu Kedua:

Khamis (Maghrib), Kuliah Syarah Kitab Tauhid, bersama ust. Abu Rumaysa Idrus Ali.

Sabtu (Subuh & Dhuha), Kuliah Riyadhus Soliheen, bersama ust. Muzairi. Manakala Kuliah untuk sesi Muslimat jam 9.00pg.

Minggu Ketiga:

Khamis (Maghrib), Kuliah Tafsir, bersama ust. Abu Ruwais asy-Syubrawi.

Sabtu (Subuh & Dhuha), Kuliah Bulughul Maram, Kuliah Subuh bersama Ust. Fairooz. Manakala Kuliah untuk sesi Muslimat jam 9.00pg.

Ahad (Subuh), Kuliah Fiqh Muamalat, bersama ust. Zamerey.

Isnin (Maghrib), Kitab Aqidah, bersama ust. Azahari Murad.

Minggu Keempat:

Sabtu (Subuh & Dhuha), Kuliah Riyadhus Soliheen, bersama ust. Muzairi. Manakala Kuliah untuk sesi Muslimat jam 9.00pg.

Ahad (Maghrib), Kuliah Kitab Fathul Bari, bersama ust. Firdaus.

Isnin, Mac 10, 2008

Perpecahan Dan Penyatuan Umat

Perpecahan Dan Penyatuan Umat

Perpecahan Umat

Fitnah yang muncul pada akhir zaman bahawa umat Islam berpecah-belah menjadi beberapa golongan, masing-masing mengaku kelompoknya yang benar, seperti halnya orang Yahudi dan orang Nasrani, mereka berpecah-belah dan mengaku bahawa hanya golongannya yang benar:

Dan orang-orang Yahudi di berkata: “Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai suatu pegangan.” Dan orang-orang Nasrani berkata: “Orang-orang Yahudi tidak mempunyai suatu pegangan.” Padahal mereka (sama-sama) membaca al-Kitab. (al-Baqarah 2: 113)

Adapun dalil yang menjelaskan bahawa umat Islam pada akhir zaman pasti berpecah-belah di antaranya adalah hadis Anas bin Malik r.a., Nabi s.a.w. bersabda:

“Sesungguhnya bani Israil berpecah-belah menjadi tujuh puluh satu, dan sesungguhnya umat ini akan berpecah-belah menjadi tujuh puluh dua, semuanya di neraka kecuali satu, dan dia adalah jama’ah.” (Hadis Riwayat lbnu Majah, 3983. Disahihkan oleh al-Albani, di dalam Sahih Ibni Majah, 2/364)

Yang dimaksudkan sebagai jama’ah di dalam hadis ini adalah kembali kepada yang haq, atau sebagaimana yang diterangkan oleh Nabi s.a.w. iaitu orang yang berpijak kepada Sunnahku pada hari itu dan Sunnah para sahabatku.

Perpecahan umat Islam ini merupakan takdir kauni (kehendak Allah untuk menciptakannya) bahawa pada akhir zaman umat Nabi Muhammad s.a.w. pasti berpecah-belah, akan tetapi bukan bererti kita boleh berpecah-belah, sebagaimana dalil yang selalu dikumandangkan oleh kelompok ahli bid’ah dalam rangka menutup aib mereka, mereka berdalil dengan hadis palsu “ikhtilafu ummati rahmah” (perpecahan umat ini adalah rahmat). Ketahuilah bahawa perkataan itu bukan hadis Rasulullah s.a.w. akan tetapi merupakan hadis palsu. Syaikh al-Albani rahimahullah berkata: “Para pakar ahli hadis telah berusaha mencari sanad hadis ini akan tetapi tidak menemuinya.” (lihat Silsilah Ahadis ad-Dhoifah, 1/141)

Selain itu, dalil mereka ini juga amat tidak masuk akal, kerana mustahil orang yang berselisih dan berpecah-belah hidupnya penuh dengan rahmat. Bukankah pasangan suami-isteri bila berselisih pasti akan merasa gelisah dan terancam jiwanya, bagaimana pula berselisih dalam hal aqidah dan ibadah boleh merasa rahmat?! Oleh kerana itu ahli bid’ah dan orang yang fanatik golongan (hizbiyun yang suka berpuak-puak) merasa sakit hatinya bila dikritik kesalahannya.

Ketahuilah perpecahan umat ini merupakan ujian bagi orang yang beriman, sewajarnya mereka memilih jalan yang benar dan meninggalkan kelompok yang tersesat lainnya. Adapun dalil wajibnya kita bersatu, tidak boleb berpecah-belah dan bergolong-golongan (berpuak-puak):

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.” (Ali Imran, 3: 103)

“Sesungguhnya Allah meredhai kamu dalam tiga perkara dan membenci kamu tiga perkara: Dia meredhai kamu apabila kamu beribadah kepada-Nya dan tidak menyekutukan sesuatu kepada-Nya, dan apabila kamu berpegang teguh kepada tali Allah semua dan kamu tidak berpecah-belah,...” (Hadis Riwayat Muslim, 3236)

Menyatukan Umat

Ayat dan hadis di atas menunjukkan cara untuk menyatukan umat Islam, iaitu kita harus kembali kepada tali Allah, sedangkan makna tali Allah ialah al-Qur’an dan Sunnah sebagaimana dijelaskan di dalam hadis:

“Kitab Allah adalah tali Allah yang menjulur dari langit ke bumi.” (Lihat Silsilah as-Shahihah, 5/37)

Adapun dalil yang menunjukkan bahawa as-Sunnah termasuk tali Allah, adalah dari sabda Nabi s.a.w.:

“Aku tinggalkan kepadamu dua perkara, kamu tidak akan tersesat selamanya iaitu Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya.” (Hadis Riwayat Imam Malik, 1395. Bersumber dari Umar bin Khaththob r.a. dan dihasankan oleh Syaikh al-Albani di dalam kitabnya Manzilatus Sunnah fil Islam, 1/18)

Pada zaman sekarang umat Islam tidak cukup hanya berpegang kepada al-Qur’an dan hadis yang sahih untuk menyatukan umat, kerana ahli bid’ah pun mengaku berpegang kepada al-Qur’an dan Sunnah, akan tetapi mereka berselisih dan berpecah-belah, kerana itu tidaklah umat Islam akan bersatu melainkan apabila di dalam berpegang kepada al-Qur’an dan hadis yang sahih disertai dengan pemahaman salafus soleh, dari kalangan para sahabat, tabi’in dan ahli hadis. Kerana jika tokoh umat memahami dalil nash dengan pemahaman salafus soleh nescaya mereka tidak akan berpecah-belah walaupun mereka berselisih dalam suatu masalah, kerana khilaf mereka jatuh pada masalah ijtihadiyah.

Adapun dalil wajibnya kita memahami dalil nash dengan kefahaman salafus soleh adalah sebagai berikut:

“Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) dari golongan muhajirin dan anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah ridha kepada mereka dan merekapun ridha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka surga-surga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar.” (at-Taubah 9: 100)

Dalam ayat di atas Allah memuji sahabat dan orang yang mengikuti mereka dengan baik, yang sekarang dikenal dengan nama ahlus Sunnah wal jama’ah atau pengikut as-salafus soleh.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Maka barangsiapa yang menjumpai itu (perpecahan umat) hendaklah dia berpegang kepada Sunnahku dan Sunnah para khalifah yang menunjukkan kepada kebaikan dan mendapat petunjuk, gigitlah Sunnah ini dengan gigi geraham. (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, 2600, dan lainnya. Disahihkan oleh Syaikh al-Albani. Lihat Silsilah as-Shahihah, 6/610)

Rasulullah s.a.w. tidak hanya berpesan kepada umatnya agar berpegang kepada Sunnahnya saja, akan tetapi kepada Sunnah sahabatnya pula.

Dari Abu Burdah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Dan sahahatku adalah orang yang dapat dipercayai untuk umatku, maka jika mereka telah pergi, maka akan datang apa yang dijanjikan kepada umatku. (Hadis Riwayat Muslim, 4596)

Imam Nawawi rahimahullah berkata:

“Adapun makna “apa yang dijanjikan” iaitu adalah munculnya bid’ah, perkara baru dalam urusan agama, dan munculnya fitnah.” (Syarah Imam Muslim, 16/83)

Selanjutnya orang yang menolak pemahaman para sahabat maka akan diancam menjadi orang yang tersesat.

“Dan barangsiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin, Kami biarkan ia leluasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan ia ke dalam Jahannam, dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali” (an-Nisa’ 4: 115)

Syaikh al-Albani rahimahullah berkata:

“Benarlah apa yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w., bahawa umat Islam pada zaman sekarang (kecuali sedikit di antara mereka) tatkala mereka tidak berpegang teguh kepada kitab Allah dan Sunnah Nabi s.a.w., mereka tersesat dan hina, yang demikian itu kerana mereka berpegang kepada pendapat pemimpin mereka.

Tatkala terjadi perselisihan, pendirian mereka pada dasarnya kembali kepada pemimpin mereka, jika ada ayat yang sesuai dengan pemikiran/kehendak mereka, mereka ambil, jika tidak, mereka tolak. Bahkan sebahagian mereka berkata: “Setiap ayat atau hadis yang bertentangan dengan pendapat mereka, maka dimansukh (dihapus).” Semoga Allah merahmati Imam Malik rahimahullah, beliau berkata:

“Dan tidak akan baik umat pada akhir zaman ini melainkan apabila mereka kembali sebagaimana ulama pertama memperbaiki umat.” (Hajjatun Nabi 1/71)

Kesimpulannya para tokoh masyarakat hendaknya mengajak umat agar kembali kepada pemahaman salafus soleh tatkala mengambil dalil dan al-Qur’an dan as-Sunnah, agar umat tetap bersatu dan tidak timbul perasaan benar sendiri dan menyalahkan orang yang benar.
Tokoh umat sewajarnya sentiasa berhati-hati dalam memimpin umat jangan sampai menjadi penyebab kerosakan umat.

Dari Tsauban r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:

Sesungguhnya yang paling aku takutkan dari unmatku adalah para pemimpin yang menyesatkan. (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, 2155. Disahihkan oleh al-Albani, di dalam Shahihul Jami’, 2316)

Tokoh umat hendaklah takut di hadapan pengadilan Allah pada saat pengikut mengadu pada hari kiamat. Rujuk surah Ibrahim [14]: 21-22 dan surat Ghofir [23]: 47-48, surat as-Saba’ [34]: 31-33. Mudah-mudahan Allah memberi petunjuk kepada kita semua, menjadi pemimpin yang mengajak umat kepada yang haq yang diredhai oleh Allah s.w.t..

“Dan mereka semuanya (di padang Mahsyar) akan berkumpul menghadap ke hadirat Allah, lalu berkatalah orang-orang yang lemah kepada orang-orang yang sombong: "Sesungguhnya kami dahulu adalah pengikut-pengikutmu, maka dapatkah kamu menghindarkan daripada kami azab Allah (walaupun) sedikit saja? Mereka menjawab: "Seandainya Allah memberi petunjuk kepada kami, niscaya kami dapat memberi petunjuk kepadamu. Sama saja bagi kita, apakah kita mengeluh ataukah bersabar. Sekali-kali kita tidak mempunyai tempat untuk melarikan diri." Dan berkatalah syaitan tatkala perkara (hisab) telah diselesaikan: "Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan akupun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekedar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku akan tetapi cercalah dirimu sendiri. Aku sekali-kali tidak dapat menolongmu dan kamupun sekali-kali tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu." Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu mendapat siksaan yang pedih.” (Surah Ibrahim 14: 21-22)

“Dan (ingatlah), ketika mereka berbantah-bantah dalam neraka, maka orang-orang yang lemah berkata kepada orang-orang yang menyombongkan diri: "Sesungguhnya kami adalah pengikut-pengikutmu, maka dapatkah kamu menghindarkan dari kami sebahagian azab api neraka?” Orang-orang yang menyombongkan diri menjawab: "Sesungguhnya kita semua sama-sama dalam neraka kerana sesungguhnya Allah telah menetapkan keputusan antara hamba-hamba-(Nya).”” Surah (Mukmin 40: 47-48)

Baca Juga artikel yang lalu:

1 –
Menyelami Manhaj Aqidah Dan Perpecahan Yang Pelbagai

2 –
Ke Arah Memahami Dasar-Dasar Aqidah

3 –
Prinsip Kecintaan & Kebencian Dalam Islam (al-Wala’ wal Bara’)

Selasa, Mac 04, 2008

Kuliah Di Sabah - Kuliyah ust. Abdul Wahab Bustami al-Banjari as-Salafi

Kuliyah ust. Abdul Wahab Bustami al-Banjari as-Salafi

1) - Setiap Rabu di surau Kolej Kediaman Indah Permai, Universiti Malaysia Sabah.
- Masa - lepas maghrib ke isya'
- Tajuk: Kuliyah Iman.


2) - Setiap Ahad di Kg Likas (rumah ust. Abdul Wahab), berhampiran dengan masjid Kg Likas,
- Masa: Jam 2-3 petang.
- Tajuk: Syarah tsalatsatul ushul


Maklumat lanjut call - 0148711474 (Abu Faizs)