“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Ahad, Mei 09, 2010

Nilai Sebuah Peradaban

Nilai Sebuah Peradaban

http://an-nawawi.blogapot.com

Syaikh Dr. Akram Dhiya’ al-‘Umuri hafizahullah berkata:

Dari sudut pandang Islam, peradaban yang tinggi adalah kemampuan untuk melahirkan suasana politik (pentadbiran), sosial, budaya, ekonomi dan ilmu pengetahuan yang dapat mengarahkan (mengajak) manusia kepada tauhid dan beribadah hanya semata-mata kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Serta menjadikan ajaran Islam sebagai neraca (ukuran) kepada setiap apa yang dilakukannya, tanpa rasa terganggu dengan kewujudan segala bentuk organisasi dan prasarana dalam masyarakat, tanpa menjadikan iman dan perbuatan saling bertentangan, serta tanpa merasa tertekan dengan mana-mana jua pihak sehingga boleh mengakibatkan berganjak dari tetap menghadap Allah. Oleh itu, walaupun sesebuah peradaban itu maju lagi berkembang pesat di bidang ilmu pengetahuan, bahasa dan sastera, serta memiliki pelbagai jenis bangunan, kemudahan perumahan, pakaian dan makanan, pelbagai kemudahan dalam memenuhi keperluan hidup bagi diri seseorang, aku katakan walaupun ianya demikian, tetap dipandang oleh ahli sejarah muslim sebagai gagal selagi mana ianya tidak mampu melahirkan suatu keadaan yang diwarnai oleh pengabdian kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan melaksanakan syari’at-Nya. Peradaban Islam sendiri telah melalui beberapa fasa yang panjang. Tidak disangsikan bahawa penekanan terhadap kemajuan material (kebendaan) terdapat di era abad ketiga dan keempat hijriyah dan bukan pada awal perkembangan Islam.

Oleh sebab itu, ahli sejarah Barat bernama Adam Mitch menganggap bahawa abad keempat hijriyah adalah kemuncak peradaban Islam manakala ahli sejarah muslim menyatakan bahawa permulaan Islamlah yang menjadi puncak peradaban disebabkan pada era awal Islam ianya lebih banyak diwarnai oleh pengabdian diri dan tauhid yang murni kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Selain itu, peribadi dan aktiviti umat Islam di era awal Islam lebih banyak diwarnai oleh penegakkan syari’at Islam berbanding abad keempat hijriyah. Realiti inilah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melalui hadisnya:

“Sebaik-baik generasi adalah generasiku, kemudian yang setelahnya, kemudian yang setelah itu...”

Pendapat dan pandangan seperti ini kelihatan aneh di sisi pengkaji sejarah bukan Islam, kerana tolok ukur yang mereka gunakan adalah tolok ukur Barat (yang tidak mengambil kira serta membelakangkan peri-pentingnya tauhid). Dan bagi para pengkaji sejarah dari kalangan umat Islam, mereka mampu untuk menolak apa jua nilai, ukuran, dan pandangan yang bersumber dari peradaban kapitalisme Barat. Perkara tersebut hanya dapat ia lakukan dengan kemuliaan Islam yang tinggi dan kesannya yang jelas dapat dilihat di dunia Islam masa ini. Di antara kesan-kesan tersebut adalah penolakan peradaban Barat, bangga dengan iman dan Islam serta kebebasan berfikir. Ini adalah langkah yang benar untuk mencapai suatu peradaban... InsyaAllah...

Rujuk (Edisi Terjemahan): Dr. Akram Dhiya’ al-‘Umuri, Shahih Sirah Nabawiyah, m/s. 36-37, Terbitan/Terjemahan: Pustaka as-Sunnah (Jakarta), Cet. 1 March 2010.

Edisi Asli: Dr. Akram Dhiya’ al-‘Umuri, Shohih Sirah Nabawiyah Muhawalatu Li Tahtbiq Qowa’id al-Muihadditsin fii Naqdi Riwayat as-Sirah an-Nabawiyah, m/s. 36-37, Maktabah al-’Ulum wal-Hikam al-Madinah al-Munawwarah, 1415H.