“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Jumaat, April 22, 2011

Al-Khawarij, Mengenal Karektor Utama Mazhab Khawarij

Mencela dan Memusuhi Pemerintah Adalah Mazhab Khawarij!




Dalam sebuah hadis dari hadis ‘Ali radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

سَيَخْرُجُ قَوْمٌ فِي آخِرِ الزَّمَانِ، أَحْدَاثُ الأَسْنَانِ، سُفَهَاءُ الأَحْلاَمِ، يَقُولُونَ مِنْ خَيْرِ قَوْلِ البَرِيَّةِ، لاَ يُجَاوِزُ إِيمَانُهُمْ حَنَاجِرَهُمْ، يَمْرُقُونَ مِنَ الدِّينِ، كَمَا يَمْرُقُ السَّهْمُ مِنَ الرَّمِيَّةِ، فَأَيْنَمَا لَقِيتُمُوهُمْ فَاقْتُلُوهُمْ، فَإِنَّ فِي قَتْلِهِمْ أَجْرًا لِمَنْ قَتَلَهُمْ يَوْمَ القِيَامَةِ

“Akan keluar suatu kaum di akhir zaman nanti, muda umurnya, buruk akal kefahamannya, mereka mengatakan dari sebaik-baik perkataan makhluk, iman mereka tidak melepasi kerongkongan mereka, mereka menyimpang keluar dari (batas-batas disiplin) agama (atau Islam) seperti anak panah yang menembus keluar dari tubuh buruannya (sasarannya). Jika kalian bertemu dengan mereka, maka bunuhlah mereka, kerana bagi siapa yang membunuh mereka mendapat pahala di hari Kiamat (dari sisi Allah).” (Hadis riwayat Al-Bukhari, no. 3611, 5057, 6930)

Al-Imam Al-Bukhari rahimahullah meletakkan hadis ini pada bab:

قَتْلِ الخَوَارِجِ وَالمُلْحِدِينَ بَعْدَ إِقَامَةِ الحُجَّةِ عَلَيْهِمْ


“Bab memerangi (atau membunuh) khawarij dan orang-orang mulhid setelah ditegakkan hujjah atas mereka.”

Ikuti artikel penuh di website kami, http://www.ilmusunnah.com/?p=7898

Sabtu, April 16, 2011

Bagaimana Keluar Dari Kemelut Politik

Bagaimana Keluar Dari Kemelut Politik

Abu Numair Nawawi B. Subandi


Seringkali kita mendengar alasan bahawa nasihat dan amar ma’ruf nahi mungkar telah disampaikan dan dilaksanakan ke atas para pemimpin. Namun, mereka masih tetap juga tidak berubah dan tidak mahu berbuat baik. Dalam masa sama, mereka sendiri pun bukanlah pendakwah yang baik untuk para pemimpin mereka.

Mereka tidak langsung menyelami bagaimana sukarnya untuk mengubah keadaan dan mentadbir jutaan pemikiran masyarakat. Termasuk yang berpemikiran seperti mereka. Yang pastinya tidak mungkin cukup sekadar setahun dua tahun.

Atas alasan pemimpin tidak berubah sebagaimana yang mereka kehendaki, maka kelompok-kelompok inipun bertindak agresif membakar emosi rakyat. Antaranya dengan mencanangkan aib para pemimpin, menyeru menukar kepimpinan, menyeru rakyat berdemonstrasi terpekik terlolong di jalanan, dan mencetuskan pelbagai bentuk provokasi serta cemuhan terbuka di serata tempat.

Wallahu a’lam, ini bukanlah adab yang benar dalam menghadapi kemelut politik. Islam adalah agama yang penuh ketenangan, kesabaran, dan mengutamakan maslahah. Mana mungkin Allah akan mengubah sesuatu kelompok masyarakat tertentu, sedangkan diri mereka sendiri diabaikan. Keamanan pula mereka gadaikan.

Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) berkata, “Aku telah menyebutkan dalam bab yang lain bahawa punca kepada masalah yang berlaku kepada para pemerintah, kemudian para menterinya, hakim-hakimnya, dan para panglimanya bukan hanya perlu dilihat dari kekurangan pada diri mereka sahaja, akan tetapi kerana kekurangan para pemimpin dan rakyat sekaligus, kerana bagaimana keadaan kamu, maka begitulah akan dijadikan pemimpin untuk kamu. Allah Ta’ala berfirman, “Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi teman (pemimpin) bagi sebahagian yang lain.” (Surah al-An’am, 6: 129).” (Majmu’ al-Fatawa, 35/20)

Inilah yang banyak dapat kita lihat di dunia Islam hari ini. Mereka menuntut agar dilantik para pemimpin yang baik-baik. Mereka keluar ke jalan-jalan berdemonstrasi menuntut sebuah revolusi kepimpinan dilakukan segera. Ini dapat dilihat sebagaimana telah berlaku di Iraq dan Afghanistan. Namun apa yang berlaku pada keuda-dua buah negara ini? Iraq kini menderita dikuasai Syaitan Barat bersama-sama kelompok sesat Syi’ah! Setiap hari masyarakat sunni dibunuh dan disembelih. Jauh lebih baik ketika mereka berada di bawah Saddam Hussein. Afghanistan pula terus dicengkam Amerika sehingga kini.

Perkara yang sama berlaku pula kepada Mesir, Yaman, Libya dan beberapa tempat di Timur Tengah hari ini. Mereka mungkin berjaya mengusir pemimpin yang mereka benci, tetapi mereka tidak mungkin mampu membayar harga sebuah keamanan yang hilang. Berapa banyak kerosakan yang berlaku? Berapa banyak jiwa yang terkorban? Siapakah pengganti bagi pemimpin yang mereka tumbangkan?

Akhirnya Barat dan Yahudi juga yang meraih keuntungan. Mereka hanya ternganga. Fikirkanlah ke mana hilangnya berbilion aset Muammar Gaddafi dan Housni Mubarak yang dibekukan kalau bukan jatuh ke tangan Yahudi dan sekutu mereka? Siapa kini yang mula masuk campur, kalau bukan Yahudi dan barat. Demonstrasi yang mereka lancarkan itu sendiri adalah hasil proganda tangan-tangan ghaib milik Yahudi dan sekutu mereka. Sayang seribu kali sayang, ibarat keluar dari mulut buaya, masuk pula ke mulut harimau.

Kita yang tidak tahu apa-apa, tiba-tiba naik ke mimbar-mimbar memukul gendang mengobar semangat revolusi dengan harapan pemimpin yang adil lagi beriman dapat bertahkta. Tidak semudah itu untuk bermimpi!

Mana mungkin kalau kita sendiri lupa menanamkan iman dan aqidah yang benar ke dalam diri dan masyarakat, lupa untuk menuntut ilmu syar’i, meninggalkan pula amal-amal yang soleh. Tetapi hanyut dengan doktrin-doktrin sesat yang dipropagandakan barat dan ahli bid’ah. Melupakan cara hidup Islam. Menyemarakkan amal-amal agama yang bid’ah dan menyimpang?

Inilah yang banyak dapat kita lihat di Mesir. Amalan menyembah kubur begitu subur di kalangan tarekat sufi di sana. Kubur dianggap masjid dan tempat ibadah. Mereka meyakini kubur memiliki keramat dan membantu memperkenankan hajat. Terutamanya kubur-kubur para wali.

Hati-hati masyarakat pula berpecah-belah dan tidak bersatu kerana kepelbagaian doktrin pemikiran dan fahaman aqidah yang menyimpang.

Inilah yang pelik. Mana mungkin ketika diri-diri mereka sendiri bergelumang dengan syirik dan maksiat, tiba-tiba mereka menagih kepimpinan yang adil dan mulia?

Bukankah Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menyatakan, “Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan yang melaksanakan amal-amal soleh bahawa Dia benar-benar akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan adalah benar bahawa Dia akan memperkukuhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, selepas mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap mentauhidkan-Ku dengan tidak mensyirikkan Aku. Dan sesiapa yang ingkar setelah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” (Surah an-Nuur, 24: 55)

Oleh sebab itulah al-Hasan al-Bashri pernah berkata, “Sesungguhnya kemunculan al-Hajjaj (salah seorang pemimpin zalim di zaman beliau - pen.) adalah disebabkan azab dari Allah, maka janganlah kamu melawan azab Allah dengan tangan-tangan kamu. Akan tetapi wajib bagi kamu untuk tunduk dan memohon dengan merendah diri kerana sesungguhnya Allah telah berfirman, “Dan sesungguhnya Kami telah menimpakan azab kepada mereka, maka mereka tidak tunduk kepada Rabb mereka, dan (juga) tidak memohon (kepada-Nya) dengan merendahkan diri.” (Surah al-Mukminun, 23: 76)

Begitu juga dengan kata Thalq bin Habib, “Lindungilah diri kamu dari fitnah dengan ketaqwaan.” Beliau ditanya, “Simpulkanlah untuk kami apa itu ketaqwaan?” Beliau pun menjawab, “Iaitu engkau beramal dengan ketaatan kepada Allah dengan petunjuk daripada Allah dengan mengharap rahmat Allah. Dan engkau meninggalkan kemaksiatan kepada Allah dengan petunjuk daripada Allah kerana takut akan azab Allah.” (Minhajus, 4/527-531)

Syaikh as-Sa’di berkata dalam Tafsirnya, “... Sebagaimana para hamba (masyarakat) itu jika baik dan istiqamah berada di atas jalan yang benar, maka Allah memperbaiki pemimpin mereka, iaitu menjadikan untuk mereka pemimpin-pemimpin yang bersikap adil dan insaf. Bukan yang zalim lagi jahat. (‘Abdurrahman B. Nashir as-Sa’di, Taisir Karim ar-Rahman fii Tafsir Kalam al-Mannan, 1/273)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Bahawasanya kamu nanti akan menemui atsarah (pemimpin yang zalim kepada rakyatnya). Maka bersabarlah sehingga kamu menemuiku di haudh.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 13/224, no. 3985)

Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menjelaskan hadis tersebut, “Dalam hadis ini mengandungi anjuran untuk mendengar dan taat kepada pemerintah, walaupun ia merupakan seorang yang zalim lagi mementingkan diri sendiri. Maka berikanlah haknya (sebagai pemimpin) iaitu berbentuk ketaatan, tidak keluar dari mentaatinya, dan tidak menjatuhkannya. Tetapi (perbuatan yang perlu dilakukan oleh seseorang muslim adalah) dengan bersungguh-sungguh lebih mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala supaya Dia menghilangkan gangguan atau siksaan darinya, menolak kejahatannya, dan supaya Allah memperbaikinya (kembali taat kepada Allah dengan meninggalkan kezalimannya).” (Syarah Shahih Muslim, 12/232)

Masih banyak lagi nasihat dan perkataan para ulama lainnya yang senada dalam perkara ini jika mahu dimuatkan. Maka, fikir-fikirkanlah. Hargailah keamanan yang ada. Jangan sampai terjebak ke dalam fitnah yang lebih besar. Letakkanlah tawakkal kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Bukan dengan bergantung harap terhadap kaedah-kaedah taghut bertuhankan kebebasan suara bernama demokrasi! Puaskanlah dan biarkanlah dirimu dengan nash-nash al-Qur’an, as-Sunnah dan perkataan para salaf.

Fahamilah bahawa secara umumnya, bagaimana diri kita, begitulah pemimpin yang akan diangkat untuk kita. Jika mahu perubahan, maka lazimilah kesabaran dan ubahlah diri kita dengan kembali meneguhkan ketaqwaan kepada Allah di atas manhaj ilmu yang syar’i, aqidah yang sahih, dan ama-amal yang soleh serta menjauhi bid’ah-bid’ah yang sesat lagi menyesatkan. Wallahu a’lam.

Jumaat, April 15, 2011

Teladan Para Sahabat Menghadapi Kemelut Kepimpinan

Teladan Para Sahabat Menghadapi Kemelut Kepimpinan

Oleh: Abu Numair Nawawi B. Subandi


Islam adalah sebuah agama yang telah lengkap lagi menyeluruh meliputi setiap persoalan kehidupan alam manusia. Ini termasuklah dalam urusan bermu’amalah terhadap para pemimpin.

Dalam perkara ini, Islam amat memandang tinggi kedudukan seorang pemimpin bersesuaian dengan tugas dan beratnya tanggungjawab yang dipikul oleh pemimpin itu sendiri. Dalam sebuah hadis disebutkan:

السلطان ظل الله في الأرض فمن أكرمه أكرم الله ومن أهانه أهانه الله

“Sultan (pemimpin) itu adalah naungan Allah di bumi, sesiapa yang menghinanya, maka Allah akan menghinakannya dan sesiapa yang memuliakannya, nescaya Allah akan memuliakan dia.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi, Syu’abul Iman, 6/17, no. 7373. Dinyatakan hasan oleh al-Albani, Dzilalil Jannah, 2/224, no. 1024)

Imam al-Qurthubi rahimahullah (Wafat: 671H) menyatakan:

لا يزال الناس بخير ما عظموا السلطان والعلماء، فإن عظموا هذين أصلح الله دنياهم وأخراهم، وإن استخفوا بِهذين أفسدوا دنياهم وأخراهم

“Manusia sentiasa dalam kebaikan selama mana mereka menghormati sultan (pemimpin) dan para ulama. Maka sekiranya mereka menghormati keduanya ini, Allah akan memberikan kebaikan kepada kehidupan dunia dan akhirat mereka. Dan sekiranya mereka menghina keduanya, maka Allah akan merosakkan kehidupan dunia dan akhirat mereka.” (al-Qurthubi, al-Jami’ li Ahkamil Qur’an, 5/260)

Namun sayangnya, pada masa ini banyak sekali umat Islam yang melupakan adab dalam bermuamalah terhadap pemimpin. Mereka memiliki sikap yang cepat emosi dan mudah melenting hanya disebabkan oleh beberapa kesilapan dan kesalahan yang dilakukan oleh pemimpin. Dalam perkara ini, Dr. Khalid Ali al-Anbari hafizahullah berkata dalam kitabnya, Fiqhus Siyasah asy-Syar’iyyah, “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mewajibkan ke atas umat ini supaya menghormati dan memuliakan para pemimpin. Pada waktu yang sama, baginda melarang mencaci mereka dan menyebut-nyebut kekurangan serta kelemahan mereka kerana ianya hanya akan menyebabkan kebencian rakyat kepada mereka bahkan juga akan membawa kepada kejahatan, kerosakan, kederhakaan, dan permusuhan.”

Sekiranya para pemimpin ada yang melakukan kesalahan atau terjebak ke dalam perbuatan maksiat, Islam juga telah menyediakan sebuah garis panduan yang begitu indah bagi tujuan menasihati mereka kerana para pemimpin adalah manusia biasa seperti manusia-manusia yang lainnya juga yang tidak terlepas dari melakukan kesalahan. Adab menasihati pemimpin ini telah ditunjukkan dengan baik oleh para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, antaranya Usamah B. Zaid ketika ditanya sama ada dia tidak pernah menasihati khalifah Utsman.

Seseorang bertanya kepadanya (Usamah), “Adakah engkau tidak menemui ‘Utsman dan menasihatinya?” Maka Usamah menjawab, “Adakah engkau menganggap bahawa aku tidak menasihatinya melainkan aku perlu memperdengarkannya (memberitahu) kepadamu? Demi Allah, aku telah menasihatinya dengan empat mata (antara aku dengannya). Aku tidak akan membuka perkara (fitnah) di mana aku tidak menyukai sekiranya aku adalah orang pertama yang membukanya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 11/46, no. 3027. Muslim, 14/261, no. 5305)

Daripada Sa’id B. Jubair rahimahullah ketika bertanya kepada Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

Aku bertanya kepada Ibnu ‘Abbas, “Adakah aku perlu mengajak pemimpinku kepada kebaikan?” Ibnu ‘Abbas menjawab, “Sekiranya engkau takut ia akan membunuhmu, maka tidak perlu. Tetapi jika kamu memang mampu melakukannya, maka lakukanlah (nasihat tersebut) hanya di antara engkau dengan dia sahaja.” (Diriwayatkan oleh al-Baihaqi, Syu’abul Iman, 6/96, no. 7592. Ibnu Abi Syaibah 15/74, no. 38462. Juga disebutkan oleh Ibnu Rejab al-Hanbali, Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, m/s. 82 – Maktabah Syamilah)

Adab yang mulia inilah yang telah dicontohkan oleh para ulama ahlus sunnah wal-jama’ah dari dahulu hingga kini. Serta golongan yang mengikuti prinsip-prinsip mereka dengan baik.

Imam asy-Syaukani rahimahullah berkata dalam kitabnya as-Sailul Jarrar, “Mereka yang menyedari berkenaan kesalahan pemimpin, hendaklah dia berusaha menasihatinya tanpa menyebarkannya di hadapan orang ramai (khalayak umum). Tetapi hendaklah dia berbincang secara empat mata di dalam rangka menasihatinya, tidak merendahkan atau menjatuhkan maruah dan martabatnya, serta tidak memperlekehkannya sebagaimana yang terdapat di dalam hadis.”

Telah tercatat dalam sejarah di era para sahabat berkenaan kekejaman seorang gabernor di bawah pemerintahan Khalifah Malik bin Marwan yang bernama al-Hajjaj bin Yusuf as-Tsaqafi. Di mana dia (al-Hajjaj) telah membunuh sehingga ribuan jiwa. Sahabat yang mulia seperti Abdullah B. Mas’ud, Abdullah bin Zubair, dan tabi’in Sa’id B. Jubair juga turut terbunuh. Tetapi, bagaimanakah Sikap para sahabat yang lain pada ketika itu, adakah mereka bertindak mengumpulkan kekuatan untuk memberontak? Demi Allah, tidak sama sekali, bahkan mereka tetap menganjurkan untuk mendengar dan taat dalam hal-hal yang makruf. Zubair bin Adi berkata, “Kami mendatangi Anas bin Malik mengeluhkan perihal al-Hajjaj. Anas pun menjawab, “Bersabarlah, kerana tidaklah datang sebuah zaman kecuali yang setelahnya akan lebih buruk sehingga kamu berjumpa dengan Tuhan kamu, aku mendengar ini dari Nabi kamu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Walaupun kedua-dua pemimpin ini begitu zalim dan fasiq, membunuh ribuan nyawa para ulama dari generasi terbaik umat manusia, minum arak terang-terangan, solat dalam keadaan mabuk, dan merosakkan ka’abah dengan manjaniq, tetapi para sahabat dan tabi’in yang hidup pada ketika itu tetap tidak melepaskan tangan ketaatan kepadanya. Bahkan para sahabat bersama-sama para ulama lainnya yang merupakan salafus soleh bagi kita, tetap bersolat bersama-sama imam mereka, al-Hajjaj B. Yusuf ats-Tsaqafi tersebut.

Sebelum dari itu, di ketika berlakunya fitnah al-Hurrah iaitu ketika penduduk Madinah bertindak memberontak kepada kepimpinan Yazid B. Mu’awiyah atas alasan Yazid adalah seorang pemimpin yang fasiq, Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma pun tampil memberi peringatan. Beliau bergegas mengumpulkan ahli keluarganya serta bertemu dengan tokoh-tokoh utama dalam misi pemberontakan tersebut.

Imam Ahmad meriwayatkan dalam Musnadnya berkenaan tindakan Ibnu ‘Umar tersebut sebagaimana berikut:

عَنْ نَافِعٍ قَالَ: لَمَّا خَلَعَ النَّاسُ يَزِيدَ بْنَ مُعَاوِيَةَ جَمَعَ ابْنُ عُمَرَ بَنِيهِ وَأَهْلَهُ، ثُمَّ تَشَهَّدَ، ثُمَّ قَالَ: أَمَّا بَعْدُ، فَإِنَّا قَدْ بَايَعْنَا هَذَا الرَّجُلَ عَلَى بَيْعِ اللهِ وَرَسُولِهِ، وَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: " إِنَّ الْغَادِرَ يُنْصَبُ لَهُ لِوَاءٌ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يُقَالُ: هَذِهِ غَدْرَةُ فُلَانٍ"، وَإِنَّ مِنْ أَعْظَمِ الْغَدْرِ أَنْ لَا يَكُونَ الْإِشْرَاكُ بِاللهِ تَعَالَى، أَنْ يُبَايِعَ رَجُلٌ رَجُلًا عَلَى بَيْعِ اللهِ وَرَسُولِهِ، ثُمَّ يَنْكُثَ بَيْعَتَهُ ، فَلَا يَخْلَعَنَّ أَحَدٌ مِنْكُمْ يَزِيدَ، وَلَا يُشْرِفَنَّ أَحَدٌ مِنْكُمْ فِي هَذَا الْأَمْرِ، فَيَكُونَ صَيْلَمٌ بَيْنِي وَبَيْنَهُ

Daripada Nafi’, beliau berkata, “Ketika manusia keluar dari ketaatan terhadap pimpinan Yazid B. Mu’awiyyah, maka Ibnu ‘Umar pun bergegas mengumpulkan anak-anak dan keluarganya kemudian bertasyahud dan berkata, “Amma ba’du, sesungguhnya kita telah memberi kepercayaan (bai’ah) ke atas orang ini (iaitu Yazid B. Mu’awiyyah) dengan sebab ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan benar-benar aku telah mendengar Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesungguhnya bagi seorang pengkhianat akan ditancapkan baginya bendera pada hari kiamat dan akan dikatakan kepadanya, “Inilah (bendera) pengkhianatan si Fulan.” Dan sesungguhnya pengkhianatan yang paling besar bila tidak ada pengkhianatan lain yang lebih besar dari perbuatan syirik kepada Allah, adalah seseorang yang telah memberi kepercayaan (bai’ah) kepada orang lain dalam rangka mentaati Allah dan Rasul-Nya lalu ia mengkhianati bai’ahnya tersebut.”

Maka, janganlah ada di antara kamu yang melepaskan bai’ah (ketaatan) terhadap kepimpinan Yazid (selaku pemerintah ketika itu – pent.), dan janganlah ada di antara kamu yang berlebih-lebihan dalam perkara ini sehingga dengannya menjadikan hubungan antara aku dengannya terpisah.” (Hadis Riwayat Ahmad, 9/105, no. 5088. Isnadnya sahih di atas syarat Bukhari dan Muslim)

Imam Muslim turut meriwayatkan dalam kitab Shahihnya tentang ketegasan Ibnu ‘Umar ini, iaitu ketika beliau (Ibnu ‘Umar) datang kepada ‘Abdullah B. Muthi’ radhiyallahu ‘anhu yang terlibat mengobarkan api pemberontakan dalam peristiwa al-Hurrah tersebut.

Abdullah B. Muthi’ berkata, “Berikan bantal kepada Abu ‘Abdirrahman (iaitu Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma).” Kemudian Ibnu ’Umar pun berkata:

إِنِّي لَمْ آتِكَ لِأَجْلِسَ أَتَيْتُكَ لِأُحَدِّثَكَ حَدِيثًا سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُهُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ خَلَعَ يَدًا مِنْ طَاعَةٍ لَقِيَ اللَّهَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَا حُجَّةَ لَهُ وَمَنْ مَاتَ وَلَيْسَ فِي عُنُقِهِ بَيْعَةٌ مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً

“Bahwasannya aku tidak datang kepadamu untuk duduk. Akan tetapi aku datang kepadamu untuk menyampaikan sebuah hadis yang aku dengar daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam iaitu beliau bersabda, “Sesiapa yang melepaskan tangan dari ketaatan (terhadap pemerintah), maka dia akan menemui Allah pada hari kiamat dalam keadaan tidak memiliki hujjah (alasan) untuk membela diri. Dan sesiapa yang mati, sedangkan tidak ada (ikatan) bai’ah (ketaatan) di lehernya, maka ia mati seperti mati dalam keadaan jahiliyyah.” (Hadis Riwayat Muslim, 9/393, no. 3441)

Sebahagian pihak ada yang mentakwil-takwil dan menganggap bahawa tindakan Ibnu ‘Umar tersebut adalah kerana terpaksa dan sedang berada di bawah tekanan kezaliman pemerintah (Yazid). Sebenarnya takwil tersebut adalah takwil yang jelas salahnya kerana melalui riwayat tersebut menjelaskan Ibnu ‘Umar tampil dengan membawa hadis Nabi dan sedikit pun tidak menggambarkan beliau berada di dalam keterpaksaan dan tekanan. Sekaligus menunjukkan tindakan beliau tersebut menggambarkan keilmuan dan kefaqihan beliau terhadap hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Imam Ibnul ‘Arabi Al-Maliki berkata:


وقد قال ابن الخياط إن بيعة عبد الله لزيد كانت كرها، وأين يزيد من ابن عمر؟ ولكن رأى بدينه وعلمه التسليم لأمر الله، والفرار من التعرض لفتنة فيها من ذهاب الأموال والأنفس ما لا يفي بخلع يزيد، لو تحقق أن الأمر يعود في نصابه، فكيف ولا يعلم ذلك؟

“Berdasarkan perkataan Ibnu Khayyath, bahawasannya bai’at ‘Abdullah B. ‘Umar kepada Yazid adalah kerana terpaksa. Di mana kedudukan Yazid boleh disamakan dengan kedudukan Ibnu ‘Umar (sehingga ia membai’at Yazid kerana terpaksa)? (Perkataan Ibnu Khayyath tidaklah benar). Tetapi tindakan beliau itu adalah kerana kedudukan agama dan ilmunya, maka Ibnu ‘Umar tunduk (taslim) terhadap perintah Allah (untuk tidak membatalkan bai’at) dan menghindarkan diri dari timbulnya fitnah. Iaitu fitnah yang berlaku pada harta dan jiwa. Maka melepaskan kekuasaan dari tangan Yazid, walaupun sekiranya dapat dipastikan bahawa kekuasan itu akan kembali kepada asalnya yang lebih berhak (iaitu kembali kepada penguasa yang adil), itupun tetap menimbulkan fitnah (kekacauan) yang dahsyat. Lalu bagaimana keadaannya jika kepastian tersebut tidak dapat diketahui?” (Rujuk: asy-Syathibi, al-I’tisham, 2/107 - Maktabah al-Misykah)

Maka dengan itu, hendaklah kita memahaminya dengan baik. Kerana setiap apa yang datang daripada sunnah dan teladan para salaf itu adalah kebaikan sekaligus merupakan petunjuk yang wajib kita ikuti biar pun kita masih tidak mampu merungkainya. Apalah sangat jika mahu dibandingkan keadaan kita yang cukup serba-serbinya sekali-sekala menghadapi kenaikan harga minyak, harga bawang dan gula, dan tol ditambah? Bahawasanya ia masih amat ringan dengan keadaan para sahabat ketika bertarung nyawa dan darah berhadapan al-Hajjaj B. Yusuf.

Dalam masa yang sama, berapa ramai di antara kita yang bersyukur dengan nikmat-nikmat ini seperti bahan api berupa petrol. Berapa ramai yang memanfaatkannya bagi menggerakkan kenderaan masing-masing ke masjid untuk beribadah lima waktu sehari? Berapa ramai yang memanfaatkannya untuk menuntut ilmu dan seumpamanya berupa ketaatan kepada Allah? Atau sebaliknya menghamburkannya ke tempat-tempat maksiat? Atau tidak pernah terlintas langsung ia merupakan sebahagian nikmat Allah yang wajar disyukuri dengan ketaatan? Maka, sama-samalah kita tanyakan kepada diri masing-masing. Bahawasanya semua ini adalah kurniaan Allah yang Dia sendiri berhak untuk menariknya kembali bila-bila masa sahaja dengan kehendak-Nya.

Dalam kisah yang lain, masih di era generasi sahabat di mana Khalifah Mu’awiyah B. Abi Sufyan radhiyallahu ‘ahu telah bertindak menahan dan menghukum bunuh Hujr B. Adi al-Kindi dengan sebab Hujr telah mencerca dan menunjukkan sikap kepembangkangan secara terbuka kepada gabernur Mu’awiyah di Kuffah. Sedangkan Hujr B. Adi al-Kindi adalah termasuk daripada kalangan sahabat (sahabat kecil), dan sebahagian ulama menyatakan beliau adalah tabi’in.

Tindakan Mu’awiyah tersebut tidak mendapat bantahan daripada kalangan sahabat yang lain, sebaliknya ia termasuk sebahagian kebenaran dan menjadi hak bagi seseorang pemimpin untuk mengelakkan fitnah dan huru-hara (bibit-bibit pemberontakan). (Rujuk penjelasannya dalam al-Awashim minal Qowashin oleh Imam al-Qadhi Abu Bakr Ibnul Arabi. Tahqiq: Muhibbudin al-Khatib, Mahmud al-Istanbuli, dan al-Maktab as-Salafi)

Oleh sebab itulah, para ulama antaranya Imam an-Nawawi, ash-Shan’ani, dan asy-Syaukani menyatakan sekiranya kelompok-kelompok penentang, pencela, dan yang suka memfitnah pemerintah ini jika sukar dibendung sikapnya, maka dibolehkan untuk diperangi dan dibunuh. Ini adalah jalan terakhir bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk seperti tercetusnya huru-hara, perpecahan, fitnah, dan mungkin pertumpahan darah.

Manakala, bagi pemimpin yang telah diberikan amanah oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala untuk memimpin rakyatnya, hendaklah dia juga sentiasa berusaha mentaati Allah dan menjalankan amanahnya sebagai seorang pemimpin yang baik. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman yang maksudnya, “(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat makruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.” (Surah al-Hajj, 22: 41)

Juga firman-Nya (bermaksud), “Wahai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan.” (Surah Shad, 38: 26)

Maka, hargailah keamanan ini dengan baik dan hamparkanlah rasa penuh kesyukuran. Gunakanlah ia sebagai kesempatan dan peluang memperbaiki diri dengan ilmu, iman, dan melaksanakan amal-amal yang soleh. Hanya dengan ilmu yang benar, aqidah dan iman yang murni, dan amal-amal yang sahih sahaja yang akan menjadikan kita kembali mulia dan terus diteguhkan kedudukan di bumi ini. Ini adalah sebagaimana yang Allah sebutkan dalam Surah an-Nuur, ayat 55 (maksudnya):

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan yang melaksanakan amal-amal soleh, bahawa Dia benar-benar akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan benar-benar Dia akan memperkukuhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, setelah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahku-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu apapun terhadap Aku. Dan sesiapa yang (tetap) kafir setelah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” (Surah an-Nuur, 24: 55)

Dengan itu, bimbing dan tunjukilah para pemimpin kalian dengan dakwah yang benar, bukannya dengan mencanang aib dan maki hamun. Lazimilah kesabaran sebagaimana yang ditunjukkan oleh para Nabi dan generasi terbaik umat ini dari kalangan para sahabat, tabi’in, dan tabi’ut tabi’in.

Semoga dengan baiknya diri-diri kita, akan baiklah seluruh masyarakat lainnya. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya), “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah keadaan yang ada pada diri-diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya, dan sekali-kali tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia.” (Surah ar-Ra’d, 13: 11)

Wallahu a’lam...