“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Rabu, Oktober 29, 2008

Lembu Siapa Lagi Sunnah?

Lembu Siapa Lagi Sunnah?

http://an-nawawi.blogspot.com

Baru-baru ini saya ada terbaca berkenaan iklan projek ternakan lembu dan ayam organik. Lebih menariknya, lembu dan ayam mereka dipelihara dengan kaedah yang sangat-sangat istimewa. Menurut kata mereka laaa...

Apa yang istimewanya? Itulah yang mahu saya kongsikan dengan sedikit komen. Mereka kata, lembu-lembu dan ayam-ayam mereka dijaga dengan terapi bacaan al-Qur’an hampir 24 jam sehari. Tidak cukup dengan itu, lembu dan ayam mereka diberikan makanan dengan bentuk-bentuk makanan yang berlandaskan as-Sunnah. Iaitu seperti diberi makanan bercampur habbatus Sauda’, air mushaffa, dan air mineral yang dibacakan padanya al-Qur’an daripada surah-surah yang terpilih.

Aku hanya mampu tersenyum sinis. Bolehkah haiwan itu bertahan mendengarkan bacaan al-Qur’an sehingga hampir 24 jam sehari. Yang saya fahami, manusialah yang sepatutnya mendengar dan memahami al-Qur’an tersebut. Kerana al-Qur’an itu sendiri diturunkan untuk manusia, bukannya untuk haiwan. Tak pernah adanya sunnah yang mengajar bela lembu dan ayam dengan kaedah pelik seperti itu. [Wallahu a'lam]

Sekali lagi aku tersenyum sinis apabila membaca perenggan iklan seterusnya yang mana mereka menyatakan bahawa haiwan ternakan mereka diberi makan dengan ramuan-ramuan sunnah.

Apa kejadahnya haiwan tu diberi makanan yang rupa itu dari bahan-bahan seperti air yang dibacakan ayat-ayat suci al-Qur'an, habbatus Sauda', dan seumpamanya... Sepatutnya tuan dia lah yang patutnya makan makanan tu. Itu bukannya untuk makanan haiwan ternakan. Kalau ikut sunnatullah, sebenarnya lembu-lembu secara fitrahnya mereka hanya memakan sumber dari rumput (tumbuhan ragut) atau daun-daunan. Jika begitulah keadaannya, bermakna lembu yang dipelihara oleh beberapa orang sahabat saya adalah lebih menepati sunnah dan lebih natural (fitrah). Ini kerana mereka diberi makanan dari sumber yang asli lagi segar berdasarkan kepada makanan rutin (fitrah) mereka...

Saya terfikir dan ada cadangan. Apakata kalau kita latih (ajarkan) lembu kita tu apabila hendak makan supaya mulakan dengan basmalah dan disudahi dengan hamdalah? Pastikan lembu-lembu dan ayam-ayam anda sentiasa diajar untuk bersenam setiap hari agar otot-otot badannya menjadi mantap lagi menonjol.

Wallahu a'lam.

Selasa, Oktober 28, 2008

Wajah-Wajah Agama 3 - Berhala Di Rumah & Kedai Orang Islam

Wajah-Wajah Agama 3 - Berhala Di Rumah & Kedai Orang Islam

http://an-nawawi.blogspot.com

Ramai orang Islam kita sekarang ini seakan-akan semakin berminat dan begitu gemar sekali meletakkan, memaparkan, atau menggantungkan gambar-gambar mereka, gambar keluarga mereka, atau ahli-ahli keluarga mereka sama ada yang telah meninggal dunia atau pun yang masih hidup di dinding-dinding rumah mereka. Malah, mereka memperbesarkan wajah-wajah gambar tersebut kepada size-size tertentu atas alasan sebagai kenangan dan melahirkan perasaan-perasaan tertentu sama ada perasaan semangat atau memori tertentu. Inilah di antara cara mereka menghias dan mengimarahkan (menyerikan) rumah-rumah mereka.

Malahan sebahagian mereka ada yang menggantungkan gambar-gambar wali-wali yang entahkan dari mana mereka meraih gambarnya. Mereka membayangkan gambar tersebut sebagai Wali Songo, gambar Abdul Qadir Jailani, Tok kenali, dan mungkin juga gambar Tok-Tok Guru mereka atau tokoh-tokoh pejuang mereka yang menurut mereka mampu melahirkan semangat perjuangan Islam dan sebagai lambang mengenang kehebatan serta jasa-jasa mereka.

Namun, lebih teruk lagi, ada pula yang meyakini bahawa gambar-gambar ini mampu membantu mereka beroleh berkah dan kejayaan/keuntungan dalam perniagaan yang mereka jalankan. Tidak hairanlah jika kita melihat di sebahagian kedai-kedai umat Islam terutamanya di sekitar Kedah dan Selangor yang kelihatannya banyak sekali menggantungkan gambar-gambar tokoh-tokoh silam tertentu. Di mana sebenarnya di sana mereka turut menyertakan dengan iktikad-iktikad (kepercayaan) tertentu bersekali dalam penggantungan gambar-gambar tersebut. Ketahuilah bahawa perbuatan ini adalah antara perbuatan yang membawa kepada syirik yang sangat besar!

Kita berbalik kepada menggantung gambar. Tanpa disedari, sedikit sebanyak telah berlaku kesilapan dan kesalahan yang tidak kurang besarnya dalam persoalan ini yang telah mereka lakukan. Perkara tersebut kebanyakannya berlaku di rumah-rumah kediaman mereka. Termasuklah juga sebahagiannya di kedai-kedai dan premis-premis perniagaan mereka.

Kalau sebelum ini kita mungkin biasa melihat patung-patung dan gambar berupa manusia atau makhluk bernyawa berbentuk seperti manusia berupa gajah, manusia berupa monyet, patung bernama Dewa Erlang, atau pun manusia berekor serta bertangan banyak di tempat-tempat kediaman orang bukan Islam (orang kafir) serta mungkin juga kita boleh lihat dengan mudah apabila datang ke premis-premis perniagaan mereka.

Malah jika di gereja-gereja pula, kalau mungkin kita pernah mengetahui, ada sebahagian gereja, mereka akan meletakkan potret atau lakaran gambar yang mereka anggap sebagai Nabi ‘Isa (Jesus), Mariam (Mary), atau juga Mother Teressa. Tidak lain, itu semua adalah sebagai berhala-berhala mereka yang dijadikan sebagai bahan atau perantaraan untuk beribadah.

Kini, semakin berleluasa di kediaman-kediaman orang Islam terutamanya di negara kita, mereka pula yang menggantungkan gambar-gambar manusia dan makhluk-makhluk bernyawa. Malah, saya sebagai pelajar, pernah juga ke rumah-rumah kediaman pelajar yang lain bahawa betapa mereka menggemari satu-satu watak sama ada watak dalam filem, video games, dan tokoh-tokoh tertentu itu sehinggakan mereka turut menterjemahkan pengangungan (fanatik) mereka dengan cara menggantungkan gambar-gambar watak tersebut di dinding-dinding kediaman mereka. Malah sehingga di setiap meja-meja tulis mereka juga turut disematkan dengan patung-patung berkaitan watak yang mereka gemari. Mungkin di sana sebagaimana yang saya maklum sebahagiannya adalah seperti watak Naruto, Budak Getah, Dragon Ball, wanita sexy, dan Mickey Mouse. Ini mungkin di peringkat pelajar-pelajar kita di kampus. Jika melihat di kediaman-kediaman mereka yang berkeluarga & berkerjaya, mungkin berbeza pula watak yang mereka gantungkan dengan gambar-gambar yang lain.

Sewajarnya kita mengetahui bagaimanakah pesanan Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam persoalan gambar ini yang antaranya melalui hadis-hadisnya sebagaimana berikut,

Daripada Ibnu ‘Abbas, dia menjelaskan bahawa “Nabi pernah memasuki Ka’bah dan menemui di dalamnya (lukisan) gambar Nabi Ibrahim dan Mariam. Kemudiannya beliau berkata, “Benda apa ini? Bukankah mereka mengetahui bahawa malaikat (pembawa rahmat) tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya mengandungi gambar (makhluk bernyawa); termasuklah gambar (Nabi) Ibrahim ini. Dan kenapa dia digambarkan sedang mempraktikkan meramal dengan anak panah?”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab Para Nabi (4/55), no. 570)

Daripada Abu Talha, “Aku mendengar Rasulullah berkata, “Malaikat (Pembawa Rahmat) tidak akan memasuki rumah yang di dalamnya ada anjing atau gambar yang berupa dari makhluk bernyawa”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab Penciptaan (4/54), no. 448)

Hakikat dan realitinya, umat Islam kelihatan seakan-akan mengabaikan dan meremehkan persoalan gambar ini. Ditakuti akhirnya nanti kita pula yang akan menuruti jejak langkah Kaum Yahudi, Nashrani, Budha, Hindu, dan seumpamanya dalam persoalan gambar ini sehinggakan kita pula turut membina berhala sendiri iaitu dengan bermula melalui pengangungan (fanatik) kepada watak-watak yang terdapat di dalam gambar-gambar yang kita sematkan.

Wallahu a’lam.

Nawawi Subandi, 12:40p.m., 28 Oktober 2008.
Bandaraya Anggerik, Shah Alam, Selangor.

Rabu, Oktober 22, 2008

Wajah-wajah Agama 2 - Nikah Dulu atau Bercinta Dulu?

Wajah-wajah Agama 2 - Nikah Dulu atau Bercinta Dulu?

http://an-nawawi.blogspot.com

Dalam sebahagian kes, apabila anak menyatakan kepada ibu bapanya yang dia mahu menikah, dengan selamba ibu bapanya menjawab kepadanya,

“Alaa... kenapa tergesa-gesa nak kahwin cepat-cepat sangat ni..., korang berkenal-kenal la dulu. Nanti bila rasa dah betul-betul serasi, barulah kahwin...”

Aku terfikir, bila agaknya masa yang dah betul-betul serasi tu agaknya? Bila dah terlajak dengan pelbagai jenis maksiat ke?

Sebahagian keadaan pula, apabila diajukan pertanyaan tentang nikah, maka dia segan-segan pula.

“Aku tengok engkau ni bukan main rapat lagi dengan awek tu, tiap-tiap hari saling sms, saling call. Hari minggu pulak mesti gi kuar dating naik kereta sama-sama. Bila bercadang nak nikahnya?”

“Alaa, aku segan lagi nak gi jumpa parent dia, duit pun takde cukup mana lagi nak kahwin. Rileks la, tengok dua atau tiga tahun lagi macam mana.”

Emm... apa lagi yang nak di-tengoknya tu??? Pegi call perempuan, berdua-duaan dengan perempuan tak tahu malu pula. Tapi, bila disarankan untuk buat benda baik, entah kenapa boleh malu-malu pulak. Buat maksiat tak tahu malu.

Nak nikah, sibuk kata takde duit. Tapi, tiap-tiap hari duk bergayut kat dalam telefon. Tiap-tiap minggu pergi kuar dating dan tengok wayang banyak pula duitnya. Bukan ke baik kalau nikah je dulu. Sekurang-kurangnya, kalau gi berhubung macam mana pun, nak dating ke apa ke, nak bermanja-manja ke, insyaAllah dapat pahala dan jauh dari maksiat.

Ibu bapa yang ada anak-anak muda zaman sekarang ni, sewajarnya memikirkan langkah yang bijak. Pandai-pandailah meninjau-ninjau perilaku anak-anak kita tu. Kalau dah nampak lain macam je tu. Usul-usulkanlah supaya menikah dengan cara baik. Pastikan pilihan anak-anak kita tu betul. Laksanakanlah perbincangan di antara kedua-belah pihak, supaya kita tahu dengan siapa anak kita mahu dinikahkan.

Pejabat agama pulak, untuk kes orang nak kahwin ni, jangan lah disusah-susahkan. Banyak sangat prosedur dan tatacara nya. Makin pening dibuatnya orang yang memang dah mabuk tu nanti jadinya...

Selasa, Oktober 21, 2008

Wajah-Wajah Agama 1 - Sebuah Revolusi Atau Evolusi?

Wajah-Wajah Agama 1 - Sebuah Revolusi Atau Evolusi?
http://an-nawawi.blogspot.com/

Hari ini aku baru sahaja terdengar dua buah lagu, di mana begitu mengusik jiwaku untuk berfikiran kritis dan mengkritik. Aku menoleh, rupanya ia dari sebuah klip video.

Sungguh tak ku sangka di masa ini sudah ada kaedah baru lagi moden untuk memohon ampunan kepada Tuhan. Sungguh kretif sekali, iaitulah dengan melagukan kalimah istighfar atau kalimah taubat. Lebih mengesankan apabila ia turut diiringi dengan muzik-muzik kontemporari yang antaranya dengan petikan gitar dan paluan drum ala-ala lagu balada romantik. Lebih menarik, dia si penyanyi adalah seorang wanita tidak bertudung dengan rambut mengurai. Diadun dengan gerak lenggok seorang wanita sudah tentunya.

Mungkinkah dengan berbuat begitu, mereka menyangka Tuhannya akan terhibur dan berasa sayu terhadap rayuan hambanya? Mungkinkah ada extra value (ganjaran tambahan) bakal diperolehi berdasarkan adunan tambahan yang dilakukan pada zikirnya?

Kalau dulu, kita mungkin pernah mendengar lagu "Alhamdulillah" yang dinyanyikan oleh Yasin & kumpulan Too Phat yang ala-ala hip hop. Mungkin itu adalah di antara revolusi manusia dalam melaksanakan ibadah zikirnya kepada Tuhan. Memuji Tuhannya dengan melaungkan kalimah hamdalah beriringan muzik hip hop ditambah dengan iringan joget tari bernama rap. Wahh, semakin jauh kini manusia ber-evolusi dalam agamanya.

Kalau dulu mungkin kaum kristian (Nashara) yang melagukan ayat-ayat biblenya di gereja-gereja mereka (juga sehingga sekarang). Namun, tak ku sangka, umat Islam zaman ini pun sudah mula mengorak langkah seperti mereka.

Haruskah aku mengerti, sampai manakah lagi mereka akan terus berevolusi. Rupa mana lagikah yang mereka mahukan? Tidak cukupkah dengan apa yang dibawakan Muhammad Shallallahu 'alaihi wa Sallam kepada kita semua yang berupa al-Qur'an & as-Sunnah. Malah telah siap dengan tafsirnya, iaitu atas kefahaman para sahabat-sahabatnya Muhammad Shallallahu 'alaihi wa Sallam yang diredhai. Susahkah? Mengapa mahu begitu bijak mendahului utusan Allah sendiri dan para sahabat-sahabatnya?

Khamis, Oktober 16, 2008

SELAMAT DI ATAS PRINSIP SALAF

SELAMAT DI ATAS PRINSIP SALAF
http://an-nawawi.blogspot.com

Definisi Salaf

As-Salaf secara bahasa atau etimologi, menurut pengarang kitab Lisanul ‘Arab adalah berasal dari kata salafa, yaslufu, sulufun, dan suluufan yang membawa maksud “taqaddama” (mendahului). Salaf adalah orang yang mendahuluimu, yang terdiri dari ibu bapamu dan keluargamu yang lebih dahulu atau yang lebih tua usianya dan lebih mulia darimu.

As-Salaf secara istilah atau terminologi adalah merujuk kepada generasi Sahabat, Tabi’in, Tabi’ut Tabi’in, dan sesiapa yang mengikuti mereka dalam kebaikan dan petunjuk. (Lihat: Sikap Ahlussunnah wal Jama’ah Terhadap Ahli Bid’ah Dan Pengikut Hawa Nafsu, oleh Syaikh Dr. Ibrahim Amir ar-Ruhaili, Terbitan Darul Falah, jil 1, m/s. 63)

Dengan ini, perkataan as-Salaf dinisbahkan kepada para imam mutaqaddimin (yang terdahulu) yang terdiri dari para ulama generasi pertama, kedua, dan ketiga yang diberkahi. Mereka adalah para Sahabat radhiyallahu ‘anhum, Tabi’in, dan Tabi’ut Tabi’in yang disebutkan di dalam banyak hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. (Lihat: Manhaj ‘Aqidah Imam asy-Syafi’i, oleh Syaikh Dr. Muhammad bin A. W. Al-‘Aqil, Terbitan Pustaka Imam asy-Syafi’i, m/s. 57)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (maksudnya), “Sebaik-baik manusia adalah dari generasiku (para sahabat), kemudian dari generasi selepasnya (tabi’in), dan kemudian generasi selepasnya (tabi’ut tabi’in). Setelah itu datanglah kaum yang kesaksian salah seorang dari mereka mendahului sumpahnya dan sumpahnya mendahului kesaksiannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Ahlus Sunnah Yang Sebenar Adalah Pengikut Salaf

Penisbahan nama Ahlus Sunnah wal Jama’ah bermula pada akhir zaman sahabat. Manakala sebahagian pandangan menyatakan bahawa ia bermula apabila timbulnya zaman fitnah di era kepimpinan Ali dan Mu’awiyah radhiyallahu ‘anhuma. Iaitu di mana munculnya golongan ahli bid’ah dari kelompok Khawarij, Rafidhah (atau Syi’ah), Jahmiyah, Qadariyah, dan seumpamanya yang mana mereka dikenali dengan pelbagai perbuatan bid’ah dan penyimpangannya dalam menafsirkan al-Qur’an dan as-Sunnah. Maka, atas sebab perselisihan yang melanda, para ulama pada masa tersebut serta selepasnya telah mengambil kata Ahlus Sunnah sebagai suatu bentuk penisbahan kepada golongan yang benar.

Ibnu Hazm rahimahullah menjelaskan bahawa, “Ahlus Sunnah yang dimaksudkan adalah golongan yang berada di atas kebenaran, manakala selain mereka adalah Ahli Bid’ah. mereka (Ahlus Sunnah) adalah para Sahabat radhiyallahu ‘anhum dan setiap orang yang berpegang kepada prinsip-prinsip mereka (dalam beragama) dari kalangan Tabi’in yang terpilih. Kemudian para ahli hadis dan golongan yang mengikuti mereka dari kalangan para fuqaha dari generasi ke generasi sehingga ke zaman kita ini. Juga golongan yang mengikuti mereka dari kelompok masyarakat awam di timur dan barat semoga rahmat Allah ke atas mereka.” (Lihat: Sikap Ahlussunnah wal Jama’ah Terhadap Ahli Bid’ah Dan Pengikut Hawa Nafsu, oleh Syaikh Dr. Ibrahim Amir ar-Ruhaili, Terbitan Darul Falah, jil 1, m/s. 32)

Menurut Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah, katanya, “Mereka (Ahlus Sunnah) adalah orang-orang yang berpegang teguh kepada Kitabullah dan Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berdasarkan kesepatan generasi terawal dari kalangan kaum Muhajirin, Anshar, dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik.” (Lihat: Sikap Ahlussunnah wal Jama’ah Terhadap Ahli Bid’ah Dan Pengikut Hawa Nafsu, oleh Syaikh Dr. Ibrahim Amir ar-Ruhaili, Terbitan Darul Falah, jil 1, m/s. 33)

Penisbahan kepada nama Ahlus Sunnah adalah berpandukan kepada hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri. Dan di antara nama-nama lain yang tsabit dari hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah seperti al-Firqah an-Najiyah (golongan yang selamat), ath-Thaifah al-Manshurah (golongan yang mendapat pertolongan), dan as-Salaf itu sendiri. Perlu kita fahami bahawa dengan nama-nama yang masyhur ini bagi Ahlus Sunnah, tidaklah ia sekali-kali menafikan dari penisbahan asas kepada Islam, kerana nama-nama itu sendiri adalah merujuk kepada prinsip-prinsp Islam yang sebenar. (Lihat: Sikap Ahlussunnah wal Jama’ah Terhadap Ahli Bid’ah Dan Pengikut Hawa Nafsu, oleh Syaikh Dr. Ibrahim Amir ar-Ruhaili, Terbitan Darul Falah, jil 1, m/s. 41)

Pernisbahan nama ini bukanlah suatu ciptaan atau penisbahan yang diambil dari nama tokoh-tokoh tertentu seperti mana yang berlaku kepada kelompok Ahli Bid’ah dari golongan Jahmiyah yang mengambil sempena nama tokoh mereka al-Jahm bin Shafwan, az-Zaidiyah yang dinisbahkan kepada Zaid bin Ali, al-Kulabiyah kepada Abdullah bin Kullab, atau al-Asy’ariyah kepada Abu Hasan al-Asy’ari. Bukan juga diambil dari penzahiran perbuatan sesuatu kelompok itu terhadap bid’ahnya sebagaimana contohnya penisbahan nama ar-Rafidhah disebabkan mereka menolak kepimpinan Zaid bin Ali, al-Qadariyah kerana penyimpangan mereka dalam persoalan takdir, Murji’ah kerana menyatakan amal tiada kaitan dengan iman, dan Khawarij kerana mereka keluar dari kepimpinan khalifah Ali bin Abu Thalib radhiyallahu ‘anhu.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (maksudnya), “Hendaklah kamu berpegang teguh kepada sunnahku dan sunnah Khulafa’ur Rasyidin yang mendapat petunjuk. Berpegang teguhlah dengannya walaupun sehingga menggigitnya dengan gigi geraham. Jauhilah kamu dari perkara-perkara yang baru (dalam agama), kerana sesungguhnya setiap perkara baru itu adalah bid’ah dan setiap bid’ah itu adalah kesesatan.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

“Sesungguhnya Bani Isra’il telah berpecah-belah menjadi 72 golongan, dan umatku akan berpecah-belah menjadi 73 golongan. Mereka semua di neraka kecuali satu golongan (yang selamat)”. Para sahabat bertanya: “Siapakah golongan (yang selamat) itu wahai Rasulullah?” Beliau menjawab: “Mereka yang berjalan dengan jalan di mana aku dan para sahabatku ada di atasnya”.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Dalam riwayat yang lain (maksudnya): “Dan umatku ini akan berpecah menjadi 73 golongan, semuanya di neraka kecuali satu”. Para sahabat bertanya: “Siapakah mereka wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Mereka adalah orang-orang yang keadaannya sentiasa berada di atas jalanku dan jalan para sahabatku”.” (Hadis Riwayat ath-Thabrani)

Di sini menunjukkan bahawa prinsip kebenaran dalam beragama itu adalah berpandukan kepada prinsip para sahabat yang merupakan golongan Salaf (generasi awal). Iaitu dengan meneliti bagaimana mereka berpegang kepada Kitabullah (al-Qur’an) dan sunnah Rasul-Nya. Maka, begitu jugalah wajib untuk kita mengambil dan memahami al-Qur’an dan as-Sunnah iaitu berdasarkan kefahaman dan tafsiran generasi salaf yang terbaik iaitu para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang diredhai dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik. Menurut Imam Ahmad rahimahullah, “Prinsip-prinsip Ahlus Sunnah menurut kami adalah berpegang teguh dengan prinsip yang dipegang oleh para sahabat Rasulullah dan berqudwah (mengambil contoh) dari mereka.” (Ushul as-Sunnah, oleh Imam Ahmad, Tahqiq oleh Walid bin Muhammad Nubaih, Terbitan Pustaka Darul Ilmi, prinsip no. 1)

Memahami Agama Di Atas Prinsip Salaf

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya), “Orang-orang yang terdahulu lagi yang paling awal (masuk Islam) dari golongan Muhajirin dan Anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka Syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar.” (Surah at-Taubah, 9: 100)

Setiap umat Islam secara asasnya mereka sentiasa berpegang teguh dengan al-Qur’an dan as-Sunnah. Namun, kita tetap melihat bahawa ia terus menerus melahirkan pelbagai perbezaan dan perpecahan. Ini antara yang paling utama adalah kerana kaedah yang mereka pegang dalam mengambil dan memahami al-Qur’an dan as-Sunnah itu berbeza-beza, ada yang benar dan ada yang salah. Maka, untuk menghapuskan perbezaan tersebut, hanyalah dengan kembali merujuk kepada kefahaman (tafsiran) para salaf yang terdiri daripada golongan Sahabat radhiyallahu ‘anhum... Ini adalah kerana mereka (Sahabat radhiyallahu ‘anhum) telah menyaksikan (mengalami) sendiri turunnya al-Qur’an dan mengetahui (memahami) tafsiran yang sebenar secara langsung dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. (Lihat: Madarikun Nazhar fi as-Siyasah, oleh Syaikh Abdul Malik Ramadhani al-Jazairi, Terbitan Pustaka Imam Bukhari, jil. 1, m/s. 13-14)

Dengan ini dapat kita fahami bahawa dalam prinsip beragama, adalah suatu yang wajib untuk kita mengambil dan memahaminya dengan berpandukan sebagaimana apa yang telah sedia difahami oleh para Salaf yang terbaik iaitu dari golongan manusia yang paling awal beriman (para sahabat) dan mereka yang mengikuti mereka dengan baik. Maka, prinsip-prinsip aqidah dan keimanan yang kita bina mestilah berpandukan kepada prinsip-prinsip keimanan yang mereka contohkan. Begitulah juga dengan kaedah-kaedah perlaksanaan amal-amal kita dalam beribadah di mana yang dinamakan sebagai amal yang soleh itu mestilah ada contohnya dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berpandukan kefahaman generasi salaf yang terbaik (yang soleh). Dengan itu, sekaligus kita menolak dan meninggalkan sebarang tafsiran yang menyimpang yang terbina selain dari kefahaman tersebut. Di mana kebanyakan hasil agama yang menyimpang itu sebenarnya adalah bermula dari kaedah penafsiran yang mengutamakan akal, mengikuti hawa nafsu, dan membelakangkan prinsip-prinsip para salaf.

Secara umumnya, kaedah-kaedah atau prinsip-prinsip para salaf tersebut adalah dengan,

1 - Mengambil Zahir al-Qur’an dan as-Sunnah di dalam setiap persoalan aqidah. Iaitu dengan mendahulukan wahyu berbanding akal dan tidak meremehkan salah satu darinya sama ada daripada al-Qur’an atau pun as-Sunnah iaitu dengan meletakkan as-Sunnah seiring al-Qur’an.
2 - Menghormati ucapan para Sahabat radhiyallahu ‘anhum dengan mengambil kefahaman dan segala fakta yang datang dari mereka.
3 - Memelihara akal agar tidak membahaskan sesuatu yang diluar kemampuannya.
4 - Berwaspada terhadap segala bentuk perkara-perkara baru (bid’ah) yang muncul dalam prinsip-prinsip beragama.
5 - Memberi perhatian serta keutamaan kepada kesatuan kaum muslimin bagi tujuan menjauhi perpecahan. (Lihat: Manhaj ‘Aqidah Imam asy-Syafi’i, oleh Syaikh Dr. Muhammad bin A. W. Al-‘Aqil, Terbitan Pustaka Imam asy-Syafi’i, m/s. 58-76)

Rabu, Oktober 15, 2008

Jangan Takut Untuk Belajar

Jangan Takut Untuk Belajar

http://an-nawawi.blogspot.com

Pada masa kini, kaedah untuk belajar ada banyak caranya. Tapi, apa itu yang dimaksudkan dengan belajar?

Secara mudahnya, belajar ialah suatu proses mendapatkan (menguasai) ilmu, kemahiran, atau menambahkan maklumat untuk keperluan tertentu.

Belajar juga memerlukan kita untuk berguru. Berguru adalah seseorang yang memiliki ilmu yang kurang (rendah), belajar kepada seseorang yang tinggi ilmunya (yang banyak maklumatnya) dalam skop yang dimaksudkan. Pada masa kini, tidak dapat dinafikan bahawa kaedah dan sarana untuk berguru itu sangat banyak sekali dan mungkin berbeza-beza di antara satu individu (atau kumpulan) dengan individu yang lainnya.

Mungkin kaedah berguru tidak sahaja boleh dilakukan dengan cara berhadapan (face to face) sahaja, iaitu dengan tanpa menafikan bahawa kaedah berhadapan (dengan guru) adalah antara yang terbaik. Sebagaimana kumpulan ilmuan yang terdahulu dan lebih awal dari kita sendiri banyak sekali meninggalkan ilmunya melalui buku-buku tertentu (menurut skop ilmu masing-masing) yang sehingga kini menjadi rujukan, panduan, dan bahan kajian. Perlu kita akui dan sedari, pada saat kemudahan sains dan teknologi yang meletus dengan begitu hebat sekali di era ini, ia secara tidak langsung sekaligus membolehkan kita untuk belajar dengan cara yang antaranya melalui pembacaan dari medium berupa buku, e-book, internet, website, majalah, dan pelbagai lagi. Selain itu, ia juga membolehkan kita untuk belajar berpandukan dari medium berupa VCD (rakaman video), rakaman audio (seperti mp3), berdialog di internet (chatting), bertukar ilmu melalui telefon dan e-mail, serta pelbagai lagi. Malah, baru-baru ini saya menemukan satu kaedah belajar yang diuruskan oleh sebuah universiti iaitu cara belajar secara online. Mendapatkan ijazah juga secara online, yang mana ianya diuruskan oleh universiti-universiti di luar negara. Sebenarnya, semua ini bukanlah suatu perkara yang menghairankan pada masa ini.

Kalau mungkin sebelum ini kita menonton rancangan memasak untuk menguasai sesuatu menu yang baru, baru-baru ini saya menjumpai pelbagai jenis VCD yang menyediakan kepada kita cara-cara untuk mempelajari solat sama ada VCD untuk anak-anak kecil atau pun untuk peringkat umur yang umum. Saya melihatkan ia sangat berkesan sekali dan mudah untuk difahami. Ia juga dilengkapi dengan buku panduan yang lengkap dengan hadis-hadis dan terjemahan bahasa melayu. Hasil daripada VCD tersebut, saya sendiri telah berjaya memanfaatkannya bagi tujuan membantu dan mengajak beberapa orang rakan untuk sama-sama memperbaiki solat.

Kesimpulan dari VCD solat tersebut membuatkan saya berfikir bahawa alasan tidak sempat untuk belajar agama dan tidak tahu di mana ada kelas agama adalah tidak relevan lagi pada masa ini. Kerana kaedah dan medium untuk belajar itu kini ada pelbagai. Buku-buku terjemahan yang mudah dan mesra pembaca juga sudah banyak memenuhi pasaran. Penulisan-penulisan yang ilmiyah bersumberkan al-Qur’an dan hadis juga sudah mula menyebar di pasaran. Rakaman-rakaman kuliah (seperti format MP3) juga sudah begitu banyak boleh didapati secara percuma di internet. Janganlah hanya berkhayal untuk memuat turun mp3 lagu-lagu yang tidak senonoh, tetapi kita lupa (melupakan) bahawa di sana juga terdapat rakaman audio mp3 yang lebih bermanfaat untuk agama kita.

Suatu yang tidak perlu dihairankan jika seseorang yang asas pendidikannya adalah biologi, tiba-tiba dia begitu mahir dalam bidang komputer dan IT (teknologi maklumat) sama ada mahir dalam membangunkan sebuah website, mengendalikan aplikasi php, menyelesaikan permasalahan hardware, atau mungkin software sekaligus. Malah, mungkin juga dia begitu mahir dalam beberapa bidang tertentu untuk satu-satu masa. Malah sahabat saya sendiri yang merupakan seorang pelajar di dalam jurusan kimia industri, dia begitu mahir dalam bidang graphic design dengan menggunakan beberapa jenis perisian komputer tertentu. Malahan dia tahu membezakan perisian yang mana adalah terbaik untuk rekaan tertentu. Dia juga mahir dalam flash animation. Saya pernah menanyakan dari mana dia belajar? Dia menjelaskan bahawa dia hanya mempelajarinya dari beberapa sumber dari internet di samping minat yang mendalam dalam bidang tersebut. Maka, di sini jelas bahawa ia bukanlah sesuatu yang mustahil. Seperti kata peribahasa “Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”. Langkah ke seribu itu bermula dengan langkah yang pertama, walaupun terpaksa jalan merangkak sebelum mampu berjalan betul.

Terimalah hakikat bahawa dunia kita sudah berubah. Apa yang patut kita fahami adalah sama ada kita mahu belajar atau tidak? Kita mahu berusaha atau tidak. Ia juga bergantung kepada kretiviti serta kebijaksanaan kita untuk memilih kaedah pembelajaran dan menguruskan masa bersesuaian dengan corak dan situasi kita. Minat yang mendalam dan sikap amanah serta ilmiyah adalah teras kejayaan kita. InsyaAllah. Sekaligus, kenyataan kuno, “Siapa yang menuntut ilmu tanpa guru (atau dengan berpandukan buku semata-mata) maka dia sebenarnya menuntut ilmu dengan syaitan” tidak lagi relevan pada zaman ini. Bahkan ia hanya akan merencatkan perkembangan dan kemajuan masyarakat di era intelek. Tetapi, hakikatnya ramai juga orang yang berguru dan bertalaqi masih juga ditakuk lama natijah dari diri sendiri yang tidak memiliki jiwa yang berdaya maju, tidak mahu berusaha untuk membangun, dan mungkin juga disebabkan memilih guru yang salah.

Hanya apa yang perlu ditekankan adalah perlunya untuk kita mengambil dari sumber yang tepat bagi setiap skop dan bidang yang dikehendaki. Jangan sampai kita mahu menguasai maklumat permotoran, tetapi asyik buku IT yang kita belek, maka mungkin ilmu IT yang akan kita perolehi. Begitu pula dalam persoalan agama, jangan sampai disesatkan oleh kitab-kitab orientalis!

Oleh itu janganlah takut untuk sentiasa belajar. Sama-samalah kita berusaha untuk sentiasa memperbaiki diri dari masa ke semasa supaya jangan sampai dikatakan ketinggalan zaman!

Selasa, Oktober 14, 2008

Tinggalkanlah Perdebatan Yang Tiada Maknanya

Tinggalkanlah Perdebatan Yang Tidak Bermakna

Bijak sungguh kau bermain kata meminta hujjah. Tatkala hujjah sudah diberi, kau balas pula dengan emosi. Kata-kata kesat, penghinaan, cacian dan makian yang kau lemparkan. Jika kau minta hujjah tetapi untuk dipersendakan, maka terlepaslah kau dari diriku. Kerana, bukannya itu jalan untuk meninggikan kebenaran. Dan bukannya kebenaran yang kau mahukan sebenarnya.

Daripada Abu Umamah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

“Aku menjamin sebuah rumah di persekitaran Syurga bagi orang yang meninggalkan perdebatan sekalipun dia berada di sebelah kebenaran, sebuah rumah di tengah Syurga bagi orang yang meninggalkan penipuan sekalipun hanya untuk bergurau, dan sebuah rumah di tempat tertinggi di dalam Syurga bagi orang yang berakhlak dengan baik.” (Hadis Riwayat Abu Daud, Kitab al-Adab, hadis no. 4782. Lihat juga Shahih Sunan Abi Daud)

Wallahu a’lam.