“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Selasa, Disember 04, 2012

Syafa’at Al-Qur’an Untuk Yang Beramal Dengannya

Syafa’at Al-Qur’an Untuk Yang Beramal Dengannya

Abu Numair Nawawi B. Subandi 


Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ، اقْرَءُوا الزَّهْرَاوَيْنِ الْبَقَرَةَ، وَسُورَةَ آلِ عِمْرَانَ، فَإِنَّهُمَا تَأْتِيَانِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ، أَوْ كَأَنَّهُمَا غَيَايَتَانِ، أَوْ كَأَنَّهُمَا فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ، تُحَاجَّانِ عَنْ أَصْحَابِهِمَا، اقْرَءُوا سُورَةَ الْبَقَرَةِ، فَإِنَّ أَخْذَهَا بَرَكَةٌ، وَتَرْكَهَا حَسْرَةٌ، وَلَا تَسْتَطِيعُهَا الْبَطَلَةُ. قَالَ مُعَاوِيَةُ: بَلَغَنِي أَنَّ الْبَطَلَةَ: السَّحَرَةُ

“Bacalah al-Qur’an kerana sesungguhnya di hari kiamat nanti ia akan menjadi syafa’at kepada orang-orang yang mengikutinya (menjadi ahlinya). Bacalah al-Zahrawain (dua cahaya yang bersinar), iaitu surah al-Baqarah dan Surat Ali ‘Imran. Kerana keduanya akan datang pada hari Kiamat seakan-akan dua awan besar atau seperti dua kelompok besar dari burung-burung yang akan menjadi hujjah (pembela) orang-orang yang sentiasa membacanya. Kamu bacalah surah al-Baqarah, kerana mengambilnya adalah barakah, meninggalkannya adalah kerugian, dan al-Bathalah (ahli kebathilan) tidaklah dapat menguasainya.” Kata Mu’awiyah: Al-Bathalah (Ahli kebathilan) adalah tukang sihir.” (Musnad Ahmad, no. 22213. Shahih Muslim, no. 804)

An-Nawwas B. Sa’man al-Kilaabi radhiyallahu ‘anhu berkata: “Aku mendengar Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

يُؤْتَى بِالْقُرْآنِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَأَهْلِهِ الَّذِينَ كَانُوا يَعْمَلُونَ بِهِ تَقْدُمُهُ سُورَةُ الْبَقَرَةِ، وَآلُ عِمْرَانَ، وَضَرَبَ لَهُمَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثَةَ أَمْثَالٍ مَا نَسِيتُهُنَّ بَعْدُ، قَالَ: «كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ، أَوْ ظُلَّتَانِ سَوْدَاوَانِ بَيْنَهُمَا شَرْقٌ، أَوْ كَأَنَّهُمَا حِزْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ، تُحَاجَّانِ عَنْ صَاحِبِهِمَا

“Akan didatangkan dengan al-Qur’an pada hari kiamat dan ahlinya yang mana dia beramal dengannya, terutamanya Surah al-Baqarah dan Ali ‘Imran.”

Dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah membuat tiga permisalan dengan keduanya yang aku tidak akan lupa setelah itu:

“Kedua-dua Surah (Al-Baqarah dan Ali ‘Imran) seperti awan atau naungan (payung) yang berwarna hitam yang di antara keduanya ada cahaya, atau keduanya seperti sekelompok burung yang berbaris yang melindungi orang yang mengikuti (mengamalkan) kedua Surah tersebut.” (Shahih Muslim, no. 805)

Dalam riwayat at-Tirmidzi:

يَأْتِي القُرْآنُ وَأَهْلُهُ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ بِهِ فِي الدُّنْيَا تَقْدُمُهُ سُورَةُ البَقَرَةِ وَآلُ عِمْرَانَ

“Akan didatangkan dengan al-Qur’an pada hari kiamat dan ahlinya yang mana dia beramal dengannya di dunia terutamanya Surah al-Baqarah dan Ali ‘Imran.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 2883)

Kemudian Imam at-Tirmidzi mengatakan:

وَمَعْنَى هَذَا الحَدِيثِ عِنْدَ أَهْلِ العِلْمِ أَنَّهُ يَجِيءُ ثَوَابُ قِرَاءَتِهِ، كَذَا فَسَّرَ بَعْضُ أَهْلِ العِلْمِ هَذَا الحَدِيثَ وَمَا يُشْبِهُ هَذَا مِنَ الأَحَادِيثِ أَنَّهُ يَجِيءُ ثَوَابُ قِرَاءَةِ القُرْآنِ. وَفِي حَدِيثِ النَّوَّاسِ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا يَدُلُّ عَلَى مَا فَسَّرُوا إِذْ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: وَأَهْلُهُ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ بِهِ فِي الدُّنْيَا فَفِي هَذَا دَلَالَةٌ أَنَّهُ يَجِيءُ ثَوَابُ العَمَلِ

“Dan makna hadis ini di sisi ahli ilmu, bahawasanya mereka berpendapat akan didatangkan pahala kepada pembacanya. Demikianlah tafsiran sebahagian ahli ilmu tentang hadis ini dan apa yang serupa dari hadis-hadis berikut bahawasanya akan didatangkan pahala bacaan al-Qur’an. Dan di dalam hadis an-Nawwas daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tersebut menunjukkan ke atas penafsiran apabila Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata:

“Dan ahlinya yang beramal dengannya di dunia.” Maka padanya ini adalah dalil bahawa akan didatangkan pahala amal.” (Sunan at-Tirmidzi, 5/160)

Hadis Dhai’f, Tidak Sahih!

Imam at-Tirmidzi meriwayatkan:

أَخْبَرَنَا حَفْصُ بْنُ سُلَيْمَانَ، عَنْ كَثِيرِ بْنِ زَاذَانَ، عَنْ عَاصِمِ بْنِ ضَمْرَةَ، عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ

“Telah menghkhabarkan kepadaku Hafsh B. Sulaiman, daripada Katsir B. Zaazaan, daripada ‘Ashim B. Dhomrah, daripada ‘Ali B. Abi Thalib beliau berkata:

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ وَاسْتَظْهَرَهُ، فَأَحَلَّ حَلَالَهُ، وَحَرَّمَ حَرَامَهُ أَدْخَلَهُ اللَّهُ بِهِ الجَنَّةَ وَشَفَّعَهُ فِي عَشَرَةٍ مِنْ أَهْلِ بَيْتِهِ كُلُّهُمْ قَدْ وَجَبَتْ لَهُ النَّارُ

“Sesiapa yang membaca al-Qur’an dan menghafaznya, menghalalkan apa yang dihalalkan oleh Allah, dan mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah, maka Allah memasukkan dengannya ke Syurga dan boleh memberi syafa’at (pertolongan) sepuluh orang dari ahli keluarganya yang telah dipastikan masuk Neraka.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 2905)

Kata at-Tirmidzi rahimahullah (Wafat: 279H):

هَذَا حَدِيثٌ غَرِيبٌ لَا نَعْرِفُهُ إِلَّا مِنْ هَذَا الوَجْهِ وَلَيْسَ لَهُ إِسْنَادٌ صَحِيحٌ، وَحَفْصُ بْنُ سُلَيْمَانَ أَبُو عُمَرَ بَزَّازٌ كُوفِيٌّ يُضَعَّفُ فِي الْحَدِيثِ

“Hadis ini ghariib (asing), tidak diketahui darinya melainkan dari wajah ini dan tidak memiliki isnad yang sahih. Dan Hafsh B. Sulaiman adalah Abu ‘Umar, saudagar dari Kuffah, dan beliau dilemahkan dalam hadis.” (Sunan at-Tirmidzi, 5/171)

Syaikh al-Albani mengatakan, “Dha’if jiddan.” Diriwayatkan oleh Ahmad, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan ad-Darimi.

Sebagai catatan dan peringatan: Maka telah kelirulah orang-orang yang mengabaikan al-Qur’an, tidak membacanya, dan tidak juga mengamalkannya, lalu dia beranggapan dengan menghantar anak-anak menghafaz dan mengamalkan al-Qur’an, kelak akan mampu menyelamatkannya di hari Kiamat.

Hakikatnya, yang paling utama untuk berusaha beramal dengan al-Qur’an itu adalah dirinya sendiri sebelum dia boleh menjadi contoh dan memerintahkan orang lain mengamalkannya. Bukan hanya sekadar memerintahkan sang anak menghafaz Surah itu dan ini, tetapi dia sendiri berlepas tangan dari al-Qur’an lalu kemudian boleh pula mengharap amal-amal (bacaan al-Qur’an) anaknya tersebut menjadi syafa’at untuknya. Sungguh ini benar-benar keliru.

Renungilah firman Allah Ta’ala berikut:

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ (88) إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ (89) وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ

“(Iaitu) di hari yg di mana harta dan anak-anak tidak lagi bermanfaat, kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang saliim (bersih suci). Dan didekatkan al-Jannah (Syurga) itu untuk orang-orang yang bertaqwa.” (Surah asy-Syu'araa, 26: 88-89)

Allah Ta’ala juga berfirman dalam ayat yang lain:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا

“Wahai orang-orang yang beriman, jagalah diri-diri kalian dan ahli keluarga kalian dari Neraka.” (Surah at-Tahrim, 66: 6)

Dalam sebuah hadis, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

يُقَالُ لِصَاحِبِ الْقُرْآنِ: اقْرَأْ، وَارْقَ، وَرَتِّلْ كَمَا كُنْتَ تُرَتِّلُ فِي الدُّنْيَا، فَإِنَّ مَنْزِلَتَكَ عِنْدَ آخِرِ آيَةٍ تَقْرَؤُهَا

“Dikatakan kepada shohibul Qur’an (orang-orang yang membaca, mempelajari, dan mengamalkan al-Qur’an): “Bacalah, dan naiklah, dan tartilkanlah (bacalah dengan perlahan-lahan) sebagaimana engkau membacanya di dunia. Kerana sesungguhnya kedudukan engkau di sisi akhir ayat yang engkau baca.” (Musnad Ahmad, no. 6799. Sunan Abu Daud, no. 1464. Sunan at-Tirmidzi, no. 2914)

Kemudian dalam hadis yang lain, Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ

“Sebaik-baik kamu adalah sesiapa yang mengamalkan al-Qur’an dan mengajarkannya.” (Shahih al-Bukhari, no. 5027)

Wallahu a’lam.

Sya’ir Ibnu al-Mubarak Untuk Para Pengetuk Pintu-pintu Penguasa

Sya’ir Ibnu al-Mubarak Untuk Para Pengetuk Pintu-pintu Penguasa

Imam ‘Abdullah B. Al-Mubarak


Syaikh al-Islam Imam ‘Abdullah B. Al-Mubarak rahimahullah (Wafat: 181H) mengungkapkan (sebuah Sya’ir):

يا جاعل العلم له بازيا

“Wahai orang-orang yang menjadikan ilmu sebagai barang jual-beli…

يصطاد أموال المساكين

Untuk mengaut harta orang-orang miskin…

احتلت للدنيا ولذاتها

Engkau ambil untuk dunia dan kesenangannya…

بحيلة تذهب بالدين

Dengan helah engkau menghilangkan agama…

فصرت مجنونا بها بعدما

Lalu engkau menjadi orang gila dengannya sedangkan dulunya…

كنت دواء للمجانين

Engkau adalah ubat bagi orang-orang gila…

أين رواياتك فيما مضى

Di mana riwayat-riwayat engkau yang lampau…

عن ابن عون وابن سيرين

Daripada Ibn ‘Aun dan Ibn Sirin...

ودرسك العلم بآثاره

Dan di manakah ilmu yang engkau pelajari dengan atsar-atsar?

في ترك أبواب السلاطين
Yang berupa anjuran meninggalkan pintu-pintu pemerintah?

إن قلت أكرهت فماذا كذا

Jika engkau mengatakan: “Aku terpaksa?” Kenapa jadi begitu...

زل حمار العلم في الطين

Demikianlah keldai ilmu terjatuh di dalam lumpur.

لا تبع الدين بالدنيا كما

Janganlah menjual agama dengan dunia...

يفعل ضلال الرهابين

Sebagaimana yang dilakukan oleh para rahib (pendeta) yang sesat...”

* Sya’ir ini asalnya ditujukan untuk Imam ‘Isma’il B. ‘Ulayyah rahimahullah kerana menerima satu jawatan di sisi Khalifah Harun ar-Rasyid.

(Diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad. adz-Dzahabi, Siyar A’lam an-Nubala’, 9/110 – Mu’asasah ar-Risalah, Tahqiq Syu’aib al-Arnauth)

Ahad, September 23, 2012

Iktibar Dari Medan Hunain


Jumlah Yang Banyak Belum Tentu Bermanfaat
Iktibar Dari Medan Hunain 

Abu Numair Nawawi B. Subandi
www.ilmusunnah.com


Jumlah yang banyak tidak bermanfaat jika tidak didahulukan dengan ilmu dan tauhid yang sahih.
Allah Subhanahu wa Ta'ala telah berfirman:

لَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ فِي مَوَاطِنَ كَثِيرَةٍ وَيَوْمَ حُنَيْنٍ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنْكُمْ شَيْئًا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُمْ مُدْبِرِينَ

“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (kaum mukminin) dalam banyak medan peperangan, dan (ingatlah) peperangan Hunain; iaitu di waktu kamu berasa bangga kerana banyaknya jumlah kamu. Maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepada kamu sedikitpun, dan bumi yang luas itu telah terasa sempit oleh kamu, kemudian kamu bercerai-berai mundur lari ke belakang.” (Surah at-Taubah, 9: 25)

Allah menyebutkan kurniaan dan kebaikan-Nya yang telah diberikan kepada orang-orang yang beriman ketika Allah memberikan pertolongan di dalam banyak peperangan yang mereka hadapi bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Semua kemenangan tersebut adalah hasil kehendak dan pertolongan Allah, bukan kerana jumlah dan kelengkapan yang mereka miliki. Allah juga mengingatkan bahawa kemenangan adalah datang dari Allah sama ada jumlah pasukan Islam itu sedikit mahupun banyak. (Tafsir Ibnu Katsir, 4/125)

Dalam peristiwa Hunain, ketika mereka merasa kagum dan terlena dengan jumlah mereka yang banyak, sedangkan hakikatnya jumlah yang banyak itu tidaklah bermanfaat bagi mereka, maka mereka pun lari tunggang-langgang dan kucar-kacir kecuali sebilangan kecil orang-orang Mukmin yang bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Walau bagaimanapun, setelah situasi dan fenomena tersebut, maka Allah Subhanahu wa Ta’ala pun menurunkan bantuan dan pertolongan-Nya kepada Rasul-Nya dan orang-orang Mukmin yang setia bersama-sama beliau. Ini adalah dalam rangka memberi pengajaran bahawa kemenangan itu hanyalah berasal dari Allah semata-mata walaupun jumlah tenteranya hanya sedikit.

Betapa banyak kelompok yang kecil dapat mengalahkan kelompok yang besar dengan izin Allah, dan adalah Allah itu sentiasa bersama-sama orang yang sabar. (Tafsir Ibnu Katsir, 4/125)

Peperangan di medan Hunain ini adalah peperangan yang berlaku setelah dan sebaik penaklukan kota Makkah, iaitu setelah Fathul Makkah (pembukaan Makkah). Ia berlangsung pada bulan Syawwal tahun 8 Hijriyyah. Pada ketika itu begitu ramai penduduk sekitar yang memeluk agama Islam bersamaan dengan peristiwa tersebut.

Pada ketika itulah sampai berita kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa kelompok Bani Hawazin di bawah pimpinan Malik B. ‘Auf an-Nadhari sedang mengumpulkan bala tentera serta kelengkapan bertujuan memerangi Rasulullah.

Bersama-sama mereka ada Bani Tsaqif, Bani Jasyim, Bani Sa’ad B. Bakar, dan beberapa kelompok yang tidak berapa banyak jumlah pengikutnya dari kalangan Bani Hilal, sebilangan orang dari Bani ‘Amr B. ‘Amir, dan dari Bani ‘Aun B. ‘Amir. Mereka datang secara segerombolan semuanya dengan membawa anak-anak, kaum wanita, orang-orang tua, dan haiwan-haiwan peliharaan.

Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersama-sama pasukannya dari kalangan Muhajirin, Anshar, dan suku-suku ‘Arab, ditambah pula dengan jumlah sekitar 2000 orang dari kalangan penduduk Makkah yang baru masuk Islam.

Mereka bertemu dengan musuh di lembah Hunain, sebuah lembah yang terletak antara Makkah dan Tha’if. Di sinilah pertempuran yang dinamakan peperangan Hunain berlangsung.

Pada ketika itu sebaik setelah Subuh ketika terbitnya matahari, pasukan Islam bertempiaran lari ke tengah lembah dan terperangkap dengan kepungan musuh dari bala tentera pasukan Hawazin yang telah berada di kawasan tersebut jauh lebih awal secara sembunyi-sembunyi.

Ketika sebaik pasukan Islam berada di tengah-tengah lembah tersebut, mereka pun diserang secara mengejut dan tiba-tiba dengan tebasan pedang dan hujanan anak-anak panah. Maka secara mendadak pasukan Islam ketika itu pun bertempiaran menjadi tunggang-langgang dan tidak keruan. Mereka lari mundur ke belakang sebagaimana yang dinyatakan Allah Ta’ala dalam firman-Nya.

Kecuali Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di atas baghal tunggangannya tidak berganjak berserta beberapa kaum mukminin yang setia bersamanya sambil berusaha mara ke arah pasukan lawan.

Melihat situasi itu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun berteriak:

أين يا عباد الله؟ إليَّ أنا رسول الله

“Ke mana wahai hamba-hamba Allah, kembalilah kepadaku, aku ini utusan Allah!”

Beliau juga berteriak:

أنا النبي لا كذب ... أنا ابن عبد المطلب ...

“Aku ini Nabi, tidak berbohong. Aku anak keturunan ‘Abdul Muththalib.”

Jumlah sahabat yang pada ketika itu teguh bersama-sama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah sekitar 100 orang (dan ada yang mengatakan sekitar 80 orang), di antaranya adalah Abu Bakr, ‘Umar, al-‘Abbas, Usamah B. Zaid, dan yang lainnya.

Kemudian Rasulullah pun memerintahkan pak ciknya, al-‘Abbas radhiyallahu ‘anhu (yang memiliki suara lantang) untuk memanggil dengan suara yang sekuat-kuatnya:

يا أصحاب الشجرة

“Wahai orang-orang yang telah turut serta di bawah pohon...” iaitu pohon lokasi peristiwa bai’at ar-Ridhwan di mana mana ketika itu sejumlah orang Muhajirin dan Anshar berjanji untuk tidak meninggalkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Al-‘Abbas juga memanggil dengan teriakan: “Wahai orang-orang yang turut serta di malam hari.” Dan beliau juga memanggil dengan teriakan:

يا أصحاب البقرة

“Wahai orang-orang yang hafal Surah al-Baqarah.” Maka kaum Muslimin pun menyahut panggilan tersebut seraya bergegas menuju kepada Rasulullah sampai-sampai ada yang meninggalkan untanya kerana tersekat oleh orang-orang yang mundur.

Ketika sejumlah pasukan yang sebelumnya telah bercerai-berai itu berkumpul semula dan berdiri teguh di sisi Rasulullah, beliau pun mengingatkan mereka agar bersungguh-sungguh, lalu mengambil segenggam pasir dan berdoa memohon kepada Allah Ta’ala:

اللَّهُمَّ أَنْجِزْ لِي مَا وَعَدْتَنِي

“Ya Allah, penuhilah untukku apa yang telah Engkau janjikan.”

Kemudian beliau pun lemparkan pasir tersebut ke arah pasukan musuh dan tidak seorang pun dari kalangan musuh yang tidak terkena pasir di kedua mata dan mulutnya. Sehinggalah musuh-musuh pun disibukkan oleh pasir-pasir tersebut. Manakala kaum Muslimin pula sibuk mengasak, membunuh, dan menawan musuh-musuh tersebut sehingga begitu ramai musuh yang berjaya ditawan dalam keadaan mereka tidak berdaya melawan lagi. (Lihat: Tafsir Ibnu Katsir, 4/125-128)

Atas sikap berani, sabar, dan tawakkal mereka inilah Allah Subhanahu wa Ta’ala membantu mereka lalu memenangkan mereka walaupun dalam keadaan permulaan yang penuh mengejutkan, kucar-kacir, dan mendebarkan lagi tidak disangka-sangka diserang musuh.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

ثُمَّ أَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَى رَسُولِهِ وَعَلَى الْمُؤْمِنِينَ وَأَنْزَلَ جُنُودًا لَمْ تَرَوْهَا وَعَذَّبَ الَّذِينَ كَفَرُوا وَذَلِكَ جَزَاءُ الْكَافِرِينَ

“Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan bala tentera yang kamu tidak melihatnya, dan Allah menimpakan ‘azab bencana kepada orang-orang yang kafir, dan demikianlah balasan kepada orang-orang yang kafir.” (Surah at-Taubah, 9: 25)

Demikianlah Allah menurunkan bantuan pertolongan dan kemenangan kepada orang-orang yang teguh keimanannya, iaitu orang-orang yang sabar dan tunduk. Dan perkara itu adalah mudah bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Di antara punca mundurnya umat Islam di fasa awal peperangan Hunain adalah kerana masih lemahnya tahap kefahaman tauhid dalam kalangan orang-orang yang baru memeluk Islam walaupun jumlah mereka telah ramai dan senjata mereka telah hebat waktu itu.

Mereka dari kalangan yang baru memeluk Islam ini masih belum benar-benar bersih dari saki-baki noda-noda jahiliyah di dalam lubuk hati mereka. Mereka masih memiliki sikap ingin mengikuti sebahagian amalan jahiliyyah yang dulunya mereka amalkan. Malah disebutkan dalam sebahagian kitab-kitab sirah, orang-orang yang masih belum Islam pun ada yang turut serta dalam ekspedisi ke medan Hunain ini.

Ada di antara mereka yang turut serta tersebut semata-mata tidak suka diperintah oleh Bani Hawazin dan mereka mengaku lebih baik jika ditadbir oleh bangsa Quraisy berbanding ditakluk oleh puak Hawazin. Bukannya kerana mereka mahukan Islam. (al-Baihaqi, Dalaa’il an-Nubuwwah, 5/128 – Daar al-Kitab al-‘Ilmiyah. Fiqhus Sirah, m/s. 528-529)

Oleh sebab perkara seperti inilah antaranya telah memberi dampak yang negatif terhadap peperangan yang mereka hadapi.

Sedangkan sebelumnya Allah telah banyak memenangkan mereka dalam banyak peperangan walaupun jumlah mereka sedikit dan kelengkapan mereka tidak sehebat musuh yang dihadapi.

Dalam sebuah hadis disebutkan: Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam keluar dalam perjalanan menuju ke medan Hunain, beliau melewati sebatang pokok milik golongan Musyrikin yang dikenali sebagai Zaatu Anwaath yang digunakan (oleh para Musyrikin) sebagai tempat persinggahan dan menggantung senjata sambil berkumpul di sekitarnya, beribadah, dan mencari keberkahan. (Ibnu Katsir, al-Fushuul fii Siirah ar-Rasuul, Tahqiq: Salim al-Hilali, no. 447. Zaid B. ‘Abdul Karim az-Zaid, Fikih Sirah, m/s. 526 dan 536 – Darus Sunnah)

Mengenangkan manfaat pokok tersebut, sebahagian sahabat yang turut serta pun berkata: “Wahai Rasulullah, jadikanlah untuk kami Zaatu Anwaath sebagaimana mereka juga memiliki Zaatu Anwaath.”
Mendengar kata-kata Sahabat tersebut, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda:

سُبْحَانَ اللهِ هَذَا كَمَا قَالَ قَوْمُ مُوسَى {اجْعَلْ لَنَا إِلَهًا كَمَا لَهُمْ آلِهَةٌ} وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَتَرْكَبُنَّ سُنَّةَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ

“Subhanallah (Maha Suci Allah)! (Perkataan) ini sama seperti perkataan kaum Musa:

“Buatkanlah untuk kami (sebuah patung) sebagai sembahan sebagaimana mereka juga memiliki beberapa patung (sembahan).”

Demi jiwaku yang berada di Tangan-Nya! Sesungguhnya kamu akan mengikuti sunnah-sunnah golongan sebelum kamu.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 2180. Dinilai sahih oleh at-Tirmidzi)

Faedah dan hikmah ayat serta hadis:

1, Perlu berhati-hati terhadap sikap kemusyrikan, menyerupai orang-orang kafir, dan sifat ghurur. Demikian juga wajib berwaspada dari mengikuti sikap orang-orang menyimpang dari kalangan umat terdahulu yang banyak mempertuhankan hawa nafsu. Ini kerana, perbuatan meniru-niru atau menyerupai amalan orang-orang kafir adalah antara punca yang mendorong berbuat bid’ah, kesyirikan, dan kesesatan.

2, Berhati-hati dengan perbuatan menyerupai orang-orang kafir dan sifat-sifat jahiliyyah. Kerana perbuatan menyerupai dan meniru-niru amalan kebiasaan orang-orang kafir adalah termasuk isyarat tercemarnya tauhid, tidak yakin dengan Islam, dan merupakan tanda kelemahan.

3, Perlu waspada dengan sikap sombong dan merasa bangga diri. Ia termasuk sikap yang dibenci dan membawa kepada kekalahan.

4, Jumlah yang ramai bukan jaminan kemenangan seandainya tidak bertaqwa, tiada tawakkal, dan tidak bersabar dengan sabar yang syar’i. Sebaliknya, jumlah yang sedikit tetapi memiliki keyakinan terhadap Allah, kekuatan tawakkal, dan sabar jitu, pasti akan mendapat bantuan dari Allah Ta’ala.

5, Menunjukkan kewajiban menyahut seruan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam apa jua keadaan agar beroleh kemenangan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala. Demikian juga pada hari ini, kewajiban menyahut seruan beliau adalah dengan cara taat dan mengikuti al-Qur’an dan as-Sunnah yang beliau tinggalkan.

6, Pentingnya kefahaman aqidah yang mantap dan sahih sebelum berjuang. Aqidah yang benar adalah tunjang kekuatan dan penyebab turunnya pertolongan Allah.

7, Disyari’atkan berdoa memohon pertolongan Allah dengan sepenuh keyakinan dan tawakkal terutamanya dalam keadaan yang genting dan darurat. Doa adalah antara faktor yang sangat penting dalam mengubah suasana kekalahan dan genting kepada kemenangan.

Wallahu a’lam.

Bertambah Rezeki Dan Umur Dengan Silaturrahim


Bertambah Rezeki Dan Umur Dengan Silaturrahim

Abu Numair Nawawi B. Subandi
www.ilmusunnah.com


Di antara amal-amal kebaikan yang akan mendatangkan barakah dan manfaat yang banyak dalam kehidupan ini adalah menyambung dan menghubungkan silaturrahim. Menghubungkan silaturrahim ini termasuk salah satu bentuk ibadah yang diberi nilai pahala yang tidak kurang besarnya di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Silaturrahim adalah amalan yang merujuk hubungan atau jalinan kekeluargaan yang terkait dengan hubungan nasab atas dasar iman dan Islam.

Makna silaturrahim secara bahasa berasal dari kata rahmah yang bererti lembut dan kasih-sayang. Imam Abu Ishaq rahimahullah mengungkapkan:

“Disebutkan sebagai yang paling dekat rahimnya adalah orang yang paling dekat kasih-sayangnya. Dan yang paling dekat hubungan kekeluargaannya.” (Lisan ul-‘Arab, 5/174)

Ar-Raghib al-Asfahani rahimahullah pula mengatakan:

“Ar-Rahim berasal dari kata rahmah yang bermaksud lembut yang memberi kesan melakukan perbuatan baik kepada orang yang disayangi.” (Mufradatu al-‘Qur’an, m/s. 346)

Manakala kata Imam Ibn ul-Atsir rahimahullah:

“Silaturrahim adalah sebuah ungkapan yang merujuk menjalinkan hubungan dan perbuatan baik terhadap kaum kerabat (atau ahli keluarga) yang memiliki hubungan nasab atau perkahwinan, iaitu dengan berlemah-lembut terhadap mereka, menyayangi mereka, dan mengambil berat urusan keadaan mereka, walaupun mereka berjauhan dan berbuat keburukan. Manakala memutuskan silaturrahim adalah suatu perbuatan yang bertentangan dengan itu semua.”

Adapun hubungan yang dinisbatkan kepada umat Islam lainnya secara umum selain ahli keluarga, maka ia disebut sebagai ukhuwah Islamiyah, iaitu persaudaraan sesama Islam.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا

“Dan ingatlah nikmat-nikmat Allah ke atas kamu ketika kamu dahulu saling bermusuhan lalu Allah pun mempersatukan hati-hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat-Nya saling bersaudara.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 103)

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ

“Sesungguhnya kaum yang beriman itu adalah bersaudara.” (Surah al-Hujuraat, 49: 10)

Dari sini menunjukkan bahawa hubungan silaturrahim itu adalah suatu bentuk hubungan dekat yang rapat seperti hubungan di antara seorang ayah dengan anaknya, atau seseorang dengan ahli keluarganya di atas ikatan nasab dan kasih-sayang yang akrab serta penuh kemesraan. Ini sebagaimana firman Allah subhanahu wa Ta’ala:

وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ
“Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan nama-Nya kamu saling meminta, dan peliharalah hubungan rahim.” (Surah an-Nisaa’, 4: 1)

Memelihara hubungan rahim (silaturrahim) dan berbuat baik kepada kedua ibu dan bapa serta ahli keluarga lainnya adalah termasuk urusan dunia yang memiliki nilai ibadah yang agung. Bahkan ia termasuk apa yang diwajibkan dalam Islam, tidak sekadar semata-mata urusan dunia. Oleh itu, ia pun termasuklah ke dalam amal-amal yang mulia di sisi Allah Ta’ala lagi berpahala besar. Terdapat begitu banyak dalil yang menggesa kita semua agar menjalinkan dan memelihara hubungan rahim ini. Bahkan dalil-dalil yang mengancam bagi sesiapa yang memutuskan hubungan rahim ini juga pun tidak kurang tegasnya.

Silaturrahim Membuka Rezeki

Silaturrahim merupakan di antara amalan yang mampu membukakan pintu-pintu rezeki di sisi Allah Ta’ala. Oleh itu, seseorang yang berhajat agar dimudahkan rezeki baginya hendaklah tidak meremehkan urusan hubungan kekeluargaan rahim ini. Bahkan dia harus sentiasa menghiasi hidupnya dengan banyak bersilaturrahim, sama ada terhadap kaum keluarganya sendiri mahupun menjalinkan hubungan sesama umat Islam lainnya dalam rangka berbuat baik dan mencari redha Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Semoga dengan terpeliharanya hubungan ini, Allah pun akan membukakan baginya rezeki yang baik-baik lagi dipanjangkan umurnya. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، أَوْ يُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

“Sesiapa yang mahu dimudahkan rezekinya dan ditambah umurnya maka hendaklah dia menyambungkan hubungan rahim.” (Shahih al-Bukhari, 2067. Shahih Muslim, no. 2557)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

فَإِنَّ صِلَةَ الرَّحِمِ مَحَبَّةٌ فِي الأَهْلِ، مَثْرَاةٌ فِي المَالِ، مَنْسَأَةٌ فِي الأَثَرِ

“Bahawa sesungguhnya silaturrahim itu adalah mahabbah (saling mencintai) di dalam keluarga, ia menambahkan harta, ia memanjangkan usia.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 1979)

Kata ‘Abdullah B. ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma:

مَنِ اتَّقَى رَبَّهُ، وَوَصَلَ رَحِمَهُ، نُسّىءَ فِي أَجَلِه وَثَرَى مَالَهُ، وَأَحَبَّهُ أَهْلُهُ

“Siapa yang bertaqwa kepada Rabb-nya dan menyambung silaturrahim, nescaya umurnya akan dipanjangkan dan hartanya akan ditambah-banyakkan serta keluarganya akan mencintainya.” (Al-Adabul Mufrad, no. 58)

Di antara maksud ditambahkan umurnya adalah merujuk kepada kehidupannya yang dipenuhi dengan barakah, taufiq untuk beramal soleh, dan waktu usianya sentiasa terhindar dari amal-amal yang sia-sia lagi tidak bermanfaat sama ada untuk dunianya mahupun agamanya. Termasuk di dalam maksudnya juga adalah namanya yang sentiasa disebut-sebut dan menjadi ingatan dengan sebab kebaikannya di sepanjang zaman. Atau memang benar-benar umurnya ditambah oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala secara hakiki.

Manakala maksud dimudahkan padanya rezeki adalah penuhnya kebaikan terhadap apa yang dimilikinya, dikurniakan rasa redha, qona’ah, dan banyak manfaatnya selain benar-benar ditambahkan rezeki secara nyata untuknya.

Dan keutamaan-keutamaan ini semua terdapat pada amalan menyambungkan hubungan rahim yang terputus. Maka, sambungkanlah silaturrahim di antara kita terutamanya sesama kaum kerabat dan ahli keluarga yang dekat. Lebih-lebih lagi yang telah terputus atau diputuskan oleh sesuatu sebab.
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَيْسَ الوَاصِلُ بِالْمُكَافِئِ، وَلَكِنِ الوَاصِلُ الَّذِي إِذَا قُطِعَتْ رَحِمُهُ وَصَلَهَا

“Sesungguhnya bukanlah orang yang menyambung silaturrahim itu orang yang membalas kebaikan, tetapi orang yang menyambung silaturrahim itu adalah orang yang menyambung hubungan dengan orang yang telah memutuskannya.” (Musnad Ahmad, no. 6785. Shahih al-Bukhari, no. 5991)

Ancaman Memutuskan Silaturrahim

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

فَهَلْ عَسَيْتُمْ إِنْ تَوَلَّيْتُمْ أَنْ تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ وَتُقَطِّعُوا أَرْحَامَكُمْ (22) أُولَئِكَ الَّذِينَ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فَأَصَمَّهُمْ وَأَعْمَى أَبْصَارَهُمْ

“Maka adakah seandainya jika kamu berkuasa kamu akan membuat kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan rahim (kekeluargaan)? Mereka itulah orang-orang yang dilaknati Allah dan ditulikan telinga mereka dan dibutakan penglihatan mereka oleh Allah.” (Surah Muhammad, 47: 22-23)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَا يَدْخُلُ الجَنَّةَ قَاطِعٌ» قَالَ ابْنُ أَبِي عُمَرَ: قَالَ سُفْيَانُ: يَعْنِي قَاطِعَ رَحِمٍ

“Tidak masuk Syurga mereka yang memutuskan (iaitu memutuskan hubungan rahim).” (Sunan at-Tirmidzi, no. 1909)

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَا مِنْ ذَنْبٍ أَحْرَى أَنْ يُعَجِّلَ اللهُ لِصَاحِبِهِ الْعُقُوْبَةَ فِى الدُّنْيَا مَعَ مَا يُدَّخَرُ لَهُ فِى اْلآخِرَةِ مِنَ الْبَغْيِ وَقَطِيْعَةِ الرَّحِمِ

“Tidak ada dosa yang Allah lebih menyegerakan siksaan kepada pelakunya di dunia, serta yang disimpan untuknya di akhirat selain perbuatan zalim dan memutuskan silaturrahim.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 2511)

Dibalas Syurga

Kata Abu Ayyub al-Anshari radhiyallahu ‘anhu:

“Seorang lelaki datang bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Wahai Rasulullah, khabarkanlah kepadaku suatu amal yang dapat memasukkan aku ke dalam Syurga dan menjauhkan aku dari Neraka.” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun menjawab:

تَعْبُدُ اللَّهَ لاَ تُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا، وَتُقِيمُ الصَّلاَةَ، وَتُؤْتِي الزَّكَاةَ، وَتَصِلُ الرَّحِمَ

“Engkau beribadah kepada Allah dengan tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu apa pun, menegakkan solat, menunaikan zakat, dan menghubungkan silaturrahim.” (Shahih al-Bukhari dan Muslim)

Tanda Iman

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menghubungkan silaturrahim.” (Shahih al-Bukhari, no. 6138)

Sedekah Kepada Ahli Keluarga

الصَّدَقَةُ عَلَى المِسْكِينِ صَدَقَةٌ، وَهِيَ عَلَى ذِي الرَّحِمِ ثِنْتَانِ: صَدَقَةٌ وَصِلَةٌ

“Sedekah ke atas golongan miskin itu adalah sedekah (1 pahala), dan sekiranya dia bersedekah ke atas ahli keluarga maka itu adalah dua pahala, iaitu sedekah dan menyambung hubungan rahim.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 658. Shahih Ibnu Hibban, no. 3344)

Allah Memenangkan Mereka Yang Bersilaturrahim

Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata:

“Seorang lelaki datang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam lalu berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki kaum kerabat yang aku sentiasa berusaha menyambung hubungan dengan mereka tetapi mereka memutuskan, aku berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berbuat jahat kepadaku, dan mereka bersikap bodoh kepadaku sedangkan aku selalu bersikap sopan-santun kepada mereka.” Rasulullah pun bersabda:

لَئِنْ كُنْتَ كَمَا قُلْتَ، فَكَأَنَّمَا تُسِفُّهُمُ الْمَلَّ وَلَا يَزَالُ مَعَكَ مِنَ اللهِ ظَهِيرٌ عَلَيْهِمْ مَا دُمْتَ عَلَى ذَلِكَ

“Jika engkau benar-benar sebagaimana yang engkau katakan, maka seolah-olah engkau menaburkan bara yang panas di wajah mereka. Dan kemenangan dari Allah itu sentiasa bersama-sama engkau terhadap mereka, selagi mana engkau tetap seperti itu.” (Shahih Muslim, no. 2558)

Allah Menyambung Hubungan

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

قَالَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ: أَنَا اللهُ، وَأَنَا الرَّحْمَنُ، خَلَقْتُ الرَّحِمَ وَشَقَقْتُ لَهَا مِنَ اسْمِي فَمَنْ وَصَلَهَا وَصَلْتُهُ، وَمَنْ قَطَعَهَا بَتَتُّهُ

“Allah ‘Azza wa Jalla berfirman: Akulah Allah, dan Aku-lah ar-Rahman. Aku menciptakan rahim dan aku menamakannya dari nama-Ku. Sesiapa yang menyambungnya, maka Aku pun menyambung (hubungan dengan)nya. Dan Sesiapa yang memutuskannya, maka Aku pun memutuskannya.” (Musnad Ahmad, no. 1686)

Oleh itu, peliharalah silaturrahim antara kaum kerabat dan sesama ahli keluarga. Dan sambungkanlah jika ada yang terputus. Kenangkanlah besarnya tuntutan menyambug silaturrahim ini di sisi Islam dan agungnya amalan ini di sisi Allah Ta’ala.

Wallahu A’lam...