“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Selasa, Februari 14, 2012

Pastikan Ambil Hadis Sahih Seperti Imam asy-Syafi’i...

Pastikan Ambil Hadis Sahih Seperti Imam asy-Syafi'i...

Abu Numair Nawawi B. Subandi
http://an-nawawi.blogspot.com


Apa jua khabar atau hadis yang diatasnamakan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak boleh sewenang-wenangnya diterima tanpa terlebih dahulu dipastikan status kesahihan atau kebenarannya. Ini bagi mengelakkan menyandarkan sesuatu kepada Nabi dengan cara prasangka, dusta, atau bohong yang mana telah kita ketahui setiap apa yang datang dari Nabi itu memberi nilai agama sama ada dari aspek aqidah, tauhid, hukum-hakam, akhlak, mu’amalah, dan sebagainya.

Dari itu, siapapun tidak boleh sesuka hati mengatakan sesuatu atas nama Nabi tanpa melalui cara yang benar.

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah mengingatkan:

إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ

“Sesungguhnya berdusta ke atas namaku tidaklah sama dengan berdusta menggunakan nama orang lain. Maka sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, bersiap-sedialah dengan tempat duduknya di neraka.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 5/37, no. 1209)

Oleh sebab itulah para ulama hadis telah menyusun sebuah kaedah khusus bagi memastikan kesahihan khabar yang disandarkan kepada Nabi. Iaitu dengan meneliti sanad dan barisan para perawi hadis. Setelah keabsahannya dikenalpasti, maka barulah ia layak dijadikan sebagai hujjah dan pegangan dalam agama bersesuaian dengan kaedah-kaedah lainnya.

Imam ‘Abdullah B. al-Mubarak rahimahullah (Wafat: 181H) berkata:

الْإِسْنَادُ مِنَ الدِّينِ، وَلَوْلَا الْإِسْنَادُ لَقَالَ مَنْ شَاءَ مَا شَاءَ

“Isnad adalah sebahagian dari agama. Jika tidak ada isnad, maka sesiapa saja akan berbicara sesuka hatinya.” (Mukaddimah Shahih Muslim, 1/15)

Seorang tabi’in, Sa’ad B. Ibrahim berkata:

لَا يُحَدِّثُ عَنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَّا الثِّقَاتُ

“Tidak ada yang berhak mengkhabarkan sebuah hadis dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melainkan orang-orang yang tsiqah.” (Hadis Riwayat Muslim, 1/15)

Kata Muhammad B. Sirin rahimahullah (Wafat: 110H):

سَمُّوا لَنَا رِجَالَكُمْ، فَيُنْظَرُ إِلَى أَهْلِ السُّنَّةِ فَيُؤْخَذُ حَدِيثُهُمْ، وَيُنْظَرُ إِلَى أَهْلِ الْبِدَعِ فَلَا يُؤْخَذُ حَدِيثُهُمْ

“Mereka (ahlus sunnah) sebelum itu tidak bertanya tentang sanad, tetapi ketika terjadi fitnah, mereka pun berkata, “Sebutkanlah kepada kami nama para perawimu.” Apabila dilihat yang menyampaikannya adalah ahlus sunnah maka hadisnya diterima, tetapi bila yang menyampaikannya adalah ahli bid’ah maka hadisnya ditolak.” (Mukaddimah Shahih Muslim, 1/15)

Kriteria Hadis Sahih

Seseorang Bertanya kepada imam asy-Syafi’i, “Sebutkan kepadaku syarat minima agar suatu perkhabaran hadis itu boleh diterima sebagai hujjah.” Maka beliau pun menjawab, “Perkhabaran yang disampaikan dari satu orang dari satu orang sehingga sampai kepada Nabi atau kepada perawi yang berada di bawah Nabi (para sahabat).”

Beliau menyambung, “Perkhabaran hadis dari satu orang kepada satu orang tidak dapat diterima sebagai hujjah sehingga memenuhi beberapa syarat yang di antaranya:

“Orang yang meriwayatkan mesti tsiqah (terpercaya) dalam agamanya. Dikenal sebagai orang yang benar lagi jujur dalam berbicara, memahami apa yang ia riwayatkan (atau khabarkan), memahami lafaz yang boleh mengubah makna-makna hadis, dan mampu menyampaikan hadis bertepatan dengan huruf-hurufnya persis sebagaimana yang ia dengar dan bukan menyampaikan sekadar dengan maknanya atau sekadar dari kefahamannya sahaja.

Orang yang meriwayatkannya perlu hafal apa yang ia riwayatkan jika dia meriwayatkannya dari hafalan, atau mencatatnya dengan tepat jika dia meriwayatkan berdasarkan catatannya (atau kitabnya). Apabila dia menghafal suatu hadis bersama-sama dengan para huffaz (penghafal hadis) yang lain, maka apa yang ia riwayatkan perlu selari dengan apa yang diriwayatkan oleh para huffaz lainnya tersebut.

Orang yang meriwayatkannya tidak boleh seorang yang mudallis dengan meriwayatkan suatu riwayat (hadis) dari seseorang yang ditemuinya tetapi tidak pernah mendengar riwayat dimaksudkan secara langsung darinya. Atau apabila ia meriwayatkan suatu hadis dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, ia tidak boleh menyelisihi apa yang diriwayatkan oleh para perawi tsiqah yang lainnya dari Nabi.

Inilah keriteria yang perlu dimiliki bermula dari perawi terendah (paling bawah) sehingga paling atas yang sampai kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang diriwayatkan secara maushul (bersambung). Iaitu setiap perawi mengakui orang yang menyampaikan kepadanya dan orang yang menyampaikan juga mengakuinya. Tidak seorang pun perawi yang boleh mengelak dari ketentuan ini.” (asy-Syafi’i, ar-Risalah, m/s. 369-372 – Daar al-Kitab al-‘Ilmiyah, Tahqiq Syaikh Ahmad Syakir)

Kriteria dan syarat yang ditetapkan oleh imam asy-Syafi’i inilah yang diterima pakai oleh para ulama hadis dahulu dan kini dalam menetapkan boleh atau tidaknya sesebuah hadis diterima pakai. Di mana sanadnya mesti muttashil (bersambung dan tidak putus), para perawinya ‘adil, perawinya dhabit (tepat dan sempurna hafalannya), selamat dari syuyudz (riwayatnya tidak bertentangan dengan riwayat para perawi yang lebih tsiqah darinya), dan selamat dari ‘illat atau kecacatan-kecacatan hadis lainnya. Inilah di antara asas utama bagi memastikan kedudukan sesebuah hadis sama ada sahih, hasan, dha’if (lemah), maudhu’ (palsu), atau selainnya.

Ini sekaligus menunjukkan ketelitian dan kedalaman ilmu yang dimiliki oleh imam asy-Syafi’i dalam bidang hadis. Syaikh Ahmad Syakir rahimahullah mengatakan, “Siapa sahaja yang memahami ucapan imam asy-Syafi’i rahimahullah pada bab ini, pasti dia akan mendapati bahawa imam asy-Syafi’i telah menyusun (atau merangkumkan) sebuah kaedah yang sahih tentang ilmu hadis. Dan bahawasanya beliaulah orang pertama sekali menjelaskan ilmu ini dengan begitu terang. Beliau adalah pembela hadis yang paling unggul serta orang yang lantang menekankan kewajiban mengamalkan sunnah.

Beliau turut mengeluarkan hujjah bantahan terhadap orang-orang yang menentang dan menolak hadis. Benarlah gelaran yang diberikan oleh pendudukan Makkah kepada imam asy-Syafi’i sebagai Naashirus Sunnah (pembela Sunnah), semoga Allah meredhainya.” (Tahqiq Syaikh Ahmad Syakir, ar-Risalah, m/s. 369)

Inilah di antara prinsip imam asy-Syafi’i rahimahullah bahkan prinsip para ulama ahlus sunnah wal-jama’ah dari dahulu hingga kini dalam mengambil dan menerima hadis sebagai hujjah agama. Mereka terlebih dahulu memastikan keabsahan dan kesahihan sesebuah hadis sebelum mengamalkan dan menyebarkannya. Mereka tidak mengambilnya dari sebarangan orang begitu sahaja.

Alhamdulillah pada hari ini, fasa periwayatan dan pembukuan hadis telah pun tamat lengkap dengan sanad-sanadnya sekaligus memudahkan para ulama dan masyarakat terkemudian menyemak serta memanfaatkannya. Cuma setiap hadis tersebut masih perlu dinilai sahih atau tidaknya. Dan ini masih sangat memerlukan perincian dan bantuan dari para ulama hadis sama ada dahulu atau kini. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya memetik hadis begitu sahaja tanpa dipastikan terlebih dahulu keabsahan atau status kesahihannya berpandukan kaedah yang benar. Setiap hadis perlu diambil dari kitab dan sumbernya.

Selamilah pengorbanan para ulama terdahulu yang sanggup keluar bermusafir ribuan batu demi sebuah hadis yang mulia. Hadis-hadis diriwayatkan lalu dibukukan dengan cara terhormat lagi dimuliakan. Dipilih dengan kaedah yang penuh teliti lagi hati-hati.

Maka sepatutnya kita pada hari ini memanfaatkan hasil pengorbanan mereka dengan tidak sewenang-wenangnya memetik hadis hanya dari surat-surat khabar, internet, cakap-cakap orang, dan pelbagai sumber lainnya tanpa terlebih dahulu memastikan keabsahannya.

Para ulama ahlus sunnah wal-jama’ah terkenal amat berhati-hati dalam memilih dan mengambil hadis. Ini dalam rangka mengelak dari tersalah ambil hadis-hadis yang lemah, maudhu’, atau tidak sahih lalu mengatakannya ini adalah hadis sahih daripada Nabi?! Inilah juga di antara prinsip yang dipegang teguh oleh imam asy-Syafi’i rahimahullah sebagaimana dikatakan imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

تمسكه بالاحاديث الصحيحة: واعراضه عن الاخبار الواهية الضعيفة: ولا نعلم أحدا من الفقهاء أعتنى في الاحتجاج بالتمييز بين الصحيح والضعيف كاعتنائه

“Beliau (Imam asy-Syafi’i rahimahullah) amat berpegang teguh dengan hadis-hadis sahih dan menjauhi hadis-hadis yang lemah lagi dha’if. Kami tidak mengetahui ada seorang pun dari kalangan fuqaha’ yang begitu berhati-hati ketika berhujjah dengan membezakan di antara hadis sahih dan dha’if sebagaimana yang dilakukan oleh beliau (asy-Syafi’i)...” (al-Majmu’ Syarah al-Muhadzdzab, 1/11)

Tapi sayangnya, prinsip ini banyak diabaikan oleh pengamal mazhab asy-Syafi’i sendiri di Nusantara ini. Sebahagian mereka tidak lagi membezakan di antara hadis yang sahih atau tidak. Banyak berlaku di mana hadis-hadis yang tidak sahih dipegang dan disebarkan sebagaimana hadis sahih. Sehingga apabila didatangkan hadis-hadis yang sahih yang bertentangan dengan apa yang mereka imani atau amalkan, mereka tidak lagi mahu menerimanya.

Ini amat bertentangan dengan perkataan dan prinsip imam asy-Syafi’i sendiri di mana beliau mengatakan:

كُلّ َمَا قُلْتُ وَكَانَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خِلَافُ قُولِي مِمَّا يَصِحُّ، فَحَدِيثُ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوْلَى، وَلَا تُقَلِّدُونِي

“Setiap perkataanku yang berbeza dengan riwayat yang sahih daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, maka hadis Nabi lebih aula (perlu didahulukan) dan kamu semua jangan bertaklid kepadaku.” (al-Baihaqi, Ma’rifah as-Sunan wal Atsar, 2/454)

Juga kata beliau:

إذَا صَحَّ الْحَدِيثُ فَهُوَ مَذْهَبِي

“Apabila sahih suatu hadis, maka itulah mazhabku.” (al-Majmu’ Syarah al-Muhadzdzab, 1/92)

Pernahkah kita mendengar hadis-hadis yang boleh dianggap populer seperti tentang mendapat ganjaran pahala 70 kali ganda jika memakai serban ketika solat, perselisihan di kalangan umat Muhammad adalah rahmat, tuntutlah ilmu sampai ke negeri China, Yasin jantung hati al-Qur’an, sesiapa yang mengenal diri maka dia mengenal Allah, bermadu bagi isteri akan mendapat payung emas di Syurga, galakkan membaca surah Yasin untuk orang mati, kisah sahabat Nabi Tsa’labah yang bakhil, nyanyian thola’al badru ‘alaina ketika menyambut Nabi tiba di Madinah, kisah ‘Abdurrahman B. ‘Auf masuk Syurga sambil merangkak, serta pelbagai lagi khabar-khabar hadis populer yang disandarkan atas nama agama dan nama Rasulullah yang mana hakikatnya ia bukanlah hadis-hadis yang sahih dan boleh dibuat hujah mahupun pegangan dalam agama.

Dukacitanya ia berlegar di sekeliling kita, disampaikan oleh mereka yang bergelar ustaz dan ustazah, serta diimani kebanyakan orang. Oleh itu, pastikanlah setiap hadis yang kita terima dan amalkan adalah hadis-hadis yang sahih terlebih dahulu. Takut-takutlah kita dengan ancaman berdusta atas nama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Wallahu a’lam.

Imam asy-Syafi’i Bermazhab Dengan Sunnah Rasulullah

Imam asy-Syafi'i Bermazhab Dengan Sunnah Rasulullah

Abu Numair Nawawi B. Subandi
http://an-nawawi.blogspot.com


Kita selaku umat Islam di wilayah nusantara ini secara umumnya mengaku mengamalkan ajaran Islam berpandukan mazhab imam asy-Syafi’i rahimahullah. Iaitu mazhab yang berpaksi dari kerangka ushul yang digariskan imam asy-Syafi’i rahimahullah bersama-sama para pengikutnya. Mazhab asy-Syafi’i adalah salah satu cabang mazhab aliran ahli sunnah wal-jama’ah yang sah lagi autentik.

Dari itu, ada baiknya kita semak seketika prinsip-prinsip penting, pegangan, dan pesan-pesan al-Imam asy-Syafi’i rahimahullah (Wafat: 204H) dalam mengambil agama ini. Sekaligus dapat kita manfaatkan secara bersama bagi tujuan memahami agama ini dengan lebih baik berdasarkan bimbingan imam yang agung, imam asy-Syafi’i.

Bermazhab Dengan Sunnah Rasulullah

Imam asy-Syafi’i rahimahullah disebutkan oleh para ulama lainnya sebagai di antara orang yang paling kuat berpegang dengan sunnah. Bahkan dikatakan oleh imam Ahmad B. Hanbal sebagai “Nashiirus Sunnah” (pembela sunnah). Imam Ahmad rahimahullah (Wafat: 241H) juga mengatakan:

“Di antara sikap terpuji imam asy-Syafi’i adalah apabila beliau mendengar sebuah hadis (yang sahih) yang belum pernah beliau dengar, maka beliau akan mengambil hadis tersebut dan meninggalkan pendapatnya (yang bertentangan).” (al-Baihaqi, Manaaqib asy-Syafi’i, 1/476 – Maktabah Daar at-Turaats)

Kata beliau lagi, “Aku tidak pernah melihat orang yang lebih mengikuti sunnah berbanding imam asy-Syafi’i rahimahullah.” (Manaaqib asy-Syafi’i, 1/471)

Imam asy-Syafi’i rahimahullah sendiri pernah berpesan dengan katanya, “Tidak ada seorang pun melainkan ia wajib bermazhab dengan sunnah Rasulullah dan mengikutinya. Apa jua yang aku ucapkan atau tetapkan tentang sesuatu perkara (ushul), sedangkan ucapanku itu bertentangan dengan sunnah Rasulullah, maka yang diambil adalah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan demikianlah ucapanku (dengan mengikuti sabda Rasulullah).” (Disebutkan oleh Ibnul Qayyim dalam I’lam al-Muwaqq’in, 2/286)

Kata imam asy-Syafi’i lagi:

أجمع الناس على أن من استبانت له سنة عن رسول الله لم يكن له أن يدعها لقول أحد من الناس

“Kaum muslimin bersepakat bahawa mereka yang mengetahui dengan jelas suatu sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam maka tidak halal baginya meninggalkan sunnah tersebut semata-mata untuk mengikuti pendapat seseorang yang lain.” (Ibnu al-Qayyim, I’lam al-Muwaqq’in, 2/282)

Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) turut mengutarakan pesan-pesan imam asy-Syafi’i yang semakna dengannya, antaranya:

Imam asy-Syafi’i berkata:

إذا وجدتم في كتابي خلاف سنة رسول الله صلى الله عليه وسلم فقولوا بسنة رسول الله صلى الله عليه وسلم ودعوا قولى

“Apabila kamu mendapati dalam kitabku sesuatu yang bertentangan dengan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, maka ambillah sunnah Rasulullah tersebut dan tinggalkanlah perkataanku.”

Kemudian imam an-Nawawi mengeluarkan contoh sikap para ulama dari kalangan ulama mazhab asy-Syafi’i seperti al-Buwaithi, Abu al-Qasim ad-Dariqi, Abu Bakar al-Baihaqi, dan selainnya ketika berhadapan dengan pendapat dalam mazhab asy-Syafi’i yang bertentangan dengan suatu hadis, maka mereka akan mengamalkan hadis dan meninggalkan pendapat mazhab asy-Syafi’i yang bertentangan dengan hadis tersebut. Imam an-Nawawi kemudian menjelaskan:

وكان جماعة من متقدمي أصحابنا إذا رأوا مسألة فيها حديث ومذهب الشافعي خلافه عملوا بالحديث وافتوا به قائلين مذهب الشافعي ما وافق الحديث

“Sebahagian sahabat kami yang terdahulu ketika melihat suatu permasalahan yang di dalamnya terdapat hadis sedangkan ia bertentangan dengan pendapat dalam mazhab asy-Syafi’i, maka mereka pun mengamalkan hadis tersebut (dengan meninggalkan pendapat mazhab). Mereka memberikan fatwa berdasarkan hadis tersebut sambil berkata, “Mazhab asy-Syafi’i bersesuaian dengan hadis tersebut.” (al-Majmu’ Syarah al-Muhadzdzab, 1/63-64)

Inilah contoh sikap yang mulia yang bersesuaian dengan pesanan imam asy-Syafi’i sendiri agar mengikuti sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berbanding pendapat sendiri dan pendapat-pendapat manusia lainnya bersesuaian dengan kadar ilmu yang dikuasai. Perkara ini juga turut dipertegaskan lagi oleh para ulama dan imam-imam lainnya.

Antaranya sebagaimana kata al-Hafiz Ibnu Rejab al-Hanbali rahimahullah (Wafat: 795H):

فالواجب على كل من بلغه أمر الرسول صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وعرفه؛ أن يبينه للأمة، وينصح لهم، ويأمرهم باتباع أمره، وإن خالف ذلك رأي عظيم من الأمة؛ فإن أمر رسول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أحق أن يُعَظَّم ويُقتدى به من رأي أي مُعَظَّم قد خالف أمره في بعض الأشياء خطأً ، ومن هنا رد الصحابة ومن بعدهم على كل مخالف سنة صحيحة، وربما أغلظوا في الرد، لا بغضاً له؛ بل هو محبوب عندهم مُعَظَّم في نفوسهم، لكن رسول الله أحب إليهم، وأمره فوق أمر كل مخلوق، فإذا تعارض أمر الرسول وأمر غيره؛ فأمر الرسول أولى أن يقدم ويتبع، ولا يمنع من ذلك تعظيم من خالف أمره، وإن كان مغفوراً له، بل ذلك المُخَالَف المغفور له لا يكره أن يخالف أمره؛ إذا ظهر أمر الرسول صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بخلافه

“Kewajiban bagi mereka yang menerima dan mengetahui perintah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah dengan menyampaikan kepada masyarakat, menasihati mereka, dan mengajak mereka untuk mengikutinya walaupun ia bertentangan dengan pendapat orang ramai. Perintah Rasulullah lebih berhak untuk dimuliakan dan diikuti berbanding pendapat mana-mana tokoh sekalipun yang menyalahi perintahnya yang terkadang pendapat mereka itu terdedah kepada kesalahan.

Oleh kerana itulah para sahabat dan para tabi’in selalu menolak pendapat yang menyalahi hadis yang sahih dengan penolakan yang tegas yang mereka lakukan bukan kerana kebencian sebaliknya adalah kerana rasa hormat mereka terhadap Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam jauh lebih tinggi mengatasi kedudukan manusia-manusia lainnya dan kedudukan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam jauh di atas makhluk lainnya.

Apabila perintah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ternyata bertentangan dengan perintah yang lain, perintah beliau adalah lebih utama didahulukan dan diikuti sekalipun orang tersebut mendapat ampunan dari Allah. Bahkan orang yang mendapat pengampunan dari Allah tersebut apabila ia tahu pendapatnya menyalahi perintah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, maka ia pun tidak merasa benci apabila seseorang meninggalkan pendapatnya yang berlawanan dengan ketentuan Rasulullah tersebut.” (Dinukil dari Ashlu Shifati Sholaatin Nabiy karya al-Albani, 1/33-34)

Berkaitan dengan ini, Salim B. ‘Abdullah B. ‘Umar pernah menceritakan bahwa beliau telah mendengar seorang lelaki dari Syam datang bertanya kepada ‘Abdullah B. ‘Umar radhiyallahu ‘anhu tentang umrah dalam haji tamattu’. ‘Abdullah B. ‘Umar menjawab:

هِيَ حَلَالٌ

“ia halal (dibolehkan).”

Orang Syam tersebut berkata:

إِنَّ أَبَاكَ قَدْ نَهَى عَنْهَا

“Tetapi bukankah ayahmu (‘Umar al-Khaththab) telah melarangnya?” ‘Abdullah B. ‘Umar bertanya:

أَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ أَبِي نَهَى عَنْهَا وَصَنَعَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمْرَ أَبِي نَتَّبِعُ أَمْ أَمْرَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

“Apa pendapatmu jika ayahku melarangnya sedangkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melakukannya, jadi mana yang akan kamu ikuti? Perintah ayahku atau perintah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam?” Lelaki tersebut pun menjawab:

بَلْ أَمْرَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ لَقَدْ صَنَعَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

“Ya, perintah Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam.” Maka Ibnu ‘Umar berkata, “Sungguh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melakukannya.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, 3/333, no. 753)

Sesuatu untuk difikirkan adalah apabila pendapat para imam mazhab pun boleh ditinggalkan sekiranya bertentangan dengan sunnah, apatah lagi pendapat-pendapat yang tidak diketahui asal-usulnya yang keluar bukan dari kalangan para imam seperti kisah-kisah dusta atas nama agama dan bid’ah-bid’ah yang berleluasa di Nusantara ini?

Seharusnya kita dalami baik-baik pesan-pesan imam mazhab kita, imam asy-Syafi’i rahimahullah tersebut. Bahkan imam-imam mazhab seluruhnya termasuk Abu Hanifah, Malik, dan Ahmad B. Hanbal juga turut berpesan dengan pesanan yang sama seperti asy-Syafi’i.

Mereka semua mewajibkan para pengikutnya supaya meninggalkan pendapat-pendapat mereka apabila pendapat tersebut bertentangan dengan hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Bahkan imam asy-Syafi’i meninggalkan pesan supaya mengatasnamakan dirinya bagi setiap hadis yang sahih sebagai termasuk dalam pendapat atau mazhabnya walaupun beliau tidak menemui mahupun meriwayatkannya. Manakala pendapatnya yang bertentangan dengan sunnah, beliau minta agar ditinggalkan.

Kata beliau:

إذَا صَحَّ الْحَدِيثُ فَهُوَ مَذْهَبِي

“Apabila sahih sesuatu hadis, maka itulah pendapatku (mazhabku).”

Oleh sebab itulah Imam Ibnu Daqiq al-‘Ied rahimahullah ada menyusun sebuah kitab besar yang menghimpunkan pelbagai hadis yang dikategorikan sebagai hadis-hadis yang bertentangan dengan pendapat-pendapat para imam mazhab, lalu pada mukaddimahnya beliau mengatakan:

“Menyandarkan nama para imam mujtahid dengan pelbagai masalah yang bertentangan dengan hadis sahih adalah haram!”

Ini bersesuaian dengan pesan-pesan wasiat yang ditinggalkan oleh para imam itu sendiri antaranya imam asy-Syafi’i dengan katanya:

“Apabila sahih sesuatu hadis, maka itulah pendapatku (mazhabku).” Yang membawa maksud setiap pendapat yang bertentangan dengan hadis bukanlah termasuk pendapat beliau walaupun beliau mengucapkannya. Ini juga sebagaimana kata beliau:

“Apabila ada uapanku atau ushul (kaedah) yang aku susun bertentangan dengan apa yang datang dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, maka ambillah ucapan yang datang dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan itu menjadi ucapanku.” (al-Baihaqi, Manaaqib asy-Syafi’i, 1/475)

Pesan-pesan imam asy-Syafi’i yang seumpama ini begitu banyak diriwayatkan dan disebutkan dalam lembaran-lembaran kitab para ulama. Ini menunjukkan betapa tegasnya prinsip dan pegangan imam asy-Syafi’i terhadap hadis-hadis Nabi sekaligus dalam mengajak masyarakat untuk berpegang dan bermazhab dengan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Bahkan turut dinukil yang mana beliau mengatakan:

“Sekiranya aku meriwayatkan satu hadis dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam lalu aku tidak mengambilnya, maka nyatakanlah bahawa akalku telah rosak.” (al-Baihaqi, Manaaqib asy-Syafi’i, 1/474)

Di tempat yang lain turut diriwayatkan bahawa beliau telah berkata:

كُلّ َمَا قُلْتُ وَكَانَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خِلَافُ قُولِي مِمَّا يَصِحُّ، فَحَدِيثُ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوْلَى، وَلَا تُقَلِّدُونِي

“Setiap perkataanku yang berbeza dengan riwayat yang sahih daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, maka hadis Nabi lebih aula (perlu didahulukan) dan kamu semua jangan bertaklid kepadaku.” (al-Baihaqi, Ma’rifah as-Sunan wal Atsar, 2/454)

Demikianlah begitu tegasnya beliau dalam berpegang dengan hadis-hadis yang diterimanya. Ini sepatutnya menjadi contoh dan motivasi buat kita semua dalam mempelajari, mengamalkan, dan mendakwahkan sunnah-sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang mulia.

Prinsip-prinsip dan wasiat-wasiat yang ditinggalkan oleh imam asy-Syafi’i ini amat bertepatan dengan begitu banyak dalil-dalil al-Qur’an mahupun as-Sunnah. Antaranya sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

فَلا وَرَبِّكَ لا يُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لا يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجًا مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

“Demi Tuhamu, mereka tidak dikatakan beriman sehingga mereka menjadikan engkau (Muhammad) sebagai hakim dalam menyelesaikan perselisihan di antara mereka. Kemudian mereka tidak merasa berat dengan keputusan yang engkau tetapkan dan mereka menerimanya dengan penuh ketulusan.” (Surah an-Nisaa’, 4: 65)

Ayat ini begitu jelas menerangkan apabila berlaku perselisihan (khilaf) di antara kita, maka hendaklah ia dikembalikan kepada al-Qur’an dan as-Sunnah. Bukan dikembalikan kepada mazhab si fulan atau imam fulan mahupun ustaz fulan. Wallahu a’lam.

Mengenal Karya-karya Imam asy-Syafi’i

Mengenal Karya-karya Imam asy-Syafi'i

Abu Numair Nawawi B. Subandi
http://an-nawawi.blogspot.com


Imam asy-Syafi’i rahimahullah banyak menghasilkan karya tulis berupa kitab-kitab yang mana sebahagiannya beliau tulis sendiri lalu dibacakan dan dibahaskan kepada masyarakat dan para penuntut ilmu. Manakala sebahagian lagi dikumpulkan dan dibukukan oleh murib dan para pendukung mazhabnya.

Dalam mukaddimah al-Majmu’ Syarah al-Muhadzdzab karya Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) disebutkan, “Karya-karya asy-Syafi’i dalam permasalahan ushul dan furu’ yang belum pernah wujud sebelumnya cukup banyak dan baik. Di antara yang masyhur lagi terkenal adalah kitab al-Umm yang jumlahnya mencapai 20 jilid, kemudian al-Jami’ al-Muzanni al-Kabiir dan ash-Shaghiir, Mukhtashar al-Kabir dan ash-Shaghiir, Mukhtashar al-Buwaithi dan ar-Rabi’, al-Harmalah, kemudian kitab al-Hujjah yang merupakan sebahagian dari qaul qadim (karya yang menjelaskan pegangan awal asy-Syafi’i), ar-Risalah al-Qadiimah, ar-Risalah al-Jadiidah, al-Amali, al-Imla’, dan selainnya.” (al-Majmu’, 1/11)

Bahkan ada sebahagian ulama yang menyebutkan bahawa kitab-kitab karya asy-Syafi’i rahimahullah mencapai 113 buah kitab berkaitan tafsir, fiqh, sastera, dan disiplin-disiplin ilmu lainnya. Ada juga yang mengatakan sukar untuk menghitung secara tepat jumlah keseluruhan kitab-kitab karya beliau. Namun sayangnya sebahagian besar dari kitab-kitab yang disusun oleh beliau luput dan tidak sampai kepada kita hari ini.

Kata Syaikh Ahmad Syakir rahimahullah (Wafat: 1377H), “Amat sukar untuk menghitung kitab-kitab beliau kerana banyak di antaranya yang telah luput (hilang). Beliau menulis di Makkah, Baghdad, dan Mesir. Adapun karya-karya beliau yang sampai ke tangan para ulama pada masa ini adalah apa yang ditulisnya ketika di Mesir, iaitu kitab al-Umm antaranya.” (Mukaddimah kitab ar-Risalah tahqiq Syaikh Ahmad Syakir, m/s. 9 – Daar al-Kitab al-‘Ilmiyyah)

Kitab al-Umm ini adalah sebuah kitab yang dikumpulkan oleh murid Imam asy-Syafi’i iaitu Imam ar-Rabi’ B. Sulaiman al-Muradi (Wafat: 270H). Beliau menghimpunnya sama ada ketika sebaik mendengar bab-bab atau perbahasan-perbahasan kandungannya tersebut secara langsung daripada asy-Syafi’i atau di masa yang lain. Juga berdasarkan apa yang beliau temui dalam bentuk-bentuk tulisan asy-Syafi’i rahimahullah.

Kata al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H), “Jumlah kitab (perbahasan) dalam kitab al-Umm mencapai lebih dari 140 bab, wallahu a‘lam. Ia dimulakan dengan perbahasan tentang thaharah (bersuci), kemudian kitab ash-sholah, dan seterusnya yang mana beliau susun berdasarkan bab-bab fiqh.” (Dinukil dari kitab Manhaj al-Imam asy-Syafi’i fii Itsbaat al-‘Aqiidah karya Dr. Muhammad al-‘Aql, m/s. 48 – Maktabah Adhwa as-Salaf)

Perbahasan yang terkandung dalam kitab al-Umm ini merangkumi pelbagai asas dan penjabaran persoalan agama yang sangat luas. Bahkan ia boleh dikatakan sebagai himpunan perbahasan yang mengumpulkan pendapat-pendapat imam asy-Syafi’i rahimahullah dalam bidang fiqh, tafsir, dan hadis. Di antara perbahasannya mencakupi aspek thaharah, solat, hari raya, zakat, jenazah, puasa, haji, ibadah korban, perburuan, nadzar, jual beli, wasiat, faraidh, peperangan, jihad, pernikahan, hudud, qishash, dan banyak lagi yang lainnya.

Alhamdulillah, kitab al-Umm karya imam asy-Syafi’i yang amat berharga ini telah pun dicetak dan diterbitkan menjadi beberapa jilid semuanya pada hari ini. Juga telah ada yang siap diterjemahkan dan diringkaskan ke bahasa kita. Cuma sayangnya, amat sedikit dari kalangan kita yang mampu mengambil faedah darinya dan memanfaatkannya dengan betul sebagai sumber ilmu walaupun kita sering mendabik dada mengaku bermazhab Syafi’i!

Selain kitab al-Umm, di antara yang terkenal dan telah diterbitkan adalah kitab Ikhtilaf al-Hadits. Ia diterbitkan oleh penerbit Bulaaq bersama Hasyiyah kitab al-Umm jilid 7. Selain itu juga adalah kitab ar-Risalah. Kedua buah kitab ini adalah di antara kitab yang diriwayatkan melalui jalan ar-Rabi’ B. Sulaiman daripada asy-Syafi’i. Ini adalah sebagaimana kata Syaikh Ahmad Syakir rahimahullah ketika mentahqiq kitab ar-Risalah karya asy-Syafi’i.

Kata Syaikh Ahmad Syakir, kitab ar-Risalah disusun oleh Imam asy-Syafi’i sebanyak dua kali menjadi ar-Risalah al-Qadiimah (edisi awal) dan ar-Risalah al-Jadiidah (edisi baru). Ar-Risalah al-Qadiimah disusun oleh Imam asy-Syafi’i ketika di Makkah demi memenuhi permintaan ‘Abdurrahman B. Mahdi rahimahullah (Wafat: 198H) di ‘Iraq ketika itu. Ia adalah kitab dalam bentuk surat untuk ‘Abdurrahman B. Mahdi yang menjelaskan tentang tafsir al-Qur’an, himpunan hadis-hadis yang boleh diterima, penghujahan dengan ijma’, dan penjelasan ilmu nasikh wal-mansukh dari al-Qur’an dan as-Sunnah.

Walau bagaimanapun, kitab ar-Risalah al-Qadiimah yang dimaksudkan tersebut telah pun luput dari kita dan apa yang sampai kepada kita hari ini adalah kitab ar-Risalah al-Jadiidah, dan ia disusun oleh imam asy-Syafi’i setelah selesainya kitab al-Umm. (Mukaddimah ar-Risalah, m/s. 10-11)

Kitab ar-Risalah ini adalah sebuah kitab yang masyhur lagi terbilang dan diketahui umum sebagai kitab rujukan utama dalam bidang ushul fiqh. Bahkan Imam asy-Syafi’i boleh dikatakan sebagai tokoh pertama yang membukukan kaedah-kaedah umum dalam bidang ushul fiqh secara sistematik, lalu para ilmuan setelah beliau pun menjadikannya sebagai rujukan dan mengikutinya.

Badruddin az-Zarkasyi di dalam kitab al-Bahr al-Muhith fii Ushul menyatakan, “asy-Syafi’i adalah ulama pertama yang menyusun buku tentang ushul fiqh. Bagi bidang ushul fiqh ini, beliau menulis kitab ar-Risalah, Ahkam al-Qur’an, Ikhtilaf al-Hadits, Ibthal al-Istihsan, Jama’ al-‘Ilm, dan al-Qiyas. Melalui pelbagai pembahagian bab-bab perbahasan dalam kitab ini, beliau telah menjelaskan selok-belok penghujahan dengan hadis ahad, membentangkan syarat-syarat kesahihan hadis, keadilan para perawi hadis, penolakan khabar mursal dan munqathi’, serta perkara-perkara lain yang boleh diketahui dengan menyemak isi kandungannya.” (Mukaddimah ar-Risalah, m/s. 13)

Kitab ar-Risalah dan bahkan seluruh kitab asy-Syafi’i rahimahullah adalah himpunan kitab-kitab yang sarat dengan bahasa sastera dan adab yang indah di samping perbahasan tentang fiqh serta ushul. Selain ilmu imam asy-Syafi’i dalam bidang fiqh dan ushul, para ulama di zaman beliau turut mengambil dan berhujah dengan tutur bahasa imam asy-Syafi’i rahimahullah. Ini lantaran kehebatan dan ketulenan sastera serta bahasa ‘Arab yang fasih yang dikuasai oleh beliau.

‘Abdurrahman B. Mahdi mengatakan tentang kitab ar-Risalah, “Ketika aku melihat kitab ar-Risalah karya asy-Syafi’i, aku tercegang kerana aku sedang melihat (susunan bahasa) seorang yang bijak, fasih, lagi penuh dengan nasihat sehingga aku memperbanyakkan doa untuknya.” (ar-Risalah, m/s. 4)

Penyusun kitab Sirah Ibnu Hisyam (Wafat: 213H) mengatakan, “Aku telah lama bersama-sama dengan asy-Syafi’i, tetapi aku tidak pernah mendengar beliau berbicara tanpa mengikuti tatabahasa. Aku juga tidak pernah mendengar secara langsung satu ucapan yang lebih indah dari ucapan beliau.”

Kata Syaikh Ahmad Syakir, “Seluruh kitab imam asy-Syafi’i adalah contoh sastera ‘Arab yang murni dan berada di puncak balaghah yang tertinggi. Beliau menulis berdasarkan naluri yang bersesuaian dengan fitrah, tidak dibuat-buat dan tidak dipaksa-paksa. Kitab-kitab beliau adalah penjelasan yang paling fasih yang pernah anda baca setelah al-Qur’an dan hadis, tidak dapat ditandingi oleh satu ucapan pun dan tidak terkalahkan oleh satu tulisan pun.”

Kata Syaikh Ahmad Syakir lagi yang merupakan ulama besar kontemporari yang lahir dalam lingkaran pendidikan Universiti al-Azhar ketika itu, “Kitab ar-Risalah sepatutnya menjadi kitab pengajian wajib di Universiti al-Azhar serta universiti-universiti lainnya. Juga dipilih beberapa bab dari kandungannya untuk dijadikan sebagai bahan pengajian pelajar-pelajar di peringkat menengah dan pusat-pusat pendidikan awal supaya mereka mendapat ilmu pengetahuan dan pandangan hujah yang benar lagi kuat.” (Mukaddimah ar-Risalah, m/s. 13-14)

Demikianlah apa yang dapat diungkapkan tentang karya-karya milik imam asy-Syafi’i rahimahullah. Karya-karyanya masyhur lagi dikenali bagai matahari yang menyinar di waktu siang. Menjadi rujukan dan panduan buat masyarakat, penuntut ilmu, dan para ulama dahulu dan kini umpama bintang di malam hari. Para ilmuan dulu dan kini berlumba-lumba mendalaminya, mengikutinya, dan melakukan kupasan.

Imam an-Nawawi rahimahullah mengatakan, “Adapun karya-karya para pendukung imam asy-Syafi’i yang merupakan penjelasan terhadapan matan (teks perkataan), pernyataan, rangkuman konsep, dan pandangan hasil kaedah-kaedah asy-Syafi’i tidak terhitung jumlahnya. Di samping faedah dan manfaatnya yang sangat banyak, ukuran dan susunannya pun begitu baik. Ini adalah sebagaimana komentar Abu Hamid al-Isfirayini, al-Qadhi Abu ath-Thayyib, pengarang al-Hawi, imam al-Haramain, dan selainnya. Ini semua menjadi bukti nyata akan kedalaman ilmu imam asy-Syafi’i, kebaikan perkataannya, dan kesahihan niatnya dalam ilmu.” (al-Majmu’, 1/12)

Selain kitab-kitab yang telah disebutkan, ada beberapa kitab lainnya yang turut dinisbatkan atau disandarkan ke atas imam asy-Syafi’i rahimahullah seperti kitab al-Musnad, as-Sunan, ar-Radd ‘ala al-Baraahimah, Mihnah asy-Syafi’i, ar-Radd ‘alaa Muhammad bin al-Hasan dan beberapa yang lainnya. Selain kitab-kitab berupa karya tulis beliau sendiri, perkataan dan fatwa-fatwa imam asy-Syafi’i juga turut terhimpun atau direkodkan dalam kitab-kitab para pendukung mazhabnya. Juga dalam kitab-kitab berkaitan biografi para ulama.

Wallahu a’lam.

Mengenal Imam asy-Syafi’i rahimahullah

Mengenal Imam asy-Syafi'i Rahimahullah

Abu Numair Nawawi. B. Subandi
http://an-nawawi.blogspot.com


Kita di Malaysia sering mendakwa dan mendabik dada mengamalkan Islam berdasarkan Mazhab asy-Syafi’i ahli sunnah wal-jama’ah. Tapi sayangnya, majoriti masyarakat Islam kita sendiri masih tidak tahu siapakah dia Imam asy-Syafi’i rahimahullah. Kenapa kita bermazhab Syafi’i? Apa karya-karya tulis beliau? Apa pegangannya?

Lantas benarkah kita bermazhab dengan mazhab asy-Syafi’i? Atau kita sedang mengamalkan mazhab yg kita pun tidak tahu menahu?

Sepatutnya wajib bagi kita untuk mengenali siapakah ulama kita. Iaitu tempat di mana kita mengambil ilmu, agama, dan pendapat. Iaitu para ulama yang mewariskan ilmu-ilmu tinggalan Nabi berupa al-Qur’an dan as-Sunnah.

Tidak wajar sekiranya kita mengamalkan suatu ilmu dan menisbahkan atas nama ulama tersebut namun kita tidak mengetahui siapakah beliau.

Seorang tabi’in besar, Muhammad B. Sirin rahimahullah (Wafat: 110H) mengatakan:

إِنَّ هَذَا الْعِلْمَ دِينٌ فَانْظُرُوا عَمَّنْ تَأْخُذُونَ دِينَكُمْ

“Sesungguhnya ilmu itu adalah dien (petunjuk kehidupan), oleh itu telitilah dengan baik daripada siapa kamu mengambil ilmu agama.” (Rujuk Mukaddimah Shahih Muslim, 1/33)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

“Sesungguhnya para ulama itu adalah pewaris para Nabi. Dan para Nabi tidaklah mewariskan dinar mahu pun dirham. Namun, mereka mewariskan ilmu. Maka, sesiapa yang mengambil ilmu tersebut, benar-benar dia telah mendapat bahagian yang sangat besar.” (Hadis Riwayat Abu Daud, 49/10, no. 3157. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Oleh itu, sebelum kita mengambil ilmu ulama tersebut dan bermazhab dengan pendapat serta ilmunya, ada baiknya kita mengenali terlebih dahulu siapakah beliau.

Perkataan Mazhab

Asal makna mazhab sebenarnya merujuk kepada pendapat, jalan, methodologi, aliran, ajaran, kerangka pemikiran, atau ushul bagi sesuatu perkara. Dari sudut istilah, mazhab merujuk kepada himpunan pendapat atau kerangka methodologi yang membina sesuatu pendapat bagi sesebuah aliran agama.

Contohnya seperti mazhab asy-Syafi’i, merujuk kepada methodologi yang digunakan oleh Imam asy-Syafi’i atau para pengikutnya dalam memahami nash-nash al-Qur’an dan al-hadis. Boleh juga merujuk kepada pegangan (atau fatwa) yang dikeluarkan oleh Imam asy-Syafi’i dan para pengikutnya sama ada dalam persoalan aqidah atau fiqh.

Di antara contoh-ontoh mazhab dalam aqidah adalah seperti mazhab ahlus sunnah wal-jama’ah, mazhab al-khawarij, muktazilah, qadariyah, murji’ah, al-asya’irah, dan syi’ah. Bagi mazhab fiqh, ia merujuk kepada contoh-contoh perbezaan pendapat dalam aliran ahli sunnah wal-jama’ah dalam urusan fiqh seperti Maliki, Hanafi, Syafi’i, dan Hanbali.

Perbezaan mazhab dalam aqidah akan menentukan benar atau sesatnya sesuatu kelompok tertentu. Dan mazhab yang benar dalam aqidah adalah mazhab ahli sunnah wal-jama’ah atau juga dikenali sebagai mazhab para salaf. Berbeza dengan perselisihan dalam aliran fiqh seperti Maliki, Hanafi, Syafi’i, dan Hanbali, ia tidak menjadi ukuran terkeluarnya seseorang atau pendukung mazhab fiqh tersebut dari kebenaran selagi mana masih berada dalam kerangka methodologi (mazhab) aqidah ahli sunnah wal-jama’ah.

Siapa Imam asy-Syafi’i?

Beliau adalah Muhammad B. Idris asy-Syafi’i B. al-‘Abbas B. ‘Utsman B. Syafi’i B. as-Saib B. ‘Ubaid B. ‘Abdu Yazid B. Hisyam B. al-Muthallib B. ‘Abdi Manaf. Imam asy-Syafi’i lahir pada tahun 150H yang merupakan tahun kewafatan Imam Abu Hanifah rahimahullah.

Beliau adalah seorang imam, ‘aalim (sangat berilmu), naashirul hadits (pembela hadis), dan pendapatnya (mazhabnya) menjadi ikutan. Beliau berketurunan Quraisy, lahir di perkampungan Ghozzah di kota ‘Asqalan lalu berhijrah ke Makkah. Beliau memiliki nasab sampai kepada nasab Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pada ‘Abdi Manaf B. Qushay.

Imam asy-Syafi’i rahimahullah dikenali sebagai pembela hadis kerana komitmennya dalam mengikuti sunnah dan terkenal menentang aliran ra’yi, iaitu golongan yang suka berhujah menggunakan akal berbanding dalil-dalil al-Qur’an dan al-hadis seperti golongan ahli kalam dan ahli falsafah. Termasuk gurunya sendiri iaitu Muhammad B. al-Hasan asy-Syaibani rahimahullah sering beliau bantah kerana berhujah dengan ra’yi.

Walaupun Imam asy-Syafi’i sangat menghormati dan menyayangi Muhammad B. al-Hasan asy-Syaibani rahimahullah, tetapi dikala pendapat yang dipegang oleh gurunya tersebut bertentangan dengan dalil, ia tidak berbasa-basi untuk menegur dan membantahnya. Oleh kerana itulah di setiap kali selesainya halaqah Muhammad B. al-Hasan, beliau akan datang mendekati anak-anak murid Muhammad B. al-Hasan yang lain untuk berdiskusi dengan mereka.

Pengembaraan beliau dalam menuntut ilmu mencakupi bumi Makkah, Madinah, Yaman, Kufah, Bashrah, Syam, dan Mesir. Beliau adalah seorang yatim, miskin, dan tidak berharta. Tetapi kerana semangatnya yang kental dan cintakan ilmu, akhirnya Allah memuliakannya sebagai seorang imam dalam agama ini.

Beliau membesar dalam asuhan seorang ibu dan guru yang ramai. Beliau begitu tekun belajar sehingga menguasai al-Qur’an seawal usia 7 tahun dan hafal kitab al-Muwaththa’ karya Imam Malik ketika usianya 10 tahun atau 13 tahun. Pada usianya 15 tahun (manakala dalam riwayat lain 18 tahun), beliau telah mendapat izin daripada gurunya Muslim B. Khalid az-Zanji rahimahullah untuk berfatwa.

Ketika di Makkah

Di usia kanak-kanaknya beliau telah menghabiskan masanya untuk mendalami agama dan berguru dengan ramai ulama. Beliau rajin menulis setiap ilmu yang dipelajarinya pada tulang-tulang dan yang seumpamanya. Kesusahan dan kemiskinan hidup sama sekali bukan halangan bagi dirinya untuk berkomitmen dalam menuntut ilmu.

Imam asy-Syafi’i menceritakan, “Aku hidup sebagai seorang yatim dalam jagaan ibuku. Ibuku tidak mampu membayar seorang guru untuk mengajarku. Tetapi guru tersebut redha dan merasa senang jika aku dapat menjadi penggantinya. Maka setelah aku menghabiskan al-Qur’an, aku hadir di masjid dan berkumpul bersama-sama para ulama untuk menghafal hadis dan permasalahan agama sementara tempat tinggal kami terletak di jalan Bukit al-Khaif. Aku menulis (ilmu yang dipelajari) di atas tulang. Setelah banyak, tulang-tulang tersebut aku masukkan ke dalam sebuah bekas besar.” (Tawaali at-Ta’siis, m/s. 54. Dr. Muhammad al-‘Aql, Manhaj al-Imam asy-Syafi’i fii Itsbaat al-‘Aqiidah, m/s. 23 – Maktabah Adhwa as-Salaf)

Berdasarkan keterangan riwayat-riwayat, Imam asy-Syafi’i memulakan pengajiannya dengan mempelajari al-Qur’an di Makkah, dan kemudian meneruskan kepada ilmu bahasa dengan mula menekuni sya’ir-sya’ir ‘Arab, sejarah ‘Arab, dan sastera-sastera ‘Arab. Beliau banyak bergaul rapat dengan suku Hudzail jauh di kawasan pedalaman yang dengannya beliau menguasai bahasa ‘Arab, balaghah, dan syai’r-sya’ir ‘Arab. Ini turut beliau teruskan ketika berulang-alik di antara Makkah dan Madinah.

Setelah menekuni ilmu bahasa, beliau kembali semula ke Makkah. Kemudian barulah beliau mendalami ilmu-ilmu fiqh di Makkah terutamanya bersama-sama dengan mufti Makkah ketika itu, Syaikh Muslim B. Khalid az-Zanji rahimahullah.

Setelah beberapa ketika, beliau pun mula mengorak langkah memulakan pengembaraan pertamanya ke Madinah dalam rangka menuntut ilmu. Beliau berangkat ke Madinah kira-kira pada usia 13 tahun dalam rangka menguasai ilmu hadis dan fiqh serta sering ulang-alik di antara Makkah dan Madinah.

Di Madinah beliau bertemu dengan Imam Malik B. Anas rahimahullah (Wafat: 179H), berguru dengannya, dan membacakan kitab al-Muwaththa’ karya Imam Malik yang telah beliau hafal sejak awal. Beliau dikatakan oleh para ulama sebagai telah mengambil hampir semua ilmu yang dimiliki oleh Imam Malik B. Anas dan menghimpunkan imu dari para ulama di Madinah.

Imam asy-Syafi’i rahimahullah menceritakan, “Aku keluar dari Makkah untuk hidup dan bergaul dengan suku Hudzail di kawasan pedalaman. Aku mengambil bahasa mereka dan mempelajari ucapan-ucapan mereka. Mereka adalah suku ‘Arab yang paling fasih bahasanya. Setelah beberapa tahun tinggal bersama-sama dengan mereka, aku pun kembali ke Makkah. Kemudian aku membacakan sya’ir-sya’ir mereka, mengungkapkan peristiwa-peristiwa dan kisah-kisah peperangan bangsa ‘Arab. Ketika itu lalulah seorang lelaki dari suku az-Zuhri dan beiau berkata kepadaku, “Wahai Abu ‘Abdillah, sayang sekali jika keindahan bahasa yang engkau kuasai tersebut tidak dimmbangi dengan ilmu dan fiqh.”

Aku (Imam asy-Syafi’i) menjawab, “Siapakah orang yang patut aku temui?” Ia menjawab pula, “Malik B. Anas, pemimpin umat Islam.” Imam asy-Syafi’i mengatakan, “Maka timbullah minatku untuk mempelajari kitab al-Muwaththa’ karya Imam Malik.” Atas sebab itu, aku pun meminjam kitab tersebut daripada seorang lelaki di Makkah. Setelah menghafalnya, aku pun menemui Gabernor Makkah dan mengambil surat untuk aku berikan kepada Gabernor Madinah dan Imam Malik.” (Dr. Muhammad al-‘Aql, Manhaj al-Imam asy-Syafi’i fii Itsbaat al-‘Aqiidah, m/s. 26 – Maktabah Adhwa as-Salaf)

Mush’ab az-Zuhri mengatakan, “Imam asy-Syafi’i telah mengambil hampir semua ilmu yang dimiliki oleh Imam Malik B. Anas dan mengumpulkan ilmu para syaikh yang ada di Madinah.” (Mu’jam al-Udabaa’, 17/283)

Ujian Melanda

Sekembalinya imam asy-Syafi’i dari Madinah ke Makkah, beliau rahimahullah amat sibuk dengan ilmunya. Walau bagaimanapun beliau masih tetap tidak merasa cukup dengan ilmu yang telah dimilikinya setakat itu. Jiwanya terus haus dan dahagakan ilmu. Ketika beliau mendengar perkhabaran tentang Yaman sebagai gudang ilmu, semangatnya pun membuak-buak untuk mendatangi negeri Yaman.

Setelah mendapat bekal yang mencukupi, beliau pun berangkat ke Yaman. Ketika Imam asy-Syafi’i berada di Yaman dalam rangka menuntut ilmu sambil bekerja, beliau telah difitnah oleh para pencinta dunia.

Pada ketika itu telah berlaku banyak permusuhan dan pembangkangan terhadap pemerintah yang dilakukan oleh golongan ‘Alawiyyah terhadap pemerintahan bani ‘Abbasiyyah ketika itu.

Mungkin disebabkan beliau dibenci oleh sebahagian kelompok disebabkan prestasi kerjanya ketika itu, beliau pun difitnah oleh para pencinta dunia kerana mereka bimbang imam asy-Syafi’i akan mendapat tempat di sisi pemerintah. Beliau dituduh sebagai berkomplot dengan golongan pemberontak puak ‘Alawiyyin.

Kerana fitnah yang berlegar tersebut, seorang panglima Bani ‘Abbasiyyah pun mengirimkan surat kepada khalifah Harun ar-Rasyid yang di antara kandungannya adalah, “Masyarakat sedang bimbang terhadap bahaya kaum ‘Alawiyyin kerana dalam kalangan mereka ada seorang pemuda bernama Muhammad B. Idris yang dengan lisannya mampu melakukan sesuatu yang jauh berbahaya berbanding pembunuh dengan pedangnya. Oleh itu, jika tuan memiliki kepentingan terhadap wilayah Hijjaz, asingkanlah mereka daripadanya.” Maka Imam asy-Syafi’i pun diikat tangannya bersama beberapa orang ‘Alawiyyin lalu dibawa ke ‘Iraq. (al-Baihaqi, Manaqib asy-Syafi’i, 1/106-107 – Maktabah Daar at-Turaats)

Atas sebab fitnah tersebut, maka khalifah Harun ar-Rasyid pun lantas memerintahkan Gabernor Yaman supaya mengusir asy-Syafi’i bersama-sama yang lainnya. Lalu beliau pun dibawa ke ‘Iraq dalam keadaan diikat dan dirantai. Selain itu beliau turut dibawa dalam keadaan disiksa sepanjang perjalanan untuk menghadap khalifah. Peristiwa ini berlaku pada sekitar tahun 184H ketika usia Imam asy-Syafi’i 30 tahun. Beliau disiksa, dipenjara, dan hampir dibunuh atas arahan khalifah ketika itu.

Tetapi Allah menyelamatkannya melalui bantuan Muhammad B. al-Hasan asy-Syaibani yang merupakan orang yang banyak berdampingan dengan khalifah. Setelah beliau dibebaskan, beliaupun berguru dan berdampingan dengan Muhammad B. al-Hasan bagi mendapatkan ilmu-ilmu fiqh dan hadis-hadis di ‘Iraq daripadanya. Setelah beberapa lama, beliau pun kembali ke Makkah dan mengajar di sana sebelum kembali semula ke ‘Iraq untuk kali keduanya.

Ini antaranya adalah sebagaimana apa yang digoreskan oleh al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) dalam kitab sirahnya, “Maka imam asy-Syafi’i rahimahullah dibawa dengan dinaikkan ke atas keldai dalam keadaan terikat menuju Baghdad pada tahun 184H. Ketika itu usianya 30 tahun. Kemudian beliau dihadapkan kepada Harun ar-Rasyid dan berlangsunglah perbicaraan di antara mereka berdua sementara Muhammad B. al-Hasan duduk di sisi khalifah Harun sambil memuji imam asy-Syafi’i rahimahullah. Akhirnya jelaslah bagi Harun ar-Rasyid bahawa tuduhan yang dilemparkan ke atas imam asy-Syafi’i tidaklah benar.

Seterusnya Muhammad B. al-Hasan asy-Syaibani pun memberikan tempat kepada imam asy-Syafi’i manakala sahabat beliau Abu Yusuf telah setahun atau dua tahun wafat. Asy-Syafi’i dimuliakan oleh Muhammad B. al-Hasan dan beliau pun menimba ilmu daripadanya.” (Ibnu Katsir, al-Bidayah wa an-Nihayah, 14/133 – Daar al-Hajr)

Walaupun imam asy-Syafi’i banyak mengambil ilmu daripada Muhammad B. al-Hasan asy-Syaibani dan sangat menghormatinya, tetapi perselisihan yang berlaku di antara mereka amat terkenal dan begitu masyhur sekali. Keduanya sering berdiskusi, berselisih pendapat, dan saling berdebat. Ini adalah kerana keteguhan pegangan imam asy-Syafi’i terhadap mazhab ahli hadis manakala Muhammad B. al-Hasan pula adalah mazhab ahli ar-ra’yi yang lebih mengedepankan logika.

Imam asy-Syafi’i banyak membaca dan mendalami karya-karya Muhammad B. al-Hasan, tetapi itu tidak bermakna beliau menerima secara bulat-bulat tanpa sebarang sifat kritis dan analisa. Imam asy-Syafi’i rahimahullah mengatakan, “Untuk memiliki kitab Muhammad B. al-Hasan rahimahullah, aku menghabiskan wang sebanyak 60 dinar. Kemudian aku mempelajarinya lalu aku tuliskan sebuah hadis bagi setiap permasalahan. Maksudnya adalah bertujuan melakukan bantahan (atau koreksi dengan mengemukakan dalil).” (Aadaab asy-Syafi’i, m/s. 33-34. Dr. Muhammad al-‘Aql, Manhaj al-Imam asy-Syafi’i fii Itsbaat al-‘Aqiidah, m/s. 34 – Maktabah Adhwa as-Salaf)

Setelah beberapa tempoh mengambil ilmu dari para ulama di ‘Iraq, beliau pun pulang ke Makkah dan namanya ketika itu cukup masyhur lagi dikenali. Beliau pun mula mengajarkan ilmunya di Masjid al-Haram yang merupakan tempat di mana dahulu beliau menimba ilmu.

Pada setiap kali tiba musim haji, ribuan manusia datang ke Makkah. Bagi mereka yang pernah mendengar nama beliau berserta ilmunya yang mengagumkan, mereka pun berlumba-lumba mengikuti majlis-majlis ilmu imam asy-Syafi’i sehinggalah nama imam asy-Syafi’i semakin terkenal ke pelbagai negeri.

Di antara yang mendatangi majlis ilmu imam asy-Syafi’i adalah imam al-Humaidi, Ishaq B. Rahawaih, dan Ahmad B. Hanbal rahimahumullah.

Imam al-Humaidi rahimahullah mengatakan, “Ketika Ahmad B. Hanbal rahimahullah tinggal bersama kami di Makkah, beliau mengikuti majlis ilmu Sufyan B. ‘Uyainah rahimahullah. Pada suatu hari, beliau mengajakku ke suatu tempat. Kata beliau, “Di sana ada seorang lelaki Quraisy yang memiliki ilmu pengetahuan dan bicara yang amat baik.”

“Siapakah beliau?” Aku bertanya. Ahmad menjawab, “Muhammad B. Idris asy-Syafi’i.” Ketika di ‘Iraq, Ahmad B. Hanbal pernah turut serta di majlis ilmunya. Kerana beliau sering memujukku, akhirnya aku pun duduk bersama dengannya. Setelah mendengar huraian perbahasannya dalam beberapa permasalahan, kami beredar. “Bagaimana pendapat engkau?” Tanya Ahmad B. Hanbal. Aku berusaha mencari-cari kesalahannya dan itu aku lakukan kerana dalam diriku terdapat kedengkian terhadap orang Quraisy. Maka Ahmad B. Hanbal pun berkata, “Rupanya engkau tidak senang jika ada pemuda Quraisy memiliki ilmu dan keindahan bahasa seperti beliau. Beliau membahaskan seratus masalah, tetapi salahnya hanya lima atau hanya sepuluh. Tinggalkanlah yang salah dan ambillah yang benar!”.” (Aadaab asy-Syafi’i, m/s. 44)

Imam Ahmad B. Hanbal rahimahullah pernah ditanya tentang imam asy-Syafi’i lalu beliau menjawab, “Allah telah menganugerahkan asy-Syafi’i kepada kami. Dahulu kami belajar perkataan para ulama dan menuliskan kitab-kitab mereka sehinggalah datang asy-Syafi’i kepada kami. Ketika kami mendengar perkataan asy-Syafi’i, maka kami tahu bahawa beliau lebih alim berbanding para ulama lainnya. Kami bermajlis bersamanya selama berhari-hari dan bermalam-malam tetapi kami tidak melihat sesuatu daripadanya melainkan yang baik-baik.”

Ahmad B. Hanbal juga mengatakan, “Tidak ada seorang pun yang berbicara tentang ilmu yang lebih sedikit kesalahannya dan lebih teguh berpegang terhadap sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam daripada asy-Syafi’i.” Selain itu, beliau juga mengatakan, “Apabila datang persoalan yang tidak ada riwayat hadisnya, maka berilah fatwa berdasarkan perkataan asy-Syafi’i.” Juga kata imam Ahmad, “Tidaklah seseorang memegang tinta dan pena melainkan asy-Syafi’i memiliki sumbangan terhadapnya.” (Mukaddimah Ahkam al-Qur’an karya al-Baihaqi, m/s. 12 – Pustaka Azzam)

Bertemu Imam Ahmad B. Hanbal di ‘Iraq

Pada pemergiannya ke ‘Iraq buat kali kedua pada tahun 195H (manakala sebahagian riwayat mengatakan tahun 199H atau 200H), beliau bertemu dengan Imam Ahmad B. Hanbal rahimahullah (Wafat: 241H) walaupun sebelumnya pernah bersua di Makkah ketika musim haji.

Perjalanannya yang kedua ini berbeza dengan perjalanannya yang pertama. Jika yang pertama disebabkan beliau difitnah dan diusir, tetapi kali ini adalah kerana kehendaknya sendiri. Nama beliau ketika ini jauh lebih dikenali berbanding kedatangan yang sebelumnya.

Beliau mendapat tempat dan kedudukan yang mulia di sisi masyarakat ‘Iraq ketika ini. Para penuntut ilmu yang sebelumnya belajar dengan para ulama lain justeru berpindah dan mengambil tempat di majlis-majlis imam asy-Syafi’i rahimahullah.

Sebaik beliau tiba di Iraq, para penuntut ilmu berlumba-lumba datang mengambil ilmu kepadanya termasuk Ahmad B. Hanbal, Ishaq B. Rahawaih, dan ‘Abdurrahman B. Mahdi. Di samping itu, beliau turut bergaul dan saling mengambil ilmu daripada Imam Ahmad B. Hanbal. Majlis-majlis para ahli ra’yi yang sebelumnya begitu banyak pun akhirnya berkurangan sebaik kedatangan imam asy-Syafi’i kerana masing-masing penuntut ilmu berpindah ke majlis ilmu imam asy-Syafi’i. Demikian juga para pencinta hadis, mereka tidak melepaskan peluang untuk bermajlis dan mengambil ilmu daripda imam asy-Syafi’i.

Imam Ahmad B. Hanbal berkata, “Kalau sebelumnya banyak kesimpulan kami (para ulama hadis) diambil dari para pengikut imam Abu Hanifah dan ianya tidak diangkat sehinggalah datangnya imam asy-Syafi’i rahimahullah. Beliau adalah orang yang paling faham tentang kitab Allah dan Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Beliau tidak pernah puas dengan hanya mencari sedikit hadis.”

Imam Ibrahim B. al-Harbi rahimahullah mengatakan, “Ketika imam asy-Syafi’i rahimahullah datang ke Baghdad, di Masjid Jami al-Gharbi terdapat 20 halaqah (majlis ilmu) yang diadakan oleh para ulama ra’yi. Pada Juma’at kedua setelah kedatangan imam asy-Syafi’i, yang tinggal hanya 3 atau 4 halaqah sahaja. Padahal imam asy-Syafi’i tidaklah menetap di ‘Iraq dan adakalanya di Makkah.”

Imam asy-Syafi’i rahimahullah datang ke negeri kami pada tahun 195H dan beliau menetap selama 2 tahun. Setelah itu beliau pergi ke Makkah lalu pada tahun 198H beliau datang lagi dan menetap selama beberapa bulan dan kemudian pergi pula ke Mesir.” (al-Baihaqi, Manaqib asy-Syafi’i, m/s. 1/220)

Abu Tsaur rahimahullah mengatakan, “Ketika imam asy-Syafi’i datang ke ‘Iraq, datanglah kepadaku Husain al-Karabisi. Beliau dan aku ketika itu cenderung kepada mazhab ahli ra’yi. Kata Husain, “Telah datang seorang lelaki ahli hadis yang juga ahli fiqh. Marilah kita uji beliau.” Maka kami pun berangkat menemui imam asy-Syafi’i. Husain al-Karabisi mengujinya dengan mengajukan sebuah pertanyaan. Maka imam asy-Syafi’i terus menjawabnya dengan membawakan ayat-ayat al-Qur’an dan banyak hadis-hadis sehingga akhirnya kami pun meninggalkan bid’ah-bid’ah yang kami lakukan sebelum itu lalu kami pun mengikutinya.” (Manaaqib asy-Syafi’i, 1/220)

Kata Imam Ahmad B. Hanbal, “Imam asy-Syafi’i benar-benar adalah pembela sunnah.” (Manaaqib asy-Syafi’i, 1/471)

Imam Ahmad B. Hanbal juga berkata, “Di antara sikap terpuji imam asy-Syafi’i adalah apabila beliau mendengar sebuah hadis (yang sahih yang bertentangan dengan pendapatnya) yang belum pernah beliau dengar, maka beliau akan mengambil hadis tersebut dan meninggalkan pendapatnya.” (Manaaqib asy-Syafi’i, 1/476)

Beliau juga mengatakan, “Mujaddid pada abad pertama adalah ‘Umar B. ‘Abdul ‘Aziz rahimahullah, manakala pada abad kedua pula adalah imam asy-Syafi’i rahimahullah.”

Kata beliau juga, “Benar-benar semenjak 40 tahun lalu aku sentiasa mendoakan imam asy-Syafi’i dalam setiap solatku.” (al-Baihaqi, Manaaqib asy-Syafi’i, 1/55)

Kata Ahmad B. Hanbal rahimahullah lagi, “Aku tidak pernah melihat orang yang lebih mengikuti sunnah berbanding imam asy-Syafi’i rahimahullah.” (al-Baihaqi, Manaaqib asy-Syafi’i, 1/471)

Kata ‘Abdurrahman B. Abu Hatim rahimahullah, Ahmad B. Hanbal lebih hebat daripada Imam asy-Syafi’i (dalam bidang hadis) kerana Imam asy-Syafi’i belajar banyak perkara berkaitan hadis daripada Imam Ahmad. Kata Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah, Imam Ahmad tidak membaca kitab tertentu secara khusus bersama Imam asy-Syafi’i, tetapi mereka saling berdampingan dan saling mengambil ilmu di antara satu sama lain.

Kata Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahillah (Wafat: 728H), Imam Ahmad B. Hanbal rahimahullah tidak membaca suatu kitab tertentu di hadapan imam asy-Syafi’i rahimahullah secara khusus, tetapi mereka saling berdampingan (mengambil ilmu) sebagaimana imam asy-Syafi’i rahimahullah mendampingi Muhammad B. al-Hasan asy-Syaibani yang mana masing-masing saling mengambil dan memberi ilmu di antara mereka.

Keselarian pendapat di antara mereka berdua dalam ushul fiqh lebih banyak berbanding keselarian imam asy-Syafi’i dengan Muhammad B. al-Hasan. Usia imam asy-Syafi’i rahimahullah 17 tahun lebih tua berbanding imam Ahmad B. Hanbal. Imam asy-Syafi’i rahimahullah datang pertama kali ke Baghdad pada tahun 187H. Ketika Muhammad B. al-Hasan masih hidup dan setelah wafatnya al-Qadhi Abu Yusuf rahimahullah, kemudian beliau datang untuk kali keduanya ke Baghdad pada tahun 197H. Ketika itulah beliau bertemu dengan Ahmad B. Hanbal.” (Ibnu Taimiyyah, Minhajus Sunnah an-Nabawiyah, 7/533)

Pergi ke Mesir

Ketika fitnah ilmu kalam melanda, imam asy-Syafi’i pun tidak lagi senang tinggal di ‘Iraq. Ketika itu ‘Iraq dipimpin oleh khalifah al-Ma’mun dan beliau dikuasai oleh tokoh-tokoh ahli kalam sehingga al-Ma’mun sendiri turut merealisasikan permusuhan terhadap para ahli sunnah.

Khalifah al-Ma’mun ketika itu begitu rapat dan bergaul sama dengan para tokoh utama ulama ilmu kalam malah beliau menjadikan para ulama ahli kalam sebagai juru tulis dan sahabat-sahabat yang akrab. Tokoh-tokoh ahli kalam diberi kedudukan yang istimewa di sisi beliau. Dunia Islam pada itu benar-benar bergolak dengan fitnah ilmu kalam.

Darah-darah para ulama ahli sunnah mula halal ditumpahkan, mereka dibunuh dan disiksa dengan kejam. Di antara fitnah yang begitu jelas melanda adalah perintah supaya mengimani bahawa al-Qur’an adalah makhluk, bukan kalamullah. Para ulama ahli sunnah benar-benar tersiksa dan menderita ketika itu.

Di sinilah bermulanya kemuncak kegemilangan bid’ah muktazilah (ahli kalam). Ia menyebar-luas di ‘Iraq di bawah pemerintahan khalifah al-Ma’mun dan sunnah pun tampak tenggelam, manakala tokoh-tokohnya ditindas dan dibunuh.

Inilah faktor yang menjadikan imam asy-Syafi’i rahimahullah berhasrat meninggalkan ‘Iraq lalu memilih dan menuju Mesir. Di Mesir, mazhab imam Malik masih tersebar luas dan ia adalah termasuk mazhab ahli hadis atau ahli sunnah wal-jama’ah. Suasana di Mesir ketika itu masih murni dan jauh dari bid’ah-bid’ah ilmu kalam dan tokoh-tokohnya.

Imam asy-Syafi’i berkata di dalam Sya’irnya:

Jiwaku ingin ke Mesir
Tetapi aku perlu menempuh tanah yang tandus...

Wallahi, aku tidak tahu sama ada untuk mendapatkan kekayaan
Atau meraih kebahagiaanku di sana.

Atau ke kuburan aku akan digiring? (Diiwaan asy-Syafi’i, m/s. 47)

Apabila sampai sahaja di Mesir beliau pun menuju ke Masjid ‘Amr B. al-‘Ash. Untuk pertama kalinya beliau berbicara di situ dan dengan serta-merta beliau pun dicintai dan disukai oleh masyarakat. (al-Baihaqi, Manaaqib asy-Syafi’i, 2/284)

Harun B. Sa’id al-Ayli berkata, “Aku tidak pernah melihat orang seperti imam asy-Syafi’i rahimahullah. Ketika datang ke Mesir, orang-orang berkata, “Telah datang kepada kita seorang lelaki Quraisy. Kami pun mendatanginya ketika beliau sedang solat. Ternyata kami belum pernah melihat seorang yang solatnya lebih baik daripada beliau dan wajah yang lebih tampan daripada beliau.

Bila beliau berbicara, kami pun belum pernah mendengar ada orang lain yang lebih indah bahasanya dari bahasa beliau. Kerana itulah kamipun tertarik kepadanya.”

Di sanalah ilmu dan keluasan pandangan imam asy-Syafi’i rahimahullah terpapar. Ia meguasainya melalui pengembaraan dan beliau mengambil banyak pelajaran melalui siri-siri pengembaraan tersebut. Beliau teliti kembali kitab-kitab yang telah ditulisnya lali beliau perbaiki kesalahan-kesalahan yanga da. Beliau banyak mengubah pendapat-pendapatnya dengan mengemukakan pendapat-pendapat yang baru lalu beliau tuliskan ke dalam kitab.

Ramai para ulama yang terkesan dengan ilmu, manhaj, dan keteguhan beliau dalam mengikuti sunnah. Mereka belajar dan berguru kepadanya setelah sebelumnya mereka fanatik terhadap satu mazhab iaitu sama ada mazhab Malik B. Anas atau mazhab Abu Hanifah. (Dr. Muhammad al-‘Aql, Manhaj al-Imam asy-Syafi’i fii Itsbaat al-‘Aqiidah, m/s. 39 – Maktabah Adhwa as-Salaf)

Wafatnya Imam asy-Syafi’i rahimahullah

Imam asy-Syafi’i begitu giat dan sibuk berdakwah sehingga akhir hayatnya. Beliau begitu gigih menyebarkan ilmu dan mengarang kitab di Mesir tersebut sehingga ianya memberi mudharat ke atas tubuh beliau. Akibatnya beliau terkena penyakit buwasir yang menyebabkan keluarnya darah. Tetapi disebabkan kecintaannya terhadap ilmu, beliau tetap meneruskan pekerjaannya tersebut tanpa mempedulikan sakitnya. Sehingga akhirnya beliau pun meningga dunia di akhir bulan Rejab tahun 204H. Semoga Allah memberi rahmat yang luas kepadanya. (al-Baihaqi, Manaaqib asy-Syafi’i, 2/291. Dr. Muhammad al-‘Aql, Manhaj al-Imam asy-Syafi’i fii Itsbaat al-‘Aqiidah, m/s. 39)

Para Guru dan Murid Imam asy-Syafi’i

Imam asy-Syafi’i rahimahullah mengambil banyak ilmu dari para ulama di pelbagai tempat dan wilayah. Ini disebutkan oleh ramai ulama tahqiq dan penyusun biografi seperti al-Baihaqi, Ibnu Katsir, al-Mizzi, dan al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani.

Kata al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah, “Imam asy-Syafi’i belajar banyak hadis daripada para syaikh dan para imam. Beliau membaca sendiri kitab al-Muwaththa’ dengan hafalan sehingga imam Malik rahimahullah kagum terhadap daya hafalan dan usaha gigihnya. Diriwayatkan daripada Imam Malik bahawa imam asy-Syafi’i rahimahullah mengambil ilmu ulama Hijjaz sebagaimana beliau mengambilnya daripada Syaikh Muslim B. Khalid az-Zanji rahimahullah.” (Ibnu Katsir, al-Bidayah wa an-Nihayah, 14/132-133 – Daar al-Hajr)

Imam al-Baihaqi menyebutkan di antara guru Imam asy-Syafi’i di Makkah adalah Imam Sufyan B. ‘Uyainah (Wafat: 198H), ‘Abdurrahman B. Abu Bakar B. ‘Abdullah B. Abu Mulaikah, Ismai’il B. ‘Abdullah B. Qisthinthin al-Muqri (Wafat: 170H), Muslim B. Khalid az-Zanji (Wafat: 179H), dan banyak lagi yang lain.

Kemudian ketika di Madinah adalah Imam Malik B. Anas, ‘Abdul ‘Aziz B. Muhammad ad-Darawadi, Ibrahim B. Sa’ad B. ‘Abdurrahman B. ‘Auf, dan selainnya. Dari wilayah-wilayah lainnya pula adalah seperti Hisyam B. Yusuf ash-Shan’ani (Wafat: 197H), Mutharrif B. Mazin ash-Shan’ani, Waki’ B. al-Jarrah (Wafat: 196H), dan Muhammad B. al-Hasan asy-Syaibani (Wafat: 189H), serta banyak lagi selainnya.

Imam al-Baihaqi rahimahullah turut menyebutkan anak-anak murid utama Imam asy-Syafi’i rahimahullah dalam kitab Manaqibnya. Secara umumnya, orang yang mengambil ilmu secara langsung daripada Imam asy-Syafi’i amatlah ramai dan tidak ada yang mampu menghitungnya kecuali Allah Subhanahu wa Ta’ala. Tetapi di antara yang terkenal lagi utama adalah seperti Imam ar-Rabi’ B. Sulaiman al-Muradi lahir pada 174H dan wafat pada tahun 270H. Beliau banyak meriwayatkan hasil tulisan Imam asy-Syafi’i.

Kedua, Abu Ibrahim Isma’il B. Yahya al-Muzani (Wafat: 264H). Imam al-Muzani dikatakan oleh Imam asy-Syafi’i sebagai, “pembela mazhabku.”

Seterusnya adalah Imam Abu Ya’qub Yusuf B. Yahya al-Buwaithi rahimahullah (Wafat: 231H). Beliau adalah al-Imam, al-‘Allamah, Sayyid al-fuqaha’ (imam para ahli fiqh), dan merupakan sahabat imam asy-Syafi’i yang saling berdampingan sehingga ia menjadi murid asy-Syafi’i yang paling menonjol.

Imam asy-Syafi’i menyebutkan tentang al-Buwaithi, “Tidak ada seorang pun dari para sahabatku yang lebih banyak ilmunya daripada al-Buwaithi.”

Al-Buwaithi banyak berhadapan dengan fitnah ahli kalam (muktazilah) ketika pemerintahan khalifah al-Watsiq. Beliau disiksa atas arahan khalifah dan akhirnya mati dalam penjara. Beliau adalah seorang yang sabar, imam dalam ilmu, menjadi contoh dalam amal, seorang yang zuhud, sentiasa berzikir, dan banyak tahajjudnya.

Imam ar-Rabi’ B. Sulaiman rahimahullah berkata, “al-Buwaithi rahimahullah bibirnya sentiasa bergerak mengingati Allah. Aku tidak pernah menemui orang yang lebih cepat memetik hujjah dari Kitabullah mengatasi al-Buwaithi.

Aku melihat beliau dinaikkan di atas seekor kuda dengan leher dan kakinya diikat serta diberi beban batu seberat 40 rithil (lebih kurang 17 kilogram).

Al-Buwaithi berkata, Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menciptakan makhluk dengan kata “kun” (jadilah!), maka makhluk itu pun jadi (wujud). Jika kata “kun” merupakan makhluk, seakan-akan suatu makhluk telah diciptakan oleh makhluk yang lain!?

Jika aku dimasukkan untuk menghadapnya (khalifah al-Watsiq), aku akan tetap berkata jujur padanya. Aku akan mati dalam belenggu ini sehingga datang suatu kaum yang mengetahui bahawasanya telah mati dalam keadaan terbelenggu segolongan manusia kerana persoalan ini.”

Al-Buwaithi rahimahullah meninggal dunia dalam keadaan terbelenggu di penjara ‘Iraq pada tahun 231H. (adz-Dzahabi, Siyar A’lam an-Nubala’, 12/358)

Demikianlah serba ringkas catatan-catatan berkaitan kehidupan, peribadi, pengembaraan, dan keilmuan imam asy-Syafi’i rahimahullah. Semoga kita dapat mengenali beliau dengan lebih dekat sekaligus mengambil manfaat yang luas daripada beliau. Tidak hanya sekadar mengenal dan mendengar nama, tetapi mengenal beliau dari sudut ilmu, agama, dan kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Wallahu a’lam.