------
ISLAM AGAMA RAHMAH DAN RUHAMA
------
Agama Islam yang telah disampaikan oleh Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam adalah agama yang paling sempurna, nikmat kepada yang beriman, rahmat kepada seluruh alam dan penyelamat bagi setiap hamba yang berakidah tauhid dari kesesatan sehingga terlepas dari kepedihan azab neraka. Allah Subhanahu wa-Ta’ala berfirman:
“Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam”. (Al-Anbiya 21: 107)
Setiap hamba yang beriman adalah insan yang telah mendapat rahmat dan pertolongan dari Allah:
“Pada hari itu seseorang karib tidak dapat memberi manfaat (pertolongan) kepada karibnya sedikitpun dan mereka tidak akan mendapat pertolongan. Kecuali orang yang diberi rahmat oleh Allah”. (ad-Dukhan 44: 41-42)
“Adapun orang-orang yang beriman kepada Allah dan berpegang teguh kepada (agama)Nya, nescaya Allah akan memasukkan mereka ke alam rahmat yang besar dariNya (syurga) dan limpahan kurniaNya. Dan menunjukki mereka kepada jalan yang lurus (untuk sampai) kepadaNya”. (an-Nisa 4:175)
Mukmin yang memahami pengertian “rahmah” melalui pemaham Salaf as-Soleh (golongan umat Islam ter-awal/yang paling awal menerima Islam), ia akan mengenali prinsip “ruhama” yang terambil dari kalimah “rahmah”. Sekiranya seseorang individu memahami dua kalimah ini (“rahmah” (Maksud “rahmah” ialah petunjuk (hidayah) atau kasih sayang) dan “ruhama**”) dengan sempurna sehingga terpacak di hatinya, pasti ia akan merasa bertanggungjawab untuk menjadi pendakwah agar dapat menyelamatkan manusia dari penyelewengan akidah, kesesatan bid’ah, kepercayaan khurafat, tahaiyyul dan talbis (perangkap) syaitan. Oleh itu, mereka akan merasakan peri wajibnya melengkapkan diri dengan ilmu kerana dengan keteguhan ilmu ia mampu berdakwah dengan baik.
**Maksud kalimah “ruhama” ialah: Kasih sayang berserta perasaan tanggung jawab. Menurut Imam at-Tabrani: Kelembutan jiwa terhadap yang lain, bermurah hati kepada saudaranya seagama dan sentiasa sejahtera kepada mereka.
Jiwa pendakwah yang disemai rasa rahmah dan ruhama, ia akan berdakwah dengan tenang ketika menghadapi kerenah setiap insan, sama ada yang awam (jahil), sederhana, cendekiawan (intelektual), kufur, nifak, musyrik dan sebagainya. Apabila hati dipenuhi rahmah dan rasa ruhama yang dipandu oleh ilmu syari’i, ia menjadikan seorang pendakwa itu berdaya menghadapi manusia yang berbaga-bagai kemampuan akal serta pemikiran mereka. Kerana mereka akan berpegang dengan wasiat Ali bin Abi Talib radhiallahu ‘anhu:
“Berucaplah kepada manusia mengikut kadar kemampuan akal fikiran mereka”. (H/R Muslim)
“Kami sentiasa diperintah agar bercakap (berkata) kepada manusia menurut kadar kemampuan akal (kecerdasan akal) mereka”. (H/R Muslim)
------
PARA PENDAKWAH TIDAK MAKSUM
------
Setiap insan yang berdakwah (da’i) tidak ada yang maksum, kecuali para nabi dan para rasul. Kesilapan da’i yang tidak disengajakan tidak akan mengwujudkan perasaan benci-membenci, jauh sekali dari bermusuhan jika ada sikap “ruhama” (berkasih sayang dan tanggungjawab) pada dirinya. Dan pasti ia akan menerapkan pula sikap tersebut kepada orang-orang yang disampaikan dakwah. Setiap da’i akan beriltizam dengan kudwah “ruhama” yang telah dicontohkan oleh Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan memahami ayat berikut dengan cermat:
“Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama denganya dia adalah keras terhadap orang-orang kafir tetapi berkasih sayang sesama mereka. Kamu lihat mereka ruku’ dan sujud mencari kurnia Allah dan keredhaanNya, tanda-tanda mereka nampak pada muka mereka dari bekas sujud”. (al-Fath 48: 29)
Orang beriman yang meniti manhaj para salaf (golongan awal), akan kelihatan padanya sikap “ruhama”. Adapun antara tanda-tanda orang yang bersikap “ruhama” telah dijelaskan oleh para muffasir, antaranya:
1 - Tanda-tanda mereka nampak pada muka mereka dari bekas sujud: Iaitu khusyu’ dan tawaddu’ (merendah diri).
2 - Berkata as-Sudi: (kesan) solat menceriakan wajah mereka.
3 - Berkata sebagian (ulama) salaf: (Kesan) dari banyak bersolat lail (kesan dari bersolat malam) memberi keceriaan pada wajah mereka diwaktu siang. Bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: “Kesan dari banyaknya solat malam, maka menceriakan wajahnya diwaktu siang”. (H/R Ibnu Majah, Lihat: Tafsir Ibn kathir. 4/261)
4 - Sesungguhnya, setiap kebaikan memberi cahaya kepada hati, sinar pada wajah, melapangkan rezeki serta perasaan mahabbah (kasih sayang, rahmah atau “Ruhama”) di hati manusia.
Dalam riwayat dari Imam Malik rahmatullahi ‘alaihi, bahawa melalui ayat ini beliau mengkafirkan kaum Rafidzah (yang tidak mempunyai sikap “ruhama” sehingga membenci para sahabat radhiallahu ‘anhum. Beliau berkata:
“(Kaum Rafidzah adalah kafir) kerana mereka membenci (tiada perasaan ruhama terhadap) para sahabat, sesiapa membenci para sahabat radhiallahu ‘anhum maka dia adalah kafir dengan berdalilkan ayat ini”. (Lihat: Tafsir al-‘Azeem, Tafsir Ibn Kathir, 4/261)
Para ulama mensepakati tentang hal ini, kerana terdapat banyak hadis-hadis yang menjelaskan kelebihan para sahabat radhiallahu ’anhum, ditegah dari mencela mereka, bagi mereka ada tanda-tanda kemuliaan yang banyak dan cukuplah pujian Allah dan keredhaanNya sebagai bukti. Sikap seorang mukmin sentaisa memberi kegembiraan dan kasih sayang (rahmah dan ruhama) bukan sebaliknya. Nabi bersabda:
“Berilah mereka khabar gembira dan janganlah kamu membuat mereka lari”.
Seorang mukmin yang berilmu dan memahami manhaj Salaf as-Soleh, akan mempertahankan sikap “ruhama” dalam menghadapi berbagai-bagai situasi, kondisi dan reaksi kelompok manusia atau individu. Hati mereka terubat dengan ketenangan jiwa hasil dari penawar “ruhama”. “Ruhama” tidak akan menjadikan seseorang itu tergopoh-gapah, melatah, gemuruh dan ketakutan dalam menghadapi apapun perkara. Kerana matlamat mereka berdakwah mentasfiyah akidah iaitu mengwujudkan sikap “ruhama” antara satu dengan yang lain. Allah Azza wa-Jalla telah menjelaskan akan peri pentingnya “ruhama” sebagaimana firmanNya:
“Tuhan mereka menggembirakan mereka dengan memberikan rahmat daripadaNya, keredhaan dan syurga, mereka memperolehi di dalamnya kesenangan yang kekal”. (at-Taubah 9: 21)
“Alif Lam Mim Sad. Kitab (Al-Quran) diturunkan kepada engkau (Ya Muhammad)! Maka janganlah sesak (gemuruh) dadamu kerananya, supaya engkau dapat memberi peringatan (kepada orang kafir) dengannya. Dan menjadi pelajaran bagi orang-orang yang beriman”. (al-A’raf, 7:1-2)
------
PENENTANGAN DAN HALANGAN
------
Terdapat juga da’i yang mudah berputus asa setelah ditimpa ujian semasa menjalankan kewajipan dakwah, lantas meninggalkannya kerana kurang daya tahan menghadapi tekanan perasaan, penghinaan, ugutan dan ketakutan. Ada pula yang cekal menghadapi setiap ujian tetapi kerana kekurangan persediaan ilmu-ilmu dakwah mengakibatkan ia mudah sesak nafas, gementar, kecewa, marah dan celupar sehingga mudah mentakfir, mentafsik, mentabdi’ dan menghukum dengan perasaan terhadap individu, jamaah atau golongan yang lain. Perkara ini telah digambarkan oleh al-Quran sebagaimana firman Allah Subhanahu wa-Ta’la:
“Maka boleh jadi kamu hendak meninggalkan sebahagian dari apa yang diwahyukan kepadamu dan sempit kerananya dadamu, kerana khuatir bahawa mereka akan mengatakan: Mengapa tidak diturunkan kepadanya perbendaharaan (kekayaan) atau datang bersama-sama dengan dia seorang malaikat. Sesungguhnya kamu hanyalah seorang pemberi peringatan dan Allah pemelihara segala sesuata”. (Hud. 11:12)
Setiap da’i pasti akan berhadapan dengan kawan, jiran, teman atau masyarakat yang berbagai-bagai cara penentangannya terhadap dakwah yang disampaikan. Akibatnya ada antara mereka menerima tekanan perasaan, gelisah dan ketakutan, maka untuk menghadapi keadaan tersebut setiap da’i sewajarnya berusaha menimba ilmu dari al-Quran dan Sunnah.
Penentangan terhadap da’i akan tetap berlaku sama ada dengan perkataan atau perbuatan. Kerana kebanyakan orang yang diseru adalah orang awam, masih diselubungi khurafat, tahaiyyulat, bid’ah, fasik, kufur, nifak, syirik dan sebagainya. Ini semua berlaku lantaran kecuaian dan kejahilan mereka terhadap agama. Pendakwah adalah pengubat yang diberi amanah untuk membantu mereka dengan kelembutan kasih sayang (rahmah) serta tanggung jawab dan cinta (ruhama). Allah berfirman:
“Mereka sekali-kali tidak mempunyai pengetahuan (jahil) tentang hal itu, begitu pula nenek moyang mereka. Alangkah buruknya (kejinya) kata-kata yang keluar dari mulut mereka, mereka tidak mengatakan sesuatu kecuali dusta. Maka (apakah) barangkali kamu akan membunuh dirimu kerana bersedih hati sesudah mereka berpaling dan sekiranya mereka tidak beriman kepada keterangan ini (al-Quran)?” (Al-Kahfi 18: 5-6)
------
KETENANGAN DAN KESABARAN
------
Setiap mukmin perlu ada sikap kesabaran yang tinggi di dalam jiwanya kerana secara fitrah seseorang yang menghidupkan sunnah akan menerima berbagai kata-kata, dari yang baik sehinggalah kepada kata-kata keji, sindiran, cemuhan, maki-hamun dan kalimah kesat. Allah telah mendidik pendakwah apabila menghadapi situasi ini dengan firmanNya:
“Maka bersabarlah kamu terhadap apa yang mereka katakan dan bertasbihlah sambil memuji Tuhanmu sebelum terbit matahari dan sebelum terbenam”. (Qaaf. 50:39)
Allah menyeru agar para hambaNya beriman, kemudian beramal dan seterusnya berdakwah dengan hikmah iaitu “Bersabar” dan “Berilmu”. Kerana pengertian hikmah selain bermaksud “Sabar” ia juga bermaksud “Ilmu”. Dan ia adalah anugerah dari Allah sebagaimana firmanNya:
“Allah menganugerahkan al-hikmah (kefahaman yang dalam tentang al-Quran dan as-Sunnah) kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan barangsiapa yang dianugerahi al-hikmah itu, ia benar-benar telah dianugerahi kurnia yang banyak”. (al-Baqarah 2: 269)
“Hikmah itu ialah ilmu yang sahih (yang benar) yang membangkitkan kemahuan untuk mengerjakan sesuatu yang berfaedah”.
Jika sabar sifat bagi orang yang berilmu, maka ia hanya diperolehi dari al-Quran kerana orang yang berilmu dan sabar sangat dikasihi oleh Allah. Para Salaf as-Soleh sentiasa menghiasi diri mereka dengan ilmu dan kesabaran, kerana pada keduanya ada rahmah dan sifat ruhama.
Setiap mukmin yang berusaha mendekati insan lain dengan sunnah maka ia akan sentiasa menghadapi berbagai-bagai ujian, cabaran, kesulitan malah ada kalanya menghadapi bahaya. Namun hanya mereka yang mengutamakan keikhlasan dan menghias diri dengan sifat sabar akan berjaya menunaikan tuntutan rahmah dan “ruhamau bainan nas/ رُحَمَآءُ بَيْنَ النَّاسِ” iaitu berkasih sayang antara manusia terutama antara sesama Islam. Inilah yang diperlukan oleh setiap pendakwah kerana ia adalah prinsip untuk mendapat kejayaan dan keredhaan dari Allah Azza wa-Jalla.
0 comments:
Catat Ulasan