Wahai Remaja, Jadikanlah Nikah Sebagai Satu Solusi
http://an-nawawi.blogspot.com
...Tatkala cinta itu berbunga, terasa indahnya memenuhi segenap ruang imaginasi. Jiwa dan hati meronta-ronta ingin kepada si dia. Ingin sekali mengenalinya, dan mendekatinya. Untuk menawan hatinya, agar perasaanya menjadi sama seperti apa yang dirasa oleh dirinya. Apabila cinta itu mengetuk pintu hati, siapakah yang mampu menghalang? Siapa pula yang akan membimbing?...
Dari maksud Kalamullah: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan di antara kamu (suami-isteri) perasaan kasih-sayang dan belas-kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Surah ar-Rum, 30: 21)
Di dalam ayat di atas menunjukkan betapa Allah telah menciptakan manusia itu dijadikan fitrahnya saling berpasang-pasangan di antara lelaki dengan wanita. Yang dengannya saling melengkapi, serta saling memiliki keinginan di antara satu dengan yang lainnya. Menunjukkan bahawa manusia diciptakan dengan fitrah untuk memilki dan dimiliki terhadap pasangan mereka masing-masing menurut pilihan dan citarasa. Mereka memiliki sikap dan sifat untuk disayangi dan menyayangi. Itulah fitrah setiap insan.
Ia adalah bentuk fitrah yang tidak boleh dihalang dan merupakah sebuah sunnahtullah yang telah menjadi ketetapan, malah keperluan bagi kehidupan manusia yang sempurna dan harmoni.
Maksud firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: “Dijadikan indah pada (pandangan) manusia itu fitrah kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita dan anak-anak.” (Surah Ali Imran, 3:14)
Apabila sampai waktunya, fitrah dan naluri itu akan datang mendesak dengan perasaan berbunga yang kuat, untuk mendekati dan mencari-cari pasangan masing-masing. Mereka akan saling mencari dan memerlukan. Alhamdulillah, ramai yang berjaya mengharungi persoalan perasaan dan naluri ini dengan baik. Mereka berjaya menempuh dan melepasi gerbang pernikahan yang sah dan menuju kehidupan yang fitrah.
Namun, dalam persoalan ini jugalah, sering-kali berlaku ke atas sebahagian mereka merangkul banyak kesilapan, malah keterlanjuran. Ini sering sekali berlaku kepada insan bergelar remaja. Apabila fitrah dan naluri cinta mereka terhadap golongan berbeza jantina tidak ditangani dan disalurkan kepada jalan yang sewajarnya. Apatah lagi bila ianya terus ditekan dan dikongkong. Ia mampu meletus. Ditambah pula dengan dorongan nafsu dan pengaruh persekitaran, ia menjadi sukar dikawal bagi sebahagian daripada mereka.
Dalam keadaan rapuhnya kawalan, pelbagai natijah dan fenomena yang buruk mampu berlaku. Sepertimana yang kita perhatikan di masa ini, di dada-dada akhbar dan di media-media massa. Yang terlalu banyak melaporkan perihal seks bebas, persetubuhan haram (zina), hamil tanpa nikah, dan sehingga kepada tahap pembuangan dan pembunuhan bayi di tempat-tempat tertentu dan mungkin juga membawa kepada aktiviti pengguguran anak luar nikah. Malah juga sehingga kepada perbuatan nekad bunuh diri.
Maka, dalam keadaan yang meruncing seperti ini, apakah kita masih perlu menutup mata dan menafikan fitrah remaja masa kini yang kebanyakan dari mereka mecapai kematangan awal? Sedangkan mereka memiliki kemampuan dari banyak aspek. Adakah ibu bapa, perlu lagi menafikan ruang yang dimiliki anak-anak mereka untuk memenuhi naluri dan fitrah mereka secara halal? Kebanyakan ibu-bapa zaman ini bukanlah dari golongan orang-orang yang susah, malah sebahagian besar mereka adalah dari golongan yang berada dan mampu mengeluarkan belanja anak-anak lebih dari kebiasaan. Dan bukankah mereka juga adalah generasi baru yang begitu terbuka wawasannya.
Jadi, setiap permasalahan perasaan cinta remaja ini sudah tentu memiliki solusinya. Sebuah solusi yang telah dikenali dan dijamin oleh wahyu.
Inilah masanya untuk kita kembali melihat dan memikirkan hakikat hubungan dua insan berlainan jantina ini dari kacamata positif lagi halal yang dipandukan oleh agama yang kita yakini. Dan bukan didasari emosi, material, dan kedudukan, serta masa semata-mata. Sudah tentu perkara ini sangat murni bagi kita yang memiliki wawasan fitrah yang jernih.
Maksud firman Allah: “Dan kahwinkanlah orang-orang yang sedirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (Surah an-Nuur, 24: 32)
Pesanan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam: “Sekiranya seseorang hamba itu menikah, maka sesungguhnya ia telah menyempurnakan sebahagian daripada agamanya, oleh kerana itu hendaklah ia bertaqwa kepada Allah untuk selebihnya.” (Rujuk: al-Albani, as-Sahihah, no. 625. Beliau menghasankannya)
Dalil ini menunjukkan bahawa Allah dan Rasul-Nya telah membukakan kepada kita semua supaya mengambil jalan yang halal dalam memenuhi fitrah hubungan lelaki dan wanita. Yang dengannya juga menutup jalan-jalan terlarang dan keji...
“Ada empat perkara yang termasuk sunnah para Rasul, iaitu; perasaan malu, memakai wangi-wangian, bersiwak, dan menikah.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Kitab an-Nikah, no. 1086. Beliau menyatakannya hasan sahih)
Dengan itu, fahamilah bahawa menjalinkan hubungan melalui ikatan nikah itu adalah suatu perbuatan yang dianjurkan oleh Nabi kita Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri dan merupakan sunnah yang wajar kita ambil serta contohi.
Zaman ini bukanlah masanya untuk kita bermalu-maluan dalam persoalan nikah di usia muda atau remaja. Malah, tiada salahnya dari sudut syara’ sekalipun untuk mengambil keputusan berkahwin awal walau masih berada di institusi-institusi pengajian tertentu.
Relaitinya... menikah adalah jalan yang paling baik dan dicadangkan sendiri oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melalui pelbagai hadis-hadisnya. Solusi ini wajar diambil dan dimanfaatkan oleh golongan ramaja masa kini. Malah oleh golongan ibu-ibu dan bapa-bapa supaya tidak terlalu mengongkong yang sekaligus menutup perkara yang halal daripada anak-anak mereka. Yang akhirnya, memungkinkan kepada akibat yang terlarang dan noda.
Dalam persoalan seperti ini, marilah kita mengambil dan melihat secara positif di mana inilah salah-satu jalan yang baik untuk mengatasi hubungan terlarang seperti aktiviti berpasang-pasangan (copule) di antara insan berlainan jantina. Alangkah baiknya jika mereka yang berpacaran ini adalah terdiri daripada mereka yang bergelar suami dan isteri. Bukankah itu lebih manis, daripada mereka yang berpacaran, namun hakikatnya mereka sedang melakukan perbuatan terlarang dan dibenci oleh Allah Subahanhu wa Ta’ala yang sekaligus mampu mendorong mereka kepada kancah perzinaan akibat tidak diikat dengan pertalian yang sah. Kita semua wajar melihat semua ini dari sudut dan pandangan yang lebih luas. Berpasang-pasanganlah secara halal dengan ikatan nikah anjuran wahyu!
Daripada ‘Abdullah B. Mas’ud radhiyallahu ‘anhu, beliau menyatakan, “Kami bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sebagai pemuda yang tidak memiliki sesuatu, lalu Baginda bersabda kepada kami:
“Wahai para pemuda, sesiapa di antara kamu yang mampu menikah, maka menikahlah. Kerana dengan menikah itu, ia akan dapat menahan pandangan dan lebih memelihara kemaluan. Dan sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah ia berpuasa. Kerana dengan berpuasa itu akan dapat menahan syahwatnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5066)
Daripada sebuah hadis disebutkan: “Tiga orang yang pasti Allah beri pertolongan adalah: Seorang hamba yang ingin membebaskan (memerdekakan) dirinya, lelaki yang menikah kerana ingin menjaga kesucian dirinya, dan pejuang di jalan Allah.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, no. 1655)
Berdasarkan dua hadis ini disebutkan pula bahawa dengan menikah ianya mampu menjadi perisai dari pelbagai keburukan untuk individu tersebut. Yang mana, dengan nikah ianya dapat menjaga dan memelihara kita daripada perkara yang tidak baik dan dibenci. Kesucian diri dapat dijaga dengan baik, pandangan akan dapat ditundukkan, dan naluri syahwat dapat disalurkan kepada jalan yang betul.
Malah, melalui ikatan nikah yang sah ini, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah menjelaskan kepada kita bahawa ia sebenarnya turut membawa kepada ibadah yang dengannya membuahkan pahala. Bukan sebaliknya yang menatijahkan dosa. Ini jelas membezakannya dari hubungan yang terbina tanpa sebarang ikatan nikah.
Apa yang disebutkan ini adalah berdasarkan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang direkodkan oleh imam Muslim daripada Abu Dzarr, bahawa sejumlah Sahabat berkata kepada Nabi: “Wahai Rasulullah, orang-orang kaya telah mendapatkan banyak pahala. Mereka melaksanakan solat sebagaimana kami solat, mereka berpuasa sebagaimana kami puasa, dan mereka dapat bersedekah dengan kelebihan harta mereka (yang mereka miliki).”
Beliau bersabda: “Bukankah Allah telah menjadikan untuk kamu apa yang dapat kamu sedekahkan? Setiap tasbih adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, menyuruh kepada yang ma’ruf adalah sedekah, mencegah dari yang mungkar adalah sedekah, dan persetubuhan salah seorang daripada kamu (dengan isterinya) adalah sedekah.”
Mereka bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah salah seorang daripada kami yang melampiaskan syahwatnya akan mendapatkan pahala?”
Beliau bersabda: “Bagaimana pendapat kamu sekiranya dia melampiaskan syahwatnya kepada perkara yang haram, adakah dia mendapatkan dosa? Maka demikianlah juga jika ia melampiaskan syahwatnya kepada perkara yang halal, maka dia mendapat pahala.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1006)
Perlu kita ketahui juga bahawa agama kita ini bukalah agama yang didasari kepada fahaman rahib atau pendita mahupun sami. Agama kita bukanlah agama yang menghalang fitrah manusia untuk memenuhi naluri fitrah insan. Agama kita bukanlah agama yang melarang untuk menjalinkan hubungan di antara lelaki dengan wanita. Malah ia adalah suatu yang dianjurkan, digalakkan, dan dituntut! Namun, perlulah dengan salurannya yang benar. Agama kita tidak seperti agama kristian yang mana paderi-paderi mereka diharamkan dari melangsungkan pernikahan. Bahkan Nabi melarang sesiapa sahaja daripada umatnya yang berhasrat untuk tidak mahu berkahwin:
Sebagaimana yang direkodkan oleh Imam al-Bukhari: “Ada tiga orang yang datang ke rumah isteri-isteri Nabi untuk bertanya tentang ibadah Nabi. Ketika mereka diberi khabar, mereka seakan-akan merasakan tidak bererti. Mereka mengatakan: “Apa ertinya kita dibandingkan Nabi, padahal Allah telah mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan terkemudian?” Lalu salah seorang daripada mereka berkata: “Aku akan sentiasa bersolat malam selamanya.” Orang kedua mengatakan: “Aku akan berpuasa sepanjang masa dan tidak akan pernah berbuka.” Orang ketiga pula mengatakan: “Aku akan menjauhi wanita dan tidak akan menikah selamanya.”
Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam datang, lalu bertanya:
“Adakah khabar yang menyatakan demikian dan demikian? Demi Allah, sesunguhnya aku lebih takut kepada Allah dan lebih bertakwa daripada kamu semua, tetapi aku berpuasa dan berbuka, bersolat dan tidur, serta menikahi wanita. Sesiapa yang membenci Sunnah-ku, maka ia bukan termasuk golonganku.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 5063)
Demikianlah beberapa anjuran, galakkan, dan keutamaan untuk menjalinkan ikatan pernikahan yang dapat disebutkan secara ringkas. Yang dengannya menunjukkan sebuah solusi yang bertunjangkan sumber-sumber agama anjuran Allah dan Rasul-Nya. Dengan ini jelaslah bahawa agama kita bukanlah suatu agama yang melarang hubungan cinta lelaki dengan wanita, malah bukan juga agama yang merestuinya jika mahu dilakukan secara bebas.
Kepada ibu-ibu dan bapa-bapa moden zaman ini... Kita sewajarnya berfikiran dengan lebih terbuka demi masa depan anak-anak. Telitilah sunnah-sunnah anjuran Nabi junjungan mulia kita dalam persoalan ini. Apakah tindakan kita menghalang anak-anak tesebut dari menuju ikatan pernikahan sebagai suatu yang benar dan wajar? Ataukah mungkin sebaliknya yang menjauhkan sunnah daripada mereka?
Akhir kata, persoalan-persoalan seperti perlu tamatkan pelajaran terlebih dahulu baru fikir soal kahwin, belum cukup umur untuk kahwin, dia tidak setaraf, perlu dapatkan kerja dan kumpulkan duit dahulu, atau perlu memiliki rumah dulu. Semua itu wajar dipertimbangkan semula dan sebahagiannya sangat jelas tidak lagi relevan kepada remaja zaman ini. Apatah lagi dari sudut pandang as-Sunnah.
Disebutkan dalam sebuah hadis: “Apabila orang yang kamu redha agama dan akhlaknya datang meminang, hendaklah kamu kahwinkannya. Sekiranya kamu tidak melakukannya nescaya akan timbul fitnah dan kerosakan di atas muka bumi.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi, no. 1080)
Untuk menjamin keharmonian hidup dalam perkahwinan, pilihlah yang baik agamanya. Ini tsabit daripada hadis yang direkodkan oleh Imam al-Bukhari: “... Maka, pilihlah yang baik agamanya niscaya engkau beruntung.”
Orang yang baik agamanya sudah tentu akan mengajak perhubungan cinta di antara lelaki dan wanita dengan cara yang syar’i, iaitu melalui ikatan pernikahan. Bukannya melalui pacaran yang tidak tentu hala tujunya.
Wallahu a’lam...
4 comments:
Salaam alaikum w.b.t.. amat bagus sekali coretan nasihat ini, alhamdulillah. Ambe rasa ini juga jalan terbaik dari membiarkan bercouple tanpa batasa dan mengumpul dosa.
Apa salahnya menikah awal, tukar persepsi masyarakat skrg yang menunggu ada duit banyak, kereta, rumah baru nak kahwin. Adakah kita nak kahwin kerana harta? Itu lah pemikiran yang ditanam oleh British ke atas masyarakat islam yang kita tidak sedar.
Kita lihat cinta Saidina Ali r.a dan Sadatina Fatimah r.anha. Mereka berkahwin dengan tiada harta apa pun. Mereka hanya makan kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang (ibaratnya). Tetapi mereka boleh hidup bahagia bersama dengan jalan yang dihalalkan oleh Allah, yang diberkati oleh Allah. Bahagia jugak!
Tetapi adakah semua orang yang berharta sekarang bahagia perkahwinan mereka? Wahai ibu bapa, sedarlah, perkahwinan anak2 mu akan bahagia bukan terletak pada harta semata2. Hubungan suci antara dua hati yang diredhai oleh Allah insyaAllah akan bahagia walaupun hidup dalam kemiskinan. Bahagia terletak di hati, bukan di mata manusia :)
Wallahu a'lam
menarik!!
alangkah bagus jika ada parents yg baca, hayati dan cuba berfikir sejenak atas apa yg berlaku..
semoga..
barakallah...
Assalamualaikum,
artikel yang sangat menarik dan lengkap. Artikel sebaik ini seharusnya dihebahkan supaya lebih ramai orang boleh membaca, sedar dan ambil pengajarannya.
Minta izin untuk mencopy ya...
jazakallah,teruskan usaha...
Dlm mengeluarkan hadits dri mne2 kitab..adlh swajarnya kita mggunakan kitab ulama'2 yg mutaqaddim..sprti bukhari,muslim,nasa'i,abu daud,tirmizi dll..adpon ulama' yg mutaakhir bleh juga dterima pkai..tpi tdak sdap klau kita mnggunakan syeikh yg bgitu dkat wafatnya dgn diri kita..sbb zaman kita adlh zaman yg dahsyt kburukan n kurangnya kewarakannya..so ambillah dri kitab pd zaman yg kurang kburuknnya n bnyak amalnya,itu lgi brganda bgusnya..
Catat Ulasan