http://an-nawawi.blogspot.com
Manusia secara fitrahnya memang tidak boleh dipisahkan dari memiliki sifat cinta, rindu, benci, marah, suka, dan seumpamanya. Dengan sifat-sifat ini jugalah yang menjadikan kita ini bernama manusia. Malah ditambah lagi dengan keistimewaan kemampuan berfikir. Tidak cukup dengan itu, diberi pula panduan dalam mengharungi setiap perjalanan kehidupan. Cukup istimewa kita ni...
Berbalik kepada tajuk, aku tidaklah mahu menulis dengan panjang untuk kali ini, tetapi sekadar mahu meluahkan apa yang aku terfikir dan terlintas di benak hatiku. Iaitu di mana begitu ramainya manusia tenggelam dalam rindu, sesat dalam cinta tidak ketahuan.
Janganlah kita menjadi seumpama kaum Nashara (kristian) yang disesatkan oleh Allah lantaran mengakui cintanya kepada Allah namun mengakui bahawa Tuhan itu “Three in One” malah mengakui bahawa Tuhan itu memiliki anak. Subahanallah, Maha Suci Allah dari semua itu dan Allah sendiri menyatakan bahawa Allah itu Maha Esa dan tidak mempunyai anak atau pun diperanakkan.
Jangan pula kita menjadi seperti golongan yahudi yang dimurkai oleh Allah akibat cintanya yang berbolak balik kepada Allah. Dimurkai Allah juga kerana banyak berdalih.
Malah Yahudi dan Nashara masing-masing mengakui bahawa Yahudi itu tidak benar cintanya kerana tiada berprinsip, begitu pula sebaliknya iaitu Yahudi juga mendakwa bahawa Nashara itu tiada mempunyai pegangan. Padahal, Allah sudah memberikan kepada mereka kitab yang bertujuan menjadi petunjuk buat mereka. Tetapi mereka berdua sama sahaja, tanpa rasa gementar mengubah pelbagai isi kitab-kitab mereka.
Malah, kita mengakui mencintai Rasul bernama Muhammad, namun sungguh tidak kena dan pelik apabila kita menzahirkan cinta kita hanya setahun sekali dengan berpesta perarakan Maulidan dan bernyanyi lagu berzanji yang mengandungi kalimah-kalimah yang membahayakan aqidah yang murni. Malah tidak sekalipun para ilmuan hadis itu menyampaikan kepada kita akan adanya suatu riwayat yang menjelaskan bahawa Nabi kita mengajarkan perayaan dan pesta yang sepertinya itu. Tidak terfikirkah kita, bahawa apakah benar ia merupakan sunnahnya para manusia pendahalu kita dari kalangan pendamping terdekat Nabi s.a.w. sendiri dari kalangan para sahabat-sahabatnya. Tidakkah kita menyelami dan memperhatikan bagaimanakah halnya mereka mempersembahkan rasa cinta dan rindu kepada Nabinya?
Sedangkan pengaku cinta Allah, seharusnya memperhatikan seruan ini:
“Katakanlah (Muhammad): "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Ali Imran 3: 31)
Begitulah juga kepada perihal dan persoalan setiap yang lainnya dari segala persoalan di muka bumi ini. Banyak lagi kisah-kisah sesat dalam cinta dan rindu.
Seumpamanya sang pemuda yang mengakui cinta kepada seorang gadis perawan, lalu diluahkan dengan mengajaknya ke taman-taman bunga berpeleseran dan ajak beraksi dalam adegan cumbu. Tidak kurang juga yang terus sesat ke dalam bilik-bilik hotel dan rumah-rumah sewa kosong melainkan mereka berdua dengan ditemani makhluk ghaib yang juga telah mengakui sesatnya. Apakah begini munasabahnya citra seorang pemuda yang baik dan penuh tanggungjawab?
Sedangkan telah termaktub dalam kalam Tuhannya bahawa kalau benar manusia itu jatuh cinta dan rasa kepada pasangannya dan rasa ingin kan memiliki pasangan dengan jalan yang benar, maka disuruhnya menikah dengan jalan yang sah.
Baru semalam pula aku mendapat cerita dan khabar dari seorang pembaca blog-ku bahawa ada sekumpulan manusia yang mangakui cinta Allah dan Rasul, melakukan aktiviti ritual dengan berzikir berjemaah yang menggunakan theory Quantum fizik. Aku pun jenuh hendak mengerti persoalan ini. Pembaca blog-ku itu menceritakan sekadar mampu melalui perbualan yang tidak kurang lamanya melalui telefon. Beliau memberitahu bahawa gabungan paduan alunan zikir yang dilaungkan secara berjemaah mampu menghasilkan suatu bentuk gelombang bunyi sekaligus membentuk frekuensi magnetik yang mempu menghasilkan paduan cahaya lutsinar yang menghala ke langit lalu sampai kepada para malaikat dan seterusnya diterima oleh Allah. Sungguh lawak aku memikirkannya, tidak ku sangka ada manusia yang cuba membuktikan sehingga ke tahap seperti itu. Sedangkan dalam kalam Allah hanya menyatakan bahawa jika sesuatu itu diperintahkan oleh Allah dan Rasul, maka “samigna wa ‘atho’na” iaitu kami dengar dan kami taat. Ini kerana akal manusia tidak sampai mampu mendahului ketentuan dan ketetapan yang Allah berikan. Malah theory karut ini sendiri sebenarnya tidak masuk akal sama sekali lantaran menyanggahi adab dan akhlak dalam berzikir malah seolah-olah Allah itu tidak mengetahui bahawa hambanya sedang buat apa. Sungguh buat aku berkerut sinis, mungkinkah Allah dan malaikat itu suatu ketikanya nanti boleh dihubungi dengan hanya menggunakan teknologi telefon selular dan frekuensi radio yang tertentu. Subhanallah (Maha Suci Allah), benarlah sungguh jahilnya manusia yang meninggalkan kalam Allah dan Sunnah Rasul-Nya yang sahih. Yang sanggup mencipta-cipta dan meng-ada-adakan corak peribadatan yang baru berdasarkan akal dan menolak kebijaksanaan (ketentuan) Allah 'Azza wa Jalla...
Sebagaimana diberitahukan bahawa fakta-fakta al-Qur’an itu mendahului zaman. Adapun ia diturunkan lebih 1400 tahun yang lampau, namun masih banyak persoalan yang tidak mampu dirungkai oleh manusia melainkan mengikutinya dengan iman. Salah satunya kerana segala fakta-faktanya tidak pernah walau sekalipun dibuktikan salah oleh seorang manusia jua. Malah kurun demi kurun hanya menampakkan betapa agung-nya ia. Suatu yang tidak pernah difikirkan tiba-tiba muncul di kurun yang berikutnya, manakala al-Qur’an telah awal-awal menyatakannya dari zaman sebelumnya, dangkalnya tidak kurang juga telah ramai yang kecundang lantaran kerana tidak mengimaninya. Apa gunanya untuk lagi meletakkkan rasa kasihan dan takziah kepada yang kecundang, kerana bukan tidak ia diperingatkan? Kepada Allah jualah mereka dikembalikan...
Maka, marilah kita sentiasa memanjatkan doa, supaya diletakkan di atas jalan-Nya yang benar seperti jalannya golongan salafus soleh pendahulu kita yang dijanjikan syurga kekal abadi.
"Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; kerana sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (kurnia)." (Ali Imran 3: 8)
Janganlah kita alpa lantas membiarkan diri kita dihanyutkan nafsu dan akal fikiran sendiri yang disangkanya maha cerdik. Padahal, hakikatnya kita sendiri harus tahu Dia itulah yang Maha bijaksana, yang mengatur Segala Urusan kita. Yang mana telah dipertunjukkan bermacam tanda dan “sign” dari segenap ufuk timur dan barat, malahan pada tubuh diri kita sendiri.
“Aku wasiatkan kepada kalian agar selalu mendengar dan taat meskipun yang memimpin kalian adalah seorang budak hitam (Habsyi). Kerana sesungguhnya, siapa yang masih hidup (sepeninggalanku) nescaya akan melihat perselisihan yang banyak. Oleh kerana itu, hendaklah kalian berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah Khulafa’ur Rasyidin yang mendapat petunju. Gigitlah sunnah itu dengan gigi geraham. Jauhilah oleh kalian terhadap perkara yang baru, kerana setiap perkara yang diada-adakan (dalam agama) itu adalah sesat.” (Pesanan Rasulullah s.a.w., dari ‘Irbadh bin Sariyah; direkodkan dalam Sahih Sunan Abu Daud, no. 3851)
Jangan lah kita jadi seumpama kisah si majnun (si gila) yang mengaku mencintai laila, dan laila juga mencintainya, namun hakikatnya, Laila sedikit pun tidak pernah mengenali majnun.
Wallahu a’lam...
Sumber:
http://an-nawawi.blogspot.com/2008/03/sesat-dalam-cinta-dan-rindu_27.html
0 comments:
Catat Ulasan