“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Rabu, November 05, 2008

Menuju Kesempurnaan Dalam Beribadah

Menuju Kesempurnaan Dalam Beribadah


Ramai dari kalangan kita atau masyarakat Islam hari ini yang berlumba-lumba untuk beramal ibadah dengan sebanyak yang mungkin. Ia tidak lain adalah sebagai suatu tujuan memperhambakan dirinya kepada Allah, Tuhan yang Maha Esa yang kepada-Nya sahaja kita beribadah. Supaya dengan amal-amal tersebut berupaya meraih keredhaan dan rahmat dari-Nya. Secara umumnya, ia adalah suatu sikap yang sangat positif dan perlu dipandang tinggi. Di saat sebahagian kelompok manusia yang mengabaikan amal-amal ibadah sama ada yang wajib, fardhu, atau sunnah, sikap sebahagian umat Islam lainnya yang berlumba-lumba dalam beramal kebaikan adalah wajar diikuti dan dicontohi.

Namun, dalam keghairahan kita beramal dan beribadah, adakalanya kita mungkin terlupa beberapa aspek utama yang menjadi tunjang diterimanya sesuatu amalan tersebut. Terlebih dahulu, yang dimaksudkan dengan ibadah itu sendiri adalah segala sesuatu yang apabila kita melaksanakannya atau meninggalkannya ia dicintai dan diredhai oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan berpandukan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya. Setelah itu, amat perlu untuk kita memahami setiap tunjang utamanya yang menjadi asas sama ada diterima atau sebaliknya sesuatu amalan itu iaitu perlunya dengan ilmu, dimulakan bersama aqidah yang benar, mengikuti panduan wahyu, dan disertakan niat yang benar-benar ikhlas kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala semata-mata.

Agama Yang Diterima Di Sisi Allah Hanyalah Islam

Aspek yang paling utama sebelum mula melaksanakan sebarang amal ibadah kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, terlebih dahulu dia mestilah Islam (Muslim). Ini adalah kerana tiada agama lain yang diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala melainkan Islam sahaja iaitu sebagaimana firman-Nya,


إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الإسْلامُ

“Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam.” (Surah Ali Imran, 3: 19)

وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الإسْلامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Dan firman-Nya lagi, “Sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidak akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 85)

Kerana itu jugalah Allah Subhanahu wa Ta’ala mengutuskan hamba dan Rasul-Nya, Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang menjadi rahmat sekalian alam supaya mengajak Ahlul Kitab sama ada dari orang-orang Yahudi atau pun Nasrani (Kristian) serta golongan yang ummi dari kalangan orang-orang musyrik kepada jalan agama Allah iaitu Islam yang mengandungi petunjuk dan syari’at-Nya.

Sentiasa Berpegang Dengan Aqidah Yang Benar

Setelah berada di atas jalan Islam, prinsip yang paling utama dan perlu dijaga adalah supaya kita sentiasa berpegang teguh dengan prinsip aqidah yang benar dan sekaligus menjauhi segala bentuk kesyirikan.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,


الَّذِينَ آمَنُوا وَلَمْ يَلْبِسُوا إِيمَانَهُمْ بِظُلْمٍ أُولَئِكَ لَهُمُ الأمْنُ وَهُمْ مُهْتَدُونَ

“Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur-adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah yang mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang beroleh petunjuk.” (Surah al-An’am, 6: 82)


وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia mendidik anaknya: “Wahai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah (melakukan kesyirikan), sesungguhnya perbuatan syirik adalah benar-benar kezaliman yang besar.” (Surah Luqman, 31: 13)

Perbuatan syirik adalah suatu perbuatan yang menggugat kemurnian aqidah dan boleh mengakibatkan seseorang itu terkeluar dari landasan Islam yang sebenar. Akibat dari perbuatan syirik, amal-amal akan menjadi lenyap terhapus dan tidak lagi bermakna. Ini adalah sebagaimana firman-Nya,


وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (Wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: “Demi sesungguhnya, sekiranya engkau (dan pengikut-pengikutmu) mensyirikkan Allah, sudah tentu segala amalanmu akan terhapus, dan engkau akan tetap menjadi orang-orang yang rugi.” (Surah az-Zumar, 39: 65)


ذَلِكَ هُدَى اللَّهِ يَهْدِي بِهِ مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ وَلَوْ أَشْرَكُوا لَحَبِطَ عَنْهُمْ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Dan sekiranya mereka melakukan kesyirikan nescaya gugurlah dari mereka apa yang mereka telah lakukan (dari amal-amal yang baik). (Surah al-An’am, 6: 88)

Dari itu, perlulah untuk kita agar sentiasa menitik-beratkan tentang peri pentingnya aqidah yang benar. Kerana dengan aqidah yang benar ia akan menjauhkan kita dari lembah kesyirikan. Sekaligus, dengan murninya aqidah dan jauhnya kita dari lembah kesyirikan, maka Allah menjamin untuk menerima amal-amal yang kita usahakan dan memberikan ganjaran pahala yang besar.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:


مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Sesiapa yang beramal soleh, sama ada lelaki atau wanita, dan ia sentiasa di dalam keadaan yang beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan ia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang telah mereka usahakan. (Surah an-Nahl, 16: 97)


وَمَنْ يَعْمَلْ مِنَ الصَّالِحَاتِ مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ وَلا يُظْلَمُونَ نَقِيرًا

Dan sesiapa yang melaksanakan amal-amal yang soleh, daripada lelaki atau wanita, dan ia sentiasa berada di dalam keadaan yang beriman, maka mereka itu akan dimasukkan ke Syurga, dan mereka tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikit pun. (Surah an-Nisa’, 4: 124)

Maka dengan itu, sewajarnyalah kita untuk sentiasa berusaha bersungguh-sungguh agar dijauhkan dari perbuatan-perbuatan yang menyimpang dari aqidah yang benar sekaligus menjauhi syirik. Semua itu adalah agar supaya setiap amal ibadah yang kita laksanakan tidak menjadi sia-sia dan sentiasa membuahkan ganjaran yang selayaknya di bawah keredhaan Allah Tuhan yang Maha Pemurah dan Penyayang.

Keutamaan Ilmu

Aqidah yang benar berbanding dengan perbuatan yang membawa kepada kesyirikan hanya dapat dikenal pasti melalui ilmu yang benar. Tidak dapat tidak, untuk membina dasar-dasar aqidah yang murni di dalam diri-diri kita adalah perlu dengan ilmu. Begitu juga untuk mengenali batas-batas perbuatan yang boleh menjerumuskan kita kepada kesyirikan daripada kebenaran juga perlu dengan ilmu.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,


قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لا يَعْلَمُونَ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الألْبَابِ

Katakanlah: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” (Surah az-Zumar, 39: 9)


فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لا تَعْلَمُونَ

Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui. (Surah an-Nahl, 16: 43)

Begitu jugalah sehingga kepada persoalan amal ibadah itu sendiri. Untuk melaksanakannya perlu dengan ilmu dan pengetahuan yang jelas. Tidaklah amal ibadah itu dilakukan dengan mengikut hawa nafsu semata-mata tanpa melihat dan mengetahui bagaimanakah yang sebenarnya ditunjukkan oleh baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Kerana setiap apa yang kita lakukan, ia kelak akan dipertanggungjawabkan. Malah, Allah menegah kita daripada melakukan sesuatu tanpa ilmu yang jelas. Maka, sebelum kita dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna perlulah kita memulakannya dengan menuntut ilmu. Kerana Allah berfiman,


وَلا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولا

Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak memiliki pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati, semuanya itu akan diminta bertanggungjawab. (Surah al-Isra’, 17: 36)

Beramal Dengan Petunjuk al-Qur’an dan as-Sunnah

Merupakan suatu perkara yang amat penting, adalah melakukan amal ibadah itu dengan berpandukan al-Qur’an dan as-Sunnah. Dan tidaklah diterima sesuatu amalan itu jika tidak terdapat contohnya (atau saranannya) daripada al-Qur’an dan as-Sunnah. Maka, jika sesuatu amalan yang dilakukan oleh manusia itu tidak terdapat saranannya daripada dua sumber tersebut, maka ianya bukanlah dari Islam walaupun ia diniatkan kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Dalam persoalan ini Allah menjelaskan melalui firman-Nya,


فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُمْ مِنِّي هُدًى فَمَنِ اتَّبَعَ هُدَايَ فَلا يَضِلُّ وَلا يَشْقَى

Jika datang kepada kamu petunjuk daripada-Ku, maka sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku itu nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita (dengan azab sengsara). (Surah Thoha, 20: 123)

Daripada ayat ini Allah menjelaskan kepada kita bahawa sesiapa yang mengikuti petunjuk daripada Allah, maka dia tidak akan sesat dan begitulah sebaliknya di mana sekiranya manusia itu mengikuti petunjuk selain dari apa yang diberikan oleh Allah Subahahu wa Ta’ala melalui Kitab-Nya dan Rasul-Nya, maka dia diancam dengan kesesatan dan azab sengsara. Di dalam ayat yang lain Allah juga menjelaskan bahawa jika benar kita mencintai Allah, maka hendaklah kita mengikuti apa jua yang ditunjukkan dan diajarkan oleh Nabi-Nya Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.


لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Demi sesungguhnya, pada diri Rasulullah itu telah ada contoh ikutan yang baik bagi kamu, iaitu bagi mereka yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) di hari akhirat serta mengingati Allah sebanyak-banyaknya. (Surah al-Ahzaab, 33: 21)


قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Katakanlah (wahai Muhammad kepada mereka): “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu”. (Surah Ali Imran, 3: 31)

Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah menjelaskan di dalam tafsirnya:


هذه الآية الكريمة حاكمة على كل من ادعى محبة الله، وليس هو على الطريقة المحمدية فإنه كاذب في دعواه في نفس الأمر، حتى يتبع الشرع المحمدي والدين النبوي في جميع أقواله وأحواله، كما ثبت في الصحيح عن رسول الله صلى الله عليه وسلم أنه قال: مَنْ عَمِلَ عَمَلا لَيْسَ عليه أمْرُنَا فَهُوَ رَدُّ

Terjemahan: Ayat yang mulia ini menghukumi setiap mereka yang mengaku mencintai Allah tetapi mereka tidak mengikuti petunjuk Muhammad Shallallahu ‘alahi wa Sallam. Maka jelaslah bahawa pengakuannya itu hanyalah merupakan suatu pendustaan sehinggalah mereka mengikuti syari’at Muhammad dan agama nabawi di dalam setiap ucapan dan perbuatannya. Ini adalah sebagaimana tsabit dari kitab ash-Shohih daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Sesiapa yang melakukan suatu amal yang tidak ada perintahnya dari kami, maka amalan tersebut tertolak (tidak diterima).” (Hadis Riwayat Muslim). (al-Hafiz Ibnu Katsir, Tafsir al-Qur'an al-‘Adzim, 2/32)

Maka dengan itu, secara tidak langsung, ia turut menjelaskan kepada kita bahawa setiap amal yang dilakukan bukan sebagaimana yang diperintahkan dari dua sumber tersebut, maka ianya adalah tertolak dan sia-sia. Allah juga turut melarang sebarang tindakan dalam beramal agama yang dilakukan tanpa persetujuan daripada-Nya dan Rasul-Nya. Ini adalah sebagimana yang dijelaskan melalui firman-Nya,


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تُقَدِّمُوا بَيْنَ يَدَيِ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan Rasul-Nya; dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. (Surah al-Hujurat, 49: 1)

Allah juga menjelaskan bahawa agama Islam ini telah sedia sempurna melalui Nabi-Nya sebagaimana firman-Nya yang berikut,


الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإسْلامَ دِينًا

“Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan kepada kamu nikmat-Ku, dan telah Aku redhai Islam itu menjadi agama bagimu.” (Surah al-Ma’idah, 5: 3)


هذه أكبر نعم الله، عز وجل، على هذه الأمة حيث أكمل تعالى لهم دينهم، فلا يحتاجون إلى دين غيره، ولا إلى نبي غير نبيهم، صلوات الله وسلامه عليه؛ ولهذا جعله الله خاتم الأنبياء، وبعثه إلى الإنس والجن، فلا حلال إلا ما أحله، ولا حرام إلا ما حرمه، ولا دين إلا ما شرعه، وكل شيء أخبر به فهو حق وصدق لا كذب فيه ولا خُلْف، كما قال تعالى: { وَتَمَّتْ كَلِمَتُ رَبِّكَ صِدْقًا وَعَدْلا } [ الأنعام: 115 ] أي: صدقا في الأخبار، وعدلا في الأوامر والنواهي

Imam Ibnu Katsir rahimahullah menjelaskan berkenaan ayat ini dengan katanya, “Ini (agama Islam) adalah merupakan nikmat Allah yang terbesar yang diberikan kepada umat ini, di mana Allah menyempurnakan untuk mereka agama mereka sehingga mereka tidak memerlukan lagi kepada agama selainnya, dan tidak memerlukan pula kepada seorang Nabi pun selepas Nabi mereka (Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam). Maka atas sebab itu jugalah, Allah menjadikan Nabi mereka sebagai penutup para Nabi dan mengutusnya kepada manusia dan jin. Tiada kehalalan kecuali apa yang dihalalkannya, tiada yag diharamkan kecuali apa yang diharamkannya, dan tiada agama kecuali apa yang disyari’atkannya. Segala apa yang disampaikannya adalah kebenaran dan kejujuran. Tiada pendustaan dan pengkhianatan dalam dirinya, sebagaimana firman-Nya, “Telah sempurnalah kalimat Rabb-mu (al-Qur’an) sebagai kalimat yang benar dan adil” (Surah al-An’am, 6: 115) Iaitu benar di dalam setiap penyampaiannya, dan adil di dalam perintah dan larangan. (al-Hafiz Ibnu Katsir, Tafsir al-Qur’an al-‘Adzim, 3/26)

Beramal di Atas Keikhlasan Semata-mata Kerana Allah

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,


إِنَّا أَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ فَاعْبُدِ اللَّهَ مُخْلِصًا لَهُ الدِّينَ. أَلا لِلَّهِ الدِّينُ الْخَالِصُ

Sesungguhnya Kami menurunkan al-Qur’an ini kepadamu (Wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran; Maka beribadahlah kepada Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya. Ingatlah, hanya kepunyaan Allah-lah agama yang bersih (dari syirik). (Surah az-Zumar, 39: 2)

Maka, setelah kita melaksanakan amal-amal kita berdasarkan prinsip-prinsip ilmu yang benar dan sahih, wajib untuk kita mengiringinya dengan hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala. Pengabdian dan peribadahan kita tidak boleh ditujukan kepada selain Allah Subhanahu wa Ta’ala yang mana jika berlaku pengabdian atau peribadahan yang selain kepada Allah, maka ianya akan menjerumuskan kita ke lembah kesyirikan yang sekaligus memusnahkan tauhid yang murni. Tanpa sifat ikhlas, amal-amal kita juga masih tetap tidak akan diterima dan menjadi tidak bermakna sedikit pun di sisi Allah.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:


وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (Wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: “Demi sesungguhnya, sekiranya Engkau (dan pengikut-pengikutmu) menyekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) sudah tentu segala amalanmu akan terhapus, dan engkau akan tetap menjadi orang-orang yang rugi”. (Surah az-Zumar, 39: 65)

Dengan ini telah jelaslah bahawa setiap amalan ibadah yang hendak dilaksanakan mestilah di atas landasan aqidah Islam yang suci murni dari segala bentuk kesyirikan, berpandukan ilmu yang jelas sebagaimana yang ditunjukkan oleh wahyu melalui apa yang dicontohkan oleh Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan dengan diiringi oleh sifat ikhlas semata-mata kerana Allah.

Sebagai motivasi dan dorongan, di dalam ayat-ayat-Nya yang lain, Allah turut menjelaskan kepada kita sebahagian janji-janji-Nya untuk mereka yang benar-benar beriman dan beramal soleh. Di antaranya adalah dengan,

1 – Kehidupan yang baik dan ganjaran pahala,


مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Sesiapa yang beramal soleh, sama ada dari lelaki atau perempuan, dan ia sentiasa di dalam keadaan yang beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang telah mereka kerjakan. (Surah an-Nahl, 16: 97)

2 – Akan dimasukkan ke dalam Syurga,


وَمَنْ يَعْمَلْ مِنَ الصَّالِحَاتِ مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ وَلا يُظْلَمُونَ نَقِيرًا

Dan barang siapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, dan ia sentiasa berada di dalam keadaan yang beriman, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun. (Surah an-Nisa’, 4: 124)

3 – Limpahan berkah dari langit dan bumi,


وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالأرْضِ وَلَكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri itu beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi. (Surah al-A’raaf, 7: 96)

4 – Menguasai muka bumi dengan penuh keamanan (jauh dari ketakutan),


وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الأرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Dan Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu bahawa Dia akan menjadikan mereka berkuasa memegang kekuasaan di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka yang berkuasa, dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). mereka terus beribadah kepada-Ku dengan tidak menyekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq. (Surah an-Nuur, 24: 55)

0 comments: