“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Isnin, Disember 14, 2009

Fitnah Tajrih Dan Hajr

بسم الله الرحمن الرحيم

Fitnah Tajrih dan Hajr

Segala puji bagi Allah yang telah memberikan kita hidayah-Nya kepada cahaya Islam dan juga Sunnah demi untuk kita beriman dan beramal soleh dengan berpandukan kepada petunjuk al-Quran dan Hadis seiring dengan kefahaman Salaf al-Soleh rahimahumullah.

Pendahuluan

Baru-baru ini telah timbul satu finah hasil daripada email dan sms yang dihantar oleh seorang individu yang menggelarkan dirinya sebagai Muhammad Islam yang menetap di salah sebuah negeri di utara negara kita Malaysia yang tercinta. Hakikatnya latar belakang individu ini masih lagi samar-samar. Tidak diketahui sejauh mana ilmunya memandangkan tempat beliau menuntut ilmu serta guru-guru beliau masih belum dapat dipastikan. Sungguhpun begitu, individu ini telah meletakkan dirinya sebagai tempat rujukan di dalam hal-hal yang berkaitan tentang dakwah salaf yang berkat ini secara umumnya dan juga permasalahan tajrih (mengkritik) dan hajar (memulau) ustaz-ustaz salaf di Malaysia secara khususnya. Hasilnya, ramai ustaz-ustaz sama ada yang telah lama berdakwah mahupun yang masih baru di dalam arena dakwah telah ditarjih (dikritik) oleh individu ini. Banyaklah kesalahan-kesalahan para ustaz pada pandangna individu ini didedahkan olehnya. Lebih malang lagi, tidak ramai yang selamat menurut kaca mata beliau!

Siapakah yang berhak untuk mentajrih (mengkritik) dan menghajar (memulau)?

Sesungguhnya hanya mereka yang berkelayakan sahaja dibenarkan menurut syarak untuk mentajrih (mengkritik) orang lain. Mereka yang berkelayakan ini sudah tentulah terdiri daripada kalangan mereka yang berilmu khususnya di dalam permasalahan dakwah dan juga cabang-cabang ilmu agama. Hakikatnya, hal ini terkandung di dalam firman-Nya ‘Bertanyalah kepada mereka yang mengetahui sekiranya engkau tidak mengetahui’ (Al-Anbiya’, ayat 7).

Aspek tajrih (mengkritik) ini sangat menitik beratkan syarat ilmu memandangkan ia membabitkan satu permasalahan yang sangat besar yang berkaitan tentang dakwah, memelihara agama, masyarakat dan kemaslahatan awam. Apatah lagi sekiranya orang yang dikritik itu terdiri daripada kalangan mereka yang telah lama berdakwah, berpengaruh, serta mempunyai ramai pengikut. Ia perlu kepada pengamatan serta penelitian mendalam yang mengambil kira aspek maslahat kebaikan dan keburukan sebelum tajrih (kritik) itu dikeluarkan. Untuk mengelakkan timbulnya keraguan dan kemusykilan, bukti yang kukuh dan jelas perlu disertakan tanpa mengabaikan adab akhlak serta tatasusila yang baik. Kegagalan menitik beratkan aspek ini pasti akan menyebabkan fitnah yang tiada kesudahannya. Silap langkah orang yang mengkritik akhirnya akan kecundang kerana dikritik balik oleh mereka yang dikritiknya.

Berkata seorang ulama besar pada zaman sekarang yang menetap di bumi Rasulullah Shallalahu ‘alaihi wa sallam Madinah al-Nabawiyyah Syeikh ‘Abdul Muhsin al-Abbad hafidhahullah mantan rektor Universiti Islam Madinah:

“Sungguh menyedihkan apabila melihat pada zaman sekarang berlaku pergeseran dan perbalahan dikalangan Ahli Sunnah. Hal ini menyebabkan sebahagian mereka sibuk menjarah (mengkritik), tahdhir (memberi amaran) serta hajar (memulau) sesama mereka. Sedangkan mereka sepatutnya menggembeling tenaga untuk berdepan dengan selain mereka daripada kalangan orang kafir dan ahli bid’ah yang menentang Ahli Sunnah. Dalam masa yang sama mereka sepatutnya saling mengasihi sesama mereka serta ingat-mengingati sesama mereka dengan lemah lembut.”

“Hendaklah seseorang penuntut ilmu itu menyibukkan dirinya dengan mencari ilmu yang bermanfaat dan bersungguh-sungguh di dalam mencari ilmu agar dia dapat memperoleh faedah serta memberi faedah kepada orang lain. Amat baik sekiranya seseorang itu giat dengan ilmu, belajar dan mengajar serta berdakwah dan menulis sekiranya dia mampu agar menjadi orang yang membina. Hendaklah dia mengelak daripada mentajrih (mengkritik) para ulama dan penuntut ilmu daripada kalangan Ahli Sunnah. Ini kerana perbuatannya ini tentu akan menyebabkan jalan mendapatkan ilmu yang bermanfaat oleh masyarakat daripada para ulama hubungan sesama penuntut ilmu terputus. Akhirnya dia dianggap sebagai seorang penghancur. Orang yang menyibukkan dirinya dengan mentajrih (mengkritik) seperti ini tidak akan meninggalkan apa-apa yang bermanfaat setelah dia mati. Kematiannya juga tidak akan menyebabkan manusia kehilangan seorang ulama yang bermanfaat buat mereka. Malah kematiannya menyebabkan manusia terselamat daripada kejahatannya.”

Syeikh Abdul Muhsin al-Abbad hafidhahullah selanjutnya berkata:

“Tidak boleh seorang penuntut ilmu menguji penuntut ilmu yang lain di dalam hal yang berkaitan tentang kedudukannya terhadap seseorang yang telah dikritik (oleh para ulama) atau yang mengkritik (daripada kalangan para ulama). Di mana sekiranya penuntut ilmu itu bersetuju dengannya dia akan terselamat. Jika tidak, dia akan dibid’ahkan (dihukum sebagai orang bid’ah) dan dihajarkan (dipulaukan). Cara membid’ah dan menghajar (memulau) yang tidak bersistem ini sama sekali tidak boleh dinisbahkan sebagai cara Ahli Sunnah. Seseorang itu juga tidak boleh menghukum sesiapa yang tidak beramal dengan cara yang tidak bersistem ini sebagai seorang yang tidak konsisten pada Manhaj Salaf. Sesungguhnya hajar (pemulauan) yang bermanfaat bagi orang-orang berpegang kepada as-Sunnah adalah apa yang bermanfaat untuk orang yang dipulaukan itu. Seperti hajar (pemulauan) si bapa terhadap anaknya dan si guru terhadap anak muridnya. Begitu juga dengan hajar (pemulauan) yang dilakukan oleh seorang yang berpengaruh dan berkedudukan tinggi. Hajar (pemulauan) yang dilakukan oleh orang seperti inilah yang akan berguna untuk orang yang dipulaukan. Adapun hajar (pemulauan) yang dilakukan oleh seorang penuntut ilmu terhadap seorang penuntut ilmu yang lain
[1] apatah lagi sekiranya ia dilakukan di dalam perkara-perkara yang kita tidak boleh untuk sampai menghajar (memulau)[2], maka ini tidak akan memberi sebarang manfaat kepada orang yang dihajar (dipulau). Malah ia akan mendorong kepada pertikian, pertengkaran dan perpecahan.”

Demikian petikan daripada rencana karangan beliau yang bertajuk ‘Rifqon Ahlus Sunnah bi Ahlis Sunnah’ (Berlembutlah Sesama Ahli Sunnah). Terjemahannya boleh didapati di:
http://dear.to/abusalma

Wa Allahu A’lam.

Dr. Sulaiman Noordin. (Kajang 11.12.2009)

Footnote:

[1] Bagaimana pula dengan mereka yang masih lagi thalib Ilm (panuntut ilmu) tetapi sudah mahu menghajar (memulau) seorang guru atau ustaz. Jelas hal ini dilakukan oleh mereka yang dengkil ilmu agama serta mereka yang merasa ujub dengan ilmu sedikit yang mereka ada.
[2] Seperti hal-hal yang lahir daripada prasangka buruk semata-mata tanpa soal selidik atau penjelasan daripada orang yang hendak dihajar (dipulaukan) itu.

0 comments: