“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Isnin, Mac 28, 2011

Pernikahan Yang Mencemarkan Masjid

Pernikahan Yang Mencemarkan Masjid

Oleh: Abu Numair Nawawi B. Subandi


Baru-baru ini tersiar di beberapa akhbar larangan mengadakan pernikahan di masjid. Kenyataan tersebut sedikit mengejutkan kerana memang telah menjadi kebiasaan bagi kalangan masyarakat kita hari ini memilih masjid sebagai tempat melaksanakan akad nikah.[1][2] Walau bagaimanapun, kenyataan tersebut masih boleh difikirkan dari beberapa sisi.

Selain semata-mata melakukan akad nikah di masjid, apa yang banyak berlaku hari ini adalah wujudnya beberapa acara sampingan yang lebih wajar untuk diambil sensitif! Apa yang penulis maksudkan adalah seperti perbuatan membuka aurat dan tabarruj (berdandan) bagi kaum wanita, percampuran hadirin lelaki dengan wanita (yang bukan mahram), majlis khusus membatalkan air sembahyang, adat sarung cincin, dan sesi fotografi yang disertai adegan “romantis” pengantin. Dan ini semua telah mula berlaku di masjid-masjid kita!

Hukum mendedahkan aurat adalah suatu yang maklum di kalangan umat Islam. Lebih-lebih lagi apabila berlaku sama perbuatan tabarruj seperti berpakaian menggambarkan bentuk tubuh wanita, bersolek tebal, berwangi-wangian bagi wanita, dan mencukur kening demi kelihatan cantik di hadapan tontonan umum.[3] Ini semua termasuk bentuk-bentuk peragaan tubuh ala jahiliyah yang telah diharamkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala melalui firman-Nya (yang bermaksud), “Dan janganlah kamu berhias (tabarruj) dan bertingkah-laku seperti orang-orang Jahiliyyah.” (Surah al-Ahzab, 33: 33)

Tidakkah kita maklum bahawa hendak solat di masjid dengan berwangi-wangian bagi wanita pun dilarang Rasulullah, inikan pula untuk perkara selain solat?[4]

Malah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pada zamannya telah menunjukkan contoh dengan membuatkan pintu-pintu khas bagi wanita yang ingin memasuki masjid.[5] Ini dilakukan beliau bagi mengelakkan pertembungan dan percampuran di antara lelaki dengan wanita di dalam masjid. Tetapi apa yang berlaku hari ini adalah sebaliknya. Di luar masjid memang tidak perlu kita cerita sudah. Jika di dalam masjid mereka saling bersalaman tangan lelaki dan wanita, di luar pula saling bertepuk-tampar dan bergurau-senda.[6]

Situasi ini memang agak merisaukan. Ditambah pula dengan beberapa acara tambahan yang merupakan bid’ah dalam akad pernikahan seperti ritual membatalkan air sembahyang sesama pasangan pengantin. Kemudian adat sarung cincin dan sesi fotografi sehingga saling berpelukan dan ada yang saling kucup-mengucup. Sedihnya acara ini berlaku di khalayak umum dan ketika dalam masjid pula.

Hakikatnya, sentuh, pegang dan kucuplah pasangan anda tersebut bagaimanapun, air sembahyang tersebut tetap tidak batal berdasarkan pendapat yang kuat. Bahkan Rasulullah sendiri sebelum pergi ke masjid dan menunaikan solat pun turut mengucup isterinya ‘Aisyah tanpa memperbaharui wudhuk.[7]

Memang ada pendapat yang menyatakan batalnya wudhuk apabila bersentuhan di antara lelaki dengan wanita sebagaimana dalam mazhab Syafi’i. Tetapi tidak pernah wujud di kalangan ulama mazhab ini anjuran supaya diadakan ritual khas membatalkan wudhuk sebaik akad nikah. Lebih-lebih lagi ianya bertolak-belakang dengan amalan Rasulullah sendiri.

Selain itu, sesi romantis seperti kucup-mengucup dan berpeluk cium itu pula amat tidak manis dilakukan di khalayak umum. Biarlah ia dilakukan di antara pasangan pengantin sahaja. Kenapa perlu dihebahkan sehingga bertebaran gambar-gambar mereka ke serata tempat? Apakah hendak mengajak orang ramai ghairah sebagaimana si mempelai ghairah terhadap pasangannya?

Diikuti dengan amalan sarung cincin sebaik akad pernikahan. Amalan ini disebutkan oleh Syaikh al-Albani rahimahullah dalam kitabnya Adabuz Zifaf sebagai adat yang menyerupai tradisi perkahwinan kaum Kristian kuno. Dan Islam pula melarang kita bertasyabbuh dengan amalan-amalan khsusus kaum kafir. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

“Sesiapa yang bertsyabbuh (menyerupai) suatu kaum (dalam urusan khas agama), maka dia termasuk golongan mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud, 11/48, no. 3512. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Apabila perkara-perkara seperti ini berlaku bersama-sama dengan acara akad nikah di masjid, tidak syak lagi bahawa ia termasuk perkara-perkara yang mencemarkan masjid.

Ini kerana masjid adalah tempat yang paling dicintai Allah Subhanahu wa Ta’ala.[8] Masjid adalah tempat untuk memupuk, membina, menyebar, dan mempertahankan kemurnian Islam. Iaitu sebagai tempat mengingati Allah dan menegakkan agama-Nya. Ini sebagaimana di zaman Rasulullah, masjid dikenali sebagai tempat duduk bagi orang-orang yang bertaqwa (untuk beribadah), tempat bermusyawarah urusan fii sabilillah, merangka strategi peperangan (jihad), tempat saling memberi nasihat, tempat majlis ilmu, dan juga tempat perlaksanaan solat lima waktu berjama’ah setiap hari. Tidak tsabit sama sekali Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjadikan masjid sebagai salah satu tempat khusus pernikahan.

Jauh sekali untuk membantu, menganjurkan, dan menjayakan upacara-upacara yang diiringi dengan maksiat dan kebencian Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّمَا بُنِيَتْ الْمَسَاجِدُ لِمَا بُنِيَتْ لَهُ

“Sesungguhnya masjid-masjid dibina bagi tujuan yang khusus (tersendiri).” (Hadis Riwayat Muslim, 3/196, no. 881)[9]

Pada hari ini masjid-masjid yang dibina tersergam penuh keindahan. Tetapi sebahagian besarnya sunyi sepi. Kita berbangga dengan masjid yang cantik-cantik, namun kita kecewa dan dukacita bila fungsinya yang sebenar diabaikan. Dari satu sisi, situasi ini seolah-olah memberi gambaran umum bahawa kita ini kaya nilai material, tetapi miskin dengan nilai-nilai rohani yang sejahtera.[10]

Lebih mengecewakan, sebahagian masjid hari ini dijadikan tempat menganjurkan majlis-majlis menyebar kisah-kisah dongeng, lawak jenaka, hikayat, menyebarkan hadis-hadis palsu, propaganda politik, sehinggalah kepada tempat melakukan hingar-bingar seperti berjual-beli, nyanyian (nasyid), dan bermain muzik. Kita amat bimbang trend ini kelak menjadi sebagaimana gereja yang di dalamnya dinyanyikan lagu-lagu gospel.

Sepatutnya, pihak-pihak bertanggungjawab perlu peka dan mengambil tindakan tegas terhadap perkara ini. Institusi masjid perlu dimuliakan dan menjadi pusat tradisi ilmu yang segar di atas fakta-fakta yang ilmiah lagi sahih.

Bagi masyarakat Islam umumnya, kuatkanlah semangat untuk mengimarahkan masjid. Jangan hanya datang ke masjid seminggu atau setahun sekali sahaja. Bukan juga hanya untuk acara pernikahan baru cari masjid, sedangkan hari-hari lain yang diwajibkan untuk solat berjama’ah di dalamnya jarang sekali diambil kisah.

Kenangkanlah masjid di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan khalifah al-Rasyidin. Masjid pada ketika itu hanya dibina dengan dinding batu-bata, tiang batang kurma, berlantaikan pasir (tanah), dan beratapkan pelepah kurma. Tetapi syi’ar-syi’ar Islam begitu terserlah, subur dan tersebar melaluinya. Allah Ta’ala sentiasa memberikan kemenangan kepada mereka.

Berbeza dengan hari ini, umat Islam berlumba-lumba membina masjid, menghiasnya, dan membelanjakan harta yang banyak untuk itu. Masjidnya besar, tinggi-tinggi, dan lantainya marmar dilapik sejadah empuk.

Tapi sayangnya, kita hari ini lemah lagi porak-peranda. Wallahu a’lam.

______________________

Nota Kaki:

[1] Rujuk: Utusan Malaysia, 20/03/2011. Sinar Harian, 26/03/2011.

[2] Dari sudut hukum, penulis biarkan pembaca merujuk terus kepada penjelasan para ulama dari majlis fatwa Arab Saudi melalui website Islam QA. Klik: Edisi Arab. Indonesia (Terjemahan).

[3] Untuk perbahasan lanjut berkaitan ini, sila rujuk tulisan penulis dengan tajuk, “Pakaian Seorang Wanita Beriman Menurut al-Qur’an dan as-Sunnah.”

[4] Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ أَصَابَتْ بَخُورًا فَلَا تَشْهَدْ مَعَنَا الْعِشَاءَ الْآخِرَةَ

“Sesiapa sahaja dari kalangan wanita yang memakai wangi-wangian, maka janganlah mereka solat Isyak bersama kami.” (Hadis Riwayat Muslim, 2/448, no. 675)

Juga sabdanya:

أَيَّتُكُنَّ خَرَجَتْ إِلَى الْمَسْجِدِ فَلَا تَقْرَبَنَّ طِيبًا

“Sesiapa sahaja dari kalangan kamu (wanita) yang keluar menuju masjid, maka janganlah mengenakan wangi-wangian.” (Hadis Riwayat an-Nasaa’i, 15/377, no. 5041. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Juga:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ اسْتَعْطَرَتْ فَمَرَّتْ عَلَى قَوْمٍ لِيَجِدُوا مِنْ رِيحِهَا فَهِيَ زَانِيَةٌ

“Sesiapa pun dari kalangan wanita yang memakai wangi-wangian, lalu ia melintasi kaum lelaki supaya baunya dicium oleh lelaki tersebut, maka dia termasuk wanita penzina.” (Hadis Riwayat an-Nasaa’i, 15/370, no. 5036. Dinilai hasan oleh al-Albani)

[5] Rujuk Sunan Abu Daud, 2/182, no. 484. Dinilai sahih oleh al-Albani.

[6] Lihat perbahasan lanjut hukum menyentuh individu berlainan jantina yang bukan mahram di blog Fiqh Sunnah.

[7] Rujuk: Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Shahih Fiqih Sunnah, 1/185-187. Terbitan/terjemahan Pustaka at-Tazkia.

[8] Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أَحَبُّ الْبِلَادِ إِلَى اللَّهِ مَسَاجِدُهَا وَأَبْغَضُ الْبِلَادِ إِلَى اللَّهِ أَسْوَاقُهَا

“Tempat yang paling dicintai Allah dalam sesuatu negeri (wilayah) adalah masjid-masjidnya, dan tempat yang paling dibenci Allah dalam sesuatu negeri adalah pasar-pasarnya.” (Hadis Riwayat Muslim, 3/425, no. 1076)

[9] Imam an-Nawawi rahimahullah menyatakan:

معناه لذكر الله تعالى والصلاة والعلم والمذاكرة في الخير ونحوها

“Maksudnya adalah untuk mengingati Allah, melaksanakan solat, menyebarkan ilmu, saling memberi peringatan dalam kebaikan, dan yang seumpamanya.” (Syarah Shahih Muslim, 5/55)

Imam asy-Syaukani rahimahullah berkata:

فالمساجد إنما بنيت لذكر الله والصلاة فلا يجوز فيها غير ذلك الا بدليل يخصص هذا العموم كما وقع من لعب الحبشة بحرابهم في مسجده صلى الله عليه وسلم وهو نيظر وكما قرر من كانوا يتناشدون الاشعار فيه

“Bahawasanya masjid dibina bagi tujuan (sebagai tempat) mengingati Allah dan melaksanakan solat, maka tidak dibenarkan di dalamnya selain itu kecuali dengan adanya dalil yang mengkhususkan keumuman ini. Ini adalah seperti kekhususan dibolehkan permainan lembing oleh orang-orang Habsyah di masjid Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sambil baginda melihatnya. Juga sebagaimana perakuan Nabi Shallallahu ‘alaihin wa Sallam kepada orang-orang yang membaca sya’ir di dalamnya.” (as-Sailul Jarrar, m/s. 351 - Maktabah Syamilah)

[10] Syaikh Salim B. ‘Ied al-Hilali hafizahullah menjelaskan hukum dilarangnya menghias masjid dengan sesuatu yang tidak diperlukan dan berlebih-lebihan dengannya. Sila lihat: Mausuu’ah al-Manaahii asy-Syar’iyyah fii Shahih as-Sunnah an-Nabawiyah, 1/353-356 - Daar Ibn ‘Affan. Imam asy-Syaukani pula menyatakan bahawa menghias-hias masjid termasuk perbuatan bid’ah.

Selain itu, Islam juga melarang bermegah-megah dan berbangga-bangga dengan kecantikan atau kehebatan binaan masjid.

Anas B. Malik radhiyallahu ‘anhu berkata:

نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم أن يتباهى الناس في المساجد

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melarang berbangga-bangga dengan binaan masjid.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban, 4/492, no. 1613. Isnadnya sahih sebagaimana kata Salim al-Hilali dan Syu’aib al-Arnauth)

Dalam hadis-hadis yang lain menyebutkan perbuatan bermegah-megah terhadap binaan masjid termasuk tanda-tanda kiamat dan kehancuran.

4 comments:

Tanpa Nama berkata...

Kena faham, berakad nikah dalam masjid hukum dia bukan menyerupai orang Kristian, mengotori masjid tak memakmurkan masjid adalah perkara lain.

Ulama Perlis kata lain, salafi singapura kata lain. Salafi Perli kata menyerupai Kristian...ini kebodohan salafi utagha.

salafi Spore pula sibuk nak back-up dengan hukum tidak mencemarkan masjid...ada ka orang menyarungkan cincin dalam masjid??? Hukum tu kena Dato Siti Nurhaliza kot, orang kampung lepas akad nikah balik ke rumah....

CikTomyam berkata...

salam ustaz..sy setuju dengan entry ustaz nie..mudah2an dapat bg info dan kesedaran pada bakal2 pengantin di luar sana..=)

Tanpa Nama berkata...

Alhamdulillah...syukran.artikel yg dikupas sungguh bermakna..boleh ana share artikelnya?

Tanpa Nama berkata...

Itu tahun 2011 skrg ni 2016 semua dah berlaku sarung cincin semua. Dah dibitau kita mengingatkan jangan tolak mentah2..Skrg smua dh berlaku depan mata..maaf la kata org mcm kau ni kalau nk bodoh bagi org sikit...hwhhehe