“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Selasa, Ogos 02, 2011

Ramadhan Bulan al-Qur’an

Ramadhan Bulan al-Qur'an

Abu Numair Nawawi B. Subandi


Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memuliakan Ramadhan berbanding bulan-bulan yang lain dengan memilihnya sebagai bulan diturunkannya al-Qur’an al-‘Azhim. Keistimewaan ini diberikan oleh Allah kepada bulan Ramadhan sebagaimana dinyatakan melalui firman-Nya:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

“...Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan menjadi pembeza (di antara yang hak dengan yang bathil).” (Surah al-Baqarah, 2: 185)

Begitu juga sebagaimana dinyatakan di dalam hadis Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa bulan ramadhan merupakan bulan di mana Kitab-kitab Ilaahiyah diturunkan kepada para Nabi ‘alaihimus Salam. (Tafsir Ibnu Katsir, 1/501)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أُنْزِلَتْ صُحُفُ إِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلَامُ فِي أَوَّلِ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ، وَأُنْزِلَتِ التَّوْرَاةُ لِسِتٍّ مَضَيْنَ مِنْ رَمَضَانَ، وَالْإِنْجِيلُ لِثَلَاثَ عَشْرَةَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ، وَأُنْزِلَ الْقُرْقَانُ لِأَرْبَعٍ وَعِشْرِينَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ

“Shuhuf (lembaran-lembaran) Ibrahim diturunkan pada malam pertama bulan Ramadhan, Taurat diturunkan pada tarikh enam Ramadhan, Injil diturunkan pada tarikh tiga belas Ramadhan, dan al-Qur’an diturunkan (nuzul al-Qur’an) pada tarikh dua puluh empat Ramadhan.” (Hadis Riwayat Ahmad, 28/191, no. 16984. Ath-Thabrani, 4/111, no. 3740. Dinilai hasan oleh al-Albani dan Ahmad Muhammad Syakir. Manakala sebahagian lain ada yang mendhaifkannya)

Wallahu a’lam, melalui hadis ini juga diperjelaskan kepada kita bahawa al-Qur’an mula diturunkan pada hari (malam) ke dua puluh empat di bulan Ramadhan.

Allah Subahanahu wa Ta’ala menjelaskan lagi bahawa al-Qur’an diturunkan pada malam yang penuh kemuliaan dan kesejahteraan, iaitu malam al-Qadr. Malam yang penuh dengan kebaikan melebihi seribu bulan. Ini sebagaimana firman-Nya:

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ

“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr. Tahukah kamu apa dia malam al-Qadr? Malam al-Qadr adalah malam yang lebih baik dari seribu bulan.” (Surah al-Qadr, 97: 1-3)

Allah menurunkan al-Qur’an kepada Rasul kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam demi untuk membimbing manusia. Turunnya al-Qur’an merupakan peristiwa besar yang sekaligus menyatakan tinggi kedudukannya bagi penghuni langit dan bumi. Turunnya al-Qur’an pertama kali jatuh pada Lailatul Qadr (malam al-Qadr) yang mana merupakan pemberitahuan kepada alam samawi yang dihuni oleh para malaikat berkaitan kemuliaan umat Muhammad. Allah memuliakan kita sebagai umat Muhammad pada hari ini dengan risalah barunya agar menjadi umat yang paling baik yang dikeluarkan bagi manusia.

Berdasarkan pengangan jumhur ulama, al-Qur’an diturunkan secara sekaligus ke langit dunia di Baitul ‘Izzah untuk menunjukkan kepada para malaikat-Nya bahawa betapa agungnya persoalan al-Qur’an ini. Seterusnya al-Qur’an diturunkan kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pertama kali pada malam itu juga. Kemudian secara beransur-ansur selama dua puluh tiga tahun bersesuaian dengan peristiwa-peristiwa yang mengiringinya bermula dari beliau diutus sehinggalah wafatnya. Selama tiga belas tahun beliau tinggal di Makkah, dan selama itu jugalah wahyu turun kepadanya. Selepas hijrah, beliau tinggal di Madinah selama sepuluh tahun. Beliau wafat dalam usia enam puluh tiga tahun.

Ini antaranya sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

وَقُرْآنًا فَرَقْنَاهُ لِتَقْرَأَهُ عَلَى النَّاسِ عَلَى مُكْثٍ وَنَزَّلْنَاهُ تَنْزِيلا

“Dan al-Qur’an telah Kami turunkan dengan beransur-ansur agar kamu membacakannya perlahan-perlahan kepada manusia dan Kami menurunkannya bahagian demi bahagian.” (Surah al-Isra’, 17: 106)

Turunnya al-Qur’an secara beransur-ansur amat berbeza dengan kitab-kitab yang turun sebelumnya, sangat mengejutkan orang, dan menimbulkan keraguan terhadapnya sebelum jelas bagi mereka rahsia hikmah Ilahi yang ada di balik itu. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak menerima risalah besar ini dengan cara sekaligus, dan kaumnya yang sombong dan berhati keras turut dapat ditawan (dilunakkan) dengannya.

Antara hikmah wahyu ini turun secara beransur-angsur adalah demi menguatkan hati Rasul-Nya dan menjadikannya saling berkait dengan peristiwa serta kejadian-kejadian yang mengiringinya sehingga Allah menyempurnakan agama ini dan mencukupkan nikmat-Nya.

Tadarus al-Qur'an

Bertepatan dengan turunnya al-Qur’an di bulan Ramadhan, para ulama turut menamakan bulan ini sebagai bulan al-Qur’an. Bulan di mana umat Islam disunnahkan supaya menyibukkan diri dengan al-Qur’an. Iaitu menyibukkan diri dengan bertadarus atau mentadabburinya.

Maksud tadarus di sini adalah merujuk kepada membaca, mengulangkaji, mengajar, atau menyemak bacaan al-Qur’an.

‘Abdullah B. ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ وَكَانَ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ فَلَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدُ بِالْخَيْرِ مِنْ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah orang yang paling dermawan. Beliau lebih dermawan lagi pada bulan Ramadhan di ketika Jibril ‘alaihis Salam datang menemui beliau. Jibril ‘alaihis Salam selalu mendatangi beliau pada setiap malam bulan Ramadhan untuk membaca, mengajar, dan menyemak bacaan al-Qur’an bersama beliau. Ketika waktu tersebut, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam lebih dermawan dari hembusan angin.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 1/7, no. 5)

Di antara faedah yang dapat diambil dari hadis ini adalah sebagaimana kata Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

واستحباب الأكثار من القراءة في رمضان وكونها أفضل من سائر الأذكار إذ لو كان الذكر أفضل أو مساويا لفعلاه

“Anjuran supaya memperbanyakkan bacaan al-Qur’an pada bulan Ramadhan. Kerana membaca al-Qur’an itu lebih utama dari zikir-zikir selainnya. Sekiranya zikir itu lebih utama atau sama nilai keutamaannya tentu Malaikat Jibril dan Rasulullah telah melakukannya (pada bulan Ramadhan).” (Fathul Bari, 1/31)

Para ulama dari kalangan Salaf ash-Sholeh lebih banyak membaca al-Qur’an sama ada dalam solat atau di luar solat ketika bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan selainnya. Wallahu a’lam di sana ada beberapa riwayat yang menyebutkan tentang mereka di mana ada di antara mereka yang mengkhatam al-Qur’an setiap dua malam sekali pada bulan Ramadhan seperti al-Aswad, ada yang mengkhatam setiap minggu seperti Qotadah, dan ada pula yang mengkhatam setiap malam seperti Mujahid. Malah menurut ar-Rabi’ B. Sulaiman, Imam asy-Syafi’i mengkhatamkan al-Qur’an sebanyak 60 kali pada bulan Ramadhan. (Siyar A’lam an-Nubala’, 10/36)

Ketika era pemerintahan ‘Umar al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu, Saa’ib B. Yazid menyatakan bahawa ‘Umar pernah memerintahkan ‘Ubai B. Ka’ab dan Tamim ad-Daari mengimami umat Islam solat tarawih dengan sebelas rakaat. Beliau menyatakan:

وَقَدْ كَانَ الْقَارِئُ يَقْرَأُ بِالْمِئِينَ حَتَّى كُنَّا نَعْتَمِدُ عَلَى الْعِصِيِّ مِنْ طُولِ الْقِيَامِ وَمَا كُنَّا نَنْصَرِفُ إِلَّا فِي فُرُوعِ الْفَجْرِ

“Pada ketika itu, seorang qari (imam) biasanya akan membaca ratusan ayat sehingga kami terpaksa bersandar kepada tongkat kami kerana terlalu lamanya berdiri. Kami bersurai (selesai solat) hanya ketika hampir-hampir masuk Subuh (fajar).” (Hadis Riwayat Malik, al-Muwaththa’, 1/341, no. 232. Dinilai sahih oleh al-Albani, Irwa’ al-Ghalil, 2/192)

Demikian juga ketika zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Sebagaimana diriwayatkan dalam Sunan at-Tirmidzi, Rasulullah pernah mengimami solat tarawih di bulan Ramadhan dengan bacaan al-Qur’an yang cukup panjang (atau banyak). Ia berlangsung satu malam suntuk sehingga para sahabat risau tidak sempat untuk bersahur. Dalam riwayat yang lain dinyatakan Rasulullah pernah mengimami solat tarawih dalam satu malam dengan membacakan surah al-Baqarah, Ali ‘Imran, an-Nisaa’, al-Ma’idah, dan al-An’am. (Rujuk: al-Albani, Sholatut Tarawih, m/s. 12)

Ini semua menunjukkan bahawa memperbanyakkan membaca al-Qur’an di bulan Ramadhan adalah salah satu sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, para sahabat, dan para Salaf ash-Sholeh. Sunnah membaca ini bukan hanya sekadar membaca dan mengkhatamkan, tetapi perlu dengan penghayatan, kefahaman, tadabbur, serta mempelajarinya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman (dengan sempurna) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal.” (Surah al-Anfaal, 8: 2)

Maka ambillah peluang ini dan getarkanlah hati-hati kita dengan al-Qur’an. Sekiranya di bulan-bulan yang lain kita sering sibuk sehingga lalai dari al-Qur’an, maka seharusnya di bulan Ramadhan ini kita peruntukkanlah ruang untuk perniagaan membeli akhirat.

Ironinya apa yang kita lihat dalam kalangan masyarakat hari ini, bulan Ramadhan adalah bulan berpesta kain dan pakaian, pesta kuih dan juadah, pesta jualan dan perniagaan. Di mana slogan-slogan agama yang mengatakan Ramadhan adalah bulan ibadah, bulan al-Qur’an, bulan sedekah, bulan yang penuh dengan ganjaran kebaikan, dan yang di dalamnya ada malam al-Qadr?

Beleklah al-Qur’an, beleklah tafsir-tafsirnya, kuatkanlah hati untuk ke masjid solat berjama’ah, sambutlah Ramadhan dengan keimanan dan mengharap pahala Allah Subhanahu wa Ta’ala, dan pohonlah keampunan kepada-Nya.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kerana iman dan mengharapkan pahala maka akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 1/67, no. 37)

Wallahu a’lam...

5 comments:

Tanpa Nama berkata...

أثابكم الله استفدنا

Tanpa Nama berkata...

You got great points there, that's why I always check your blog, it seems that you are an expert in this field. keep up the fantastic work, My friend recommends your blog.

My blog:
regrouper credit www.rachatdecredit.net

Nawawi berkata...

Perlu ikut urutan.

Unknown berkata...

Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera

Satu perkongsian yang menarik mengenai Bulan Ramadhan. Jemput ke blog saya bagi membaca tentang Warning Up Hadapi Ramadhan Jalalboy

Unknown berkata...

Assalamualaikum WBT dan salam Sejahtera..
Perkongsian menarik tentang Bulan Ramadhan. Jemput ke blog saya untuk membaca mengenai Tingkatkan Ibadah di Bulan Ramadhan. <a href="http://adf.ly/bC0Rz>Jalalboy</a>