“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Isnin, Mac 12, 2012

Menggapai Kekayaan Dengan Hati Yang Senang

Menggapai Kekayaan Dengan Hati Yang Senang

Abu Numair Nawawi B. Subandi
http://an-nawawi.blogspot.com


Tentu masing-masing punya keinginan untuk menjadi kaya dan hidup serba mencukupi. Siapa tidak mahu kaya bukan? Ramai beranggapan sekiranya hidup mewah harta melimpah-ruah, sudah tentu hati akan senang kerana apa diingini akan tercapai. Itulah kebanyakan andaian yang digembar-gemburkan.

Hakikatnya, tidak sedikit orang yang hartanya banyak, gajinya lumayan, rumahnya besar, kerjayanya gah, keretanya tak cukup satu, tapi waktunya tiada yang lapang. Dia tak punya masa untuk berehat dan menjalankan tanggungjawab agamanya.

Dia terpaksa bekerja dan terus bekerja agar hartanya terjaga dan terus bertambah. Sampai satu waktu apabila hartanya sudah bertambah dan menimbun, dia lelah memikirkan bagaimana harus menjaganya agar tidak diusik orang. Namun hatinya masih tidak juga puas dan angan-angannya tidak pernah habis.

Orang seperti ini hatinya akan sengsara. Dia bekerja siang dan malam mengumpul harta yang tidak tahu entah berapa banyak lagi akan mampu memuaskannya. Sudah ada rumah besar, dia mahu tambah besar lagi. Sudah ada kereta mewah, dia mahu kereta lain yang lebih mewah lagi. Hatinya sering merasa kekurangan dan jiwanya selalu membentak.

Sebagaimana dalam sebuah hadis, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah mengatakan:

لَوْ أَنَّ لِابْنِ آدَمَ وَادِيًا مِنْ ذَهَبٍ أَحَبَّ أَنْ يَكُونَ لَهُ وَادِيَانِ، وَلَنْ يَمْلَأَ فَاهُ إِلَّا التُّرَابُ

“Kalau seandainya anak Adam diberi sebukit emas, nescaya dia akan mengharapkan lebih banyak bukit-bukit emas lainnya. Dan tidaklah yang memenuhi mulutnya melainkan tanah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 6439)

Dengan keadaan seperti ini, tidak tepat jika kita katakan kekayaan itu adalah dengan melimpahnya harta bersama segala macam kemewahan. Sebaliknya amat tepatlah apa yang diungkap oleh junjungan mulia kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di dalam sabdanya:

لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ، وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ

“Bukanlah kekayaan itu diukur dengan limpahan kemewahan dunia. Tetapi kekayaan itu adalah kayanya hati.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 8/95, no. 6446. Muslim, 2/726, no. 1051)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah bertanya kepada sahabatnya, Abu Dzar:

يَا أَبَا ذَرّ أَتَرَى كَثْرَة الْمَال هُوَ الْغِنَى؟ قُلْت: نَعَمْ. قَالَ: وَتَرَى قِلَّة الْمَال هُوَ الْفَقْر؟ قُلْت: نَعَمْ يَا رَسُول اللَّه. قَالَ: إِنَّمَا الْغِنَى غِنَى الْقَلْب، وَالْفَقْر فَقْر الْقَلْب

“Wahai Abu Dzar, adakah engkau menganggap bahawa banyaknya harta itu yang disebut sebagai kaya (mewah)?” Jawab Abu Dzar, “Benar.”

Rasulullah bertanya lagi, “Adakah engkau menganggap bahawa sedikitnya harta itu bermakna faqir (miskin)?” Jawab Abu Dzar, “Benar ya Rasulullah.”

Rasulullah pun bersabda, “Sesungguhnya apa yang dinamakan kaya adalah kayanya hati. Dan faqir adalah faqirnya hati (yang tidak pernah merasa cukup).” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban, no. 685. Dinilai sahih oleh al-Albani dan Syu’aib al-Arnauth)

Dalam hadis yang lain, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

وَارْضَ بِمَا قَسَمَ اللَّهُ لَكَ تَكُنْ أَغْنَى النَّاسِ

“Redhalah dengan apa yang Allah berikan padamu nescaya engkau menjadi orang yang paling kaya.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, no. 2305. Dinilai hasan oleh al-Albani)

Sebenarnya kekayaan tidak akan dirasa dengan limpahan harta. Sebaliknya kekayaan akan terkecapi apabila hati sentiasa merasa cukup, puas, syukur, lapang, tenang, dan senang terhadap segala kurniaan Allah. Lalu dengan harta itu menjadikan dirinya mampu melaksanakan agamanya. Seorang mukmin yang kaya adalah yang sentiasa merasa cukup dengan harta yang dimilikinya lalu dia menggunakan harta tersebut untuk sentiasa mendekatkan diri kepada Tuhannya.

Apabila memiliki kenderaan, dengan kenderaan tersebut dia menuju masjid di setiap waktunya. Apabila dikurniakan harta, dia menjaganya, menghargainya, memanfaatkannya, melaksanakan kewajibannya, dan membelanjakannya dengan jalan yang halal. Apabila dia memiliki makanan dia memakannya sebagai bekal tenaga untuk beramal dan menjalankan kewajibannya.

Apabila memiliki wang dia belanjakan wang tersebut untuk keperluan dirinya, keluarganya, dan agamanya. Dia tidak keterlaluan dengannya dan tidak pula membazir dengan apa yang tidak diperlukannya. Dia bijak membahagikan harta antara keperluannya, amalnya, menuntut ilmu, dan melaksanakan agamanya. Jika diberi kelebihan dia mampu bersedekah, berzakat, dan membantu golongan memerlukan.

Sebagaimana kata Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

إِنَّ هَذَا الْمَالَ خَضِرَةٌ حُلْوَةٌ، فَمَنْ أَخَذَهُ بِحَقِّهِ، وَوَضَعَهُ فِي حَقِّهِ، فَنِعْمَ الْمَعُونَةُ هُوَ، وَمَنْ أَخَذَهُ بِغَيْرِ حَقِّهِ، كَانَ كَالَّذِي يَأْكُلُ وَلَا يَشْبَعُ

“Sesungguhnya harta itu ibarat tanaman hijau yang manis. Sesiapa yang mengambilnya dengan cara yang benar lalu meletakkannya dengan cara yang benar, maka harta tersebut adalah sebaik-baik penolong baginya. Dan sesiapa yang mengambilnya dengan cara yang tidak benar, maka dia seperti orang yang makan tetapi tidak pernah merasa kenyang.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 6427. Muslim, no. 1052)

Kalau dikenangkan baik-baik, betapa ramai manusia di luar sana yang kaya-raya, hartanya melimpah ruah, tetapi tidak mampu membeli masa untuk agama dan keluarganya. Ada pula yang semakin banyak harta yang dimiliki semakin banyak pula dia berseronok dan membeli yang haram. Akhirnya kerana harta yang melimpah dia pun meremehkannya lalu berbuat perkara sia-sia.

Para ulama mengungkap keadaan manusia seperti ini sebagai orang yang faqir lagi miskin hatinya.

Imam Abu al-‘Abbas al-Qurthubi mengatakan, “Orang yang disifatkan dengan kaya hati adalah orang yang selalu qona’ah (merasa serba cukup dan redha) dengan rezeki yang dikurniakan Allah. Dia tidak tamak untuk menambahnya tanpa ada keperluan. Dia tidak memaksa-maksa dalam mencarinya dan tidak pula meminta-minta untuk mendapatkannya. Sebaliknya dia selalu bersikap redha dengan kurniaan Allah yang Maha Adil padanya. Oleh sebab itu dia pun seakan-akan orang yang berada.

Sedangkan orang yang miskin hatinya adalah apa yang berlawanan dengan sifat orang pertama tadi. Orang seperti ini tidak pernah merasa qona’ah terhadap apa yang diberi. Sebaliknya dia terus bekerja keras demi menambah hartanya dengan apa cara sekalipun (walaupun dengan cara yang haram). Jika dia tidak mendapat apa yang dikejar, dia merasa cukup sedih dan sesal. Seakan-akan dialah orang yang sangat faqir kerana dia tidak pernah merasa puas dengan apa dimilikinya. Inilah sebenarnya orang yang tidak pernah kaya.

Asasnya, kekayaan hati lahir dari sikap yang sentiasa redha dan menerima setiap ketentuan Allah Ta’ala. Dia tahu bahawa setiap apa yang Allah kurniakan itulah yang terbaik dan lebih kekal. Sikap inilah yang mendidiknya agar tidak tamak.” (Fathul Bari, 11/272)

Jadi, hakikat kaya yang sejati bukanlah diukur dengan banyaknya harta, kerana ramai orang yang memiliki harta yang melimpah tetapi dia tidak merasa puas dan tenang dengan apa yang dikurniakan padanya. Sebaliknya dia berterusan berkerja keras menambah-banyakkan harta siang dan malam. Hatinya sentiasa gusar dan fikirannya penuh angan-angan. Akibat sikap yang rakus, dia menjadi seakan-akan orang yang faqir. Walhal dia bukanlah orang yang tidak berharta.

Oleh itu, hakikat kekayaan yang sebenarnya adalah yang kaya hatinya, iaitu orang yang sentiasa merasa cukup dengan menerima setiap apa yang dikurniakan padanya dengan hasil usaha yang berpada. Dia tidak rakus dan memaksa-maksa dirinya. Sehingga segala kudrat dan waktu dihabiskan mencari harta.

Tidak Tercela Menjadi Kaya

Dari apa yang penulis ungkapkan di sini bukanlah bermaksud tidak boleh menjadi kaya dengan harta. Tetapi sebagai peringatan agar harta dicari dengan kadar yang bersesuaian di antara keperluan dan kewajiban. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لاَ بَأْسَ بِالْغِنَى لِمَنِ اتَّقَى وَالصِّحَّةُ لِمَنِ اتَّقَى خَيْرٌ مِنَ الْغِنَى وَطِيبُ النَّفْسِ مِنَ النِّعَمِ

“Tidak mengapa dengan kekayaan bagi orang yang bertaqwa. Dan kesihatan bagi orang-orang yang bertaqwa itu lebih baik dari kekayaan. Manakala kebahagiaan hati itu sebahagian dari nikmat.” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 23228. al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, no. 301. Ibnu Majah, no. 2132. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Juga dalam hadisnya yang lain:

نِعْمًا بِالْمَالِ الصَّالِحُ لِلرَّجُلِ الصَّالِحِ

“Sebaik-baik harta yang baik adalah milik orang yang soleh.” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 17763. Dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arnauth)

Oleh itu, menjadi kaya bukanlah sikap yang tercela. Tetapi yang tercela adalah bila mana kita tidak pernah merasa cukup, syukur, dan puas dengan apa yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Iaitu orang yang tidak ada kekayaan di hatinya. Sedangkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengatakan orang yang memiliki sifat qona’ah iaitu orang-orang yang sentiasa merasa kecukupan, syukur, dan redha mereka termasuk golongan yang sangat beruntung.

Kata Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

قَدْ أَفْلَحَ مَنْ أَسْلَمَ وَرُزِقَ كَفَافًا وَقَنَّعَهُ اللَّهُ بِمَا آتَاهُ

“Sungguh beruntunglah sesiapa yang masuk Islam lalu dia diberikan rezeki yang mencukupi dan Allah menjadikannya bersifat qona’ah dengan pemberian tersebut.” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 6572. Muslim, no. 1054)

‘Abdullah B. Mas’oud mengatakan, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam biasa berdo’a dengan do’a:

اللَّهُمَّ إنِّي أسْألُكَ الهُدَى، والتُّقَى، والعَفَافَ، والغِنَى

“Ya Allah, aku meminta kepada-Mu petunjuk, sifat taqwa, sifat ‘afaf, dan al-ghina.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2721)

Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) mengatakan:

أما العفاف والعفة فهو التنزه عما لايباح والكف عنه والغنى هنا غنى النفس والاستغناء عن الناس وعما فى أيديهم

“‘Afaf dan ‘iffah bermaksud menjauhi dan menahan diri dari perkara yang tidak dibenarkan. Manakala al-ghina adalah hati yang sentiasa merasa cukup dan tidak meminta-minta (memerlukan) pada apa yang berada di sisi manusia.” (Syarah Shahih Muslim, 17/41)

Akhir kata, sesiapa yang mampu meraih harta yang dengannya dia merasa qona’ah dan syukur, nescaya dia akan menggapai kekayaan dengan hati yang senang. Walaupun tidaklah melimpah-ruah dengan segala bagai kemewahan, tetapi hasil sifat syukur dan qona’ah, pasti hidup menjadi serba cukup dan menenangkan.

Penulis tinggalkan tulisan ini dengan kata-kata indah milik al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H):

فمن حصل له ما يكفيه واقتنع به أمن من آفات الغنى وآفات الفقر

“Maka sesiapa yang meraih hasil pendapatan yang dengannya dia merasa cukup, maka terlepaslah dia dari fitnah kekayaan dan penyakit kemiskinan.” (al-Hafiz Ibnu Hajar, Fathul Bari, 11/275)

Wallahu a’lam...

1 comments:

Rudyz Valenc berkata...

Trima ksh ya akhi..mohon ntok disharekan ye..,ramai lg perlu disedarkan..jazakallahu khayran