“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Sabtu, April 26, 2008

MERAIH KEBERKATAN DENGAN IMAN DAN TAQWA

MERAIH KEBERKATAN DENGAN IMAN DAN TAQWA

http://an-nawawi.blogspot.com

Pernahkah kita terfikir untuk mendapat rezeki dan kurniaan yang banyak dan mungkin melimpah ruah? Atau sekurang-kurangnya memiliki rasa sangat-sangat mencukupi dengan penuh syukur? Atau mungkinkah sebaliknya iaitu rezeki yang diperolehi sering tidak kecukupan dan tidak memuaskan perluan seharian? Lalu sering membangkitkan rasa tidak senang dan kegelisahan?

Mungkin ada sesuatu yang perlu dilihat dan diperhatikan semula. Ada sudut-sudut yang mungkin perlu diteliti semula. Memuhasabah diri jika ada silap di mana-mana bahagian diri ini. Bagaimana agaknya kedudukan iman dan taqwa kita hari ini, masa ini, dan ketika ini? Apakah berada dalam keadaan yang baik dengan penuh praktikal dan dibina atas kefahaman ilmu yang jitu yang sewajarnya?

Apa kata kita renung-rengungkan semula firman Allah ini (maksudnya),

Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. (al-Hujuraat, 49: 13)

Pertamanya, dapat dilihat secara zahirnya melalui ayat ini menunjukkan bahawa orang paling mulia dan mendapat tempat di sisi Allah adalah orang-orang yang bertaqwa. Bagaimanakah ketaqwaan kita kepada-Nya setakat hari ini, ketika ini, dan saat ini? Apakah dalam keadaan yang baik atau sebaliknya?

Lihat pula ayat ini (maksudnya),

Niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (al-Mujadilah, 58: 11)

Ayat ini pula menjelaskan perihal betapa Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman yang memiliki ilmu pengetahuan. Jika mungkin kita memiliki ilmu perkomputeran, computer language programming, kejuruteraan genetic, atau pakar microorganisma (microbilogist), maka Allah akan meletakkan kita tinggi dengan kelebihan berkaitan dengan bidang kepakaran kita dalam kedudukan ilmu tersebut. Namun, apa yang lebih utama adalah kedudukan kefahaman kita terhadap pengertian iman dan juga praktik agama kita dalam setiap penghambaan kita kepada Allah ‘azza wa jalla. Dengan ilmu sains dan teknologi yang begitu hebat, namun tiadanya walau secebis iman di dalam hati, apalah gunanya, kerana kita kehilangan ciri kriteria yang lebih utama bagi menjaga ilmu tersebut sebenarnya. Malah, tidak menepati ciri yang membolehkan ia duduk dalam jajaran orang yang dipandang mulia oleh Allah s.w.t. jika tanpa diletakkan ciri taqwa dan iman. Oleh sebab itulah Allah s.w.t. meletakkan ilmu dan iman dalam jajaran ayat yang sama sebagai renungan kepada kita semua yang mendakwa memiliki ilmu dan betapa keutamaan iman itu sendiri yang perlu kepada iringan ilmu kefahaman. Masing-masing ciri tersebut saling memandu pemiliknya...

Pembinaan iman mestilah dengan ilmu. Tanpa ilmu, dapatkah iman terhasil? Tanpa iman pula, apalah gunanya ilmu? Kerana dengan ilmu, ia membolehkan kita melihat bukti dan tanda kekuasan-Nya dari pelbagai sudut, lalu mampu membuahkan iman yang baik dengan izin rahmat dan hidayah petunjuk-Nya. Dengan ilmu juga berupaya membuahkan kefahaman, lantas mampu membawa diri kita beramal dengan sahih.

Berbalik kepada topik, sedar atau tidakkah kita... iman dan taqwa sebenarnya saling mengait di antara satu sama lain bagi meraih, menuai, dan mencapai keberkahan serta kenikmatan hidup bagi kita semua. Dengan iman dan taqwa, Allah menjanjikan pelbagai ganjaran buat kita. Malah, bukan itu sahaja, tetapi pelbagai lagi akan dimudahkan untuk diberikan kepada kita sebagai kurniaan dan kenikmatan yang membuah rasa kecukupan dengan izin-Nya.

“Barangsiapa bertaqwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (ath-Thalaq, 65: 2-3)

Namun, ingin disentuh sedikit berkenaan fenomena aneh lagi pelik sekitar penyalah-gunaan ayat ini dari kalangan kebanyakan masyarakat kita hari ini. Mereka menggunakan ayat dari surah ath-Thalaq ini sebagai tangkal dan pelaris di kedai-kedai, gerai-gerai, rumah-rumah, dan restoran-restoran mereka bagi tujuan meraih rahmat dan kemurahan rezeki. Walhal, jika diteliti dan difahami dengan sempurna akan maksud ayat tersebut ianya sangatlah jelas menunjukkan Allah akan memberikan rezeki sekiranya mereka bertaqwa. Dan bukanlah sebagaimana yang mereka lakukan iaitu dengan menjadikannya sebagai tangkal dan meinggalkan keutamaan terhadap usaha memahami ayat tersebut.

Namun, sungguh mendukacitakan kita, bukan itu yang mereka laksanakan, bahkan mereka menggunakan ayat tersebut dengan cara yang menuju ke arah yang menyesatkan dan menjerumuskan diri mereka ke arah kancah
kesyirikan. Iaitu dengan menggunakan ayat tersebut sebagai tangkal, pelaris, dan mungkin juga sebagai perhiasan semata-mata. Entah dari mana agaknya panduan dan kaedah yang begitu sempit ini mereka perolehi. Bagaimana pula dengan dalil dan sumber rujukannya? Apakah mereka beramal dengan ilmu atau sekadar mengikut kehendak hawa nafsu semata-mata?

Mungkinkah mereka lupa atau terlepas pandang perihal peringatan Allah yang menyatakan bahawa al-Qur’an itu adalah sebagai huda (petunjuk), al-Furqon (pemberi peringatan), penjelas (mubin), busyro (berita gembira) dan juga rahmat? (Rujuk: Pengantar Studi Ilmu al-Qur’an, m/s. 19-23) Bukannya sebagai penangkal dengan cara yang sangat-sangat dangkal sepertinya itu!

Seterusnya, pernahkah kita mendengar kisah perihal negeri Saba’ yang begitu aman, makmur, dan penuh dengan rezeki yang melimpah ruah? Hal tersebut adalah antanranya disebabkan oleh para penduduknya yang sentiasa bertaqwa dan beramal soleh.

“Sesungguhnya bagi kaum Saba' ada tanda (kekuasaan Tuhan) di tempat kediaman mereka iaitu dua buah kebun di sebelah kanan dan di sebelah kiri. (kepada mereka dikatakan): "Makanlah olehmu dari rezeki yang (dianugerahkan) Tuhanmu dan bersyukurlah kamu kepada-Nya. (Negerimu) adalah negeri yang baik dan (Tuhanmu) adalah Tuhan Yang Maha Pengampun.” (Saba’, 34: 15)

Namun, akhirnya tetap Allah hancurkan dan menarik semula keberkahan yang dikecapi mereka atas sebab keingkaran dan kekafiran yang berlaku.

“Tetapi mereka berpaling, maka Kami datangkan kepada mereka banjir yang besar dan Kami ganti kedua kebun mereka dengan dua kebun yang ditumbuhi (pohon-pohon) yang berbuah pahit, pohon Atsl (cemara) dan sedikit dari pohon Sidr.” (Saba’ 34: 16)

Begitulah Allah menggambarkan kepada kita perihal orang yang berpaling dari kebenaran, meninggalkan sikap taqwa, dan iman.

Malah, hal ini juga dijelaskan dalam ayat-ayat-Nya yang lain sebagaimana berikut (maksudnya),

“Dan sekiranya mereka sungguh-sungguh menjalankan (hukum) Taurat dan Injil dan (Al-Quran) yang diturunkan kepada mereka dari Tuhannya, niscaya mereka akan mendapat makanan dari atas dan dari bawah kaki mereka. Di antara mereka ada golongan yang pertengahan. Dan alangkah buruknya apa yang dikerjakan oleh kebanyakan mereka.” (al-Ma’idah, 5: 66)

Menurut Sheikh Abdur Rahman as-Sa’di, “Sekiranya mereka melaksanakan perintah-perintah Allah, menjauhi larangan-larangan-Nya, seperti yang dianjurkan dan diperintahkan oleh Allah, dan termasuk perlaksanaannya adalah beriman kepada apa yang diserukan oleh Taurat dan Injil untuk beriman kepada Muhammad s.a.w. dan kepada al-Qur’an, niscaya mereka akan mendapat makanan dari atas mereka dan dari bawah kaki mereka. Yakni, Allah akan melimpahkan rezeki kepada mereka, langit dijadikan menurunkan hujan, bumi pula menumbuhkan tanaman.” (Rujuk: Tafsir as-Sa’di, jil. 2, m/s. 378-379) Hal ini juga adalah sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat yang lain dari surah al-A’raaf, 7: 96 sebagaimana berikut:

“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi.”

Melalui ayat ini dapat kita perhatikan juga bahawasanya iman dan taqwa itu adalah salah satu kriteria dan keutamaan untuk Allah menurunkan berkah, rezeki dan kenikmatan bagi satu-satu penduduk kawasan tertentu. Sebelum itu, saya nukilkan dari imam an-Nawawi berkenaan maksud keberkahan yang mana menurutnya, “Asal makna keberkahan, ialah kebaikan yang banyak dan berpanjangan.” (Syarh Shahih Muslim, oleh an-Nawawi, 1/225. Dinukil dari Majalah as-Sunnah, Kolum Baituna, m/s. 1)

Menurut Ibnu Katsir rahimahullah di dalam tafsirnya sekitar ayat ini, katanya:

“Allah memberitahukan tipisnya keimanan penduduk yang kepada mereka diutus para Rasul. Di antaranya seperti firman-Nya, “Dan mengapa tidak ada (penduduk) suatu kota yang beriman, lalu imannya itu bermanfaat bagi mereka, selain kaum Yunus. Tatkala mereka (kaum Yunus itu) beriman, Kami hilangkan dari mereka azab yang menghinakan dalam kehidupan dunia, dan Kami beri kesenangan kepada mereka sehingga pada waktu yang tertentu.” (Yunus, 10: 98)

Yakni, tidak ada suatu negeri yang beriman seluruh penduduknya, kecuali kaum Yunus. Keimanan yang merata itu terjadi ketika mereka melihat azab dengan mata kepala mereka, sebagaimana firman-Nya, “Dan Kami utus dia (Yunus) kepada seratus ribu orang atau lebih. Lalu mereka beriman, kerana itu Kami anugerahkan kenikmatan hidup kepada mereka hingga waktu yang tertentu.” (ash-Shaffat: 147-148)

Dan firman-Nya di surah Saba’ pun, menunjukkan betapa tipisnya iman suatu negeri yang kepada mereka diutus para Rasul. Allah berfirman, “Dan Kami tidak mengutus kepada suatu negeri, seorang pemberi peringatan pun, melainkan orang-orang yang hidup mewah di negeri itu berkata: "Sesungguhnya kami mengingkari apa yang kamu diutus untuk menyampaikannya".” (Saba’, 34: 34)

Firman-Nya, “Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa.” Yakni, hati mereka beriman kepada ajaran yang dibawa oleh para Rasul, membenarkannya dan mengikutinya, serta bertaqwa dengan melaksanakan ketaatan dan meninggalkan perkara yang diharamkan, “Pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi.” Yakni, hujan dari langit dan tumbuhan dari bumi. Allah berfirman, “Tetapi mereka mendustakan, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya.” Yakni, tetapi mereka mendustakan Rasul-Rasul Kami, maka Kami hukum mereka dengan kebinasaan akibat perbuatan dosa dan perbuatan haram yang mereka lakukan. (Rujuk: Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Jil. 3, 635-636) Kemudian Allah berfirman, untuk mengancam dan memperingatkan siapa saja yang menyelisihi perintah-Nya dan berani melanggar larangan-Nya pada ayat-ayat yang seterusnya dari ayat 97-99, surah al-A’raaf ini.

Kisah keberkahan yang menakjubkan pada zaman keemasan umat Islam juga pernah diungkapkan oleh imam Ibnul Qayyim rahimahullah: “Sungguh, biji-bijian dahulu, sama ada gandum mahupun yang lainnya adalah lebih besar berbanding dengan yang ada sekarang, sebagaimana keberkahan yang ada padanya biji-bijian ketika itu lebih banyak. Imam Ahmad telah meriwayatkan melalui jalur sanadnya, bahawa telah ditemukan di gudang sebahagian kekhilafan Bani Umawi sekantung gandum yang biji-bijinya sebesar kurma, dan bertuliskan pada kantung luarnya: “Ini adalah gandum hasil penuaian pada zaman keadilan ditegakkan”.” (Rujuk: Za’dul Ma’ad, 4/363, dan Musnad Ahmad, 2/296. Dinukil dari Majalah as-Sunnah, Kolum Baituna, m/s. 2)

Dapat kita singkap dari beberapa situasi di atas bahawasanya betapa iman dan taqwa itu sangat-sangat mempengaruhi akan perihal turunnya keberkahan, kesenangan, dan kenikmatan kepada kita semua.

Maka, apakah kita masih tidak mahu lagi untuk kembali melakukan amalan-amalan taqwa dan keimanan? Apakah sebahagian kelompok yang di luar sana masih berasa senang dengan keadaan mereka masing-masing yang meninggalkan aspek taqwa, iman dan kefahaman yang sewajarnya dalam menjalani kehidupan seharian?

Amat menyedihkan apabila ada sebahagian kelompok yang menyangka dirinya mahupun kelompoknya sentiasa suka mendabik dada bahawa hanya dia sahajalah yang amat tinggi taqwa dan imannya di sisi Allah. Walhal, keimanannya dan taqwanya semua itu tidaklah langsung dibina atas dasar ilmu dan kefahaman yang benar. Lantas, tidak lain, mereka meletakkan diri mereka ke arah daerah kesesatan. Makanya, dengan keadaan yang seperti itu, sudah pasti perjalanan hidupnya sedikit sebanyak sentiasa ada sahaja yang tidak kena dan mengundang pelbagai kegelisahan.

Di beberapa situasi terpandang juga kita akan beberapa kelompok yang sentiasa meletakkan fadhilat untuk keluar merantau (khuruj) atas alasan menjalankan dakwah dan usaha memperbanyakkan beramal selama 3 hari, 40 hari, dan mungkin sehingga berbulan-bulan tidak pulang ke rumah. Dari manakah sumbernya fadhilat bilangan hari ini mereka perolehi bagi menetapkan sekian dan sekian. Bagaimanakah pula persoalan anak isterinya? Ibu bapanya? Ditinggalkan berbulan-bulan, siapakah yang menjenguk mereka? Sedangkan di dalam al-Qur’an menyatakan, “Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka”. (at-Tahrim, 66: 6) Jadi di manakah soalnya tanggungjawab mereka? Dari sini sahaja, mereka sudah meninggalkan salah satu aspek taqwa yang lebih utama untuk didahulukan, iaitu mentaati perintah Allah untuk memerhatikan ahli keluarganya. Ditanyakan lagi, apakah amalan-amalan yang antaranya dilakukan bila anda keluar (khuruj)? Mereka menjawab dengan menyatakan contohnya seperti memperbanyakkan solat-solat sunnah, seperti solat malam (tahajjud), solat dhuha, dan seumpamanya. Malah, mereka menyatakan bila keluar di jalan Allah (khuruj), kita akan menjadi lebih tekun dan bersemangat untuk bersolat dan bangun di malam hari. Mereka menambah, dan saya pernah mendengarnya sendiri dari mereka menyatakan bahawa ‘Umar bin Abdul Aziz pernah melakukan solat malam sehingga 500 rakaat satu malam, malah ia merupakan amalan-amalan para sahabat dengan membanyakkan solat malam. Namun, apa yang saya fahami, dari beberapa hadis-hadis yang sahih menyatakan bahawa “...Sesungguhnya sebaik-baik solat seseorang adalah di rumahnya, kecuali solat wajib (fardhu).” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab Azan, no. 731). Juga saya ada mengetahui bahawa Nabi s.a.w. sendiri dinyatakan dari hadis ‘Aisyah r.anha bahawa beliau s.a.w. solat malamnya tidak melebihi sebelas rakaat. Maka, di manakah dasarnya cakpa-cakap mereka itu yang menyatakan dengan sekian dan sekian. Wallahu a’lam...

Manakala sebahagian kelompok yang lain pula ada yang menjadikan amalan-amalan dzikir tertentu secara melampau sehingga mampu menari dengan sendirinya lantaran kerasukan syaitan. Malah, dzikir yang diamalkan itu sendiri kebanyakannya langsung tidak tsabit dari Rasulullah s.a.w. bahkan mengandungi unsur-unsur kesyirikan.

Sebagai contoh saya nukilkan sebuah dzikir yang dimaksudkan bahkan ianya sangat popular dari kalangan masyarakat sekeliling kita, yang lebih kurang begini mafhumnya “Ilaahilas tulil firdausi ah halaa wa laa aqwa ‘alan naaril jahim... (& seterusnya) – maksudnya: Tuhanku, aku tidak layak untuk ke syurga-Mu, dan tidak pula aku sanggup ke neraka-Mu. Dari itu kurniakanlah ampunan kepadaku, ampunkanlah dosaku, sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar...” (Dipetik dari lagu Dzikir Taubat, oleh Madrasah al-Junaid)

Sedangkan di dalam al-Qur’an pada banyak tempat dinyatakan bahawa perlunya kembali bertaubat apabila sedar melakukan kesalahan dan dosa. Malah, Allah memerintahkan/menyeru agar bersegera kepada Syurga dan rahmat Allah yang luas terbentang. Siapa-siapa pun layak mendapatkan tawaran Allah terhadap Syurga-Nya itu dari kalangan orang-orang yang beriman dan sentiasa membersihkan dan menjauhkan diri dari dosa dan kesalahan. Dan barangsiapa yang ingkar, maka Allah juga telah menetapkan bentuk-bentuk ancaman yang tertentu. Oleh itu, andainya ianya (dzikir/bentuk-bentuk ibadah) itu bukanlah datangnya tsabit dari wahyu dan petunjuk Rasul-Nya, pastinya akan ada penyimpangan-penyimpangan yang jelas, bid’ah dan mengarah kepada kesesatan.

Di suatu kesempatan lain yang Allah berikan, saya pernah berbual dengan bekas pengamal kepercayaan wehdatul wujud, fana, dan hulul yang menyatakan bahawa dengan amalan-amalan tertentu kita mampu memperolehi ilmu kasyaf (penerokaan alam ghaib, membongkar hakikat rahsia ketuhanan, dan ilmu firasat). Dia menyatakan bahawa sehingga ke satu tahap (makam), kita mampu bercakap-cakap dengan syaitan/jin, yang mana bagi orang yang jahil pasti disangkanya kita sedang berbicara dengan Tuhan! Subhanallah, Na’uzibillah, hampir meremang juga bulu roma saya ketika itu. Mereka-mereka ini berkepercayaan bahawa manusia mampu bersatu dengan kewujudan Tuhan mengalami suatu keadaan tanpa sedar berupaya meneroka alam ghaib dan melihat apa yang sebelumnya tidak dinampakkan kepada manusia biasa. Walhal sebenarnya, tidak lain, mereka sedang diperayakan oleh Syaitahan.

Kemudiannya, sungguh saya terkejut ketika membaca Akhbar Harakah keluaran 1-15 Mei 2008, seorang yang bergelar Tok Guru membicarakan persoalan menguasai ilmu kasyaf yang membenarkan terbukanya rahsia-rahsia ketuhanan dengan sujud dan solat yang khusyu’ sebagai kuncinya. (Rujuk: Harakah, Edisi 1-15 Mei 2008/25 Rabbi'ul Awal - 9 Jamadil Awal 1429H, Kolum Fikrah, m/s. 7) Hatiku tiba-tiba merasakan tidak sedap dan sedikit risau dengan kenyataan nya yang tidak membawakan sebarang fakta dan dalil sebagai penyokong atau penguat dakwaannya.

“(Dia adalah Tuhan) Yang Mengetahui yang ghaib, maka Dia tidak memperlihatkan kepada seorangpun tentang yang ghaib itu. Kecuali kepada rasul yang diredhai-Nya, maka sesungguhnya Dia mengadakan penjaga-penjaga (malaikat) di muka dan di belakangnya.” (al-Jinn 72: 26-27) Wallahu a’lam...

Sungguh sekali lagi saya terkejut, apabila di dalam akhbar Harakah yang sama milik parti berlabel “Pejuang Islam” tersebut memartabatkan dan mengangkat tokoh-tokoh dari kaum tarekat yang telah difatwakan sesat. (Rujuk: Harakah, Edisi 1-15 Mei 2008/25 Rabbi'ul Awal - 9 Jamadil Awal 1429H, Kolum Fikrah, m/s. 24) Tidak lain, iaitu tokoh-tokoh dari pertubuhan Aurad Muhammadiyah dan al-Arqam yang jelas-jelas difatwakan sesat oleh JAKIM dan beberapa jawatankuasa fatwa yang lain. (Rujuk:
http://www.e-fatwa.gov.my/mufti/fatwa_search_result.asp?keyID=485) Sungguh saya agak sedih dengan pengikut-pengikut kepercayaan tasawuf falsafah ini yang jelas dari dulu sehingga sekarang telah diperingatkan, namun tetap degil dengan penyimpangannya. Sedangkan imam yang mereka akui mengikutinya, iaitu al-Imam asy-Syafi’e sendiri menyatakan, “Seandainya seseorang menjadi sufi (bertasawwuf) di pagi hari, niscaya sebelum datang waktu Zuhur, engkau tidak dapati ia, melainkan telah menjadi orang yang bodoh (dungu).” (Rujuk: al-Manaqib lil Baihaqiy, 2/207. Manhaj Imam asy-Syafi’i fi Itsbat al-Aqidah, 2/503. http://bahaya-syirik.blogspot.com/2008/04/57-10-fatwa-fatwa-imam-syafii-yang.html)

Entah bagaimana agaknya cara mereka berfikir ketika ini... Apakah kriteria keimanan dan ketaqwaan yang mereka fahami itu sejalan dengan landasan
salafus soleh (generasi terawal dari kalangan sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w.) ataupun mereka sebenarnya hanya mahu meletakkan maksudnya sejajar dengan kehendak hati-hati mereka dan ketua-ketua mereka? Wallahu a’lam.

Tidak hairanlah jika ada kelompok-kelompok zaman ini yang boleh bersekongkol dengan kaum yang jelas-jelas mengkafirkan dan sekurang-kurangnya memunafikkan atau merendah-rendahkan para sahabat Nabi radhiyallahu ‘anhum iaitu siapa lagi kalau bukan dari kalangan kaum Syi’ah! Kenapa agaknya mereka redha dengan kaum sesat ini, sedangkan mereka membelakangi kaum pencinta dan pengikut sahabat yang diredhai oleh Allah s.w.t.? Sekali lagi saya menukilkan kata-kata al-Imam asy-Syafi’e, Dari Yunus bin Abdila’la, beliau berkata: “Saya telah mendengar asy-Syafi’i, apabila disebut nama Syi’ah Rafidhah, maka ia mencelanya dengan sangat keras, dan berkata: “Kelompok terjelek! (terhodoh)”. (Rujuk: al-Manaqib, karya al-Baihaqiy, 1/468. Manhaj Imam asy-Syafi’i fi Itsbat al-Aqidah, 2/486.
http://bahaya-syirik.blogspot.com/2008/04/57-10-fatwa-fatwa-imam-syafii-yang.html)

Jadi, di manakah pendirian kita dalam menyelusuri jalan keimanan dan ketaqwaan yang sejati yang sejajar dengan jalannya Nabi s.a.w. bersama para sahabat-sahabatnya? Wajarkah kita menagih pelbagai keamanan, keberkahan, kesenangan, dan kenikmatan kepada Allah ‘azza wa jalla dalam keadaan diri kita sendiri tidak diletakkan berada pada landasan yang di-anjurkan-Nya terlebih dahulu? Malah, lantas dengan mendabik dada menyalahkan kelompok itu dan ini sebagai tidak menjalankan hukum Allah dan hukum Nabi. Walhal mungkin juga sebenarnya engkaulah kelompok yang bodoh sombong membelakangkan kebenaran berbanding hawa nafsu dan kebencian mengejar kekuasaan. Mendahulukan nafsu berkuasa berbanding tarbiyah aqidah selaras
manhaj salafus soleh yang diredhai dan dirahmati. Sedangkan salah satu janji Allah s.w.t. terhadap kita semua adalah kekuasaan di muka bumi ini atas syarat iman dan amal-amal yang soleh. Namun, ke manakah perihalnya itu semua sudah tidak menjadi priority lantaran gila mendahulukan kekuasaan dengan kekerasan membiarkan masyarakat terkapai-kapai dalam kegilaan memuja ketua dan tokoh masing-masing. Budaya ilmu dibiar ketepi, mengajak manusia berjihad dengan jalan yang sempit memenangkan kelompok asabiyah atas senjata caci maki dan cercaan. Na’uzubillah...

“Sesungguhnya Kami telah menunjukinya jalan yang lurus; ada yang bersyukur dan ada pula yang kafir.” (al-Insaan, 76: 3) Dapat kita lihat, bahawa Allah meletakkan kalimat syukur dengan lawannya sebagai kafir iaitu mengingkari perintahnya. Membawa pengertian bahawa syukur di sini menunjukkan maksud dengan menepati kebenaran. Setelah Allah menciptakannya dengan keupayaan pendengaran dan penglihatan pada ayat sebelumnya.

Sebenarnya Allah telah memberikan beberapa kriteria dalam meraih keberkahan, nikmat dan rezeki yang baik.

Iaitu, antaranya sebagaimana dalam firman-Nya, “Dan ingatlah tatkala Rabbmu mengumandangkan: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Ibrahim, 14: 7)

“Dan barangsiapa yang bersyukur, maka sesungguhnya ia bersyukur demi (kebaikan) dirinya sendiri.” (an-Niml 27: 40)

Allah menceritakan perihal Nabi Hud a.s. bersama kaumnya di dalam al-Qur’an, (maksudnya), “Dan (Hud berkata): “Hai kaumku, beristighfarlah kepada Rabbmu lalu bertaubatlah kepada-Nya, niscaya Dia menurunkan atasmu hujan yang sangat lebat, dan Dia akan menambahkan kekuatan kepada kekuatanmu dan janganlah kamu berpaling dengan berbuat dosa”.” (Hud 11: 52)

Menurut Tafsir ath-Thabari, “Akibat kekufuran dan perbuatan dosa kaum ‘Ad mereka ditimpakan kekeringan dan kemandulan, sehingga tidak seorang wanita pun berupaya melahirkan anak. Keadaan ini berlangsung selama beberapa tahun lamanya. Oleh kerana itu, Nabi Hud a.s. memerintahkan mereka untuk bertaubat dan beristighfar. Dengan taubat dan istighfar itu, Allah akan menurunkan hujan, dan mengurniakan mereka anak keturunan.” (Rujuk Tafsir ath-Thabari, 15/359, & Tafsir al-Qurthubi, 9/51. Dinukil dari Majalah as-Sunnah)

Maka, tidak lain... setelah beberapa contoh keadaan dan situasi yang dibawakan melalui beberapa dalil al-Qur’an dan penjelasan ulama tafsir, antara cara meraih keberkatan, kenikmatan, kesenangan, dan rezeki yang mencukupi atau melimpah ruah, adalah dengan kembali kepada keimanan dan ketaqwaan dalam bentuk yang benar keadaan serta kaedahnya. Juga tidak lain bagi yang tersedar dari perlakuan dosa, agar segera kembali dengan bertaubat. Selain itu, dakwah tarbiyah aqidah perlulah berjalan bagi memastikan setiap kita ini beramal dengan keadaan yang berilmu atas dasar fakta yang sahih supaya keimanan dan ketaqwaan itu dapat terbina dengan binaan yang jitu dan tidak goyah dengan pelbagai arus serangan yang melanda, sekaligus menjauhi pelbagai fenomena gejala kesasatan. Kembali merujuk kepada para ulama-ulamanya ahlus Sunnah yang menegakkan dalil dan fakta yang akurat dari jalannya
salafus soleh... dan bukannya hanya menjadi lembu dicucuk hidung, burung belatuk, mahupun si kakak tua yang menganggukkan (meng-iyakan) setiap berita yang sampai kepadanya sebagaimana firman Allah s.w.t. (maksudnya), “Apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah mengikuti apa yang diturunkan Allah dan mengikuti Rasul.” Mereka menjawab: “Cukuplah untuk kami apa yang kami dapati bapak-bapak kami mengerjakannya.” Dan apakah mereka itu akan mengikuti nenek moyang mereka walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui apa-apa dan tidak (pula) mendapat petunjuk?”.” (al-Ma’idah, 5: 104)

Semoga kita sama-sama meneliti kembali dasar keimanan dan ketaqwaan kita agar ianya bukan dibina dari dasar kejahilan, ikut-ikutan, dan tanpa berpijak di atas fakta yang sewajarnya. InsyaALLAH, dengan izin-Nya, bumi kita akan kembali memancarkan sinar cahaya yang penuh kenikmatan, kesenangan, dan keberkahan dengan mendahulukan manhaj ilmu, iman, dan taqwa. Semuanya, tidak lain dan semestinya difokuskan atas dasar dan tujuan mencari dan mencapai keredhaannya berpandukan kepada kaedah dan cara yang Dia sendiri tunjukkan...

Wallahu a’lam...

Rujukan:

1 – Tafsir as-Sa’di (Judul Asli: Taisir al-Karim ar-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, oleh Sheikh Abdur Rahman bin Nashir as-Sa’di), Terbitan Pustaka Sahifa.

2 – Shahih Tafsir Ibnu Katsir (Judul Asli: al-Mishbahul Muniir fii Tahdziibi Tafsiiri Ibni Katsir), Terbitan Pustaka Ibnu Katsir, Cet. 1428H/2007M.

3 – Majalah as-Sunnah, Edisi 01/Tahun XII/1429H/2008M.

4 – Website Majlis Fatwa Kebangsaan (Rujukan Rasmi Fatwa di Malaysia),
http://www.e-fatwa.gov.my

5 – Website Utusan Online,
http://www.utusan.com.my (http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=1207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_09.htm)

6 – Pengantar Studi Ilmu al-Qur’an (Judul Asli: Fii ‘Ulumul Qur’an, oleh Sheikh Manna Khalil al-Qaththan), Terbitan Pustaka al-Kautsar, Cet. April 2006.

7 - Akhbar Harakah, Edisi 1-15 Mei 2008/25 Rabbi'ul Awal - 9 Jamadil Awal 1429H.

0 comments: