“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Rabu, Mei 21, 2008

Dia Se-Akan Sang Rasionalis

Dia Se-Akan Sang Rasionalis

Di musim-musim konvokesyen UiTM ni... sungguh bertuah kerana dapat ketemu dengan sahabat-sahabat lama. Sama ada mereka terlibat secara rasmi dalam istiadat penyampaian sijil pengajian mereka atau pun datang sebagai pelawat yang menyertai ahli keluarga mereka yang menerima sijil. Aku yang masih setia tinggal di Shah Alam ini walaupun musim cuti semester sedang berlangsung adalah sekadar mengambil ketenangan berseorangan untuk menghabiskan seberapa banyak buku-buku yang aku beli sebelum ini.

Juga, mengambil peluang untuk menghadiri beberapa kuliah-kuliah pengajian fiqh, hadis dan tafsir di sekitar Shah Alam.

Semalam aku bertemu dengan salah seorang sahabat lamaku yang dulunya bersama di UiTM Arau sekitar empat tahun yang lalu. Entah bagaimana, tiba-tiba beliau mempersoalkan berkenaan sesuatu yang agak mengejutkan aku.

Tidak ku sangka, beliau memiliki fikrah yang agak rasionalis sekarang. Dari segi pertuturan dan pengetahuannya, aku dapat membayangkan dia adalah seorang pemikir yang hebat. Namun, mungkin ada suatu kekurangan dalam dirinya apabila dia mungkin kurang mengambil info Islam dari sumber ulama yang selayaknya.

Dia adalah seorang yang berpendidikan Islam dari zaman sekolah menengahnya. Dia seorang yang berfikrah agama yang juga sangat baik. Kerap kali menjadi imam ketika bersolat di surau kolej dulu. Kerap mengendalikan usrah dan mengajak sahabat-sahabatnya untuk mengenali Islam.

Tapi, adakah itu mungkin hanya tinggal kenangan?

Setelah, sejauh kira-kira 40 minit kami bersembang sekitar persoalan sahabat-sahabat lama yang lain dan arah tuju perjuangan dakwah yang dahulu. Dia tiba-tiba melontar satu persoalan yang bersungguh-sungguh seolah-olah mahu mengenakanku. Dahulunya, kami saling bersama dalam urusan usrah dan mengendalikan surau di kolej di kampus suatu ketika dahulu.

Aku berkata dalam hati, “Dia adalah seorang rasionalis!!!” Mungkinkah?

Apakah dengan menanyakan dan mempersoalkan berkenaan kekuasaan Allah, dia mampu menarik aku kepada pemikiran rasionalis yang dipegangnya sekarang? Yang dengan pemikiran itulah dia yakini dan banggakan ketika berbual denganku.

Apabila dia mempersoalkan berkenaan Kekuasaan Allah, aku menjawab, “Ya, Allah Maha berkuasa”. Dia bertanya dan bertanya, sehingga aku rasa seperti ada yang tidak kena, kerana persoalan itu semuanya seakan-akan soal yang remeh, namun kenapa dia bertanya seakan-akan orang yang tidak mengerti. Dia bertanya lagi, “Adakah Allah Maha pencipta?” Aku jawab, “Ya, Dia Maha Pencipta.”

Tiba-tiba dia melanjutkan persoalan, Jika begitu, mampukah Allah menciptakan Tuhan yang kedua? Mampukah Tuhan menciptakan sebuah batu yang Dia sendiri tidak mampu mengangkatnya? Sambil menunjukkan muka yang sinis, dia minta aku memberikan jawaban.

Aku menyatakan kepadanya, “Jika aku tidak tahu jawaban tersebut, apakah kau akan memberikan jawabannya kepadaku?”

Lantas dia menjawab, “Sebenarnya, dalam agama ini perlu ada sebahagian tempat yang perlu ditafsirkan semula dan diberi nafas yang moden sesuai dengan daya fikir golongan masyarakat zaman ini.”

“Maksudnya?” Aku kurang faham.

“Sebagai contoh, dalil-dalil yang kau utarakan berkenaan soal ketaatan kepada pemimpin tadi, sebenarnya dalil-dalil tersebut sudah tidak relevan untuk dipraktikkan di zaman ini dalam keadaan kita yang menggunakan sistem demokrasi berparlimen yang dengannya rakyat boleh menukar dan menjatuhkan pemimpin yang sedia ada yang tidak layak untuk terus memerintah.” Dia seakan-akan berhujjah.

Sebelumnya, memang kami ada berbual berkenaan perlunya wajib mentaati dan larangan mencaci pemerintah atas sebab dia menanyakan pendapat aku berkenaan pilihanraya.

Lalu dia meneruskannya, “Dalam keadaan sistem seperti yang kita amalkan hari ini juga, kita dibenarkan untuk mengkritik pemerintah sama ada secara terbuka atau melalui saluran-saluran yang telah diberi, iaitu melalui akhbar, internet, laman-laman web, juga ceramah-ceramah yang boleh kita adakan.”

Dia cuba menyokong hujjahnya dengan akal dan rasional, “Jika kita terus membiarkan golongan pemerintah yang sekarang berada di atas, maka sampai bila akan terus tertindas? Jika kita terus menjadi pemegang mazhab zahiri yang mengambil maksud hadis secara zahir, sampai bilakah kita akan mampu menegakkan Islam? Dalil-dalil taat kepada pemerintah itu semua tidak lebih hanya mampu menjadi penghalang kepada pejuang-pejuang agama yang ikhlas untuk mendidik masyarakat. Malahan menjadi lesen pula kepada pemerintah yang zalim untuk terus bertakhta.”

Dalam hatiku, hebat benar gaya pemikiran beliau sekarang. Sehingga sudah mampu memberi tafsiran yang baru terhadap dalil-dalil yang dimaksudkan.

Aku biarkan dia dengan bicaranya, lalu aku menghadiahkan card name aku. Lalu menyatakan kepadanya, silakan mengunjungi web blog yang tertera dalam card ku itu. Lalu aku menyatakan bahawa aku tidak punya banyak masa untuk duduk minum-minum dan melanjutkan perbualan, kerana ada urusan yang perlu dilaksanakan.

Dia mengizinkan aku pergi, dan dia terus melanjutkan perbualan dengan beberapa sahabat yang turut datang bersamanya dari awal tadi. Lalu aku pun beredar dari restoran tersebut dengan langkah yang sedikit kecewa dengan sikapnya yang jelas nampak berubah.

Sambil berjalan, aku teringatkan beberapa ayat al-Qur’an yang menyatakan berkenaan sifat-sifat Allah,

“Allah itu Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana

“Tidaklah sesuatu musibah itu berlaku, melainkan dengan izin Allah

“Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah dengan berkata: “Jadilah!” Maka terjadilah ia. Maka Maha Suci Allah yang di tangan-Nya kekuasaaan atas segala sesuatu dan kepada-Nyalah kamu dikembalikan.”

“Dan mereka itu tidak memberi mudharat dengan sihirnya kepada seorangpun, kecuali dengan izin Allah.”

Adalah sesuatu yang mustahil bahawa Allah memiliki seteru (rakan kongsi) dalam penciptaan bumi ini. Yang mana hal tersebut telah jelas di dalam al-Qur’an,

“Allah sekali-kali tidak mempunyai anak, dan sekali-kali tidak ada tuhan (yang lain) beserta-Nya, jika ada tuhan beserta-Nya, masing-masing tuhan itu akan membawa makhluk yang diciptakannya, dan sebahagian dari tuhan-tuhan itu akan mengalahkan sebahagian yang lain. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sifatkan itu.” (al-Mukminuun, 23: 91)

Dan tidak akan berlaku sesuatu apa pun melainkan dengan izin-Nya dan kadar ketetapannya.

Maha Suci Allah, tidak-lah Allah itu bersifat bodoh dan tidak mengetahui. Dan sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui lagi Maha bijaksana.

Ingatanku kepada beberapa dalil-dalil tersebut, serba sedikit melegakan hatiku.

Lalu aku beralih fikir kepada penafian dalil-dalil akan wajibnya mentaati pemerintah. Manakala, adalah bolehnya mencela dan membuka ‘aib para pemerintah mahupun penguasa negara sendiri dengan sesuka hati atas alasan mahu menegakkan Islam dan menjatuhkan pemerintah zalim. Ini semua adalah merupakan bentuk-bentuk pemikiran yang tidak mahu melihat dan berpijak kepada dalil yang sahih. Prinsip-prinsip para ulama agung dipinggirkan, lalu diangkatnya ustaz-ustaz jalanan sebagai rujukan.

Lalu jika demikianlah situasi dan tafsiran sang rasionalis, maka... akan berlakulah nanti, semua dalil-dalil al-Qur’an dan hadis itu tidak relevan lantaran ditafsirkan dengan nafsu dan akal-akal yang dangkal itu. Semuanya tidak lain, kerana terperangkap dengan fenomena semasa. Walhal, hati-hati mereka yang kering dengan ilmu warisan para ulama salafus soleh. Lalu segera mendabik dada, dalil itu dan ini perlu ditinggalkan dan menjadi mansuh lantaran bagi menyokong perjuangan Khawarij bermanhaj muktazilah!

Saya percaya, dia sendiri tidak mengerti apa itu muktazilah, apa itu khawarij. Lantaran tidak mengetahui, dia mungkin terjebak. Aku segera melenyapkan fikiran ku yang bukan-bukan lalu mempercepatkan langkahku, walau hati terasa kurang tenang.

0 comments: