“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Ahad, Mei 18, 2008

Petunjuk Wahyu Buat Mereka Yang Menghadapi Musibah

Petunjuk Wahyu Buat Mereka Yang Menghadapi Musibah

http://an-nawawi.blogspot.com

Hampir setiap hari, setiap minggu, setiap bulan, setiap tahun, dan mungkin bila-bila masa sahaja, pasti ada sahaja sesuatu yang datang kepada kita, kepada keluarga kita, kepada sahabat-sahabat kita mahupun sesiapa sahaja dari insan yang kita kenali atau pun tidak. Yang berada berdekatan mahupun yang jauh jaraknya dari lokasi kita berada. Suatu perkara yang datang dalam bentuk yang adakalanya tidak kita sangka-sangka. Sama ada dalam bentuk peristiwa, harta atau kemewahan, kesakitan, kegembiraan, dan mungkin juga termasuklah perubahan fenomena alam.

Hakikat dan realitinya, dalam kehidupan kita sebagai manusia yang merupakan hamba Allah, iaitu hamba kepada Tuhan yang Maha Pencipta dan yang Mengatur sekalian Alam, kita pasti tidak akan lepas dari menerima atau mengalami pelbagai jenis cubaan, ujian, dan mungkin juga fitnah mahu pun musibah.

Malahan, ujian dan pelbagai jenis cubaan itu sendiri adalah merupakan sunnatullah. Yang mana Allah sendiri telah menyatakan bahawa Dia akan menguji kita dengan sesuatu hal yang sama ada disenangi mahu pun yang sebaliknya iaitu dari hal yang dibenci.

Allah subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):

“Setiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Dan hanya kepada Kami-lah kamu kembali.” (Surah al-Anbiya’, 21: 35)

Dalam ayat yang lain, Allah subhanhu wa Ta’ala menyatakan,

“Dan Kami bahagikan mereka di dunia ini menjadi beberapa golongan, di antaranya ada orang-orang yang sholeh dan ada yang tidak demikian. Dan Kami uji mereka dengan nikmat yang baik-baik dan bencana yang buruk-buruk, agar mereka kembali (kepada kebenaran).” (Surah al-A’raaf, 7: 168)

Al-Imam Ibnu Katsir menyatakan berkenaan ayat ini antaranya “bahawa Allah akan menguji dengan kelapangan hidup dan kesusahan, dengan kesenangan dan ketakutan, dengan keselamatan dan bencana, iaitu supaya mereka kembali kepada kebenaran.” (Rujuk Shahih Tafsir Ibnu Katsir, jil. 3, m/s. 714-715)

Perkara ini memang tidak dapat dinafikan, (sebagai contoh) yang mana tentu sekali kita pernah mendengar suatu khabar yang menggemparkan dunia dengan fenomena gelombang Tsunami yang melanda sekaligus meranapkan hampir keseluruhan wilayah Acheh sekitar beberapa tahun yang lalu. Ada dari kalangan mereka yang meninggal dunia, ada yang cedera, ada yang terselamat, ada yang menjadi sebatang kara kehilangan ahli keluarga, kehilangan harta dan pelbagai lagi yang datang dalam masa yang sama kepada individu yang berbeza-beza.

Baru-baru ini juga suatu fenomena yang hampir serupa terjadi di Myanmar. Iaitu melalui bencana Taufan Nargis yang tidak kurang hebatnya melanda beberapa bahagian negara itu. Dengannya dikhabarkan sebagai jutaan penduduk menjadi mangsa dalam tragedi tersebut. Tidaklah juga ia sekadar berkisar kepada dua contoh ini sahaja, malahan sebelum itu kita pernah digemparkan dengan Ribut Grik di Sabah, runtuhnya bangunan Highland Tower di Ibu Negara, dan juga gempa bumi di negara-negara luar yang tidak kurang banyaknya berlaku setiap tahun.

Mungkin ada sebahagian pihak yang menyatakan bahawa fenomena itu adalah merupakan sebahagian dari azab Allah yang melanda kaum yang tidak beriman dan suka melakukan maksiat. Maka, dengan itu ia diturunkan sebagai pengajaran buat mereka. Wallahu a’lam, pendapat seperti itu sebenarnya sama sekali kurang tepat dan memerlukan penelitian dari pelbagai sudut yang lain. Apakah kita mahu menjadi jurucakap Tuhan?

Sebenarnya tragedi dan ujian seperti itu boleh juga turun kepada kaum yang beriman dan mungkin sesiapa sahaja. Sebagai golongan yang beriman dengan petunjuk yang benar, pertama-tamanya kita perlu meyakini bahawa itu semua terjadi adalah dengan izin Allah subhanahu wa Ta’ala sebagaimana firman-Nya (maksudnya):

“Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barangsiapa yang beriman kepada Allah niscaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Surah at-Taghabun, 64: 11)

Kembali kepada ayat yang saya bawakan di atas, ujian dan bencana tidak semestinya datang dalam bentuk tragedi seperti ombak Tsunami dan Taufan, tetapi juga ia mungkin datang dalam bentuk yang kita sendiri tidak menyedarinya sama ada dalam bentuk kesenangan atau kepayahan.

Ia juga mungkin datang bukan sahaja menguji orang-orang yang menerima ujian tersebut, tetapi juga menguji golongan yang melihat dan mengetahui datangnya musibah tersebut walaupun ia ditimpakan kepada golongan yang lain. Sekaligus, memperlihatkan, apakah reaksi bagi kelompok yang melihat musibah tersebut. Bagaimanakah sikap mereka dalam menanggapi insan-insan yang mengalami musibah, adakah mereka menghulurkan bantuan, bersyukur kerana dilindungi Allah, dijadikan sebagai iktibar, ataukah mungkin mereka memandang sinis, mencela dengan perkataan yang tidak sewajarnya, atau mungkin mereka langsung tidak memiliki sebarang respon dalam hati-hati mereka. Ini sebagaimana Allah subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya),

“Dia-lah yang telah menciptakan mati dan hidup untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa lagi Maha Pengampun.” (Surah al-Mulk, 67: 2)

“Maka apakah mereka merasa aman dari azab Allah (yang tidak terduga-duga)? Tiada yang merasa aman dari azab Allamh kecuali orang-orang yang rugi.” (Surah al-A’raaf, 7: 99)

Dalam persoalan tersebut, mungkin kita terlupa, bahawa sesungguhnya Allah tidaklah menetapkan sesuatu itu berlaku melainkan dengan sebab dan hikmah yang tertentu. Bagi mereka yang mahu berfikir, pasti akan mendapati setiap kejadian sama ada baik atau buruk, ia tetap mengandungi hikmah dan rahmat bagi kita selaku hamba Allah.

Al-Imam Ibnul Qayyim rahimahullah menyatakan:

“Andaikata kita berupaya menggali hikmah Allah yang terkandung dalam ciptaan dan urusan-Nya, sesungguhnya tidak kurang dari ribuan hikmah. Namun, akal kita sangat terbatas, pengetahuan kita terlalu sedikit dan ilmu semua makhluk akan sia-sia jika dibandingkan dengan ilmu Allah, sebagaimana sinar lampu yang sia-sia di bawah sinar matahari. Dan hal tersebut sebenarnya hanyalah sekadar perkiraan dan sebuah gambaran.” (Syifaa’ul ‘Aliil fii Masaa’ilil Qadhaa’ wal Qadar wa Hikmah wa at-Ta’liil, hal. 452, cet. Daaru Zamzam. Dinukil dari buku Wirid & Doa, oleh Yazid Abdul Qadir Jawas, terbitan Pustaka Imam asy-Syafi’i, m/s. 239)

Jika kita sentiasa menjadi manusia yang mahu berfikir, mengkaji, serta sentiasa memuhasabah diri kembali kepada petunjuk al-Qur’an dan as-Sunnah, insyaAllah kita akan menemukan pelbagai jawaban tentang setiap persoalan yang melanda. Pelbagai ujian, cubaan, cabaran, penderitaan, tragedi, penyakit, kesusahan, khabar sedih mahupun gembira, manfaat atau pun hikmah, sesungguhnya semua itu telah dinyatakan oleh Allah subhanahu wa Ta’ala dan Rasul-Nya sendiri sebagai memiliki sebab-sebab dan tujuan yang tertentu.

Hati Yang Sabar Dan Sentiasa Bersyukur

Sebagai umat Islam yang beriman, pertamanya, kita amat dituntut untuk bersabar dalam apa jua perkara yang berlaku dan terjadi terhadap diri kita. Dalam hal ini, Allah subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):

“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun” (Sesungguhnya kami adalah milik Allah, dan kepada-Nya lah kami kembali). Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, 2: 155-157)

Dalam suatu hadis menyatakan bahawa orang-orang yang beriman itu sikapnya sentiasa bersyukur apabila berlaku sesuatu yang yang menggembirakannya, manakala sebaliknya, dia juga sentiasa bersabar bila mana terjadi perkara yang mengakibatkan kesusahan kepadanya.

Rasulullah shallahu ‘alaihi wa sallam bersabda (maksudnya),

“Sungguh menakjubkan dalam urusan orang-orang yang beriman, sesungguhnya semua urusannya merupakan kebaikan, dan hal ini tidak terjadi kecuali bagi mereka yang beriman. Jika dia mendapat kegembiraan, maka dia bersyukur dan itu merupakan kebaikan baginya, dan jika mendapat kesusahan, maka dia bersabar dan ini merupakan kebaikan baginya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2999)

Malah, Allah sendiri memberi motivasi bagi mereka yang bersabar iaitu dengan menjanjikan berita yang menggembirakan kepada mereka dalam setiap ujian yang diterimanya,

“Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar...”

Pelbagai Ujian Sebagai Bukti Kasih Sayang Allah Kepada Hambanya

Dalam beberapa keadaan, ada sebahagian pihak yang memiliki sifat suka dan cepat menghukum. Mereka menyatakan kepada pihak yang lain yang ditimpa musibah dan ujian kesusahan sebagai kelompok yang dibenci oleh Allah malah dilaknat oleh Allah.

Sewajarnya, kita perlulah berhati-hati dengan menilai perkara tersebut dengan dalil yang betul. Ia sebenarnya belum tentu diturunkan sebagai tanda Allah murka dan benci kepada pihak tersebut.

Dalam hal ini, Rasulullah shallahu ‘alaihi wa sallam bersabda (maksudnya),

“Sesungguhnya besarnya ganjaran (pahala) bersamaan dengan besarnya ujian (bala’). Sesungguhnya apabila Allah mengasihi sesuatu kaum, Dia menurunkan ujian (bala’). Maka sesiapa yang redha maka dia mendapat keredhaan (Allah) dan sesiapa yang marah maka dia mendapat kemurkaan (Allah).” (Rujuk: Sahih Sunan at-Tirmidzi, Kitab al-Zuhud, hadis no. 2396. Hasan menurut Syaikh al-Albani, no. 146, di dalam Silsilah al-Ahaadis ash-Shahihah)

Ujian Dan Musibah Menghapuskan Dosa Orang Yang Beriman

Rasulullah shallahu ‘alaihi wa sallam bersabda (maksudnya),

“Tidaklah menimpa seseorang yang beriman itu mengalami rasa sakit yang berpanjangan, kepayahan, penyakit dan juga kesedihan, bahkan sehinggakan kesusahan yang menyusahkannya, melainkan akan dihapuskan dengannya dosa-dosanya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2573)

Daripada hadis ini menunjukkan bahawa kesusahan, kepayahan, kesakitan, dan juga kesedihan akan menjadi suatu medan penghapus kepada dosa-dosa yang ada padanya. Apa yang tersebut adalah menunjukkan betapa sifat Maha Kasih-sayang Allah subhanahu wa Ta’ala terhadap hamba-hambanya.

Dari Abu Sa’id al-Khudri radhiyallahu ‘anhu dia berkata, “Ada seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah shallahu ‘alaihi wa sallam, “Beritahulah kepadaku tentang penyakit-penyakit yang menimpa kami ini, apa yang kami perolehi darinya?” Rasulullah shallahu ‘alaihi wa sallam menjawab, “Pengampunan dosa-dosa”. Ubay bin Ka’ab berkata, “Sekalipun penyakit itu sedikit?” Beliau bersabda lagi, “Sekalipun sebuah duri dan yang lebih kecil lagi...”.” (Hadis Riwayat Ahmad, 3/23)

Diberi Pahala, Dihapuskan Suatu Kesalahan, Dan Dinaikkan Darjat

Bagi orang-orang yang beriman juga, dengan suatu ujian dan musibah ia dijadikan Allah akan mendapat ganjaran pahala, dituliskan kebaikan kepadanya, dihapuskan kesalahan, dan diangkat darjatnya. Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan melalui beberapa hadis,

“Tidaklah seorang hamba ditimpa suatu musibah lalu mengucapkan, “Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun” melainkan Allah akan memberikan pahala dalam musibahnya itu, dan menggantikan dengan yang lebih baik baginya.” (Hadis Riwayat Muslim, 918)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah shallahu ‘alaihi wa sallam bersabda (maksudnya),

“Tidaklah seseorang muslim yang tertusuk duri atau yang lebih dari itu, melainkan ditetapkan baginya dengan sebab itu satu darjat dan dihapuskan pula satu kesalahan darinya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2572)

Begitulah Allah menyatakan bahawa akan mengangkat darjat seseorang yang beriman itu melalui ujian dan musibah yang dia sendiri berikan kepada hamba-hambanya.

Sebagai Ujian Keimanan

Selain itu, Allah subhanahu wa Ta’ala menurunkan beberapa ujian dan cubaan yang tertentu buat para hamba-hambanya dengan tujuan menguji keimanan mereka.

Hal ini dijelaskan oleh Allah subhanahu wa ta’ala di dalam firman-Nya,

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sebarang cubaan)? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Surah al-Ankabut, 29: 2-3)

Ujian Sebagai Jalan Menuju Syurga

Tsabit di dalam suatu hadis sahih bahawa Syurga itu diperolehi antaranya dengan jalan yang berliku dan perkara-perkara yang tidak disenangi. Manakala neraka itu jalannya dipenuhi dengan pelbagai macam kehendak dan keperluan yang memenuhi nafsu serta syahwat.

“Syurga itu dikelilingi dengan hal-hal yang tidak disukai dan Neraka itu dikelilingi dengan pelbagai jenis nafsu syahwat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 6487)

Selain itu, Allah subhanahu wa Ta’ala juga menyatakan bahawa bagi orang-orang yang sabar dalam menghadapi pelbagai kesusahan dan kepayahan dalam kehidupannya adalah ganjaran Syurga. Allah memberi ganjaran Syurga kepada hamba-hambanya yang sentiasa memiliki sifat redha, sabar dan tabah dalam setiap ujian yang diberikan kepadanya.

Dalam satu hadis Qudsi, Allah subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya), “Tidaklah ada suatu balasan dari sisi-Ku bagi hamba-Ku yang beriman, jika Aku telah mencabut nyawa orang kesayangan-nya dari penduduk dunia kemudian dia bersabar atas kehilangan orang kesayangannya itu melainkan Syurga (sebagai balasan – ed.).” (Hadis Riwayat al-Bukhari, rujuk: Fathul Bari, 10/242)

Menerapkan Sifat Rendah Diri Dan Menghilangkan Sifat Lalai

Dengan suatu ujian dan cubaan yang tertentu, sebenarnya ia berupaya membawa para insan agar lebih mudah untuk menempatkan dirinya mendekati Allah. Dengan suatu kepayahan dan kesusahan, ia sebenarnya lebih mudah membawa manusia agar sentiasa memiliki sifat rasa kekurangan dan sentiasa memerlukan Allah. Hati akan lebih mudah untuk luntur dan sayu dalam keadaan yang menguji. Adakalanya, sebahagian manusia sentiasa leka dan lalai dari mengingati Allah apabila dia berada dalam keadaan yang menyenangkan, limpahan kekayaan, dan kecukupan apa yang diperlukan. Lalu Allah mendatangkan beberapa ujian tertentu bagi mengembalikan hati mereka ini agar mengingati Allah dan menjadi rendah diri.

Allah subhanahu wa Ta’ala berfirman,

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus kepada umat-umat sebelummu, kemudian Kami siksa mereka dengan (menimpakan) kesengsaraan dan kesusahan, supaya mereka memohon (kepada Allah) dengan tunduk merendah diri.” (Surah al-An’am, 6: 42)

Namun, di sana terdapat suatu atsar (kata-kata tabiut Tabi’in) yang menyatakan bahawa jika setelah Allah menimpakan ujian kepada sebahagian kaum tertentu namun tidak juga mereka memiliki kesedaran dan kembali tunduk kepada Allah, maka Allah akan menurunkan suatu bentuk tipu daya yang berupa kesenangan yang memperdayakan. Ini dapat dilihat melalui satu penjelasan dari atsar al-Hasan al-Basri,

Al-Hasan al-Basri menyatakan, “Barangsiapa yang diluaskan oleh Allah namun dia tidak melihat (tidak menyedari) bahawa Allah mempedayakannya, bererti dia tidak mempunyai fikiran. Barangsiapa yang disempitkan oleh Allah namun dia tidak melihat (tidak sedar) bahawa Allah menangguhkan (dengan memberi kesenangan untuknya), bererti dia tidak memiliki fikiran.” Kemudian dia membaca firman Allah (maksudnya),

“Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membukakan semua pinttu-pintu kesenangan untuk mereka; sehinggakan apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami siksa mereka dengan secukup-cukupnya, maka ketika itu mereka terdiam berputus-asa” (Surah al-An’am, 6: 44).” (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim, 4/1291. Rujuk: Shahih Tafsir Ibnu Katsir, jil. 3, m/s. 306)

Dalam suatu ayat yang lain, Allah subahahu wa Ta’ala menyatakan (maksudnya),

“Dan tidaklah mereka mahu melihat, bahawa mereka diberi ujian (dengan pelbagai cubaan) pada tiap-tiap tahun, sekali atau dua kali; kemudian mereka tidak juga bertaubat dan tidak pula mereka mahu beringat (serta insaf)?” (al-Taubah, 9: 126)

Ujian Melanda Akibat Hilangnya Urusan Dakwah

“Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) fitnah yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab siksa-Nya.” (Surah al-Anfal, 8: 25)

Di dalam suatu hadis, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menyatakan,

“Tidaklah satu kaum yang di kalangan mereka terdapat orang-orang yang melakukan maksiat sementara kaum itu pula lebih kuat dan lebih ramai daripada orang-orang yang melakukan maksiat, tetapi mereka tidak pula menghalangnya, melainkan Allah meliputi mereka semua dengan siksaan.” (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya, jil. 4, m/s. 364, hadis no. 19230)

Melalui dua penjelasan tersebut, dapat kita maklumi bahawa fitnah dan ujian juga boleh melanda di dalam lingkungan kaum yang beriman atas sebab mereka meninggalkan dakwah dan tarbiyah kepada golongan yang melakukan maksiat di dalam tempat-tempat mereka.

Sebuah Motivasi

Kalaulah tidak kerana ujian dan cabaran, serta musibah yang datang melanda, sudah tentu ramai manusia akan mudah menjadi sombong, lalai, ‘ujub, dan keras hatinya. Padahal sifat-sifat yang seperti ini adalah merupakan sesuatu yang merosakkan dan memberi akibat yang buruk di akhirat kelak, malah ia dapat dilihat ketika di dunia ini lagi. Di antara Rahmat Allah, melalui musibah yang Dia sendiri turunkan adalah dengan tujuan menjadikan kita sebagai hamba yang berupaya untuk kembali insaf, kembali kepada kebenaran, terbuka hati untuk beriman, dan mungkin juga dengan tujuan memperbaiki tahap ubudiyyah (penghambaan) kita kepada-Nya. Dengan pelbagai ujian juga, mampu menjadikan hati kita bersih dan suci dari pelbagai dosa dan kesalahan iaitu di mana Allah menghapuskan pelbagai kesilapan-kesilapan hambanya yang lalu dengan memberinya ujian-ujian yang tertentu. Lalu dengan ujian dan musibah tersebut, Allah menggandakan lagi ganjaran-Nya dengan menganugerahkan pahala, mengangkat darjatnya, malah sehingga menjanjikan berita gembira berupa Syurga di hari kemudian nanti.

Bagi golongan yang beriman, dan semoga kita sentiasa termasuk di dalamnya, Allah subhanahu wa Ta’ala menyatakan di dalam beberapa ayat-ayat-Nya sebagaimana berikut,

“Katakanlah (Muhammad): “Tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami. Dia-lah Pelindung kami, dan hanya kepada Allah orang-orang yang beriman seharusnya bertawakkal”.” (Surah at-Taubah, 9: 51)

“Tidak ada suatu musibah yang menimpa (seseorang) kecuali dengan izin Allah; dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, niscaya Allah akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Surah at-Taghabun, 64: 11)

Dapat juga kita fahami bahawa ujian dan musibah yang Allah turunkan juga sebahagiannya adalah kerana kasih-sayang Allah itu sendiri kepada para hamba-Nya yang memiliki sifat redha. Dan hal ini telah pun dijelaskan.

Dan perlu juga kita ketahui bahawa Rahmat atau nikmat Allah itu sendiri teramat-lah luas dan tidak terhitung jika hendak dibandingkan dengan segala ujian dan musibah yang Dia turunkan. Allah subhanahu wa Ta’ala berfirman, “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, niscaya kamu tidak akan berupaya menghitungnya. Sungguh, manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah).” (Surah Ibrahim, 14: 34)

Kita juga harus memahami setiap situasi yang kita alami dan hadapi dengan sentiasa meletakkan rasa keinsafan dalam diri sendiri dengan tidak lupa untuk melakukan muhasabah. Ini adalah kerana mungkin di sana terdapat beberapa musibah lain yang diturunkan kepada insan-insan yang lain yang mana dengan kadar yang lebih buruk dan teruk lagi. Dan jangan pula sekali-kali untuk kita memiliki rasa putus-asa terhadap rahmat Allah yang sekian banyaknya diberikan dan disediakan kepada kita.

“Dan jika Kami rasakan kepada manusia suatu rahmat (nikmat) dari Kami, kemudian rahmat itu Kami cabut daripadanya, pastilah dia menjadi putus asa lagi tidak berterima kasih. Dan jika Kami rasakan kepadanya kebahagiaan sesudah bencana yang menimpanya, niscaya dia akan berkata: “Telah hilang bencana-bencana itu daripadaku”; sesungguhnya dia sangat gembira lagi bangga, kecuali orang-orang yang sabar (terhadap bencana), dan mengerjakan amal-amal sholeh; mereka itu beroleh ampunan dan pahala yang besar.” (Surah Huud, 11: 9-11)

Sebagai golongan yang beriman, mereka meyakini bahawa Allah mengetahui mana yang terbaik bagi hambanya dan mengetahui bahawa mana yang sebaliknya. Malah, Allah berhak melaksanakan apa yang dikehendaki oleh-Nya dengan kadar yang sebenarnya.

“Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah, 2: 216)

“Dan apabila manusia ditimpa bahaya dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri…” (Surah Yunus, 10: 12)

“Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu’, (iaitu) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya, dan bahwa mereka akan kembali kepada-Nya.” (Surah al-Baqarah, 2: 45-46)

Demikianlah, Allah menurunkan beberapa ujian dalam pelbagai bentuk kepada hamba-hambanya. Semuanya memiliki sebab dan tujuan yang sesungguhnya Dia sendiri lebih Mengetahui ke atas segala apa yang dilakukan-Nya. Di dalam al-Qur’an dan hadis itu sendiri menjelaskan perkara-perkara tersebut dalam pelbagai situasi dan keadaan. Malah, ianya turun sama ada dalam bentuk yang disukai mahupun yang sebaliknya. Biar apa pun keadaanya, semoga kita adalah sentiasa tergolong dalam kelompok yang sabar, redha, bersyukur dan mendapat perlindungan dari-Nya dalam apa jua hal.Hanya kepada-Nya lah kita berserah, dan kepada-Nya lah tempat kita kembali. Tiada daya serta upaya melainkan dengan izin dari-Nya.

Wallahu a’lam...

1 comments:

abqorian berkata...

Jzkk Nawawi