http://an-nawawi.blogspot.com/
Sahabat-sahabatku,
Apabila anda menyampaikan sesuatu lalu anda dibalas dengan sebuah tamparan dan kejian yang menyakitkan, maka bersabarlah, usah cepat melenting dan terkejut. Jangan pula terus membenci dan meluah kata-kata kesat sama seperti mereka.
Kerana bukan redha mereka yang kita harapkan. Bukan jua tagih simpati mereka yang kita nanti-nantikan.
Sesungguhnya kita hanya menyampaikan sesuatu yang perlu disampaikan. Kita menyampaikan hanya kerana Allah jua. Maka, apa jua yang kita lakukan, hanya kepada Allah tempat kita berharap. Kepada Allah jua tempat kita bersimpuh.
Hanya pahala dan kebaikan dari Allah-lah tujuan sebenar kita.
Kita mencari redha Allah semata. Jauh sekali mengharap habuan manusia yang sedikit jika dibandingkan kurnia dan pahala dari sisi-Nya.
Kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Aku tidak meminta upah sedikit pun darimu atas da'wahku dan bukanlah aku termasuk orang-orang yang mengada-adakan.” (Surah Shaad, 38: 86)
Sesungguhnya kita hanya berusaha menyampaikan sesuatu yang realiti lagi hakikat. Bukan fantasi dan imaginasi yang diada-adakan. Kita hanya menyampaikan agama yang di dalamnya ditegakkan fakta-fakta ilmiyah dari kalamullah dan hadis-hadis Rasul-Nya, insyaAllah...
Biarkanlah mereka berfikir jika mereka mahu berfikir.
“Maka apakah mereka tidak memikirkan?” (Surah Yasin, 36: 62, 68)
“Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Surah ar-Ra’d, 13: 4)
Maka, usahlah bersedih. Tidak perlu putus asa. Jika benar yang anda cari adalah redha dan pahala dari sisi Allah.
Kerana Allah subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“... Padahal tidak ada seorang pun memberi suatu nikmat kepadanya yang harus dibalasnya, tetapi (dia memberikan itu semata-mata) kerana mencari keredhaan Tuhannya yang Maha Tinggi. Dan kelak nanti dia benar-benar mendapat kepuasan.” (Surah al-Lail, 92: 19-21)
Istiqomahlah di atas kebenaran di atas jalan-jalan ilmu dan fakta.
Sesungguhnya, untuk mereka yang melaksanakan kebaikan itu, dari sisi Allah jua pahalanya, dan tidak akan sirna dikeranakan kejian dan makian manusia.
Wallahu a’lam...
1 comments:
assalamualaikum sedara penulis,
adakah pahala itu perlu bagi seseorang umat islam? atau kebenaran islam itu sendiri yang perlu untuk seseorang muslimin?
jika di ukurkan pahala, kita sendiri sebagai manusia yang lemah tidak pernah melihat keadaan pahala itu sendiri,
tetapi sebagai manusia yang mempunyai akal dan hati sudah semestinya kita sedar yang kita perlu mencari kebenaran itu sendiri.
sungguh menarik artikel daripada sedara.. teruskan menulis.
Catat Ulasan