http://an-nawawi.blogspot.com/
Malam semalam seperti yang dijadualkan, kuliah Ustaz Abu Umar Idris Sulaiman berjalan dengan lancar dan baik sekali. Al-Alhamdulillah…
Kuliah adalah berkisar sekitar persoalan prinsip dalam mengambil agama. Iaitu kewajiban untuk mengambil dan memahaminya di atas sebuah prinsip yang jelas sebagaimana datangnya ia. Dan dari mana datangnya ia.
Agama ini datangnya dari Allah Subhanahu wa Ta’ala, kemudiannya diwahyukan kepada Nabi-Nya melalui perantaraan Jibril ‘alaihis Salam. Dari Nabi-Nya, agama ini kemudiannya disampaikan dan difahami oleh para sahabat Nabi radhiyallahu ‘anhum. Yang kemudiannya diikuti dan diwarisi dari generasi ke generasi setelahnya sehinggalah sekarang.
Secara mudahnya, agama ini besumberkan dari dua rujukan yang baku. Iaitu Kitabullah bernama al-Qur’an dan al-Hadis (sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam). Inilah yang disepakati dan diperakui oleh setiap mereka yang beragama Islam.
Allahu Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Qur’an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (Surah an-Nisa’, 4: 59)
Kemudiannya, tidak dapat tidak, dua sumber itu tidak akan dapat difahami tanpa mengambil dan merujuk kepada kefahaman yang difahami oleh orang-orang pertama dan terawal memahaminya. Yang dari merekalah kita mewarisinya. Tidak lain dan tidak bukan, merekalah yang digelar dengan gelaran Sahabat-sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang diredhai.
Dari merekalah sebuah kefahaman agama ini dibangunkan dan diperturunkan kepada generasi demi generasi seterusnya. Mereka adalah golongan terbaik dari golongan manusia yang beriman kepada agama yang dibawa Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Mereka adalah kelompok manusia pertama yang memeluk Islam. Kelompok pertama yang melihat Nabi dan beriman dengan apa yang dibawanya. Di masa merekalah turunnya mukjizat yang paling agung, iaitu al-Qur’an yang menjadi huda (petunjuk) dan rahmat ke seluruh alam manusia. Para sahabat ini berpeluang berguru secara langsung kepada Nabi. Memahami al-Qur’an bersama-sama Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Kepada Nabi secara langsung, mereka mengutip mutiara-mutiara hikmah yang sangat berharga di dalam memahami agama ini yang berupa hadis-hadis dan sunnah-sunnah beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Al-Qur’an diturunkan ayat demi ayat kepada mereka. Kefahaman mereka dibentuk secara langsung oleh Nabi. Setiap kesalahan dan kesilapan akan diperbetulkan secara langsung oleh Nabi, dan begitu jugalah setiap apa yang benar akan di-iyakan oleh Nabi secara langsung.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfiman:
“Orang-orang yang terdahulu lagi yang paling awal (masuk Islam) dari golongan muhajirin dan anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar.” (Surah at-Taubah, 9: 100)
Sedar atau tidak, setiap hari kita berdoa di dalam solat meminta diletakkan di atas jalan-jalan mereka (para sahabat).
“Tunjukilah kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka (Salafus Soleh (Para Sahabat)); bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.” (Surah al-Fatihah, 1: 6-7)
Para sahabat adalah golongan manusia terbaik. Hidup pada zaman terbaik (bersama-sama Nabi). Mereka adalah golongan manusia yang diredhai dan dijamin Syurga oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Sebaik-baik manusia adalah pada kurunku, kemudian generasi setelah mereka, kemudian generasi setelah mereka. Kemudian akan muncul suatu kaum yang memberi persaksian mendahului sumpahnya, dan bersumpah mendahului persaksiannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Mereka adalah golongan yang sentiasa bersama-sama Nabi. Beriman sebagaimana yang diperintahkan, hidup di dalam suasana yang mendapat perhatian Nabi, dan mati di atas jalan yang benar. Di masa hidupnya sentiasa bersama-sama Nabi mengutip kebenaran yang disampaikan. Mereka bermusafir dan berperang bersama-sama Nabi. Berjuang dan berdakwah menegakkan agama yang dibawa oleh Nabi.
Setelah kewafatan Nabi, merekalah kelompok manusia yang meneruskan perjuangan dan kesinambungan dakwah Baginda Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Merekalah yang memelihara al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah dari pelbagai bentuk penyelewengan, pendustaan dan penyembunyian. Mereka menyampaikan, mengajarkan, dan menyebarkannya kepada generasi manusia seterusnya bermula dari para Tabi’in dan kemudiannya dari Tabi’in mereka mewariskannya pula kepada Tabi’ut Tabi’in dan begitulah seterusnya.
Begitulah intisari utama kuliah yang disampaikan semalam iaitu menyentuh tentang kredibiliti dan keutamaan para sahabat di dalam memahami agama ini. Maka, tidak dapat tidak, pasti kita akan merujuk kepada mereka untuk mendapatkan pemahaman agama yang terbaik lagi sahih serta berkualiti.
Tidak ada lagi bentuk-bentuk agama selain dari apa yang difahami dan disampaikan oleh mereka. Kerana apa yang difahami dan diamalkan oleh mereka dari agama Islam, sudah sangat-sangat memadai dan itulah yang terbaik. Kerana apa yang diamalkan oleh mereka, itulah yang mendapat restu dan pentashihan secara langsung dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan bentuk-bentuk amalan selain dari itu, maka ia adalah suatu yang asing lagi tertolak disebabkan agama ini telah pun sempurna dan mencukupi sebagaimana yang difahami oleh golongan terbaik bernama sahabat.
Begitulah sebuah hakikat yag perlu kita terima dengan hati terbuka. Datangnya agama itu kepada kita secara sempurna dan tulin melalui apa yang difahami oleh mereka. Bukanlah melalui kefahaman kita yang lemah yang hanya bergantung semata-mata kepada akal kita yang sangat-sangat terhad untuk memikirkan, apatah lagi untuk memahaminya. Tidak dapat tidak, kefahaman kita melalui akal-akal kita perlu dibantu dan dibina di atas kefahaman (methodologi) yang diwariskan oleh para sahabat Nabi tadi yang kemudiannya diwariskan melalui para ulama yang dipercayai.
Secara mudahnya, segala perkara yang berkaitan dengan agama mencakupi persoalan aqidah, keimanan, muamalat, zuhud, ibadah, fiqh, hadis, akhlak, taqwa, dan seumpamanya, perlu-lah dirujuk kepada methodologi para sahabat sebagai golongan manusia contoh yang paling berauthoriti lagi berkelayakan.
Segala apa yang tidak ditunjukkan dan tidak diamalkan mereka dalam persoalan aqidah, akhlak dan ibadah terutamanya, maka kita juga tidak boleh mengambil dan mengamalkannya sebagai sebuah aspek agama dalam soal aqidah, akhlak dan ibadah. Segala bentuk-bentuk amalan ibadah yang tidak diamalkan oleh mereka, maka tidak perlu kita mengamalkannya sebagai ibadah. Dan sekiranya sesuatu amalan itu diamalkan sebagai ibadah oleh mereka, maka di sana barulah kita akan bersungguh-sungguh untuk mengambil dan mengamalkannya sebagai sebuah amalan yang memiliki keutamaan.
Secara mudahnya begitulah di antara kaedah untuk kita meletakkan methodologi di dalam bergama.
Di akhir kuliah Ustaz Idris tersebut, ada beberapa persoalan ditimbulkan. Di antaranya adalah persoalan amalan kenduri arwah, tahlilah, yasinan, dan sumpamanya.
Tidak dapat dinafikan, amalan-amalan tersebut adalah sebuah ritual yang sangat subur dilakukan oleh kebanyakan masyarakat melayu muslim di negara kita dan beberapa negara jiran dari wilayah nusantara lainnya seperti Indonesia. Namun, itu bukanlah sebuah standard (tunjuk ukur) untuk menyatakan bahawa amalan tersebut sebagai sebuah amalan yang disandarkan di atas paksi Islam yang benar.
Penyelesaiannya mudah. Kita lihat kembali kepada cara beramalnya para sahabat, kemudiannya lihat juga kepada para Tabi’in dan Tabi’ut Tabi’in. Adakah mereka mengamalkan amalan-amalan seperti itu? Sekiranya mereka mengamalkannya, maka ambillah ia. Dan sekiranya tidak, tinggalkanlah ia, kerana amalan yang bukan berasal dari mereka maka ia bukanlah dari sebahagian agama Islam warisan Nabi serta para sahabat beliau yang disepakati yang merupakan manusia yang pertama-tama memahaminya serta mengamalkannya di atas rekomendasi (petunjuk) Nabi, melainkan ia adalah sebuah amalan reka-rekaan manusia yang sudah mula meyimpang dan jauh dari methodologi para sahabat.
“Dan sesiapa yang menentang Rasul setelah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan selain orang-orang mukmin (para sahabat), Kami biarkan mereka hanyut terhadap kesesatan yang telah dikerjakannya itu dan Kami masukkan mereka ke dalam Jahannam, dan Jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” (Surah an-Nisa’, 4: 115)
Siapalah manusia seperti kita yang mahu mereka-reka amalan bentuk baru menyelisihi bentuk-bentuk amalan yang telah disepakati oleh para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam? Cukuplah agama yang datang dari pada mereka. Kerana apa yang datang dari selain mereka, maka itu bukanlah dinamakan sebagai agama.
Sebagai penutup, saya tinggalkan pesanan imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah sebagai panduan sekaligus merupakan sebuah prinsip,
“Dasar Ahlus Sunnah menurut kami adalah:
1 – Berpegang teguh kepada jalan hidup para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam,
2 – Berqudwah terhadap mereka (menjadikan para sahabat Rasulullah sebagai tauladan/ikutan).” (Imam Ahmad bin Hanbal, Ushulus Sunnah, Prinsip 1 dan 2)
Wallahu a’lam...
2 comments:
salam..mcm mana dgn mereka yg solat isyak cthnya x ikut cara nabi? nabi slt isyaknya 2 rakaat pertama lbh pjg dr 2 rakaat terakhir.
biasanya ada yg akan solat isyak ckp dgn bacaan fatihah shj dlm smua rakaat
salam,
pada saya jika sesuatu perkara tidak menentang hukum-hukum(islam) yang sedia ada, ia masih boleh diperlakukan,
Catat Ulasan