http://an-nawawi.blogspot.com
Saya adalah antara pembaca yang sangat tertarik dengan hasil-hasil karya atau penulisan oleh Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani (rahimahullah). Seorang ulama hadis yang namanya begitu menyinar di era ini.
Salah satu bukunya yang begitu membuka minda dan corak berfikir adalah berjudul Sifat Solat Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam (judul Edisi terjemahan). Di dalamnya beliau memulakan dengan sebuah mukaddimah yang cukup-cukup membuka mata dan menyedarkan.
Kalam para imam terkemuka yang mazhabnya (himpunan fatwanya) menjadi panutan (ikutan) dihamparkan di lembaran-lembaran awal karya Syaikh al-Albani, Sifat Solat Nabi.
Antara yang saya ingati adalah:
Sekiranya suatu hadis itu sahih, maka itulah mazhabku. (Kalam 4 imam mazhab)
Juga:
Sekiranya kamu temui sesuatu di dalam kitabku yang bertentangan dengan hadis Rasulullah, maka ambillah hadis Rasulullah tersebut dan tinggalkanlah pendapatku. (Perkataan Imam asy-Syafi'e)
Jika kita terus membelek dari lembaran demi lembaran, nescaya kita akan temui butiran permata demi permata yang memukau penglihatan. Melainkan mereka yang terpejam hatinya, mungkin terlepas dari melihat kemilaunya cahaya sunnah yang terukir dari helaian ke satu helaian.
Kandungannya berisi penuh dengan hadis-hadis Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bagi merealisasikan perintah baginda:
Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat. (Hadis Riwayat al-Bukhari di dalam Kitab al-Azan)
Turut dipersembahkan dengan perkataan para ulama terkemuka dari era awal sehingga masa terhampir. Dengannya beliau mengutarakan kesimpulan dan hujjah bagi setiap tajuk perbahasan bukunya.
Begitulah Syaikh al-Albani membuka mata memukau para pembacanya mengajak kepada Solat yang sempurna mengikuti suluhan as-Sunnah.
Begitu jugalah kekagumanku kepada karya beliau ini. Begitu banyak mengubah corak berfikirku yang sebelum ini hanya sekadar berpuas hati dengan mengikuti tatacara ajaran mazhab pak-pak ustaz. Jika dikata A, maka ku ikutkan saja A. Jika diperintahkan B, maka aku terus B. Tanpa pernah kritis dari mana datangnya A dan B.
Begitulah karya Syaikh al-Albani tentang perihal Sifat Solat ini begitu memberi kesan ke atas diriku.
Namun, begitu jugalah sunnahnya alam ini. Jika ada peminat, ada juga yang membenci dan bersikap menentang.
Dakwaan demi tuduhan dilontarkan kepada Syaikh al-Albani sebagai penyesat. Dek kerana hasil karyanya ini tidak sebulu dengan konsep arus perdana, maka ia ditohmah dan difitnah. Diberi label dengan pelbagai nama. Di antaranya adalah dengan nama Wahhabi, sebuah nama yang entah dari mana dan entah apa kaitannya.
Dikatakan Wahhabi ini dari bicara mereka, adalah sebagai satu kelompok yang antara karektornya tidak bermajlis tahlilan dan membenci perkara-perkara kebaikan (hasanah). Dikatakan juga sebagai perosak sunnah.
Subhanallah... begitu sekali label yang diberi. Sedangkan Syaikh al-Albani ini membawakan sunnah-sunnah Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam yang mulia di dalam mana pun buku-bukunya. Setiap hasil tulisnya tidak pernah luput dari cahaya perkataan Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam.
Jadi, dari sudut mana benarnya dakwaan mulut mereka yang lancang itu?
Nah! Jika begitu, bawakan saja buku yang boleh kujadikan rujukan supaya ku ikuti Majlis Tahlilan Cara Nabi! Dengannya supaya aku tidak dilabel dengan gelar Wahhabi sebagaimana yang dipaksakan ke atas Syaikh al-Albani. Kerana dengannya kita mampu amalkan tahlilan persis sebagaimana Nabi melakukannya. Persis laksana para sahabat bertahlil untuk para sahabat yang lain.
Supaya jelas nantinya bahawa Majlis Tahlilan itu adalah benar-benar dari Sunnah Nabi kita. Apakah nanti karya yang diberi judul Majlis Tahlilan Cara Nabi itu mampu menyaingi konsep persembahan buku Sifat Solat Nabi? Dapat atau tidak misteri sunnah tahlilan itu disingkap dengan ilmiyah?
Sama-sama kita nantikan dan saksikan...
6 comments:
ya sama-sama kita saksikan!
insyaAllah, nawawi, mari kita menegakkan sunnah nabi di muka bumi ini.
Camner kalau sunnah nabi itu bercanggah dgn al quran yg diturunkan tuhan? Apakah kita perlu mengikuti sunnah yg dikatakan sahih dan meninggalkan perintah tuhan? Bukankah solat itu untuk mengingati tuhan saja dan bukan nabinya?
MENJAWAB KOMEN di ATAS: Kalau sunnah itu bercanggah dengan PERINTAH ALLAH SWT dalam AL-QURAN, ITU BUKANLAH sunnah namanya apatah lagi nak dikatakan SAHIH. Itu sama ada HADIS PALSU atau MUNGKAR daripada idea Syiah rafidah (penipu paling besar), SUFI (agama falsafah) dan Tarekat SETAN.
jomfaham.blogspot.com. Jawapan ada di situ
sedih bila umat disini sibuk bertelagah, sedangkan umat islam ditempat lain diganyang oleh kafirin.
tak bolehkah kita ketepikan isu yg boleh menambah perpecahan tapi sama-sama mengembeling tenaga membawa masyarakat minat pd agama, meninggalkan maksiat.??
masalah sosial dikalangan umat Islam sudah terlalu berat, masjid/surau dikunjungi hanya kadangkala apatahlagi majlis ilmu.
ramai umat Islam ingin lari dari hukum agama, inginkan kebebasan.
Tapi kita hanya bertelagah dikalangan ilmuan Islam. membiarkan umat yang diluar masjid/surau terus hanyut. Tidak bolehkah kita berusaha menarik mereka agar Islam kembali kuat semula..tidak seperti buih-buih dilaut yg berlaga sesama sendiri dibawa arus...tapi berkecai dipantai.....
Kepada Salafi Ipoh @ Salafi Jadian..
Sedap je mengata Sufi itu agama falsafah dan kamu menggelarkan Tarekat Setan. Dari mana kamu belajar nih... Mengucap banyak2. Bertanyalah orang yang pada ahlinya jika kamu itu jahil.. Bukan menggelarkn seseorg secara semberono.
Catat Ulasan