“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Khamis, Ogos 19, 2010

Pembuangan Bayi: Natijah Lambakan Gangguan Seksual

Pembuangan Bayi: Natijah Lambakan Gangguan Seksual

http://an-nawawi.blogspot.com

Suatu fenomena telah berlaku. Di mana masyarakat (terutamanya kaum lelaki) kini dihadapkan dengan pelbagai bentuk gangguan dan serangan seksual. Fokus saya adalah merujuk kepada perlakuan kebanyakan kaum wanita di luar sana di mana mereka dengan tanpa segan dan malu telah melakukan aksi-aksi yang merangsangkan naluri-naluri seksual kebanyakan kaum lelaki.

Tanpa rasa malu, ramai dari kalangan kaum wanita terutamanya peringkat remaja dan pemudi yang begitu bangga mendedahkan aurat-aurat dan mahkota mereka bagi tontonan umum. Mereka menghias dan menjaga tubuh bagai seorang puteri, tetapi akhirnya dijadikan bahan jajaan dan peragaan merangsang nafsu seksual! Tubuh-tubuh molek sang wanita dipadankan dengan pakaian sendat dan singkat atas niat untuk melawa dan mendapat perhatian pandangan umum.

Sama ada tanpa sedar atau disengajakan, tindakan kaum wanita tersebut telah membangkitkan gelojak nafsu seksual kepada ramai kaum lelaki yang normal di luar sana. Mana tidaknya, sekiranya kain disingkatkan sehingga menampakkan betis dan peha? Baju pula disendatkan dan terlondeh membayangkan bentuk tubuh serta buah dada. Untuk bertudung, apatah lagi. Rambut dibiar menjuntai. Jika bertudung, hanya sekadar fesyen.

Dalam sebuah hadis yang direkodkan oleh Imam al-Bukhari, disebutkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa: “Apabila malu tiada lagi, maka lakukanlah sesuka hatimu.”

Demikianlah yang berlaku, apabila ramai kaum wanita muslim tidak lagi memiliki rasa malu. Tubuh-badannya menjadi tatapan umum sehingga ianya bukan lagi suatu perlakuan yang janggal.

Sehingga di dalam majalah, akhbar-akhbar, media/aplikasi internet dan media-media elektronik tubuh-badan mereka dijaja dengan cara yang cukup memberahikan. Jika ini yang semakin berleluasa, maka tidak hairanlah berlaku peningkatan kepada gejala zina, seks bebas, khalwat (berduaan) lelaki dengan wanita, pergaulan bebas dan pelbagai lagi gejala negatif lainnya yang semakin menjadi-jadi sehinggalah kepada lambakan kes pembuangan dan pembunuhan bayi.

Gejala-gejala seksual inilah yang kian membinasakan masyarakat, merosakkan fitrah, meghancurkan tatasusila peraturan kemanusiaan dan kehidupan beragama. Sekaligus ia adalah sebahagian dari tanda-tanda kemusnahan manusia serta dekatnya kiamat. Ini disebutkan antaranya di dalam hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

Dan yang tinggal adalah seburuk-buruk manusia, mereka melakukan hubungan kelamin sebagaimana keldai (di khalayak umum), maka kepada merekalah kiamat akan berlaku.” (Sahih Muslim)

Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidak akan hancur umat ini sehingga kaum lelaki mendatangi kaum wanita, lalu dia menyetubuhinya (berzina).” (al-Haitsami, Majmu’ az-Zawa’id, 7/331)

Demikianlah apabila gejala ransangan seksual berlangsung dalam masyarakat manusia dengan begitu terang-terangan dan tanpa sekatan mahupun batasan. Mulanya mungkin dengan telinga, sekadar mendengar... kemudian dengan mata, iaitu melihat. Kemudian dengan tangan iaitu dengan meraba... diikuti pula dengan kata-kata yang menghairahkan dan membangkitkan syahwat, akhirnya sehinggalah kepada hubungan perzinaan yang nyata. Apatah lagi di zaman rendah dan runtuhnya budaya iman dan kefahaman terhadap agama ini. Gejala yang bertentangan dengan agama dipromosikan secara besar-besaran, manakala urusan ilmu agama dan tauhid disembunyikan.

Sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di mana zina bermula dengan pandangan, pendengaran, perkataan, permainan sentuhan tangan, dan imaginasi seks, sehingga akhirnya keimanan-lah yang menentukan:

Persoalan anak Adam berkaitan zina telah ditentukan. Tidak mustahil, ia pasti melakukannya. Dua mata berzina dengan melihat, dua telinga berzina dengan mendengar, lidah berzina dengan berkata-kata, tangan berzina dengan menyentuh, kaki berzina dengan melangkah, hati berzina dengan imaginasi, dan kemaluanlah yang akan membenarkan (merealisasikan) atau mendustakan semua itu.” (Sahih Muslim)

Fenomena ini tidak dapat dinafikan lagi oleh majoriti kita yang memandang tepat ke tengah-tengah masyarakat hari ini. Program-program pembangkit syahwat tersebar dengan begitu meluas dan di antara penyumbang utamanya adalah wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya telanjang. Dibantu pula dengan adegan peragaan yang tidak kenal erti malu melalui pelbagai media terbuka.

Sewajarnyalah kita insafi hal ini kerana ianya hanya membawa kehidupan manusia kepada akibat yang sangat buruk. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyebutkan di dalam banyak hadis-hadisnya:

Ada dua kelompok manusia penghuni neraka yang belum pernah aku lihat, (di antaranya adalah) wanita yang berpakaian tetapi telanjang, selalu melakukan maksiat dan mengajarkan maksiatnya kepada orang lain.” (Sahih Muslim)

Dengan gejala-gejala seperti inilah, yang antaranya menjadi agen penyumbang utama kepada gejala zina yang semakin berleluasa lalu menghasilkan gejala seterusnya yang lebih buruk lagi seperti gejala pembuangan dan pembunuhan bayi di sana sini.

Dari itu, serulah para wanita dan wali para wanita supaya memantau diri-diri mereka. Berilah penekanan pendidikan agama (spiritual) semaksimum mungkin terutamanya dalam aspek teras aqidah dan kepercayaan yang tepat. Sekiranya dalam bidang duniawi kita boleh utamakan, sepatutnya dalam soal ketuhanan juga tidak kita remehkan, bahkan perlu kita lebihkan lagi.

Selain itu, personaliti dan karektor pula perlulah sentiasa bertepatan dengan saranan agama, dan bukan sekadar mengikuti nafsu dan pemikiran. Kerana, agama (Islam) itu adalah keselamatan, manakala pemikiran tanpa landasan agama itu membawa kepada kebinasaan. Pelajarilah serta terapkanlah adab dan akhlak seorang insan dengan tauladan nabi. Dengan akhlak dan adablah kita pernah membina tamadun yang sungguh tinggi lagi gemilang. Bukan dengan dunia penuh nafsu dan syahwat seksual kebinatangan. Selamatkanlah nilai-nilai kemanusiaan dari ditenggelami nafsu seksual tanpa sempadan yang akhirnya menjerumuskan kepada pembunuhan dan kemusnahan. Lebih utama lagi, carilah keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala, kerana wang, rupa-paras, dan populariti bukanlah tujuan kehidupan. Bahkan ia adalah sebagai ujian.

Jika kita mahu merenung kembali, suatu ketika dahulu Islam telah membuktikan mampu menghapuskan pelbagai gejala buruk yang menimpa masyarakat arab jahiliyyah. Termasuklah gejala perzinaan dan pembunuhan bayi. Maka, tidak mustahil sekiranya masyarakat pada hari ini umumnya dan umat Islam khususnya bersedia untuk kembali kepada Islam dan mempraktikkannya dengan tepat, insyaAllah pelbagai gejala negatif yang melanda akan dapat dihapuskan atau setidak-tidaknya dikurangkan.

Wallahu a’lam...

0 comments: